06 Julai 2012

Buruh berdepan hukuman mati

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

GONG PASIR – Seorang buruh berkemungkinan berdepan hukuman gantung jika disabitkan kesalahan memiliki dadah selepas ditahan polis narkotik di sini, pagi kelmarin.

Suspek, 48 dari perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tanjung Pagar ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik diketuai Inspektor Wahid Sujani kira-kira jam 9.20 pagi di hadapan sebuah rumah di Gong Pasir.

Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek dikatakan bertindak melemparkan satu beg sebelum polis berjaya menahannya.

Bagaimanapun pemeriksaan ke atas beg terbabit dipercayai miliknya menemui beberapa kotak rokok yang mengandungi botol berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

Turut ditemui 200 pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut sebelum ditahan reman mengikut 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membolehkan siasatan terperinci dilakukan ke atasnya.

Jika bukti mencukupi, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk membolehkan suspek dituduh di mahkamah atas kesalahan memiliki dadah berbahaya itu.

Sinar Harian

TTS: Peneroka Keratong akan saman Felda

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: Felda sekali lagi akan berhadapan dengan saman daripada peneroka di atas kecuaian agensi berkenaan menguruskan kepentingan peneroka dengan baik.

Pengerusi Jawatan Bertindak Peneroka Felda Keratong 8, Jaludian Mat Hussain 52, (gambar) berkata, pihaknya telah mengesan kesalahan Felda membuat pemotongan berebihan wang Tabung Tanam Semula (TTS).

Katanya, agensi berkenaan telah terlebih potong wang peneroka bagi TTS dan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda setelah segala usaha untuk berunding tidak dilayan.

“Kami telah mengutus surat kepada Felda tetapi tidak mendapat layanan,” katanya.

Jelas Jaludian, Felda telah melakukan kesilapan apabila membuat potongan bagi TTS melebihi tempoh sepatutnya.

Difahamkan, Felda telah membuat potongan sebanyak RM40 sebulan selama 20 tahun bagi seorang peneroka namun angesi berkenaan didapati meneruskan potongan walaupun tempoh telah tamat.

Peneroka meminta wang berkenaan dikembalikan kepada peneroka dengan segera.

Jaludian berkata, pihaknya kini telah mendapatkan nasihat dari peguam dan akan memfailkan saman dalam masa terdekat ini.

Menurut Jaludian, peneroka sebenarnya tidak berminat untuk menyaman Felda namun tindakan agensi berkenaan yang enggan berunding dan mengembalikan wang lebihan itu memaksa peneroka mendapatkan keadilan di mahkamah.

Sebelum ini peneroka turut menyaman agensi berkenaan dalam isu Kadar Perahan Gred (KPG) dan wang TTS yang gagal dipulangkan Felda kepada peneroka yang mengusahakan tanaman semula secara persendirian.

Jaludian menasihatkan peneroka di seluruh negara supaya membuat semakan bagi memastikan tiada potongan berlebihan untuk TTS.

Ini kerana apabila wang berkenaan sudah masuk keakauan Felda ia sukar untuk dipulangkan kepada peneroka seperti yang berlaku kepada wang TTS dimana sehingga ini masih ada peneroka yang menanam sendiri belum menerima wang mereka.

Katanya keadaan mungkin menjadi lebih sukar apabila Felda kini dikuasai oleh pihak lain yang tidak tahu asal usul Felda.

Sinar Harian

Janin dalam kotak kasut

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

MELAKA - Seorang penjaga kaunter tandas Melaka Sentral, di sini terkejut apabila mendapat tahu kotak kasut berisi daging yang ditemui dalam tandas lelaki, awal pagi semalam adalah janin.

Kotak putih dibungkus dengan plastik berwarna coklat itu diterima Salmah Hamid, 45, kira-kira 8 malam oleh seorang pemandu bas yang menggunakan tandas berkenaan.

Salmah berkata, dia didatangi seorang pemandu bas berusia lingkungan 30-an yang membawa kotak berkenaan. “Masa itu saya sedang duduk di kerusi kaunter. Pemandu bas itu keluar dari tandas lelaki sambil membawa kotak kasut dan meletakkannya atas kerusi kosong di sebelah saya.

“Dia meminta saya tengok isi kotak itu. Saya tanya apa isi dalamnya. Dia kata ada ‘daging’.

“Saya terus tidak berani hendak buka dan memang tak mahu tengok apa isi kotak itu, lalu meminta dia bawa kotak itu ke bilik pengawal,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan rakanrakannya terdapat janin tidak cukup bulan di kotak itu, sebaik saja polis tiba ke Melaka Sentral untuk membuat pemeriksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah berkata, janin yang ditemui itu berusia lingkungan enam hingga tujuh bulan.

“Janin lelaki cukup sifat itu dijumpai dalam kotak kasut dalam keadaan bersih dan tiada uri serta tidak dibalut sebarang kain.

“Siasatan awal dipercayai janin berkenaan baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Muhammad Koey berkata, polis masih mengesan suspek bagi membantu siasatan kes mengkut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Siasatan awal juga mendapati kejadian berlaku antara jam 5 dan 8 pagi. Setakat ini, polis cuba mengenal pasti suspek menerusi kamera litar tertutup,” katanya.

Beliau berkata, janin berkenaan dibawa ke Hospital Melaka, di sini untuk tindakan selanjutnya. Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Turus (Siasatan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga) D11, Asisten Superintendan Noor Zarini Ariffin di talian 06-2854222 atau 019-7731273 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Kerana RM100, ugut mahu bakar rumah

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana tidak dapat RM100 yang diminta daripada bapanya, seorang penganggur tergamak mengugut akan mencederakan semua ahli keluarga dan membakar kediaman mereka, dalam kejadian di Kampung Tok Hakim, Padang Midin, Ahad lalu.

Bagaimanapun, tindakan Abdul Hakim Che Jaafar, 23, membawanya ke penjara setelah dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM4,000 atau empat bulan penjara.

Hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam selepas tertuduh mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan cedera, dengan niat menyebabkan ketakutan kepada bapanya, Che Jaafar Ali, 55, di kediaman mereka pada jam 10 pagi, 1 Julai lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa sedang berehat di rumah bersama ahli keluarga lain sebelum didatangi tertuduh yang meminta wang RM100 daripadanya.

Mangsa tidak mengendahkan permintaannya itu menyebabkan dia naik angin lalu mengugut akan mencederakan mangsa serta ahli keluarga dalam rumah ketika itu.

Dia turut mengugut akan membakar kediaman yang menjadi tempat berlindung mereka sekeluarga selama ini.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, memandangkan sebelum ini, dia kerap mengamuk dan merosakkan peralatan rumah disebabkan mahu duit. Abd Hakim ditangkap pada hari kejadian.

Sinar Harian

Terengganu mengamuk, belasah Sarawak 6-1

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Tewas pada perlawanan pembukaan Rabu lalu, Terengganu hari ini bangkit dengan semangat baru apabila membenam Sarawak 6-1 pada perlawanan peringkat kumpulan temasya Sukan Malaysia ke-15 di padang Majlis Perbandaran Kuantan di sini.

Juara bertahan itu mempamer aksi garang dengan asakan-asakan berbisa khususnya menerusi kapten pasukan Muhammad Fakhrurazi Musa dan Mohd Fahmi Izzudin Mohd Zaki.

Mohd Fahmi Izzudin menyumbat gol sulung Terengganu pada minit ke-29 diikuti tujahan Mohd Faidzol Fazreen Shamsuddin pada minit ke-36 menjadikan kedudukan 2-0.

Sarawak bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-41 apabila sepakan penalti oleh Maxwell Boly Uchigol tepat ke dalam gol Terengganu.

Namun, gol itu gagal membendung kemaraan skuad Penyu yang sekali lagi meledakkan gawang Sarawak menerusi Mohd Fahmi Izzudin sejurus sebelum berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu meneruskan pesta gol menerusi Ahmad Takhiyuddin Roslan pada minit ke-47, Muhammad Fakhrurazi (minit ke-54) dan

Muhammad Amirul Syahmi Ash'ari (minit ke-63), dengan kedudukan tamat masa perlawanan 6-1.

Mengulas kemenangan itu kepada Bernama kemudian, Mohd Fakhrurazi berkata, beliau dan rakan-rakan mendapat motivasi baru selepas tewas 0-3 pada pasukan tuan rumah Pahang kelmarin.

"Kali ini kami turun dengan moral yang lebih tinggi, untuk menebus kekalahan dengan Pahang, dan juga untuk memastikan Terengganu akan mempertahankan kejuaraan," katanya.

Beliau berkata, Terengganu juga tidak boleh leka dan harus sentiasa bersedia dalam setiap perlawanan meskipun menentang lawan bukan pasukan pilihan.

"Semua pasukan kami anggap hebat dan kami akan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Terengganu," katanya.

Perlawanan peringkat kumpulan acara bola sepak berlangsung sehingga Ahad ini bagi memilih lapan pasukan terbaik untuk berentap dalam pusingan suku akhir pada Selasa depan. – Bernama

Sinar Harian

Penjara 8 tahun rogol anak tiri

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol anak tirinya, tahun lalu.

Tertuduh berusia 27 tahun itu kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Ahmad Kamar dalam penghakimannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuat kuasa tarikh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya berusia tujuh tahun di daerah ini, kirakira 5.45 petang pada 10 September 2011. Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, anak tiri tertuduh berusia empat tahun memberitahu ibunya, bahawa tertuduh berada di dalam bilik air bersama mangsa. Ibu mangsa kemudian ternampak tertuduh memeluk mangsa dari belakang dalam keadaan bogel.

Ahmad Kamar berkata, kesalahan dilakukan tertuduh amat serius dan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal dengan perbuatan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Ainul Wardah Shahidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian

25 pelajar keracunan makanan

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Seramai 25 pelajar di sebuah sekolah kebangsaan, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Port Dickson setelah mengalami keracunan makanan disyaki selepas menikmati makanan nasi ayam dalam satu program di sebuah sekolah di Pasir Panjang, kelmarin.

Difahamkan, kesemua pelajar tahap dua sekolah tersebut tiba di klinik dengan dihantar oleh guru selepas mereka mengadu sakit perut ketika sesi pembelajaran di sekolah, semalam.

Salah seorang bapa pelajar berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia mendapat panggilan daripada pihak sekolah mengatakan anaknya dibawa ke klinik selepas mengalami cirit-birit kerana keracunan makanan.

“Pihak sekolah menelefon saya kira-kira jam 10 pagi memaklumkan anak saya mengalami sakit perut. “Malam tadi (semalam) anak saya ada juga mengadu sakit perut, namun saya fikir ia sakit biasa sahaja dan hanya menyuruhnya berehat, namun tidak menyangka ia akibat keracunan makanan,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Port Dickson, semalam.

Seorang pelajar pula mendakwa, dia makan nasi ayam namun tidak tahu sama ada sudah basi ataupun tidak. “Ketika itu, saya lapar dan hanya makan begitu juga dengan rakan-rakan lain,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di klinik berkenaan mendapati beberapa pelajar sedang mendapatkan ubat sambil ditemani guru dan ibu bapa.

Kesemua pelajar terbabit bagaimanapun dilihat meninggalkan klinik selepas kira-kira dua jam kemudian. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, semua pelajar yang terlibat berada di dalam keadaan stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat punca kejadian ini kerana ia adalah sesuatu perkara yang serius dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Ismail turut memberi amaran kepada pengusaha kantin sekolah dan mana-mana pengusaha makanan agar memastikan makanan yang disediakan kepada pelajar atau pelanggan sentiasa bersih.

“Kita mempunyai undang-undang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut dan mereka yang didapati bersalah tidak akan terlepas,” katanya.

Sinar Harian

Lena asmara tidak panjang

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

AMPANG - Sepasang kekasih yang sedang lena tidur di dalam sebuah bilik di sebuah rumah kedai, di sini, terkejut dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim dalam serbuan di kediaman berkenaan, awal pagi semalam.

Pasangan yang bekerja di sebuah hotel di ibu kota itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi setelah penguat kuasa menerima aduan mengenai pasangan tersebut di rumah itu sehingga menimbulkan keraguan penduduk.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, ketika ditahan lelaki itu memberi alasan dia terpaksa mengikut teman wanitanya pulang ke rumah itu kerana keretanya rosak.

"Lelaki berkenaan turut memberi alasan tidak dapat pulang ke rumahnya di Kajang kerana tiada pengangkutan awam dan dia perlu hadir di tempat kerja pada awal pagi.

"Difahamkan bilik sewa itu milik rakan mereka dan rakannya tidak mengetahui kehadiran pasangan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika penguat kuasa mengetuk pintu bilik tidur pasangan terbabit, seorang perempuan berbaju dan berseluar pendek membuka pintu.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki hanya memakai seluar pendek sedang nyenyak dalam keadaan tertiarap atas katil,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Balai Daerah Ampang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum siasatan lanjut,” katanya.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Tiga individu dicari polis bantu siasatan kes bunuh

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT - Pihak polis sedang mencari tiga lelaki yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang remaja pada 24 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketigatiga lelaki berkenaan dipercayai turut berada di tempat kejadian itu berlaku.

Menurutnya, Tee Kas Suat @ Ah Wee, 25; Goh Si Tak @ Ah Tak, 31 dan Gan Song Kuey, 24; beralamat terakhir di Senggarang dicari polis bagi melengkapkan siasatan.

“Kami percaya ketiga-tiga lelaki ini dapat membantu siasatan pembunuhan ke atas Aw Soon Ming, 17, yang ditemui dengan beberapa kesan tikaman pada badan di parkir sebuah pasar raya bulan lalu,” katanya ketika sidang mediadi Balai Polis Yong Peng di sini, semalam.

Beliau berkata, polis juga giat mengenal pasti seorang lagi remaja lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Sehubungan itu, kami mengharapkan kerjasama daripada orang awam ataupun saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau mengenali empat lelaki itu untuk menghubungi pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng, Lim Kee Moi

Sinar Harian

Berang cerita mati pucuk tersebar, suami belasah isteri

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA – Akibat menjaja cerita suami sendiri mati pucuk, seorang wanita dicekik dan dibelasah dengan kerusi apabila suaminya itu mengamuk selepas mendapat tahu berita yang mengaibkan itu tersebar di kawasan perumahannya.

Kejadian pada 1.45 pagi di Apartmen Idaman, Damansara Damai itu berlaku selepas mangsa dituduh menyebarkan cerita kononnya suaminya itu mati pucuk.

Wanita warga Indonesia itu bagaimanapun bernasib baik selepas sempat menghubungi polis bagi mengelak dibelasah dengan lebih teruk.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sal, 50, mengaku sering dipukul dengan kerusi oleh suaminya meskipun melakukan kesalahan kecil.

“Sejak mula berkahwin tiga tahun lalu, suami tidak pernah bekerja, saya sahaja yang cari duit, bila saya nasihat macam-macam dia maki saya,” katanya.

Dalam pada itu anggota polis yang hadir cuba menenangkan suaminya meskipun suasana ketika itu agak tegang dengan pelbagai ugutan diberikan termasuk mahu menceraikan isterinya.

Suami wanita itu ketika ditemui berkata, dia kecewa dengan sikap isterinya yang gemar menceritakan keburukan keluarga kepada orang luar dan jiran tetangga.

“Saya terpaksa menanggung malu dengan orang sekeliling kerana dia buat cerita saya mati pucuk sebab itu saya maki dan pukul dia,” katanya.

Sinar Harian

Bekas ketua Umno Felda Melati sertai PAS

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

JENGKA: Bekas Ketua Umno Felda Melati, Jengka 11, Nawi Mat Deris 70, kini meninggalkan Umno untuk menyertai PAS.

Nawi dalam ucapan sulungnya berkata, beliau meningalkan Umno yang diperjaungkan sejak muda, selepas menyedari perjuangan yang sebenar ialah perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Nawi memimpin Umno Jengka 11 dan menjadi ketua kampung selama 20 tahun sebagai ketua cawangan disamping menjadi Ahli jawatan kuasa Umno bahagian Maran.

Beliau menjadi penaja Umno Bahagian Kuala Krau yang diujudkan selepas persempadanan semula.

“Saya pilih PAS kerana perjuangan ini berasaskan perjuangan rasulullah S.A.W dan PAS ingin memerintah negara berasaskan sunnah,” katanya.

Beliau berikrar akan menggunakan pengalamanya untuk membantu PAS menang dalam pilihan raya ke umum ke -13 akan datang.

Beliau merayu rakan-rakanya yang masih bersama Umno supaya jangan ragu-ragu untuk bersama PAS.

Harakah Daily

Sukma: Terengganu kuasai taekwondo

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TERENGGANU berjaya memastikan dua emas menjadi milik mereka di pentas taekwondo dan juga emas pertama untuk berada di kedudukan keenam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, semalam.

Sharifah Maryam Alawiyah Syed Abdul Hamid memastikan pingat emas pertama untuk skuad Penyu bagi kategori Lightweight 57 hingga 62 kilogram (kg), sebelum Nur Dhia Liyana Shaharuddin menambah koleksi pingat seterusnya menerusi kategori Bantamweight 49 hingga hingga 53 kg.

Manakala, Shirley Kua Xiao Zie menambah koleksi emas Sarawak bagi kategori melebihi 73 kg dan memastikan Sarawak mendaki satu anak tangga ke kedudukan ketiga dengan mengumpul sembilan mata.

Bagi kategori lelaki melebihi 87kg menjadi milik atlet R Abinasan dari Negeri Sembilan, dan Chew Wei Yan memenangi emas bagi kategori Bantamweight 58 hingga 63 kg.

Sinar Harian

Bunuh diri kerana gagal bayar sewa

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

BERLIN - Seorang lelaki berumur 53 tahun yang diusir dari rumah sewanya di bandar Karlsruhe, Jerman, bertindak membunuh diri selepas menembak empat tebusan termasuk teman wanitanya.

Kejadian yang berlaku kelmarin, menyaksikan suspek seorang penganggur telah menembak mati seorang penolong pengurus dan tukang kunci yang cuba mengusir pasangan itu dari rumah sewa mereka, menurut polis.

"Malang sekali, mangsa keempat yang ditembak suspek adalah seorang penyewa yang baru sahaja memasuki rumah berkenaan.

"Pihak polis tidak sempat berbuat apa-apa bagi mengelakkan kejadian itu berlaku ke atas mangsa," kata ketua polis Karlsruhe, Roland Lay.

Selain menjumpai lima mayat semasa serbuan, polis turut menemui selaras senapang patah, senapang, dua pistol, peluru dan sebutir bom tangan tiruan dalam pangsapuri itu serta dipercayai dibeli secara haram.

Polis berkata, suspek yang juga pekerja sosial telah menjemput sepasukan polis ke rumahnya sebelum menembak mati kesemua tahanan termasuk dirinya sendiri.

Sinar Harian

Liga Super: Azraai tagih khidmat Owana

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

NEGERI Sembilan menagih khidmat penyerang berbisanya, Jean Emmanuel Effa Owona untuk menggugat benteng pertahanan Kedah di Stadium Darul Aman, malam ini.

Tekad untuk melakukan kebangkitan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut, jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kehadiran semula Owona yang menyuntik semangat pasukan untuk menebus maruah yang tercalar sebelum ini.

"Saya yakin dengan kembalinya momentum serangan termasuk Ahmad Shakir Ali mampu membantu kami untuk mencipta kemenangan di laman lawan," katanya yang telah menasihatkan Owona supaya dapat mengawal emosi supaya insiden digantung perlawanan tidak berulang.

Bukan mahu mendabik dada, Azraai yang juga bekas pengendali skuad Kenari berkata, anak buahnya juga perlu memanfaatkan peluang dengan situasi pasukan Kedah yang masih tercari-cari rentak dalam perlawanan.

"Saya mahu mereka kekal fokus dan disiplin yang tinggi kerana kalau boleh saya mahu perlawanan selesai dalam 90 minit dan tidak pulang dengan tangan kosong.

"Namun, kami masih perlu berwaspada terutama dengan ketua pasukan mereka, Baddrol Bakhtiar, penyerang Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan pemain import, Safi Al- Fatah," katanya.

Untuk rekod, skuad Hoben Jang Hoben kini menghuni tangga keenam dengan 33 mata, manakala skuad kendali Wan Jamak Wan Hassan di kedudukan ke-12 dengan 25 mata dalam carta Liga Super setakat ini.

Sinar Harian

Wartawan Sudan berhimpun protes sekatan terhadap media

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KHARTOUM - Lebih 100 wartawan Sudan berhimpun di ibu negara kerana memprotes tindakan penapisan dan sekatan kerajaan terhadap media.

"Protes kumpulan media kali ini adalah yang paling besar berbanding acara yang dianjurkan sebelum ini," kata wartawan veteran, Faisal Mohammed Salih, kelmarin.

Perhimpunan menentang KHARTOUM - Lebih 100 wartawan Sudan berhimpun di ibu negara kerana memprotes tindakan penapisan dan sekatan kerajaan terhadap media.

"Protes kumpulan media kali ini adalah yang paling besar berbanding acara yang dianjurkan sebelum ini," kata wartawan veteran, Faisal Mohammed Salih, kelmarin.

Perhimpunan menentang keengganan terhadap penapisan dan tindakan mengganggu para wartawan.

"Kami tahu mereka (suruhanjaya) tidak akan berbuat apa-apa dengan memo ini tetapi mereka telah mengalu-alukan kehadiran pengamal media ini," katanya sambil menambah protes tersebut dilakukan untuk meningkatkan kebebasan bersuara.

Sinar Harian

Harimau Muda: Kim Swee fokus Liga S

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KETIADAAN kelibat wonderkid Malaysia, Nazmi Faiz dalam skuad Harimau Muda A yang memulakan cabaran bersama kelab Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar sedikitpun tidak menjejaskan persiapan skuad kendalian Ong Kim Swee mengharungi pusingan kedua Liga Singapura (Liga S) 13 Julai ini.

Bakal menentang Tanjong Pagar United FC Jumaat depan, Kim Swee kini tekad untuk mengalih tumpuan pasukannya dalam menebus kekecewaan tewas mengejut 1-2 kepada Myanmar ketika saingan Kelayakan Piala AFC B-22 di Yangon Selasa lalu.

"Meskipun Nazmi sudah tidak beraksi bersama skuad negara, namun dengan kehadiran pemain pertahanan kanan yang juga kapten pasukan, Mahali Jasuli serta Mohd Affize Faisal Mamat yang tidak dapat bersama ketika Kelayakan Piala AFC B-22 lalu, saya pasti kami mampu mencapai sasaran kejuaraan dalam meneruskan saingan liga," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menyifatkan kejayaan menewaskan lawan sama 3-0 dalam pusingan pertama Mac lalu adalah permulaan yang baik buat pasukannya, Kim Swee bagaimanapun enggan mendabik dada dan menasihatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah dengan keupayaan skuad kendalian T Pathmanathan yang kini menduduki tangga ke-10 liga.

"Kita mungkin mempunyai sedikit kelebihan dari segi pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan juga program latihan di luar negara, namun begitu, masa boleh merubah segalanya. Oleh itu kami perlu lebih fokus dan tidak terlalu mengambil mudah dengan kemampuan pihak lawan," katanya.

Harimu Muda kini berada di tangga keenam (23 mata) dari 12 perlawanan dengan perbezaan dua perlawanan daripada pendahulu liga, Brunei Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) yang mengumpul 29 mata daripada 14 perlawanan.

Sinar Harian

Kubur Arafat akan digali semula

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kelmarin menyatakan bersedia untuk menggali semula kubur Yasser Arafat, susulan pendedahan laporan makmal di Switzerland yang mendakwa punca Allahyarham meninggal dunia disebabkan racun polonium-210.(Gambar Hiasan)

Tindakan itu bagi membolehkan pakar mengambil sampel untuk penyelidikan lebih terperinci, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kematian misterinya.

Lapan tahun lalu, balu Allahyarham menolak bedah siasat dijalankan ke atas suaminya, tetapi beliau mengubah fikiran selepas laporan tersebut mendedahkan suaminya mungkin telah diracun.

Allahyarham dilaporkan jatuh sakit secara tiba-tiba sebelum menghembuskan nafas terakhir semasa berumur 75 tahun pada 11 November 2004.

Agency

Awang Adek-Hon Cheong: Banyak lagi akan didedah

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Biarpun cabaran dibuat sejak minggu lalu, namun sehingga kini Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek masih membisu berhubung hubungan beliau dengan ahli peniagaan Chung Hon Cheong.

Mengulas perkara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi peringatan kepada Awang Adek untuk tampil menjelaskan dakwaan itu segera atau banyak lagi dokumen baru akan didedahkan.

"Difahamkan semua butiran, dokumen lengkap masih banyak lagi di tangan Saifuddin. Masa 3 minggu diberikan semakin berlalu.

"Jika Awang hanya mengambil sikap mendiam diri maka SAMM akan sekali lagi berada di bumi Kelantan dan ole-ole pendedahan bercetak dan lengkap akan berada di tangan ribuan pengundi Bachok selepas eidulFitri," kata pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan banyak keraguan timbul ekoran beberapa fakta dan transaksi kewangan yang membabitkan antara Awang Adek dan Hon Cheong.

Menurutnya, Hon Cheong yang juga pemilik serta pengarah syarikat Sun Prestige Sdn Bhd didakwa memperoleh kontrak mencetak nota RM2 sebanyak 100 juta keping semasa Awang Adek memegang jawatan tersebut.

Menurut Saifuddin, pada tahun 1999, Awang Adek menjual rumahnya di Damansara kepada Vertex United Sdn Bhd yang dimiliki HonCheong pada harga RM550,000 iaitu melebihi harga pasaran.

Manakala Hon Cheong menerusi Ultimate Holidays Sdn Bhd membuat pembayaran penerbangan Awang Adek keTokyo untuk trip penerbangan 28 Jun 1999 hingga 1 Julai 1999.

Selain itu, HonCheong turut juga dikatakan membayar ansuran bulanan kereta Honda Civic 1.6 milik isteri Awang Adek sebanyak RM2,122 sebulan.

"Itu hanya sebahagian dari dokumen lain. Banyak dokumen lain seperti pembayaran road tax, insurans, kelab golf, bil - bil seperti telefon yang atas nama Awang diuruskan oleh ahli perniagaan tersebut," tegas Badrul.

Harakah Daily

Penyakit misteri bunuh 61 budak di Kemboja

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

PHNOM PENH - Pegawai kesihatan di Kemboja kini bertungkus-lumus mencari punca sejenis penyakit misteri yang meragut lebih daripada 60 nyawa kanak-kanak negara itu sejak dua bulan lalu.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), sindrom yang tidak didiagnosis itu membunuh 61 orang daripada 62 kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital sejak April lalu, tetapi tidak menunjukkan ianya merebak menerusi manusia ke manusia.

Jurucakap WHO, Aphaluck Bhatiasevi memberitahu, petugas kesihatanmasih cuba untuk mengenal pasti sama ada kes melibatkan penyakit serupa atau terdiri daripada kumpulan pelbagai penyakit.

Kesemua kanak-kanak yang dijangkiti adalah di bawah umur 7 tahun dan mengalami demam panas diikuti dengan gejala neurologi serta masalah pernafasan teruk dalam masa singkat. Kes berkenaan dilaporkan berlaku di beberapa hospital 14 wilayah yang kebanyakannya terletak di selatan Kemboja.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Man Bung Heng berkata, pencarian punca sebaran penyakit misteri itu akan mengambil masa dan mengesahkan bahawa negara-negara jiran telah dimaklumkan mengenainya.

Sinar Harian

Hughes teruja jelajah pertama

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TERUJA untuk memulakan jelajah pertamanya ke Asia, pengurus Queens Park Rangers (QPR), Mark Hughes berharap Super Hoops dapat memikat hati “peminat baru” terutama penyokong di Malaysia.

Menyifatkan jelajah pra-musim sebagai medium mengeratkan hubungan antara pasukan dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Asia Tenggara, Hughes yakin lawatan mereka sememangnya amat tepat di dalam dan di luar padang.

“Saya tahu betapa besarnya EPL di sana (Asia Tenggara). Jadi saya yakin ia pasti sangat hebat apabila kita bertemu de ngan mereka. “Jelajah ini juga bukan sekadar untuk menarik peminat baru, sebaliknya berharap pemain akan dapat kembali ke England dengan skuad yang lebih cergas di penghujung lawatan," katanya.

QPR bakal bertandang ke Kota Kinabalu pada aksi persahabatan pertama menentang Sabah di Stadium Likas sebelum bertemu The Red Warriors di Stadium Shah Alam 20 Julai nanti. Hughes yang menyertai QPR pada pertengahan musim lalu turut berhasrat untuk mempersiapkan pemainnya dalam bentuk yang sempurna bagi menghadapi musim baru.

Sinar Harian

Krisis nuklear Jepun angkara manusia

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TOKYO - Krisis nuklear di loji Fukushima, tahun lalu, adalah angkara perbuatan manusia dan bukan hanya disebabkan oleh bencana tsunami, menurut laporan siasatan akhir, semalam.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Bebas itu mendapati krisis tersebut berpunca daripada pakatan rahsia kerajaan bersama pengawal selia Tokyo Electric Power (Tepco).

Mereka percaya perbuatan khianat menyebabkan krisis nuklear dan kebocoran radiasi itu tercetus.

Siasatan tersebut adalah yang ketiga dijalankan berhubung krisis nuklear sejak bencana nuklear terburuk di Chernobyl pada 1986.

Sinar Harian

Israel tolak naik taraf status kolej

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Majlis Pendidikan Tinggi Israel, semalam, memutuskan untuk tidak mengubah taraf sebuah kolej di Ariel kepada universiti.

Jurucakap majlis itu, Sharon Achdut berkata, lima daripada tujuh ahli jawatankuasa menolak untuk menaik taraf status institusi tersebut kerana khuatir ia akan meningkatkan lagi kemarahan negara antarabangsa dan penduduk Palestin di Tebing Barat.

Difahamkan, jika kolej berhampiran kawasan penempatan kira-kira 2.5 juta penduduk Palestin itu diiktiraf sebagai universiti, ia akan memberi peluang lebih besar kepada penduduk Yahudi untuk terus menguasai Tebing Barat.

Sinar Harian

BBC dituduh godam laman sesawang stesen TV Iran

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TEHERAN - Stesen Televisyen Iran, kelmarin, menuduh Syarikat Penyiaran Britain (BBC) menggodam laman sesawang mereka dan mengubah keputusan tinjauan berhubung program nuklear di negara itu, namun BBC menafikan dakwaan tersebut.

Tuduhan itu dibuat selepas sebuah stesen penyiaran Britain melaporkan 63 peratus daripada responden di Iran menggesa projek pengayaan uranium dihentikan sebagai pertukaran untuk menamatkan sekatan ekonomi yang dikenakan negara Barat.

Bagaimanapun, Teheran menegaskan hanya 24 peratus membantah projek tersebut dan selebihnya menyokong penutupan laluan strategik, Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap sekatan itu.

Kesatuan Eropah (EU) mula mengenakan sekatan ke atas eksport minyak dan ekonomi Iran bermula 1 Julai lalu.

Sinar Harian

Lelaki tidak mengaku bersalah guna wang palsu

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Taktik seorang bekas tentera menggunakan sekeping not RM100 palsu untuk membeli di sebuah kedai runcit di Ketereh di sini, terbongkar, apabila dia dicekup dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Bekas tentera berkenaan, Mohd Naim Mansor, 31, bagaimanapun tidak mengaku bersalah menggunakan wang palsu itu.

Dia didakwa menggunakan wang tersebut itu sebagai tulen di sebuah kedai runcit di Taman Desa Pahlawan, Ketereh di sini, pada jam 9 pagi, 19 Jun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 489B yang membolehkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, tertuduh juga menafikan pemilikan empat wang palsu, RM100, RM50, RM10 dan RM1 di balai Kok Lanas di sini, pada jam 12 tengah hari, tarikh sama.

Bagi tuduhan kedua itu, tertuduh berdepan penjara yang boleh sampai 10 tahun.

Bagaimanapun, susulan daripada pengakuan tidak bersalah tersebut, Hakim Azman Mustapha menetapkan sebutan semula pada 3 September depan, sementara itu, dia dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, peguam bela Khidmat Bantuan Guaman, Aisyah Abdullah, memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin berikutan isteri tertuduh masih dalam tempoh berpantang.

“Isterinya baru sahaja melahirkan anak mereka yang ketiga, 10 hari lalu. Kehadiran tertuduh di sisinya diperlukan bagi dia mengharungi tempoh selepas bersalin dengan lebih baik,” katanya.

Sinar Harian

EPL: Persie tinggalkan Arsenal

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

PENYERANG sensasi Arsenal, Robin Van Persie yang menjadi rebutan beberapa kelab ternama bola sepak Inggeris akhirnya membuat keputusan untuk tidak meneruskan karier bersama Arsenal, musim depan.

Dalam satu kenyataan rasmi di laman webnya, beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah pertimbangan sewajarnya dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian selepas berbincang dengan Ketua Eksekutif, Ivan Gazidi.

"Saya fikirkan mengenai keputusan ini semasak-masaknya untuk tidak menyambung kontrak bersama Arsenal. Anda berhak untuk tidak bersetuju mengenai apa yang saya lakukan dan saya menghormati segala pandangan yang diberikan.

"Apa pun terjadi, saya tetap berbangga bersama kelab ini selama lapan tahun. Saya sayangkan kelab dan penyokong di sini kerana tempat saya membesar dan menjadi pemain bola sepak seperti hari ini," katanya.

Van Persie yang memasuki musim terakhir kontraknya yang bernilai £80,000 (RM246,000) seminggu bersama Gunners kini menjadi taruhan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City yang sedang berusaha mendapatkan bintang Belanda itu dengan tawaran £20 juta (RM99.2 juta).

Sinar Harian

Laa .. ingatkan sebab ada kesedaran, rupa-rupanya ....

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

Dah betul dah kesedaran tak cukup dewasa lagi nak dating & takut mak marah, tapi bukan sebab tu rupanya.
"Tapi sebenarnya bukan tak nak, dia hanya ada motor je, mana ada standard dating naik motor."
Walaweyh .. alasan sebab yang ajak tu mat motor .. kalau mamat berkereta gerenti tak keluar dah statement gitu .. meloncat terus masuk kereta eh ?? haish .. parah betul tahap material remaja sekarang ni.. huhuhu

Harakah Daily

Tiga sahabat khayal dicekup

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TAMPIN – Tiga sahabat yang dipercayai sedang khayal di bawah pengaruh dadah dicekup pihak polis dalam serbuan sepasukan polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di dalam sebuah bilik hotel di Bandar Tampin, awal pagi, 1 Julai lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, tiga sahabat iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 23 hingga 34 tahun dipercayai pengedar dadah, ditahan sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, serbuan hasil intipan dan maklumat orang ramai itu disertai 11 anggota polis dari Bahagian Narkotik diketuai Inspektor Siti Abidah Omar.

“Susulan berada dalam keadaan khayal, salah seorang lelaki membuka pintu bilik sebaik anggota polis mengetuk pintu berkenaan. Bagaimanapun, mereka tergamam sebaik sahaja mengetahui bilik mereka dikunjungi anggota polis.

“Bahkan, hasil pemeriksaan, kita menjumpai dadah jenis heroin seberat kira-kira 30 gram yang diisi dalam enam paket dalam plastik lut sinar dan satu tiub serta 1.2 gram dadah jenis syabu yang disimpan dalam laci kabinet meja televisyen,” katanya.

Sinar Harian

Tandas 10 meter dari rumah

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Selepas menggunakan tandas di luar rumah, sepasang suami isteri bersyukur kerana kesulitan yang dihadapi, mendapat perhatian daripada Islamic Aid Malaysia (IAM), semalam.

Penerima, Zawiah Abd Rahman, 36, berkata, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menggunakan tandas yang dibina berasingan, terletak 10 meter dari rumah.

Menurutnya, tiga anaknya yang masih kecil, sudah lali ketika menggunakan tandas, terutama menjelang waktu malam.

Katanya, mereka tetap berani meskipun mungkin berdepan dengan risiko diserang binatang berbisa, ketika berjalan di dalam gelap.

“Anak-anak sudah tidak rasa takut berjalan dalam gelap, jika terpaksa menggunakan tandas pada waktu tengah malam.

“Sejak kecil lagi, saya nasihati mereka agar berani dan tidak memikirkan kesulitan yang dihadapi, kerana pasti keadaan akan bertambah baik pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita.

Zawiah yang hanya bekerja sebagai pembantu farmasi, tidak mampu untuk membaik pulih rumah, kerana gaji yang diterima digunakan untuk tiga anak-anaknya.

Menurutnya, dia bekerja untuk meringankan beban suami yang bekerja sebagai pemandu lori, namun ia sekadar membantu untuk perbelanjaan harian bersama anak-anak.

Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, Zawiah adalah antara 11 keluarga miskin di Kelantan, yang menerima bantuan baik pulih rumah bernilai antara RM3,000 hingga RM20,000.

“Kita dapati, rumah mereka terlalu daif, malah dapur dan tandas juga tidak berada dalam keadaan baik, maka bantuan baik pulih akan diagihkan,” katanya, semalam.

Sinar Harian

Penolong penguasa SPRM dijel 13 tahun, denda RM2.3 juta

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Penolong penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, M Mohan dipenjara 13 tahun dan didenda RM2.275 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Sinar Harian

Kontena terjatuh tengah jalan

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TAMPIN – Laluan trafik menghala ke Seremban di persimpangan lampu isyarat Bandar Tampin sesak apabila satu lorong terpaksa ditutup kira-kira tiga jam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja mengalihkan kontena muatanpapan seberat 23 tan yang terjatuh di lokasi itu, petang kelmarin.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, dua kren diperlukan bagi mengalihkan kontena itu dan meletakkannya semula di atas lori kontena lain dari syarikat sama di Gemas.

Pemandu lori berkenaan, Ahmad Jalaluddin Shaari, 54, berkata, dia bagaimanapun lega kerana tiada kenderaan berada di sebelah kiri lori berkenaan ketika kejadian berlaku.

“Saya seperti biasa membawa lori kontena muatan papan dari Gemas sekitar jam 4 petang ke Sungai Way, Selangor dan sebaik tiba di lokasi ini bahu lori sebelah kiri depan patah sekali gus menyebabkan kontena jatuh ke sebelah kiri.

“Mula-mula saya takut sekiranya terkena orang atau pengguna jalan raya yang lain, namun bersyukur kerana tiada kecederaan cuma laluan terpaksa ditutup seketika,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, petang kelmarin.

Kerja-kerja mengalihkan kontena itu terpaksa menggunakan dua kren bermula jam 7.50 malam dan selesai kira-kira 8.30 malam susulan terpaksa dirancang dengan teliti.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kontena yang dibawa mangsa terjatuh di persimpangan lampu isyarat Bandar Tampin dipercayai selepas bahu lori sebelah kiri patah.

Sinar Harian

Penyamun berlagak pelanggan

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

YONG PENG – Empat lelaki berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah pusat urut sebelum bertindak menyamun premis berkenaan dalam kejadian pada jam 5.45 petang, 13 Jun lalu.

Kumpulan suspek yang bersenjatakan parang dan menjadikan pusat-pusat urut sebagai sasaran mereka juga bertindak mengikat pekerja premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian, premis berkenaan mempunyai empat pelanggan dan enam yang lain adalah pekerja di premis itu.

Menurutnya, premis terbabit kemudiannya didatangi empat penjenayah yang mengeluarkan parang sebelum mengikat kesemua mereka di bahagian belakang premis berkenaan.

“Penjenayah terbabit menyamun barang kemas yang dipakai pekerja dan pelanggan, wang tunai RM10,000, komputer riba dan kamera milik premis berkenaan yang kesemua berjumlah RM30,000,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Yong Peng, di sini, semalam.

Din berkata, hasil siasatan polis, pihaknya dapat menahan tiga daripada empat suspek di rumah sewa mereka di Johor Bahru pada 22 Jun lalu.

Katanya, dua daripada suspek berasal dari Johor Bahru, manakala seorang lagi suspek berasal dari Kulaijaya dan mereka berumur di antara 20 hingga 25 tahun.

“Hasil tangkapan itu, kami berjaya menemui parang yang dipercayai dijadikan senjata ketika menyamun, selain merampas komputer riba dan kamera.

“Kami juga percaya dengan tertangkapnya suspek ini, tujuh kes samun di tiga daerah berjaya diselesaikan.

“Keempat-empat suspek itu kini di bawah tahanan reman polis sehingga dan hasil maklumat awal mendapati mereka aktif melakukan kegiatan samun di Yong Peng, Johor Bahru dan Segamat,” katanya.

Sinar Harian

Pengsan lihat suami hidup

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kerisauan seorang wanita hamil tiga bulan yang setia menanti suaminya yang dikatakan hanyut di tengah laut berakhir walaupun pengsan ‘menyambut’ kepulangan lelaki itu semalam.

Sebelum itu, Jasmin Ali, 29, yang menanti di tepi pantai bersama empat anaknya kelihatan begitu sugul seolah-olah harapan sudah tiada untuk melihat suaminya Wahyu Hidayat Hashim, 34, pulang dengan selamat.

Namun, siapa sangka doanya dimakbulkan apabila melihat kelibat suami bersama bot yang dinaikinya dalam keadaan selamat menghampiri pantai menyebabkan dia tidak dapat mengawal emosi sebelum pengsan.

Menurutnya, dia buntu apabila dimaklumkan suaminya ‘hilang’ selepas turun ke laut dengan menaiki bot fiber kira-kira 6.30 petang kelmarin atas permintaan rakannya.

"Selepas itu tiada berita walaupun saya cuba menghubunginya," katanya ketika ditemui di tepi pantai Balok, semalam.

Turut berada di tempat kejadian, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chengal Lempong, Sheikh Zahari Sheikh Sulaiman, Ketua Balai Beserah, Chief Inspektor Wan Rohamidun Wan Ishak.

Sementara itu, Wahyu Hidayat yang menaiki bot bersendirian menceritakan detik cemas yang berlaku terhadapnya berkata, dia terpaksa bertarung nyawa selama 15 jam di tengah laut.

"Bot ketika itu kehabisan minyak ketika dalam perjalanan balik ke darat," katanya.

Katanya, kira-kira jam 8 malam kelmarin, dia bertolak pulang dari kapal tetapi malangnya bot itu kehabisan minyak menyebabkan dia terpaksa melabuhkan sauh dan pada masa sama telefon bimbitnya kehabisan bateri.

“Sepanjang malam saya menunggu dan berdoa di atas bot malangnya tidak ada sesiapa yang melalui kawasan itu sehingga mendapat bantuan bekalan minyak dari sebuah bot nelayan,” katanya yang pertama kali melalui situasi itu.

Menurutnya, sebelum selamat berlabuh di Pantai Balok, botnya juga dibawa ombak dan tiba di kawasan Sungai Ular tetapi tidak boleh ke pantai.

Wahyu Hidayat mengakui bimbang akan berlaku kejadian yang tidak diingini di tengah laut.

“Saya hanya mampu menunggu walaupun bimbang sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini di tengah laut,” katanya ketika ditemui.

Sinar Harian

Sanggup redah api selamatkan ibu

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - ”Saya hanya mahu ibu yang berada di tingkat atas selamat. Saya tak tahu bagaimana saya boleh dapat tenaga sebegitu kuat b mendukung ibu ke tempat yang selamat,” kata mangsa kebakaran, Rohani Safie.

Rohani, 65, ketika ditemui berkata, dia tidak tahu bagaimana dia mempunyai kekuatan dan keberanian meredah api yang marak untuk menyelamatkan ibunya.

Katanya, ketika kejadian, dia tidak ingat apa-apa melainkan mahu menyelamatkan ibunya, Ainon Abdullah, 87, yang berada di tingkat atas rumah mereka di Kampung Batak Rabit, Batu 3, Jalan Maharajalela, di sini.

Katanya, sebelum kejadian, dia ada menyalakan dapur untuk masak minyak kelapa sebelum ke ruang tamu untuk berehat seketika.

“Kira-kira jam empat petang saya baru teringat minyak yang dimasak dan sebaik ke dapur saya melihat api sudah menjulang tinggi dan marak.

“Terkejut dengan keadaan itu, saya terus tinggalkan dapur dan berlari naik ke atas tingkat atas selamatkan ibu. Waktu itu api sudah marak dan hampir menyambar bilik.

"Dalam keadaan kelam kabut itu saya terpijak getah plastik yang terbakar dan menyebabkan kaki melecur,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan, di sini.

Rohani berkata, walaupun dalam keadaan menahan kesakitan kakinya melecur, dia terus mendukung ibu dan membawanya ke tempat yang selamat.

“Walaupun sedih rumah pusaka kami hangus terbakar begitu sahaja di samping tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk dokumen-dokumen penting, bersyukur kerana kami berdua terselamat,” katanya.

Sementara itu Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Kamarulzaman Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.10 petang, dan ketika sampai ke tempat kejadian hampir 75 peratus rumah sudah hangus dan pihaknya mengambil masa kira-kira 2 jam untuk mengawal kebakaran.

“Dua jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. PJumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika di hubungi, di sini, semalam.

Sinar Harian

Syiling lama cecah nilai tinggi

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

BALING - Seorang penduduk Kampung Banggol Wan Mat, di sini, terkejut setelah mendapati wang syiling lama yang disimpannya kini mempunyai nilai tinggi di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Sejak tersiarnya laporan Sinar Harian di mana seorang pesara tentera di Kota Bharu, Kelantan mendakwa memiliki syiling lama berusia 242 tahun yang bernilai RM16 juta, Fakhruaddin Abdullah Ariffin, 45, terpanggil untuk berkongsi mengenai wang syiling lama yang berada dalam simpanannya.

Menurutnya, dia tidak menyangka wang syiling Sepanyol yang disimpannya sejak 20 tahun lalu mempunyai nilai yang begitu tinggi di luar negara.

“Selain wang syiling Sepanyol, saya turut menyimpan kira-kira 50 syiling berusia lebih 250 tahun dari pelbagai negara antaranya Thailand, China, AS, termasuk syiling zaman pemerintahan James Brooke di Sarawak.

“Semua wang syiling ini merupakan tinggalan zaman nenek moyang saya dan koleksi saya sendiri,” katanya yang sering ke luar negara semata-mata untuk mencari koleksi barangan lama dan sanggup mengeluarkan ribuan ringgi untuk mendapatkan syiling lama itu.

Fakhruaddin berkata, koleksi barang lama mempunyai nilai tinggi bergantung kepada tahunnya dan setiap syiling itu menunjukkan zaman pemerintahan sesebuah negara.

Dia berkata, golongan muda amat tertarik dengan wang syiling lama ini kerana reka bentuknya amat berlainan dengan dengan wang syiling ketika ini.

“Disebabkan itu, saya gemar mengumpul wang syiling ini agar dapat menceritakan sesuatu kepada anak-anak mahu pun penduduk luar.

“Setiap syiling ini menceritakan sejarah zaman kerajaan itu sendiri contohnya syiling Straits Senttlements yang berwajahkan Queen Victoria dan King Edward,” katanya.

Katanya, secara tidak langsung, golongan remaja dapat mempelajari sejarah dunia menerusi benda yang unik dan menarik.

Dia lebih gemar menyimpan wang syiling itu daripada menjualnya kerana semua syiling dalam simpanannya mempunyai nilai sejarah yang begitu tinggi.

“Saya tidak bercadang untuk menjual syiling ini, tetapi saya amat mengalu- alukan sesiapa sahaja, terutama pengumpul syiling lama untuk bertukar- tukar pendapat dan pengalaman mengenai hobi ini,” katanya.

Sinar Harian

Pemandu lori kontena maut

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

HULU BERNAM - Seorang pemandu lori kontena maut manakala kelindannya cedera setelah kenderaan dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 413.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan setelah tersepit di tempat duduk pemandu.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi ketika kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan lalu terbabas dan melintang di tengah jalan.

“Pemandu maut di tempat kejadian manakala kelindannya cedera dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu turut dikerah bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, pemandu yang maut dikenali sebagai Azrizan Abdul Aziz, 26, manakala kelindannya Mohd Farid Abdul Hamid, 21.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut sumber lori kontena terbabit dipercayai dipandu laju sebelum terbabas di laluan berkenaan berdasarkan kesan seretan kira-kira 50 meter.

Lori kontena yang terbalik turut menghalang laluan lebuh raya sehingga mengakibatkan kesesakan.

Kenderaan yang membawa muatan lampu itu dipercayai dalam perjalanan dari Padang Besar menuju sebuah gudang di Subang.

Sinar Harian

Turki bantu 'pengganas'

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

ANKARA - Presiden Syria, Bashar al-Assad, sebelum ini menyuarakan kekesalan beliau berhubung tindakan tenteranya menembak jatuh pesawat Turki, pada 22 Jun lalu.

Assad juga dilihat cuba untuk memulihkan hubungan dengan Turki apabila beliau berharap krisis tersebut tidak menjerumuskan kedua-dua negara ke dalam konflik bersenjata.

Namun, dalam wawancara terbaru yang diterbitkan akhbar Cumhuriyet, kelmarin, Assad seperti mahu meningkatkan semula ketegangan dengan Turki selepas beliau menuduh negara terbabit memberi bantuan logistik kepada 'pengganas' di Syria.

Presiden tersebut turut melarang Ankara untuk campur tangan dalam hal ehwal negara itu.

"Tindakan Turki untuk campur tangan dalam masalah dalaman di Syria sebenarnya telah menyebabkan lebih banyak pertumpahan darah, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

"Ankara telah memberi semua bantuan sokongan logistik kepada 'pengganas' yang bertanggungjawab mencetuskan huru-hara sejak lebih setahun lalu," katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas negara tersebut didorong oleh pengaruh kuat akibat perbezaan mazhab (Sunnah).

Difahamkan, majoriti penduduk di Turki adalah pengikut Sunnah seperti kebanyakan penduduk di Syria kecuali parti pemerintah dan tentera Assad adalah pengikut Syiah (Alawi).

Kumpulan hak asasi manusia melaporkan lebih 16,500 terkorban akibat keganasan yang tercetus di negara itu sejak Mac tahun lalu.

Sinar Harian

Blogger Umno sedang menjerut leher sendiri

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kepada banyak pihak, ia semakin jelas saban hari bahawa Umno adalah sebuah parti yang disertai individu-individu yang tamak dan tidak pernah ada rasa cinta kepada parti mereka.

Terdapat banyak peristiwa kebelakangan ini yang menguatkan persepsi tesebut, yang terbaru ialah pertelingkahan antara media, antara bos-bos media mereka dan pakar strategi yang memutar belitkan berita.

Ini termasuk bagaimana cara untuk menonjolkan agenda Umno dan bagaimana untuk menjual kepada orang awam mengenai kebolehan Umno dalam pembangunan, namun semuanya tidak berpadu dari atas ke bawah.

Jadi, anda boleh berimaginasi betapa teruknya parti yang sudah tua ini, dan mengapa kini ada yang berpendapat bahawa parti tersebut berada di perjalanan terakhirnya sebelum diketepikan dalam arus perdana politik Malaysia.

Setiap ahli Umno hanya memikirkan mengenai diri mereka sendiri. Semua yang berada dalam parti yang mempunyai 3 juta ahli ini berpecah, dan apa yang mengikat mereka hanya 'WANG'.

Umno BN turut beroperasi atas prinsip di atas dan ia adalah sebab mengapa susah untuk melihat kesemua logo 14 parti komponen dicetak di bahan kempen BN.

Mereka jarang di platform yang sama, dan semua komponen parti BN mempunyai DNA yang sama dengan Umno – bersifat individualistik, pentingkan diri sendiri dan tidak kreatif.


DNA Umno


Maka, ia tidak mengejutkan cybertrooper (askar maya) Umno juga bersifat tamak dan individualistik. Mereka juga mempunyai DNA Umno yang sama di dalam darah mereka.

Tamak di sini bukan sahaja merujuk kepada wang, tapi juga habuan untuk menjadi popular, dihormati, berpengaruh dan berkuasa. Cybertropper Umno berpecah kepada beberapa kumpulan, dan semua mempunyai fikiran masing-masing.

Antara askar maya Umno, individu yang sentiasa disalahkan dalam menimbulkan permasalahan ialah Wan Azri daripada blog Papa Gomo. Walaupun beliau tidak terlibat dalam kemelut terbaru mendakwa Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Jalil Hamid sebagai penderhaka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Begitu panas perang antara mereka yang saling menyerang di dalam dunia blog Umno sehingga ia menjadi berita, dan blogger menjadi tumpuan media dan bukannya orang yang disokong mereka. Ya, ini amatlah melucukan.

Boleh ke Umno melakukan sesuatu dengan betul? Apa yang mereka gaduhkan ialah perkara kedua – iaitu mengenai sebuah artikel mengenai pemecatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Samada Najib mengaku atau tidak, ia adalah jelas Abu Bakar adalah kambing hitam dalam kegagalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mengutamakan peringkat atasan kakitangan kerajaan, menyebabkan kakitangan bawahan melenting dan mengugut untuk mengundi pembangkang, Pakatan Rakyat.

Namun begitu, sebahagian blogger Umno tetap berpendapat artikel yang disiarkan Berita Harian, yang berada di bawah kumpulan NSTP telah memberikan satu imej buruk kepada Najib kerana kenyataan Abu Bakar yang menyatakan bahawa beliau telah dipecat secara tidak adil telah disiarkan. Kerana itu, blogger Umno saling berperang, dan ini menyebabkan satu petengkaran yang hebat bagaikan najis terkena kipas.


Peruntukan daripada wang rakyat bukan wang parti


Kini, Papa Gomo sedang mempertahankan Umno dan mencipta masalah untuk pembangkang. Wan Azri ialah blogger yang memaparkan video seks Datuk T untuk Utusan dan semua akhbar Umno jadikan bahan laporan. Sekarang, beliau ingin dikenang, dinilai tinggi dan dikayakan untuk segala usaha beliau, yang dikatakan membiayai diri sendiri.

Namun begitu, ada yang mengatakan bahawa beliau dibiayai Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan. Sudah tentu Wan Azri mendapat bayaran di sini dan di sana oleh individu Umno yang menggunakan laman web beliau sebagai platform untuk menyerang. Tapi tidak, beliau masih tidak mendapat pengaliran duit yang tetap ke akaun beliau. Dan beliau cukup terkilan apabila Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah menubuhkan Unit Media Baru (UMB) untuk mempertahankan parti mereka dan menyerang pembangkang, dan beliau diketepikan.

Ia adalah menarik untuk diberi perhatian bahawa unit Khairy terdiri daripada blogger baru yang dibayar menggunakan dana yang diperuntukkan di bawah Kementerian Penerangan. Bayangkan dana awam untuk kerja-kerja kotor Umno. Tapi, siapalah yang di dalam Umno yang akan menggunakan duit mereka sendiri untuk parti. Ia selalunya adalah duit rakyat yang membayar bil mereka. Namun, ini adalah cerita berlainan.


Kisah tumbukan


Seorang lagi blogger Umno yang terlibat dengan kemelut ini ialah Akupeduliapa (APA) daripada UMB Khairy. Papa Gomo tidak mempunyai hubungan yang baik dengan APA kerana beliau telah didakwanya memperoleh kekayaan dan tidaklah semiskin yang dikatakan Papa Gomo. Khairy telah campurtangan dalam hal ini – membuat kenyataan di Twitter bahawa perkara itu adalah biasa untuk Papa Gogo. Satu lagi air mata buaya!

Pergelutan Papa Gomo-APA dilaporkan menjadi genting apabila Papa Gomo yang lebih muda usianya telah menumbuk APA yang lebih senior di dalam satu mesyuarat Kementerian Belia dan Sukan. Sekarang, adakah anda faham mengapa Perkasa tidak berfikir apa-apa selain menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng atau mengugut untuk mewujudkan kembali peristiwa 13 Mei, 1969 iaitu pertumpahan darah antara kaum? Keganasan dan pertumpahan darah tiada dalam mentaliti Umno, tapi ia adalah sebahagian daripada darah daging mereka!

Pergaduhan itu telah menyebabkan mereka berdua kini mendatangkan masalah kepada sponsor mereka – Ahmad Shabery dan sesiapa sahaja pemimpin Umno yang APA berkhidmat dengannya. Dengan APA di bawah UMB, beliau sepatutnya berkhidmat dengan Khairy, tapi orang yang mengendalikan unit tersebut bukannya Khairy tetapi exco pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz.


Pemimpin Umno belakang bloggers


Tun Faisal bukan sahaja ketua UMB tapi beliau juga orang Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Apa-apa pergaduhan atas isu apa-apa, ia jelas bahawa Khairy, Faisal, Hishamuddin dan Ahmad Shabery sedang cuba berebut pengaruh di kalangan para blogger ini. Ini telah menimbulkan sengketa kepada semua yang terlibat.

Khabar angin terbaru di dalam Umno ialah Hishamuddin telah cuba menghubungi Wan Azri untuk mendapatkan bantuan bagi mengalahkan pesaing beliau di dalam Umno menjelang pemilihan parti akan datang, yang bakal diadakan dalam masa terdekat. Sudah tentu, Papa Gomo yang sensitif terhadap kewangan telah dijanjikan duit bulanan yang lumayan. Dan ini sangat menarik.

Satu lagi watak dalam blogger Umno ialah Anuar Mohd Nor daripada Umno Reform2. Beliau berpendapat bahawa Najib perlu diberitahu perkara sebenar dan tidak diberi maklumat salah. Anuar tidak menjaga kritikannya sehingga para blogger Umno merasakan beliau bekerja untuk pembangkang. Tapi Anuar merasakan beliaulah orang yang perlu memberitahu 'rajanya bahawa rajanya bogel kerana baginda sememangnya bogel dan bukan sebaliknya'. Kepada Anuar, blogger lain adalah jahat kerana sedang menasihatkan maharaja untuk berjalan bogel di tempat awam.

Terasa keseorangan, Papa Gomo juga dikatakan sedang cuba mencari kawan dalam kalangan blogger Umno. Beliau telah cuba memujuk Anuar untuk menyertai kem beliau. Perkembangan ini masih diperhatikan secara dekat.


Pecat Jalil


Antara orang yang menyarankan agar Jalil dipecat ialah Salahuddin Hisham daripada blog The Unspinners. Salahuddin juga tengah bertelagah dengan Anuar dan mereka sudah menjadi musuh ketat sejak sekian lama. Sahaluddin tidak bersetuju dengan cara Anuar untuk memperbaiki Umno.

Yang pelik ialah Salahuddin adalah orang yang dilayan seperti orang luar oleh Umno kerana tingkah lakunya yang buruk dan beliau juga ada sengketa dengan pemimpin Umno. Sekarang anda boleh lihat, masalah yang bergelumang pada seorang blogger Umno adalah daripada semua sudut – seperti juga kemahiran mereka untuk bertempur dan berlawan sesama sendiri. Selain itu, Salahuddin juga di belakang blog 'Another Brick in the Wall' yang dianggap sebagai satu liabiliti untuk Umno.

Menariknya, The Unspinners juga didakwa pada Julai 2011 oleh Raja Petra Kamaruddin dalam kontroversi cincin RM24 juta yang didakwa dibeli oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor. Salahuddin telah mendakwa RPK membuat dakwaan palsu terhadap Rosmah.

Dalam pada itu, ‘Granddaddy’ kepada semua blogger Umno, Akhiruddin Atan aka Rocky Bru telah cuba meredakan isu tersebut kerana beliau telah dilantik oleh Umno untuk mengawal dan menjaga askar maya Umno yang dibayar.

Sehingga kini, beliau masih tidak nampak membuat sebarang perubahan untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat terhadap Umno walaupun dengan bajet RM300,000 sebulan yang dispekulasikan itu. Ini tidak mengejutkan. Usaha beliau untuk meredakan suhu masih gagal untuk menutup mulut The Unspinners yang menyuruh supaya Jalil dipecat dari NST.


Seperti Rais, siapa makan cili akan terasa pedas


Seorang lagi blogger Umno Zakhir the Big Dog juga dikenal sebagai 'The Thirteen Million Plus Ringgit' sedang ditekan kuat kerana serangannya pada Menteri Penerangan Rais Yatim. Seorang lagi yang menembak ke arah Big Dog ialah Melayu Atas Pagar daripada blog 'Gelombang Wangsa Maju', daripada UMB cawangan Wangsa Maju.

APA juga tidak gembira terhadap serangan Big Dog pada Rais. Tapi Big Dog tidak akan menghiraukan perkara itu. Terkilan dengan Rais yang mengetepikan beliau dan pasukan blogger elit beliau, Big Dog telah bertanya satu soalan yang menghinakan bagi Rais, “Mengapakah menteri suka orang besar mereka berada di sisi mereka sentiasa dan tidak dengan para pengundi?”

Kebetulan atau tidak, Rocky Brulah yang menulis sebuah artikel menghentam Rais dalam isu dakwaan merogol amah dan Big Doglah pula yang menyuruh pihak berkuasa untuk menyiasat.

Blogger yang berkhidmat untuk pemimpin Umno-BN nampaknya hidup dalam satu keadaan yang celaru dan melumpuhkan diri sendiri seperti parti mereka. Misi dan visi rasmi mereka tiada dalam radar, yang ada hanyalah kepentingan peribadi. Macam pernah didengar – burung gagak terbang bersama dan siapa makan cili akan terasa pedas.


Lebih teruk bila dekat pilihanraya


Lebih dari itu, tahap ketegangan dan kebencian antara blogger Umno adalah gambaran kepada apa yang sedang melanda parti mereka sendiri.

Daripada cawangan ke kawasan kepada peringkat tertinggi, pergaduhan semasa sendiri yang sentiasa dibenamkan kini nampak serius. Dengan PRU13 ditangguhkan ke tahun depan, perebutan kuasa Umno ialah perkara paling menarik selepas Olympik 2012.

Dalam nota yang lebih serius, ia adalah menarik untuk direnungkan, dengan krisis dalam yang paling tegang, adakah Umno boleh bertahan dalam perang sivil terbarunya?

Harakah Daily

Morsi lulus ujian pertama

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

Dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, yang asalnya merupakan hasil kajian PhD, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman menekankan dua negara yang mempunyai pengaruh besar ke atas umat Islam di Malaysia, iaitu Mesir dan Turki.

Penyebaran pengaruh Mesir dalam masyarakat Melayu pada tahun 1920-an dan 1930-an dikaitkan dengan peranan yang dimainkan Universiti al-Azhar dan kota Kaherah yang menjadi destinasi belia Melayu menuntut ilmu.

Begitu juga dengan gerakan Islah, yang menyeru umat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar, yang dipelopori Jamaluddin al-Afghani, yang kemudiannya mempengaruhi dua tokoh pembahaharu Mesir, iaitu Muhammad Abduh dan Rashid Rida.

Pelajar Melayu di Mesir menyaksikan rakyat negara itu berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dan memberi pendedahan kepada mereka memainkan peranan menyemai kesedaran kepada anak bangsa. Peranan lulusan Azhar ini jauh mengatasi pengaruh mereka yang berpendidikan Inggeris atau Melayu.

Meskipun Daulah Uthmaniyah yang berpusat di Turki mengalami kemerosotan di awal abad ke-20 sehingga Sultan Abdul Hamid II digulingkan, namun perkembangan di sana begitu menarik minat umat Melayu di tanahair. Tindak-tanduk pembaratan dan pensekularan Mustafa Kamal Ataturk misalnya, telah menimbulkan reaksi segera dan polemik di antara golongan Kaum Tua dan Kaum Muda, yang dizahirkan melalui beberapa akhbar dan majalah Melayu, seperti Seruan Azhar dan Pengasoh.

Selepas 100 tahun, pengaruh Mesir dan Turki terhadap umat Islam negara ini rupanya tidak pernah padam. Sudah tentu Ikhwan Muslimin yang diasaskan Hassan al-Banna di Mesir dan organisasi dakwah, seperti Jamaah an-Nur yang dipimpin Badiuzzaman Said Nursi di Turki, sering dirujuk pengalaman berharga mereka oleh aktivis Islam tanahair. Buku-buku karangan pimpinan Ikhwan menjadi bacaan wajib, yang dihadam dalam usrah dan pertemuan tetap.

Malah mutakhir ini, situasi dan eksperimen politik di kedua-dua negara tersebut, semakin diperkatakan, dan dilihat mampu mempengaruhi landskap siasah Malaysia, dengan nama-nama tokoh barunya, yang dipilih rakyat sebagai ketua kerajaan; Recep Tayyip Erdogan di Turki, melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan Dr Mohamed Morsi, yang menang sebagai Presiden Mesir pertama daripada kalangan orang awam, melalui Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP).

Sejak tercetusnya Arab Spring awal tahun lalu, yang menumbangkan Hosni Mubarak, diktator Mesir selama 30 tahun, Perdana Menteri, Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, tidak dapat menyembunyikan kebimbangan fenomena yang melanda Timur Tengah berulang di Malaysia.

Dr Mahathir berkata Arab Spring mendedahkan pemerintah negara yang tidak demoratik, memerintah secara autokratik hingga menyebabkan rakyat menjatuhkan kerajaan. "Kita di sini ingin Arab Spring tapi soalnya adakah kerajaan terlalu zalim? Adakah kerajaan tidak beri perhatian kepada nasib rakyat, tidak membangunkan dan memajukan negara?" katanya di hadapan lebih 700 mahasiswa UKM.

Semasa berucap di Gua Musang, Najib mengaitkan peserta perhimpunan Bersih 3.0 dengan situasi di Kaherah: "Mereka (demonstran) ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir."

Najib turut mendakwa Bersih 3.0 merupakan usaha untuk menumbangkan kerajaan seperti Arab Spring.

Saya tidak berhasrat untuk menyinggung kekhuatiran pemimpin tertinggi Umno itu. Semasa ledakan reformasi di Jakarta pada 1998, Dr Mahathir tidak senang duduk apabila rakannya, Suharto terpaksa berundur. Hubungan beliau dengan timbalannya, Anwar Ibrahim, menjadi bertambah buruk dan parah ketika itu. Apatah lagi apabila Hosni juga dijatuhkan melalui revolusi rakyat, yang sedia berdada dengan muncung meriah kereta kebal dan tembakanm peluruh hidup yang membunuh.

Menyedari Dr Redzuan, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya mempunyai pengalaman dan hubungan dengan pemimpin Ikhwan Mesir, juga merupakan tenaga pengajar dan profesor pelawat di Universiti di Kaherah sejak 2003, saya lebih berminat untuk mendengar ulasannya mengenai realiti di sana.

Pelbagai persoalan muncul, misalnya, mengapa Morsi hanya mendapat kira-kira 51 peratus undi, sedangkan lawannya, Ahmad Syafiq, bekas Perdana Menteri era Hosni, yang tentunya mempunyai reputasi buruk dan akan ditolak dengan mudah oleh rakyat Mesir yang bencikan diktator tua itu?

Dalam benak saya, sepatutnya bila berdepan dengan pewaris Hosni, maka Morsi akan menang mudah, dengan majoriti besar. Dengan perbedaan undi yang kecil itu, apakah menunjukkan imej Islam Ikhwan pada sosok Morsi masih digeruni rakyat? Ataupun, majoriti pengundi bimbang terhadap kuasa dan pengaruh besar Ikhwan dalam kerajaan, yang sebelumnya menang besar dalam pilihan raya parlimen, dan dengan itu mereka mahu ada "semak dan imbang" melalui bakal presiden dari kelompok sekular?

Namun, isu lebih mendesak ialah keupayaan Morsi untuk berdepan dengan pihak tentera, yang berkuku sejak sekian lama, selain hubungannya dengan golongan sekular yang turut menyumbang saham besar dalam revolusi tahun lalu.

Segera saya teringat pengalaman pedih dan perit generasi awal Ikhwan ketika bersama elit tentera menumbangkan regim Raja Farouk. Mohamad Naguib dan Gamal Nasser bertindak mengkhianati sokongan Ikhwan, sehingga ramai pemimpin dan aktivisnya dipenjara, diseksa dan dibunuh.

Dr Redzuan sendiri membuat kajian khusus mengenai kegagalan Ikhwan dalam Revolusi Julai 1952 itu, dengan tumpuan terhadap konflik politik di Mesir, antara tahun 1948-1954. Nasser merencanakan drama pembunuhan ke atas dirinya semasa berucap di Iskandariah, pada 26 Oktober 1954. Penembaknya dikatakan anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan gerakan Islam itu. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.

Selain itu, bukankah Ikhwan yang "agak lambat" terbabit dengan kebangkitan rakyat, turut didakwa telah "hijack" revolusi 2011? Saya juga tertanya-tanya dengan sikap rakan-rakan dalam Ikhwan sendiri, terutama apabila membayangkan pendekatan Morsi yang lebih moderat dan sederhana, bagi menyantuni semua kelompok rakyat, termasuk dasar luar berkaitan Palestin, Israel dan Amerika Syarikat. Tidak dilupakan hubungan Morsi dengan kumpulan Islam yang dilihat ekstrem seperti Salafi.

Alhamdulillah, Dr Redzuan berkelapangan pada pagi Ahad lalu, sekembalinya dari Tokyo. Secara santai, di rumahnya, di Sg Ramal Dalam, Kajang, beliau menceritakan, ada perbedaan jelas senario yang dirasainya semasa berkunjung ke Tehran, selepas revolusi tahun 1979 dengan situasi di Kaherah, sejurus Hosni digulingkan.

Rakyat Iran, di seluruh pelosok negara, ghairah bercakap tentang revolusi. Rakyatnya begitu teruja. Di Mesir, tambah beliau, ketika ke sana selepas tiga bulan Hosni jatuh, orang ramai tidak lagi bercakap tentang revolusi.

"Seolah-olah macam Hosni sudah jatuh, dan selesai macam itu. Macam biasa saja, tidak nampak apa berlaku. Berbeza di Iran ke mana kita pergi nampak slogan dan rakyat bercakap tentang revolusi. Maknanya revolusi Mesir tidak menyeluruh," ujarnya.

"Pada tanggapan saya kebangkitan yang berlaku di Mesir ini tidak bersifat menyeluruh. Perkembangan yang membawa kepada pengunduran Hosni Mubarak adalah jauh daripada revolusi yang membawa perubahan drastik. Lantaran itu, proses politik yang berlaku di Mesir ini lebih cenderung dikategorikan sebagai satu kebangkitan rakyat, bukan satu revolusi yang merubah rejim lama kepada pembentukan pemerintahan baru," tegas Dr Redzuan.

Saya cuba mencungkil, siapa sebenarnya penggerak revolusi atau kebangkitan di Dataran Tahrir? Apakah ia didorong oleh masyarakat bawahan -- yang tertekan kehidupan ekonominya, yang lebih memikirkan apa untuk dimakan hari esok -- atau kelas menengah yang lebih terpelajar?

Saya kira Morsi dan strategisnya pasti memahami realiti sokongan yang diperolehinya agar beliau dapat mengatur prioriti dalam proses pembaharuan, yang begitu didamba keseluruhan rakyat. Sesungguhnya tempoh 100 hari selepas dilantik presiden begitu kritikal dan menentukan perjalanan panjang, sekurang-kurangnya empat tahun yang bakal ditempuhinya.

Difahamkan Morsi mempunyai penasihat dari Turki dan Tunisia, dua negara yang mendapat perhatian kelompok Islam dan mempunyai pendekatan tersendiri dalam membangunkan negara, seperti dihajati rakyat.

Bercakap soal peratus keluar mengundi hanya sekitar 50 peratus, satu angka yang saya anggap kecil, Dr Redzuan, "ini cukup baik bagi sebuah negara yang selalunya hanya mencatatkan 10 peratus, dan untuk tempoh yang lama, rakyat Mesir langsung tidak menghiraukan pilihan raya. Di negeri maju seperti UK dan AS juga kadar keluar mengundi sekitar 50 peratus."

Mengenai cabaran tentera, Dr Redzuan nampak tidak begitu bimbang. Baginya, tentera hanya kuat dengan senjata. Para jeneralnya hidup dengan nostalgia lama. Mereka tidak tahu mentadbir dan menyusun strategi: "Tak cerdik."

"Dilihat kenyataan pemimpinnya, tentera masih rasa mereka berkuasa. Kalau 50 tahun dulu bolehlah buat begitu, tapi rakyat melihat yang berkuasa adalah pemimpin yang dipilih rakyat. Tentera masih berfikir seperti 20 hingga 30 tahun lalu," tambahnya.

Mungkin pengalaman Turki, yang juga pengaruh tenteranya begitu kuat mencengkam, tetapi beransur-ansur dapat dikurangkan, melalui kaedah politik yang bijaksana, dapat diteladani oleh Mesir.

"Pengalaman di Turki sepatut menjadi pengajaran kepada tentera di Mesir. Di Turki selama lebih 70 tahun tentera seolah-olah tidak boleh disentuh, tetapi kini tentera sudah hilang taring. Siapa yang boleh menjangka bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Jeneral Ilker Basburg yang ketika berkuasa lantang mencabar kerajaan yang dipilih secara demokrasi, tetapi kini merengkok dalam penjara atas tuduhan mengkhianati negara apabila dituduh berkomplot cuba menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat," jelas Dr Redzuan.

Saya meminta Dr Redzuan membuat analisis ringkas tentang sokongan kepada Ikhwan dan Morsi. Apakah pengaruh Ikhwan lebih berakar di kawasan kampung, dan bagaimana pula dengan sikap golongan pertengahan?

"Golongan kelas menengah dan sekular nampaknya lebih cenderung menyokong Shafik. Di Kaherah sendiri, kawasan yang didiami oleh kelas menengah dan kaya seperti di Muhandisin dan Zamalek sokongan popular adalah kepada Shafik, sedangkan di Giza yang didiami oleh kelas bawahan, Morsi berjaya mendapat sokongan yang lebih besar," jawab Dr Redzuan.

Mungkinkah kelompok yang turut (malah merintis kebangkitan) mendokong revolusi, dan berkorban jiwa raga demi menjatuhkan regim zalim Hosni, juga khuatir dengan pendekatan Islamik Morsi?

"Mereka tidak mahu Mesir menjadi sebuah negara Islam. Mereka mahu negara sekular. Mungkin mereka sendiri salah faham dengan Ikhwan. Morsi sedar hal ini. Oleh itu beliau tidak melupakan keluarga mereka terkorban, misalnya, keluarga yang hendak berjumpanya tidak boleh dihalang. Seramai 12,000 tahanan akan diusahakan untuk dibebaskan," kata Dr Redzuan.

"Saya mendengar ucapan sulung Morsi, bagi saya, dia berjaya meyakinkan semua kelompok. Gambarnya tidak boleh digantung. Jadi orang nampak bezanya dengan regim terdahulu. Dia akan berkhidmat untuk rakyat.

"Ucapannya cukup meyakinkan. Bagi seorang negarawan kali pertama bagi saya luar biasa. Dia boleh memastikan semua kelompok diberi perhatian. Ini satu permulaan yang baik walaupun saya tidak nafikan tentera mungkin akan cuba mengambil alih," tambahnya.

"Saya yakin dengan pengalaman panjang yang dilalui Ikhwan menyebabkan Morsi akan lebih berhati-hati serta menyedari kekuatan dan kelemahan yang dimiliki. Ucapan yang disampaikan oleh Morsi sempena perlantikan sebagai presiden memperlihatkan kematangan. Morsi juga nampaknya mendapat nasihat dari AK Partisi Turki dan Hizb al-Nahdah Tunisia yang sudah melalui pelbagai pengalaman berharga. Dalam perhimpunan yang diadakan di Medan Tahrir, Rachid Ghanousi pemimpin de facto Hizb al-Nahdah kelihatan berada bersama-sama di atas pentas," kata bekas Naib Presiden ABIM itu.

Sebagai salah seorang daripada ribuan yang pernah "berkenalan" dengan Ikhwan -- walaupun dari jauh, melalui buku-buku terjemahan Al-Banna, Syed Qutb, Abd Qadir Audah, Mustafa Masyur, Fathi Yakan, dengan pendedahan ustaz-ustaz lulusan Al-Azhar semasa di kampus dulu -- saya bukan saja mengharapkan era baru gerakan Islam membawa sinar kepada Mesir dan negara-negara Arab, tetapi mampu melonjakkan momentumnya ke rantau Melayu ini, khususnya Malaysia.

Kemampuan aktivis gerakan Islam untuk bermuamalah dengan situasi dan lingkungan, seterusnya membawa pembaharuan, selaras dengan aspirasi rakyat, seperti dirintis Morsi dan rakan-rakan Ikhwan begitu mencabar.

Biarpun menang dengan majoriti kecil, namun ia sudah cukup untuk memulakan perubahan, sambil berusaha keras mendekati masalah rakyat, menyelami denyut jantung mereka, dan bersama-sama menawarkan penyelesaian ke atas problem yang menghimpit kehidupan seharian mereka.

Morsi misalnya memandang serius isu kemiskinan, pengangguran dan keselamatan. Dalam tempoh 100 hari pemerintahannya Morsi akan cuba menunjukkan bahawa beliau adalah presiden yang berjiwa rakyat. Bagi menyelesaikan masalah harian yang menghantui penduduk Kaherah, iaitu kesesakan jalan raya Morsi telah memanggil pakar-pakar yang mampu mengemukakan penyelesaian kepada masalah ini.

"Selain itu, jelas Dr Redzuan, "Morsi juga menetapkan bahawa kereta yang membawa presiden tidak akan menyekat lalu lintas, sebagaimana yang diamalkan oleh Mubarak ketika menjadi presiden. Ini bagi mengelakkan kesesakan yang semakin buruk apabila rombongan presiden menggunakan jalan raya."

Dari segi penyertaan dalam proses pilihan raya dan pengalaman memerintah (walaupun di peringkat negeri), PAS tentu agak jauh ke hadapan berbanding Ikhwan, namun ada aspek-aspek tertentu yang boleh diambil iktibar daripada kejayaan awal ini, 'kan?

Harakah Daily