29 Disember 2011

Pemuda PAS Melaka terjemah Negara Berkebajikan

4 Safar 1433H. [MOD] -

JASIN, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Melaka menterjemahkan konsep Negara Berkebajikan dengan membiaya peralatan persekolahan kepada 120 orang kanak-kanak yang terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan di sekitar Jasin.

Usaha itu dibuat rentetan daripada kos sara hidup yang semakin tinggi, di samping keperluan mendesak keluarga untuk menyara anak-anak mereka yang lain bagi memasuki musim persekolahan 2012 nanti.

Mereka terdiri daripada buruh kasar, petani, nelayan dan warga emas.

Program yang dianjurkan bersama UPU Merlimau Pasir itu dibuat secara berperingkat.

Bermula dengan sumbangan kepada 40 orang kanak-kanak yang dibawa ke pasaraya di bandar Muar dan diikuti kumpulan kedua yang dibawa ke pasaraya di sekitar bandar Jasin.

Ketua Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah mengetuai program kebajikan itu (gambar). Turut hadir adalah kepimpinan Pemuda PAS negeri Melaka dan Pemuda PAS Kawasan Jasin.

Konsep program merakyat kerana kanak-kanak itu dibawa terus ke pasaraya untuk membeli pakaian dan kasut. Manakala beg sekolah dan alat tulis diberikan terus ke rumah mereka.

Program seumpama itu diharap dapat merapatkan ukhuwah antara masyarakat dengan PAS selain menjadi contoh teladan kepada masyarakat untuk terus menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

Harakah Daily

Harakahdaily pertahan berita, ini transkripnya

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Harakahdaily mempertahankan berita kenyataan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz semalam mengenai pertemuannya dengan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Sehubungan itu, kami menafikan berita itu diputarbelitkan sebagaimana di dakwa.

Berikut adalah asas kepada berita berkenaan.

Transkrip penuh sidang media Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dengan wartawan di Pantai Irama, Bachok 28 Disember.

Tuan Guru Nik Aziz: Datuk Hassan Ali menarik balik kenyataan-kenyataan dia yang sensitif. Ini tanda kelelakian dia, anak jantan. Kita buat salah, bila kita sedar buat salah, tarik balik, minta maaf. Ini ajaran agama. Bukan senang manusia buat salah nak tarik balik, bukan senang. Tiba-tiba dia ni tarik balik.

Kita ucap syukur, moga ramai lagi orang yang buat salah, tarik balik dan minta maaf.

Wartawan: Dari segi parti sendiri tok guru, terimalah?

Terimalah.

Wartawan: Pertemuan itu di mana Tok Guru?

JKR 10

Wartawan: Ustaz Nasha...

Saya beritahu kelmarin, kalau Datuk Seri Presiden tak buat jemputan macam ini, saya akan buat. Saya suka sangat. Kerana Islam ini, apabila kita dapat nikmat, kita diminta buat jamuan. Macam kita nak kahwin. Apabila kita kahwin, kita buat jamuan nama dia walimatul urus. Bila kita dapat anak, kita buat jamuan lagi nama dia aqiqah. Begitu jugak, bila berlaku macam tu kelmarin, kita buat jamuan, tetapi jamuan kelmarin tu sebagai jamuan tetamu ja. Kalau boleh, saya akan sebut buat jamuan khusus di peringkat pusat. Kita panggil semua kalau boleh. Saya nak minta jugalah pihak parti PAS Pusat buat jamuan, kita pakat-pakat derma lah. Yang ada seringgit bagi seringgit yang ada seribu bagi seribu kerana gembira kita bahawa kekecohan yang berlaku di kalangan kita dah selesai.

Kekecohan ini, ada satu contoh yang diberikan oleh Datuk Presiden kelmarin. Semasa Nabi masuk ke Mekah, orang panggil Fathul Makkah. Ada seorang Sahabat sebut "kalimah Arab" - "Hari ini Hari Perang". Nabi kata tidak, "kalimah Arab" - "Hari ini hari kasihan belas". Maka Nabi ambil bendera di tangan dia, beri kepada anak dia. Denda kerana celupar mulut dia. Jadi kalau orang zaman Nabi pun ada buat kesilapan dan Nabi betulkan cepat-cepat, inikan zaman kita tengah 2000 tahun, maka banyak benda-benda silap.

Wartawan: Tok guru, kedudukan Ustaz Nasha lepas ini, mungkin di Parlimen Bachok macamana Tok Guru?

Parlimen Bachok tu orang Bachok tengoklah.

Wartawan Harakah: Bila dia dah mari minta maaf, maknanya tidak ada peluang lagilah pihak lawan nak gunakan isu sebelum ini?

Ada peluang apa lagi lah...baik.

Harakah Daily

Lelaki Maut Dihempap Penyangkut Besi Lif

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki mati dihempap penyangkut besi lif ketika hendak menghantar perabot di tingkat atas sebuah kedai perabot tiga tingkat di Jalan Raja Chulan di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Gaffar Muhammad berkata, kejadian berlaku pada pukul 10 pagi ketika Mohd Abdillah Khairuddin, 27, berada di dalam lif dengan muatan perabot untuk dihantar ke tingkat atas.

"Tiba-tiba lif tersebut terjatuh ke bawah, manakala penyangkut besi itu menghempap kepalanya menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Kejadian disedari oleh majikan Mohd Abdillah yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Abdul Gaffar berkata siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat bebanan yang berat menyebabkan tali rantai lif itu putus dan penyangkut besi berkenaan menghempap mangsa.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut, katanya.

Dalam kejadian lain, seorang remaja berusia 13 tahun terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km 1 Jalan Sitiawan-Lumut pada Rabu.

Muhamad Asrul Muhamad Azizan berasal dari Kampung Acheh yang mengalami cedera parah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Manjung pada pukul 11.50 pagi, Rabu. - BERNAMA

Warga Korea hilang: Polis minta bantuan kedutaan

4 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 29 Dis. — Bukit Aman kini bekerjasama dengan Kedutaan Korea Selatan di sini, bagi mengesan dua suspek dipercayai rakyat negara itu, berkaitan kes kehilangan seorang ahli perniagaan Korea Selatan sejak 31 Okt. lepas.

 Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki suspek terbabit yang dipercayai telah meninggalkan negara ini. "Kemungkinan sekarang ini suspek sudah pulang ke negara asal (Korea),

mungkin juga sudah lari ke mana-mana negara lain. Bantuan dari Kedutaan Korea dan pihak Interpol mampu membantu dalam menyelesaikan misteri kehilangan ahli perniagaan itu,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini. Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berdasarkan maklumat sedia ada. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama, berkata kes itu masih disiasat mengikut Akta Orang Hilang.

 Warga Korea itu, Kim Chong Yong, 53, yang tinggal di negara ini sejak dua dekad lepas, dilihat kali terakhir di sebuah pusat hiburan di Desa Sri Hartamas antara 9 malam hingga 1 pagi pada 30 Okt bersama seorang lelaki, sebelum dilapor hilang pada keesokannya. — BERNAMA

Rel kereta api di tengah-tengah desa

4 Safar 1433H. [MOD] -


SEORANG wanita menyembur air di kawasan rumahnya dekat landasan kereta api di Desa Kham Thien, Hanoi kelmarin.
HANOI – Sebuah desa di sini dianggap antara yang paling berbahaya buat para penghuninya kerana ia terletak amat dekat dengan landasan kereta api.
Ia dikenali sebagai Kham Thien.
Bangunan kediaman terletak di kiri dan kanan landasan kereta api sepanjang 200 meter.
Penduduk enggan meninggalkan bangunan yang terletak di tepi landasan itu walaupun terdapat banyak nahas dan kematian pada setiap tahun.
Mereka masih tinggal di desa itu walaupun pihak berkuasa telah memberikan amaran mengenai kematian dan nahas kereta api. – Agensi
Kosmo

Syria, Yaman terus bergolak

4 Safar 1433H. [MOD] -

PENUNJUK perasaan berarak di Sanaa menuntut Salleh didakwa.

GAMBAR rakaman video agensi berita Ugarit News menunjukkan sebuah kereta kebal Syria di bandar Homs, semalam.

Gas pemedih mata sambut protes di Homs, penunjuk perasaan bergaduh di Sanaa

DAMSYIK: Polis Syria menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan 70,000 penunjuk perasaan di jalan Homs kelmarin pada masa pemerhati Arab melawat kawasan itu sehari selepas puluhan mati akibat tindakan keras terhadap penduduk yang berbeza pendapat.

“Lebih 70,000 penunjuk perasaan cuba memasuki Dataran al Saa di tengah bandar Homs, kemudian ejen keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka,” kata Pemerhati Rakyat Syria untuk Hak Asasi yang berpangkalan di Britain.

Pada masa yang sama, sesetengah penunjuk perasan ditembak dengan peluru hidup semasa mereka berarak ke dataran itu dan empat cedera termasuk seorang cedera parah.

Pemerhati berkata tunjuk perasaan berasingan diadakan di tempat lain di bandar itu bertujuan mendedahkan amalan tidak sihat dan jenayah regim itu.

Sebelum menyertai perarakan di Dataran al Saa, puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul di kawasan Al-Khalidiyeh, menurut badan itu. Tunjuk perasaan turut dilaporkan di daerah Bab Dreib dan Jub al-Jandali.

Protes itu dilakukan pada masa sama pemerhati Liga Arab melawat kawasan tengah bandar untuk memantau urusan mengakhiri kekerasan terhadap penunjuk perasaan anti pemerintah.

Berikutan laporan pembunuhan 34 orang awam di wilayah Baba Amro di Homs pada Isnin, penduduk yang mengadakan majlis pengebumian berhampiran Kefer Ayia untuk sesetengah mereka yang terbunuh, diserang oleh pihak keselamatan.

Aktivis mendakwa, tentera membawa keluar kereta perisai dari satu daerah ketika pemerhati Arab tiba dan menyembunyikannya dalam zon dikuasai kerajaan.

Sementara itu di Sanaa, musuh dan penyokong Presiden Yaman bertempur menggunakan batu dan kayu kelmarin, memburukkan lagi kekacauan negara itu pada masa sama Washington menimbangkan permohonan pemimpinnya untuk ke Amerika Syarikat.

Aktivis belia, yang mengetuai protes sejak berbulan menentang pemerintahan 33 tahun Presiden Ali Abdullah Saleh berbelah bahagi sama ada beliau perlu meninggalkan tanah air kerana boleh mengurangkan konflik tetapi turut membuka peluang mengelak pengadilan. – Reuters/AFP

Iran bicara perisik CIA

4 Safar 1433H. [MOD] -

TEHRAN: Pihak berkuasa Tehran membicarakan seorang warga Amerika Syarikat kelahiran Iran kelmarin atas tuduhan mengintip untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA) dengan pendakwa raya menuntut defendan dikenakan 'hukuman maksimum' kemungkinan hukuman mati, jika dia didapati bersalah, lapor agensi berita Fars.

Pengakuan Amir Mirzai Hekmati menunjukkan dengan jelas bahawa tertuduh bekerjasama dengan CIA dan terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan Iran.

“Justeru, saya meminta mahkamah mengenakan hukuman maksimum,” kata pendakwa raya yang dipetik sebagai berkata.

Hekmati, 28, bekas anggota marin Amerika dilahirkan di negara itu dalam sebuah keluarga pendatang.

Tetapi, dia kemudian muncul dalam televisyen tempatan Iran pertengahan Disember lalu dan memberitahu dalam bahasa Parsi dan Inggeris fasih bahawa dia adalah seorang ejen CIA yang dihantar untuk menyusup ke dalam Kementerian Perisikan Iran. – AFP

Ternak patin: 3 pengarah didakwa perdaya 12 individu

4 Safar 1433H. [MOD] -

Tiga pengarah sebuah syarikat pertanian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan memperdaya 12 individu membabitkan pelaburan projek ternakan ikan patin bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Johar Arifin Baki, 45, S Suresh Kumar, 30, dan Auni Zafirah Abdul Rahim, 25, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Sebagai pengarah syarikat Premier Agro Sdn Bhd ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama telah memperdaya dengan niat menipu 12 pelabur individu dengan menawarkan skim ternakan benih ikan dalam sangkar menjajanjikan pulangan kepada pelaburan tersebut.

Para pelabur tersebut telah membayar wang pelaburan mereka yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Premier Reliance (M) Sdn Bhd.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikat mereka yang mempunyai alamat perniagaan di No: 19, Jalan Kasuarina 7, Botanic Capital, Bandar Ambang Botanic, Klang dekat Shah Alam, antara 15 Mei 2009 dan 3 Julai 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Slamat membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 serta seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 1 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes. Mereka diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Shari'ah Abu sementara ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama

Dugaan datang bertimpa

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN – “Sejak suami saya meninggal dua tahun lalu, dugaan datang bertimpa-timpa, Dan jika tidak kuat semangat saya juga tidak mahu hidup lagi,” kata B. Sharta 27 yang kehilangan suami dan anak sulungnya dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

Sharta berkata, kemalangan itu bukan sahaja meragut nyawa dua orang yang disayanginya, malah turut merentap kebahagiaan yang dikecapnya selama ini.

“Dalam kejadian itu, hanya saya dan anak bongsu, Kartik, 6 sahaja yang hidup manakala suami, anak sulung, adik ipar dan anaknya turut meninggal kerana kereta bertembung dengan lori.

“Mengenangkan anak bongsu yang masih kecil, saya tabahkan hati untuk menerima dugaan ini dan kini saya hanya berharap agar masa depan anak saya ini cerah biarpun tanpa ayah di sisinya,” katanya.

Selain itu, Sharda juga terkilan kerana tidak dapat bekerja untuk menambah pendapatan keluarganya kerana keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

Oleh itu, dia kini menumpang di rumah bapanya yang hanya bekerja susun papan di sebuah kilang.

“Saya bukan tidak mahu bekerja, tetapi kemalangan tersebut telah menyebabkan saya mengalami cedera parah di bahagian kepala dan setiap kali ingin pergi bekerja saya akan rasa pitam.

“Kini, hanya mengharapkan gaji ayah yang tidak seberapa sahaja untuk menanggung kami dua beranak ini,” katanya.

Sementara itu juga, dia juga berharap agar permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diluluskan.

Menurutnya, permohonan terdahulu telah ditolak kerana factor usianya yang masih muda.

“Jika ikutkan usia, memang saya masih muda,tetapi saya tidak berdaya untuk bekerja dan memerlukan bantuan untuk menyara anak saya ini.

“Apa yang saya harapkan agar anak saya dapat kesempurnaan sepertimana kanak-kanak yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sinar Harian

Pakatan Rakyat tekad mansuh Auku – Anwar

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 29 Dis: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat tekad untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sekiranya menerajui Putrajaya kelak.

“Saya mengulangi tekad dan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Auku serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan yang berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Umum KEADILAN itu turut menggesa kerajaan agar menghentikan segala tekanan terhadap mahasiswa dan menyifatkan Umno sebagai terdesak kerana dilihat seakan takut dengan kelompok mahasiswa.

“Tatkala kesedaran menuntut kebebasan di kalangan mahasiswa mulai berkembang dan matang, pimpinan Umno semakin gusar dan resah dalam menghadapi asakan ini serta bertindak melulu dengan menzahirkan ancaman fizikal bersifat biadab dan semberono.

“Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah Auku sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa. Tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus,”

“Insiden remeh di depan ibu pejabat Umno di PWTC yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik Umno seolah-olah ianya jenayah besar walhal isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah seringkali diketepikan,” kata Anwar.

Tambah beliau, tindakan menghukum menggunakan Auku terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakut-nakut dan sebagai langkah mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.

Anwar turut membidas janji komitmen pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kononnya mahu meminda Auku dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa dalam politik kepartian hanyalah omong kosong.

Pada 23 Disember lalu, Adam Adli Abdul Halim menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin UPSI dan berdepan dua pertuduhan, iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

Ia berikutan tindakannya menurunkan bendera Najib selepas Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tindakan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak khususnya sekumpulan penyokong Umno.

Keadilan Daily

11 NGO halang penyenaraian FGVH

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Dis: 11 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF).

Dikepalai Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebaangsaan (Anak) yang bergerak sendirian sebelum ini, matlamat utama GSF ditubuhkan untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, GSF di peringkat awal mendesak kerajaan membatalkan usaha penyenaraian yang bakal menjejaskan aset 112,635 peneroka.

"Gabungan ini akan bergerak ke seluruh negara bagi mendesak kerajaan membatalkan hasrat penyenaraian ke Bursa Saham," kata beliau pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, dekat sini, hari ini.

Selain Anak, GSF disertai Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kumpulan Media Independent (Kami), Badan Bertiindak Peneroka Felda (Bangkit), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa).

Turut bersama, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Harakah Daily

Zakat: PKR harap Jamil Khir tidak menyorok

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap Datuk Jamil Khir Baharom segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu wang zakat.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada jawapan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tentang salah guna wang zakat meliabtkan menteri berkenaan.

Nazmi berkata, berikutan kenyataannya semalam, Muhamad Yamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa pembiayaan kos guaman Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.

“Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada Jun 2011 juga, katanya Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman itu.

Malangnya, kata beliau Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November 2011.

“Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka.

“Saya berharap Jamil Khir sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini,” ujarnya.

Menurutnya, pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salah guna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.

Sekurang-kurangnya, kata beliau apabila isu itu mula-mula timbul peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya, apakah pandangan beliau?” tanya beliau yang juga Adun Seri Setia

Yang nyatanya, kata beliau lagi Ketua Audit mengesahkan wang zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan kemudian pada Disember 2010.

Soalnya lagi, mengapa wujud dwi-standard dengan kes amil zakat di Johor Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Katanya, umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat.

Harakah Daily

Monopoli MAS-Air Asia, rakyat jadi mangsa

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Penerbangan untuk Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih sukar dan mahal selepas ini kerana Firefly tidak akan lagi menjalankan perkhidmatan di negeri-negeri tersebut.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong (gambar) berkata, kolaborasi MAS-Air Asia dilihat hanya menguntungkan satu pihak sahaja, iaitu Air Asia sendiri, manakala rakyat menderita, lapor Roketkini.com.

“Dengan MAS dan Firefly menghadkan penerbangannya, Air Asialah yang memonopoli laluan-laluan udara tertentu. Sebagai contoh, laluan Sandakan-KL sudah menjadi monopoli Air Asia sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dengan jumlah penerbangan yang kurang dan harga pula lebih mahal, ia bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah tidak baik untuk ekonomi.

Beliau menjelaskan, institut kajian Research for Social Advancement (REFSA) telah mengenal pasti beberapa pekara utama:

1. Kurang penerbangan bermaksud kurangnya pekerjaan untuk staf di udara dan di lapangan. Ini juga bermaksud gaji lebih rendah, kurang peluang perkerjaan, dan kurang kuasa perbelanjaan.

2. Ia juga memberi impak terhadap perniagaan yang bergantung kepada penerbangan udara tersebut seperti teksi, hotel, restoran, penjaja dan sebagainya yang amat berharap dan bergantung kepada pengguna penerbangan tersebut.

3. Dalam jangka masa panjang, situasi ini juga akan menyebabkan semakin kurang peluang untuk bertemu, berbincang dan menghasilkan produktiviti ekonomi.

Liew berkata, walau pun alasan kolaborasi MAS-Air Asia dikatakan membuka peluang untuk semua, yang tersurat adalah Firefly telah diikat sayapnya.

“Sudahlah orang di Johor kecewa dengan pembatalan penerbangan, Firefly mengalami penurunan kadar 30 peratus di hub sendiri di Subang,” tambah beliau.

Para pekerja Firefly juga gelisah kerana tidak pasti dengan nasib mereka.

Jika dahulu saingan mereka yang utama ialah pemilik Air Asia Tan Sri Tony Fernandes, kini beliau terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat induk mereka.

Menurut Liew, adalah lumrah bahawa kebanyakan staf Firefly mahu ‘melompat kapal’ untuk masa depan yang lebih terjamin, dan kehancuran Firefly juga mengurangkan lagi jumlah pilihan pengguna.

“Penambahan pilihan, pengurangan kos, menggalakan persaingan, kesaling hubungan adalah amat penting untuk kemajuan negara,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Biro Antarabangsa DAP berkata, kolaborasi yang berbentuk monopoli itu harus dihalang sebelum lebih berpuluh ribu rakyat Malaysia terjejas dengan pembatalan penerbangan, kehilangan mata pencarian mereka, dan pengecilan gaji.

“Semoga lebih banyak perkhidmatan dan pilihan diberi kepada rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak agar mereka dapat pulang dengan selamat, murah, dan mudah,” katanya.

Harakah Daily

Tiga cilik dipercayai kebas duit

4 Safar 1433H. [MOD] -

PUCHONG - Misteri kehilangan wang tunai berjumlah hampir RM20,000 milik seorang kontraktor yang sebelum ini disangka perbuatan toyol terjawab apabila tiga penyamun cilik mengaku melakukan perbuatan itu.

Difahamkan, penyamun cilik berkenaan mengaku mencuri wang tunai itu selepas ditakut-takutkan anak mangsa yang mendakwa badan mereka yang mencuri akan terasa panas kerana terkena air jampi dibuat rakan bapanya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal berkata, sebelum ini beberapa kali duit yang disimpan di dalam bilik tidur di rumah yang didiaminya di Kampung Seri Langkas Tambahan, di sini hilang, bagaimanapun jejak si pencuri gagal dikesan.

Pada mulanya, Kamal berkata, dia menyangka isterinya yang me­ngam­bil duit itu sehingga pernah mencetuskan beberapa pergaduhan.

“Barang kemas dan wang tunai milik isteri juga lesap, malah sejak tiga tahun lalu, kami kehilangan puluhan ribu ringgit tanpa mengetahui siapa yang mengambilnya.

“Memang mulanya kami sangka ia perbuatan toyol kerana tiada kesan rumah dipecah masuk dan sebagainya, bagaimanapun misteri kehilangan­ wang ini akhirnya terbongkar apabila anak saya terserempak dengan si pencuri yang ketika itu cuba mengambil wang dalam salah satu bilik tidur di rumah kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian terbaru berlaku petang Sabtu lalu

Kamal berkata, anaknya cuba bertindak mengejar penyamun cilik berkenaan, namun gagal.

“Anak saya memang kenal dengan kanak-kanak itu kerana dia tinggal di kawasan berhampiran, akibat geram dengan perbuatan itu, anak saya yang berusia 9 tahun mengam­bil satu bekas berisi air dan kertas bertulisan jawi seolah-olah seperti ‘air jampi’ dan ditunjukkan kepada kanak-kanak itu.

“Dia memberitahu siapa yang mencuri wang di rumah saya perutnya akan terasa panas dan jangan menyesal sekiranya tidak mahu memulangkan wang yang dicuri,” katanya.

Takut dengan ugutan itu, tiga kanak-kanak masing-masing berusia 11, 12 dan 13 tahun itu mengaku mencuri wang ketika rumah ditinggalkan kosong.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak itu mengaku memasuki rumahnya melalui tingkap sebelum menyelinap masuk ke dalam salah sebuah bilik tidur untuk menggeledah mencari wang.

Kamal berkata, dia tidak dapat mengagak berapa banyak wang yang hilang, namun kali terakhir berjumlah hampir RM4,000.

Menurutnya, selepas mengaku, kanak-kanak itu hanya memulangkan RM60 sahaja dan mendakwa baki selebihnya sudah dibelanjakan membeli bola, kasut dan sebagainya.

Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum ini dia langsung tidak mengesyaki kanak-kanak yang hampir sebaya dengan anaknya melakukan perbuatan itu.

“Memang duit banyak kali hilang, tetapi saya tidak pernah mengesyaki kanak-kanak yang selalu datang ke rumah bermain dengan anak saya itulah pencurinya.

“Sebelum ini ada juga terasa hairan apabila kanak-kanak itu sering bertanya bila saya mahu keluar rumah ke kedai membeli sarapan dan sebagainya, berkemungkinan untuk memudahkan mereka melakukan ‘kerja’ di rumah saya tanpa disedari sesiapa,” katanya.

Sinar Harian

Rasuah:Bekas Pegawai Kanan Digi Telecommunication Didenda RM2.75 Juta, Penjara Empat Tahun

4 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai kanan pemerolehan Digi Telecommunication Sdn Bhd dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM2.75 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas didapati bersalah atas 14 pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM415,000 daripada sebuah syarikat.

Hakim Asmadi Hussein menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, S. Stanley, 39, dari Bandar Kinrara, Puchong, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh boleh dipenjara selama 14 tahun sekiranya dia gagal membayar denda.

Asmadi bagaimanapun membenarkan permohonan Stanley untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Mahkamah turut menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM50,000 kepada RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri di balai polis terdekat pada Ahad pertama setiap bulan.

Stanley didakwa memperoleh wang itu melalui akaun Maybank daripada Syarikat Nakhoda Sistem Sdn Bhd sebagai dorongan untuk memilih syarikat berkenaan sebagai pembekal kabel dan peralatan telekomunikasi kepada Digi Telecommunication.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Kinrara, Puchong dekat sini, antara 13 Ogos 2007 dan 22 Okt 2008.

Sepanjang perbicaraan, seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muhammad Sinti manakala tertuduh diwakili oleh peguam M.Athimulan. - BERNAMA

Empat lari bertempiaran

4 Safar 1433H. [MOD] -

BESUT - Empat bersaudara bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila sebuah rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian ketika hari hujan di Kampung Lak Lok Dalam dekat Alor Selising, Jertih, di sini semalam.

Mangsa, Siti Hasmah Taji Mohamad, 25, berkata, kejadian jam 7.30 pagi semalam itu berlaku ketika dia bersama seorang anak saudara dan dua sepupunya sedang tidur di dalam dua bilik berasingan di dalam rumah terbabit.

Menurutnya, dia terhidu bau hangit seperti sesuatu terbakar di bahagian dapur rumah dan selepas diperiksa mendapati penjuru dapur yang menempatkan ruang yang ditutup dengan almari telah terbakar.

“Sebaik menyedari kejadian itu saya terus mengejutkan anak saudara saya, Aqil Qayyim Ramadan Azwan, 4, dan dua sepupu Syazaliani Shamsuddin, 15 serta Mohd Said Ismail, 21, yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.

“Kami keluar sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting,” katanya.

Siti Hasmah berkata, ketika kejadian dua sepupunya tidur di rumah berkenaan untuk menemaninya kerana ibunya, Siti Mariam Ab Fatah, 55, tidak ada di rumah kerana melawat saudara yang sakit di Bachok, Kelantan.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan sebuah motosikal milik bapanya yang bekerja di Kuala Lumpur musnah, termasuk beberapa set pelamin milik kakaknya untuk disewakan.

Siti Mariam berkata, dia redha dengan kejadian itu walaupun rumahnya musnah, kerana yang paling penting nyawa anak, cucu dan anak saudaranya yang berada di dalam rumah itu selamat.

Dia menganggarkan kerugian yang dialami melebihi RM100,000.

Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Zuzuki Safei, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.39 pagi lalu menghantar tujuh anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian.

Kata beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 10 minit selepas bomba tiba di tempat kejadian dan 90 peratus rumah kayu itu musnah.

“Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Nelayan tuntut RM2.9 juta

4 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Kira-kira 500 nelayan dari sembilan kampung berhampiran pusat rekreasi terkemuka, Danga Bay di sini berkumpul bagi menyerahkan memorandum tuntutan baki pampasan yang berjumlah RM2.9 juta kerana projek pembangunan di pesisir pantai itu dikatakan telah menyebabkan kehidupan mereka terjejas.

Menurut mereka, sejak pemaju projek itu bersetuju untuk membayar pampasan itu, hanya RM100,000 dibayar pada 2004 kepada 279 nelayan yang berkenaan.

Kami mahu tuntut baki lagi RM2.9 juta yang seperti dijanjikan,” kata Pengerusi Jawatan­kuasa Bertindak Pampasan Danga Bay, Pandak Ahmad.

Kumpulan nelayan terbabit yang datang dengan ratusan bot dari jeti Kampung Sungai Melayu hingga ke Danga Bay, kemudian berkumpul sambil bersemangat memegang sepanduk menuntut pembayaran disegerakan.

Selepas hampir 10 minit menunggu, hanya sembilan wakil nelayan dibenarkan menemui pihak pengurusan Danga Bay dan menyerahkan memorandum pampasan berkenaan kepada Pengurus Undang-undang Danga Bay Sdn Bhd, Chai Yee Man.

Usaha mendapatkan kenyataan Danga Bay bagaimanapun gagal kerana Yee Man enggan mengulas sebaliknya menyatakan beliau hanya diarah oleh pihak pengurusan untuk menerima memorandum yang diserahkan.

Pandak berkata, kehadiran nelayan itu sebagai tanda mereka bersatu menuntut pampas an yang tertunggak sejak 10 tahun lalu.

“Sejak lapan tahun lalu, hanya RM100,000 daripada RM3 juta berjaya diserahkan kepada 279 nelayan yang terlibat pada 6 Januari 2004. Mereka memberi alasan bahawa perkara tersebut tidak termasuk dalam perjanjian yang dibuat.

“Maka kami menuntut baki pampasan yang dijanjikan. Sudah beberapa kali diadakan mesyuarat, namun tiada juga keputusan. Kami hanya bagi tempoh masa kepada mereka selama 10 hari untuk selesaikannya.

“Sekiranya masih tiada tindakan, kami akan menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mahupun ke Putrajaya bagi menghantar memorandum yang sama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” katanya ketika pemberita, di sini, semalam.

Pengerusi Nelayan kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, pendapatan nelayan di kawasan itu terjejas sejak projek pembangunan yang dibangunkan di kawasan pesisiran pantai.

“Paling teruk kepada penternak kupang. Kalau dulu, mereka meraih pendapatan yang tinggi hasil sumber terbabit, namun, kini sudah tiada. Kami di peringkat persatuan telah bermesyuarat banyak kali.

“Kami harap isu kami ini mendapat perhatian terutamanya kepada Kerajaan Negeri agar membela nasib kami yang teraniaya ini. Kami mahu ia dapat diselesaikan segera mungkin dan memberi faedah kepada semua pihak,” katanya.

Sementara itu, nelayan dari Kampung Bakar Batu, Udi Benge, 36, mendakwa sejak projek pembangunan dilaksanakan oleh Danga Bay, dia hilang punca pendapatan, kini hidupnya umpama kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

“Nak cari ketam atau udang memang susah. Sekarang nak cari RM20 juga susah,” katanya.

Kesemua kampung yang terlibat ialah Kampung Teluk Serdang; Kampung Skudai Kiri; Kampung Bakar Batu; Kampung Sungai Temon; Pantai Lido; Sungai Danga; Sungai Melayu; Kampung Tebing Runtuh dan Kampung Usaha Jaya.

Kumpulan berkenaan kemudian bersurai secara aman pada jam 3.30 petang selepas memorandum diserahkan.

sinarharian

Pekebun sayur ke mahkamah

4 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang pekebun sayur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu di Kampung Baru, Ampang Baru pada 15 Disember lalu.

Leong Chai Wai, 43, dari Taman Seri Ampang didakwa mengedar Syabu seberat 3.64 kilogram di rumahnya pada jam 10 pagi pada tarikh berkenaan.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39B(2) akta yang sama memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan dicatatkan sewaktu pertuduhan di bawah seksyen berkenaan dibacakan.

Laporan akhbar lalu, Chai Wai bersama ibunya ditahan dalam serbuan di rumahnya dan merampas dadah berkenaan yang dibungkus kecil bagi memudahkan penjualan untuk pasaran tempatan termasuk di Kuala Lumpur.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM110,000, sebuah kereta, jam tangan jenama Rolex dan wang dalam akaun berjumlah RM95,000.

Keseluruhan nilai harta yang disita bernilai RM237,000.

Bagaimanapun, ibunya berusia 73 tahun yang ditahan bersama dalam serbuan berkenaan dilepaskan dengan ikat jamin polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Chai Wai diwakili peguamnya, Datuk Naran Singh.

Majistret Haslina A Raof menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Sinar Harian

Bapa bawa anak ketika mencuri

4 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang bapa menunjukkan contoh tidak baik kepada anak-anaknya apabila sanggup melakukan perbuatan mencuri sebuah mesin canai milik sebuah pasar raya di sini, ketika tiga anak itu ada bersamanya, pada 20 Disember lalu.

Natijahnya, Mohd Zahamid Said, 35, dari Kampung Kiat Sering di sini, dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.

Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan selepas tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zahamid mengaku dengan niat jahat mencuri mesin canai jenama Starke milik pasar raya Giant bernilai RM56.99 pada jam 8.30 malam, 20 Disember lalu.

Tindakan tertuduh disedari seorang pengawal keselamatan, Mohd Izwan Ibrahim sebelum bertindak menahan tertuduh dan menyerahkan kepada pihak polis.

Sebelum hukuman diputuskan, tertuduh mengaku membawa bersama tiga anaknya berusia enam, empat dan dua tahun ketika mencuri di pasar raya tersebut selain merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai tanggungan.

“Saya mohon hukuman saya diringankan kerana saya mempunyai empat anak yang masih kecil,” katanya.

Tertuduh memiliki tiga rekod lampau termasuk dua jenayah curi mengikut Seksyen sama selain turut dijatuhi hukuman tiga bulan penjara serentak oleh mahkamah sama kerana gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan dalam kejadian terbaru itu.

Sinar Harian

Lebih 50 anggota Kastam hadapi tindakan tatatertib

4 Safar 1433H. [MOD] -

TUMPAT - Lebih 50 anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di seluruh negara dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja sepanjang tahun ini atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Penguatkuasaan, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, jabatan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota Kastam yang terlibat dengan masalah disiplin.

Menurutnya, tindakan tatatertib ini untuk mengelakkan berlakunya gejala yang tidak sihat di kalangan anggotanya dan seramai 13,000 pegawai yang ada, bilangan yang terlibat dengan masalah tatatertib ini amatlah kecil.

”Jabatan akan bertindak tegas ke atas mana-mana anggota atau pegawai yang terlibat dalam perlanggaran tugas,” katanya.

Bagi mengatasi masalah ini pihak jabatan telah mengenal pasti tiga program iaitu ‘Hot Spot’, “Hot Staff’ dan “Hot Job’.

”Jika kawasan tersebut dikatakan ‘Hot Spot’, kita akan tukarkan pegawai atau anggota tersebut dalam tempoh setahun begitu juga dengan ‘Hot Staff’ untuk mereka yang “nakal”.

Untuk ‘Hot Job’, pegawai di bahagian pentafsir yang terlalu kerap menggunakan budi bicara kita akan tukarkan mereka ke bahagian lain,” katanya selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat, Kempen Mencegah Penyeludupan di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Isa Endut dan Timbalannya, Zakaria Yusoff.

Sinar Harian

Ceroboh asrama: Juru kimpal dipenjara sebulan

4 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang juru kimpal dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas didapati bersalah menceroboh kawasan asrama, Disember lalu.

Hukuman terhadap Lok Gim Seng, 45, diputuskan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada prosiding kelmarin, tertuduh mengaku bersalah menceroboh asrama pelajar dan pekerja yang terletak di Jalan Bayam di sini, pada jam 1.30 pagi, 21 Disember lalu.

Berikutan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut.

Selain itu, Gim Seng turut dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mempamerkan kad pengenalan kepada polis ketika pemeriksaan pada hari kejadian.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan berikutan ibu bapanya sudah uzur dan mereka yang akan membayar denda sekiranya dia dikenakan hukuman itu.

Mohd Fazaly Ali bagaimanapun mengenakan hukuman penjara serentak dari tarikh tangkapannya dan menasihatkan tertuduh supaya menginsafi kesalahan tersebut.

“Saya nasihatkan kamu berubahlah. Cukuplah tu. Ibu bapa kamu yang sudah tua itu sanggup datang ke mahkamah semata-mata kerana kamu. Jika mereka tidak sayang mereka tidak akan datang. Jadi, berubahlah sementara mereka masih ada,” katanya.

Tertuduh turut memiliki tiga rekod lampau termasuk dua kesalahan membabitkan jenayah dadah.

Sinar Harian

Pelajar MRSM johan tahfiz

4 Safar 1433H. [MOD] -

KAMPUNG CACAR – Bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Paka II, Muhammad Haizul Ezzat Alias, 13, muncul johan program Kem Pra-Tahfiz 2012 setelah mengetepikan lebih 30 peserta lain pada program yang diadakan sempena musim cuti sekolah itu.

Haizul Ezzat, yang kini sedang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan dinobatkan sebagai pelajar terbaik apabila dia berjaya menghafal empat surah al-Quran selain dapat membaca kitab suci itu mengikut sebutan dan kaedah yang betul.

Haizul yang ditemui ketika berkongsi kegembiraan berkata, dia akan membaca surah yang dihafalnya beberapa kali untuk membolehkannya mengingati apa yang dibaca.

“Sekurang-kurangnya saya baca sepotong ayat itu sebanyak 10 kali untuk membolehkan saya mengingatinya.

“Selain itu saya juga fokus ketika mendengar tunjuk ajar dari guru selain banyak membuat hafalan ketika berada di rumah,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika ditemui selepas menerima hadiah dan sijil penghargaan sempena majlis tamat kursus di Masterscaff Holdings delat sini, malam semalam.

Program Kem Pra Tahfiz anjuran As Syafie Consultancy yang berpusat di Taman Uda Murni Paka itu bertujuan untuk mendidik golongan remaja agar menjadikan Al-Quran sebagai budaya hidup selain turut menyelitkan ibadah lain sebagai melengkapkan acara.

Sinar Harian

Dijel curi televisyen hotel

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Malang bagi dua lelaki apabila mereka bukan sahaja tidak berjaya mendapatkan televisyen yang cuba dicurinya, malah terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, masing-masing berasal dari Kuala Terengganu iaitu Mohamad Zani Mat Yusof, 23, dari Kampung Nesan Empat, dan Mohd Asyraf Hamdi Mat Din, 20, dari Kampung Tanjung Teluk melakukan perbuatan itu di sebuah hotel, di Jalan Sultan Zainal Abidin, empat hari lepas.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya melaksanakan dengan niat bersama melakukan perbuatan terbabit pada 25 Disember lalu kira-kira jam 4.30 petang di Hotel Suria Inn dan telah mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman daripada milikan Wong Soon Woei, 38, iaitu sebuah televisyen LCD 32 inci bernilai RM1,600.

Kedua-duanya melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut fakta kes, kedua-duanya dikatakan telah menggunakan tali plastik untuk mengeluarkan televisyen di bahagian ruang tamu tingkat satu itu melalui tingkap hotel.

Bagaimanapun, perlakuan kedua-duanya disedari oleh orang ramai yang berada di kedai makan bersebelahan hotel tersebut dan bertindak menghentikan perbuatan terbabit.

Pemilik kedai makan kemudian menghubungi pemilik hotel terbabit yang ketika itu sedang berada di kediamannya di Jalan Sultan Zainal Abidin bagi memaklumkan berhubung perkara itu.

Pengadu yang ke tempat kejadian kemudian mendapati orang ramai telah menangkap kedua-dua tertuduh terbabit dengan kesan lebam di bahagian badannya.

Pengakuan pertuduhan dibuat di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Sinar Harian

16 Terbunuh Kebakaran Di Myanmar

4 Safar 1433H. [MOD] -

YANGON: Satu kebakaran diikuti beberapa letupan beberapa memusnahkan gudang dan kawasan kediaman menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 108 cedera Yangon, Myanmar, pada hari Khamis.

Letupan bermula ketika anggota bomba cuba memadamkan api di sebuah gudang dan api merebak ke gudang, kawasan perumahan dan bangunan berhampiran sebelum waktu subuh.

Wad kecemasan di Hospital Besar Yangon berada dalam keadaan cemas kerana berpuluh-puluh orang cedera selain ambulan dan trak membawa mayat.

Seramai 108 orang yang cedera telah dihantar ke hospital dan ramai lagi bakal dibawa ke situ, kata seorang jururawat kanan. Beliau mengesahkan seramai 16 orang telah meninggal dunia.

Beliau berkata mereka yang terkorban termasuklah sekurang-kurangnya tiga anggota bomba yang terperangkap dalam letupan semasa kebakaran di bandar Mingalar Tahung Nyunt yang terletak di timur Yangon.

Bagaimanapun jururawat tersebut tidak mahu mendedahkan identitinya kerana dia bukanlah orang yang berhak memberi kenyataan kepada media.

"Ramai yang mati akibat terkena serpihan yang terbang dari dinding yang batu yang tercampak jalan kerana letupan," seorang penduduk berusia 45 tahun, Maung Win, memberitahu media tempatan.

Letupan turut merobohkan bangunan termasuk sebuah biara Buddha berhampiran gudang. Tingkap dari bangunan berdekatan hancur berkecai akibat letupan kuat, kata saksi kejadian.

Selain itu letupan itu turut menggegarkan seluruh bandar, mengejutkan penduduk yang sedang tidur. Asap hitam dilihat berkepul dari tempat runtuhan pagi Khamis.

Sementara anggota bomba pula berusaha mencari mayat di celah-celah serpihan.

Punca kebakaran dan letupan pula masih tidak dapat dipastikan.

Penduduk berhampiran berkata kebakaran bermula di sebuah gudang yang menyimpan barang-barang elektronik sebelum merebak ke gudang lain yang menyimpan beberapa jenis bahan kimia.

mStar/-

Bekas hakim Arifin Jaka meninggal dunia

4 Safar 1433H. [MOD] -

Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Arifin Jaka meninggal dunia di Hospital Serdang pada jam 6.05 pagi ini.

Tidak diketahui bila beliau dimasukkan ke hospital tersebut tetapi Arifin memang mengidap penyakit kencing manis. Presiden Majlis Peguam Malaysia, Lim Chee Wee mengesahkan kematian Arifin.

Arifin ialah hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes liwat pertama terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2000 dan seterusnya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan tersebut, tetapi Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 membatalkannya dan Anwar dibebaskan pada tahun 2004.

Arifin dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Presinct 20 Islam di Putrajaya selepas solat Zohor.

malaysiakini/-

Jeti tertimbus angkara kejadian ombak besar

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA PAKA – Golongan nelayan berperahu gentian kaca kini berhadapan masalah ketiadaan jeti pendaratan susulan lokasi asal yang menjadi tempat pendaratan mereka tertimbus pasir berikutan kejadian ombak besar malam kelmarin.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi terbabit mendapati, jeti berukuran kira-kira 10 meter itu tertimbus pasir menyebabkan kebanyakan nelayan terpaksa mendaratkan bot mereka di lokasi lain.

Nelayan tempatan, Rosli Muda, 46, berkata, jeti konkrit simen itu kini boleh diibaratkan sebagai tugu peringatan kerana ia tidak lagi berfungsi sebagai tempat pendaratan bot nelayan.

“Kalau dahulunya, nelayan boleh melabuhkan bot mereka di sini, namun sejak kejadian ombak besar, ia sudah tertimbus dengan timbunan pasir kira-kira dua meter.

“Kalau boleh, selepas musim tengkujuh ini, biarlah pihak berkenaan dapat menyelenggarakannya semula untuk kemudahan nelayan di sini,” katanya.

sinar harian/-

Gara-gara pukul bekas adik ipar

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang pembantu kantin yang bertindak memukul bekas adik iparnya membawa padah apabila dihukum denda sebanyak RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Norliza Juliana Mohd Arif, 24, ibu kepada dua anak berasal dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, di sini, telah memukul mangsa, Nurul Hazlinda Md Nong, 23, dengan menggunakan kunci tambahan motosikal dipercayai akibat provokasi daripada mangsa sebelum kejadian tersebut yang bertindak menarik tudung tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 September lalu, kira-kira jam 4 petang di Jalan Mengabang Telipot, di sini dan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dari Tetuan Mohd Hayyatuddin & Co membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof dan pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Berdasarkan fakta kes, pada 11 September lalu kira-kira jam 4 petang, pengadu bersama rakannya menaiki motosikal di Jalan Mengabang Telipot, di sini, dan secara tiba-tiba tertuduh memukul tangan pengadu menggunakan kunci tambahan motosikal (kunci fox).

Berikutan itu, pengadu mengalami kecederaan di pergelangan tangan kirinya dan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku memukul pengadu menggunakan kunci tambahan yang terdapat di dalam motosikalnya dan kejadian itu berlaku disebabkan masalah keluarga.

Sinar Harian

RM25,000 lesap sekali gus

4 Safar 1433H. [MOD] -

MARAN – Akibat percaya dengan jaminan sebuah bank bahawa wang simpanannya akan selamat, seorang wanita terpaksa berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM24,978.89 yang baru sahaja dimasukkan November lalu lesap.

Mangsa, Norhayati Ali,37, dari Ulu Jempol dekat sini berkata, wang tersebut akan digunakan untuk merawat kakinya yang pernah tercedera akibat kemalangan.

Menceritakan kembali kejadian itu, dia memberitahu pernah meminjamkan kad ATM miliknya kepada seorang jirannya dengan alasan mahu menerima deposit tunai dari seorang kenalannya.

“Setelah selesai melakukan urusan pertukaran sistem perbankan internet yang dilakukan oleh saya sendiri atas permintaan jiran yang pada ketika itu bercakap dengan seseorang dalam satu perbualan telefon.

“Kemudian transaksi berkenaan selesai barulah jiran saya memberitahu urusan tersebut dilakukan kerana dia dikatakan telah memenangi hadiah wang tunai dari sebuah syarikat komunikasi melalui satu sistem pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Menyedari diri dan jiran telah tertipu, Norhayati mengambil keputusan untuk merujuk kes tersebut kepada bank terbabit bagi memastikan kedudukan akaun banknya selamat bagi mengelakkan risiko pencerobohan pihak sindiket itu.

“Saya berurusan dengan cawangan bank itu di Temerloh dan staf bank tersebut hanya menukarkan kad ATM dan nombor pin baru serta turut memberi jaminan bahawa akaun saya akan selamat jika berbuat demikian.

“Saya kemudiannya memohon wang KWSP dan pihak KWSP mengesahkan wang tersebut telah masuk ke dalam akaun saya. Tetapi apabila disemak, saya dapati wang saya itu telah dikeluarkan melalui sistem perbankan internet,” katanya.

Norhayati kemudiannya membuat laporan polis di Temerloh dan kemudiannya kes tersebut dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Menurutnya lagi, polis menasihatinya agar menyelesaikan masalah tersebut dengan pihak bank.

“Sebulan lalu saya membawa kes ini untuk dirujuk pihak atasan bank tersebut. Mereka berjanji akan menyelesaikan masalah ini dalam masa dua minggu tetapi sehingga kini masih belum selesai.

“Sudah banyak masa dan wang saya habiskan untuk menyelesaikan masalah saya ini. Malah saya telah pergi ke ibu pejabat bank tersebut ydi Kuala Lumpur, tetapi mereka tetap memberikan jawapan yang sama,” katanya.

Oleh itu Norhayati menuntut bank terbabit bukan sahaja membayar semula wang yang telah hilang itu, malah turut meminta ganti rugi kerana banyak wang telah dilaburkan untuk kes ini.

Sekiranya masalah ini belum selesai, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut menghubungi pihak bank terbabit namun menurut mereka, keputusan masih belum diterima kerana kes itu masih dalam siasatan.

Sinar Harian

Rampas komponen kereta

4 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila kegiatan menyembunyikan komponen kenderaan curi yang dileraikan dan disembunyikan di belakang sebuah rumah di Bachok berjaya dikesan oleh polis.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 5 petang kelmarin polis berjaya merampas pelbagai komponen kereta jenis Proton Wira dan Iswara berjaya dirampas di belakang sebuah rumah di Kampung Pengkalan Chengal, Bachok.

Selain itu, tiga suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun ditahan hasil maklumat dan intipan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, pada jam 9 pagi yang membawa kepada penangkapan dua lagi suspek berusia 20 tahun di Panji dan suspek 27 tahun di Kampung Sering, Kedai Lalat, dekat sini.

“Hasil maklumat lanjut daripada penangkapan suspek polis berjaya merampas komponen kereta terbabit termasuk sebahagiannya sudah dimuatkan ke dalam lori dan van, selain masih berada di belakang rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan itu dijalankan juga salah seorang lagi suspek berusia lingkungan 20-an yang tinggal di rumah berkenaan melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

”Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan serbuan kita juga mendapati beberapa pintu, tempat duduk dan enjin yang sudah dileraikan sebelum ini berada dalam kenderaan. Siasatan lanjut kita juga mendapati di belakang rumah berkenaan dijadikan tempat meleraikan kenderaan yang dicurinya sebelum ini,” katanya.

Azham juga mempercayai masih ada rangkaian ahli lain yang terbabit dalam kumpulan berkenaan dan siasatan secara terperinci akan dilakukan berhubung penglibatan suspek dalam kes kecurian itu.

”Hasil ujian air kencing juga didapati dua suspek terbabit adalah positif dadah dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah kenderaan motor,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli sebarang komponen kenderaan secara tidak sah, kerana kemungkinan ia barang curi atau sebaliknya.

Sinar Harian

Wang simpanan RM3,200 lesap

4 Safar 1433H. [MOD] -

SENAI - Seorang Eksekutif Pengiklanan Sinar Harian kerugian RM3,200 setelah diperdaya dua individu sindiket gores dan menang, dalam kejadian jam 3 petang kelmarin.

Kejadian bermula di tempat letak kereta di gedung beli belah di Kulaijaya, Hairun Nisa Syed Esa, 24, yang berseorangan didatangi seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun, dan memintanya membuka sampul surat bagi memenangi hadiah cabutan bertuah yang lumayan.

“Selepas membuka sampul yang diarahkan, saya dimaklumkan memenangi RM1.5 juta. Ketika itu, terdetik bahawa ia satu penipuan, namun saya dipaksa memasuki kenderaan, di mana wanita itu turut menaiki kenderaan saya dan diarah menuju ke pejabat mereka di Mount Austin.

“Sepanjang perjalanan, wanita terbabit bertindak memegang tangan saya dan mengarahkan saya memandu dengan laju. Kurang 20 minit kemudian, kami sampai ke pejabat itu dan saya diperkenalkan dengan pengurus di situ yang dikenali sebagai Micheal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam keadaan seakan tidak sedar, dia dimaklumkan Micheal bahawa jika ingin menebus wang yang dimenangi, dia perlu membayar cukai kerajaan iaitu RM6,300.

Oleh kerana wang yang dibawa hanyalah RM750, wanita terbabit bertindak memeriksa dompetnya dan mengarahkan untuk ke bank untuk mengeluarkan wang miliknya.

Katanya, ketika di mesin ATM, wanita tersebut bertindak mengeluarkan kesemua wangnya berjumlah RM2,450 dan memaklumkan wang terbabit perlu dicatat nombor siri.

“Mereka ambil semua duit saya dan sempat memberitahu bahawa mereka bukan hendak menipu, kerana duit milik saya tidak seberapa berbanding dengan perniagaannya berjuta-juta.

“Saya juga diarah menandatangani satu kertas dan kemudian dimaklumkan memenangi hadiah cabutan bertuah kedua iaitu sebuah tilam bernilai RM15,925 (SGD6,500). Ketika itu, baru saya tersedar saya telah ditipu dan bertindak menjerit,” katanya.

Hairun Nisa berkata, jeritannya itu menyebabkan dua pelanggan lain dipercayai mangsa dan tujuh pekerja di premis itu terkejut dan Micheal bertindak seperti hendak menamparnya.

“Pengurus mereka marah saya. Dia memberitahu saya telah merosakkan perniagaannya dan memaklumkan tilam yang dimenangi itu boleh dijual di Singapura.

“Ketika itu, saya meronta meminta wang saya dipulangkan namun tindakan kasar mereka membuat saya takut sehingga rakan datang menjemput saya dari pejabat itu,” katanya.

Hairun Nisa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi, jam 6.30 petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri, Abdul Hamid Abu Bakar menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan mana-mana tawaran hadiah lumayan atau sebagainya.

Sinar Harian

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

4 Safar 1433H. [MOD] -

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka:

“Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’ “

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya,

setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”

10. Orang yang sedang makan sahur. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang melawat orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

TAZKIRAH/-

Terpedaya iklan Internet

4 Safar 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Seorang wanita rugi RM510, ditipu selepas membeli makanan dan barangan penjagaan kucing melalui sebuah laman web, baru-baru ini.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ina, 29, berkata, dia menyedari dirinya tertipu kerana barangan dipesan tidak diterima selepas membuat pembayaran.

Menurutnya, dia tertarik dengan iklan di laman web berkenaan kerana menawarkan harga murah.

“Saya kemudiannya meng­hubungi pengiklan terbabit, dikenali sebagai Muhd Azmi dan menetap di Selangor, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Selepas berbincang dengannya, saya bersetuju memasukkan RM510 dalam akaunnya pada 15 Disember lalu, untuk pembelian dua jenis makanan kucing seberat 20 kilogram dan ubat kutu sebanyak lima kotak,” katanya, di sini, semalam.

Ina yang bekerja sebagai penjawat awam berkata, selepas memasukkan wang berkenaan, dia menghubungi Muhd Azmi dan dia berjanji menghantar barang dipesan melalui pos dalam tempoh beberapa hari.

Bagaimanapun menurutnya, selepas beberapa hari, barangan berkenaan tidak diterima dan usaha menghubungi lelaki terbabit juga gagal.

“Sebelum ini saya sering membeli barangan di Internet tetapi tidak pernah di tipu.

“Pengalaman ini membuatkan saya serik dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima mengenai laporan berkenaan.

Sinar Harian

Terlepas tali gantung

4 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang pembantu kedai makan terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan penjara 18 tahun dan 10 sebatan apabila dia didapati bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki dadah jenis ganja seberat 1,941 gram, awal Januari lalu.

Hakim, Datuk Zamani A Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Noor Azman Abidin, 40, selepas mengambil kira hujahan serta jawapan pendakwa dan peguam.

“Saya simpati kerana itu saya pinda pertuduhan yang difailkan oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati.

“Sebenarnya saya ingin menjatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun terhadap tertuduh, tetapi dalam mengguna budi bicara dan keadaan sekeliling, saya menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun bermula tarikh tertuduh ditangkap,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Noor Azman didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 1,941 gram di kawasan letak kereta belakang Pasar Raya Sunshine, Air Itam, di sini, jam 3 petang, 5 Januari 2011.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang boleh dipenjarakan seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saliza Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.

Terdahulu dalam prosiding, peguam tertuduh, Hussaini memohon jasa baik mahkamah untuk meringankan hukuman penjara kepada tempoh yang singkat bukan seumur hidup bagi memastikan kehidupan keluarganya terjamin.

“Tertuduh yang bekerja di warung bapanya di Batu Lanchang, di sini mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja sewaktu ditangkap dan tiga anak yang masih kecil.

“Malah, tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Sementara itu, Saliza berkata, tertuduh seharusnya berterima kasih kerana mahkamah mengarahkan dakwaan dipinda tetapi demi kepentingan masyarakat, hukuman yang setimpal perlu dijatuhkan.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan ia semakin berleluasa. Walaupun undang-undang dijalankan tetapi tangkapan sering kali dilakukan.

“Hukuman berat dan pengajaran perlu diberikan terhadap tertuduh untuk tidak menjebakkan diri dalam kegiatan salah laku dadah,” katanya.

Sinar Harian

Aziz Bari dipelawa masuk Pas

4 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Pusat, mempelawa Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyertai Pas, sekiranya ahli akademik itu menamatkan kerjayanya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, tawaran itu bagi memberi ruang kepada pensyarah undang-undang berkenaan mempraktikkan ilmunya sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan dalam menegur kepincangan sistem politik negara.

“Kami mengalu-alukan penyertaannya sebagai ahli politik bagi sama-sama membentuk sistem negara yang amat memerlukan ilmunya selama ini.

“Kita yakin penyertaan beliau dapat memberikan manfaat kerana ilmunya selama ini, diterjemahkan bagi membentuk sebuah negara mengikut lunas undang-undang sebenar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sekiranya Abdul Aziz menyertai Pas, bekas pensyarah itu dapat me-ngembangkan lagi ilmunya untuk sama-sama memelihara Perlembagaan Negara yang sering dipertikaikan selama ini.

“Sekiranya beliau me-nyertai Pas, cita-cita Pas untuk melaksanakan dasar pemerintahan Islam akan bertambah mantap,” katanya.

Raja Ahmad berkata, pihaknya menunggu jawapan daripada Abdul Aziz dan menghormati sebarang keputusan ahli akademik itu.

“Kami di dalam Pas menunggu sebarang pendirian beliau untuk sama-sama berkhidmat kepada seluruh rakyat kelak dan kami menghormati beliau sebagai seorang berpegang teguh dengan pendiriannya berhubung isu nasional selama berkhidmat dengan UIAM sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz sebelum ini memberitahu, beliau masih belum mendapat jawapan dari Pejabat Naib Canselor UIAM berhubung permoho-nannya untuk meninggalkan universiti itu.

Sinar Harian

Pakatan sifatkan undang-undang hubungan kaum dangkal

4 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Dis — Pakatan Rakyat menolak cadangan mewujudkan undang-undang hubungan kaum sambil menyifatkan ia helah Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan rakyat melalui konsep 1 Malaysia, yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan.

Bagaimanapun wakil rakyat dari pemerintah telah mencadangkan undang-undang itu, yang akan dibentangkan pada Mac, ia merupakan undang-undang yang dilihat mencerminkan komitmen pentadbiran Najib terhadap kepelbagaian budaya dan toleransi.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata walaupun dengan undang-undang sedia ada, kumpulan sayap kanan dan akhbar aliran utama telah bertindak mengeluarkan perkara-perkara berbaur perkauman dan hasutan.

Beliau menjelaskan keadaan yang berlaku itu membuktikan BN lebih berminat untuk terus menggunakan langkah transformasi dangkal daripada membenarkan institusi sedia ada melindungi hak semua rakyat Malaysia.

“Walaupun kita mempunyai undang-undang hubungan kaum yang sempurna, tanpa pelaksanaan yang adil ia akan menjadi ejekan bagi rakyat - sama seperti pengumuman perdana menteri sebelum ini mengenai Malaysia akan menjadi negara demokrasi terbaik di dunia,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini menambah undang-undang baru perlu diwujudkan dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan sahaja dibenarkan BN tetapi menegaskan pemimpin kerajaan tidak memahami hak yang diberikan kepada rakyat.

Putrajaya sepatutnya menubuhkan satu jawatankuasa pilihan Parlimen untuk mengkaji kesan Akta Hubungan Kaum, mempertimbangkan “baik, tidak bijak” undang-undang yang dicadangkan itu, tambahnya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata ia akan bagus untuk kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz untuk mengadakan perbincangan mengenai undang-undang baru itu sebelum dibentangkan di Parlimen.

Beliau juga tidak yakin sekiranya ia merupakan satu keperluan untuk mewujudkan undang-undang baru itu di Malaysia yang tidak menghadapi mana-mana masalah serius.

“Tiada keperluan mewujudkan undang-undang ini, selain itu ia memerlukan perbincangan,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata terdapat unsur “curiga” sambil menyifatkan ia seperti kembali kepada mentaliti Perang Dingin yang bertentangan dengan ucapan perdana menteri pada sambutan Hari Malaysia.

“Mentaliti Perang Dingin adalah tentang mengawal dan menganggap kerajaan tahu yang terbaik,” katanya.

“Tetapi konteks telah berubah. Persoalannya sekarang adalah ia bukan lagi tentang mengawal tetapi bagaimana untuk memperbudahkan dialog.”

Ahli Parlimen Bukit Bendera ini juga mempersoalkan sekiranya perlu untuk mewujudkan undang-undang itu sekarang memandangkan semua kaum hidup secara bersama dan orang Melayu merupakan majoriti di kebanyakan bandar.

“Adakah persoalan tentang kaum masih penting?,” soalnya.

Wakil rakyat Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata memandangkan beliau belum diberikan penerangan tentang Akta Hubungan Kaum, ia mungkin undang-undang yang dicadangkan melalui satu respons di debat talian hangat.

“Saya mengandaikan ia memberikan faedah kepada kerajaan, mesti ada alasan untuk itu,” kata Ahli Parlimen Pengerang ini.

“Ia lebih mudah membangkitkan kemarahan dalam banyak perkara di Internet terutamanya apabila nama penulis dirahsiakan. Mereka boleh mencetuskan lebih banyak kemarahan melalui tulisan dan Facebook.”

Tetapi Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata rakyat akan memberikan tafsiran yang salah tentang hasrat undang-undang itu sambil menambah ia bukan tentang mengatur hubungan antara kaum tetapi mencegah perkara-perkara yang bersifat perkauman dan keagamaan.

“Ia bukan tentang menguruskan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India. Ia tentang memastikan anda tidak didiskriminasikan berdasarkan warna atau kaum,” katanya.

Beliau berkata undang-undang yang dicadangkan itu akan memastikan Malaysia menjadi negara yang “setaraf” dengan dunia maju, merujuk ia seperti undang-undang di Britain.

“Ia satu akta yang menarik. Ia akan menuju ke arah Malaysia yang lebih baik. Ia akan mewakili semangat 1 Malaysia. Kita sepatutnya menyokongnya.”

MALAYSIAN INSIDER/-