02 Disember 2012

7 dipercayai hilang akibat terowong runtuh di Jepun

18 Muharram 1433H. [MOD] -


TOKYO: Sekurang-kurangnya tujuh orang dipercayai hilang selepas sebahagian daripada laluan terowong lebuh raya di barat Tokyo runtuh menyebabkan sejumlah kenderaan terperangkap sambil asap kelihatan akibat kebakaran di dalamnya sehingga menyukarkan anggota penyelamat mendekatinya. 

Rakaman video dari dalam terowong itu selepas kebakaran dipadamkan menunjukkan anggota bomba melalui sisa runtuhan bumbung simen yang menghempap kenderaan dalam Terowong Sasago kira-kiar 80 kilometer dari bandar raya ini. 


Bagaimanapun, akhbar tempatan melaporkan anggota penyelamat menangguhkan kerja menyelamat kerana bimbang satu lagi runtuhan di dalam terowong berkenaan. 


Seorang wanita yang terselamat selepas terperangkap dalam terowong sepanjang 4.3 kilometer itu memberitahu pihak berkuasa bahawa, beliau tidak pasti dengan keadaan lima orang yang berada dalam kenderaan sewanya. 

Dua lagi kenderaan dikatakan tertimbus akibat runtuhan terbabit dan tujuh orang dipercayai berada di dalamnya. 

Punca runtuhan kira-kira 100 meter dalam terowong itu sedang disiasat. - AP

Tiada ulasan: