28 Disember 2012

Hotel mewah dekat Masjidil Haram

14 Safar 1433H. [MOD] -

MAKKAH: Sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang mengandungi 5,000 bilik akan dibuka dekat Masjidil Haram di sini sebelum Ramadan sebagai sebahagian daripada projek perumahan Jabal Omar, kata Pengerusi Lembaga Syarikat Pembangunan Jabal Omar, Abdul Rahman Faqeeh.

“Hotel baru itu akan diuruskan oleh Hilton International,” kata ahli perniagaan Arab Saudi itu dan menambah, hotel baru itu mempunyai dua menara 20 tingkat setiap satu.

Hotel itu terletak di bahagian S1, kawasan projek itu dan akan menghadap laman sebelah barat Masjidil Haram.

Terdapat tempat solat untuk muslimin dan muslimat dan juga pusat beli-belah empat tingkat.

Fasa pertama termasuk membina empat lagi hotel; Marriot Makkah, Hyatt Makkah, Conrad Makkah dan Hotel Konvensyen Hilton Makkah, kata Abdul Rahman.

Katanya, projek Jabal Omar ini akan membuka 11,000 peluang pekerjaan kepada warga Arab Saudi selepas tiga fasa pembinaannya selesai, termasuk 3,800 pekerjaan di bidang perhotelan.

“Sepanjang 18 bulan akan datang, kami akan mengambil 1,350 pekerja Arab Saudi,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beratus-ratus pekerja Arab Saudi akan dilatih untuk bekerja di Hotel Hilton pertama sebelum bulan Ramadan.

Akhbar Al-Sharq melaporkan, syarikat itu merancang untuk mengambil 4,000 lagi pekerja Arab Saudi dalam masa tiga tahun.

Syarikat Jabal Omar membangunkan kawasan seluas 2.2 juta meter persegi dekat Masjidil Haram.

Antara rancangan pembangunan di kawasan itu termasuk, 38 menara hotel dan pusat beli-belah terbesar di negara ini.

Projek itu akan dapat memenuhi keperluan peningkatan jumlah jemaah haji dan umrah.

Kira-kira 10 juta jemaah tiba di Makkah sepanjang tahun dan 3 juta jemaah datang ke Makkah menunaikan haji setiap tahun.

Tiga puluh lapan hotel yang dalam pembinaan, diuruskan oleh 28 syarikat dan menambah 13,500 bilik lagi dalam industri perhotelan apabila ia siap lima tahun lagi, kata seorang pegawai kanan.

Projek itu dibina dalam lima fasa dan menelan belanja Sr20 bilion (RM16.32 bilion). - Arab News

Apek, Leuniey sah bergelar suami isteri

14 Safar 1433H. [MOD] -

TUMPAT — Dengan sekali lafaz, penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, 23, sah bergelar suami kepada model dan usahawan, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, pada majlis akad nikah di kediaman pengantin perempuan di Pasir Pekan, di sini, hari ini. 

Pasangan itu dinikahkan Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib pada 10.25 pagi di kediaman keluarga pengantin perempuan sambil disaksikan anggota keluarga kedua-dua mempelai.
Pada majlis tersebut juga, Khairul Fahmi atau lebih mesra disapa Apek, tampil bergaya memakai baju Melayu berwarna kuning cair menyerahkan wang hantaran sebanyak RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh Nur Eilunie. 

Kira-kira 2,000 tetamu termasuk peminat turut hadir pada majlis akad nikah tersebut.
Khairul Fahmi ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, beliau bersyukur majlis akad nikah tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul.— BERNAMA

Royalti: BN tidak peka kehendak rakyat Sarawak

14 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Setelah beberapa minggu PAS dan Pakatan Rakyat Sarawak mengutarakan serta mendesak kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan jumlah pemberian royalti petroleum Sarawak daripada 5% kepada 20% masih belum ada lagi tanda pihak pemerintah bersedia untuk meningkat jumlah royalti petroleum tersebut.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh BN tidak peka dengan kehendak rakyat negeri Sarawak,” kata Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazu Paijo (gambar).

Tambah mengecewakan, katanya apabila tiada seorang pun wakil rakyat atau pimpinan BN yang memberikan sokongan secara jelas terhadap tuntutan rakyat untuk menambah peratusan royalti petroleum untuk negeri Sarawak.

Katanya, dengan kadar kemiskinan pada tahap 5.3% dan indeks pembangunan jalan raya yang paling rendah iaitu pada kadar 0.38 menjadi bukti jelas kenapa kadar royalti petroleum untuk negeri Sarawak perlu ditingkatkan.
“Pemuda PAS Negeri Sarawak dengan ini mendesak Ketua Pemuda PBB, YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof selaku tunjang Pemuda BN Sarawak untuk menyatakan pendirian beliau selaku pemipin muda BN serta pendirian Pemuda BN sendiri berkenaan tuntutan untuk meningkatkan kadar royalti petroleum Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Pemuda PAS Negeri Sarawak akan terus membangkitkan rakyat negeri ini untuk sama-sama menuntut hak yang tidak dipulangkan kepada mereka melalui program-program susulan kebangkitan rakyat di seluruh negeri.

harakah/-

Paus finback terdampar di Queens

14 Safar 1433H. [MOD] -
 
NEW YORK - Seekor ikan paus finback sepanjang 18.28 meter ditemui terdampar di Teluk Jamaica, Breezy Point, Queens pagi kelmarin, kata beberapa pegawai.

Para penyelamat dari Yayasan Riverhead berkata, paus itu kelaparan dan bergelut untuk hidup.
"Ia kelihatan amat kurus dan ini bukanlah situasi yang bagus," kata Pengarah Eksekutif yayasan itu, Rob DiGiovanni.

Polis dan bomba terpaksa menggunakan hos getah untuk menyiram air ke atas ikan paus itu bagi memastikan ia terus hidup.

Menurut Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar negeri, ikan paus finback merupakan spesies kedua terbesar selepas paus biru.

Seekor ikan paus finback berukuran sepanjang 6.09 meter ketika lahir dan boleh membesar sehingga 21.3 meter panjang apabila dewasa. - Agensi

Peserta Himpunan Oren Selamatkan Felda mula berkumpul

14 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Peserta Himpunan Oren Selamatkan Felda mula berhimpun di kawasan Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak di sini untuk berarak ke ibu pejabat Felda, bagi menyatakan bantahan dan menyerahkan memorandum menyelamatkan Felda.

Seawal jam 12 tengah hari pekarangan Masjid UTM mula dipenuhi penyokong Pakatan Rakyat khususnya Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), yang menjadi penganjur perhimpunan aman petang ini.

Pekarangan masjid turut dikawal ketat pihak polis, kira-kira 20 anggota.

Jemaah pula mula memenuhi kawasan Masjid UTM dengan pakaian berwarna oren kira-kira jam 12 tengah hari.

Tidak ketinggalan warga emas, kaum Tionghua dan golongan wanita pelbagai umur.

Di sekitar masjid pula bagaikan suasana pesta jualan apabila peniaga kecil mengambil kesempatan membuka gerai sepanjang jalan menghala ke Masjid UTM.


sinar/-

Kes dera: Bapa Zana dijel 10 bulan

14 Safar 1433H. [MOD] -

Muka depan Sinar Harian edisi Johor hari ini
Muka depan Sinar Harian edisi Johor hari ini.
Kes dera: Bapa Zana dijel 10 bulan
Nordi dibawa keluar dari kamar perbicaraan selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret semalam.
 
JOHOR BAHRU – “Saya mengaku bersalah, tetapi tujuan saya bertindak demikian adalah untuk mendidik anak-anak saya kerana mereka terlalu nakal dan sering keluar pada waktu malam.

“Malah jiran saya juga pernah mengambil anak-anak tanpa pengetahuan saya, saya bimbang berlaku perkara tidak diingini kepada anak-anak perempuan saya kerana jiran mempunyai anak lelaki."

Itu pengakuan Nordi Adi, 57, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan terhadap tiga anaknya, namun meminta hukuman diringankan berikutan faktor usia dan pendapatan yang tidak menentu.

Nordi iaitu bapa kepada kanak-kanak yang dilarikan ibu tirinya ke Lampong, Indonesia, dikenakan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tiga tuduhan mendera tiga anaknya.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dituduh menganiaya tiga anaknya Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyieta Amiera, 8, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada 21 Disember lalu kira-kira jam 6 pagi hingga 6 petang bertempat
di Flat Taman Kempas, Kempas, di sini.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Mohd Ali dan Goh Sze Han mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

sinar/-

Umno kena penyakit 'rabun angka'

14 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat Idris Ahmad menyifatkan Umno kini mengalami penyakit 'rabun angka' sehingga tidak tahu membezakan angka dengan yang sedikit, dan angka  yang dahulu dengan angka yang kemudian.

Beliau memberi contoh dalam isu tuduhan oleh Umno  Perak, kononnya Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menganugerahkan tanah seluas 10,576 ekar kepada pemimpin DAP Perak.

Pemberian itu kononnya untuk memastikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

"Ini satu pembohongan dan fitnah yang besar kepada TG Nik Aziz dan PAS. Faktanya PRU 12 bertarikh 8 Mac 2008, sedangkan tanah ini dibeli oleh Nga Kor Ming  dan Datuk Ngeh Khoo Ham pada tahun 2012.

"Ini membuktikan pemimpin Umno rabun angka. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan untuk mencapai cita-cita politik mereka, walaupun dengan fitnah dan pembohongan. Etika dan moral sudah tidak diambil peduli," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau juga memberi contoh lain iaitu berhubung hasil kutipan balak di Kedah telah yang meningkat daripada RM8 juta kepada RM80 juta dibawah pemerintahan PAS negeri itu.

Selain itu beliau juga membawa fakta berkaitan simpanan tunai kerajaan Selangor daripada RM400 juta meningkat kepada RM2.56 bilion dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Umno tetap cuba menafikan angka tersebut. Mereka tetap menafikan kebolehan PR menyimpan wang sebanyak itu.

"Setiap kali himpunan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat, sekali lagi penyakit rabun angka akan berlaku," katanya.

Penyakit rabun ini ujarnya semakin parah apabila hampir pilihanraya, terutama mimpi ngeri kejatuhan kerajaan BN ke tangan Pakatan Rakyat.

harakahdaily/-

Jadi pelarian angkara anak

14 Safar 1433H. [MOD] -
 

IPOH: Sepasang suami isteri warga emas terpaksa menjadi ‘pelarian’ dan menyorok di beberapa hotel murah berikutan bimbang dibunuh samseng along selepas anak mereka gagal menjelaskan hutang sindiket haram itu.

Mangsa, Chan Kwai Woh, 77, dan isterinya, Yong Yin Yoke, 70, terpaksa berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain sejak 17 Disember lalu selepas kumpulan samseng along menyerang rumah mereka di Taman Cempaka, di sini, gagal menjejaki anak lelaki mereka.

Chan yang bekerja sebagai juruteknik sambilan berkata, musibah itu mula menimpanya selepas anak lelaki mereka yang berusia 48 tahun membuat pinjaman wang dalam jumlah besar daripada along.
Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas rumahnya dibaling dengan cat merah oleh sekumpulan along pada awal pagi 15 Disember lalu.

“Saya kemudian menyoal anak lelaki kami berhubung punca insiden itu, namun anak lelaki kami menghilangkan diri keesokan harinya dari rumah.

“Beberapa orang samseng kemudian muncul di hadapan rumah dan mengugut kami supaya melangsaikan semua hutang itu. Jumlah hutang diambil terlalu banyak dan kami tidak mampu melangsaikannya,” katanya ketika membuat aduan kepada ketua biro aduan MCA Ipoh, Datuk Lee Kon Yin.

Dia yang bimbang keselamatan nyawanya bertindak meninggalkan rumah dengan hanya membawa beberapa helai pakaian sebelum tinggal menyewa di beberapa hotel murah di bandaraya ini.

“Saya meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa hinggakan ubat penyakit darah tinggi kami turut tertinggal di rumah. Kami kemudian mencari perlindungan dan menyorok di beberapa hotel murah.
“Kami berpindah-randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana bimbang dijejaki oleh samseng along,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, dia tertekan dengan kejadian itu dan menyifatkan anak lelakinya itu tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak teragak-agak memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anak kami itu jika masalah ini berterusan. Saya rayu supaya along membebaskan kami dan mencari anak kami itu untuk menuntut semua hutang berkenaan.

“Kami sudah tua dan tidak lagi berdaya. Entah sampai bila kami perlu hidup dalam keadaan ketakutan dan lari dari rumah sendiri,” katanya sedih.

Difahamkan, anak lelaki mangsa sebelum ini menetap di Australia selama 20 tahun sebelum pulang ke tanah air pada Jun lalu.

“Saya tidak tahu aktiviti dan jenis perniagaan dijalankannya kerana dia tidak pernah bercerita. Saya harap masalah ini dapat diatasi segera,” katanya.

metro/-

GSF dakwa Isa penakut, hanya wakil terima memo

14 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: 3.20 pm- Salahudin berucap sejurus selesai menyerahkan memorandum. Melahirkan kekecewaan kerana Isa takut untuk turun menerima sendiri memorandum tersebut.

"Kita datang dengan baik, tanpa provokasi. Kita kecewa kerana bukan Isa yang menerima memorandum hari ini," kata Salahudin.

Mazlan juga turut sekali lagi menyampaikan ucapan.

"Sepatutnya tidak ada masalah pada kita. Kita sudah hantar surat awal menyatakan hasrat kita untuk menyerahkan memorandum.

"Tetapi Isa takut, sehingga tidak sanggup menerima memorandum daripada kita," kata Mazlan.

3.10 pm - Polis membenarkan beberapa pemimpin melepasi sekatan untuk menyerahkan memorandum.

Kelihatan Salahudin bersama Mazlan Aliman masuk untuk menyerahkan memerandum tersebut.

Bagaimanapun memorandum itu hanya diterima oleh pegawai Felda di luar pagar.

Sebelum ini mereka menyatakan harapan agar Isa sendiri menerima memorandum tersebut.


2.40 pm - Lebih 2000 orang sudah memenuhi perkarangan luar pagar Ibu Pejabat Felda Jalan Semarak.

Sambil membawa kain rentang bantahan terhadap Isa, mereka juga melaungkan 'Undur Isa'.

Sementara menunggu kebenaran menyerahkan memorandum, beberapa pimpin turut berucap kepada para peserta yang hadir.

Dr Hatta dengan berkerusi roda menyampaikan ucapan di hadapan Wisma Felda.

"Isa Samad pernah disabitkan dengan rasuh politik, tetapi beliau masih diberi memegang jawatan Pengerusi Felda.

"Pengerusi Felda adalah jawatan yang besar, perlu orang amanah dan bersih.

"Kita cintakan Felda. Kita mahu Felda menjadi milik peneroka sepenuhnya, tetapi sekarang menjadi milik korporat," kata Dr Hatta.

2.30 pm - Peserta himpunan kini tiba di Wisma Felda. Polis menghalang beberapa peserta yang cuba mendekati pintu pagar.

(Gambar: Patung berwajah Isa Samad 'dirotan' sambil diarak peserta)

Penganjur kini sedang berbincang dengan pihak keselamatan bagi membenarkan beberapa wakil mereka masuk menyerahkan memorandum.

Kelihatan Pengerusi Bapa, Razman Zakaria mengetuai perbincangan dengan pegawai polis.
2.20 pm- Peserta himpunan kini sedang bergerak menuju ke ibu pejabat Felda.

Kira-kira 100 orang penyokong pemuda yang dipercayai penyokong Umno dilihat berhimpun bagi menghalang perserta himpunan ke pejabat Felda.

Polis juga membuat sekatan di hadapan pintu masuk ke pejabt Felda.

2.15 pm- Ucapan dimulakan dengan Salahudin mengambil pentas.

"Kita datang hari ini dengan satu tujuan. Mereka yang tidak bertanggungjawab sila kosongkan kerusi Felda.

"Kita berkumpul hari ini adalah untuk menghalau Isla Samad keluar daripada Felda," Kata Salahudin.

Mazlan pula mengambil tempat untuk berucap

"Kehadiran Isa telah mengundang bencana dalam Felda. Kita himpun hari ini bagi menyatakan ketegasan kita agar Isa letak jawatan sebagai pengerusi Felda.

"Saya termia banyak maklum balas termasuk dari dalam Felda sendiri. Mereka juga bersetuju bahawa orang bernama Isa Samad perlu keluar dari Felda," kata Mazlan.

2.10 pm- Hampir 1000 orang sudah berada di perkarangan Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur Jalan Semarak menyertai Himpunan Oren Selamatkan Felda 2.0 hari ini.

Difahamkan mereka akan bergerak ke Ibu Pejabat Felda yang kira-kira 500 meter dari masjid tersebut sebentar lagi bagi menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Felda Tan Tan Sri Isa Samad.

Di perkarangan masjid ketika ini sedang berlangsung ucapan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Antara pimpinan yang kelihatan setakat ini termasuklah Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohd Noor Mohamad.

Himpunan hari ini adalah anjuran Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang diketuai Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Kelihatan juga, patung berwajah mirip Isa turut diarak oleh peserta dengan di ikat pada kayu dan seorang peserta dilihat memegang rotan dengan gaya mahu memukul belakang patung tersebut.

harakah/-

Inilah Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia

14 Safar 1433H. [MOD] -


Beliau Berumur 81 Tahun...

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Beliau sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".

Politik Beliau Yang Menarik yang Perlu Anda Semua Mengetauinya.
Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. Secara peraturannya, Beliau (PAS) sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon. Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut. Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.

Beliaulah Menteri Besar Kelantan Darul Naim iaitu Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat ♥

"KAMI SAYANG ULAMA"
  
 harakah/-

Nafkah air kosong

14 Safar 1433H. [MOD] -


TAK MAMPU...Salmiah dan keluarga  menyewa bilik di Flat Pandan Jaya.
TAK MAMPU...Salmiah dan keluarga menyewa bilik di Flat Pandan Jaya.
KUALA LUMPUR: Kegagalan seorang bapa memberi nafkah kepada anak selepas berlaku perceraian menyebabkan enam beradik kini hidup terabai dan serba kekurangan di dalam jagaan ibu mereka sehingga terpaksa sekadar minum air kosong untuk mengalas perut.

“Bagi mengelak berfikir mengenai makan, kami keluar bermain bersama rakan dan hanya akan balik ke rumah untuk minum air saja. Masuk hari ini, sudah dua hari kami tak makan,” kata seorang daripada adik-beradik terbabit, Mohd Shahmin Azli Zul, 9.

Mohd Shahmin bersama ibu, Salmiah Md Salleh, 40, lima beradik kandung dan seorang adik angkat kini tinggal dalam sebuah bilik kecil yang disewa di Flat Pandan Jaya, di sini.

Salmiah berkata, kedaifan hidup selepas dia dan suaminya berpisah pada 2008 menyebabkan dirinya tidak mampu menyediakan keperluan yang sempurna untuk enam anak kandung dan seorang anak tirinya yang berusia tiga hingga 16 tahun.

Menurutnya, hasil perkahwinan dia dan suami dikurniakan lapan anak, namun selepas perceraian, suami mengambil dua daripada anak untuk dijaga manakala enam lagi di bawah tanggungannya, selain seorang anak angkat.

metro/-

Dana Palestin: PAS tuntut penjelasan Ali Rustam

14 Safar 1433H. [MOD] -


MELAKA: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari sekali lagi mendesak agar dana Palestin sebanyak RM680,747 yang dipungut pada tahun 2009 oleh kerajaan Melaka diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin dengan segera.

"PAS Melaka kesal dengan tindakan kerajaan Melaka yang sehingga kini masih gagal meyerahkan dana berjumlah RM680,747 yang dipungut pada tahun 2009 kepada Palestin.

"Kita mendesak kerajaan negeri supaya menyerahkan dana tersebut dengan segera, perbuatan mereka menyimpan dana ini selama 3 tahun adalah perbuatan khianat," ujar Adly dipetik dari akaun Facebooknya hari ini.

Sebelum ini beliau telah membuat desakan dalam blognya namun tiada jawapan konkrit dibuat oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Adly berkata laporan Ketua Audit Negara mendapati sejumlah RM680,747 telah berjaya dikumpulkan hasil dari sumbangan jabatan dan agensi kerajaan dan orang awam.

"Namun laporan itu mendapati bahawa wang tersebut tidak disalurkan kepada rakyat Palestin sehingga April 2011.

"Saya berharap Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam memberi penjelasan terperinci terhadap perkara ini yang dikira amat memalukan negeri dan negara kita.

Menurutnya, Ketua Menteri mesti menjelaskan bila wang tersebut diserahkan kepada Rakyat Palestin kerana sehingga kini kita tidak mendapat maklumat sahih tentang perkara itu.

"Sekiranya wang itu telah disalurkan, kenapa ia mengambil masa yang sebegitu lama”? soal Adly.

Adly berkata penjelasan Ketua Menteri adalah dituntut kerana ia melibatkan sumbangan orang ramai.

harakah/-

SU Agung Pas: Saya optimistik PR akan kekal

mustafa ali14 Safar 1433H. [MOD] -

Mustafa... 'realiti politik Malaysia, tidak ada satu parti boleh menang sendiri untuk perintah'. - Foto Sinar Harian Zulfadli Ahmad Zaki
 
SHAH ALAM - Cakap-cakap bahawa Pakatan Rakyat (PR) sebuah perikatan longgar yang berada dalam keadaan retak menanti belah disanggah keras oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sambil berkata, perikatan itu tidak akan "berpatah arang berkerat rotan" dalam apa jua keadaan sekali pun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mengakui bahawa kerjasama ketiga-tiga parti menguntungkan mereka dalam situasi "menang-menang", kata beliau, tidak timbul soal gabungan itu hanya bersama kerana cita-cita politik untuk menakluk Putrajaya.

"Tidak. Saya optimistik bahawa kita bersama, kita bersatu, tubuh kerajaan pun bersama, kita akan bersatu, Insya-ALLAH. Itu keyakinan saya.

"Persefahaman di antara ketiga-tiga parti ini yang memahami bahawa kita mesti bergerak sebagai satu. Realiti politik di Malaysia, tidak ada satu parti yang boleh menang sendiri untuk perintah. Tidak ada," katanya dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

Walaupun tidak menafikan adakalanya berlaku perbedaan pendapat dalam hal-hal tertentu, namun ujarnya, lebih banyak kebersamaan yang menyatukan perikatan itu selepas ia dibentuk pada 2008.
"Saya sebut acapkali perkara ini. Kita bukan seratus peratus sama," tegas beliau.

Pada pilihan raya lalu, pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Umno-Barisan Nasional sekali gus menzahirkan rekod terburuk parti itu sejak mentadbir negara ini.

Namun perkembangan politik semasa didendangkan bahawa tsunami politik 2008 telah berlalu dan tidak mungkin berulang.

Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengepalai teraju Umno-Barisan Nasional dilihat berjaya menarik semula sokongan rakyat terhadap parti pemerintah.

Di sebalik itu dilaporkan pula PR berhadapan dengan krisis dalaman yang boleh membawa kepada perpecahan gabungan itu.

Pas, parti paling lama dalam perikatan itu disifatkan sudah lari daripada landasan asal perjuangannya dan dilaporkan sudah hilang taji apabila berhadapan dengan PKR dan DAP.

DAP pula digambarkan sebagai parti perkauman yang sering meminggirkan masyarakat Melayu sementara PKR dibelit dengan krisis identiti dan isu moral Ketua Umumnya.

Isu jawatan Perdana Menteri yang meletus dalam muktamar Pas baru-baru ini dilihat penganalisis sebagai gambaran paling jelas kepada perpaduan yang rapuh dalam gabungan parti  yang baru setahun jagung itu.
Pas mahu presiden mereka dilantik sebagai Perdana Menteri, sementara DAP bertegas, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu paling layak.

Anwar selaku Ketua Pembangkang pula berkata, jawatan PM bukan "satu masalah" dan "boleh bincang" katanya.

Mustafa yang menafikan perkara-perkara seperti itu mampu menggugat perpaduan dalam PR menegaskan, perikatan itu punya iltizam dan arah tuju yang cukup jelas.

"Persamaan yang saya sering sebut kita sedang menghadapi situasi di mana kita sedang berhadapan dengan rasuah yang melampau, kezaliman, ketidakadilan...

"Jadi sebab itu kita sekarang ini hendak perjuangkan untuk keadilan, keadilan ini adalah asas kepada pejuangan kita dan bila tadbir ini kita mahukan tadbir urus yang baik, kita tidak mahu lagi rasuah seperti yang berlaku sekarang ini," katanya.

sinar/-

Lenyap ditimbus tanah

14 Safar 1433H. [MOD] -

pix_middle

SUNGAI PETANI: “Saya sempat melihat Mogan melambai tangan sambil menjerit meminta tolong sebelum dia dan Saravanan lenyap ditimbus tanah runtuh dalam lubang itu.

“Saya sedih kerana tak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mereka disebabkan kejadian berlaku begitu pantas.”   

Demikian kata Ming Wei Yoh, 51, seorang daripada dua pekerja yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan di Amanjaya, dekat Sungai Lalang, di sini, yang meragut dua nyawa pekerja warga tempatan, semalam.

Kejadian berlaku jam 10.30 pagi ketika empat pekerja sibuk memasang saluran paip dalam sebuah lubang kumbahan bawah tanah sedalam hampir 10 meter.

Secara tiba-tiba, bahagian tengah antara dua lubang itu yang tidak dikorek runtuh lalu menimbus dua mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu, S Saravanan, 25, dan P Mogan, 39. 

metro/-

Himpunan 12 Jan hantar isyarat akhir buat SPR

14 Safar 1433H. [MOD] -


MACHANG: Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Kuala Lumpur pada 12 Januari ini bakal menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terus memperkudakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

HKR KL112  sebagai kemuncak kepada Bersih 1, Bersih 2 dan Bersih 3  bakal menghimpunkan sejuta rakyat. Ia memberi amaran akhir kepada SPR supaya tidak memandang mudah segala rungutan terhadap ketelusan perjalanan pilihan raya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPR yang dianggap senjata akhir kerajaan BN perlu berfikir banyak kali dengan amarah rakyat sebelum meneruskan rancangan di luar demokrasi bagi memenangkan BN.

“Sejuta rakyat yang akan datang ke Kuala Lumpur. Ia akan mengajar SPR berfikir banyak kali. Ini tentunya akan melahirkan rasa gerun untuk terus membiarkan organisasi itu diperalatkan kerajaan BN.

“Mereka perlu bertindak untuk tidak membiarkan rakyat asing menjadi penentu demokrasi di negara kita. Jangan biarkan orang Bangladesh, Nepal, Filipina dan Indonesia mengundi untuk mengekalkan kerajaan yang ada sekarang,” katanya pada program Jelajah Anak Muda menuju himpunan Kebangkitan Rakyat di Dewan Majlis Daerah malam semalam.

Orang ramai tetap memenuhi ruang dewan biar pun banyak tempat di Kelantan sekarang dilanda banjir. Rata-rata yang datang hanya mendapat maklumat melalui internet tanpa ada poster di merata tempat.

Hadir sama wakil-wakil NGO termasuk Pengerusi Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, wakil Royalti, Anak, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman, Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman, aktivis mahasiswa Adam Adli dan Ketua AMK Kedah, Azman Nasharuddin.

Program bermula solat Maghrib. Pada program berkenaan juga orang ramai yang hadir turut melafazkan ikrar menuntu royalti yang diketuai Marziki Mat Rani.

Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang berkata, berdasar kepada siri himpunan kebangkitan rakyat yang diadakan di seluruh negara sebelum ini, sambutannya begitu memberangsangkan sekali.

Menurutnya juga pihak pengurusan Stadium Merdeka yang akan dijadikan tempat perhimpunan itu mengenakan kadar bayaran sebanyak RM75,000 bagi membolehkan program itu diadakan.

Adam Adli yang digantung UPSI selama tiga semester kerana menurunkan gambar Datuk Seri Najib Razak di PWTC sebelum ini mengharap anak-anak muda datang beramai-ramai pada himpunan tersebut sebagai mencerminkan tuntutan mereka.

“Kalau kita seorang yang bercakap kerajaan tidak akan dengar, namun kalau sejuta rakyat menuntut kerajaan tidak boleh tidak mengendahkan lagi,” ujarnya.

harakah/-

Barang kemas RM500,000 lesap, 3 penjenayah tembak polis

Muka depan Sinar Harian edisi Perak hari ini14 Safar 1433H. [MOD] -

Muka depan Sinar Harian edisi Perak hari ini.
 
PARIT BUNTAR - Tindakan nekad empat anggota polis cuba menahan sekumpulan perompak sebuah kedai emas daripada melarikan diri hampir berakhir tragedi apabila kenderaan mereka ditembak dalam kejadian rompakan bersenjata di Pekan Baru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua penjenayah bertopeng memasuki kedai emas terbabit melalui pintu hadapan dan mengarahkan tiga pelanggan di dalamnya beredar dari situ.

Menurutnya, sejurus pelanggan beredar, salah seorang suspek mengacukan senjata kepada salah seorang pekerja premis itu, manakala seorang lagi suspek memecahkan kaca meja pameran barang kemas menggunakan penukul.

“Setelah dipecahkan, suspek bertindak mengaut kesemua barang kemas terbabit ke dalam guni, manakala rakan suspek mengarahkan lima pekerja kedai itu duduk melutut.
“Mereka hanya mengambil tempoh 10 minit untuk merompak premis berkenaan sebelum melarikan diri dengan bantuan seorang lagi suspek yang menunggu di dalam sebuah kenderaan tidak dikenal pasti di hadapan premis itu,” katanya sewaktu ditemui media selepas melawat lokasi kejadian tengah hari semalam.
Kejadian itu menyebabkan pemilik kedai emas tersebut menanggung kerugian kira-kira RM500,000.

Tayar pancit terkena tembakan

Mat Fauzi berkata, sewaktu kesemua suspek berkenaan hendak memasuki kenderaan, mereka terlihat sebuah kereta peronda polis yang sedang menuju ke lokasi kejadian untuk menahan mereka.
Menurutnya, salah seorang suspek bertindak menembak ke arah kereta polis terbabit sebelum polis bertindak mengejar kenderaan suspek.

“Namun, usaha mengejar kenderaan suspek tidak dapat diteruskan disebabkan tayar kenderaan kereta peronda ini pancit akibat terkena serpihan tembakan senapang jenis ‘pump gun’ suspek.

“Suspek dipercayai melarikan diri ke kawasan utara dan pihak kami sudah memohon bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah( IPD) berdekatan daerah Kerian untuk membantu siasatan,” katanya.

Usaha buru suspek bermula

Mat Fauzi berkata, berdasarkan maklumat saksi, kesemua suspek berkenaan dipercayai berbangsa Melayu dan berusia lingkungan 30-an.

“Polis Kerian sudah meningkatkan tahap keselamatan di seluruh daerah ini termasuk mengadakan sekatan jalan raya di setiap jalan utama bagi memastikan suspek tertangkap.

Sementara itu, seorang peniaga, Ismail Abdullah, 62, ketika ditemui mengesahkan ada mendengar bunyi tembakan di luar kedainya dan terkejut apabila mendapati seorang pelanggan memasuki premisnya secara tergesa-gesa.

sinar/-

'Kita minta permit dia kasi tayar'

14 Safar 1433H. [MOD] -


 
NONEAntara tuntutan pemandu teksi kepada Pakatan Rakyat sekiranya berjaya ke Putrajaya ialah permit persendirian diberikan berbanding kepada syarikat teksi, kata Presiden Pemandu Teksi Seri Muda, S Manoharan.

Manoharan berkata, selain itu mereka turut meminta agar kad kesihatan untuk ke hospital kerajaan diwujudkan serta pemandu teksi menerima Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO).

"Kita harap kalau Pakatan Rakyat dapat ke Putrajaya, mereka dapat laksanakan ini semua. Bukan seperti kerajaan sekarang, kita minta permit dia kasi tayar.

"Tayar kita boleh beli di kedai. Permit kita boleh beli di kedai ke?" katanya yang disambut tepukan gemuruh oleh pemandu teksi yang memenuhi Dewan Sivik, Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena menghadiri majlis bersama permimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Perhimpunan itu dihadiri antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu yang masing-masing turut berucap.

Beberapa pemimpin persatuan pemandu teksi turut menyampaikan resolusi tuntutan pemandu teksi kepada Ronnie.

NONEPerhimpunan yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu rata-rata menunjukkan pemandu teksi berpuas hati dengan tawaran-tawaran yang diberi oleh Pakatan Rakyat.

Mereka turut sesekali bersorak apabila Anwar sekali lagi berjanji akan memberikan permit persendirian sekiranya menang dalam pilihan raya akan datang.

Anwar berkata, memberikan permit kepada pemandu teksi bukan perkara sukar memandang ia tidak perlu perbincangan yang serius.

"Bukan perkara yang susah untuk dirunding. Benda kecil ini pun susah pada Umno, tak boleh nak buat. Perkara paling mudah pun tak mampu nak dibela. Najib kamu gagal," kata Anwar.

malaysiakini/-

Gaji minimum bebankan peniaga kecil luar bandar

14 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: “Sekiranya sebelum ini, kami dapat mengambil beberapa orang pekerja dengan gaji yang sederhana, kami terpaksa mengurangkan bilangan pekerja seminima mungkin untuk memenuh keperluan perintah gaji minimum ini.

“Jika keadaan terpaksa, perniagaan akan dikecilkan saiznya dan beberapa orang pekerja terpaksa diberhentikan,” ujar Che Aziz Hashim dalam emel yang dihantar kepada Harakahdaily.

Beliau yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di luar bandar meluahkan demikian berhubung arahan gaji munimum yang berkuatkuasa 1 Januari nanti.

Berikut ialah pandangan beliau.

Berkuatkuasa  1 Januari 2013, perintah gaji minimum 2012 P.U(A) (214) akan berjalan seluruh negara dengan gaji minimum semua pekerja ialah RM900. Pekerja di seluruh negara menunggu-nunggu saat ini dengan penuh kegembiraan.

Sebagai majikan yang tinggal di luar bandar yang  menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan akan merasai kesan yang besar. Pendapatan bulanan hanyalah sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar gaji pekerja secara mimimum sekitar RM600 seorang. Dengan pendapatan ini dapatlah beberapa pekerja diambil. Gaji pekerja ini sesuai dengan kehidupan di sebuah pekan kecil yang sederhana kehidupannya.

Gaji minimum yang ditetapkan RM900 ini amat berpatutan sekiranya perniagaan ini  dijalankan di sebuah bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan bandar besar yang lain. Pendapatan dari perniagaan amat lumayan dan mampu untuk membayar pekerjanya lebih daripada itu.

Sebagai majikan, kami peniaga kecil di luar bandar terpaksa memikirkan semula untuk menggaji pekerja. Sekiranya sebelum ini, kami dapat mengambil beberapa orang pekerja dengan gaji yang sederhana, kami terpaksa mengurangkan bilangan pekerja seminima mungkin untuk memenuh keperluan perintah gaji minimum ini. Jika keadaan terpaksa, perniagaan akan dikecilkan saiznya dan beberapa orang pekerja terpaksa diberhentikan.

Bayangkan sebelum ini kami dapat membantu masyarakat luar bandar menambah pendapatan mereka dan membantu meringankan bebanan keluarga. Apabila pengurangan pekerja berlaku, amatlah malang sekali  kerana banyak keluarga di luar bandar akan kehilangan punca pendapatan.

Sepatutnya, sesuatu yang akan dilaksanakan dikaji lebih mendalam dan dibahaskan supaya mendapat maklum balas dari semua pihak. Perintah ini boleh dilaksanakan mengikut wilayah dan kawasan sesuai dengan pendapatan dan kuasa beli pengguna di kawasan tersebut.Tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini akan mengakibatkan kesan negatif kepada negara.

harakah/-

Pemuda PAS sumbang RM20,000 kepada Rohingya

14 Safar 1433H. [MOD] -

YANGON: Prihatin dengan nasib yang dihadapi saudara muslim Rohingya di Myanmar, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menyalurkan bantuan kepada etnik tersebut.

Sebanyak RM20,000 berjaya dikumpulkan oleh DPPM hasil sumbangan daripada pelbagai pihak khususnya golongan muda daripada seluruh negara.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kepada Setiausaha Majlis Persatuan Islam (Ansari), Abdullah Adam di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Raja Iskandar berkata, sumbangan tersebut adalah hasil usaha DPPM yang prihatin dengan nasib yang menimpa orang Islam di Arakan yang dizalimi.

Beliau yang juga Ketua Lajnah Antarabangsa DPPM menjelaskan, Pemuda PAS sentiasa mengambil berat dengan perkembangan serta kesensaraan saudara semuslim tidak kira di mana-mana sahaja.

"Sumbangan ini diharapkan dapat mengurangkan beban etnik Rohingya yang sehingga hari ini masih menganggung kesensaraan," katanya kepada Harakahdaily yang turut bersama dalam misi kemanusiaan tersebut.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu menjelaskan, pihaknya akan sentiasa meninjau perkembangan orang Muslim di Rohingya dan terus berusaha untuk membantu mereka.

Keganasan di Rohingya bermula pada Jun lalu setelah beberapa orang daripada etnik itu dituduh merogol seorang wanita etnik Rakhine yang beragama Buddha.

Ianya telah menyebabkan ribuan etnik tersebut meninggal dunia dan ada daripadanya diseksa dengan kejam oleh etnik Rakhine.

Turut bersama dalam misi kemanusiaan tersebut ialah Perak Care yang diwakili oleh Ustaz Isran Fahmi dan Yaseer Ismail.

harakah/-

Tak sangka keli bawa tuah

14 Safar 1433H. [MOD] -

KERIAN - Seorang pemancing tidak menyangka ikan keli seberat 1.21 kilogram yang ditangkapnya membawa tuah apabila dia dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Tahunan Kelab Sukan Bermotor Selinsing (Krisbes) di Parit Simpang Tiga, semalam.

Pemenang, Mohd Ashraf Maston,48, berkata, kejayaan itu julung kali dikecapinya setelah menyertai pelbagai pertandingan memancing di merata tempat termasuk di luar Perak.

Menurutnya, dia tidak menyangka keputusan untuk mencuba nasib di laman sendiri membawa pulangan berbaloi apabila berjaya memenangi wang tunai RM1,000.

“Saya tidak menduga ikan sekecil itu bawa tuah ,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Pemenang bagi tempat kedua dan ketiga yang berjaya mendaratkan ikan keli seberat 1.2  kilogram dan 1.1 kilogram, masing masing membawa pulang RM700 bagi tempat kedua serta RM500 bagi tempat ketiga.

Yang Dipertua Krisbes, Mohamad Noor Dawoo berkata, pertandingan ini adalah acara tahunan anjuran Krisbes yang diadakan di Dun Selinsing dan sambutan diterima amat menggalakkan apabila jumlah kehadiran dikenal pasti melebihi 3,000 orang.

Katanya, lebih membanggakan, hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah motorsikal jenis Kriss Modenas dimenangi seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) sekaligus membuktikan program itu diterima masyarakat pelbagai lapisan.

Mohd Noor( dua, kiri) bergambar dengan Mohd Ashraf (dua, kiri),dan dua pemenang lain sambil diiringi Kamarudin.
sinar/-