08 April 2013

Hadi tolak ‘tawaran’ jadi PM

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Beliau lebih bersedia jadi khadam (orang suruhan) rakyat berbanding jawatan Perdana Menteri sekiranya itu yang dimahukan oleh majoriti rakyat.
SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak ‘pelawaan’ Barisan Nasional (BN) supaya menjadi Perdana Menteri jika mendapat  mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.

Abdul Hadi berkata, beliau lebih bersedia jadi khadam (orang suruhan) rakyat berbanding jawatan Perdana Menteri sekiranya itu yang dimahukan oleh majoriti rakyat.
“Saya tak boleh mendahului rakyat…rakyat perlu menangkan calon (Pakatan Rakyat) terlebih dahulu baru boleh tahu siapa PM.
“Apa yang penting Perdana Menteri itu mestilah orang Islam yang diterima semua rakyat dan tiada masalah dengan orang kerajaan, Raja serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas memberikan ucapan dalam wacana ‘Bicara Minda’ di Kompleks Karangkraf di sini tadi.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak semasa pelancaran manifesto pada Sabtu lalu melontarkan soalan cepu mas kepada rakyat tiga calon yang boleh dipercayai untuk menjadi Perdana Menteri – sama ada Hadi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dirinya sendiri.
Ditanya mengenai kerusi, Abdul Hadi berkata PAS serius dengan hasrat untuk meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan bertanding atas lambang PAS.
“Masalah kita calon bukan Islam ini sudah jadi calon DAP dan PKR.
“PAS perlu cari kawasan yang munasabah untuk mereka,” katanya.
Katanya, pihaknya masih berusaha meletakkan calon bukan Islam di setiap negeri sebelum tarikh penamaan calon diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita sedang berusaha supaya DHPP yang terdiri daripada pelbagai bangsa akan ada. InsyaAllah calon India, calon Cina, calon Iban akan ada,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah kerusi yang akan diberikan kepada DHPP.
Konsep Negara Islam
Beliau turut menolak dakwaan PAS menukar konsep Negara Islam kepada Negara Berkebajikan kerana sukar melaksanakan hukum syariah dalam negara yang berbilang kaum.
Katanya, persepsi ‘Negara Berkebajikan’ itu lebih mudah difahami dan diterima semua masyarakat majmuk di Malaysia tanpa mengenepikan hukum Islam.
“Tiada percanggahan (Negara Islam) dengan Negara Berkebajikan.
“Itu perkataan seerti dimana pertukaran konsep semata-mata untuk memudahkan orang faham dan akhirnya semua dapat terima konsep Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
FMT/-

Manifesto: Kata akan bankrap, ciplak pula

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sejak Pakatan Rakyat melancarkan manifestonya pada 25 Februari 2013, para pemimpin Umno-BN telah menyerang bahawa tawaran pembangkang akan menyebabkan negara muflis.

Tapi, Sabtu lepas, BN melancarkan manifesto yang hampir sama dengan apa yang ditawarkan pembangkang.

Rakyat, terutamanya anak-anak muda dan warga internet terus menuduh BN menciplak manifesto PR dengan hanya mengubah ayat-ayat supaya tidak kelihatan sama.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menunjukkan sembilan perkara yang diciplak oleh Barisan Nasional dari manifesto Pakatan.

Ia termasuklah menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak dari 5 ke 20 peratus, penurunan harga kereta dan juga lebuhraya di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pula berkata 22 perkara dalam manifesto PR diceduk BN.

Media antarabangsa Bloomberg juga memandang perkara ini dalam sudut yang sama.

“Semua janji ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar ketika membentangkan manifesto Pakatan Rakyat enam minggu sebelum Barisan Nasional membentangkannya dalam perhimpunan hujung minggu lalu," lapor Blomberg.

Jadi apakah hikmah di sebalik semua ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, semua ini menunjukkan bahawa janji-janji PR sememangnya boleh dilaksanakan tanpa memufliskan negara sebagaimana yang didakwa BN.

“Sebelum ceduk, Umno-BN kata akan bangkrapkan negara. Selepas ceduk, Umno-BN kata mampu lakukan.

"Tersiratnya ialah Umno-BN mengakui manifesto Pakatan Rakyat sememangnya boleh dilaksanakan. Betul tak?” tulis Tuan Ibrahim di Facebooknya.

Tuan Ibrahim juga menyindir dengan serangkap pantun buat BN.

Rendang ayam lauk lazat,
Terlampau banyak jadi biasa,
Mulut jangan cepat sangat,
Kerana mulut diri binasa.

Harakahdaily/-

Macai jerit bontot! bontot! ketika ayat Al Quran dibaca

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



MACAI upahan Umno sambil membawa bendera Umno dan Barisan Nasional, meneruskan kempen lucah mereka di Johor baru-baru ini.

Dalam sebuah ceramah Anwar Ibrahim, macai-macai upahan ini menjerit bontot! Bontot! Bontot! berulang kali terutama ketika Datuk Seri Anwar membaca ayat Quran. Bagaikan orang kena rasuk hantu bontot mereka terjerit-jerit bagai orang gila.



Harakahdaily/-

Hadi: 'Kempen fitnah Anwar hanya aibkan diri'

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Abdul Hadi Awang

Hadi menyampaikan hujah pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog. Program dikendalikan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad.
SHAH ALAM - Cubaan segelintir pihak menabur fitnah ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semakin hebat menjelang pilihan raya umum, dibidas sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Menjawab pertanyaan peserta Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian hari ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha membangunkan negara dan kebajikan rakyat.

"Tidak elok menjadikan kempen ini gelanggang fitnah. Untuk tegakkan kebaikan rakyat, masa depan negara, itu penting. Sangat penting," tegas Hadi.

Bahkan menurut pemimpin utama Pas itu, budaya politik fitnah dalam siri kempen umpama meminggirkan dasar-dasar ekonomi dan pembangunan yang sepatutnya diutamakan.

"Yang fitnah ini hanya memalukan diri," ujar Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Anwar yang juga ketua pembangkang menerima pelbagai tekanan dan dakwaan skandal seks yang dipaparkan menerusi blog pro Umno, Papa Gomo.

Dalam perkembangan terbaru, Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, telah memutuskan untuk bertanding sebagai calon Bebas menentang Anwar di Permatang Pauh.

Difahamkan, Papa Gomo merancang untuk mendedahkan kesemua salah laku Anwar dalam siri kempen beliau seterusnya menamatkan karier politik Anwar.

Sinar/-

Papa Gomo bertanding atas tiket bebas di Permatang Pauh

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pemilik blog Papa Gomo akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat, Mohamad Rafi Awang Kechik yang mewakili pemilik blog itu berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini. 
Mohamad Rafi berkata, Papa Gomo sedia bertanding di mana-mana kawasan yang akan ditandingi Anwar. 

Identiti sebenar individu yang dikenali sebagai Papa Gomo akan didedahkan pada hari penamaan calon nanti, katanya. 

Blog Papa Gomo sering mendedahkan dakwaan salah laku pemimpin pembangkang. 

- BERNAMA

Aplikasi PRU-13 percuma untuk pengguna telefon pintar Android, Apple

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Maklumat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 boleh diakses dengan lebih mudah menerusi aplikasi telefon pintar yang dicipta khusus untuk memenuhi keperluan generasi celik teknologi maklumat. 

Aplikasi dinamakan 'Undi PRU13', dicipta oleh syarikat pembangunan aplikasi tempatan, Appandus Sdn Bhd dan ia, boleh dimuat turun pengguna secara percuma melalui Google Playstore atau Apple App Store. 



Menurut laman sesawang syarikat itu, aplikasi berkenaan menyediakan maklumat antara lain, kedudukan 727 kawasan pilihan raya kecuali kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Sarawak, nama bekas dan penyandang kerusi Parlimen dan kerusi DUN, nama parti serta carian fleksibel untuk apa-apa maklumat lain. 

Maklumat itu dikumpul dan disusun daripada data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Wikipedia. 

Syarikat itu menyatakan pengguna aplikasi itu juga akan dimaklumkan mengenai tarikh-tarikh penting berkaitan PRU13 serta kempen ceramah. 

"Pengguna juga boleh berkongsi keputusan, berita atau maklumat melalui Facebook, Twitter atau e-mel," katanya. 

- BERNAMA

Lepas 50 tahun baru tahu cara turun harga kereta?

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoal kenapa baru sekarang BN mahu berjanji itu dan ini dalam manifesto mereka, sedangkan parti itu telah memerintah negara sudah lebih 50 tahun.

Bercakap dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian petang ini beliau berkata, janji dalam menifesto terbaru BN itu sepatutnya sudah selesai lama dahulu kerana mereka mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.

"Manifesto ini benda yang belum buat lagi. Masalahnya dia (BN) dah perintah 50 tahun lebih, kenapa tak buat lagi. 

"Kenapa dah merintah 50 tahun lebih baru nak turun harga kereta, bila kita (Pakatan Rakyat) nak buat baru dia janji nak buat, dulu dia tak tahu maca mana nak turunkan harga kereta?," soalnya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat pula katanya, biarpun baru berusia empat tahun lebih, namun telah berusaha membuat perubahan memenuhi kepentingan rakyat setakat kemampuan dan kuasa yang ada pada kerajaan negeri.

Malah dalam banyak perkara, negeri negeri Pakatan Rakyat dilihat lebih mendahului BN dalam memperkenalkan perubahan dalam memberi bantuan kepada rakyat.

Sehubungan itu rakyat ujarnya boleh menilai kemampuan dan keikhlasan kedua-dua parti dalam manifesto masing-masing dan tidak tertipu dengan 'pancingan undi' menjelang pilihan raya.


"Masa pilihan raya kecil Kuala Berang dulu dia boleh kempen nak buat lapangan terbang di Kuala Berang pada hal lapangan terbang Kuala Terengganu ada dah," katanya lagi.


Dalam dialog yang membicangkan tajuk 'Kerajaan Berkebajikan: Persepsi dan Realiti' itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut ditanya adakah apa pemerintahan BN selama ini boleh dikira sebagai berkebajikan kepada rakyat.

Abdul Hadi dalam jawapannya berkata, berkebajikan bukan sahaja soal membangunkan negara secara fizikal tetapi lebih penting dari itu adalah bagaimana mengurus hasil negara secara amanah dan adil.

Masalah yang berlaku sekarang ini katanya apabila pemimpin yang dilantik tidak amanah dalam menguruskan hasil negara sehingga berlaku kebocoran dan salah guna kuasa.

"Saya tidak nafikan apa yang dibuat kerajaan ini ada nilai berkebajikan, infrastrukturnya, eletriknya, jalan rayanya,  itu kebajikan, tapi bagaimana menguruskannya.Yang 2 bilion jadi 4 bilion. Negeri Terengganu negeri darul iman, tapi sekarang jadi darul runtuh

"Masalahnya bocor, tangkap ikan letak dalam bubu, dapat sekor masuk, dapat sekor masuk,  tapi bila angkat bubu, ikan ada sikit, tengok bawah bubu bocor," katanya memberi analogi.

Dialog hari ini dipengerusikan oleh Kolumnis Sinar Harian Tan Sri Abdullah Ahmad.

Pada awal program tadi turut mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Abdul Hadi kerana menjadi presiden parti politik pertama tampil ke pentas Bicara Minda Sinar Harian.

"Untuk rekod, saya tulis surat kepada semua parti termasuk parti pemerintah, tetapi yang paling cepat jawab adalah Datuk Seri Abdul Hadi," katanya.

Harakahdaily/-

Kesian Najib...

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Orang Pekan,

Pada tahun 1999, dalam Pilihan Raya Umum ke-10, Datuk  Datuk Seri Najib Tun Razak hampir tewas dan menang hanya dengan majoriti 241 undi. Ketika itu suasana begitu getir dan sekiranya beliau kalah, masa depannya dalam politik mungkin berkubur. Namun, pada tahun 2004 beliau menang dengan majoriti 22,922 – setelah berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Yang ingin saya sampaikan di sini ialah ketika DS Najib hampir tewas pada 1999. Beliau menyatakan bahawa perasaan cemasnya semasa menunggu satu demi satu jumlah undi dikira. Pada ketika itu, sudah ada desus desas bahawa beliau akan tewas. Namun, akhirnya beliau berjaya menang tipis – dan dalam ulasan pendeknya beliau menegur sikap pegawai-pegawai bawahannya yang sentiasa berkata “ok, datuk... ok datuk” maksudnya sokongan rakyat semuanya dalam keadaan yang baik. Hakikatnya, rakyat hampir sahaja menghumban beliau daripada kerusi pekan.

Berdasarkan hal itu, tidak mustahil sekali lagi DS Najib akan melalui situasi yang sama dalam PRU13 kali ini. Maklumlah, tugasnya sebagai Perdana Menteri tentunya sibuk dan kebanyakan masalah rakyat diterima daripada pegawainya sama ada menteri, ahli Umno dan pegawai kerajaan. 

Saya simpati bukan kerana beliau mungkin tewas atau terus kekal. Simpati kerana kelalaian beliau mendapat maklumat sebenar kesusahan dan masalah rakyat. Harapkan pegar, pegar makan padi, harapkan sokong, sokong bawa rebah. Para pegawai yang sepatutnya membantu beliau, tetapi tidak melakukan tugas yang sepatutnya. Rakyat yang memang sudah tidak senang dengan dasar-dasar yang ada, makin bertambah marah dengan sikap pegawainya yang menjadi lintah darat.  Kemarahan itu tidak mustahil diluahkan melalui kertas undi dalam PRU nanti.

Telah banyak kerajaan, maharaja dan tamadun runtuh kerana perkara ini dan tidak mustahil DS Najib menjadi pemerintan yang terakhir daripada dinasti Umno-BN.

Harakahdaily/-

Peter Chin ulangi pendirian tidak mahu tanding PRU13

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Peter Chin Fah Kui

Peter Chin Fah Kui
PUTRAJAYA - Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini mengulangi pendirian untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Sambil mengharapkan hasratnya direstui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Chin berkata beliau telah menyerahkan nama Setiausaha Politiknya Datuk Sebastian Ting untuk bertanding di kerusi Parlimen Miri yang kini disandangnya.
"Perdana Menteri yang akan membuat keputusan terakhir, namun gayanya seperti dia merestui apa yang saya mahu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kementerian di sini.
Bagaimanapun kata Chin, beliau akan kekal sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sehingga penggalnya berakhir pada 2014.
Mengulas lanjut, Chin berkata sudah tiba masanya bagi beliau berundur daripada menjadi anggota parlimen kerana enam penggal sebagai Anggota Parlimen Miri adalah tempoh yang panjang.
"...kita perlu memberikan peluang kepada calon yang lebih muda. Untuk tunjukkan bahawa parti mengikuti peredaran zaman yang tua kena undur supaya orang muda boleh naik. Saya rasa itu amalan yang baik dan harap amalan ini boleh dipraktikkan dalam semua cawangan SUPP," katanya.
Menurut Chin, SUPP kekal bertanding di tujuh kerusi parlimen di Sarawak pada PRU kali ini.
Manifesto akan diumum pada hari penamaan calon atau selepas itu dengan sedikit pengubahsuaian kerana beberapa perkara sudah disebut dalam manifesto BN, katanya.
Mengenai sama ada beliau akan terus berkhidmat sebagai presiden SUPP selepas penggalnya berakhir, Chin berkata: "...kita akan tengok jika perwakilan masih perlukan khidmat saya." - Bernama

Bloomberg juga dakwa Najib ciplak manifesto Pakatan

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


(Laporan dari Bloomberg)


KUALA LUMPUR: Bukan sahaja Pakatan Rakyat yang mendakwa Datuk Seri Najib menciplak manifesto mereka, media antarabangsa Bloomberg juga membuat laporan yang sama.


Laporan bertajuk "Malaysia’s Najib Unveils Poll Manifesto Similar to Anwar’s" itu, Bloomberg melaporkan, Perdana Menteri Najib Razak berjanji akan melawan rasuah, menurunkan kos sara hidup dan membina lebuhraya pan-Borneo jika kekal sebagai kerajaan selepas pilihan raya umum nanti.



"Semua janji ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar ketika membentangkan manifesto Pakatan Rakyat enam minggu sebelum Barisan Nasional membentangkannya dalam perhimpunan hujung minggu lalu," lapor Bloomberg.



Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menunjukkan sembilan perkara yang diciplak oleh Barisan Nasional dari manifesto Pakatan.



Ia termasuklah menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak dari 5 ke 20 peratus, penurunan harga kereta dan juga lebuhraya di Sabah dan Sarawak.



Dalam laporannya, Bloomberg juga menyatakan, menjelang pilihan raya kali, Najib telah memperbanyakan perbelanjaan kerajaan, pusingan kedua pemberian tunai (BR1M), menaikkan gaji pegawai kerajaan, polis dan tentera.



Najib juga telah memohon maaf kepada pengundi atas segala kesilapan yang BN buat sebelum ini.



"Saya mohon maaf dengan ikhlas jika kami membuat silap sebelum ini," kata Najib sebagaimana dilaporkan media antarabangsa itu.

Harakahdaily/-

Dua beradik cedera parah ditembak seorang lelaki

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


BUKIT MERTAJAM - Dua beradik cedera parah selepas ditembak seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, lima orang termasuk ibu dan bapa mereka sedang berbual dalam kawasan garaj.

"Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan rumah itu dan seorang lelaki yang duduk di kerusi hadapan sebelah pemandu keluar dan melepaskan tembakan ke arah keluarga berkenaan sebelum melarikan diri menaiki kereta," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya akibat kejadian itu, dua beradik iaitu seorang wanita, 31, dan seorang lelaki, 36, mengalami kecederaan parah selepas terkena tembakan.

"Lelaki yang menjalankan perniagaan pengangkutan itu mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di dada, leher, punggung dan tangannya manakala adiknya cedera ringan selepas terkena tembakan di lengan kiri dan badan," katanya.

Mazlan berkata, mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki yang melepaskan tembakan itu mensasarkan adik lelaki mangsa yang berusia 22 tahun berikutan masalah perniagaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya. - Bernama


Ahli Umno Kangar protes pencalonan Fathul Bari

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Protes tersebut diadakan sejurus sebelum presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba bagi mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi Umno Khamis lalu.
KUALA LUMPUR: Belumpun diumumkan senarai calon BN, sekumpulan ahli dan pimpinan Umno bahagian Kangar mengadakan perhimpunan di depan ibu pejabat Umno di PWTC Khamis  lalu kerana membantah cadangan pencalonan ulamak muda, Fathul Bari Mat Jahaya sebagai calon BN bagi parlimen Kangar.

Perhimpunan tersebut diadakan sejurus sebelum presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba bagi mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi Umno.
Parlimen Kangar diwakili oleh bekas Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Menurut sumber, empat bas bertolak dari Kangar pada malam Rabu untuk menyertai perhimpunan.
“Mereka bertegas menolak orang luar termasuk Fathul Bari sebagai calon Kangar  tidak kira siapapun yang memutuskannya,” kata sumber.
Difahamkan Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar Azam Rashid dan Naib Ketua Bahagian merangkap Adun Sena Jamil Saad ; Mat Hassan (Adun Kuala Perlis); Aziz Had (Setiausaha Umno bahagian); Ramli Sharif (AJK); Radzi Dan (AJK); Haliza Hamid (Ketua Puteri) dan Aziz Majid (Ketua Pemuda) hadir dalam perhimpunan tersebut.

Bantahan

Azam dipercayai turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Najib mengenai cadangan pencalonan Fathul Bari sebagai calon BN parlimen Kangar.

Menurut mereka,  Umno dan BN Kangar mempunyai ramai tokoh yang boleh diketengahkan. Selain Radzi, Kangar turut mempunyai beberapa nama lain yang berwibawa untuk bertanding di Kangar seperti Azam sendiri, Datuk Hashim Suboh (bekas Ketua Penerangan Umno Perlis) dan Azihani Ali (Exco Wanita Umno Malaysia ) Mat ketika dihubungi hari ini berkata,beliau menghadiri perhimpunan berkenaan.
“Perhimpunan tersebut hanya suara ahli Umno bahagian supaya menghormati kehendak Umno Kangar.
“Keputusan untuk mencalonkan Fathul Bari belum muktamad,” kata beliau.
Radzi yang hadir sama dalam perhimpuna itu, bagaimanapun enggan mengulas. Usaha menghubungi Aziz juga tidak tidak berjaya kerana panggilan telefon tidak dijawab.
FMT/-

Bot berlanggar, dua pemancing S'pura maut

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Dua warga Singapura maut manakala seorang lagi hilang selepas bot yang dinaiki lapan pemancing itu melanggar sebuah bot pukat tunda di perairan berhampiran Pulau Layang di Rompin semalam.

Mangsa dikenali sebagai Raymond Cheng Yuen Chi, 35, dan Ng Eng Hua, 37, yang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala yang dipercayai akibat hentakan kuat semasa pelanggaran.


Mayat kedua-duanya dihantar ke Hosiptal Mersing untuk bedah siasat, kata Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya.



Beliau berkata mangsa yang hilang dalam kejadian 4.30 petang itu masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada pukul 7 malam disambung semula pukul 8 pagi tadi dan setakat tengah hari, mangsa masih belum ditemui.



Beliau berkata lima lagi tecedera dalam kejadian yang berlaku kira-kira 30 batu nautika dari Jeti Tanjung Gemok berhampiran pulau tersebut.



Tiga daripada mereka dirawat di Hospital Mersing manakala dua lagi menerima rawatan di Poliklinik Kuala Rompin.



"Bot yang dinaiki para pemancing itu dipercayai tidak menyedari kehadiran bot pukat tunda tersebut yang datang dari arah Pulau Tioman menuju Tanjung Gemok," kata Johari.



Bot itu dipercayai bertolak dari Jeti Kampung Sungai Puteri sejak awal pagi untuk membawa para pemancing di sekitar perairan Tanjung Gemok.



Bernama

‘Annonymous Arab’ godam laman web Israel

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


TEL AVIV - Beberapa laman web kerajaan Israel digodam oleh penyerang siber dikenali sebagai ‘Annonymous Arab’, semalam.

Sebuah laman web Israel yang mempromosikan ‘Opisrael” sendiri telah digodam dan memainkan mesej anti-Israel semasa  laman web itu memainkan lagu kebangsaan Israel, ‘Hatikvah’.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ‘Annonymous Arab’ berkata dalam sebuah video yang mereka muat naik di YouTube mengatakan yang mereka akan melakukan serangan melalui tiga fasa.

“Langkah yang kami mulakan sangat sistematik iaitu dengan menghapuskan entiti Zionis dari (dunia) internet,” kata seorang lelaki bertopeng melalui YouTube.

‘Langkah kedua, kami akan menggodam rancangan masa depan anda dan menunjukkan jenayah yang anda lakukan ke seluruh dunia,” katanya.

“Dan langkah seterusnya ialah kami fikir inilah hadiah dari Annonymous kepada anda,” katanya.

Laman web Knesset dan Agensi Pilihan Raya Israel turut digodam semalam.

Ketua Cyber Negara, Yitzhak Ben Yisrael berkata, penggodam tidak menyebabkan sebarang kerosakan ke atas infrastruktur penting negara itu.

Sinar/-

Penyokong PAS tahan lelaki pasang bahan anti-Pakatan

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Sekumpulan penyokong PAS menahan empat lelaki yang didakwa sedang memasang kain rentang memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dalam satu kejadian di Semenyih, petang semalam.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman berkata empat lelaki yang berusia kira-kira akhir 20-an dan awal 30-an itu ditahan bersama sebuah kereta perodua Myvi yang mempunyai pelekat logo 1Malaysia ketika menggantung kain rentang palsu itu.

Katanya, keempat-empat lelaki itu kemudiannya dibawa ke balai polis Semenyih untuk ditahan dan seterusnya laporan polis turut dibuat di situ.

"Semalam kita sudah tahan empat lelaki yang sedang gantung kain rentang palsu ini.

"Kita harap orang ramai yang nampak kain rentang palsu ini digantung atau nampak orang sedang pasang kain rentang palsu ini membuat laporan polis dan mengambil gambar.

"Banyak lagi kain rentang palsu ini digantung disekitar Selangor dan kita percaya ini bertujuan untuk memburukkan Pakatan," katanya dalam sidang media PAS Selangor di Shah Alam hari ini.

Malaysiakini/-

Pejuang anti Lynas jadi calon PAS di Beserah

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


(Andansura menyerahkan memo kepada pejabat MB Pahang mengenai Lynas sebelum ini)

KUANTAN: PAS meletakkan aktivis masyarakat yang menentang kilang Lynas di Gebeng, Andansura Rabu sebagai calonnya di kerusi N 12 Beserah.

Pengumuman tentangnya itu dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam program Himpunan Rakyat di Indera Sempurna malam tadi.

Andansura (gambar) adalah Pengerusi Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) juga Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Indera mahkota.

Beliau akan menggantikan calon PAS yang menang dalam pilihan raya 2008 lalu, Syed Mohamad.

"Saya menerima pemilihan ini sebagai satu amanah dan kita sudah bersedia untuk bertempur," kata Andansura kepada Harakahdaily.

Beliau menjanji akan menjadikan isu Lynas yang ditentang penduduk tempatan Beserah ini sebagai isu utama.

"Kita telah berusaha ke peringkat tertinggi untuk menyekat kilang ini iaitu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

"Kini kita akan menggunakan medan politik pula," kata Adansura.

Harakahdaily/-

PRU13: PAS gesa SPR serah nama pengundi awal

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: PAS Selangor menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan senarai nama pengundi awal kepada calon dan parti yang bertanding sewaktu penamaan calon PRU13 nanti.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Abdul Khalid Samad berkata, penyerahan nama-nama pengundi awal adalah mempermudahkan PAS untuk mengeluarkan nama mereka dalam senarai daftar pemilih pada hari pengundian.

Malah katanya lagi, penyerahan senarai nama-nama tersebut adalah dapat mengelakkan ia dimanipulasikan oleh Barisan Nasional (BN) pada hari mengundi.

"Terdapat 200,000 lebih senarai nama pengundi awal yang akan mengundi pada pilihan raya nanti.

"Bagi memastikan nama-nama tersebut tidak dimanupulasikan oleh BN pada hari mengundi, kita menggesa agar SPR menyerahkan senarai tersebut kepada setiap parti yang bertanding untuk kita mengeluarkan nama-nama mereka dalam daftar pemilih," jelasnya pada sidang media, hari ini.

Selain itu juga Khalid yang turut mencadangkan agar selepas pengundian awal dilakukan, pengiraan undi perlu dilakukan segera di tempat pengundian tersebut.

Katanya, walaupun terdapat kawalan oleh wakil parti tetapi masih boleh berlaku penipuan kerana tidak ada wakil parti yang dapat berada di peti undi setiap masa.

"Kita juga turut mencadangkan agar pengiraan undi awal dilakukan sejurus selesainya pengundian dilakukan, ia perlu dilakukan di tempat pengundian.

"Sebelum ini kita selalu mendengar terdapat undi pos yang dimanipulasi untuk menentukan kemenangan calon BN, kita tidak mahu ini berlaku apabila pengiraan awal dilakukan ia dapat mengelakkan perkara tersebut berlaku," sambung beliau lagi.

Beliau berharap SPR sebagai satu badan yang telus dan adil dapat mempertimbangkan perkara tersebut bagi memastikan hak rakyat yang memilih sebuah kerajaan yang adil tidak dikhianati.

Harakahdaily/-

Kilang kain terbakar, kerugian dianggar RM1.2j

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KULIM - Sebuah kilang kain di Kawasan Perindustrian Kulim di sini terbakar mengakibatkan kerugian RM1.2 juta dalam kejadian awal pagi, hari ini.
Tindakan pantas 11 anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan sebahagian besar bangunan, beberapa mesin serta stok kain Kilang Kain First Tex Knitting Sdn Bhd itu.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kulim Mustafa Abdullah berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 5.38 pagi dan dua jentera bomba yang digegaskan ke lokasi kebakaran tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Api berjaya dikawal dalam masa 30 minit dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi tadi, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Menurutnya taksiran awal kerugian itu berdasarkan kemusnahan sebuah mesin pengering di kilang berkenaan.
Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya. - Bernama

Banner palsu, fitnah PR dikesan di seluruh Selangor

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman mengingatkan rakyat seluruh Selangor berwaspada dengan kain rentang palsu yang dikesan sedang giat dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab di seluruh negeri ini.

Beliau berkata pihak petugas PAS mendapat maklumat lebih 240 lokasi telah ditetapkan untuk pemasangan kain rentang itu dengan tujuan mengelirukan penduduk setempat.

"Kain rentang tersebut mengambar seolah-olah ia dipasang oleh PAS dan juga DAP, sedangan kita tidak mengetahui langsung kewujudan kain rentang itu," kata beliau.

"Kesemua kain rentang itu berbentuk fitnah yang ditujukan kepada PAS yang mengatakan jika PAS memerintah hukum Islam dilaksanakan," katanya sambil menambah ianya bertujuan menakut-nakutkan pengundi bukan Islam.

Bercakap pada sidang media di pejabat PAS di sini, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad pula berkata pihaknya telah mengarahkan agar setiap ahli PAS segera menanggalkan kain rentang tersebut jika ada melihatnya dipasang.

"Kita mengarahkan agar kain rentang tersebut ditanggalkan segera jika ia didapati dipasang.

"Kita turut berharap agar rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilakukan pada kain rentang itu," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan menggunakan perkataan "Biro Penerangan PAS Pusat" pada kain rentang itu menunjukkan kain rentang tersebut didalangi Umno.

"Kita dalam PAS tidak menggunakan perkataan biro, PAS hanya menggunakan perkataan lajnah untuk setiap bahagian dalam pentadbiran PAS. Ini menunjukkan kain rentang itu milik Umno, mereka dah kantoi," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan kain rentang dan risalah fitnah itu mula dikesan sejak minggu lepas, malah petugas PAS juga berjaya menangkap sekumpulan empat pemuda memasang dan mengedarkan risalah di Semenyih.

"Kita berjaya menahan empat individu yang sedang memasang kain rentang tersebut pada 7 April kira-kira jam 630 petang.

"Malah laporan polis juga telah kita lakukan, ketika penahan tersebut terdapat banyak kain rentang berada dalam kenderaan mereka begitu juga senarai lokasi-lokasi yang perlu kain rentang itu dipasang," kata beliau.

PAS Selangor ujarnya akan membuat pemantauan terhadap lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan kepada kain rentang itu dipasang.

Harakahdaily/-


PBT diarah buang poster yang hina lawan

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: Semua pihak berkuasa tempatan di Selangor diarahkan untuk membuang semua kain rentang dan poster yang menghina pihak lawan dan menjatuhkan maruah sesaorang.

Arahan itu dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) kepada semua PBT di negeri itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya juga telah mengarahkan PBT menurunkan kain rentang yang menghina pihak lawan serta menjatuhkan maruah seseorang.

"Sebagai salah seorang pemimpin yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya kali ini, saya mahu PRU ke-13 diingati sebagai pilihan raya penentu masa hadapan bukannya paling kotor sehingga memalukan kita dan generasi akan datang," kata Khalid dalam kenyataan itu.

Pilihan Raya Umum ke-13 dianggap sebagai ibu segala pilihan raya di Malaysia kerana buat pertama kali dalam sejarah politik di negara ini  pakatan parti pembangkang akan  memberi saingan paling sengit kepada Barisan Nasional.

Begitu pun, kata Khalid, beliau mengingatkan dan menyeru rakyat Malaysia tidak kira penyokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional supaya matang berpolitik dan menjadikan pilihan raya umum kali ini untuk melaksanakan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Penting untuk kedua-dua pihak memastikan tiada insiden yang boleh menjurus kepada pergaduhan antara penyokong parti politik.

Justeru, pemimpin dan penyokong mesti menjaga etika dan sentiasa mengutamakan keharmonian, katanya.

"Selaku Menteri Besar bagi kerajaan negeri sementara, saya telah meminta semua pihak berkuasa tempatan memantau untuk pastikan tiada perbuatan menurunkan bendera parti politik kecuali jika dipasang di tempat yang tidak selamat sehingga boleh mengganggu dan menghalang pemandu melihat dengan jelas kerana dikhuatiri boleh membawa kecelakaan di jalan raya," katanya.

Begitu juga mana-mana kain rentang dan papan iklan yang dipasang di bahu-bahu jalan yang mengganggu pengguna jalan raya hendaklah dialih ke tempat sesuai.

harakahdaily/-