06 Julai 2012

Janin dalam kotak kasut

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

MELAKA - Seorang penjaga kaunter tandas Melaka Sentral, di sini terkejut apabila mendapat tahu kotak kasut berisi daging yang ditemui dalam tandas lelaki, awal pagi semalam adalah janin.

Kotak putih dibungkus dengan plastik berwarna coklat itu diterima Salmah Hamid, 45, kira-kira 8 malam oleh seorang pemandu bas yang menggunakan tandas berkenaan.

Salmah berkata, dia didatangi seorang pemandu bas berusia lingkungan 30-an yang membawa kotak berkenaan. “Masa itu saya sedang duduk di kerusi kaunter. Pemandu bas itu keluar dari tandas lelaki sambil membawa kotak kasut dan meletakkannya atas kerusi kosong di sebelah saya.

“Dia meminta saya tengok isi kotak itu. Saya tanya apa isi dalamnya. Dia kata ada ‘daging’.

“Saya terus tidak berani hendak buka dan memang tak mahu tengok apa isi kotak itu, lalu meminta dia bawa kotak itu ke bilik pengawal,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan rakanrakannya terdapat janin tidak cukup bulan di kotak itu, sebaik saja polis tiba ke Melaka Sentral untuk membuat pemeriksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah berkata, janin yang ditemui itu berusia lingkungan enam hingga tujuh bulan.

“Janin lelaki cukup sifat itu dijumpai dalam kotak kasut dalam keadaan bersih dan tiada uri serta tidak dibalut sebarang kain.

“Siasatan awal dipercayai janin berkenaan baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Muhammad Koey berkata, polis masih mengesan suspek bagi membantu siasatan kes mengkut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Siasatan awal juga mendapati kejadian berlaku antara jam 5 dan 8 pagi. Setakat ini, polis cuba mengenal pasti suspek menerusi kamera litar tertutup,” katanya.

Beliau berkata, janin berkenaan dibawa ke Hospital Melaka, di sini untuk tindakan selanjutnya. Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Turus (Siasatan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga) D11, Asisten Superintendan Noor Zarini Ariffin di talian 06-2854222 atau 019-7731273 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: