3 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Pembuat arca, Joko Dwi Avianto dibawa khas dari Indonesia untuk membentuk arca gergasi berkenaan sempena Festival Georgetown 2013 di sini.
Menurutnya, kesemua buluh khas itu digunakan dalam pembuatan bangunan dan dibawa dari Jawa Barat.
“Arca yang saya gelarkan ‘The Theatre of Ships’ ini turut dibantu oleh 14 pekerja dan lima daripadanya dibawa dari Indonesia, kami memulakan kerja ini sejak dari awal Mei lagi.
“Kerja hanya dimulakan pada jam 7 petang sehingga jam 3 pagi serta bergantung kepada keadaan cuaca, terdapat lapan palang buluh utama yang besar dan kemudiannya 40 lubang yang mana meletakkan buluh-buluh ini untuk tegak,” katanya.
Joko yang berusia 37 tahun itu mula berjinak dalam bidang seni pembuatan buluh sejak 2003.
Direka dengan nama ‘The Theatre of Ships’, pereka seni ini berkata, ia kerana Pulau Pinang adalah salah satu tempat pelabuhan satu ketika dahulu.
Menurutnya lagi, ramai pedagang mahupun mereka yang kini sudah pun menetap di Pulau Mutiara datang berdagang menggunakan kapal.
“Jadi kita kembali mengingati sejarah lama Pulau Pinang dan lebih bersesuaian apabila arca ini berada dengan kawasan pantai,” katanya.
Apa yang menarik mengenai arca buluh gergasi ini, ia langsung tidak menggunakan paku untuk melekatnya antara satu sama lain.
Arca ini dijangka menjadi tarikan terbaru sempena Festival Georgetown 2013 selepas mural popular yang dihasilkan Ernest Zacharevic.
Pengarah Festival Georgetown, Joes Sidek berkata, arca berkenaan adalah pertama seumpamanya di negara ini dan pertama kali dihasilkan Joko.
“Dijangka arca ini dapat bertahan dalam tempoh masa sehingga enam bulan dan kami berharap masyarakat Pulau Pinang tertarik dan mendapat sumber inspirasi daripadanya,” katanya.
harakahdaily/-