04 Ogos 2011

Raja-Raja usah dengar cakap Umno saja

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MINGGU ini Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah menekankan dalam titahnya betapa perlunya Raja-Raja Melayu mempunyai penasihat yang berani menyatakan kebenaran.

Berucap dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam baru-baru ini, Raja Nazri mahu Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan.

"Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda seperti yang dilapor Bernama.

Menurut baginda, Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran.

"Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda.

Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam.

"Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama," titah Raja Nazrin.

Baginda bimbang jika suhu politik semakin panas, impian untuk membina perpaduan akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan.

Raja Nazrin bertitah untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas polemik politik tetapi Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun secara damai.

"Tetapi Raja tidak memiliki lampu ajaib yang boleh memupuk perpaduan dalam sekelip mata apatah lagi jika suasana sudah terlalu berkecamuk," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberi nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara mengenai tanggungjawab masing-masing supaya Raja tidak disalahtafsir mencampuri secara langsung urus tadbir negara.

Baginda bertitah bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang selepas pilihan raya umum ke-12 di mana perlu ada penerimaan kepada realiti dan pemahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam.

"Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan," titah baginda.

Raja Nazrin Shah juga bertitah bahawa dalam dinamik politik yang sedang berlaku, adalah bertambah penting Raja selaku tonggak kestabilan dan payung penyatuan rakyat, bersifat berkecuali supaya semasa berlakunya krisis, Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.

Meneliti apa yang ditekankan Raja Nazri, pada hemat saya, saranan baginda harus diimplementasikan dari kalangan golongan istana terlebih dahulu. Ini kerana Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam. Raja-Raja juga harus memerintah yang adil dan bijaksana. Raja-Raja juga harus menjadi contoh dan teladan terbaik untuk diikuti oleh rakyat jelata.

Ada dua elemen penting yang menentukan sama ada saranan Raja Muda Perak diambil kira atau tidak. Pertamanya ialah sikap Raja-Raja Melayu itu sendiri, yang harus kekal berkecuali. Kedua, Raja-Raja tidak seharusnya bergantung bulat-bulat kepada penasihat-penasihat sebelah pihak, khususnya Umno-Barisan Nasional sebagaimana yang dilihat rakyat kebanyakan.

Jika Raja-Raja tidak mempunyai sifat yang selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Raja Nazrin, jangan sesekali dipersalahkan, jika rakyat mempunyai persepsi yang negatif terhadap institusi Diraja. Raja-Raja harus membuka minda untuk mendengar pandangan semua pihak sebelum baginda memutuskan tentang sesuatu perkara.

Yang menjadi punca di sini ialah Umno-BN. Kerakusan mereka di Perak pada Februari 2009 misalnya, menjadi antara punca utama rakyat semakin tidak selesa dengan institusi istana.

Dalam soal masa depan Melayu misalnya, kebimbangan Raja-Raja Melayu adalah amat wajar ditujukan kepada kegagalan Umno selama lebih 60 tahun berkuasa dalam negara, tetapi kedudukan ekonomi bangsa Melayu terhakis, bahasa Melayu semakin terancam dan sebagainya.

Begitu juga dalam soal Perhimpunan Bersih 2.0. Sepatutnya Raja-Raja Melayu tidak boleh campurtangan dan bersikap adil sebagaimana contoh yang ditunjukkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Namun, rakyat boleh melihat dan membaca dengan jelas terdapat kenyataan pihak istana yang menghentam Bersih 2.0 berikutan eksploitasi yang diadu-domba oleh media talibarut Umno-BN.

Oleh kerana itu, jika Raja-Raja Melayu hendak bersikap adil dan dilihat adil serta bijaksana, jika Raja-Raja mahu negara aman dan damai, mereka tidak harus mendengar nasihat Umno-BN secara bulat-bulat dalam isu berkaitan agama, politik, perkauman dan sebagainya.

Raja-Raja harus mendapat pandangan kedua tentang sesuatu isu yang dianggap sensitif terutamanya daripada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat mewakili suara rakyat yang besar. Raja-Raja tidak perlu menunggu memorandum daripada rakyat.

Pada bila-bila Raja-Raja boleh memanggil pemimpin Pakatan Rakyat ke istana. Pakatan Rakyat akan memberikan sepenuh kerjasama kepada institusi Diraja kerana, kami mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dengan aman, tiada kekacauan.

Pakatan Rakyat mahu kerjasama semua pihak termasuk istana, tentera, polis dan jentera kerajaan, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat dipelihara sebaiknya. Daulat Tuanku.

rashidi@harakah.net.my

Lombong nadir bumi Lynas dibuka di Australia Barat

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Lombong yang akan meneroka deposit nadir bumi yang diketahui paling kaya di dunia, dibuka pada Khamis di kawasan Goldfields Australia Barat (WA).

Lombong Mt Weld, kira-kira 35km ke selatan Laverton, merupakan projek Lynas Corporation sejak 10 tahun lepas.

Bijih akan dikumpul di Mount Weld sebelum dieksport ke kilang pemprosesan logam canggih Lynas di Kuantan, Malaysia, dan dijual ke seluruh dunia.

Ketua Menteri WA Colin Barnett berkata ia merupakan lombong nadir bumi pertama yang dibuka di luar China dan menambah, dan sangat penting kepada WA yang sudahpun memiliki sektor sumber yang pelbagai.

"Menerusi 90 pekerja pada kapasiti penuh, lombong berkenaan dijangka menyumbang sekurang-kurangnya A$17 juta pembayaran royalti tahunan kepada negeri itu," katanya dalam satu kenyataan.

Associated Press Australia berkata nadir bumi merupakan istilah yang digunakan ke atas 15 elemen logam yang ditemui dalam "koktel" elemen yang diperlukan yang akan dipisahkan untuk kegunaan komersil.

Ia digunakan dalam bahan canggih, bateri dan peranti elektronik seperti komputer, televisyen berdefinisi tinggi, telefon mudah alih, peranti audio selain teknologi kereta hibrid.

Lombong Mt Weld dijangka beroperasi selama 20 tahun.

China membekal kira-kira 95 peratus pasaran nadir bumi dunia, namun mengehadkan bekalan ke tempat lain di dunia.

Mengikut anggaran, Lynas mampu membekalkan kira-kira lapan peratus daripada pasaran dunia pada 2012 dan 14 peratus pada 2013.

Pengerusi Eksekutif Lynas Nick Curtis berkata pembukaan lombong berharga A$100 juta itu, sangat penting untuk syarikat itu serta Australia.

"Pembukaan lombong Mt Weld itu merupakan kejayaan penting kami. Ia merupakan lombong nadir bumi pertama yang dibuka di Australia dan menunjukkan negara itu mempunyai pelbagai logam untuk dibekalkan kepada rakan dagang," katanya.

Lynas menerima bantahan besar-besaran daripada penduduk di kawadan kilang pemprosesannya di Kuantan.

Kajian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa ke atas kilang berharga US$220 juta itu (Kuantan), mendapati ia mematuhi standard keselamatan antarabangsa, namun mengesyorkan syarikat itu berhubung lebih rapat dengan penduduk tempatan.

Curtis berkata pembabitan dengan masyarakat secara amnya perlu lebih rapat berbanding sedekad lepas.

Beliau berkata jika pada peringkat awal lagi perhubungan itu diwujudkan, ia tidak akan menerima bantahan seperti sekarang.

- Bernama

'Buka puasa di gereja cubaan murtadkan umat Islam'

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, di Petaling Jaya malam semalam kerana terdapat bukti wujudnya percubaan memurtadkan umat Islam di negeri ini, kata ahli exco hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali.

Menurut beliau, maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam yang hadir pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

“Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat.

“Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan,” kata Dr Hasan (kiri) dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, anggota penguatkuasaan Jais bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur.

“Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai,” katanya.

Beliau berkata pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “Quran” dan “pray” diselitkan pada ucapan di majlis itu.

“Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

Larikan diri

“Pegawai penguakuasa Jais dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang,” katanya.

Menurut Dr Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam didapati terbabit dengan majlis itu dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Semua 12 mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di bahagian penguakuasaan Jais untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, paderi kanan gereja itu, Daniel Ho dalam satu kenyataan akhbar berkata majlis makan malam yang diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO malam semalam bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

Menurutnya, majlis itu juga bagi meraikan usaha NGO berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam beberapa projek komuniti, termasuk kerja-kerja amal dengan wanita dan kanak-kanak, mangsa HIV/AIDS dan penyakit lain.

malaysiakini/-

Taman Esplanade Luak Perlu Pembaharuan

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Gambar menujukkan kawasan di pinggir Taman Esplanade Luak yang dicadangkan untuk tempat gerai perniagaan tetap.

Miri - Taman Esplanade Luak yang terletak di persisiran pantai Luak, di pinggiran bandaraya Miri merupakan tempat yang strategik untuk bersiar-siar dan bersantai bersama keluarga serta menikmati keindahan senja bila terbenamnya matahari. Ia juga tempat pilihan para penganjur seperti Saberkas,untuk menganjurkan program riadah seperti “Beach Volleyball”, pertandingan Layang Layang,Auto Show,dll.

Dengan adanya kemudahan yang luas seperti tempat letak kereta dan ruang untuk berniaga akan memudahkan orang awam berkunjung ke sini. Seperti yang kita ketahui, taman ini menjadi pilihan utama bagi mereka yang mengemarkan suasana petang waktu terbenamnya matahari. Pada hari cuti dan hujung minggu akitiviti orang awam disini menjadi meriah dan sesak kerana disini lah mereka berkumpul dengan program masing masing seperti berkelah,bersantai dan sebagainya.

Masa yang paling sesuai untuk berkunjung adalah pada hujung minggu, di mana para pengunjung datang pada waktu petang. Seperti kebiasaannya terdapat gerai-gerai kecil yang di buka dengan pelbagai hidangan tempatan, makanan dan minuman untuk dinikmati oleh para pengunjung.

Di sini kita mencadangkan agar pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperuntukan sejumlah peruntukan kewangan untuk membina gerai-gerai makanan yang lebih teratur, selesa dan kekal seperti yang sedia ada di Taman Selera di Tanjong Lobang.

Bila gerai makanan seperti ini disediakan, ia mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung untuk datang berkunjung. Pada masa yang sama, ia dapat membantu menjana ekonomi penduduk setempat dimana tidak hanya di monopoli oleh pihak tertentu sahaja. Dari pemerhatian kita, kemudahan tempat penjaja sementara ini mudah terdedah kepada cuaca matahari yang terik ataupun bila hujan turun menyebabkan pengunjung merasa kurang selesa dan terpaksa mencari tempat berteduh untuk menikmati juadah yang mereka beli.

Kami juga, menyarankan kepada pihak MBM untuk menambah pohon tanaman seperti pokok-pokok yang rendang untuk dijadikan tempat berteduh. Selain itu, satu penambahan baru juga harus di ambil kira oleh pihak MBM seperti membina Taman Permainan kanak kanak bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil bermain dengan selesa.

Kami berharap agar cadangan dan pandangan ini dapat di ambil perhatian yang serius oleh pihak yang berkenaan, demi untuk menjadikan bandaraya Miri sebagai bandaraya pelancongan yang kondusif. Dengan adanya tarikan pemandangan yang indah, nyaman dan bersih sudah pasti lebih ramai pengunjung datang bukan sahaja orang tempatan bahkan pelancong asing juga sudah pasti teruja untuk melawat atau berkunjung ke taman tersebut.

Harapan kami agar semua pihak bersatu dan bekerjasama untuk memajukan bandaraya Miri tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Walaupun PAS lebih dikenali sebagai sebuah parti politik tetapi ianya lebih kepada menjaga kebajikan semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

PAS Miri

"Kesesakan Lalu-lintas di Pujut 7-Permyjaya: Kegagalan Kerajaan BN"

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PAS Kawasan Miri merasakan keadaan lalu-lintas di sekitar bulatan
Pujut 7, Miri semakin kritikal dengan kesesakan yang amat teruk pada
waktu pagi dan waktu petang.

Kesesakan teruk ini berlaku ketika
penduduk-penduduk di sekitar Senadin, Permyjaya, Tudan dan Lutong
pergi dan balik dari pejabat masing-masing. Kesesakan luar biasa ini
adalah akibat daripada sistem jalan yang kurang sempurna.

Perkara ini dapat dielakkan lebih sepuluh tahun yang lalu sekiranya
pihak kerajaan meneliti pelan pembangunan di sekitar kawasan Permyjaya
dan Senadin. PAS Kawasan Miri merasa hairan kenapa berlaku pembesaran
dan penaikan taraf jalan menghubungkan Lutong dan Kuala Baram melalui
Batu Satu sedangkan sekarang jalan itu tidak lagi menjadi jalan utama
ke Kuala Baram atau ke Brunei.

Kenapa tidak perancangan pembesaran
jalan tersebut dipindahkan ke jalan menghubungkan Pujut 7 dan
Permyjaya? Ini menunjukkan kerajaan yang ada pada ketika itu tidak
memiliki keupayaan untuk merancang dan menguruskan pembangunan
infrastruktur dengan baik.

Oleh yang demikian, kami merasakan perlu ada penjelasan daripada pihak
yang kerajaan dan Majlis Bandaraya Miri berkenaan kegagalan
perancangan ini. Dalam masa yang sama, kami ingin mencadangkan dalam
tempoh pembinaan dan pembesaran jalan menghubugnkan Pujut 7 dan
Permyjaya ini, pihak PDRM khususnya bahagian trafik perlu mengambil
tindakan serius untuk menempatkan anggota bagi mengawal lalu-lintas.
Kita tidak mahu pihak PDRM hanya bertindak efektif dalam menguruskan
demonstrasi awam yang aman tetapi lembab dalam menguruskan tugasan
harian mereka.

Mohammad Arifiriazul,
Ketua Penerangan PAS Kawasan Miri,

Ramadhan untuk orang yang beriman

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ القَائِلِ :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .
اَمَّا بَعْدُ, عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah!
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita sedang berada berada di Bulan Ramadhan yang merupakan satu tempoh masa ujian untuk kita mencapai anugerah taqwa. Allah menyatakan dalam ayat di atas bahawa ibadat puasa hanya dikhususkan dan diwajibkan kepada orang-orang yang beriman. Ramadhan merupakan satu peluang bagi mengangkat martabat manusia daripada insan yang beriman kepada insan yang bertaqwa.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam usaha untuk mencapai martabat taqwa, Allah memberikan tawarannya hanya kepada orang-orang yang beriman. Tidak akan ada sebarang harapan bagi orang yang tidak beriman ataupun orang yang terjejas imannya untuk mencapai martabat taqwa. Malangnya terdapat berbagai ancaman terhadap kesucian aqidah umat Islam yang akan menyebabkan sebahagian kita akan terlepas peluang menjadi insan-insan yang bertaqwa.

Seminggu sebelum kedatangan Ramadhan, Majlis Syiah Malaysia telah mengedarkan Memorandum mereka yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong kepada semua masjid di seluruh Negara. Kebanyakkan jawatankuasa masjid di negeri ini telah mengesahkan bahawa mereka telahpun menerima memorandum tersebut yang diposkan bersama dengan beberapa buah buku yang dikarang oleh mereka.

Sidang Jumaat sekelian,

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah memutuskan bahawa:

1.Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

2. Ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang–Undang Islam dan penyebaran apa–apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

3.Semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang–undang Islam dan Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.

4.Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain–lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Selain daripada penyebaran tersebut telah menyanggahi undang-undang, apa yang lebih besar, penyebaran ini sebenarnya boleh menggugat aqidah umat Islam di Negara ini. Bagaimana mungkin kita boleh membiarkan penyebaran aqidah yang bercanggah sama sekali dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bagaimana mungkin kita boleh menerima ajaran yang mengatakan bahawa para sahabat yang membawa dan mengajarkan al-Quran dan hadis kepada kita merupakan golongan yang kafir dan fasiq.

Tidakkah dengan menerima pandangan Syiah, bermakna kita menolak al-Quran dan Hadis yang dibawa oleh golongan kafir dan fasiq. Sebagai contoh dalam buku Inilah Al-Khulafa’ Ar-Rasyidin Rasul yang turut disebarkan ke masjid-masjid menyebutkan beberapa kesalahan para sahabat:

a.Saidina Abu Bakar As-Siddiq dikatakan merampas jawatan khalifah dari Saidina Ali, menukar hukum yang ditetapkan Allah, membiarkan Khalid Al-Walid melakukan jenayah pembunuhan dan zina.

b.Saidina Umar Al-Khattab dikatakan mengubah hukum yang ditetapkan oleh Allah dan mengubah hadis-hadis nabi.

c.Saidina Uthman bin Affan dikatakan melantik peminum arak, al-Walid bin Muith sebagai gabenor dan memukul Ammar bin Yasir sehingga cedera.

d.Muawiyah bin Abi Sufyan dikatakan sebagai khalifah yang terlalu banyak melakukan kezaliman walaupun beliau merupakan salah seorang penulis wahyu di zaman Rasulullah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebarang unsur yang boleh menjejaskan aqidah umat Islam mestilah diperangi sepenuhnya. Walaupun Syiah masih menggunakan nama Islam, namun sumber rujukan mereka berbeza dengan kita, aqidah mereka berbeza dengan aqidah mereka dan segala amalan mereka amat berbeza dengan kita.

Bagi memastikan kita terus menjadi insan yang beriman, bagi membolehkan kita berusaha menjadi insan yang bertaqwa, kita mesti menghalang sebarang pencemaran aqidah dari mana-mana pihak. Tanpa asas ilmu yang kukuh, orang awam akan mudah terpengaruh dengan ajaran yang disebarkan. Oleh yang demikian, semua bahan dan buku yang diedarkan hendaklah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak bagi menghalang kekeliruan di pihak orang awam.

Mudah mudahan Ramadhan tahun ini akan menjadikan kita semua sebagai insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Abu Izzah At-Tualanji

Kehidupan Rosmah penuh kontroversi – media Indon

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: “Kehidupan Datin Seri Rosmah Mansor memang penuh dengan kontroversi” - Itulah ungkapan yang dilaporkan media Indonesia, KOMPAS.com hari ini dalam satu artikel mengulas mengenai kontroversi isu pembelian cincin berlian bernilai US24 juta yang dinafikan Rosmah minggu lalu.

“Mungkinkah kasus cincin berlian 24 juta dollar AS ini nanti menjadi pintu perubahan dan demokratisasi Malaysia?

“Hanya rakyat Malaysia sendiri yang menentukan,” tanya KOMPAS dalam laporannya hari ini.

Memetik laporan-laporan dalam negeri dalam kontroversi isu pembelian cincin berlian, KOMPAS melaporkan bahawa Rosmah telah menyatakan bahawa kontroversi tersebut hanyalah satu fitnah dan ‘menduga ada pihak yang memanfaatkan namanya (untuk) dikaitkan dengan cincin berlian yang harganya selangit itu’.

Namun, penafian tersebut tidak menghalang artikel tersebut untuk menyifatkan kehidupan isteri Perdana Menteri Najib Razak ini sememangnya penuh dengan kontroversi.

“Perimekar Sendirian Berhad diketahui Parlimen Malaysia telah menerima wang komisyen sebanyak 100 juta euro (sekitar Rp 1.2 trilion) atas pembelian kapa selam Scorpenen buatan Perancis.

Pada pertengahan Julai, seorang peguam Perancis, William Bourdon yang mewakili sejumlah aktivis pro-Demokrasi Malaysia yang mengugat Perimekar Sdn Bhd atas dakwaan suap dan korupsi dalam kes pembelian kapal selam Scorpene telah ditahan Imigresen Malaysia lalu dihantar pulang ke negara beliau.

Tindakan itu telah memicu protes daripada pergerakan hak asasi di Malaysia seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram),” tulis artikel tersebut.

Pada 23 Julai yang lepas., William yang berada di negara untuk bercakap tentang urusniaga kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, telah dihantar pulang setelah memberikan taklimat kes tersebut di satu makan malam anjuran Suaram di Pulau Pinang.

Kementerian Dalam Negeri telah memberikan alasan bahawa William telah menyalahi kegunaan visa beliau ketika dalam negara, walaupun umum mengetahui bahawa rakyat Perancis tidak memerlukan sebarang visa untuk memasuki negara Malaysia.

Menurut laporan KOMPAS lagi, krisis pembelian kapal selam Perancis, pesawat tempur jet Rusia dan senjata-senjata pertahanan yang lain didakwa telah mengakibatkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaarribuu pada bulan April 2006.

“Altantuya, puteri seorang profesor di Ulan Bator, diketahui mempunyai hubungan khusus dengan Abdul Razak Baginda, penasihat peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Altantuya yang fasih berbahasa Rusia dan beberapa bahasa asing, menurut pihak pembangkang, juga memahami betul selok-belok pembelian senjata yang digunakan oleh Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

“Kerana menuntut terlalu banyak (komisen), akhirnya dia ditembak mati, lalu tubuhnya diletupkan,” tulis laporan itu lagi, sambil menambah bahawa dua orang, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar telah dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Altantuya.

“Namun, auktor intelektualis dan dakwaan korupsi pembelian senjata tidak pernah disidangkan (di mahkamah) sehingga pihak pembangkang Malaysia mengemukakan tuntutan di Mahkamah Paris, Perancis (kes Suaram),” tambah laporan itu lagi.

Kontroversi lain yang melingkupi Rosmah, kata laporan tersebut adalah hubungannya dengan calon besan bernama Maira Nazarbayev yang berasal dari Kazakhstan.

“Maira Nazarbayev yang mempunyai gaya hidup ala Imelda Marcos didakwa mempunyai kaitan dengan Organisatziya atau mafia Rusia. Maira Nazarbayev kerap keluar bersama Datin Rosmah,” tambah laporan itu lagi.

Akibat kontroversi-kontroversi tersebut, kini terdapat sumber yang menyatakan bahawa satu gerakan yang kuat dan serius telah berlangsung di dalam Umno untuk menyingkir Najib dan Rosmah kerana mereka berpandangan bahawa suami-isteri tersebut telah menjadi liabiliti terbesar kepada Barisan Nasional menjelang pilihanraya ke 13.

"Ada gerakan serius yang meminta supaya Najib berundur daripada (jawatan) perdana menteri.

"Najib dan Rosmah dilihat liabiliti kepada BN kerana pada waktu ini ia memberi kesan negatif kepada pilihan umum akan datang," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang akhbar hari ini.

Di samping itu, blogger Mohd Sayuti Omar telah juga melaporkan bahawa beliau menerima maklumat mengenai perkara yang sama bahawa terdapat satu pergerakan untuk menjatuhkan Najib yang didakwa sumbernya diketuai Penawar, Persatuan bekas-bekas Ahli Parlimen Umno.

“Ceritanya Penawar katanya telah mendesak Najib Razak supaya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Sebabnya mudah, Najib dikatakan lemah dan tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah termasuk masalah negara. Isu kelemban ekonomi dan kurang minat pelabor untuk datang melabur ke negara ini juga dijadikan penyebabnya.

“Mesyuarat itu diadakan beberapa hari lepas. Ianya dipengerusikan oleh Abdul Aziz Shamsuddin, bekas menteri pembangunan luar bandar di zaman Abdullah Badawi dan juga bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, cerita sumber itu,” tulis beliau dalam blognya.

Hari ini, kata Sayuti, Penawar akan mengadakan mesyuarat sekali lagi mengenai isu tersebut, namun dijangkakan persatuan tersebut akan menafikan dakwaan bahawa terdapat satu pergerakan untuk menumbangkan Najib.

“Adalah dipercayai Penawar akan mengambil keputusan dalam mesyuarat berkenaan berhubung apa yang dicatatkan oleh saya dalam posting beberapa hari lepas. Dijangkakan satu kenyataan akhbar selepas mesyuarat itu akan dikeluarkan.

Isi kenyataan itu besar kemungkinan Penawar akan membuat penjelasan apa sebenarnya berlaku dan akan menafikan bahawa persatuan itu hendak mengemukakan apa-apam cadangan khususnya meminta Najib Razak berundur.

“Dalam masa sama Penawar akan menyiasat sumber yang membocorkan maklumat berkenaan,” tambah beliau.

harakahdaily/-

Adun Bebas bakal calon BN Perak?

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH, 4 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat beberapa kenyataan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung calon-calon Barisan Nasional (BN) Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti menjanjikan yang terbaik dengan menggunakan istilah Presiden Umno,

Datuk Seri Najib Tun Razak yakni winnable dan likeable candidate sebagai asas memilih calon BN.

Setiausahanya, Salman Saleh berkata, walaupun menyedari hakikatnya ia hanya bersifatkan teori semata-mata kerana banyak pihak tidak berpuas hati terhadap kenyataan tersebut.

Ini kerana, katanya bagaimana kedudukan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang menyokong BN.

“Adakah Adun Kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh yang keluar DAP dan kini telah menyertai PPP terselamat untuk kembali bertanding pada PRU 13 nanti kerana sudah menyertai Komponen BN?

“Apakah kedudukan tiga orang lagi ADUN yang masih berstatus Bebas?

“Adakah mereka akan bertanding dalam PRU 13 nanti?

“Adakah BN akan menawarkan mereka bertanding atas tiket BN?” soalnya dalam satu kenyataan.

Katanya, jika semua kenyataan Zambry tersebut diambil kira, keempat-empat Adun Bebas tersebut telah berjaya menang pada PRU 12 tahun 2008 yang lalu dan sedang memberikan perkhidmatan atas nama BN.

Melalui maklumat yang diterima, ujarnya kesemua mereka memang berhasrat untuk kekal bertanding dan menjadi calon BN pada pilihan raya kali ini.

Baginya, banyak persoalan yang sedang bermain di fikiran Zambry di dalam menentukan calon BN kali ini.

Ketika ini, ujarnya MCA sudah mengarahkan semua MCA bahagian menyerahkan senarai calon-calon yang mewakili mereka.

MIC pula, tambahnya telah memberikan kata dua untuk mengekalkan kerusi yang ditandingi mereka pada PRU 12 yang lalu walaupun kesemua calonnya kalah.

Katanya lagi, PPP juga sedang memastikan agar Keshvinder akan kekal menjadi calon bagi mewakili BN di Dun Malim Nawar sekali lagi.

“Adakah Datuk Tan Lian Hoe wakil tunggal Gerakan akan kekal di Parlimen Kawasan Gerik?” soalnya.

Menurutnya, ini bermakna rakan Komponen Umno dalam BN Perak mahu mereka diberikan kerusi dengan calon mereka sendiri walaupun mungkin tidak memenuhi key performance indicator (KPI) Zambry sebagai Pengerusi BN Perak.

harakahdaily/-

Amerika tetap veto Palestin

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Ashrawi dedah keputusan Obama

WASHINGTON: Utusan kanan Pihak Berkuasa Palestin (PA), Hanan Ashrawi mengakui gagal memujuk pentadbiran Presiden Barack Obama untuk tidak menggunakan veto terhadap usaha pemimpin Palestin mendapatkan keanggotaan negara mereka sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengikut sempadan 1967.

Ashrawi berkata, pentadbiran Obama sudah memutuskan untuk menggunakan veto jika PA membuat permohonan kepada Setiausaha Agung PBB, untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu.

“Pujukan saja tidak mencukupi. Amerika sudah buat keputusan,” kata Said Ashrawi, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

“Saya hanya berharap apa yang saya kata dapat mengubah fikiran mereka,” katanya.

Ashrawi yang dihantar ke Washington oleh Presiden Palestin, Mahmud Abbas, berkata beliau sudah menggesa pegawai Amerika minggu ini supaya menyokong atau sekurang-kurangnya tidak menyekat usaha pemimpin Palestin dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA), September depan.

“Pemimpin AS tidak patut menggunakan veto ke atas perkara yang menjadi hak Palestin untuk merdeka dan membentuk negara,” katanya.
Obama menyokong gesaan supaya negara Palestin dibentuk mengikut sempadan ketika perang 1967 selain persetujuan untuk menukar wilayah.

Tetapi, beliau menggesa pemimpin Palestin merundingkannya terus dengan Israel dan tidak membawanya ke PBB.

Pusingan terakhir rundingan damai buntu berminggu-minggu lalu selepas dilancarkan di Washington, September lalu selepas Israel enggan memperbaharui tempoh pembekuan membina penempatan secara terhad di kawasan tuntutan Palestin untuk menjadi sebahagian negara pada masa depan. – AFP

Kontroversi IC bukti desakan Bersih wajar

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Kontroversi terbaru membabitkan kes Penduduk Tetap (PR) yang mendapat kewarganegaraan untuk mengundi dalam pilihan raya, membuktikan tuntutan Bersih 2.0 adalah wajar.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengulas isu Mismah yang mendaftar sebagai pemilih dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), meskipun memegang status PR, lapor KeadilanDaily.

Nama Mismah yang memegang My Kad PR berwarna merah, turut tertera dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara. Bagaimanapun statusnya sebagai PR ditukar selepas isu itu didedahkan laman portal Malaysiakini kira-kira empat jam selepas itu.

Selain itu, PAS tampil mendakwa di Selangor sahaja, sebanyak 1,100 pengundi berstatus PR yang tidak layak mengundi, berada dalam daftar pemilih SPR.

Menurut Maria, insiden terbaru itu membuktikan SPR perlu benar-benar melakukan pembersihan senarai pengundi, satu daripada lapan tuntutannya.

Malah, katanya, parti-parti politik Pakatan Rakyat sebelum ini turut menyerahkan senarai pengundi yang didapati mengundi sebanyak dua kali bagi mengesahkan kepincangan daftar pemilih.

“SPR perlu semak semula semua nama dalam senarai pengundi yang mereka miliki.

“Sudah tentu (ia bukti tuntutan kita wajar), kita sudah bagi mereka bukti malah sebelum ini kita sudah tunjukkan satu senarai pengundi yang boleh mengundi dua kali,” kata Maria Chin.

Lanjutan daripada kontroversi ini, Maria menggesa agar SPR menubuhkan jawatankuasa terpilih yang turut dianggotai parti-parti politik tanahair untuk mengkaji masalah seperti ini dalam senarai pengundi.

“SPR perlu berikan perhatian dan mereka kena tubuhkan satu jawatankuasa khas.

“Jawatankuasa khas itu perlu terdiri daripada wakil daripada parti-parti politik dan mereka akan mengkaji masalah-masalah seperti penduduk tetap yang menjadi warganegara dalam masa yang singkat ini,” katanya.

Menurutnya lagi, cadangan itu telah dipanjangkan Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga sewaktu debat bersama Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar 26 Julai lalu di Shah Alam.

“Kami bagi masa kepada beliau selama tiga bulan untuk mengkaji perkara ini dan menyiapkan satu laporan tentang masalah-masalah yang membelenggu senarai pengundi sekarang ini,” katanya.

Sewaktu ditanya langkah seterusnya yang akan diambil Bersih jika SPR tetap berdegil tidak mengambil langkah serius untuk menyelesaikan masalah itu, Maria berkata Bersih akan ‘merujuk perkara itu kepada rakyat’.

“Kita akan balik kepada rakyat dan tanya apa mereka mahu kita buat,” kata Maria Chin.

harakahdaily/-

Pengundi P Pinang lonjak 32,000 dalam 3 bulan

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Berikutan dakwaan bahawa lebih 1,500 penduduk tetap dibenarkan mendaftar dalam senarai tambahan pemilih terbaru, Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini mendakwa jumlah pengundi di negeri itu telah melonjak dengan mendadak sebanyak 32,000 orang dalam hanya tiga bulan.

Seramai 1,400 undi pos dimasukkan ke dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Maung, yang kini diwakili oleh exco kerajaan negeri itu, Abdul Malik Kassim dari PKR.

Antara 2008 hingga 2010, kerusi majoriti Melayu itu menyaksikan peningkatan sebanyak 2,200 pengundi.

Kebanjiran pengundi itu didedahkan hari ini dalam sidang akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang turut dihadiri oleh Abdul Malik dan Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman.

Pada masa lalu, kata Lim, biasanya akan ada pertambahan kira-kira 10,000 pengundi baru, tetapi peningkatan tiga kali ganda itu "mencurigakan" dan menimbulkan kebimbangan "mungkin berlaku penipuan".

"Pilihan raya umum semakin hampir. Jika pertambahan pengundi adalah 200 hingga 400, ia boleh diterima, tetapi kini terdapat pertambahan sebanyak tiga kali ganda (jumlah tersebut). Macam mana nak menang?" soalnya.

Hantu lapar undi

Lim berkata pertambahan jumlah pengundi berlaku dalam tempoh tiga bulan, sambil menyentuh tentang dakwaan mengenai 'Mismah' dan lebih 1,500 penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi.

"Dalam dunia ini, kita telah mi segera, tetapi di Malaysia, kami mempunyai pengundi segera," kata Lim berseloroh.

"Bulan ini adalah bulan hantu lapar untuk orang Cina, tetapi apa yang kita lebih takut ialah pengundi hantu," katanya.

Lim mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana keengganannya untuk menyiasat kes-kes tersebut atau mengambil tindakan.

Malaysiakini/-

Kak Wan yakin bahawa Anwar tidak terlibat

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yakin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam skandal seks walaupun serangan demi serangan melibatkan dakwaan seperti itu dilancarkan ke atas ketua umum parti itu.

Katanya, beliau tetap berpegang kepada keyakinannya itu walaupun timbul dakwaan terbaru dalam bentuk video – didakwa menunjukkan perlakuan Anwar dengan seorang wanita yang didakwa sebagai pekerja seks.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, beliau telah melihat rakaman video berkenaan namun beliau tetap yakin bahawa Anwar tidak melakukannya.

“Apabila saya melihatnya, (saya berkata kepada diri saya sendiri) mustahil bahawa dia boleh berbuat begini.

"Dia tidak bodoh, tidak selepas dipenjara, tidak selepas melihat bagaimana kami menderita, dan dengan anak-anak sedang membesar," kata Wan Azizah dengan tenang.

Namun, beliau tetap menaruh kebimbangan sekiranya masyarakat umum akan mempercayai video berkenaan yang mula didedahkan pada 21 Mac lalu oleh beberapa orang individu ternama.
Dosa besar percaya fitnah
"Saya takut jika ia kelihatan tulen, orang akan percaya. Penipuan boleh dipercayai. Bagi saya itu satu tragedi.

“Bagi kita orang Islam, percaya kepada fitnah ialah satu dosa besar. Bukan saja anda akan dihukum tapi juga anak anda dan generasi selepas itu," kata Wan Azizah lagi dalam temubual yang dijalankan di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila mengetahui mengenai tayangan video seks yang dijalankan oleh trio 'Datuk T' di hotel berprestij berkenaan.

Wartawan yang dijemput ke majlis tayangan penuh rahsia itu diperiksa dengan rapi seolah-olah dalam satu filem Mission Impossible, kata Wan Azizah lagi.

"Tentulah (saya fikir), 'Oh Tuhan, takkanlah satu lagi'," katanya yang turut dipujuk oleh rakan-rakannya supaya menonton video berkenaan.

Trio 'Datuk T' berkenaan – ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim – kemudiannya didapati bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan berhubung penayangan video berkenaan.

Keputusan politik

Individu berkenaan bagaimanapun hanya dikenakan denda, masing-masing antara RM1,000 hingga RM3,000 pada 24 Jun lalu, yang disifatkan Wan Azizah sebagai keputusan bersifat politik.

“Mereka ada kempen besar-besaran mengedar pornografi di negara ini, yang bertentangan dengan undang-undang – dan melibatkan wartawan – dan mereka terlepas dengan hukuman yang ringan.

"Jadi ini membuktikan bahawa kesemua ini hanya politik," kata Wan Azizah lagi dengan nada yang serius.

Wan Azizah juga berkata, sekiranya masyarakat luar boleh melihat perkara itu, apatah lagi beliau dan keluarganya.

"Jadi ini menyebabkan kami ingin melawannya (dengan lebih kuat). Tiada keluarga lain yang mahu melalui perkara ini.

"Ianya satu keaiban kepada maruah. Itu suami saya yang anda perkatakan. Ianya maruah keluarga. Kami bersama (dalam isu ini)," katanya.

Wan Azizah turut mempertikaikan hujah yang dikemukakan oleh peguam kepada Rahim, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa individu di dalam video berkenaan adalah 99.99 peratus Anwar.

Perbicaraan di media

"Saya terkejut mengapa mereka tidak kata 110 peratus seperti sesetengah orang kata," katanya lagi yang turut mempersoalkan siapakah pakar yang membuat pengesahan itu.
Langkah itu sama seperti dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar di mana pihak pembelaan tidak diberikan peluang untuk mengesahkan bukti DNA yang dikemukakan.

“Jadi bagaimana anda hendak sahkan bahawa ianya Anwar. Bagi saya, saya boleh tengok sekilas pandang dan kenalpasti perbezaannya. Ini perbicaraan di media," katanya lagi.
Wan Azizah turut mengakui bahawa salah seorang tertuduh calam kes tayang video berkenaan – Shazryl Eskay merupakan kenalan kepada keluarganya.

"Kita kenal dia sebab dia diperkenalkan (sebagai seorang tukang urut) apabila Anwar terjatuh dari atas seekor kuda (sekitar tahun 1990) dan mengalami (sakit) belakang. Dia datang sekali sekala.

“Apabila Anwar keluar daripada penjara, tiada lagi fisioterapi, dia cuma datang sebagai seorang pelawat," katanya lagi yang mengimbau semula .

Namun pastilah Shazryl Eskay telah meminta Anwar supaya tampil sebagai saksi dalam kes saman melibatkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Bagaimanapun, Anwar tidak memenuhi permintaan berkenaan kerana dinasihati peguam bahawa beliau tidak perlu berbuat demikian.

"Tapi kenapa dia timbulkan dakwaan bahawa di bawa (Anwar) ke Thailand? Ini di luar jangkauan saya," kata Wan Azizah lagi.

malaysiakini/-

Pemuda PAS Perak ucap takziah

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH, 4 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merakamkan ucapan takziah di atas kembalinya ke rahmatullah, Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Negeri, Rohani Kasim, 38, hari ini.

Setiausahanya, Salman Saleh dalam e-mel kepada pengarah jabatan itu berkata, pihak DPPN Pk amat terkejut dengan kejadian yang telah menimpa Almarhumah.

“Kami berharap pihak jabatan dan ahli keluarga almarhumah tabah dan bersabar di atas ujian yang melanda.

“Kami mendoakan agar Allah Taala mencucuri rahmat di atas roh Almarhumah serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah hendaknya. Amin!” ujarnya.

Rohani yang masih bujang dilaporkan ditemui mati di apartmennya di Tambun, dipercayai dicekik dalam kejadian samun, kira-kira pukul 3 pagi tadi.

harakahdaily/-

Gerakan jatuhkan Najib dalam Umno: PAS

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PAS hari ini mendakwa wujudnya 'gerakan' dalam Umno untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri.

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata gerakan tersebut bagi menjatuhkan Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 kerana presiden Umno dilihat sebagai "liabiliti kepada BN".

"Ada gerakan serius yang meminta supaya Najib daripada perdana menteri.

"Najib dan Rosmah dilihat liabiliti kepada BN kerana pada waktu ini ia memberi kesan negatif kepada pilihan umum akan datang," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau juga mendakwa laporan yang mengaitkan pemimpin PAS dalam pakatan sulit untuk menaikkan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ketua pembangkang yang baru - bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim - hanya satu usaha mengalihkan perhatian daripada gerakan dalam Umno tersebut.

malaysiakini/-

Hosni dibicarakan walaupun terbaring

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

HOSNI MUBARAK terbaring di atas katil dalam sebuah kurungan di sebuah mahkamah di Kaherah semalam.

KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak mula dibicarakan semalam di sebuah mahkamah di sini berhubung dakwaan beliau melakukan rasuah dan mengarahkan pembunuhan para penunjuk perasaan.

Namun, dia terbaring di atas sebuah katil hospital yang terdapat di dalam sebuah kurungan di mahkamah berkenaan kerana sakit.

Stesen-stesen televisyen Mesir turut menyiarkan imej beliau terbaring itu.

Hosni turut mengangkat kepala untuk melihat proses perbicaraan itu.

Dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa yang turut dibicarakan bersamanya berdiri di tepi katil Hosni dan bercakap dengannya.

Hosni diterbangkan dengan menggunakan sebuah pesawat tentera dari sebuah resort peranginan di Sinai menuju ke ibu kota Mesir, di sini untuk dibicarakan.

Di pekarangan mahkamah itu, berlaku pergelutan antara ratusan penyokong dan penentang bekas presiden itu.

Kawalan keselamatan amat ketat di luar bilik mahkamah berkenaan.

SEBUAH stesen televisyen di Mesir menyiarkan dua anak Hosni Mubarak, Gamal (kiri) dan Alaa (empat dari kiri) di dalam kurungan di sebuah mahkamah di Kaherah semalam.

Ratusan anggota polis cuba memisahkan kumpulan penunjuk perasaan yang bergaduh.

Kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Hosni dan yang menentangnya saling membaling botol dan batu ke arah satu sama lain.

Sebelum pergaduhan itu berlaku, sekitar 50 penyokong pemimpin berusia 83 tahun itu melaungkan slogan sambil memegang potretnya di luar lokasi perbicaraan.

Hosni tinggal di sebuah resort di Sharm El Sheikh sejak beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.

Beliau kemudian ditahan di sebuah hospital kawasan peranginan itu sejak April lalu.

Doktor-doktor menyatakan Hosni mengalami masalah jantung.

Hosni yang memerintah Mesir selama 29 tahun dijangka dihadapkan di sebuah mahkamah berkenaan di dalam sebuah kandang bersama beberapa tertuduh lain termasuk dua anak lelakinya dan seorang bekas menteri dalam negeri.

Dakwaan-dakwaan tersebut boleh membawa hukuman gantung sampai mati. - Agensi

Timbalan Pengarah Veterinar Perak ditemui mati

04 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH: Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Rohani Kassim, 38, ditemui mati di apartmennya di The Haven, di sini, kira-kira jam 3 pagi.

Mangsa dipercayai dicekik selepas disamun.

Mangsa yang masih bujang tinggal berseorangan di apartmennya.

Jepun pecat tiga pegawai kanan susulan insiden nuklear

04 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TOKYO: Jepun hari ini memecat tiga pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap dasar tenaga nuklear, memaksa mereka mengambil tanggungjawab ke atas siri skandal berhubung industri tenaga.

Menteri Perdagangan Jepun, Banri Kaieda yang menyelaras dasar tenaga, berkata beliau bercadang menggantikan tiga pegawai kanan terbabit berikutan krisis di loji tenaga nuklear Fukushima, bencana nuklear terburuk dunia dalam tempoh 25 tahun.

Tiga pegawai terbabit ialah Kazuo Matsunaga, dari Kementerian Perdagangan; Nobuaki Terasaka, ketua Agensi Keselamatan Nuklear dan Perindustrian; dan Tetsuhiro Hosono, ketua Agensi bagi Sumber Asli dan Tenaga. - Reuters

Israel serang Gaza

04 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BAITULMAQDIS: Tentera udara Israel melancarkan dua serangan ke atas Semenanjung Gaza awal hari ini tanpa menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Serangan itu mensasarkan pangkalan Ezzedin Al-Qassam Brigades, cabang tentera Hamas yang menguasai Gaza.

Menurut pihak tentera, serangan itu susulan dua serangan roket Palestin di selatan Israel yang tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan. - AFP

Benarkah tiada rakyat asing dapat kewarganegaraan pintas ?

04 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Isu yang sedang diperkatakan dan menjadi topik perbincangan pebagai pihak menyebabkan pihak JPN tidak duduk diam dan mengeluarkan kenyataan seperti di bawah.

Sejauh mana kebenaran yang dikatakan oleh JPN saya harap dikongsi oleh semua pembaca berdasarkan pendedahan dalam media alternatif kewpada isu yang bebangkit.

KUALA LUMPUR 4 Ogos — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa seorang rakyat asing bernama Mismah telah diberi taraf kewarganegaraan dalam tempoh empat jam setelah mendapat taraf Penduduk Tetap.

Ketua Pengarah JPN, Datin Jariah Mohd. Said dalam kenyataan di sini berkata, mengikut rekod, Mismah telah mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982 dan diluluskan taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Jan 2011.

Beliau berkata, kewarganegaraan Malaysia itu diberi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu warga asing yang telah bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 12 tahun.

Jariah berkata, sejak 9 April 2009 hingga 1 Julai 2011, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menimbang sebanyak 72,334 pemohonan taraf kewarganegaraan Malaysia, dan sebanyak 29,290 daripada jumlah itu telah diluluskan.

Angka itu merupakan sebahagian 219,000 permohonan yang telah berjaya diselesaikan kementerian itu.

Kes lain termasuk 31,449 permohonan untuk Penduduk Tetap, 108,906 permohonan Daftar Lewat Kelahiran dan 6,311 permohonan di bawah program My-Daftar. — Bernama

Gempa bumi sederhana di Indonesia

04 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SINGAPURA 4 Ogos - Satu gempa bumi bermagnitud 5.2 skala Richter berlaku di barat Sumatera hari ini, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) hari ini.

Gempa bumi tersebut berlaku pada pukul 10.35 malam waktu Malaysia di 157 kilometer barat Bengkulu pada kedalaman 9.3 kilometer.

Namun, amaran tsunami tidak dikeluarkan. - Reuters

Ambiga gagal cabar arahan usirnya

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan hari ini gagal mencabar notis pengusirannya dan tidak membenarkannya memasuki Sarawak pada pilihan raya negeri April lalu oleh jabatan imigresen.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini yang menolak permohonan Ambiga bagi kebenaran semakan kehakiman yang difailkan

Penghakiman dibuat oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf. Beliau bagaimanapun tidak mengarahkan sebarang kos dibuat.

Ambiga, sebagai pengerusi BERSIH 2.0 - gabungan NGO yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih diadakan di negara ini - telah dengan aktif menuntut pembaharuan - namun beliau dihalang memasuki Sarawak pada 15 April lalu bagi memantau perjalanan pilihan raya negeri itu.

Arahan menghalang beliau daripada memasuki negeri itu dikeluarkan oleh pengarah imigresen Sarawak.

Pada 23 Mei, Ambiga memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dengan menamakan ketua pengarah jabatan imigresen Malaysia, pengarah imigresen Sarawak dan ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Ambiga memohon untuk membatalkan notis larangan memasuki Sarawak.

Bekas presiden Majlis Peguam itu juga memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan para responden membenarkannya memasuki Sarawak.

Beliau memohon ganti rugi dan kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ambiga dilarang memasuki negeri itu sepanjang tempoh kempen selama 10 hari bagi pilihan raya negeri Sarawak pada April lalu.

malaysiakini/-

Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:

Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya." (Hadis riwayat Abi Daud).

Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.

Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.

Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.

Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.

Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". (Al-Furqan: 30).

Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.

Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.

harakahdaily/-

Disimbah Asid Sebelum Tarawih

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Kota Bharu – “Ketika itu saya sedang membelek senaskhah akhbar di kedai runcit sebelum tiba-tiba bahagian kanan muka dan belakang badan saya terasa panas.”

KECEDERAAN yang dialami Faizal Halim selepas disimbah cecair percayai asid ketika mendapatkan rawatan di HRPZ II di Kota Bharu semalam.

Demikian cerita Faizal Halim Rustam, 37, yang mengalami cedera parah selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat tarawih sebelum singgah di kedai runcit tersebut untuk membeli minuman.

Menurutnya, selepas membeli minuman, dia membelek-belek senaskhah akhbar seketika sebelum tiba-tiba muka dan badannya terasa panas dan pedih seolah-olah terbakar.

“Muka dan badan saya terasa seperti terbakar dan saya terus berlari ke sebuah klinik yang terletak kira-kira 30 meter dari kedai runcit tersebut untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik sampai ke klinik tersebut, kakitangannya kemudian menyapukan krim ke seluruh anggota badan serta muka saya.

“Memandangkan kecederaan dianggap serius, saya kemudian dihantar ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC),” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, berikutan kecederaan pada bahagian mata yang agak serius setelah diperiksa oleh doktor di KBMC, beliau kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapat rawatan lanjut.

Ketika ditanya mengenai punca kejadian tersebut, Faizal berkata, ia mungkin disebabkan oleh dengki namun, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak nampak dan tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu.

“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan menangkap suspek yang melakukan perbuatan ini kerana ketika kejadian, saya pasti terdapat beberapa orang lain yang menyaksikannya di kedai tersebut,” ujarnya.

Berikutan kejadian itu, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diharap tampil untuk membantu siasatan,” katanya. -kosmo

Selangor sedia geran fail bantah SPR

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 4 Ogos: Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menubuhkan satu geran untuk membiayai usaha-usaha memfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baharu yang meragukan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam telah bersetuju menubuhkan geran tersebut.

Beliau menambah, geran itu terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik.

Oleh kerana dana kerajaan negeri digunakan, ujarnya bantahan itu hanya melibatkan kawasan di Selangor sahaja.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius aduan-aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi yang sedia ada dan senarai daftar pengundi baharu.

Menurutnya, aduan dan tuduhan termasuk rakyat negara jiran yang mendapat taraf permaustatin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merungsingkan dan perlu diselesaikan dengan segera.

“Kerajaan Selangor berpandangan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka jalan kepada satu pilihan raya yang bersih dan adil,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, petang semalam.

Katanya lagi, pilihan raya bersih dan adil adalah tiang utama kepada demokrasi tulen.

Beliau berkata, pilihan raya bukan sahaja perlu bersih dan adil tetapi juga perlu kelihatan bersih dan adil di mata semua.

“Setiap usaha mesti diambil demi memastikan kredibiliti pilihan raya dijaga dan pilihan sebenar rakyat dihormati,” ujarnya.

harakahdaily/-