05 September 2012

Kes pijak gambar PM, model serah diri

17 Syawal 1433H. [MOD] - Seorang gadis 19 tahun- antara 11 individu yang dikehendaki berhubung kelakuan mereka semasa sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka pada Khamis malam lalu - hari ini menyerah diri kepada polis.

Gadis tersebut hadir ke sebuah balai polis di Johor Bahru dengan ditemani pemimpin DAP, termasuk ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan timbalan pengerusi DAP negeri, Norman Fernandez.

Gadis itu seterusnya ditahan dan digari oleh polis serta akan dibawa ke balai polis Dang Wangi di Kuala Lumpur yang menyiasat kes tersebut.

Menurut Norman, gadis yang juga model sambilan itu ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Gadis itu didakwa memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam perhimpunan Janji Demokrasi pada malam itu. (MKini)

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan meninggal dunia

17 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 5 Sept. - Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mahadzir Mohd. Khir meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini kira-kira pukul 5 petang ini.

Dr. Mahadzir, 67, dimasukkan ke pusat perubatan itu selepas mendapat serangan jantung petang semalam.

Beliau yang dilahirkan di Yan, Kedah pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani selama dua penggal iaitu pada 1999 dan 2004.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan manakala 2004 dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran di dalam Kabinet baru yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun beliau digugurkan daripada jawatannya dalam rombakan kecil Kabinet pada Mac 2004. (Bernama)

Hina gambar: Kerajaan perlu nilai kenapa berlaku

17 Syawal 1433H. [MOD] - Salmiyah Harun, 05 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Insiden mempermainkan gambar pemimpin negara pada malam ambang Merdeka tempoh hari perlu dinilai oleh kerajaan mengapa ianya berlaku.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Ahmad Syukri Abd Razab berkata, apa yang dilakukan oleh anak muda pada malam itu ada signifikannya yang perlu difikirkan.

"Kerajaan perlu fikirkan mengapa mereka bertindak diluar batas seperti itu. Apakah tidak cukup dengan sekadar laungan dan protes sehingga mereka memijak gambar pimpinan. Ini yang perlu dinilai oleh kerajaan," katanya.

Katanya, tindakan memijak gambar itu menggambarkan ekspresi kemarahan anak muda yang merasakan tuntutan mereka yang tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Namun beliau menegaskan perbuatan tersebut adalah diluar batasan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kita tidak perlu tunjuk perbuatan seperti itu untuk menyatakan protes kita terhadap mana-mana pihak. Kita tidak boleh menerima budaya ini sebagai demokrasi tulen," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pihak kerajaan perlu bersikap adil dan mengenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang melakukannya.

"Maknanya sesiapa yang melakukan perbuatan seperti itu harus dikenakan tindakan tidak kira individu yang menghina pimpinan kerajaan ataupun pimpinan pembangkang. Kerajaan perlu adil," katanya.

Tambahnya, jika dibiarkan perbuatan seperti itu terus berleluasa seolah-olah kerajaan membiarkan demokrasi ini diamalkan secara liar.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng meminta pihak berkuasa turut menyiasat individu memijak gambarnya.

Terdahulu, di Dalam Himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu segelintir peserta himpunan dipanggil polis kerana telah bertindak memijak dan menghina gambar pimpinan negara.

Tindakan mereka itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan menyifatkan ia tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.(Hkh)

Gerakan selamatkan negara perlu disegera

17 Syawal 1433H. [MOD] - Yaakub Dasan, 05 Sep 2012

RANTAU PANJANG: Negara perlu diselamatkan segera bagi mengelakkan lebih banyak penyelewengan dilakukan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) demi masa depan rakyat negara ini.

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub berkata, antara penyelewengan yang dikesan penglibatan Bank Negara dalam spekulasi mata wang menyebabkan kerugian RM30 bilion.

Selain itu kerajaan BN menggadaikan lebih separuh daripada jumlah tiga juta ekar tanah rizab Melayu.

“Begitu juga wang yang dibawa keluar dan disimpan di negara asing berjumlah RM1.08 trilion dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini,” katanya pada Ceramah Merdeka di Pusat Tarbiah PAS Rantau Panjang di sini malam tadi.

Hadir sama bekas Pengerusi Mara, Datuk Tamrin Ghafar, bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Mohd Sobri Shafii, Yang Dipertua (YDP) PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Naib YDP, Mohamad Awang dan Ketua Penerangan, Abul Aziz Yunus.

Orang ramai memenuhi perkarangan markas tersebut yang terletak di jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

Dr Rosli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan mendedahkan silap urus tadbir Bumiputra Malaysia Fincance (BMF) di Hong Kong pada 1980-an menyebabkan negara kehilangan ratusan juta ringgit.

Oleh itu kata beliau gerakan menyelamat perlu disegerakan sekiranya rakyat benar-benar mahukan negara ini selamat.

“Dengan adanya kesedaran rakyat bagi menyelamatkan situasi tersebut peluang Pakatan Rakyat untuk menang semakin hampir,” katanya sambil disambut laungan boleh oleh orang ramai.

Begitu juga katanya potensi di Negeri Sembilan diyakini peluang mendapat majoriti mudah semakin cerah daripada jumlah 36 kerusi Dun.

Sementara itu Tamrin mendedahkan beliau meninggalkan Umno kerana memikirkan keadaan di Padang Mahsyar kelak akan terbeban sekiranya terus bersekongkol dengan kerajaan yang menyeleweng.

“Saya masuk PAS bukan kerana nak cari makan, tetapi takut disoal oleh malaikat kenapa masih sokong Umno sedangkan kita tahu kerajaan BN menyeleweng,” katanya.

Sastrawan Negara sedia beri keterangan

17 Syawal 1433H. [MOD] - Harakahdaily,
05 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 3.00 petang esok bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membaca puisi di perhimpunan janji demokrasi, Khamis lalu.

A. Samad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, beliau tidak dapat memenuhi permintaan polis agar beliau hadir ke balai polis jam 6 petang tadi kerana sedang berada dalam program lain.

"Mereka mahu saya datang ke IPD Dang Wangi pada jam 6.00 petang ini, tetapi saya menolak kerana ada acara lain. Lagipun, masa itu terlalu singkat.

“Namun, saya bersetuju untuk hadir selepas anggota Gabungan Janji berunding agar masa itu dianjak kepada 3.00 petang esok,” katanya kepada Keadilandaily.

Gabungan Janji disertai 47 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu di Dataran Merdeka sempena sambutan kemerdekaan negara ke 55.

Walaupun tidak diberikan permit oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), perhimpunan tersebut berjalan aman dengan dihadiri 20,000 rakyat berbaju kuning.

Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menyiasat sama ada sasterawan itu melanggar undang-undang dengan membaca sajak dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.