08 Disember 2009

Nik Aziz: Umno dalam keadaan 'lemas'

Ahli dan penyokong PAS yang penuh sesak membanjiri Dewan Ustaz Fadhil Noor, di Markas PAS di Taman Melewar malam tadi beramai-ramai menyatakan sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin Kelantan.

Sebelum menteri besar itu menyampaikan ucapan, pengerusi majlis, Tarmizi Mat Jam meminta lebih 1,000 hadirin supaya bangun dan dewan tersebut bergema beberapa kali dengan laungan"Kita Sokong Tok Guru Nik Aziz" dan "Sokong Tok Guru" dan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali.

Tarmizi yang juga naib yang dipertua PAS Batu mengetuai acara tersebut pada kira-kira jam 11 malam sebelum Nik Aziz menyampaikan ucapan bersempena menyambut perayaaan jubli perak PAS kawasan tersebut.

Laungan itu berlangsung selama lima mini, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat antaranya, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamed Hanipa Maidin; yang dipertua PAS Batu, Ishak Surin; ahli parlimen Batu, Tian Chua; pengerusi Kelab Penyokong PAS India, Balasubramaniam serta bekas pemimpin PAS Hassan Shukri dan Subky Latif.

Tarmizi berkata, ia sebagai kesinambungan kepada sokongan rakyat Kelantan yang ditunjukkan kepada Nik Aziz Jumaat lalu.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang mengedarkan lilitan kepala kepada hadirin - seperti yang dilakukan oleh penyokong menteri besar di Kelantan, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran kesuntukan masa untuk menyiapkan lilitan tersebut.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya Kelantan dilihat tersenyum dan gembira dan kemudiannya kelihatan bersemangat untuk menyampaikan ceramahnya.

Semangat berucap

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Umno kini berada dalam keadaan "lemas" dalam usaha mereka untuk merampas semula Kelantan dari PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Katanya, walaupun menyedari mereka berada dalam keadaan begitu, Umno masih "meraung-raung" dengan pelbagai cara bagi mencapai cita-cita mereka mengambil semula negeri itu.

"Oleh kerana mereka dalam keadaan lemas, mereka meraung-raung bermacam-macam, termasuk tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

"Dia (Umno) tengok saya berserban, tidak pandai memerintah negeri dan saya pakai jubah tak tahu apa-apa pun. Jadi tuduhan itu macam-macam. Dia tahu bahawa dia sedang lemas.

"MCA (sekarang) kacau bilau sedangkan MCA jadi tongkat (BN) sebelah kanan. MIC, jadi tongkat kiri, kini jadi kacau bilau. Oleh kerana tak tahu nak buat apa, mereka lempar tuduhan kepada saya," kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengulas mengenai situasi politik terkini yang hadapinya termasuk demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno minggu lalu yang mendesak beliau melepaskan jawatan berhubung isu doanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Umno lemas'

Dalam ceramahnya malam tadi itu, Nik Aziz berkata Umno kini berada dalam keadaan 'lemas' dengan memberikan beberapa situasi dalam politik parti itu, antaranya Umno Terengganu berpecah kepada dua kumpulan dan krisis di Perak di mana berlakunya usaha perebutan merampas kerusi speaker DUN.

Mursyidul am PAS itu juga mengumpamakan Umno sebagai seorang 'datuk yang cuba memujuk cucunya yang tidak mahu berhenti menangis setiap pagi'.

"Oleh kerana mahu cucunya senyap (dan) tidak menangis, dia kata, burung, burung, Nik Aziz, Nik Aziz," katanya, yang membuatkan kira-kira 1,000 hadirin ketawa dan memberi tepukan .

Menurut Nik Aziz, Umno juga berada dalam keadaan terdesak apabila mereka membuat rayuan menangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong.

"Kota Siputeh itu kawasan dia. (Ia) telah dikosongkan oleh speaker dan mahkamah bersetuju (bahawa) speaker ada kuasa penuh (untuk isytihar kerusi itu kosong).

"Speaker itu umpama pengadil dalam perlawanan bola sepak. Kalau (keputusan) pengadil boleh dibantah lagi, tak main bola lah, kita panggil berlaga betih lah," kata Nik Aziz yang mencuit hati para hadirin.

"Keputusan speaker kita nak tolak macam mana, dia raja. Dalam DUN dan parlimen, speaker adalah raja. Dalam padang bola pengadil jadi raja. Begitu logiknya," tambahnya.

Program BTN

Menurut pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Umno juga kini berada dalam keadaan 'lemas' apabila terdapat pendedahan yang mendakwa program anjuran Biro Tatanegara (BTN) mempunyai unsur perkauman.

"Kerja dia bertahun-tahun, hilang sekelip mata kerana rahsia BTN ini bukan untuk menyelamatkan negara tapi nak kata orang Melayu (untuk orang) Melayu dan orang Cina (untuk orang) Cina," katanya.

Setakat ini, kerajaan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang mengarahkan pegawai dan kakitangannya supaya tidak menghadiri kursus anjuran biro tersebut.

Mengulas isu doanya supaya Allah membetulkan pandangan Najib yang juga presiden Umno berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan, Nik Aziz berkata, adalah untuk menjadi tugas orang yang dizalimi berdoa kepada Allah agar mendapat haknya kembali.

"Buat apa perkara yang jahat atas muka dunia, musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Ya Allah tolong lah orang jahat, mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," katanya,

Bahkan, kata Nik Aziz, doa orang kafir yang dizalimi mustajab disisi Allah SWT.

MalaysiaKini/-

Tiga siswa UM bakal didakwa kes 'bini puaka'

Tiga pelajar Universiti Malaya berada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini bagi menunggu pertuduhan dibacakan berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Ketiga-tiga mereka Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani bersama dua lagi pelajar Akademi Pengajian Islam (API) yang telah dituduh lebih awal, Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada awal pagi 24 Jun lalu, beberapa jam sebelum Rosmah hadir di dewan kuliah utama API untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

MalaysiaKini/-

Mangsa Minta Duit RM50 Sebelum Maut Dihempap Kereta

Sebuah kereta terjatuh dari tempat letak kereta ke dalam pasaraya KB Mall di Kota Bharu, Kelantan semalam dan menyebabkan dua pelajar perempuan terbunuh manakala dua lagi parah. - foto THE STAR oleh SAZUKI EMBONG

KOTA BHARU: Bapa salah seorang mangsa yang terbunuh kerana dihempap sebuah kereta di Pasaraya KB Mall di sini, berkata anaknya itu memberitahunya bahawa beliau sihat tetapi meminta memasukkan RM50 ke dalam akaunnya.

Samsudin Abd Rahman,52, berkata beliau tidak menyangka itulah permintaan terakhir anak ketiga daripada enam beradik, Siti Nor Amira Samsuddin 19, sebelum meninggal dunia dalam kejadian di mana sebuah kereta jenis Ford Lser TX3 terjunam dari tempat parkir tingkat tiga pasar raya itu dan menghempap mangsa.

"Kali terakhir saya bertemu dengan dia pada hari raya Aidiladha yang lalu. Semalam tiga kali saya menelefon dia untuk bertanya khabar.

"Tiada sebarang perubahan pada dia. Dia hanya memberitahu saya dia tidak mempunyai wang dan meminta saya memasukkan wang sebanyak RM50, itu sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, malam tadi. Mangsa yang berasal dari Felda Chiku, Gua Musang, pelajar tahun satu, semester tiga di sebuah kolej perubatan Masterskill di sini meninggal dunia di tempat kejadian itu.

Samsudin berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu setelah mendapat panggilan telefon daripada pihak pengurusan kolej kira-kira pukul 5.30 petang semalam sebelum beliau dan keluarga bergegas ke HRPZII.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, dua pelajar perempuan kolej itu cawangan Kota Baharu maut, Siti Nor Amira dan Siti Nor Diana Azman, 18 manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta jenis Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Nor Ain itu rosak dan ditolak oleh rakan beliau yang dikenali sebagai Sabri dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang bumbung pasar raya itu, lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar tersebut di tingkat bawah pasar raya berkenaan. BERNAMA

‘Nyawa’ Umno bergantung kepada wang

MARANG, 6 Dis: Kekuatan Umno hanya bergantung kepada kebendaan dan wang ringgit untuk meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, pemimpin Umno menjadi susah hati sekiranya parti itu tidak mempunyai sumber kewangan.

“(Pemimpin) Umno, nyawa mereka hanya wang. Kalau tidak ada wang, mereka susah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kampung Gong Merawang, dekat sini, petang semalam.

Ini, katanya berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang menjadikan agama yang suci itu sebagai 'nyawa' dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para penerima bantuan supaya tidak menjadikan kebendaan sebagai keutamaan dalam kehidupan sebaliknya berbangga dengan nikmat Islam dan iman.

“Nikmat yang paling besar kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Islam dan iman,” ujarnya.

Justeru, tambahnya walaupun sumbangan yang diterima pada majlis itu tidak seberapa tetapi para penerima hendaklah menyedari bahawa PAS sentiasa prihatin terhadap masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MTD Ru Rendang mewakili bapanya selaku Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan bantuan itu kepada penerima. (Gambar)

Sebanyak 101 keluarga menerima sumbangan pada majlis pertama kali anjuran PAS Cawangan Kampung Baru Ru Muda itu yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan mangsa banjir.

Menurut ketuanya, Haji Abdul Aziz Ngah, pihaknya sebelum ini sering mengadakan aktiviti kebajikan tahunan seperti penyampaian sumbangan hari raya, bantuan persekolahan dan mangsa yang ditimpa musibah.

Katanya, PAS cawangan menyedari masalah yang dihadapi oleh para penduduk yang terdiri daripada nelayan, penoreh getah dan bekerja sendiri yang tidak dapat melakukan aktiviti harian pada musim tengkujuh.

“Bagi meringankan bebanan hidup mereka, yang sudah tentu menyulitkan mereka mencari rezeki untuk menyara keluarga, maka kami berusaha memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang yang sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan aktiviti kebajikan PAS cawangan kepada masyarakat setempat.

HarakahDaily.Net/-

UMNO Kelantan sudah kehabisan modal, cuba lagakan Istana dengan Tok Guru

Nampaknya UMNO Kelantan sudah betul-betul kehabisan modal setelah serangan demi serangan yang dilakukan oleh mereka tidak membuahkan hasil yang diharapkan apabila terbaru membuat kenyataan semacam cuba melaga-lagakan pihak Istana dengan Tok Guru .

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Husin berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan boleh memberi gambaran yang tidak baik dan mungkin 'mengguris' pihak istana.Baginya lagi memohon secara terbuka agar Sultan Kelantan yang kini dirawat di Singapura dibawa pulang untuk mendapat rawatan susulan dalam negara adalah sesuatu yang salah.

Tentunya semuanya sudah maklum sesuatu yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat mingguan Exco dimaklumkan dahulu kepada pihak Istana dan keputusan itu menjadi satu perkara penting yang perlu diumumkan kerana ia mempunyai kepenting awam dan perlu diketahui oleh rakyat Kelantan.

Timbalan Menteri Kewangan 1Malaysia itu menuduh permohonan yang dibuat mungkin kerana kos perubatan baginda yang dianggap besar. Sedangkan perkara tersebut sedikitpun tidak disebutkan dalam kenyataan MB Kelantan dalam perkara yang berkaitan.

Kalaupun itu masalah sebenarnya, adakah salah satu tindakan yang boleh menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri sebagaimana yang disarankan oleh semua pihak.

Itulah sebenarnya wajah sebenar orang yang dikatakan dan dicanang untuk menjadi MB Kelantan suautu masa dulu namun kalah dalam semua kerusi yang dipertandingkan. Jadi Menteripun sekadar menunpang dengan kerusi senator.

Apakah salah untuk memanggil Sultan balik berubat di Malaysia yang tidak kurang dengan pakar perubatan, atau Awang Adek sudah tidak mahu mengiktiraf kejayaan dan prestasi perubatan negara.

Pada 2 Disember lepas Menteri Besar Kelantan, YAB.TG.Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan hasrat kerajaan negeri memohon Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dibawa kembali untuk menerima rawatan susulan di negara ini.

Cadangan yang mendapat kelulusan mesyuarat mingguan Exco yang dipengerusikan Menteri Besar itu dikatakan dibuat berdasarkan kepada hasrat dan keinginan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Kelantan dilaporkan berkata: "Memandangkan keadaan baginda, jadi atas dasar hasrat dan keinginan rakyat, kita mencadangkan kepada pemangku raja supaya sultan yang sedang gering dan dirawat di Singapura dipindahkan ke negara ini."

Desakan Nik Aziz undur ditolak golongan muda

KOTA BHARU, 5 Dis: Penyertaan begitu ramai golongan muda dalam perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam menunjukkan campurtangan Umno dalam kemelut ini hanya akan meningkatkan lagi populariti Mursyidul Am PAS itu.

Dr Rosli Alaani Abdul Kader yang berucap mewakili pemuda PAS dalam perhimpunan itu berkata pihaknya sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Tuan Guru serta tidak akan berdiam diri sekiranya tokoh ulama itu diganggu gugat.

Menurutnya, tidak ada sebab kenapa Tuan Guru meletakkan jawatannya kerana kepimpinannya masih lagi utuh serta berintegriti.

“Hari ini kita beramai-ramai untuk menyatakan sokongan kita kepada Tuan Guru dan tidak sekali-kali membiarkan ada pihak yang ingin mengganggu gugat kepimpinannya,”ujarnya lagi.

Lim Guan Seng yang mewakili belia kaum Cina berkata, belia Cina tidak pernah berasa susah apa lagi tertekan di bawah kepimpinan Tuan Guru, sebaliknya berasa aman dan selesa.

“Kedatangan kita hari ini tidak dibayar sesen pun bukan sebagaimana pihak yang mendesak Tuan Guru baru ini yang dibayar oleh pihak tertentu.

“Namun kita hari ini datang dengan ikhlas, dengan pendirian yang jitu demi untuk mempertahankan Tuan Guru, integriti Tuan Guru jangan cuba dipersoalkan,”ujarnya lagi.

Wakil pemuda India, Tharuman yang turut berucap dalam bahasa ibundanya juga turut menyatakan pendirian yang sama.

Sambungnya, masyarakat India di Kelantan telah banyak mengalami perubahan khususnya dalam era 20 tahun kebelakangan ini.

Turut berucap di perhimpunan itu Ketua Pemuda PKR Kelantan Wan Mohd Khairul Ihsan.

Apa yang menarik golongan belia pelbagai kaum hadir dengan lilitan "We love Tok Guru" di kepala masing-masing.

Sekumpulan belia Cina mempersembahkan tarian singa untuk menarik perhatian hadirin.

Kemelut berkaitan desakan supaya Menteri Besar Kelantan berundur bertukar menjadi panas apabila sekumpulan penyokong UMNO berdemonstrasi di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri 1 Disember lalu.

HarakahDaily.Net/-

Kerajaan Negeri P. Pinang iktiraf penghafaz al Quran

PULAU PINANG, 6 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi pengiktirafan kepada para penghafaz Al-Quran di negeri ini dengan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka.

Sejajar dengan itu seminar Huffaz yang telah diadakan di Dewan Sri Pinang baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) adalah salah satu tindakan kearah pengiktirafan tersebut.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim setakat ini 137 para hafiz dan hafizah telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu cara menghargai sumbangan mereka yang berjaya menghafaz Al Quran di negeri ini.

"Kita juga berhasrat untuk mewujudkan satu keluarga satu huffaz serta usaha kearah ini sedang giat dilaksanakan bagi mencapai aspirasi tersebut."

Dalam pada itu Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut menyokong usaha yang diambil bagi memartabatkan para huffaz ini.

"Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan kepada mereka ini adalah kerana kita berkeyakinan golongan seperti ini adalah mereka yang mempunyai komitmen tinggi dan memerlukan disiplin serta keperibadian mulia untuk melaksanakannya.

"Kita juga yakin degan adanya golongan hafiz dan hafizah ini maka masalah sosial dikalangan masyarakat seperti krisis moral, kemungkaran dan pelbagai masalah sosial akan dapat dihindari sebagaimana yang menjadi konsep amalan Kerajaan Negeri kearah 'Amar Makruf Nahi Munkar."

Para huffaz kali ini diberi penghargaan dengan pemberian sijil dan sumbangan sebanyak RM500 setiap orang.

Penghargaan ini telah dimulai sejak kepimpinan Kerajaan Negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat sejak 2008 lagi.

HarakahDaily.Net/-

Malaysia kalah lagi.

VIENTIANE - Skuad bola sepak negara bertambah sukar untuk ke separuh akhir apabila kalah 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan Kumpulan A Sukan SEA XXV Laos di sini, semalam.

Gagal memberi tentangan di babak pertama sehingga membenarkan pasukan lawan memboloskan tiga gol, menyebabkan peluang untuk ke separuh akhir bakal ditentukan pada dua perlawanan terakhir menentang Kemboja dan Thailand.

Itulah nasib dan prestasi pasukan bolasepa negara dalam keadaan pesaing rapat suatu masa dulu, Korea Utara dan Korea Selatan dalam keadaan siap sedia beraksi dalam Piala Dunia 2010 di Afrika, namun pasukan negara terus dirundung malang dan dimalukan lagi.

Sementara itu wartawan malaysia yang berada disana melaporkan penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak 'mengamuk' dengan cuba menyerang pengadil selepas tamat perlawanan Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA XXV Laos yang menyaksikan Malaysia kalah 1-3 kepada Vietnam semalam.

Penyerang kebangsaan itu gagal mengawal kemarahan apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok ketika masa kecederaan babak kedua.

Berang dengan tindakan pengadil melayangkan kad kuning kedua terhadapnya, mendorong Zaquan menerpa ke arah pengadil tetapi sempat dihalang oleh rakan sepasukan.

Namun, sejurus wisel penamat dibunyikan, Zaquan sekali lagi menyerbu ke arah pengadil, dengan diringi oleh rakan sepasukan yang lain.

Malahan, Zaquan kelihatan cuba mengkasari pengadil dengan menolaknya dan suasana semakin kecoh apabila tindakan itu disertai oleh rakan sepasukan yang lain.

Ketegangan yang memuncak memaksa para pegawai di kem Malaysia, termasuk jurulatih K. Rajagobal masuk campur untuk menenangkan keadaan.

Kemalangan maut KB Mall .

Seorang anggota bomba memeriksa sebuah kereta yang terjatuh dari tempat letak kereta ke tengah-tengah tangga bergerak di KB Mall, di Kota Bharu, Kelantan hari ini yang mengorbankan dua pengunjung pasar raya itu manakala seorang lagi parah. - Gambar HAFIZ JOHARI

Pemuda PAS beri sokongan kepada skuad bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memberikan sokongan penuh kepada pasukan bola sepak Malaysia yang akan berdepan pasukan Vietnam pada petang ini.

Ketuanya. Nasrudin Hassan berkata, meskipun Vietnam turun dengan rekod cemerlang merka pada 2007, namun beliau yakin skuad bola sepak negara mampu mengalahkan Vietnam seperti yang dilakukan pada temasya sukan SEA di Kuala Lumpur tahun 2001.

Ketika itu, skuad negara berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Vietnam pada aksi peringkat kumpulan.
Namun pada sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, Vietnam mengalahkan Malaysia 3-1 pada saingan peringkat kumpulan.

"Kami harap Malaysia menang berbekalkan semangat dan kesungguhan mengangkat maruah negara.

"Kemenangan petang ini penting untuk melonjak reputasi pasukan negara dan sekaligus memperbaiki ranking negara di papan utama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).Selamat maju jaya,"katanya dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas (sms) kepada Harakahdaily.

Malaysia akan menentang Vietnam pada aksi kedua kumpulan A pada jam 3 petang ini (4 petang waktu Malaysia) di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, Vientiane, Laos.

Seterusnya Malaysia akan menentang Kemboja pada 8 Disember dan juara bertahan Thailand pada 11 Disember.
Pada aksi pembukaan acara bola sepak Sukan SEA XXV Malaysia membelasah Timor Leste 11-0.

Sukan SEA ke-25 di Laos akan membuka tirainya secara rasmi pada Rabu depan.

Kontinjen negara mensasarkan kutipan 30 hingga 35 pingat emas menerusi 21 acara sukan yang disertai.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara akuatik (renang dan terjun), taekwondo, memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping-pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu.

Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dengan 111 pingat emas.

HarakahDaily.Net/-

KENYATAAN MEDIA : Kenapa lama sangat untuk umumkan siapa MB Perak yang sah ?

Pada 5 November 2009 setelah berakhirlah pendengaran hujah oleh kedua-dua belah pihak. Mahkamah ditangguhkan dan keputusan dikatakan akan diumumkan pada suatu tarikh yang akan ditentukan. Sehingga hari ini setelah melewati sebulan kes tersebut masih tergantung di Mahkamah apabila keputusan penghakiman masih belum diumumkan.

Rayuan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam menentukan kedudukan Menteri Besar Perak yang sah telah didengarkan di hadapan lima panel hakim. Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Sekali lagi Badan Kehakiman melakukan sesuatu yang menyebabkan terhakisnya kepercayaan kepadanya. Setelah sekian banyak penghakim sebelum ini yang melalui jalan sukar bagi Pakatan Rakyat, sekali lagi Mahkamah nampaknya "kurang profesional" sehingga mengambil waktu yang sangat panjang bagi mengumumkan satu keputusan yang penting bagi banyak pihak khususnya kepada Pakatan Rakyat dan ianya penting Bagi UMNO dan BN bagi mebutikan dialah kerajaan yang sah di Perak oleh mahkamah.

Apapun segala hujah telah diberikan oleh peguam kedua pihak yang terlibat dan keduanya telah berkerja kuat untuk memenangkan anak guamnya. Zambry ditambah lagi dengan peguan pencelah iaitu peguam negara yang menyebelahi beliau. Walaupun saya melihat dalam sebuah negara yang dianggap sebuah negara demokrasi mana ada kewarasanya seorang peguam negara menutupkan sebelah mata dan cuma berhujah untuk pihak UMNO/BN sahaja sedangkan dia sebetulnya tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak.

Mana mungkin setelah habis berhujah dan telah melewati sebulan tidak ada keputusan yang boleh diumumkan. Keadaan ini menyebakan saya dan banyak pihak tertanya-tanya apa sudah jadi dengan 5 hakim tersebut ?

Apakah masalahnya yang sebenar sehingga keputusan "diperam" dalam tempoh yang sangat panjang. Tidakkah Mahkamah sebelum ini sangat cepat untuk membuat keputusan sekiranya ianya menyebelahi BN dan UMNO khususnya di Perak.

Secara peribadi sekiranya keputusan yang akan diumumkan dalam masa terdekat atau dalam masa yang lebih panjang lagi, saya dengan jujur perlu menegaskan bahawa jika ianya menyebelahi BN tentunya akan menimbulkan keraguan. Ditambah pula sebetulnya jika itulah keputusan yang dikehendaki kenapakah tidak boleh diumumkan pada hari perbicaraan ?

Saya mengandaikan hujah yang diberikan kelak untuk mengatakan Zambry adalah MB yang sah adalah hujah "palsu" dan "rekaan" bagi menyelamatkan hayat BN untuk meneruskan kerajaan kudeta di Perak.

Sebaliknya jika diumumkan MB Perak yang ialah DS. Nizar, menurut firasat saya ditambah dengan kekuatan hujah panel pegual DS. Nizar itulah sebetulnya keputusan yang wajar diumumkan ada 5 November lepas. Kerana itulah bagi saya keputusan ditangguhkan pada hari tersebut !

Oleh itu bagi mengelakan lebih banyak andaian dan persepsi yang buruk kepada badan kehakiman , maka saya mendesak supaya Mahkamah Persekutuan menyegerakan langkah untuk mengumumkan keputusan siapakah MB Perak yang sah.

Sesungguhnya yang menjadi mangsa adalah rakyat Perak. Sejak BN merampas kuasa pada 6 Februari yang lepas keadaan politik yang tidak menentu di Perak membawa kepada keadaan resah dan perasaan tidak puas hati rakyat terutamanya penyokong kami dari Pakatan Rakyat. Tuduh menuduh antara kedua pihak mengeruskan lagi suasana. Apabila hak Pakatan Rakyat yang diberikan mandat leh rakyat pada 8 Mac 2008 dirampas dengan cara yang sangat tidak demokratik.

Kerana itu apa saya keputusan dan langkah yang dilakukan bagi memulihkannya tidak sebaik langkah yang sentiasa kami sarankan itu bubar DUN Perak bagi memberi laluan kepada rakyat Perak untuk memilih sekali lagi.

Kenyataan Media pada 7 Disember 2009

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
Ketua penerangan PAS Perak/
ADUN Titi Serong.

Gegar akan jadi wadah perjuang royalti

KOTA BAHRU, 5 Dis: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) menggesa kerajaan supaya mengembalikan wang royalti kepada kerajaan Kelantan secara adil mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Pusat juga, sewajarnya menjelaskan hasil royalti kepada kerajaan Kelantan sebagaimana perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975.

Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof, dalam sidang medianya memberitahu, bagi menjayakan hasrat yang dicapai itu juga, pihaknya akan mengembeling tenaga bersama semua masyarakat tanpa mengira faham politik, bangsa dan agama dengan memberi kesedaran pelbagai cara.

“Pada masa yang sama juga, Gegar akan menganjurkan Konvensyen Rakyat: Royalti Petroleum Antara Hak atau Ehsan? Di Kuala Lumpur Januari tahun hadapan,”ujarnya.

Menurutnya, bekas Menteri Kewangan yang juga Anggota Parlimen Gua Musang akan dijemput bagi menjayakan program yang julungkali akan dianjurkan Gegar itu.

Pada masa yang sama, menurutnya pihaknya akan mengambil tindakan-tindakan yang dirasakan berkesan, bersesuaian dan bertepatan mengikut keadaan dari masa ke semasa bagi mencapai matlamat di atas.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua masyarakat di negara ini mengikuti program terbuka yang dianjurkan Gegar itu.

Gegar adalah gerakan yang menggabungkan 50 pertubuhan badan-badan Ngo di dua buah negeri.

Ianya ditubuhkan bukan sahaja untuk menuntut hak royalti rakyat Kelantan, sebaliknya Terengganu yang telah lama memperolehi hasil tersebut namun kedudukan negeri itu masih ditempat kedua kemiskinan di negara ini.

HarakahDaily.Net/-