02 Ogos 2008

MB Perak pelawa Tajol sertai Pakatan Rakyat

IPOH, 1 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin mempelawa Pengerusi Umno Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau membuat pelawaan itu sebagai respons balas kepada pelawaan Tajol Rosli yang mengajak Nizar menyertai kerajaan yang kononnya boleh dibina jika PAS dan Umno bekerjasama.

Tajol juga menawarkan kedudukan sebagai Menteri Besar kepada Nizar, sedangkan kata Nizar beliau telah menjawat jawatan itu bersama Pakatan Rakyat.

Namun, Nizar yang telah dilantik sebagai Menteri Besar sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah Perak, menolak tawaran Tajol yang disifatkan sebagai 'senda gurau'.

"Terima kasih atas tawaran itu, saya juga nak buat tawaran kepada dia setelah PAS Pusat menolak tawaran kerjasama dengan Umno, sebagai Menteri ImageBesar eloklah saya buat tawaran kepada Tajol dan rakan-rakan untuk menyertai kami (Pakatan Rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak dekat sini petang Khamis, 31 Julai.

Terdahulu beliau telah bertemu dengan Mufti Kerajaan Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria selama sejam dan kemudian bertemu dengan kakitangan Jabatan Agama Islam Perak.

Turut serta dalam pertemuan dengan jabatan tersebut ialah, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato' Jamry Sury; Setiausaha Politik MB, Misbahul Munir Masduki dan Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim.

Mengulas lanjut isu pelawaan tersebut, Nizar berkata, Tajol dan rakan-rakannya dari Umno dan Barisan Nasional boleh menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga berpendirian PAS Perak dari awal lagi menolak kerjasama dengan ImageUmno, sebaliknya konsisten akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Malah kerajaan Pakatan Rakyat yang dibina di Perak telah diperkenan Sultan Perak selain mereka telah bersetia untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

Sementara itu ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Norazli Musa pula menyatakan kerjasama antara Pakatan Rakyat di Perak semakin baik sejak isu muzakarah Umno-PAS dimanipulasi media.

Malah katanya, di peringkat pemuda kesemua parti dalam Pakatan Rakyat akan mengadakan 'road show' untuk menjelaskan pendirian mereka bersama pakatan.

Sebenarnya isu kerjasama Umno-PAS seolah tidak timbul di Perak kerana rakyat kini lebih yakin dengan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 31 Julai- PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.

"Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, "tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti."

PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.

"Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato' Seri Anwar," ujarnya.

Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama' yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah salleh.