01 Februari 2012

Mangsa kapal Costa Concorda tuntut pampasan RM1.3b

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GIGLIO, Itali - Mangsa kapal pelayaran, Costa Concorda yang karam di perairan Itali dua minggu lalu menuntut pampasan AS$460 juta (RM1.3 bilion) daripada pemilik kapal, Costa Cruise Lines, lapor The Guardian.

Tuntutan pampasan dikemukan lebih dua minggu selepas nahas yang menyebabkan 17 penumpang maut dan sekurang-kurangnya 16 penumpang masih hilang.

Kapal itu karam pada 13 Januari lalu.

Seorang peguamdari New York, Mitchell Proner berkata, firmanya Proner & Proner, bersama gabungan beberapa peguam antarabangsa lain akan mewakili lebih 500 penumpang yang terlibat.

Beliau mengumumkan perincian awam mengenai tuntutan undang-undang yang difailkan di Florida, pada satu sidang media di Genoa, Italy, semalam, kata laporan BBC.

Syarikat kapal terbabitmembuat tawaran awal pampasan AS$14,460 (RM43,000) kepada penumpang kerana kehilangan bagasi dan trauma psikologi.

"Mereka mesti bertanggungjawab untuk apa yang mereka lakukan.

“Merekasengaja meletakkan penumpang yang berada dalam bahaya. Kami percaya bahawa kami boleh menang di Florida dan kita akan pergi sehingga mereka tidak tahu apa yang melanda mereka ... sama seperti kapal Concordia,” kata Mitchell.

sinar harian/-

Rumah kedai hangus terbakar, Kitab Tafsir Al-Quran Langsung tidak terbakar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Satu kebakaran melibatkan rumah kedai dilaporkan berlaku di No. 28, Jalan Adil 25/10, Taman Sri Muda, Shah Alam semalam.

Jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman api di lokasi yang dimaksudkan.

Namun sebaik saja operasi selesai, anggota bomba bertugas dikejutkan dengan penemuan senaskah kitab tafsir Al-Quran yang langsung tidak terjejas keadaan fizikalnya.

Walaupun rumah tersebut musnah akibat kebakaran, namun kitab itu tidak ‘terusik’ dek api dalam kejadian itu.

Naskah berkenaan juga tidak basah dan rosak walaupun pihak bomba menggunakan air dalam kuantiti yang agak banyak dalam operasi tersebut.

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan SYAK – RAGU-RAGU tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu. Fussilat 41:54

Inilah yang dikatakan kebesaran Allah.

Kami akan perlihatkan kepada mereka TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI DI MERATA-RATA TEMPAT (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? Fussilat 41:53

Semoga ia boleh memberi iktibar dan renungan kepada kita semua. Wallahualam – Oleh SYAHRIL A. KADIR

8 warga asing ke negara jiran maut bot karam

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SENAI - Lapan lelaki rakyat asing maut manakala enam hilang dalam tragedi bot karam di perairan Teluk Semayong, Sedili Besar dekat Kota Tinggi, pagi tadi.

Seramai 11 orang selamat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata, kesemua lelaki rakyat Afghanistan, Pakistan dan Iraq itu dipercayai dalam perjalanan menuju ke negara jiran.

"Polis belum mengenal pasti identiti yang meninggal dunia dan mayat kesemua mereka dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Che Mahazan berkata, usaha menyelamat sedang dilakukan bagi mencari mereka yang masih hilang.

sinar harian/-

Nenek bunuh cucu, cuba bunuh diri

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 1 Feb. - Seorang nenek tergamak membunuh cucu perempuannya berusia 10 tahun sebelum cuba membunuh diri di sebuah apartmen di Taman Kinrara Puchong dekat sini hari ini.

Kejadian itu hanya disedari seorang anak lelaki wanita berusia 57 tahun itu selepas dia dimaklumkan menerusi panggilan telefon bahawa mangsa telah dibunuh dua hari lalu. - UTUSAN

Pakatan mahu ambil alih Putrajaya dari kerajaan ‘Siau Ren’ – Anwar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 1 Feb: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat mahu mengambil alih Putrajaya dari kerajaan yang mengamalkan rasuah dan dasar memecah belahkan kaum.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 2000 hadirin pada Majlis Jamuan Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jinjang Selatan, pagi ini.

Justeru itu katanya, rakyat tidak ada pilihan selain menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita tak mahu kerajaan yang ‘pu hau’ (tidak baik) dan ‘siau ren’ (orang yang bingung)

“Di sini dia (kerajaan) cakap tentang satu Malaysia, tapi di sana ada kes baling kepala babi (di masjid) macam di Rawang. Di sini dia kata nak jaga rakyat, tapi tanah, balak beri pada anak bini Menteri.

“Sampai ‘lembu’ pun dia nak angkat,” katanya merujuk skandal National Feedlot Corporation (NFC), sambil disambut ketawa orang ramai.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan dasar Pakatan Rakyat yang memberi keadilan kepada semua kaum termasuk merangka dasar gaji minima untuk membela nasib golongan bawahan.

“Orang Melayu jangan fikir semua orang Cina tauke. Ada juga yang susah. Begitu juga orang Melayu, India, Iban dan Kadazan. Sebab itu kita ada dasar – Gaji Minima.. dan telah dimulakan di Selangor.

“Sebab itu kita kena pertahan negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti di Selangor,” tegas beliau.

Mengulas tuduhan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, yang baru-baru menuduh beliau menyokong rejim Israel, Anwar berkata beliau sudah lali dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

“14 tahun saya dituduh ejen Yahudi, alat Cina, ikut cakap India. Apa lagi? Jangan fikir rakyat bodoh. Mereka tahu media, TV3 dikawal Umno,” tegasnya.

Turut hadir Naib Presiden KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.

Selain di Jinjang, Anwar turut mengunjungi Tokong Pooling Keong, di Setapak, perumahan rakyat di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Little India di Brickfields.

Keadilan Daily

Skim kesihatan 1 Care, lagi taktik Najib bebankan rakyat

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 1 Feb: Desas desus cadangan Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1 Care yang bakal dilaksanakan kerajaan akan menyebabkan rakyat menanggung beban lebih parah, kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Chua Jui Meng.

Ini kerana katanya, rakyat akan diminta menyumbang 10 peratus melalui potongan pendapatan mereka kepada agensi pengurus dana kesihatan yang dilantik oleh kerajaan, sekiranya skim itu menjadi kenyataan.

“Melalui skim 1Care kerajaan akan melantik satu badan yang akan menguruskan skim ini yang mempunyai kuasa pemutus menentukan kehendak rakyat,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

“Jangankan 10 peratus, satu peratus pun sudah cukup tinggi untuk rakyat dan ini tidak termasuk cukai GST yang bakal dikenakan pertengahan tahun ini.

“Rakyat di bawah pentadbiran Najib terus berdepan bebanan kos hidup yang tinggi kerana perlu membayar tol, minyak, bil elektrik dan air yang terus diswastakan,” tegasnya.

Berbanding dasar kesihatan sedia ada, katanya, rakyat bebas memilih samada hendak mendapatkan khidmat kesihatan dari klinik swasta atau hospital kerajaan.

“Sepatutnya kerajaan mengekalkan sistem sedia ada di mana rakyat miskin mendapat khidmat penjagaan kesihatan murah melalui hospital kerajaan manakala mereka yang memiliki sedikit kemampuan boleh ke klinik swasta sesuai dengan pendapatan mereka,” kata bekas Menteri Kesihatan ini.

Portal The Malaysian Insider hari ini melaporkan cadangan skim berkenaan, di mana rakyat yang memiliki peringkat pendapatan tertentu akan diwajibkan memberikan 10 peratus pendapatan bulanan mereka kepada agensi mengurus dana kesihatan negara.

Dilaporkan, pengamal perubatan dan persatuan pengguna memboikot cadangan itu sejak Disember tahun lalu, bermula dengan kempen ‘Tak Nak 1 Care’ dan menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan berkenaan.

Pada 28 Mei 2010, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilapor berkata, perdana menteru sangat teruja dengan cadangan itu, selepas beliau dimaklumkan mengenainya.

Mengulas lanjut, Jui Meng mendesak pentadbiran Najib menjelaskan skim berkenaan dengan memberikan butiran terperinci.

“Kita juga mendesak kerajaan mempelawa NGO, aktivis rakyat dan mereka yang pakar dalam bidang ini untuk berbincang sebelum apa-apa keputusan dibuat mengenainya,” tegas beliau.

Keadilan Daily

Habitat Umno masyarakat tanpa maklumat

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 1 Feb: Umno didakwa hanya boleh hidup di tempat yang masyarakatnya tidak bermaklumat, kata Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Mokhtar Senik (gambar).

Beliau berkata, untuk meraih kemenangan PAS mesti menjadikan masyarakat berilmu dan celik maklumat.

Berucap merasmikan Konvensyen ICT & Media Baru PAS Pahang 2012 di Darul Amin Sungai Gau di sini Sabtu lalu, Mokhtar menambah masyarakat yang jahil dan tidak bermaklumat lazimnya sukar untuk melakukan perubahan.

“Habitat Umno ialah masyarakat yang jahil dan di situlah biasanya PAS payah nak masuk dan berkembang. PAS payah nak hidup dalam habitat jahil dan tidak bermaklumat.

“Maknanya Umno-BN akan lebih subur dalam masyarakat tidak bermaklumat kerana rakyat tidak tahu apa yang mereka lakukan. Ini berbeza dengan kita, dalam masyarakat bermaklumat PAS berkembang subur.

(Gambar: Ustaz Mokhtar melancarkan konvensyen dengan dengan mengklik tayangan slaid)

“Ini terbukti perjuangan PAS sekarang mudah diterima di bandar-bandar yang terdedah dengan maklumat darpada media baru berbanding di luar bandar yang hanya bergantung media tradisional yang terkongkong,” jelasnya.

Mokhtar menambah, dakwah Islam juga perlukan kepada masyarakat bermaklumat ini terbukti perkembangan di Eropah 3,000 orang sehari menganut Islam, berbeza dengan negara yang disekat maklumat umpamanya di China.

“Sebab itu cabaran untuk kita memperjuangkan Islam mesti mahukan masyarakat yang ada bermaklumat. Jadi cabaran kepada jentera penerangan PAS ialah mewujudkan saluran alternatif maklumat jika mahu menang besar dalam pilihan raya akan datang.

“Bagaimanapun pengamal media baru PAS mesti berdisiplin membawa berita yang benar. Kita tidak boleh mengikut rentak musuh yang menggunakan saluran untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan,” ujarnya.

Serentak dengan itu beliau mahu PAS meneroka saluran baru melalui media baru selain daripada medium tradisional dipertingkat bagi merancakkan saluran sedia ada.
Kira-kira 200 daripada seluruh hadir mengikuti konvensyen sehari suntuk itu.

(Gambar: Lutfi dan Shuhaimi semasa dialog)

Sementara itu pembentang kertas kerja, Pengarah Jabatan ICT Pusat Suhaimi Embong berkata di malaysia ada 12 juta pengguna laman sosial facebook iaitu di tempat ke 17 tertinggi di dunia dengan 60% pengguna merupakan golongan muda.

Tambahnya, dalam konteks media baru semua orang sudah boleh menjadi agen penerangan dan maklumat iaitu melalui blog, laman web, facebook dan IPTV.

“Saya cadangkan ditubuhkan skuad gabungan tenaga untuk mobilisasi media baru secara berpasukan bermula pada peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Bahan mestilah boleh dipertanggungjawabkan kerana dengan adanya media baru ini boleh tersebar dengan cepat dan luas. Bagaimanapun di kampung yang tiada ases internet, boleh diadakan wayang pacak sebagai alternatif,” katanya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, berkata pilihan raya umum (PRU) ke 13 bukan saja getir tetapi juga sukar dan kritikal kepada PAS.

Tambahnya, oleh yang demikian cabaran kita ialah menyalurkan maklumat dan berjaya mengubah persepsi orang Melayu kerana politik adalah persepsi.

harakahdaily/-

Pelajar warga Nigeria didakwa edar kanabis

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas tuduhan mengedar 6,820 gram dadah
jenis kanabis.

Pius Emmanual David, 25, pelajar kolej swasta Pusat Bahasa Intelek, Kuala Lumpur didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, pelajar itu didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 9.15 malam 25 Jan lepas di Stesyen Bas Ekpres, Pekan Lama, Sungai Petani.

Dia diberkas sepasukan anggota polis Narkotik Bukit Aman. Tiada pengakuan dicatatkan daripada David, yang telah berkahwin dengan seorang guru warga China di Bangkok, Thailand lebih setahun lepas selepas pertuduhan diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan kes itu disebut semula pada 26 Mac ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Radzi memohon ia ditangguhkan sehingga laporan kimia kanabis yang dirampas daripada David diketahui.

Rakyat Nigeria itu yang diwakili peguambela, K.T. Jayaraj bagaimanapun tidak dibenar diikat jamin.

Isterinya, Yang Ping, 28, yang mengandung empat bulan, berasal dari wilayah Hokkien semasa ditemui di luar mahkamah memberitahu wartawan dia berkenalan dengan David melalui laman sosial Facebook hampir empat tahun.

"David akan datang menemui saya sebulan sekali atau dua bulan sekali sejak kami berhawin lebih setahun lepas. Saya mendapat panggilan daripada seorang peguam beberapa hari lepas dan tiba di sini dua hari lepas," kata Ping yang mengajar bahasa Mandarin di sebuah sekolah di China Street, Bangkok, sejak 2008. - Bernama

Sinar Harian

Tanda-Tanda Jiwa Yang Sihat

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Tanda-Tanda jiwa yang sihat dan tenteram sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah di dalam kitab Ighatsatul Lahfan min Mashayid asy-Syaithan.،¨

Di antara tanda-tanda tersebut adalah mampu memilih segala sesuatu yang bermanfaat dan memberikan ketenteraman kepada jiwanya. Dia tidak memilih perkara-perkara yang berbahaya atau yang menjadikan jiwanya sakit atau menderita.

Tanda jiwa yang sakit adalah sebaliknya. Santapan jiwa yang paling bermanfaat adalah keimanan dan ubat yang paling mujarab adalah al-Quran. Firman Allah s.w.t:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. [Al-Israa`:82.]

Selain itu Syaikh Ali bin Hasan bin Ali al-Halabi dalam kitabnya Mawaridul Aman al Muntaqa min Ighatsatil Lahfan fi Mashayid asy-Syaithan menyebutkan beberapa sifat yang dimilik oleh jiwa yang sihat, iaitu:

1. Matlamatnya akhirat

2. Keinginan menuju Allah s.w.t.

3. Tidak bosan berzikir

4. Menyesal jika tertinggal dari berzikir

5. Rindu untuk beribadah

6. Khusyu' dalam shalat

7. Keinginannya hanya kepada Allah

8. Menjaga waktu

9. Muhasabah dan memperbaiki diri

suka hadis/-

DAP kecam hebat letak babi di masjid

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Feb: DAP mengecam hebat pihak yang terbabit dalam meletakkan kepala babi di sebuah Masjid Nurul Iman, Rawang semalam.

Bagi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, tindakan ini satu tindakan pengecut dan provokasi yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama di ambang pilihan raya umum.

"DAP mengecam hebat insiden ini dan berpendirian bahawa tidak ada ruang di Malaysia bagi tindakan-tindakan yang sia-sia dan menjijikkan seperti ini yang bertentangan dengan sifat masyarakat kita yang aman dan berbilang budaya," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Dalam kejadian semalam, kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman pada jam 5.00 pagi oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.

(Gambar: Polis membawa keluar kepala babi yang diletak atas alas kaki masjid Nurul Iman, Rawang)

Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.

Pihak polis sehingga kini belum menemui sebarang petunjuk untuk mengenalpasti siapa pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian ini.

Timbalan Ketua Polis Gombak, Superitendan Rosly Hassan ketika bertemu dengan pemimpin PAS Selangor berkata, tiada sebarang bantuan teknikal mereka perolehi untuk membantu mengenalpasti siapa bertanggungjawab di sebalik tindakan ini.

DAP menyeru supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak bertindak balas kerana tindakan ini jelas dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan motif yang jahat.

Namun demikian, mereka tidak akan mencapai objektif jahat mereka kerana rakyat Malaysia bukan sahaja sudah biasa hidup bersama malah suka meraikan kepelbagaian budaya dan agama di negara ini, katanya.

"Keamanan masyarakat kita tidak akan hancur dek tindakan-tindakan pengecut oleh puak pelampau," katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyeru agar semua pihak bersatu untuk mengutuk penodaan dan pengotoran mana-mana tempat beribadat, biarpun masjid atau gereja atau kuil, dan berharap agar pihak Kerajaan akan serta merta menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Harakah Daily

Sarjan polis hadapi tiga tuduhan rasuah

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga
tuduhan meminta dan menerima rasuah pada tahun lepas.

Azalan Sanip, 48, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah dituduh memperolehi suapan RM1,000 daripada Mohammad Nasir Mohamad sebagai dorongan menyelesaikan kes curi, di pejabatnya pada 12 tengah hari, 27 Februari 2011.

Hakim Mohd Zairan Aman menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa meminta suapan RM1,000 daripada Roslan Che Lah bagi menyelesaikan kes curi, di tempat dan pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Azalan didakwa menerima suapan berjumlah RM500 daripada Roslan bagi menyelesaikan kes curi, di tempat yang sama pada 4.30 petang, 1 Mac 2011.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan kesemua kes disebut semula pada 1 Mac.

Azalan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Firdaus Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam S. Anthony Samy. - Bernama

Sinar Harian

Anggota polis didapati bersalah tembak dan cederakan remaja, dipenjara enam bulan

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Seorang anggota polis dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah melepaskan tembakan amaran sehingga mencederakan seorang remaja, dua tahun lalu.

Majistret Nor Azlina Hashim membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan dan mendapati tiada alasan yang sah bagi tertuduh, Konstabel Mohd Hakimi Shamsul melepaskan tembakan terhadap Mohd Azizi Azri Aziz.

Nor Azlina bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan jaminan daripada RM3,000 kepada RM8,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.

Mohd Hakimi, 21, dituduh melepaskan tembakan terhadap Mohd Azizi Azri, 20, tanpa apa-apa alasan yang sah sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa, di Jalan Jelebu menghala ke Pantai dekat sini pada 3 petang, 8 Mei 2010.

Dia dituduh mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Menurut keterangan kes, insiden dikatakan bermula di depan sebuah pusat beli belah di Jalan Datuk Siamang Gagap, dekat sini, apabila kereta peronda dinaiki dua anggota polis termasuk Mohd Hakimi mengejar sekumpulan penunggang motosikal termasuk Mohd Azizi Azri.

Kumpulan penunggang motosikal itu kemudian berpecah dan motosikal ditunggang Mohd Hakimi dikejar kereta peronda polis tersebut beberapa kilometer sehingga ke lokasi kejadian.

Polis kemudian melepaskan beberapa tembakan amaran, namun satu das tembakan dari senjata milik Mohd Hakimi dipercayai terkena perut Mohd Azizi Azri yang kemudiannya ditahan.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohd Hakimi, Param Sundram memohon mahkamah mengenakan hukuman denda memandangkan ia kesalahan pertama selain tertuduh masih muda dan baru memulakan tugasnya sebagai anggota polis ketika kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal kerana tertuduh tidak mempunyai alasan yang sah untuk melepaskan tembakan itu hanya semata-mata hendak memberhentikan mangsa yang cuba lari.

Katanya, sebagai anggota polis, tertuduh sepatutnya menggunakan pengetahuan dan pengalamannya untuk memberhentikan mangsa dengan cara lain dan bukannya dengan melepaskan tembakan apatah lagi tertuduh tidak diancam oleh mangsa. - Bernama

Sinar Harian

Penduduk rimas dihurung lalat

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Rimas dan lemas dengan isu lalat, Kira-kira 500 penduduk di 14 kampung di Machap, Kluang, menandatangani memoran­dum menangani masalah lalat yang membelenggu mereka sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Abdul Rahman Maslar berkata, permasalahan mengenai kehadiran lalat itu telah lama dimaklumkan kepada pihak berkaitan, namun isu tersebut tiada kesudahannya.

“Kami sudah banyak kali pergi ke pihak berwajib menyuarakan masalah lalat ini. Berikutan lalat ini bukan spesies membawa penyakit, masalah kami dipandang sepi," katanya pada sidang media di Kelab Media Cina Selatan, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, sejak lima tahun kebelakangan ini, keadaan dihurung lalat semakin teruk dan serangga kecil itu dipercayai telah membiak dengan banyak bersama makanan, air minuman dan najis ayam.

“Kami rimas, dan bosan dengan keadaan ini, mungkin mereka melihat masalah kami tidak serius hanya perasaan geli dan tidak selesa dengan kehadiran lalat, tapi ia sebenarnya lebih daripada itu.

“Kami terpaksa berbelanja ratusan ringgit, bagi membeli alat menghalau lalat, namun ia hanya bersifat sementara kerana kehadiran lalat yang melampau, ia menjadi satu keadaan ala bisa tegal biasa,” katanya.

Atas desakan ini, memorandum yang ditandatangani penduduk itu akan dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mendesak campur tangan Kerajaan Negeri.

Sementara itu, penduduk di Kampung Ulu Benut, Anuar Yusof, 47, yang merupakan anak jati di situ, mahu isu menangani masalah lalat ini seharusnya diperangi seperti kempen bebas denggi.

“Memang lalat ini tidak membawa penyakit, tapi kami malu keadaan ini. Ia memberi satu perseptif yang buruk, keadaan kotor, buruk dan busuk,” katanya.

Bagi Borhan Johari, 40 dari Kampung Mat Amin berkata, hampir RM10 sehari dibelanjakan bagi membeli alat dan bahan pencegah lalat di rumahnya.

“Siapa yang boleh hidup dalam keadaan selesa apabila lalat berterbangan, anak-anak membesar dalam keadaan persekitaran yang kurang menyenangkan.

“Sebulan terpaksa membeli dua botol racun lalat bernilai RM150 setiap satu, dan pelekat lalat RM3 satu keping, sekurang-kurangnya menggunakan dua keping sehari,” katanya.

Jelas Borhan, apa pilihan lain yang ada selain mengambil langkah sepatutnya, selain berharap permasalahan tersebut dapat diselesaikan segera.

Antara kampung yang dikatakan terlibat ialah Kg Batu 6; Kg Hj Noh; Kg Mat Amin; Kg Baru; Kg Bukit Keremoiyang; Kg Parit Jepun; Kg GSA; Kg Paya Parlembang; Kg Empangan; Kg Ulu Benut; Kg Sima; Kg Bukit Batu; Kg Perak dan Kg Sri Jaya.

Sinar Harian

Tangga berlumut gara-gara air tangki

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JELUTONG – Akibat air yang sentiasa melimpah dari bahagian atas bumbung, tangga di Flat Medan Tunku Jelutong, di sini kotor sehingga berselaput dengan lumut yang kehijau-hijauan.

Tinjauan Sinar Harian ke perumahan empat tingkat itu mendapati keadaan berkenaan berlaku sejak tahun lalu lagi, namun ia dimaklumkan masih belum dibaiki.

Penduduk, Roslan Saibu, 34, berkata, anaknya pernah tergelincir akibat menggunakan tangga tersebut.

Menurutnya, keadaan laluan terlalu licin apabila hampir setiap hari air menitis dan mengalir melalui anak-anak tangga itu.

“Memang menggelikan namun kami bernasib baik kerana mempunyai laluan lain yang masih boleh digunakan.

“Tapi kami sendiri pun tidak selesa kerana jika ada orang luar tengok pasti menjijikkan,” katanya.

Sebelum ini flat itu pernah berdepan kontroversi apabila seorang kanak-kanak perempuan terjatuh dari tingkat lima akibat besi pengadang di koridornya tidak berada dalam keadaan baik.

Shahida Yusof, 28, yang juga penghuni di situ berkata, dia tidak mahu peristiwa sedemikian berulang.

Menurutnya kemungki-nan boleh berlaku kes kemalangan membabitkan nyawa sekiranya tidak ada tindakansegera.

“Kita tidak tahu siapa yang gunakan tangga ini, ada warga emas dan juga kanak-kanak. Kalau jatuh sedikit mungkin tidak mengapa, kalau terjatuh sehingga menyebabkan kecederaan parah atau sebagainya bagaimana,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan apabila air yang melimpah dari bumbung itu turut masuk ke bahagian pengumpulan sampah di bahagian bawah flat.

Akibatnya sampah yang dikumpulkan oleh penghuni berbau busuk kerana bertakung dengan air yang melimpah tersebut.

Penduduk, Siti Habsah Ali pula berkata, seharusnya pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan untuk keselesaan penduduk.

Menurutnya, akibat limpahan air itu juga akan menyebabkan beberapa kawasan berlopak dan bertakung.

“Masalah ini boleh jadi tempat pembiakan nyamuk, tambahan di sini juga ada kes demam denggi," katanya.

Sinar Harian

‘Tolong semak betul-betul’

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang peniaga memohon Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menghapuskan hutang tertunggak penyewa asal pada salah satu lot perniagaan di bangunan Ukir Mall yang terpaksa ditanggungnya.

Ku Mohd Muzamir Ku Ibrahim, 35, berkata, terpaksa menanggung beban hutang tertunggak RM2,250 milik sebuah syarikat sejak 1999 setelah membeli lot berkenaan dari Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Menurutnya, disebabkan enggan melangsaikan hutang itu, kadarnya meningkat kepada RM4,025 pada 2010 dan kemudian bersetuju membuat bayaran bulanan RM200 bagi menyelesaikannya.

“Namun pada awal 2011, saya menerima notis barang dalam lot kedai berkenaan terpaksa disita kerana tidak membuat sebarang bayaran sepanjang tempoh enam tahun bermula 2005 hingga 2011.

“Disebabkan masalah ini, beberapa barang peribadi termasuk satu komputer berharga RM600 dan dua telefon bimbit bernilai dalam lingkungan RM200 turut diambil serta tidak dipulangkan,” katanya.

Muzamir percaya pengurusan MBAS terlepas pandang perkara itu kerana sehingga kini masih menyimpan resit pembayaran bulanan untuk dijadikan bukti.

“Saya merayu MBAS dapat mempertimbangkan permohonan untuk menghapuskan hutang lama penyewa asal,” katanya.

Sinar Harian

Daftar pemilih: PAS tunggu semakan Mimos

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Feb: PAS menyambut baik langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menggugurkan 42,025 nama yang diragui statusnya dari senarai pemilih.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, tindakan itu bagaimanapun belum boleh untuk memberi tafsiran bahawa senarai daftar pemilih kini benar-benar sudah bersih selepas pengguguran nama pemilih diragui itu.

Menurutnya, apa yang sedang ditunggu kini adalah semakan daftar pemilih antara SPR dengan Mimos Berhad seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya (PSC).

"Bagi PAS, (pengguguran) itu langkah yang baik, namun kita juga sedang menunggu hasil semakan yang dibuat dengan Mimos itu.

"Yang digugur itu hanya nama yang tidak dapat disahkan oleh JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), sedangkan banyak lagi nama yang disahkan oleh JPN tetapi ada masalah (seperti) mempunyai dua kad pengenalan, bukan warga tempatan dan sebagainya," katanya yang juga salah seorang anggota PSC kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam bahawa suruhanjaya itu akan menggugurkan 42,025 nama pemilih yang diragui yang tidak menerima sebarang maklumbalas selepas tempoh semakan tamat semalam.

Sebelum ini SPR mengeluarkan senarai yang mengandungi 42,051 nama pemilih yang diragui statusnya tahun lalu atas permintaan PSC.

Tetapi SPR hanya menerima maklumbalas dari 50 orang, meminta nama mereka diaktifkan kembali.

Abdul Aziz juga memberitahu, tempoh semakan juga tidak akan dilanjutkan semula manakala senarai pemilih terbaru akan diwartakan Mac depan.

Sebelum ini, Mimos Berhad dicadangkan oleh PSC untuk membuat verifikasi terhadap isu-isu yang berkaitan daftar pemilih dan melaporkan balik penemuan kepada jawatankuasa berkenaan.

Ia membabitkan isu dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama, pengundi yang meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih, pengundi yang berumur 90 tahun ke atas, pemilih bukan warga tempatan, ramai pemilih dalam satu alamat, dan pengundi hilang kelayakan.

"Bukan itu sahaja, tidak semua syor PSC diterima SPR untuk dilaksana pada PRU-13 ini.

"Kita harap juga SPR segera kemukakan sebarang pindaan pertauran pilihan raya agar boleh diluluskan parlimen dengan segera," kata Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai.

harakahdaily/-

Dua rakan dituduh merompak berkumpulan

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN- Dua rakan menghadapi tuduhan bersama iaitu melakukan rompakan berkumpulan dengan menyamun barang kemas dan wang tunai milik seorang lelaki.

Ungku Suleiman Ungku Ibrahim, 48, dan Mohd Riddwan Shuaib, 26, serta seorang lagi yang masih bebas dituduh merompak Mohd Hazrul Kursaini Mohd Kassim kira-kira jam 12 tengah hari, 14 November 2011.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Pahang dekat sini.

Mereka menggunakan pisau dan sebatang kayu untuk menakutkan mangsa serta boleh mendatangkan kecederaan parah.

Kedua-duanya mengangguk kepala ketika pertuduhan dibacakan dan mengaku bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, Majistret, Noor Aini Yusof menetapkan jaminan masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 10 Februari jatuhkan hukuman.

Sinar Harian

Ular sawa melingkar atas tiang lampu

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR MAS - Pengguna Jalan Pasir Mas Tanah Merah di sini, pagi semalam, dikejutkan dengan kehadiran ular sawa batik seberat 20 kilogram dengan empat meter panjang di atas tiang lampu di Kampung Lemal.

Kemunculan ular secara tiba-tiba, menyebabkan orang ramai memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Unit Rantau Panjang untuk menangkapnya bagi mengelak bahaya kepada orang awam yang lalu di situ khususnya kepada penunggang motosikal.

Ketua Operasi JPAM, Lans Koperal Aznidal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggi­lan daripada orang awam kira-kira jam 5.40 pagi, bagaimanapun tidak dapat menangkap ular tersebut kerana kedudukannya agak tinggi.

“Selain berada pada kedudu­kan yang agak tinggi, hujan lebat turut menyukarkan kerja menangkap ular tersebut.

“Kita terpaksa meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menangkap ular yang berada pada ketinggian 900 sentimeter itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Aznidal berkata, dengan bantuan Tower Weegan TNB, beliau bersama tiga anggota serta dua anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Pasir Mas yang diketuai Fauzi Rashid berjaya menangkap ular tersebut.

Menurutnya, reptilia berkenaan berjaya ditangkap dalam masa 20 minit dan diserahkan kepada Perhilitan.

Sementara itu, penduduk, Tuan Yam Tuan Mat, 58, yang tinggal berhampiran tiang lampu berkenaan berkata, dia dimaklumkan mengenai ular di situ ketika azan Subuh pagi semalam.

Menurutnya, dia agak bimbang dengan kehadiran haiwan tersebut kerana jarak rumahnya dengan tiang lampu berkenaan agak dekat.

“Sesekali saya mendongak untuk melihat ular berkenaan sementara menunggu JPAM sampai,” katanya.

Sinar Harian

Kedai kasut terbakar, pelanggan gegas keluar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Bunyi letupan dalam kedai mengejutkan seorang pekerja kedai kasut sebuah kompleks beli-belah bandar raya ini sewaktu dia sedang bertugas kira-kira jam 11.45 pagi, semalam.

Pekerja, Nurul Syazwani Sabri, 24, berkata, selepas bunyi letupan dia terbau asap dan terlihat percikan api dari bahagian kotak fius di kedai berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian itu berlaku, terdapat beberapa pelanggan dan seorang rakan sekerjanya berada dalam kedai yang terletak di tingkat bawah bangunan.

“Apabila menyedari kejadian, saya segera pergi melihat kotak fius, terlihat air menitik dan tidak lama selepas itu ia terus terbakar.

“Saya kemudian segera mengarahkan pelanggan untuk keluar menyelamatkan diri, disebabkan panik kami tidak sempat menyelamatkan barang dalam kedai,” katanya.

Nurul Syazwani yang sempat mengambil beg tangan segera memaklumkan kepada majikan mengenai kejadian tersebut.

Pemilik kedai cawangan itu, Yap Soon Yung berkata, sewaktu kejadian dia berada di Anak Bukit dan mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan pekerjanya.

Soon Yung berkata, kebakaran itu melibatkan stor kasut, ruang mempamerkan kasut dan rak kayu berhampiran sudut tersebut.

“Saya belum mengetahui jumlah sebenar kerugian yang terpaksa ditanggung meliputi kerosa­kan pada kasut, basah dan beberapa peralatan yang rosak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan pada jam 11.50 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Mahmad Fauzi berkata, dua jentera dengan kekuatan anggota seramai sembilan orang berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari.

“Kebakaran ini melibatkan stor kasut dan kita masih menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian yang ditanggung,” katanya.

Sinar Harian

Presiden PAS ucap takziah kepada keluarga Shafri

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Shafri Shamsudin (gambar) yang meninggal dunia semalam.

"Bagi pihak Pimpinan dan seluruh ahli Pas, saya mengucapkan takziah terhadap keluarga allahyarham Shafri yang telah kembali kerahmatullah.

"Kembalinya seorang wartawan yang didikasi dan petugas sepenuh masa parti merupakan satu kehilangan besar yang pastinya terkesan kepada jiwa-jiwa yang mengenali secara dekat dan jauh," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataannya hari ini.

Shafri, wartawan Harakah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur semalam akibat kanser hati.

Beliau yang mula dimasukkan ke HKL minggu lalu meninggal jam 5.37 petang semalam di depan keluarga dan teman-temannya.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan malam tadi di tanah perkuburan Islam berhampiran UIA, Gombak.

"Beliau pergi menuruti Allahyarham Pak Syed Muhammad yang juga petugas sepenuh masa parti, dan terlibat sama dalam organisasi Harakah diawal pembentukan harakah dibulan yang sama ini, pastinya sukar dicari ganti," kata Abdul Hadi.

Walaubagaimanapun, katanya, PAS mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga beliau, yang sepanjang hayatnya diserahkan sepenuhnya tenaga bagi menggerakkan jentera penerangan dan dakwah parti melalui akhbar Harakah dengan mengorbankan masa bersama keluarga.

"Semoga amalan yang baik ini, berpanjangan pahalanya dan semoga Allah memberi kesabaran kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai beliau. Alfatihah," kata Abdul Hadi.

harakahdaily/-

Makmal UMT terbakar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Sebuah makmal untuk bidang pengajian alam sekitar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) musnah dalam satu kebakaran yang berlaku pada jam 9.30 malam semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku memandangkan ketika kejadian tiada seorang penuntut mahupun kakitangan universiti tersebut berada dalam makmal itu.

Menurut seorang saksi, Muhammad Hafizuddin Md Amin, 19, berkata, kejadian itu disedari ketika dia sedang memberi makanan kepada ikan yang dibela di dalam sangkar berhadapan makmal tersebut.

Menurutnya, dia tiba-tiba terbau asap menyangkakan ada orang membakar sampah dan ketika menghampiri kawasan bangunan itu dia ternampak api mulai marak dari bilik makmal yang berada di tingkat dua bangunan itu.


Cuba padam api

“Saya kemudiannya segera menelefon kawan untuk meminta nombor telefon kakitangan universiti sambil cuba memadamkan api dengan menggunakan hos bomba berhampiran bersama dua lagi senior yang baru tiba.

“Bagaimanapun, tekanan air mulai rendah dan saya terus hubungi bomba untuk bantu padamkan kebakaran itu,” kata penuntut jurusan Diploma Perikanan itu ketika ditemui di tempat kejadian, malam semalam.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Aziz Deraman yang turut berada di tempat kejadian ketika ditemui bersyukur kerana kebakaran itu hanya melibatkan sebuah makmal yang jarang digunakan pelajar.

Katanya, kebakaran itu tidak menjejaskan pembelajaran pelajar memandangkan makmal itu bukan makmal utama dan pihak universiti akan membaik pulih makmal itu pada kadar segera.

“Saya percaya kejadian ini akan beri kesan yang besar kepada perjalanan kuliah dan eksperimen pelajar untuk semester ini.

“Namun kita bersyukur kerana kejadian ini tidak melibatkan kemalangan yang lebih besar kerana sebelum kejadian ada pelajar meminta kebenaran untuk menggunakan makmal berkenaan,” katanya.


Bomba khuatir ada bahan kimia berbahaya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.36 malam dan tiba di lokasi kejadian dengan tiga jentera yang disertai 15 anggota.

Menurutnya, bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran itu dan anggota yang bertugas juga terpaksa memakai alat pernafasan kerana khuatir ada bahan kimia membahayakan dalam makmal tersebut.

“Kita mengalami sedikit kesukaran untuk memadamkan api kerana selain berkunci, pelbagai gas dan bahan kimia di dalam makmal tersebut juga bocor, malah bekalan elektrik juga terputus pada masa itu.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak, namun punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Nasib stadium sudah jatuh ditimpa tangga

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 1 Feb: PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri segera mengumumkan kepada rakyat sama ada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) masih boleh diperbaiki atau wajar dirobohkan sahaja.

Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata kejadian malang menimpa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta dan bumbungnya runtuh amat memalukan seluruh rakyat Terengganu.

(Gambar fail: Stadium SSMZA yang berharga RM292 juta runtuh bumbungnya dan kini kecurian peralatan RM50 juta.)

Malah, katanya lebih malang lagi setelah dua tahun ‘terbiar’ sepi pelbagai peralatan pendawaian elektrik, sistem elektronik, dua set jana kuasa serta kelengkapan lain dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Inilah kata orang, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ nasib yang dialami oleh stadium (SSMZA) kita. Bila dah dua tahun terbiar sepi berlaku pula kecurian kepada peralatan dan harta benda stadium.

“Buat (SSMZA) mahal, kos RM292 juta tidak lebih setahun guna runtuh bumbung dan ini memalukan rakyat dan Tuanku (Sultan) sendiri.

“Kita (PAS) minta pihak kerajaan negeri jelaskan (umum) sama ada stadium ini masih boleh diperbaiki atau perlu dirobohkan sahaja dan buat yang lain (baru),” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa isu di pejabat PAS Terengganu, semalam.

Menurutnya, kecurian peralatan stadium tersebut dilaporkan bernilai RM50 juta berlaku sejak tahun 2010 lagi selepas sebahagian bumbung runtuh.

Katanya, pihak berkuasa sebelum ini telah membiarkan keadaan struktur bumbung stadium yang runtuh itu selama lebih dua tahun.

Dr Alias menyifatkan ‘kelembapan’ pentadbiran kerajaan negeri dengan membiarkan lebih dua tahun bumbung stadium runtuh akhirnya merugikan rakyat.

“Dua tahun tidak diusik keadaan bumbung stadium runtuh, ‘dok soh ke nok’ baiki, barang (peralatan) pun kena curi. Akhirnya rakyat juga yang rugi.

“Saya pun pelik, macam mana dengan ada pengawal keselamatan barang boleh kena curi termasuk dua set jana kuasa yang bernilai RM70,000 seunit,” ujarnya.

Katanya, PAS melahirkan rasa dukacita dan mahukan siasatan segera dilakukan serta mendakwa mana-mana pihak yang bertanggungjawab mencuri harta rakyat.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah sebahagian dari Kompleks Sukan Gong Badak yang bernilai RM500 juta mula dibina pada Mei 2006 dan siap tahun 2008 serta pernah dijadikan lokasi pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12.

(Gambar fail: YDP PAS Kemaman, Ismail Harun meninjau keadaan bumbung Masjid Baru Batu Putih Kertih yang runtuh.)

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata isu stadium tersebut sering kali dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu oleh PAS.

“Kita (PAS) acap kali bawa isu stadium ini di Dewan Undangan Negeri. Kita bukan menentang pembangunan (stadium) tetapi menentang penyelewengan dan rasuah yang boleh menyebabkan runtuhnya pembangunan itu,” jelasnya.

Bahkan, katanya jawapan lisan Exco kerajaan negeri ketika itu Dato’ Yahya Khatib Mohamad mengatakan banyaknya berlaku ‘keruntuhan’ di Terengganu kerana banyaknya pembangunan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sepanjang tempoh dua penggal kerajaan BN Terengganu memerintah negeri pelbagai kejadian berlaku termasuk bumbung masjid runtuh di Kertih, bumbung terminal bas runtuh di Kuala Berang, menara telekomunikasi tumbang di Hulu Besut, Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai di Ajil runtuh dan banyak lagi.

harakahdaily/-

Populasi di Jepun makin mengecil pada 2110

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TOKYO - Populasi di Jepun dijangka akan mengecil kepada dua pertiga dari jumlah pada masa ini dalam tempoh seabad lagi, menurut laporan kerajaan, kelmarin.

Laporan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan menunjukkan jumlah penduduk dijangka akan menurun dari 127.7 juta kepada 86.7 juta menjelang 2060 dan terus berkurangan 42.9 juta pada 2110 jika keadaan masih tidak berubah.

Unjuran oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Sosial dan Populasi Penduduk meramalkan secara purata hanya 1.35 bayi akan dilahirkan dalam tempoh 50 tahun lagi.

Laporan itu juga menyebut bencana berganda di utara-timur Jepun, Mac lalu yang telah menyebabkan lebih 19,000 orang maut atau hilang tidak menjejaskan jangka hayat purata sebaliknya dijangka akan terus meningkat.

sinar harian/-

Korban Pantai Batu Hitam

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kegembiraan tiga rakan sekampung turun ke pantai untuk mandi –manda berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas dalam kejadian di Pantai Batu Hitam dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 petang itu, Mohd Shahrul Hafiz Ramli, 12 murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Balok dan rakannya , Mohd Nor Faiz Rolzami 10, murid SK Sungai Karang dari Kampung Batu Hitam berjaya diselamatkan dua penduduk kampung yang kebetulan berada di kawasan kejadian.

Kedua-dua mangsa yang tidak sedarkan diri ketika diselamatkan diberi bantuan pernafasan bagaimanapun usaha menyelamatkan Mohd Shahrul gagal apabila dia disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani YUsoff berkata, Mohd Nor Faiz yang berada dalam keadaan tenat dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, seorang lagi rakan mangsa, Mohd Taufik Omar, 12 murid SJK (C) Kong Meng, Beserah cuba menyelamatkan mereka bagaimanapun usahanya tidak berjaya lalu meminta bantuan penduduk kampung.

“Hasil maklumat yang diterima, lima anggota polis dari Balai Beserah segera ke lokasi kejadian bagaimanapun kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Kuantan turut menghantar lima anggota bagi mengerakkan operasi mencari dan menyelamat diikuti tiga pegawai perubatan dari HTAA,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Shahrul menjadi mangsa keenam tragedi mati lemas sepanjang bulan pertama tahun ini di sini selepas tiga kes lemas yang meragut lima nyawa di Pantai Sepat.

Bapa kepada mangsa, Razali Rahim,31, ketika ditemui di bilik mayat berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi bagaimanapun agak terkilan kerana tidak sempat menunaikan hajat anak sulung dari lima beradik tersebut.

“Sebelum kejadian mangsa meminta saya membelikannya permainan video namun saya memberitahunya supaya sabar.

“Dia juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sebelum ini tetapi ada meminta duit 20 sen untuk membeli gula-gula di kedai berhampiran,” katanya.

Razali berkata, kebetulan pada hari kejadian dia tidak berapa sihat dan terus memberi duit kepada anaknya itu sebelum menyuruhnya pulang ke rumah.

“Bagaimanapun tidak lama kemudian saya mendapat panggilan daripada rakan sekerja memaklumkan anak saya lemas di pantai,” katanya.

Menurut rakan mangsa, Mohd. Taufik pula, mereka yang semuanya berasal dari Kampung Batu Hitam di sini, hanya bermain air dan mandi di gigi air sahaja tetapi tiba-tiba Mohd. Sharul dan NorFaiz pergi ke tengah.

“Saya yang tak sedap hati menoleh ke belakang lalu ternampak kedua-dua mereka terkapai-kapai lemas.

“Saya cuba untuk menyelamatkan mereka namun gagal berikutan paras air agak tinggi lantas naik ke darat meminta pertolongan orang awam yang berada di tepi pantai,” katanya.

Sinar Harian

'Pegawai' samun warga emas

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NIBONG TEBAL – Seorang warga emas tidak menyangka kehadiran seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai sebuah badan kebajikan membawa padah apabila dia disamun di rumahnya di Kampung Teluk Ipil.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 12 tengah hari itu menyebabkan Bedah Mohamad, 92, mengalami kerugian RM200 apabila wang tunai berserta kad pengenalannya dilarikan pencuri berkenaan.

Bedah ketika ditemui di rumahnya berkata, dia kesal dengan sikap lelaki berusia sekitar 20-an itu yang sanggup mengambil kesempatan terhadap dirinya.

“Sudahlah keadaan diri ini tua, wang tunai untuk membeli keperluan harian dicuri lelaki berkenaan.

“Semuanya berlaku begitu pantas apabila lelaki terbabit mengunjungi rumah saya sekitar jam 12 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah badan kebajikan dan ingin memberikan sumbangan kepadanya.

“Selepas mengambil kad pengenalan, lelaki terbabit meminta pula segelas air. Saya terus ke dapur untuk mengambil air dan meninggalkan dompet di atas kerusi.

“Bagaimanapun sekembalinya saya ke ruang tamu, lelaki itu menghilangkan diri bersama dompet. Tergamak dia menyamar sebagai pegawai dan kejadian itu menghantui saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Prihatin terhadap masalah terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi, Tang Beng Huat bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Ipil menghulurkan sumbangan.

Sumbangan wang tunai diberikan ketika Beng Huat bersama Ahli JKKK mengadakan kunjungan prihatin untuk meringankan beban Bedah.

Sinar Harian

Pakatan Rakyat Dihalang Bersama Rakyat Kerana BN Takut Dengan Bayangan Sendiri

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MIRI - Sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah, peringkat negeri Sarawak akan diadakan di Miri pada 5 Februari 2012, ini sudah pasti akan meriah dengan penyertaan berbagai pertubuhan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan juga dari golongan berbagai kaum dan agama di Sarawak.

Harapan PR (Pakatan Rakyat) untuk bersama-sama menyertai perarakan Maulidur Rasul 1433 Hijrah di Miri terhalang disebabkan ada campur tangan pihak tertentu yang tidak ingin melihat perlibatan PR bersama rakyat.

Pada mulanya pemohonan PKR untuk menyertai perarakan tersebut tidak menghadapi masalah tetapi apabila PKR hendak mengajak PAS dan DAP sekali dalam satu Pakatan, tiba-tiba saja pemohonan mereka ditolak dengan alasan Pakatan bukan parti berdaftar.

Sedangkan negeri yang diperintah oleh PR (Pakatan Rakyat) tidak mempunyai masalah untuk mengajak parti seperti Umno dan kompenan BN bersama-sama merayakan hari kebesaran yang disambut seluruh negara. Nampaknya BN Sarawak tidak 'gentleman' apabila berhadapan dengan PR Sarawak.

Ini terbukti hanya PR yang dihalang sedangkan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) juga sebuah pertubuhan politik dibenarkan. Dimana keadilan pihak yang menganjur dalam hal ini?

Kita tidak menyalahkan pihak yang menganjur perarakan tersebut kerana mereka terpaksa patuh arahan pihak atasan yang tidak suka melihat PR bersama dengan rakyat.

Mereka yang pengecut ini akan mengarah atau menghalang PR dari menyertai perarakan tersebut sebenarnya takut atau fobia dengan PR. Mereka ini sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup melakukan apa saja untuk menghalang PR dari terus bersama rakyat. Mereka menggunakan pihak keselamatan dan juga pegawai-pegawai kerajaan untuk melaksanakan arahan mereka.

Kita juga simpati akan nasib pegawai kerajaan yang terpaksa mengikut setiap arahan dari mereka yang mempunyai kepentingan dalam pemerintahan sehingga sanggup memperalatkan jentera kerajaan untuk menjaga kepentingan mereka dari tergugat oleh PR.

Kita sungguh rasa pelik mengapa PR yang terdiri dari PKR,PAS dan DAP ini terus dihalang untuk bergaul bersama dengan rakyat. Setiap aktiviti mereka sentiasa dipantau seolah-olah PR ini sebuah gerakan atau pertubuhan yang haram yang mesti diawasi selalu. Dimana demokrasi yang diamalkan dalam Negara ini kalau kegiatan pihak pembangkang sentiasa dihalang oleh parti pemerintah dengan menakut-nakutkan rakyat supaya jangan mendekati PR?

Kemungkinan mereka takut akan kedudukan mereka tergugat dan kalah dalam Pilihanraya umum ke13 nanti, mereka sanggup buat apa saja untuk menghalang kegiatan PR bersama rakyat.

Mereka takut rahsia mereka terbongkar serta kegiatan penyelewengan mereka diketahui oleh rakyat, maka sebab itulah mereka melakukan apa saja cara menghalang PR dari bersemuka dan bertemu dengan rakyat.

Ada sesetengah pemimpin BN (Barisan Nasional) takut apabila PAS mula bertapak dan mendapat sokongan rakyat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak. Mereka sanggup fitnah PAS dengan berbagai cara agar rakyat takut dan lari dari PAS tetapi semakin kuat mereka buat fitnah terhadap PAS, semakin ramai pula orang datang bersama PAS setelah mereka mengetahui yang PAS berjuang untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Apabila mereka berjumpa rakyat mereka mengatakan merekalah sebenarnya yang membela rakyat selama ini, dan PR hanya menghasut rakyat untuk menentang kerajaan.

Kita dalam PR akan tetap bersama rakyat walaupun dihalang dengan berbagai cara oleh puak yang pengecut ini, suatu hari nanti rakyat akan tahu siapa yang sebenarnya yang benar-benar membela rakyat yang terdiri dari berbagai kaum dan agama di Sarawak ini dari terus ditipu dan ditindas selama ini.

Rakyat sendiri akan menilai dan akan memilih kerajaan yang benar-benar amanah, jujur dan adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik yang akan menjadi kerajaan nanti.

Mereka yang zalim dan menyalahgunakan kuasa,sudah pasti akan menerima hukuman dari rakyat apabila mereka sudah tidak berkuasa nanti. Setiap perbuatan jahat yang mereka lakukan terhadap rakyat pasti akan dibalas setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Kalau tidak didunia, di akhirat sudah pasti mereka juga akan menerima hukuman tersebut terkecuali mereka bertaubat awal sebelum nyawa mereka dicabut. Semoga rakyat Sarawak dapat memilih kerajaan yang terbaik buat mereka dalam PRU 13 nanti.

Jofri Jaraiee

PAS Miri, Sarawak

Lelaki bersenjata culik 4 warga asing di Yaman

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SANAA: Sekumpulan lelaki bersenjata bertindak menculik empat pekerja amal membabitkan warga Colombia, Jerman, Iraq dan Palestin manakala dua pemandu warga Yaman, lapor agensi berita negeri, Saba.

"Satu kumpulan bersenjata menculik enam pekerja agensi bantuan antarabangsa di Wadi Ahjar kira-kira 50 kilometer di barat laut Sanaa di wilayah Mahwit semalam,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Seseorang pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sanaa mengesahkan, enam pekerja yang diculik bertugas di bahagian penyelarasan hal ehwal kemanusiaan (OCHA). - AFP

Kepala babi: PAS Selangor lawat Masjid Nurul Iman

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SELAYANG, 1 Feb: PAS Selangor mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Masjid Nurul Iman di Batu 18, Rawang, pagi ini ekoran satu kepala babi ditemui di pintu masuk masjid itu, pagi semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Khalid Samad mengetuai lawatan itu dan mengadakan perbincangan dengan pihak masjid yang disertai nazir masjid, Ilham Akhbar Harun. Yang Dipertua PAS Selayang, Zaidi Talib turut serta dalam pertemuan itu.

Selepas mengadakan perbincangan, mereka pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bagi mendapat maklumat berhubung kejadian pagi semalam itu.

Khalid meminta pihak polis menjalankan siasatan rapi dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap perbuatan keji itu serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dalam kejadian semalam, kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman pada jam 5.00 pagi oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.


Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.

Mereka kemudiannya telah meninggalkan masjid itu setelah mengambil bahan bukti serta menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, manakala kes itu pula akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah.

Dalam pada itu, nazir masjid telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.

Harakah Daily

PAS Pahang sokong bantah korporat JBA

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 1 Feb: PAS Pahang menyokong tindakan 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang membantah pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Februari atau ditangguhkan.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang, Hassanuddin Salim (gambar) berkata, malah PAS menyokong jika mereka mahu mengadakan bantahan terbuka kerana tiada langsung rundingan rasmi melibatkan wakil kesatuan sehingga menimbulkan tanda tanya sesama mereka.

“PAS menganggap kerajaan negeri tidak sepatutnya membelakangkan kakitangan JBA untuk mengkorporatkan agensi itu kerana ia melibatkan masa depan mereka,” katanya.

Hassanuddin berkata demikian mengulas tindakan kakitangan jabatan tersebut yang mengisytiharkan akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka ditangguhkan pengkorporatan dan penswastaan agensi itu tidak dipedulikan.

Menurut perancangan, JBA akan diswastakan dengan nama Perbadanan Air Pahang (Paip) berkuatkuasa pada 1 Februari ini.

Pada masa ini kutipan hasil air merupakan pendapatan kerajaan negeri yang ketiga selepas tanah dan balak.

Kelmarin, Presiden Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman mewakili kakitangan JBA berkata, penangguhan pengkorporotan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional tersebut.

Omar menambah, Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

“Bayangkan, 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing.

“Ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya,” sebagaimana dipetik media.

Beliau turut merayu Menteri Besar Pahang menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan tersebut sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak.

Sementara itu Hassanuddin berkata, penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar sehinggalah rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang.

"Sepatutnya, selesaikan dahulu isu SBPA sebelum meneruskan agenda mengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa banyak menimbulkan tanda tanya kakitangannya sendiri pekerja bertaraf kontrak selepas ini.

“Walau sebaik manapun yang dirasakan pihak kerajaan melalui pengkorporatan ini, jika tidak berunding secara mendalam dengan kakitangan itu tidak betul kerana ia membabitkan masa depan mereka.

“Satu hal lagi, selepas pengkorporatan kemungkinan rakyat akan dibebankan pula dengan bil yang tinggi. Jadi ini nampak kerajaan mahu melepaskan tanggungjawab ini kepada swasta," katanya.

Tambah Hassanuddin, isu yang sebenar ialah Kerajaan Negeri Pahang mesti menyelesaikan masalah air yang begitu kritikal di sesetengah tempat walaupun negeri ini mewah dengan sumber air mentah.

Harakah Daily

Polis tumpas geng penyamun

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sekumpulan penyamun yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah serta curi kereta di sekitar kawasan Cheras, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan sejak lapan bulan lalu.

Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk dua adik-beradik berusia lingkungan 25 hingga 31 tahun ditangkap sejak 14 Januari lalu hingga kelmarin dalam lima tangkapan berbeza di beberapa lokasi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan penjenayah terbabit,

Menurutnya, suspek pertama iaitu seorang lelaki diberkas polis di kawasan berhampiran sebuah hotel di Cheras pada 14 Januari lalu.

“Suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana V6 dipercayai hasil samun bertindak merempuh anggota polis untuk melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap selepas tayar kenderaannya ditembak polis.

“Polis menemui sebuah televisyen plasma jenama LG 42 inci dalam kereta Perdana V6 yang dirampas,” katanya dalam satu sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini semalam.

Menurutnya, dua rakan suspek yang menaiki sebuah lagi kereta yang dipercayai dicuri jenis Perdana V6 berjaya melarikan diri,

Mohan Singh berkata, polis membuat serbuan kedua di Damansara, Petaling Jaya pada 19 Januari lalu dan menahan dua beradik lelaki diikuti tangkapan dua lelaki serta seorang wanita di sebuah restoran di Kepong pada keesokan harinya.

“Dua hari selepas tangkapan itu, polis menemui sebuah kereta jenis Toyota Frontier dan Mitsubishi Evo yang disamun kumpulan itu di Perak dan Negeri Sembilan.

“Sebuah lagi kereta disamun kumpulan penjenayah terbabit iaitu jenis Kia Citra yang dilaporkan hilang di Perak, berjaya ditemui selang dua hari kemudian,” katanya.

Beliau berkata, hasil bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan, seorang lagi anggota sindiket diberkas pada 15 Januari lalu dan lelaki terbabit yang diberkas bersama Perdana V6 merupakan suspek yang melarikan diri dalam serbuan pertama di Cheras.

“Suspek terakhir yang ditahan ialah seorang lelaki pada 26 Januari lalu dan hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan dua komputer riba dan sebuah lagi televisyen jenama Samsung.

“Polis juga menemui sebuah lagi kereta jenis Kia Citra di Damansara yang dilaporkan hilang di Kajang sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, selain merampas enam kereta, televisyen dan dua komputer riba, barang-barang lain turut dirampas termasuk enam utas jam tangan, pelbagai jenis aksesori wanita serta alat pembesar suara kesemuanya bernilai RM260,000.

Katanya, modus operandi yang dilakukan oleh kumpulan itu adalah menggunakan kereta curi untuk melakukan jenayah pecah rumah pada waktu pagi dan malam.

“Penahanan kumpulan penjenayah ini dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah samun kereta dan pecah rumah.

“Kesemua suspek termasuk empat daripada mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tahanan Palestin nekad mogok lapar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Tahap kesihatan seorang pejuang Palestin yang berada dalam tahanan Israel dilaporkan semakin merosot selepas dia nekad untuk melakukan mogok lapar selama 46 hari, menurut aktivis antarabangsa, kelmarin.

Ketua gerakan Jihad Islam di Tebing Barat, Khader Adnan, 34, telah ditahan oleh tentera rejim Zionis pada 17 Disember lalu dan dipenjarakan tanpa melalui sebarang proses perbicaraan yang adil.

Adnan yang berang dengan tindakan melulu Israel kerana memenjarakannya tanpa sebab bertekad melakukan protes dengan memutuskan untuk mogok lapar sehari selepas dia ditahan di bawah ‘tahanan pentadbiran’ rejim Zionis itu.

Sebuah kumpulan aktivis hak asasi manusia mula menyuarakan kebimbangan mereka dengan menyatakan kesihatan dan sistem tubuh Adnan akan semakin terjejas jika dia masih berdegil untuk meneruskan mogok lapar tersebut.

Bagamainapun, dalam satu kenyataan, jurucakap perkhidmatan penjara Israel, Sivan Weizman berkata, doktor di pusat tahanan itu kini sedang memantau tahap kesihatan Adnan dan dia dilaporkan stabil.

sinar harian/-

Geng Mat Kaha lumpuh

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PEKAN – Kumpulan pencuri motosikal atau lebih dikenali sebagai Geng Mat Kaha yang licik melakukan aktiviti jenayah di beberapa daerah termasuk daerah ini dan Kuantan berjaya dilumpuhkan selepas lima anggota kumpulan itu diberkas.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, seorang anggota kumpulan itu yang berjaya ditahan di Kuantan dan empat lagi di daerah ini merupakan remaja lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis menemui lima rangka motosikal dipercayai jenis Yamaha RXZ, Honda Wave dan Honda EX5 yang dibuang ke dalam aliran Sungai Pahang melalui Sungai Pulau Tambun.

“Sejak awal Januari lalu, sepasukan anggota polis dari cawangan Jenayah IPD giat mengesan suspek utama kes ini dan penahanannya membawa kepada maklumat mengenai empat lagi anggota kumpulan itu yang berjaya diberkas.

“Tangkapan itu juga berjaya meleraikan 15 kes berkaitan curi motosikal di daerah ini yang berlaku di sekitar kawasan Peramu sepanjang 2010 membabitkan kerugian sebanyak RM50,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Yahaya berkata, kelima-lima suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis kini giat mengesan lima lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas namun sudah dikenal pasti melalui siasatan dijalankan.

“Kelima-lima suspek ditahan merupakan bekas pelatih sebuah institut kemahiran di daerah ini dan mereka mempunyai pengetahuan serta kemahiran berkaitan yang memudahkan perlakuan jenayah.

“Modus operandi kumpulan ini ialah mencuri motosikal ditinggalkan pemilik di sekitar kawasan sasaran sebelum meleraikan enjin dan komponen berkaitan,” katanya.

Katanya, barangan itu dijual kepada mat rempit yang gemar membeli barangan gantian dan terpakai utnuk pengubahsuaian motosikal serta kegiatan lumba haram.

“Polis berjaya mengesan taktik kumpulan ini dan beberapa penjenayah berkaitan di mana mereka aktif mencuri sekitar jam 12 malam hingga jam 6.30 pagi. Manakala motosikal yang diletakkan di kawasan gelap kerap menjadi sasaran.

“Semua suspek masih ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya.

Yahaya turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati, tidak meninggalkan motosikal masing-masing di kawasan sunyi serta terpencil, selain menguncinya dengan teliti.

“Pantauan dan siasatan mendapati kebanyakan motosikal yang hilang tidak dikunci dengan baik. Ada di antara mangsa gemar meninggalkan motosikal di kawasan sunyi seperti berhampiran sungai untuk memancing dan sebagainya,” katanya.

Sinar Harian

Seksa akibat perbuatan khianat

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Masalah pembetung yang rosak di Kampung Darat Sekolah dekat Beserah bukan sahaja menyebabkan aliran air longkang melimpah malah menyebabkan bau busuk.

Seorang penduduk, Narawi Ismail, 52, berkata, masalah tersebut berlaku sejak dua minggu lalu sehingga dia terpaksa membaiki sendiri pembetung supaya mengelakkan air tidak terus mengalir ke belakang rumahnya.

Menurutnya, saliran yang tersasar tersebut menyebabkan hakisan dan bau busuk sehingga mengganggu keselesaan hidup sekeluarga

“Saya pelik, bagaimana pembetung ini boleh pecah sehingga air longkang tidak dapat mengalir dengan betul.

“Akibatnya, ia terus mengalir ke belakang rumah saya. Tambahan pula, aliran air tersebut banyak dan menyebabkan kawasan belakang rumah saya terhakis sedikit demi sedikit,” katanya.

Selain itu, longkang sejauh dua kilometer itu dipercayai laluan untuk air buangan dari taman perumahan dan air bukit yang berdekatan.

Narawi berkata, akibat perbuatan khianat itu, aliran tersebut tidak dapat mengalir menyebabkan kawasan berhampiran pembetung itu seolah-oleh menjadi satu anak sungai.

“Saya kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana longkang telahpun dibina untuk aliran air ini, tetapi mengapa pembentung ini dipecahkan dan aliran terpesong ke tempat lain.

“Untuk membaikinya pula, ia memerlukan kos dan saya tidak mampu untuk membaikinya menyebabkan tempat yang pecah itu disendal oleh papan. Tapi saya tidak tahu sampai bila ia akan bertahan,” katanya.

Oleh itu, dia berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat memantau keadaan ini sebaik mungkin dan bagi individu yang terlibat pula diharapkan agar tidak berbuat onar itu lagi yang menyusahkan banyak pihak.

Sinar Harian

Padah ugut guna pistol palsu

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang penjual burger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas dua tuduhan, termasuk mengugut menggunakan pistol palsu, pertengahan Disember tahun lalu.

Zuhairi Zakaria, 29, dari Cheng, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Zuhairi didapati dengan sengaja melakukan ugutan jenayah sambil mengacukan sepucuk pistol tiruan bagi mendatangkan ketakutan dan kegusaran terhadap Ahmad Tamyiz Mak Aris, 41.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Hijrah Sari Cheng, Nasi Ayam Hailam, Cheng kira-kira jam 4.10 petang pada 15 Disember 2011.

Zuhairi didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 32(2) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan penalti tambahan penjara tidak lebih 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Zuhairi didapati memiliki sebilah parang berhulu dan bersarung kayu sepanjang kira-kira 36 sentimeter, sebilah pisau bersarung besi bulat kira-kira 56 sentimeter di dalam sarung kain warna hijau diletakkan di dalam sebuah kereta Viva berwarna hitam.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta berhadapan Rumah Pangsa Taman Anika, Lorong Pandan kira-kira jam 5.45 petang pada hari sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dihukum di bawah akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Sazali membenarkan Zuhairi diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 29 Februari depan tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding berbeza di mahkamah sama, seorang mekanik mengaku tidak bersalah merogol dan mencabul teman wanitanya tahun lalu.

Mohd Redzuan Mohamad, 26, didakwa merogol perem­puan berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Jalan Lipat Kajang, Kampung Kandang, kira-kira jam 1.30 pagi pada 24 Oktober 2011.

Mohd Redzuan juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap perempuan sama di rumah tidak bernombor di KM 8 Kampung Alai kira-kira jam 1.40 pagi pada 22 November 2011.

Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sementara kesalahan mencabul, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Ahmad Sazali membenarkan jaminan RM10,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 29 Februari depan.

Sinar Harian

Warga emas maut lintas jalan

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Hasrat seorang warga emas yang ingin bertemu anaknya di sekitar bandar ini tidak kesampaian, apabila dia maut dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Rasah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, M Muniammah, 67, mati akibat dirempuh sebuah kereta sewaktu sedang melintas di jalan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Pasir mengambil jalan mudah menyeberangi jalan besar tanpa menggunakan jejantas yang disediakan di kawasan berhampiran.

“Mengikut siasatan awal, kita dapati mangsa mahu melintas untuk mendapatkan perkhidmatan bas di seberang jalan.

“Namun, tindakannya itu menyebabkan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 30-an, tidak sempat mengelak, lalu merempuhnya sehingga terpelanting ke atas jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera di anggota badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan dia telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan jejantas yang disediakan untuk melintas bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Sinar Harian

Bil elektrik melambung

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Akibat terlalu tertekan kerana tidak mampu membayar caj bil elektrik yang mencecah ribuan ringgit, seorang warga emas nekad untuk berpindah dari rumah sewa yang didiaminya sejak dua tahun lalu.

Warga emas, Lim Ah Lek, 72, mendakwa runsing apabila tidak mampu membayar hutang tertung­gak yang dianggap tidak munasabah, dengan lonjakan bil secara drastik sejak Oktober tahun lalu.

“Sepanjang saya tinggal di sini, saya jarang dikenakan bayaran elektrik kerana menggunakan kurang RM20 sebulan, namun sejak empat bulan lalu, saya dikenakan caj RM96, RM25, RM150 dan terkini bagi bulan Januari 2012 sebanyak RM1,211.60,” katanya pada sidang media di Kelab Media Cina Selatan, Johor Bahru, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Biro Aduan Awam Pemuda MCA Johor, Kua Song Tuck di sini semalam.

Ah Lek yang menyewa di Taman Perumahan Rakyat Iskandar dengan kadar sewa RM124, bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM600 sebulan.

Katanya, dia tinggal bersendirian dan hanya memiliki sebuah kipas, sebuah televisyen serta sebuah peti ais sahaja dengan penggunaan yang cukup minimum.

Sementara itu, seorang pakar kecantikan, Sia Peck Chin, 29, juga mendakwa, bil elektrik rumahnya di Jalan Cokmar, Taman Seri Tebrau di sini mencecah sehingga RM5,110.90 dalam bil terbaru yang dikeluarkan 7 Januari lalu.

“Sebelum ini, ada kalanya bil yang sampai menyatakan defisit (terlebih bayar), tetapi saya tetap bayar sekurang-kurangnya RM80 sebulan kerana bimbang berlaku kesilapan dan mungkin akan membebankan saya di kemudian hari.

“Namun, apa yang dikhuatiri selama ini benar-benar berlaku dan apabila bacaan sebenar dibuat, bil yang dikeluarkan RM5,110.89,” katanya.

Peck Chin berkata, dia telah beberapa kali menghubungi sendiri pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengesahkan kesahihan bil negatif yang diterimanya.

“Saya telah meminta pihak TNB membuat bacaan sekali lagi kerana mustahil bil saya boleh mencecah sebanyak itu memandangkan saya jarang berada di rumah dan tidak pernah gagal buat bayaran setiap bulan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Perkhidmatan Pelanggan dan Pemasaran Tenaga Nasional Berhad Johor Bahru, Mohamad Izwan Zainal berkata, bagi kes Ah Lek telah berlaku bil anggaran berlebihan (over estimate) dalam sistem, kerana bacaan yang dinyatakan itu dibuat melalui sistem, kerana pembaca meter TNB hanya melalukan bacaan ke tapak dua bulan sekali.

“Bagi kes warga emas, Lim Ah Lek tidak perlu membayar caj bil yang diterimanya, kerana bil sebenar yang direkod dari bacaan di tapak hanya akan dikeluarkan pada 6 Februari depan.

“Sekiranya kes seperti ini berlaku, pengguna boleh hadir ke pejabat TNB bagi mendapatkan penjelasan dan TNB akan membatalkan bil,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, bagi kes Peck Chin pula, rumah yang disewanya itu telah merekodkan bacaan anggaran selama setahun akibat pembaca meter gagal membuat bacaan sebenar ke tapak ekoran pintu berkunci.

“Kita telah mendapati bacaan anggaran yang dibuat kurang daripada bacaan penggunaan sebenar dari Oktober 2010 sehingga November 2011.

“Namun pada 8 Disember lalu, kita berjaya merekodkan bacaan sebenar dan nilai yang perlu dibayar adalah seperti yang dinyatakan dalam bil terkini,” katanya.

Mohamad Izwan berkata, bagi mana-mana pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil diterima boleh hadir ke pejabat TNB bagi semakan dan rundingan.

Sinar Harian