26 Oktober 2009

Bajet Kelantan 2010 'Memacu Dalam Hemat'

KOTA BHARU, 25 Okt: Kerajaan negeri Kelantan memberikan tumpuan untuk kebajikan dalam bajetnya tahun ini yang bertema "Memaju dalam hemat'.

Ia telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi,Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa di pembentangan Bajet 2010 pada sidang Dun hari ini.

Menurut Husam, kemelesetan ekonomi global dan negara ini yang bermula tahun 2007 yang dianggap oleh penganalisa ekonomi sebagai krisis kewangan terburuk sejak zaman The Great Depression yang bermula tahun 1929 dulu.

Ia diikuti kejatuhan dalam bursa saham di seluruh dunia yang kemudiannya menjunam pada September 2008 apabila beberapa gergasi kewangan di Amerika Syarikat terjerumus ke dalam masalah kewangan akibat krisis kredit ekonomi.

Namun demikian walaupun keadaan yang tidak menentu dalam pasaran ekonomi hari ini, Kelantan telah mengambil beberapa langkah terbaik bagi bajet 2010 iaitu dengan menekankan kepada tiga perkara utama iaitu penjanaan ekonomi, pembinaan insan kamil dan membantu golongan yang memerlukan melalui program kebajikan.

Penjanaan ekonomi untuk semua rakyat akan diberikan tumpuan khusus terutamanya galakan usahawan.

Pembinaan Insan Kamil yang berteraskan taqwa akan dibuat memalui pembangunan modal insan dan perkongsian penderitaan melalui pembelaan golongan daif, miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas.

Berasaskan kepada tema Bajet Memacu Dalam Hemat, Bajet 2010 akan terus berpaksikan kepada strategi seperti mengajak semua pihak melaksanakan dasar berjimat cermat dalam seluruh aspek pengurusan kewangan.

Kerajaan juga akan memantapkan jentera kutipan hasil, mewujudkan urustadbir yang baik berlandaskan ubudiyyah, masulliyyah dan itqan dan mengimbangi di antara pembangunan fizikal dan ruhani bagi pelbagai lapisan rakyat melalui pendekatan pembangunan bersepadu berteraskan iman dan akhlak yang tinggi, kata Husam.

Husam juga berkata penjanaan ekonomi untuk rakyat adalah meliputi pembangunan usahawan, infrastruktur asas, memajukan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pelancongan.

Pembinaan insan kamil yang berteraskan taqwa berterusan pula ialah dengan mengadakan program memartabatkan Islam seperti meneruskan program ke arah membudayakan Al-quran sebagai satu prinsip yang seiring dalam pembangunan fizikal dan rohani.

Sementara itu bagi strategi ketiga yang diambil oleh kerajaan ialah memacu pembelaan kepada golongan daif, miskin, orang kurang upaya, armalah dan warga emas dengan memperuntukkan sejumlah wang yang besar diantaranya ialah mengekalkan RM2 juta bagi golongan armalah, RM2juta untuk anak yatim, RM5 juta bagi Skim perlindungan Sosial Tengku Anis-KIFALAH dan RM4.7 juta bagi program membaiki rumah uzur melalui skim bantuan Rumah Dhuafa�.

Hasil 2010 meningkat

Kerajaan negeri Kelantan sekali lagi mengalami defisit dalam bajet tahun 2010 dimana perolehan hasil yang dianggarkan bakal diperolehi ialah RM 387.38 juta manakala perbelanjaan mengurus dianggatkan berjumlah RM416.88 juta dengan anggaran defisit berjumlah RM29.50 juta.

Menurut Husam, anggaran hasil tahunan 2010 meningkat sebanyak RM387.38juta jika dibandingkan dengan tahun 2009, namun ia masih tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan mengurus.

Hasil yang meliputi Cukai iaitu RM 77.33 juta, manakala Bukan Cukai pula ialah RM208.28juta dan Terimaan bukan hasil sebanyak RM101.77 juta.

Peningkatan hasil bagi tahun 2010 adalah berpunca daripada kenaikan beberapa sumber hasil tertentu akibat penyemakan semula yang dibuat oleh jabatan-jabatan setelah mengambilkira pungutan sebenar hasil yang diperolehi bagi tahun 2009.

Hasil Tanah merupakan penyumbang terbesar iaitu RM 110.59 juta atau 28.55 peratus daripada keseluruhan hasil,manakala perhutanan menyumbang RM107.48 juta atau 27.74 peratus.

Husam juga berkata peningkatan dalam perbelanjaan mengurus bagi tahun 2010 sebanyak 13.58 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2009 iaitu sejumlah RM56.62 juta.

"Kerajaan juga berharap agar agensi-agensi negeri seperti Pihak Kerajaan Tempatan, YAKIN, Yayasan Islam Kelantan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan PKINK akan terus berusaha untuk mempertingkatkan hasil atau mencari punca hasil baru, mereka perlu proaktif dalam usaha ini supaya dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada sumber bantuan kerajaan negeri,"ujar beliau.

Mesyuarat Khas PAS Pusat Ganti EGM - Salahuddin

KUALA LUMPUR, 25 Okt : PAS tidak akan mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini, sebaliknya hanya akan mengadakan mesyuarat khas PAS pusat bagi membincangkan isu parti.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberitahu Bernama hari ini bahawa isu mengadakan EGM sudah tidak berbangkit kerana Nik Abdul Aziz sendiri yang mencadangkan forum itu ditukar kepada mesyuarat khas.

Salahuddin berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa beliau mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Baharu malam Sabtu.

"EGM tidak berbangkit lagi. Semalam saya adakan pertemuan dengan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan mendengar sendiri komen Tok Guru tentang PAS. PAS akan mengadakan mesyuarat khas PAS pusat dalam masa terdekat. Nik Aziz sendiri yang memberitahu saya ketika pertemuan di Kota Baharu semalam," katanya.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Ditanya sama ada pemimpin yang dikatakan "bermasalah" ada menghubungi beliau, Salahuddin berkata mereka hanya mendiamkan diri.

"Tidak seorang pun menghubungi saya sejak blog itu memaparkan (mengenai EGM)," katanya.

-- BERNAMA

Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat bincang keperluan muktamar khas

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: PAS mengambil pendirian untuk membincangkan cadangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang keperluan mengadakan muktamar khas "dalam tempoh terdekat ini."

Pendirian ini dinyatakan melalui satu kenyataan ringkas lima perenggan dikeluarkan Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Kenyataan itu memberitahu cadangan Mursyidul Am itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat.

PAS juga akan mendapatkan penjelasan daripada Mursyidul Am berhubung pandangannya tentang keperluan mengadakan muktamar khas.

"Sama ada muktamar khas luar biasa itu perlu diadakan atau tidak, kita perlu dengar dahulu penjelasan daripada Mursyidul Am," kata Idris ketika dihubungi Harakahdaily.

Idris juga menggesa pemimpin-pemimpin PAS agar tidak membincangkannya secara terbuka untuk mengelakkan isu ini dimanipulasi.

"Adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap pimpinan dan ahli bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak melatah hingga memberikan peluang kepada pihak luar melontarkan lebih banyak peluru atau prasangka yang boleh memburukan imej parti," tegas kenyataan itu lagi.

Nik Abdul Aziz dalam blog peribadinya menimbulkan cadangan untuk diadakan satu muktamar khas luar biasa bertujuan menolak beberapa orang pemimpin yang didakwa bermasalah.

Cadangan itu menerima respons pelbagai daripada banyak pihak termasuk pemimpin-pemimpin Umno peringkat pusat.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mengadakan sidang media khas esok bagi menjelaskan sikap PAS dalam menghadapi serangan dari Mursyidul Amnya ini.

Menurut satu kenyataan, sidang media itu akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut mulai jam 11 pagi esok.

Harakahdaily difahamkan, sidang media ini dibuat untuk menjelaskan sikap dan pendirian pimpinan utama PAS ekoran cadangan Nik Aziz agar diadakan muktamar khas untuk memilih semula pimpinan parti Islam itu.

Ini adalah untuk kesekian kalinya Nik Aziz membuat kenyataan yang mempertikaikan kenyataan dan tindakan para pimpinan PAS. Ia dibuat dalam blognya 22 Oktober dan dipetik oleh kebanyakan media.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan PAS telah menemui Nik Aziz di Kota Bharu semalam untuk mendengar sendiri pandangan beliau mengenai perkara ini selepas tulisan beliau keluar dalam blognya.

Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden, Salahudin Ayub telah bertemu beliau semalam.

Dalam pada itu, seorang AJK PAS Pusat, Mujahid Yusof berpandangan, PAS perlu menyelesaikan isu ini secara berorganisasi.

"Ia tidak boleh diselesaikan secara bertemu, peluk-peluk dan buat kenyataan yang masalah sudah selesai sahaja. Ia mesti dibincangkan secara terbuka oleh organisasi utama parti dan selesaikannya dengan cara yang baik," katanya.

Beliau mencadangkan, Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura perlu bermesyuarat segera dan bincangkan isu ini secara terbuka dan telus.

"Selepas itu barulah kita boleh pertimbangkan, perlu atau tidak mesyuarat agung khas sebagaimana yang dicadangkan oleh Tok Guru itu," katanya.

Mujahid yang mempunyai ijzah PhD dalam pengurusan organisasi dan telah menjadikan PAS sebagai rujukan tesisnya berkata, isu ini tidak boleh dibiarkan.

"Organisasi yang perlu bertindak segera bukannya individu. Barulah kita akn dilihat terbuka dan bertanggungjawab," katanya.

Menurut beliau, PAS perlu mengambil teguran Nik Aziz ini sebagai satu yang serius dan perlu dilihat menyelesaikan segala teguran dengan terbuka dan profesional.

Beliau bersetuju bahawa persepsi umum khasnya di kalangan bukan Islam terhadap PAS kurang baik sejak kebelakangan ini berikutan isu di Selangor.

Kekalahan PAS di Bagan Pinang pula telah dianggap sebagai pengesahan kepada persepsi negatif itu.

Kenyataan Media (25 Oktober 2009) : KESTABILAN POLITIK NEGERI PERAK PERLU DIKEMBALIKAN,

Berikutan sidang DUN yang akan diadakan pada 28 Oktober 2009 ini, PAS Perak mendesak agar kestabilan perjalanan Dewan Undangan Negeri Perak berjalan dengan baik, perkara ini sangat penting kerana PAS Perak sangat menghormati pendirian rakyat yang telah membuang undi pada 8 Mac 2008 yang lalu dan hasil dari itu kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir Negeri Perak.

Berikutan surat panggilan yang telah dikeluarkan oleh YB V Sivakumar selaku Speaker Perak yang sah, untuk semua adun dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional bersidang pada 28/10/2009 ini. Maka PAS Perak mengharapkan agar perkara-perkara yang disebutkan diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan:

Pertama : PAS Perak ingin menegaskan supaya pihak polis tidak campur tangan di dalam segala urusan sidang DUN yang akan dilakukan pada 28 Oktober ini. PAS Perak menegaskan agar insiden campurtangan pihak polis yang berlaku pada sidang DUN 3 Mac 2009, 7 Mei 2009 dan 2 September 2009 tidak berulang. Pada 3 persidangan yang lepas seluruh rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa pihak polis telah menghalang adun Pakatan Rakyat untuk bersidang bahkan telah mengganggu ADUN dari Pakatan Rakyat menunaikan amanah rakyat untuk mereka bersidang.

PAS Perak, sangat bimbang sekiranya berlaku sebarang kekerasan dari pihak Polis terhadap ADUN Pakatan Rakyat untuk bersidang sepertimana yang berlaku pada sidang-sidang DUN yang lepas, oleh itu bagi PAS Perak perkara seperti ini tidak boleh berulang sama sekali.

Kedua : PAS Perak menyeru agar pihak polis menjaga keselamatan ADUN Pakatan Rakyat daripada sebarang gangguan “samseng-samseng” yang tidak dikenali yang berkemungkinan akan muncul pada sidang dewan yang akan datang. PAS Perak melihat tindakan “samseng-samseng” yang tidak dikenali ini telah menimbulkan kekacauan pada sidang-sidang yang lalu harus dihalang daripada terus menimbulkan kekacauan. Tindakan mengheret Speaker YB V. Sivakumar pada sidang DUN yang lalu amat tidak bermoral dan melanggar etika kemanusiaan.

Sehubungan itu, kami amat berharap pihak polis dapat menghalang sebarang tindakan tidak bermoral yang mungkin dibuat oleh pihak “samseng-samseng” ini pada sidang DUN 28 Oktober ini.

Ketiga: Pimpinan PAS Perak juga bertegas agar pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya tidak campur tangan di dalam urusan sidang DUN. Selaku kakitangan kerajaan dan berada di bawah kuasa eksekutif, SUK Negeri tiada hak untuk campur tangan di dalam hal kuasa legislatif iaitu kuasa yang ada pada sidang DUN. Pimpinan PAS Perak amat kesal di atas tindakan SUK Negeri yang melanggar arahan Speaker YB V Sivakumar di dalam persidangan yang lepas sehingga mengakibatkan huru-hara di dalam persidangan dewan.

Keempat: Sehingga kini, mahkamah masih lagi belum memutuskan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, dan keputusan ini masih dalam urusan mahkamah, dan Berdasarkan keputusan terbaru juga, mahkamah tinggi telah membenarkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, dan enam lagi ADUN Pakatan Rakyat untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyatakan tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak iaitu Behrang, Cangkat Jering Dan Jelapang.

Perkara ini semestinya akan menyebabkan kecelaruan bagi sidang DUN yang akan diadakan ini. Sehubungan itu, PAS Perak mendesak agar DUN Perak segera dibubarkan bagi mengembalikan semula hak rakyat memilih kerajaan yang sebenar untuk mentadbir Negeri Perak, Bagi PAS Perak ini adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan berbagai lagi insiden yang akan berlaku pada masa akan datang selagi mana DUN Perak tidak dibubarkan

Dengan ini saya, selaku Pesuruhjaya mewakili seluruh pimpinan PAS Perak, akan terus konsisten menggesa agar DUN Perak segera dibubarkan untuk kita sama-sama menyelesaikan masalah yang timbul akibat daripada rampasan kuasa oleh pihak Barisan Nasional. PAS Perak menggesa supaya kembalikan semula hak rakyat, berikan mandat kepada rakyat tentukan siapa kerajaan pilihan mereka.

“ ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN ”

A.F USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN
Pesuruhjaya PAS,
Perak Darul Ridzuan

Kenyataan media PAS Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain didampingi oleh MB Pakatan Rakyat Perak, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin dan Setiausaha PAS Perak, Ust. Misbahul Munir Masduki sedang memberi kenyataan media selepas Mesyuarat PAS Perak di Ipoh sebentar tadi.(Kenyataan penuh menyusul kemudian).