02 Disember 2012

Maaf diterima jika Umno tukar dasar - TGNA

18 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, Umno boleh dimaafkan atas segala kesalahannya selama ini dengan syarat Umno harus tukar dasarnya terlebih dahlulu.

Katanya, Umno harus tukar dari dasar berjuang atas nama kebangsaan Melayu kepada Islam yang syumul selari dengan tuntutan biro Ulama Umno tahun 1951 dulu.

Nik Aziz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf atas segala kesalahan dilakukan sebelum ini, dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 yang berakhir semalam.

Syarat kedua, jelas Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, kesemua peruntukan pembangunan hendaklah disalurkan kepada kerajaan negeri bukannya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Dan syarat ketiga, katanya, hak rakyat Kelantan hendaklah ditunaikan dengan membayar royalti kepada kerajaan negeri.

"Jika tidak sanggup buat tiga perkara ini, maka tiada maaf bagimu," katanya dalam satu kenyataan melalui Setiausaha Politiknya Wan Nik Wan Yussof.

Beliau turut menyifatkan Perhimpunan Agung Umno kali ini dijadikan medan memaki hamun apatah lagi ucapan perwakilannya yang bernada permusuhan, kebencian dan mengguris perasaan kaum lain.

"Persidangan kali ini jadi medan segala maki hamun. Lagak dan isi ucapan perwakilannya 'sikit habuk' orang tak boleh tumpang. Apatah lagi masyarakat bukan Islam, lebih-lebih masyarakat Cina, kerana ada ucapan bernada permusuhan, kebencian dan mengguris perasaan kaum lain. Yang pasti akhlak Islam sudah diketepikan," katanya.

Malah dalam ucapan pimpinan Umno sewaktu penggulungan juga mengajak rakyat mengenang jasa-jasa Umno selama ini.

Bagaimanapun soal Nik Aziz, apakah Umno sahaja yang berjasa? Seolah-olah memberi gambaran Umno sahaja yang berjasa.

Katanya, PAS di Kelantan pun banyak berjasa antaranya pengurusan kewangan kerajaan Kelantan yang acap kali mendapat pujian Ketua Audit Negara. 

Sekali gus katanya, membuktikan jasa PAS yang mentadbir amanah rakyat tanpa ketirisan, rasuah dan penyelewengan apatah lagi menerusi pendekatan pentadbiran Islam, PAS berjaya mengubah pemikiran rakyat Kelantan berpandukan agama iaitu "orang-orang yang diberi nikmat oleh Allah" (allazina an'am ta'alaihim)

"Kesannya ramai wanita sudah mengamalkan ajaran agama termasuklah Wanita dan Puteri Umno pun sudah ramai bertudung (tutup aurat), berkat jasa Kerajaan Negeri di bawah PAS melaksanakan kempen berpakaian menutup aurat. Seharusnya pemimpin Umno bersikap terbuka, kenanglah juga jasa pihak lain," katanya.


Sumber : Harakahdaily/-

7 dipercayai hilang akibat terowong runtuh di Jepun

18 Muharram 1433H. [MOD] -


TOKYO: Sekurang-kurangnya tujuh orang dipercayai hilang selepas sebahagian daripada laluan terowong lebuh raya di barat Tokyo runtuh menyebabkan sejumlah kenderaan terperangkap sambil asap kelihatan akibat kebakaran di dalamnya sehingga menyukarkan anggota penyelamat mendekatinya. 

Rakaman video dari dalam terowong itu selepas kebakaran dipadamkan menunjukkan anggota bomba melalui sisa runtuhan bumbung simen yang menghempap kenderaan dalam Terowong Sasago kira-kiar 80 kilometer dari bandar raya ini. 


Bagaimanapun, akhbar tempatan melaporkan anggota penyelamat menangguhkan kerja menyelamat kerana bimbang satu lagi runtuhan di dalam terowong berkenaan. 


Seorang wanita yang terselamat selepas terperangkap dalam terowong sepanjang 4.3 kilometer itu memberitahu pihak berkuasa bahawa, beliau tidak pasti dengan keadaan lima orang yang berada dalam kenderaan sewanya. 

Dua lagi kenderaan dikatakan tertimbus akibat runtuhan terbabit dan tujuh orang dipercayai berada di dalamnya. 

Punca runtuhan kira-kira 100 meter dalam terowong itu sedang disiasat. - AP

Datuk Rahman Maidin umum sertai PAS

18 Muharram 1433H. [MOD] -



(Rahman menyerahkan borang PAS kepada Ustaz Hadi malam tadi)

BATU PAHAT: Bekas Pengerusi konglomerat media negara, MRCB, Datuk Abdul Rahman Maidin mengumumkan pernyertaannya ke dalam PAS malam tadi.

Beliau yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengumumkan penyertaan itu bersama tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor malam tadi.

Turut serta adalah bekas Pengarah Eksekutif Felda Plantation Haji Mohd Sais Joned.


(Haji Mohd Sais menyerahkan borang kepada Ustaz Hadi dengan diperhatikan Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz)


Dua lagi adalah masing-masing bekas Pengarah Pelajaran Johor Hj Ramlan Sariman dan Timbalan Pengarah institur Perguruan Batu Pahat Haji Nasir Abdullah.

Kesemua mereka menyerahkan borang meyertai PAS kepada presiden parti itu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan disaksikan hampir 30,000 hadirin.


(Haji Ramlan serahkan borang)

Penyertaan mereka ini yang semuanya pegawai-pegawai tinggi kerajaan, dilihat satu lagi tamparan hebat kepada Umno yang baru sahaja selesai bersidang hari ini.

Tekanan juga pastinya dirasai Felda yang diterajui Tan Sri Isa Samad, yang kini sedang terpalit dengan pelbagai masalah khususnya isu penyenaraian Felda Global Venture Holding Bhd (FGVH).

Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman ketika mengulas kemasukan Mohd Sais ke dalam PAS berkata, ianya satu kekuatan baru kepada NGO itu untuk terus mendedahkan segala kepincangan yang sedang berlaku dalam Felda ketika ini.

"Penyertaan bekas pegawai kanan Felda ini akan lebih menguatkan perjuangan kita untuk terus membetulkan kepincangan dan salah urus Felda pada waktu ini," katanya.


(Gambar: Haji Nasir)

Turut hadir dalam himpunan di Dataran Rakyat, Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, di sini malam ini termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Selain mereka, turut hadir Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan pemimpin PKR, DAP di peringkat negeri.


Harakahdaily/-

Terowong runtuh di Jepun, lima dikhuatiri terperangkap

18 Muharram 1433H. [MOD] -


Lima orang dikhuatiri terperangkap di dalam terowong lebuh raya yang runtuh berhampiran Tokyo hari ini, media Jepun melaporkan.

"Lima orang dikhuatiri terperangkap di dalamnya," kata  penyiar swasta TV Asahi yang memetik anggota bomba berkata bahawa terowong di lebuh raya itu terletak kira-kira 80km dari bandaraya Tokyo.

tunnel collapsed japan
Sebilangan kenderaan terbakar di dalam runtuhan terowong tersebut - salah satu yang terpanjang - kata polis, sewaktu gerakan menyelamat sedang dilancarkan.

Sekurang-kurangnya tiga kenderaan hancur ditimpa runtuhan tersebut dan tiga orang cedera dalam kejadian tersebut, kata penyiar TV NHK, tetapi laporan itu belum dapat disahkan oleh pihak polis dan jabatan bomba.

Kejadian itu berlaku dil laluan ke Tokyo di dalam terowong Sasago di Lebuhraya Chuo, kira-kira 80km di barat Tokyo, pada sekitar jam 8 pagi waktu tempatan, kata seorang pegawai di unit polis trafik lebuh kepada AFP.

"Kita tidak tahu dengan tepat berapa banyak kenderaan yang terbakar," katanya melalui telefon.

Rakaman NHK dari dalam terowong itu menunjukkan sebuah ambulans putih dan beberapa anggota bomba memakai pakaian perlindungan, berada di seksyen yang diselubungi asap putih. Juga kelihatana beberapa buah kereta dengan lampu berkelip.

Seorang wanita 28 tahun dibawa ke hospital oleh ambulans selepas dia muncul dari terowong sepanjang 4.3km, kata pegawai polis trafik.

NHK berkata dua wanita lain turut diselamatkan dari dalam terowong dan tahap kecederaan mereka tidak diketahui.

Seorang wartawan NHK berkata dia secara kebetulan memandu melalui terowong tersebut dalam perjalanan ke Tokyo apabila ia mula runtuh.

"Saya berjaya memandu melalui terowong itu tetapi kenderaan lain nampaknya telah terperangkap," katanya. "Asap hitam keluar dan seolah-olah ada kebakaran di dalam terowong."

Asap tebal di dalam terowong telah menghalang usaha pasukan penyelamat untuk sampai ke tempat kejadian, kira-kira 2km dari pintu keluar ke Tokyo, kata seorang pegawai jabatan bomba tempatan. AFP

7 juta pengguna telefon pintar M'sia diancam penggodam siber

18 Muharram 1433H. [MOD] -


Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber yang menjadikan ia instrumen dalam kegiatan penggodaman untuk menipu bagi mendapatkan wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kurangnya kesedaran terhadap risiko keselamatan telefon pintar menjadikan pengguna ini mudah disasarkan sebagai mangsa.
    
"Modus operandi antaranya dijalankan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dikenali sebagai 'SMS Trojan' kepada pengguna yang tanpa disedari kos dikenakan ke atas pengguna dengan hanya membalas sms berkenaan. Pengguna hanya menyedari perkara itu apabila mereka menerima bil telefon yang tinggi sedangkan mereka tidak menggunakannya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, kegiatan itu juga dikesan dengan menipu menerusi aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalam peranti (telefon bimbit) sebagai contoh aplikasi 'Type-On' yang sekiranya dimuat turun akan menyebabkan pengguna menanggung kos yang kononnya dikenakan selepas memuat turun aplikasi tersebut walaupun mangsanya telah menghentikan aplikasi berkenaan.
    
'Lookout Mobile Security' yang dipetik dari agensi berita luar negara, AFP, menganggarkan pengguna di seluruh dunia mengalami kerugian jutaan dolar pada tahun lepas melalui virus 'malware' dan 'toll fraud' yang menyerang pengguna telefon pintar kerana mendapatkan aplikasi daripada sumber tidak rasmi berbanding sumber yang dipercayai seperti Apple atau Google 'online shops'.
    
Syed Ismail berkata, berdasarkan statistik polis, kerugian yang direkodkan dalam tempoh Jan hingga Sept tahun ini bagi jenayah siber yang menggunakan modus operandi melalui SMS atau panggilan telefon, perbankan internet atau perbankan telefon, penggodaman dan salah guna rangkaian termasuk belian barangan adalah kira-kira RM21.8 juta.

Katanya, kes belian barangan melalui internet mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM14.5 juta bagi 1,298 kes diikuti SMS atau panggilan telefon sebanyak RM3.4 juta (412 kes), 24 kes penggodaman (RM3.3 juta) perbankan internet atau perbankan telefon sebanyak RM590,000 (74 kes ).
    
"Bagaimanapun bagi kes salah guna rangkaian tidak merekodkan sebarang kerugian memandangkan ia tidak melibatkan kerugian harta benda tetapi ia lebih kepada jenayah peras ugut terhadap mangsa seperti menggunakan gambar dan kata-kata mengugut. Ia mencatatkan sebanyak 25 kes," katanya.
    
Syed Ismail berkata, selain daripada tujuh juta pengguna telefon pintar, pengguna internet mudah-alih berjumlah 7.7 juta pengguna di Malaysia.
    
Katanya polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut dan bekerjasama rapat dengan agensi itu.

Justeru Syed Ismail berkata berdasarkan laporan yang pernah diterima, pengguna yang mendapati bil telefon mereka melambung tinggi tanpa sebab munasabah dengan penggunaannya hanya akan melaporkannya kepada syarikat telekomunikasi sekadar untuk membuat aduan dan mendapatkan penjelasan mengenainya tanpa membuat tindakan susulan.

"Dalam perkara ini, mereka juga boleh menyalurkan aduan mereka kepada SKMM sebelum tindakan sewajarnya diambil seperti mengenakan kompaun kepada syarikat telekomunikasi sekiranya didapati syarikat berkenaan mengenakan kadar bayaran tanpa alasan yang munasabah. 
    
"Melalui langkah ini juga mungkin dapat mengesan kewujudan kegiatan penipuan oleh penjenayah siber terhadap pengguna telefon pintar," katanya. 
    
Dalam aspek penguatkuasaan, Syed Ismail berkata pihaknya berusaha untuk melengkapkan polis dengan kemahiran Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan berkongsi maklumat antara agensi lain, sama ada dalam mahupun luar negara.
    
"Seiring dengan perkembangan jenayah siber semasa, penambahbaikan dari segi peralatan dan teknologi khas seperti perkakasan dan perisian harus sentiasa dikemaskini dalam memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan," katanya.
    
Katanya, masyarakat sendiri harus mempunyai ilmu tentang tahap keselamatan telefon pintar mereka dan bagaimana untuk mencegah sekaligus mengurangkan risiko daripada menjadi sasaran penjenayah siber yang sentiasa bekerja 24 jam mencari
mangsanya.

- Bernama