20 Mac 2012

Pakatan Rakyat tidak akan sertai PSC Lynas

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji isu kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, menghangatkan Dewan Rakyat, pagi ini.

Selepas perbahasan itu, ahli parlimen pembangkang yang tidak sependapat dengan rakan BN mereka.

NONE
Mereka mendakwa, tindakan kerajaan menubuhkan PSC itu hanya cubaan menutup keburukan terhadap pusat nadir bumi milik syarikat Australia itu.

"Kami harap dapat ambil bahagian (dalam PSC), tetapi tiada makna...

"Kalaupun PSC isytihar ia berbahaya, pentadbiran BN akan memanipulasi situasi itu," kata Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sebelum itu, ketika perbahasan, Harakahdaily melaporkan Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mencelah hujah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek itu.

"Hari ini kita berbincang tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri bahawa penubuhan PSC adalah untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut.

NONE
“Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi, untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?" soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen BN dan Bebas cuba mengaitkan ketiadaan pakar nuklear daripada PAS, iaitu Dr Che' Rosli Che' Mat (PAS-Hulu Langat) di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya berdiam diri sehingga beberapa tempoh sebelum meminta wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

"Jika benar PAS ikhlas, saya cabar PAS mencalonkan Ahli Parlimen Hulu Langat untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan. Jika tidak disenaraikan, ianya dianggap sandiwara semata-mata," kata Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika berbahas.

Dalam pada itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mendakwa penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah, sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah.

NONE
Selain itu beliau meminta segala yang berkaitan projek itu di Gebeng, Kuantan dihentikan sehingga satu keputusan mengenai penubuhan PSC ini diputuskan.

Manakala, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), ketika berbahas melahirkan kekecewaan apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inilah kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya. Itupun melalui laporan New York Times," kata beliau.

Malaysiakini/-

P'raya telus: PSC Pakatan kesal dolak dalik SPR

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Penambahbaikan Sistem Pilihan raya Pakatan Rakyat kesal dengan sikap berdolak dalik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberi komitmen melaksanakan pilihan raya yang telus.

Melihat daripada maklum balas SPR dalam siri pertemuan sebelum ini, Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkataSPR seperti tidak berminat untuk melaksanakan penambahbaikan sistem pilihan raya negara.

Katanya, SPR masih berdegil dan enggan membersihkan daftar pemilih yang masih kotor selepas PRU-12 lalu.

"Sehingga kini kami berpendirian cadangan itu tidak dapat dilaksanakan SPR sepenuhnya. Daftar pemilih ini dibuat bagitu terancang," katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat akan mendapatkan pengesahan sekali lagi SPR dalam mesyuarat PSC yang akan berlangsung petang ini sama ada bersedia atau tidak.

Malah katanya, dalam kes 40,000 daftar pemilih yang meragukan sebelum ini SPR telah berjanji untuk mengeluarkan nama tersebut malangnya hingga kini masih gagal dilakukan.

"SPR buat keterangan palsu, tuntut supaya komitmen SPR dalam pertemuan terakhir petang ini sebelum SPR membuat keputusan muktamad," katanya.

Tambahnya, alasan SPR bahawa daftar pemilih yang diwartakan tidak boleh dirombak adalah alasan yang tidak konsistan.

"40,000! mereka bersedia untuk bersihkan, peruntukan mana yang dipakai?

"Di rumah mak saya di Klang Gate ada 10 nama, tetapi SPR boleh bersihkan," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, satu pertemuan mengejutkan apabila Mimos mendedahkan hampir 80,000 pengundi tidak ada alamat di seluruh negara.

"Misalnya di Johor Bharu, lokaliti Desa Melayu Majidi tanpa ada alamat khusus mempunyai 127 pengundi. Di Selangor Parlimen Kota Raja, lokaliti di Batu 7 Jalan Kebun mempunyai 639 pengundi," katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat menuntut agar SPR perlu bertindak sekiranya tidak, PSC yang ditubuhkan tidak memberikan apa-apa makna kerana objektif penambahbaikan tidak tercapai.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, jumlah pengundian awal telah bertambah 100,000 di mana menjadikan seramai 240,000 termasuk anggota keselamatan.

Penambahan itu, katanya adalah pengundi baru termasuk kakitangan SPR yang mengendalikan pilihan raya di seluruh negara.

"Jika 100 ribu kakitangan SPR tidak melakukan pengundian awal kemungkinan mereka akan mengundi pada hari pengundian, di sini berlaku ketidakadilan," katanya.

Justeru katanya, jawatankuasa penambahbaikan tidak memberi apa-apa makna jika sikap SPR tidak menyatakan spesifik kenapa mereka tidak boleh membersihkan daftar pemilih dan keraguan pengundian awal.

Mereka bertiga berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Pembangkang, Parlimen sebelum sesi mesyuarat PSC berlangsung petang ini.

HARAKAHDAILY/-

Ahli perniagaan buat eksperimen najis panda

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AN YANSHI yang memakai kostum kepala beruang panda menolak najis haiwan itu dari sebuah lori di ladang teh miliknya di Ya'an pada Sabtu lalu.

YA'AN - Seorang ahli perniagaan, An Yanshi menggunakan najis beruang panda sebagai baja untuk ladang teh miliknya di sini.

Dia menjadikan baja itu sebagai bahan eksperimen untuk membesarkan pokok teh hijaunya.

Ahli perniagaan itu juga akan menjual satu cawan teh hijau yang dibaja dengan najis tersebut pada harga AS$200 (RM611.43).

Yanshi memperoleh bekalan najis tersebut dari sebuah pusat pembiakan haiwan itu yang terletak berhampiran ladangnya. - Reuters

Dewan kecoh: Pakatan persoal PSC Lynas

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji kes Lynas menghangatkan Dewan Rakyat, pagi ini.

Ia bermula apabila berlaku percanggahan pendapat di antara ahli parlimen kerajaan dan Pakatan Rakyat yang masing-masing mempertahankan hujah mereka.

Dr. Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) ketika mencelah hujah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC ini memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal Pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek Lynas.

"Hari ini kita berbincang tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri bahawa penubuhan PSC ini untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut. Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi, untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?" soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen BN dan Bebas cuba mengaitkan ketiadaan pakar nuklear daripada PAS, iaitu Dr. Che' Rosli Che' Mat (PAS-Hulu Langat) di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya berdiam diri sehingga beberapa tempoh sebelum meminta wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

"Jika benar PAS ikhlas, saya cabar PAS mencalonkan Ahli Parlimen Hulu Langat untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan. Jika tidak disenaraikan, ianya dianggap sandiwara semata-mata," tegas Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika berbahas.

Dalam pada itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mendakwa penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah, sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah.

Selain itu beliau meminta segala yang berkaitan projek itu di Gebeng, Kuantan dihentikan sehingga satu keputusan mengenai penubuhan PSC ini diputuskan.

Manakala, Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), ketika berbahas melahirkan kekecewaan apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inilah kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya. Itupun melalui laporan New York Times," kata beliau.

Sambil menegaskan projek berkenaan dibimbangi mendatangkan kesan dari sudut kesihatan, Dzulkefly berkata sedangkan oksigen sendiri jika berlebihan akan memberi kesan langsung kepada kerosakan retina yang boleh mencacatkan penglihatan, inikan pula bahan radioaktif yang menjadi soal pokok isu ini.

Sementara itu, di luar dewan ketika ditemui pemberita, Dzulkefly dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) 'disapa' James Dawos Mamit (BN-Mambong) yang mengajak mereka berbincang secara bersemuka tentang isu tersebut dengan nada emosi.

Biarpun beberapa kali ditenangkan Fuziah dan Dzulkefly, tindakan James yang menuding jari ke arah Dzulkefly menyebabkan pakar toksikologi itu menghentikan kenyataan kepada pemberita dan meminta James bertenang.

Sambil mengiringi James ke kereta, Dzulkefly terus bersoaljawab dengan James sambil diperhatikan petugas media dan parlimen.

Ketika ditanya perasaannya apabila dilakukan sedemikian, Dzulkefly berkata beliau tidak mengambil serius tentang perkara tersebut kerana beranggapan semua orang beremosi apabila berbicara tentang isu Lynas tersebut.

Keputusan mengenai penubuhan jawatankuasa terpilih itu akan disambung pada 2.30 petang ini dengan menteri menjawab segala perkara yang dibangkitkan.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengemukakan usul berkenaan penubuhan PSC, di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Turut menyertai perbahasan tersebut ialah Hamim Samuri (BN-Ledang), Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), Datuk Haron Idris (BN-Tangga Batu), Charles Santiago (DAP-Klang), Datuk Ismail Muttalib (BN-Maran), dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam).

harakahdaily/-

Mukjizat AlQuran: AL-QURAN MERUNGKAI CARA MENGESAN PEMBOHONGAN

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Subhanallah, sangat luar biasa. Itu sahaja yang dapat saya ungkapkan selepas mendapat tahu hal ini. Siapa sangka pada waktu seribu tahun++ dahulu tanpa teknologi canggih, Al-Quran telah membongkar cara bagiamana mengesan pembohongan melalui ayat yang sangat pendek tapi memberi makna yang sangat jelas.

Sebelum saya paparkan apakah ayat tersebut, ingin saya kongsikan bersama anda tentang suatu kaedah yang digunakan pada masa kini untuk mengesan pembohongan. Kaedah tersebut menggunakan pengimejan ke atas otak melalui getaran magnetic atau lebih dikenali sebagai fMRI. Kaedah tersebut dapat mengesan gerak balas yang berlaku ketika otak sedang melakukan penipuan. Bukan itu sahaja, melalui kaedah ini alat mengesan pembohongan dapat diwujudkan.

Terdapat banyak kawasan unik dalam otak yang terlibat dalam penipuan dan percakapan benar yang boleh dikesan melalui kaedah fMRI. Ujikaji Ke atas Ubun-Ubun Otak Manusia. Fakta mengesahkan, dalam otak seorang yang sedang melakukan pembohongan terdapat tujuh kawasan yang aktif tetapi dalam otak orang yang bercakap benar, terdapat hanya 4 kawasan yang aktif. Mengapa hal ini berlaku?. Bagi melakukan pembohongan, otak perlu berusaha lebih keras lagi bagi mengaktifkan kawasan-kawasan yang bergerak balas dalam otak untuk menjana idea-idea dusta berbanding dengan bercakap benar.

Ketika proses pendustaan sedang berlaku, bahagian hadapan otak yang mana terletaknya kawasan ubun-ubun akan bertindak balas yang melalui bahagian medial inferior, pre-central area, hippocampus, temporal tengah dan juga kawasan limbic. Begitu juga ketika bercakap benar, terdapat juga aktiviti di bahagian otak hadapan iaitu temporal lobe dan cigulate gyrus. Ubun-ubun yang Menipu Menurut Al-Quran

Sekarang adalah masanya untuk saya kongsikan keajaiban Al-quran bersama anda. Kajian demi kajian dilakukan dengan susah payah sedangkan dalam Al-Quran telah membuktikan hal ini. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Alaq ayat 15, 16

Ketahuilah, sesungguhnya jika dia tidak berhenti(berbuat demikian) Nescaya Kami tarik ubun-ubunnya (iaitu)ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.

Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut tentang ayat di atas, saya mohon saudara sudari pembaca mengambil kitab tafsir Al-quran dan rujuk pada ayat yang saya paparkan di atas. Jika saudara melihat ayat tersebut, perkataan (Nasiya) bermaksud ubun-ubun.

Menurut kitab tafsir Ibn Kathir(ubun-ubun yang berdusta) yang dipaparkan dalam ayat tersebut bermaksud, ubun-ubun Abu Jahal menipu dalam percakapan dan perbuatan. Dalam konteks otak, bahagian yang dinamakan sebagai frontel lobe adalah ubun-ubun. Melalui ubun-ubunlah, suatu kebenran atau pembohongan dapat dikenalpasti.

Subhanallah, apa lagi yang boleh kita katakan selain Al-Quran sememangnya diturunkan sebagai panduan kepada seluruh Umat manusia. Berimanlah dengannya dengan sebenar-benar Iman. Insya Allah

Sumber: Muhammad Hidayat Bin Kadersa Merican

Doa keluarga iringi Suhaila ke Dubai

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEPANG – Suasana hiba mengiringi Nur Suhaila Tukijan dan ibunya, Hanita Mohd Tahir apabila keluarga dan sanak saudara turut hadir untuk memberi sokongan kepada mereka yang berlepas ke Dubai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang tadi.

Tiba masanya untuk Nur Suhaila, menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah bagi merawat penyakit ‘Congenital Disorder’ yang dideritainya sejak tiga tahun lalu.

Bagi keluarga Nur Suhaila, mereka memanjatkan doa kepada Maha Pencipta tanpa henti, semoga pembedahan Khamis ini, berjalan lancar tanpa komplikasi.

Nenek Nur Suhaila, Jaharah Said, 64, bersyukur, dugaan Ilahi pada mulanya bagi mengumpul dana membiayai rawatan pembedahan, dapat disediakan hasil keprihatinan dan sumbangan orang ramai.

Dia yang tiba dari Jasin Melaka bersama suaminya, Mohd Tahir Kasim, 68, berterima kasih kepada pelbagai pihak atas doa, kata-kata semangat dan dana bagi cucu kesayangannya menjalani pembedahan.

Saat berangkat pergi, wajah-wajah kesayangan ditatap dan dipeluk erat oleh Hanita dan Nur Suhaila, ke balai perlepasan bagi menaiki penerbangan Emirates, jam 7.30 malam.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai World Central-Al Maktoum jam, 10.30 malam waktu tempatan dan difahamkan ketibaan mereka disambut oleh rakyat Malaysia di sana.

Bagi Hanita, berat kakinya untuk melangkah meninggalkan dua lagi cahaya matanya, namun dirinya perlu menguatkan semangat untuk meninggalkan mereka sementara bagi menemani Nur Suhaila yang lebih memerlukan sokongan moral dan kasih sayangnya.

Bagai mengerti tanggungjawab yang perlu digalas, Nur Shahira Tukijan, 17 anak sulung pasangan Tukijan Abdul Hamid, 46 dan Hanita, akan menjaga adiknya, Mohd Akmal Tukijan,11 dan redha dengan perpisahan sementara itu demi kelangsungan kesihatan adiknya walau mereka tidak pernah berpisah lama.

“Adik dan ibu pergi lama... terlalu lama bagi saya walaupun 10 hari,” luahnya.

Dijangka berada di sana selama 10 hari, perjalanan lebih tujuh jam ke Dubai, hanya dengan satu matlamat supaya Nur Suhaila selamat menjalani pembedahan dan hidupnya kembali ceria seperti dahulu.

Keprihatinan banyak pihak dan individu menyumbang ke Tabung Nur Suhaila juga merealisasikan hasrat Nur Suhaila yang selama ini menderita akibat rahim yang gagal berfungsi, yang dihidapi hanya 180 orang sahaja di dunia.

Yakin dengan kepakaran pakar di hospital itu, Hanita berharap segalanya berjalan lancar dan tiada komplikasi seperti mana kejayaan hospital terbabit merawat kanak-kanak Sudan berumur 13 tahun, sebelum ini.

Sebagai ibu, impiannya hanya mahu Nur Suhaila segera sembuh, kembali ceria dan aktif seperti dahulu.

“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, walau pada mulanya terasa besar sungguh dugaan ini, Allah mempermudahkan urusan ini. Terima kasih kepada semua pihak, organisasi, orang ramai yang menyumbang ke Tabung Nur Suhaila.

“Tidak lupa juga kepada rakyat Malaysia di Dubai, pakar-pakar perubatan Hospital Universiti Sharjah dan Sinar Harian yang merealisasikan harapan ini,” katanya.

Menurut Hanita, beliau dimaklumkan bahawa Nur Suhaila perlu menjalani rawatan susulan selepas ini di hospital yang sama, sebulan selepas pembedahan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Nur Suhaila perlu mendapatkan rawatan susulan di sana, selepas dibedah,” katanya.

Kemungkinan, Hanita akan menetap lebih lama daripada tempoh dijangkakan, melihat kepada kondisi Nur Suhaila selepas pembedahan.

Kisah Nur Suhaila, dilaporkan Sinar Harian 22 Februari lalu, memerlukan RM60,000 bagi kos rawatan pembedahan di Dubai. Nur Suhaila, mempunyai dua buah rahim dan salah satunya tidak berfungsi, dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam itu hanya mempunyai satu buah pinggang.

Selepas liputan tersebut, Tabung Nur Suhaila mendapat perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tersentuh hati dan prihatin akan nasibnya. Sehingga saat Nur Suhaila berlepas ke Dubai, dana masih lagi diterima hasil sumbangan orang ramai.

sinar harian/-

Anwar saman Utusan, tuntut gantirugi RM100 juta

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

(Laporan muka depan Utusan hari ini)

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ekoran laporan bahawa beliau adalah biseksual, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam notis itu, Anwar menuntut Utusan Melayu(Malaysia) Bhd yang memiliki Utusan Malaysia dan pengarangnya menarik balik berita itu, memohon maaf dan membayar RM100 juta sebagai ganti rugi.

Notis tuntutan yang sama juga dihantar kepada Datuk S. Nallakarupan yang laporkan sebagai sumber berita Utusan itu.

Perkara ini dimaklumkan oleh N Surendran, Naib Presiden PKR dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan dalam laporannya di muka depan hari ini mendakwa, Anwar sebagai biseksual dan tidak boleh menjadi ketua pembangkang.

Bagi Surendran, dakwaan ini palsu sama sekali, mempunyai tujuan politik dan satu laporan yang bersifat politik longkang.

"Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab sepenuhnya atas dakwan jahat oleh akhbar Umno ini," kata Surendran.

Najib sepatutnya menerima tawaran untuk berdebat dengan Anwar tentang polisi dan ekonomi negara tetapi Najib memilih laporan yang paling hina melalui Utusan, kata beliau yang juga seorang peguam.

harakahdaily/-

China Naikkan Harga Diesel & Minyak 600 Yuan

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEIJING: China telah menaikkan harga diesel dan minyak sebanyak 600 yuan (US$94.90) setan tan metrik berkuatkuasa Selasa, demikian diumumkan Suruhanjaya Pembangunan dan Pemulihan Negaranya, Selasa.

Harga diesel meningkat kepada 9,130 yuan (US$1,445.20) setan metrik manakala harga purata minyak meningkat kepada 9,980 yuan (US$1,579.70) setan metrik.

Suruhanjaya itu berkata kenaikan harga itu dibandingkan dengan harga minyak mentah Brent (satu klasifikasi dagangan utama minyak mentah "sweet light"), minyak mentah Dubai dan Cinta, yang meningkat lebih 10 peratus sejak 22 hari bekerja yang lepas.

Kenaikan harga itu berkuatkuasa sebelum tempoh penggunaan kemuncak musim bunga bagi menghalang terlebih penggunaan produk petroleum, menggalakkan pemuliharaan tenaga dan sekali gus menjamin bekalan, katanya.

China, pengguna minyak kedua terbesar di dunia, telah menaikkan harga bahan api bagi pertama kali tahun ini sebanyak 300 yuan setan metrik pada 8 Feb. - BERNAMA

Cermin Kereta Shamsubaharin Retak Di Tempat Letak Kereta SPRM

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SPRM jamin baiki cermin kereta bekas perunding NFCorp

PUTRAJAYA -- Cermin belakang di bahagian tempat duduk penumpang sebuah kereta milik bekas juruperunding National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Shamsubahrin Ismail yang diparkir di pekarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, ditemui retak.

Shamsubahrin yang dipanggil sebagai saksi ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan terkejut apabila dimaklumkan pemandunya bahawa satu daripada tiga kenderaan iatu Mitsubishi ASX miliknya yang disita SPRM, ketika ditahan pada bulan Disember lalu, telah retak.

Dua lagi kereta iaitu Mitsubishi jenis Triton dan Grandis dalam keadaan baik. Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali memberi jaminan bahawa SPRM akan memperbaiki cermin kereta itu. Beliau berkata pihaknya menyedari kejadian itu lebih awal dan satu laporan polis dibuat pada 16 Jan di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya.

Katanya kereta yang disita itu diparkir di tempat letak kereta dan satu kerja memotong rumput yang dilakukan mungkin telah menyebabkan batu melantun ke cermin kereta menyebabkan cermin kereta retak.

"Tiada unsur khianat kerana pada tarikh itu memang ada pemotong rumput. Kita akan memperbaiki kereta itu kerana (kejadian berlaku) semasa dalam penyimpanan kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Rogol: Perlu penyelesaian cara Islam

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Sebanyak 24,635 kes rogol direkodkan di seluruh negara bagi tahun 2003 hingga 2011.

Demikian dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara bertulis kepada soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria (gambar) di Dewan Rakyat.

Pada 2003, jenayah rogol mencatat 1,479 kes, 2004 (1,765), 2005 (1,931), 2006 (2,431), 2007 (2,098), 2008 (3,409), 2009 (3,626), 2010 (3,595) dan 2011 (3,301).

Mengulas statistik tersebut, Nasir berkata, melihat kepada jumlah kes yang semakin meningkat dari setahun ke setahun, ternyata umat Islam memerlukan undang-undang yang lebih berkesan bangi menanganinya.

Maka katanya, sangat wajar jika undang-undang syariah dilaksanakan kerana ianya bukan sahaja sekadar untuk menghukum dan mendenda penjenayah, tetapi untuk mendidik dan mencegah mereka dan masyarakat daripada melakukan jenayah.

"Tahun lalu saya ada mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman tentang memperkasakan undang-undang jenayah Islam apabila statistik jenayah pada 2008 adalah sebanyak 211 kes.

"Tapi beliau hanya menjawab kerajaan akan mengekalkan undang-undang yang sedia ada," katanya.

harakahdaily/-

Gempar: Gadis diculik, kanak-kanak dibunuh

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak serta gadis Malaysia baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, kejadian culik dan bunuh Nurul Nadirah Abdullah baru-baru ini serta kes culik seorang gadis Malaysia berusia 14 tahun yang cuba dibawa lari ke Thailand untuk dijadikan pelacur sememangnya amat menggemparkan negara.

Katanya, kejadian yang menimpa gadis itu menunjukkan seriusnya isu jenayah culik di negara ini.

“Ia menimbulkan keresahan dan kebimbangan bahawa kadar keselamatan rakyat di negara ini berada dalam keadaan bahaya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, nyawa dan maruah anak-anak gadis malah sesiapa sahaja boleh melayang kerana adanya sindiket yang berleluasa.

Tambahnya, apa yang berlaku ke atas gadis tersebut menimbulkan suatu persepsi bahawa jenayah yang berlaku di negara ini hampir sama dengan jenayah di negara-negara yang mempunyai kumpulan ‘gangster’ dan mafia terbesar di dunia.

“Kumpulan mafia ini mampu membunuh sesiapa sahaja yang menggugat gerakan mereka termasuk melakukan aktiviti penculikan, pelacuran dan pembunuhan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya DPPM mempersoalkan mengapa kejadian itu boleh berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Apakah ini menunjukkan kegagalan penerapan nilai agama oleh kerajaan sehingga gagal mendidik generasi yang bertaqwa dan patuh kepada perintah agama?

“Mungkinkah juga ia berpunca dari lemahnya sistem keselamatan negara ini sehinggakan penjenayah dari negara asing dengan mudah meloloskan diri dan melakukan jenayah sepuas hati di negara ini serta mampu menyeludup keluar rakyat negara ini keluar negara tanpa dikesan?” soalnya.

Dengan kejadian itu, ujar beliau DPPM mendesak kerajaan agar mengetatkan kawalan di sempadan negara ini bagi mengelakkan rakyat asing masuk ke negara ini sewenang-wenangnya serta rakyat negara ini dibawa lari keluar negara.

Selain itu, ujarnya lagi kerajaan perlu mengkaji balik dasar mengambil warga asing sebagai pekerja di negara ini.

Menurutnya, dengan jumlah pekerja asing yang begini ramai di negara ini, tidak mustahil lebih banyak jenayah akan berlaku.

“Pekerja asing yang membanjiri negara juga berjaya menukar landskap sesebuah kawasan dan bandar di negara ini seolah-olah menjadi hak milik mereka sehingga menimbulkan ketakutan warga tempatan,” katanya.

Mereka juga, tambah beliau membawa masuk pengaruh budaya mereka sehingga merosakkan budaya masyarakat negara ini.

Oleh itu, kata Riduan DPPM menuntut agar kawalan keselamatan di dalam negara ini dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Pihak keselamatan perlu melakukan rondaan dan pemantauan yang kerap serta menambah bilangan pasukan keselamatan di merata tempat dalam negara ini bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat di negara ini berharap tidak ada lagi kes penculikan kanak-kanak dan gadis tempatan untuk dijadikan mangsa sindiket pelacuran negara lain.

harakahdaily/-

Kerajaan ditipu, diperbodoh AirAsia - MP BN

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ditipu, diperbodoh dan dipermainkan dalam penggabungan MAS-AirAsia.

"Rupa-rupanya kolaborasi ini telah dimanipulasikan oleh AirAsia itu sendiri," dakwa beliau dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menuduh AirAsia memanipulasi penggabungan itu apabila melantik salah seorang pengasas bersama serta ahli lembaga pengarah penerbangan harga rendah itu, Conor McCarthy, sebagai pengarah urusan MAS selepas berlakunya penggabungan itu.

Bung Moktar juga menuduh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar sebagai "master mind".

"Ini bermakna kerajaan telah ditipu oleh AirAsia - diperbodohkan, dipermainkan melalui Khazanah.

"Oleh sebab itu saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat Ahli Lembaga Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar ini – dia master mind! Dia yang merugikan duit kerajaan, duit rakyat. Kenapa tidak disiasat?" dakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Selain Azman, Bung Moktar juga menuntut supaya disiasat Pengarah Komersil Interim MAS, Shane Nolan; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAS, Rozman Omar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejuruteraan Aerospace MAS, Azhari Mohd Dahlan dan Ketua Komunikasi Strategik MAS, Nor Zalida Ahmad.

Rozman, Azhari dan Nor Zalida kesemuanya dari AirAsia. Nor Zalida pernah dilaporkan sebagai anak saudara kepada Timbalan CEO AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Sama seperti McCarthy, Nolan adalah dari PlaneConsult, iaitu konsultan AirAsia.

Bung Moktar juga mendakwa, MAS mengalami kerugian sebesar RM2 bilion berikutan penggabungan dengan AirAsia itu.

"Saya cukup sedih bagaimana kolaborasi ini apabila MAS rugi dekat RM2 bilion tetapi AirAsia pula untung RM500 juta!" dakwa beliau.

Beliau meminta penggabungan itu dibatalkan serta-merta.

"Saya mahu mintalah kerajaan agar batalkan kolaborasi ini dengan serta-merta sebab MAS menanggung banyak kerugian daripada kesilapan demi kesilapan dan kesilapan inilah yang akan memusnahkan harapan rakyat," katanya.

Beliau juga menuntut Azman diundurkan dari Khazanah.

"Dia yang menjadi dalang yang menghancurkan. Khazanah membuat investment di sana sini dan bukan semua investment menguntungkan, banyak yang rugi. Rugi kerajaan yang tanggung.

"Untung dia kaya raya. Dia dapat bonus. Gaji tidak tahu berapa puluh juta, berapa puluh ribu, elaun dan sebagainya," dakwa Bung Moktar.

Tidak diketahui adakah Azman membuat keputusan bersendirian tanpa restu dan persetujuan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

harakahdaily/-

15 maut dalam kemalangan kereta api dan van di Uttar Pradesh

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NEW DELHI - Lima belas orang maut manakala dua parah apabila sebuah kereta api merempuh sebuah van di lintasan landasan yang tidak berpengawal di Hathras, Uttar Pradesh, sebuah negeri di bahagian utara India.

Kemalangan pada pukul 7.29 pagi ini berhampiran stesen kereta api Madu itu membabitkan kereta api Mathura-Kasganj Express dan van yang membawa 17 penumpang.

Times of India memetik supritenden polis Chandra Prakash sebagai berkata, kesemua mangsa mati di tempat kejadian manakala dua yang cedera parah kini dirawat di sebuah hospital. - Bernama

Kereta bertembung bas

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Puluhan penumpang sebuah bas henti-henti cemas apabila bas mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson, berdekatan Batu 5, di sini petang kelmarin.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Iswara maut itu di tempat kejadian, manakala dua penumpang bas cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini sebagai pesakit luar.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dikatakan membawa 25 penumpang dalam perjalanan ke arah Seremban.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas dan bertembung dengan bas berkenaan.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan, P.Teyaho, 45, dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya di Bandar Springhill, Port Dickson.

“Sejurus tiba di sebuah selekoh, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum berpusing. Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit selama hampir 30 minit di dalam kereta, bagaimanapun disahkan mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mayat Teyaho dibawa ke HTJ, di sini untuk bedah siasat.

Menurut jurucakap, bas terbabit terbabas ke bahu jalan sehingga mengakibatkan dua penumpang wanita berusia 20-an dan 50-an cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di HTJ.

“Pemandu bas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa, R Sharmini, 27, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kematian Teyaho.

“Saya sempat berjumpa dengan dia kira-kira 4.30 petang di Rahang. Waktu itu, saya tidak nampak perubahan pelik mengenai mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Mayat HTJ, semalam.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

sinar harian/-

Lelaki Bosnia ini sanggup berjalan kaki ke Mekkah untuk menunaikan Haji

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Demi memenuhi salah satu rukun Islam yang ke lima . Seorang lelaki Bosnia telah memulakan perjalanan untuk menunaikan haji dan mempersiapkan diri untuk menyeberang ribuan batu dengan berjalan kaki. Laporan daripada The Muslim Village portal pada Khamis Mac 15 yang lalu.

“Jujur saja sebelum saya memulakan perjalanan ini semua orang bimbang terhadap saya menanyakan bagaimana saya, sebagai seorang Muslim boleh memulakan perjalanan meskipun melalui negara-negara Kristian seperti Serbia dan Bulgaria” kata Senad Hadzic 47 tahun.

Bercita-cita untuk melakukan haji iaitu pada akhir Oktober nanti Hadzic akan berangkat untuk melakukan perjalanan panjangnya dari kampung halamannya di utara Bosnia pada Disember 2011.

Jaraknya kira-kira 3600 batu dari Bosnia ke Mekah dan ia akn menempuh di antara 12 hingga 20 batu setiap hari.

Dalam beg di belakangnya ia membawa mushaf Al-Qur’an dibungkus dalam plastik untuk melindunginya dari cuaca yang tak menentu.

Dia juga membawa peta dan bendera dari enam negara yang akan diseberanginya. Dia telah berjalan sejuah 600 batu setakat ini dan tentunya menghadapi bermacam-macam masalah.

Di Istanbul contohnya dia terkandas selama 20 hari dan berusaha untuk mendapatkan kebenaran untuk berjalan menyeberangi Jambatan Bosphorus yang menghubungkan Eropah ke Asia yang terbuka hanya untuk kenderaan.

Pada akhirnya berjaya ia memutuskan untuk meneruskan perjalanan menuju Makkah walaupun tanah Syria sedang bergolak.

“Saya akan memberitahu anda bahawa perjalanan ini telah mempunyai berjuta-juta masalah” kata Hadzic.

“Saya akan menjelaskannya kepada anda seperti ini: Insya Allah, saya akan masuk Asia hari ini, dan kemudian Syria. Dan saya tidak takut tank atau peluru, hanya Allah. Dan apabila saya boleh sampai ke Makkah dan saya akan berdoa untuk kita semua.”

Jutaan Muslim dari seluruh dunia berkumpul di Mekah setiap tahun untuk menunaikan haji, salah satu daripada lima rukun Islam. Setiap Muslim dewasa yang berbadan sihat dan yang secara kewangan mampu membayar perjalanan haji wajib melakukan tuntutan ini sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Setelah berjalan melalui pelbagai negara, Hadzic mendapat banyak pengalaman dan menerima banyak kebaikkan daripada banyak orang.

“Ada seorang tua bijaksana Turki muncul dan ketika ia tahu bahawa saya datang dari Bosnia ke Istanbul dengan berjalan kaki maka ingin memberika saya duit supaya saya naik di dalam pesawat dan terus ke Makkah untuk haji” kata Hadzic.

“Tapi saya saya menolaknya.” Musafir dengan bekalan duit yang sedikit, Hadzic mengatakan dia sangat menghargai pada kebaikan orang asing dalam perjalanan panjangnya.

“Di Serbia orang keluar di jalan dan memberi saya topi atau kaus kaki” kata Hadzic.

“Dalam satu cerita seorang profesor di Serbia mengundang saya untuk tinggal di rumahnya. Ini profesor Serbia yang beragama Kristian mengatakan kepada saya bahawa saya adalah muslim pertama yang melangkah di rumahnya dalam hidupnya. Ini adalah kehormatan besar bagi saya.”

Hadzic mengatakan ia harus melakukan perjalanan dengan berjalan kaki kerana Allah membantunya dalam mimpi melihat perjalanan ini sebagai manfaat untuk dirinya sendiri dan semua orang yang ditemuinya.

“Dengan Langkah ini saya membuktikan bahawa semua yang saya lakukan adalah kerana kasih saya kepada Allah” kata Hadzic.

“Demi apapun yang ada di dunia saya tidak akan menghentikan apa yang saya lakukan.” Meskipun belum setengan jalan namun banyak hal yang telah Hadzic pelajari.

“Pengalaman yang paling beharga yang saya dapat ialah, belajar erti ‘berterima kasih’ dan bersyukur dengan apa yang ada. Orang-orang miskin yang tinggal di luar bandar mencintai Allah dan menyokong saya dengan kemurahan hati” kata Hadzic.

Sumber

2 jururawat didakwa bunuh 16 pesakit

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MONTEVIDEO - Dua jururawat lelaki telah didakwa oleh mahkamah di Uruguay, kelmarin atas kesalahan membunuh sekurang-kurangnya 16 pesakit di Pusat Penjagaan Rapi Neurologi dan di sebuah hospital awam sepanjang 20 tahun mereka bertugas.

Tertuduh yang berumur 39 dan 46 tahun itu mengaku melakukan pembunuhan tersebut dan teman wanita salah seorang daripada mereka turut didakwa bersubahat.

Peguam bela kedua-dua tertuduh mendakwa tindakan anak guamnya itu dianggap sebagai pembunuhan belas kasihan terhadap pesakit yang dipercayai tiada harapan lagi untuk hidup.

sinar harian/-

Kadir Sheikh Fadzir Umum Keluar Umno

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

"Saya baru saja menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno, peletakan jawatan selaku ahli Umno akan berkuat kuasa hari ini (Isnin)," kata Abdul Kadir dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberitahu telah meletak jawatan selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu pada minggu lalu.

Kadir,73, menjadi ahli Umno sejak tahun 1956.

Beliau juga pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia selama 10 tahun dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno selama 24 tahun.

Jawatan-jawatan lain beliau dalam politik termasuklah ketua Pemuda Umno Negeri Kedah, setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri penuh.

Antara lain beliau pernah menjadi menteri penerangan dan menteri pelancongan Malaysia.

Buat masa ini beliau adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang diterajui oleh veteran-veteran politik termasuklah Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ong Tee Kiat, bekas presiden MCA.

Sejak akhir-akhir ini, Kadir sering kali mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai mengkritik Umno, termasuk mendakwa BN dan Umno membeli undi dan mengamalkan budaya politik wang.

Ekoran kenyataannya itu, pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta beliau meninggalkan parti jika tidak berpuas hati.

mStar/-

Orkestra buat persembahan unik

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SYDNEY - Sekumpulan anggota Orkestra Simfoni Sydney mengadakan konsert eksklusif sempena ulang tahun ke-80 pembinaan Jambatan Pelabuhan Sydney di sini semalam.

Digelar 'penyangkut baju' dalam kalangan penduduk tempatan, jambatan itu yang menghubungkan bahagian selatan dan utara Pelabuhan Sydney dibuka secara rasmi kepada lalu lintas pada 19 Mac 1932.

Projek membina struktur sepanjang 1,149 meter (m) itu mengambil masa lapan tahun dan turut meragut nyawa 16 pekerja.

Bagi meraikan ulang tahun ke-80 jambatan tersebut, 11 anggota orkestra itu yang turut memasuki usia 80 tahun pada tahun ini membuat persembahan di atas sebuah palang jambatan setinggi 134m itu.

"Mereka menyampaikan dua buah lagu termasuk lagu tema filem Chariots of Fire," kata seorang jurucakap orkestra berkenaan.

Menurut pihak penganjur, kumpulan penonton itu terdiri daripada tujuh 'wira jambatan' yang mempunyai hubungan istimewa dengan struktur tersebut.

Sebahagian mereka terdiri daripada keturunan jurutera jambatan tersebut, J.J.C Bradfield, anak saudara seorang lelaki yang memasang paku rivet pertama pada jambatan tersebut dan seorang wanita, Joan McDonald.

McDonald memiliki sijil kelahiran yang menyatakan dia dilahirkan di dalam sebuah ambulans di jambatan berkenaan.

Struktur berkenaan merupakan antara mercu tanda yang paling kerap diabadikan dalam gambar di bandar raya ini.

- AFP

Bom era Perang Dunia Kedua ditemui

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MARSEILLE - Kira-kira 1,000 penduduk di sekitar pelabuhan di Marseille, kelmarin diarah berpindah sementara berikutan penemuan secara tidak sengaja bom Perang Dunia Kedua seberat 907 kilogram (kg) pada minggu lalu.

Ia telah dibawa ke pangkalan tentera berhampiran untuk dimusnahkan.

Kerajaan tempatan melaporkan sistem pencucuh bom itu tidak lagi berfungsi tetapi bahan letupan seberat 650 kg yang terdapat di dalamnya didakwa amat berbahaya.

sinar harian/-

Syria terus dihujani peluru, bom

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Pasukan keselamatan Syria bertempur dengan kumpulan bersenjata di kawasan kejiranan golongan kelas atasan di daerah Mazzeh, barat Damsyik yang menempatkan kediaman kedutaan asing dan pegawai kanan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh.

Pusat kemudahan keselamatan di Damsyik turut menjadi sasaran baru serangan pengeboman sejak Sabtu lalu.

Menurut saksi, bandar itu terus dibedil dan dihujani peluru selepas pasukan keselamatan menyerbu apartmen yang kononnya menjadi tempat persembunyian pengganas bersenjata di Mazzeh.

Kerajaan berterusan menuduh pengganas asing sebagai dalang bertanggungjawab melancarkan beberapa siri pengeboman di Damsyik tetapi pihak pembangkang berkeras menyatakan ia adalah helah rejim presiden Bashar al-Assad sejak setahun lalu.

Kelmarin, tiga orang dilaporkan terkorban dan sekurang-kurangnya 25 lagi cedera dalam insiden pengeboman kereta di utara bandar Aleppo.

sinar harian/-

Si Manja seperti makhluk asing

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

WAJAH menakutkan kucing Don Sphynx dengan empat taring dan telinga runcing seperti tanduk.

BISHKEK (Kyrgyzstan): Dengan wajah seperti ini anda mungkin ingin bersembunyi di dalam rumah saja.

Rupa kucing Don Sphynx yang kelihatan seperti makhluk asing ET ataupun Gremlin menarik perhatian ratusan pengunjung dalam pameran kucing. Kucing dengan wajah menakutkan dalam foto ini yang seolah-olah mengalami hari malang dipamerkan di Bishkek, Kyrgyzstan hujung minggu lalu.

Kira-kira 100 haiwan dari Kazakhstan dan Kyrgyzstan mengambil bahagian dalam acara itu, memberikan peluang kepada pamiliknya untuk mempamerkan haiwan peliharaan mereka yang cantik mahupun pelik.

Anak kucing ini menarik perhatian dengan giginya yang berbentuk seperti empat taring dan lidah merah menyala. Dengan berkulit hitam berkedut ia menunjukkan matanya yang hijau kehitaman serta telinga runcing seperti tanduk. Kucing kacukan ini disifatkan sebagai manja, suka berkawan dan bermain, selain cerdik.

Kucing Don Sphynx tanpa bulu berasal dari Russia. Pembiakan pertama bermula pada 1987 di bandar raya Rostov-on-Don di Russia.

Profesor di Institut Pedagogi Negeri, Elena Kovaleva menemui beberapa kanak-kanak lelaki bermain bola sepak dengan sebuah beg. Di dalam beg itu ada seekor kucing yang ketakutan dibawanya pulang dan dipelihara, tetapi ia membesar kehilangan banyak bulu dan kemudian melahirkan anak kucing tanpa bulu. - DM

Jerman Siasat Suspek Yang Disyaki Menipu RM1.81 Bilion

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BERLIN: Pendakwa raya Jerman berkata, mereka sedang menyiasat seramai 12 orang yang disyaki terlibat dalam penipuan cukai dan penggubahan wang haram berjumlah 450 juta euro (RM1.81 bilion).

Jurucakap pendakwaan Frankfurt, Alexander Badle pada Isnin berkata, lebih 100 pegawai polis telah mencari di beberapa apartment dan pejabat, manakala dua suspek utama telah ditahan.

Mereka berkenaan, masing-masing berumur 51 dan 54 tahun namun identiti kedua-duanya tidak boleh didedahkan.

Badle berkata, mereka disyaki mengusahakan sebuah firma kewangan yang berpangkalan di Franfurt tetapi mendaftar di Cyprus bagi mengelak daripada membayar cukai ke atas “keuntungan” di Jerman.

Firma itu telah membeli dan menjual kepentingan dalam syarikat-syarikat lain. Badle enggan mengulas lanjut mengenainya.

Beliau berkata, tangkapan dibuat dalam serbuan pada minggu lalu namun perkara tersebut tidak didedahkan serta-merta. - AP

Khalid Samad : Rakyat Selangor Sedar Nasib Malang Jika Bawah Umno-BN

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Rasuah, kenaikan harga air dan pemesongan harta awam antara implikasi yang rakyat Selangor bakal terima jika Umno-BN kembali memerintah selepas pilihan raya yang akan datang.

Sambil mengatakan peluang untuk Umno-BN menakluk kembali Selangor adalah gelap, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad berkata rakyat kini bijak menilai dan tidak akan tertipu dengan kata-kata Umno-BN.

“Rakyat sedar jika peluang diberi kepada BN, maka berulanglah kembali amalan rasuah dan ketidaktelusan pentadbiran.

“Rakyat juga tahu implikasi yang bakal mereka terima dari segi kenaikan tarif air untuk menampung kerugian kroni BN iaitu Syabas.

“Rakyat juga secara keseluruhannya sedar jika BN kembali bertahta, maka segala harta milik rakyat akan difaraidkan kepada mereka sahaja,” jelas Khalid apabila dihubungi.

Khalid berkata demikian untuk menyangkal kenyataan terkini Pengerusi Umno-BN Datuk Seri Najib Razak yang gagasan itu yakin akan menakluk kembali pemerintahan Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah kerap kali membuat kenyataan seumpama itu di dalam lawatan mereka ke beberapa kawasan di dalam Selangor.

Khalid berkata peluang BN juga dilihat gelap memandangkan mereka kekurangan calon berkaliber untuk mencabar integriti cemerlang pimpinan Pakatan.

“Ini merupakan antara cabaran terbesar mereka kerana barisan kepimpinan negeri ini sekarang sememangnya sukar dicabar oleh barisan mereka.

“Tambah pula dengan prestasi Kerajaan Negeri yang bukan sahaja di tahap terbaik malah semakin dekat di hati setiap rakyat negeri ini,” ujar Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

selangorku/-

Gempa Bumi Sederhana Di Papua New Guinea

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi bermagnitud 5.7 melanda Papua New Guinea pada 9.42 malam Isnin.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini menyebut pusat gempa terletak 105 kilometer tenggara Wiwak, Papua New Guinea dan 2,990 kilometer tenggara Semporna, Sabah.

Bagaimanapun, ia tidak mendatangkan ancaman tsunami. - BERNAMA

Lima militan Bali ditembak

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Polis Indonesia kenal pasti kumpulan JI ketika cuba rompak sasaran

DENPASAR: Polis Indonesia menembak mati lima suspek militan di Bali tengah malam kelmarin ketika mereka mengenal pasti dan meninjau sasaran serangan, kata agensi menangani keganasan semalam.

Kumpulan itu dikaitkan dengan Jemaah Islamiah (JI), yang didakwa bertanggungjawab dalam pengeboman di Bali yang membunuh lebih 200 orang, kebanyakannya pelancong Australia, kata pegawai.

“Suspek militan itu mengenal pasti sasaran. Mereka sudah mempunyai beberapa sasaran di beberapa lokasi di Bali. Mereka sudah meninjau tempat itu,” kata ketua polis, Ansyaad Mbai.

Serangan di Bali pada 2002 detik permulaan Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia, berdepan ancaman kehadiran militan.

Polis berkata, suspek militan itu dalam persediaan melancarkan rompakan bersenjata untuk membiayai matlamat mereka, sebelum maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Kumpulan itu dikaitkan dengan satu kumpulan lain yang melakukan rompakan bank di Medan.
“Ia adalah kumpulan militan Islam, kumpulan serpihan JI yang mendirikan kem latihan di Aceh. Mereka cuba merompak kerana mahu mendapatkan wang meneruskan kegiatan mereka,” kata jurucakap polis, Saud Usman Nasution.

Kelima-lima mereka yang bersenjatakan dua raifal bercadang merompak biro mata wang asing dan kedai emas, kata polis.

“Malam kelmarin kami menumpaskan lima penjenayah yang merancang melakukan tindakan ganas dan merompak mata wang asing dan kedai emas di beberapa lokasi di Bali.

“Semua suspek mati selepas cuba melawan atau melepaskan tembakan ke arah polis,” kata jurucakap polis, Boy Rafli Amar.

Media Australia memetik seorang pegawai kanan polis sebagai berkata kemungkinan kumpulan itu merancang melancarkan serangan Khamis ini, menjelang hari Nyepi, menandakan kedatangan Tahun Baru Hindu di Bali.

Penduduk kepulauan itu secara tradisi mengadakan perarakan besar-besaran menjelang sambutan Nyepi, yang turut menarik kedatangan ramai pelancong, lapor Australian Associated Press.

Pembunuhan itu menyusul ketika bermulanya perbicaraan seorang lagi militan Islam yang dituduh membuat bom yang digunakan dalam serangan pada 2002 di kelab malam di Bali.

Umar Patek, yang ditangkap di bandar sama di mana tentera elit Amerika Syarikat membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan, juga dituduh mencampurkan kimia untuk menghasilkan 13 bom untuk meletupkan lima gereja di Jakarta menjelang sambutan Krismas pada 2000 yang mengorbankan 15 orang.

Pegawai keselamatan berkata, Umar adalah seorang anggota JI.

Sementara itu, akhbar Jakarta Post melaporkan mayat lima suspek itu diterbangkan ke Jakarta semalam untuk bedah siasat. – Reuters/Agensi

Adakah mahu had umur kenderaan di jalan raya?

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: PAS ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menentukan had umur kenderaan bermotor yang dibenarkan menggunakan jalan raya.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Husain (gambar) mengemukakan pertanyaan itu pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Berikut adalah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli Parlimen PAS, hari ini.

Tuan Muhammad bin Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menentukan had umur kenderaan bermotor yang dibenarkan menggunakan jalan raya.

Tuan Khalid bin Abdul Samad [Shah Alam] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan dari mana Kerajaan Pusat telah memperolehi pinjaman 'dalam negeri' dan berapakah jumlah yang diambil dari KWSP.

Tuan Mohd. Abdul Wahid bin Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sama ada kajian alam sekitar EIA (Enviromental Impact Assessment) dibuat terhadap projek ternakan udang i-SHARP oleh Syarikat Blue Archipelago di Setiu Terengganu yang menyebabkan dua kali berlaku banjir luar biasa di kawasan tersebut musim tengkujuh yang lalu.
Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan tentang perlaksanaan projek lebuh raya pantai barat:-
(a) kenapa berlaku peningkatan dari kos asal RM3.1 bilion kepada RM7.1 bilion; dan
(b) kenapa berlaku perubahan tempoh konsesi dari 33 tahun kepada 60 tahun.

Tuan Haji Nasharudin bin Mat Isa [Bachok] minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapakah sehingga hari ini Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masih menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perbicaraan.

Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah yang diambil pihak Kerajaan untuk membantu rakyat yang diisytihar bankrap apabila kebankrapan mereka disebabkan oleh pihak lain (contoh - rumah terbengkalai).

Adakah Kerajaan bercadang mewujudkan polisi baru untuk membezakan kebankrapan yang disebabkan oleh penganiayaan dan kezaliman (yang bankrap adalah mangsa) daripada kebankrapan yang disebabkan kecuaian atau keengganan membayar hutang.

Dato' Seri Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan rancangan masa hadapan pihak Kerajaan Malaysia tentang hubungan diplomatik dengan Iran setelah sekatan demi sekatan dilaksanakan termasuk yang terbaru sekatan mengimport petroleum dari Iran oleh negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan jumlah anak luar nikah di seluruh negara pada tahun 2007 hingga 2010 dan berapakah jumlah dalam jagaan di rumah kebajikan di seluruh negara.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah pengangguran siswazah-siswazah yang makin meningkat sekarang ini.

Harakah Daily

Pakatan Rakyat nafas baru masyarakat India

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Masyarakat India sedar bahawa kekuatan Pakatan Rakyat akan memberi nafas baru kepada mereka dalam pola sosioekonomi negara ini, kata V Sivakumar.

“Mereka tahu bahawa segala apa yang diberikan dan dijanjikan oleh Barisan Nasional hari ini adalah kerana kebijaksanaan mereka memangkah DAP, PAS dan PKR dalam pilihanraya umum yang lalu,” ujar Timbalan Pengerusi DAP Perak itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah hilang kepercayaan terhadap orang-orang Cina akan mengharapkan undi masyarakat India dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Menurutnya, Najib juga risau dengan pengundi-pengundi Melayu terutamanya golongan muda dan warga bandar, satu-satunya harapan Najib ialah undi masyarakat India.

Tambahnya, Najib sedar bahawa Barisan Nasional telah hilang sokongan masyarakat India dalam Pilihanraya Umum Ke-12 lalu.

Ini, ujarnya adalah kerana dasar Barisan Nasional yang menindas golongan minoriti ini dalam segala aspek.

Menurutnya lagi, pemimpin-pemimpin MIC juga tidak berani memperjuangkan hak masyarakat India semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan politik mereka.

“Masyarakat India yang tidak terbela itu telah menunjukkan kuasa politik mereka melalui peti undi,” ujarnya yang juga Adun Tronoh.

Justeru, katanya Najib cuba untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat India yang hilang dan mahu berbaik-baik dengan masyarakat India dengan memberi perhatian khusus kepada mereka.

Dengan itu, katanya lagi, pelbagai program dirancang dan dilaksanakan untuk mengambil hati orang-orang India di negara ini yang mana perayaan-perayaan mereka diberi tumpuan utama.

“Pemberian hamper dan hadiah telah berlambak dan berlipat ganda pada perayaan Deepavali tahun lalu, sambutan Pesta Ponggal berlanjutan selama 2 bulan sejak 15 Januari, mempamerkan wajah gergasi Najib di perkarangan kuil Batu Caves semasa sambutan Hari Thaipusam,” ujarnya.

Beliau berkata, semua itu membuktikan bahawa Najib amat terdesak untuk mendapat sokongan orang-orang India.

Sivakumar menambah, Najib merasakan bahawa pemberian seperti itu dan menyambut perayaan masyarakat India secara besar-besaran akan mempengaruhi masyarakat India.

“Beliau mengandaikan bahawa masyarakat India mudah ditipu dengan adengan-adengan seperti ini. Beliau juga membuat banyak program mesra rakyat khususnya untuk bertemu dengan masyarakat India seperti di Kapar dan Buntong baru-baru ini.

“Najib juga cuba memperdayakan masyarakat India dengan mengadakan program-program kesenian dan kebudayaan seperti konsert dengan mrmbawa artis-artis dari India dan tempatan yang popular,” katanya.
Persoalannya, kata beliau adakah masyarakat India di negara kita akan mempercayai gimik politik Najib itu.

Menurutnya, masyarakat India sedar bahawa mereka menjadi fokus Najib ketika ini dan peluang seperti itu tidak pernah dinikmati oleh masyarakat India sejak kemerdekaan.

“Inilah pertama kali dalam sejarah pilihanraya negara ini Barisan Nasional memberi perhatian utama kepada masyarakat India.

“Masyarakat India mahu mengambil peluang ini sebanyak yang mungkin. Mereka akan mengambil semua yang diberikan oleh Barisan Nasional yang tidak pernah mereka perolehi selama ini.

“Tetapi, masyarakat India akan membuat keputusan yang bijak dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti,” katanya.

Harakah Daily

Selangor penyumbang terbesar KDNK

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Tidak syak lagi, di bawah kepimpinan MB Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, agama Islam dapat terus dipertahankan di negeri itu di terngah-tengah usaha mengekalkannya sebagai negeri termaju.

Oleh itu, rakyat Selangor akan dapat terus menikmati kemakmuraan dengan penuh adil di negeri kaya ini di bawah Pakatan Rakyat. Dengan demikian tertolaklah segala fitnah dan tuduhan Umno/BN yang kini berusaha keras untuk merampasnya dalam PRU Ke-13 akan datang.

Kemajuan pesat Selangor ini telah ditegaskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Selangor kali Kedua belas baru-baru ini.

Baginda melahirkan rasa syukur kepada Allah, apabila Selangor berjaya mengekalkan status negeri maju di negara ini. Menurut baginda lagi, kejayaan ini adalah berkat usaha gigih kerajaan dan rakyat, dalam pada itu kerajaan negeri, perlu berusaha dan terus bertindak untuk mengagihkan hasil pembangunan dan limpah rezeki kepada rakyat secara adil.

Sultan Selangor turut menyatakan bahawa ekonomi Selangor terus merekodkan pertumbuhan positif tahun 2011 walaupun dengan persekitaran luar yang sangat mencabar.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri masih berjaya dicatat pada 5.9 peratus dibantu peningkatan dalam penggunaan domestik dan pelaburan swasta merangsang eksport output dan komoditi.

"Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dijangka seperti insentif cukai dan langkah liberalisasi untuk menarik pelaburan terutama sektor perkhidmatan," titah baginda.

Baginda turut bertitah, sebagai negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara dengan anggaran 22 peratus, Selangor perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing masuk ke dalam negeri.

Sidang Dewan Undangan Negeri itu berlangsung ketika PRU Ke-13 sedang hangat diperkatakan oleh semua pihak, malah ada yang menjangkakan akan berlangsung awal Jun ini, namun segala-galanya belum pasti.

Dengan kekayaannya yang ada, Selangor terbukti menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Negara, iaitu dengan anggaran 22 peratus. Ini bermakna Selangor dan rakyatnya menjadi pembayar cukai terbesar kepada negara.

Oleh itu pemimpin Umno/BN yang mengungkit bahawa rakyat di Selangor menerima paling banyak pemberian RM500 baru-baru ini sewajarnya melihat fakta sumbangan Selangor ini dengan rasional dan fikiran terbuka.

Tidak lama dulu, dalam pertemuan saya beserta Dinsman dan Bara Jiwa dari Seniman Paksi Rakyat dengan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim di pejabatnya, Menteri Besar itu optimis bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan dapat mengekalkan prestasinya, malah akan terus meningkatkannya.

Yang menjadi fokas percakapannya dengan kami ialah hasrat kerajaannya untuk mengagihkan kemakmuran Selangor ini kepada rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan agama. Ini kerana, katanya, keadilah menjadi paksi utama kesyumulan Islam.

Beliau telah melawat pelbagai tempat di seluruh Selangor, menyaksikan kehidupan pelbagai golongan masyarakat. Antaranya, beliau melawat dan menyaksikan kehidupan kawasan flet murah yang penuh sesak, kawasan pedalaman yang jauh di utara Selangor dan pelbagai lagi. Beliau mendengar secara langsung masalah rakyat dengan penuh pengertian dan simpati.

Sebagai tokoh ekonomi yang pernah menjadi tokoh korporat terkenal, Tan Sri Abd Khalid sangat berhati-hati dalam mengendalikan pengurusan kewangan negeri yang kaya itu, supaya pengurusan kewangan itu berjalan dengan betul, kerana, katanya, ‘ini adalah amanah rakyat yang mesti dipegang sekukuhnya.

Adapun jumlah pelaburan tahun 2011 di Selangor dicatatkan sebanyak RM8.74 bilion dengan 263 projek berjaya dimajukan serta membuka peluang pekerjaan baru kepada lebih 15 ribu rakyat Selangor untuk bekerja di pelbagai sektor pekerjaan. Ini suatu kemajuan yang sangat memberansangkan.
Juga sangat menarik dalam titah Sultan Selangor itu ialah baginda turut percaya dengan Menteri Besar yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mampu memartabatkan lagi agama Islam dan umat Islam di Selangor.
"Cara kerja yang profesional dapat menangkis segala fitnah dan tuduhan jahat sekaligus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam.” kata baginda.

Pada pendapat saya, dengan kemajuan negeri Selangor yang pesat, dalam masa yang sama dapat terus mempertahankan Islam seutuhnya, jelaslah bahawa kerajaan Selangor akan dapat terus memperkukuh harapan rakyat untuk membina kehidupan yang cemerlang baik di dunia mahupun akhirat.

Tan Sri Abd Khalid dan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor sudah sewajarnya dipertahankan dalam PRU ke-13 nanti. Inilah sebuah kerajaan yang sangat menjanjikan.

Harakah Daily

BN 'hempuk' rakyat jika menang PRU13

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Penderaan dari segi ekonomi dan keperitan hidup adalah balasan yang disediakan oleh Barisan Nasional (BN) kepada rakyat jika ia menang dalam pilihan raya akan datang, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Hari ini, semua kenaikan cukai, pemotongan subsidi dan apa sahaja bebanan ke atas rakyat ditangguhkan.

"Semuanya akan dihempuk ke atas kepala rakyat sebagai balasan kepada rakyat selepas BN menang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

"Bersedialah untuk menahan diri anda dihempuk dengan penderitaan demi penderitaan akibat penyiksaaan BN selepas ia menang dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Sejak lebih setahun lalu, kata Mohamad, rakyat didendangkan betapa kerajaan kononnya menanggung beban akibat pelbagai subsidi untuk rakyat.

"Itu sahaja lagu yang didendangkan kepada rakyat supaya mereka bersedia menahan diri menanggung penderitaan akibat penyiksaan BN selepas pilihan raya akan datang," katanya.

Walaupun bersetuju dengan jangkaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang menyatakan negara akan bankrap seperti Greece kira-kira pada tahun 2019, tetapi Mohamad yakin bukan subsidi kepada rakyat yang menyebabkan negara bankrap.

"Penyakit yang sebenarnya menyebabkan negara bankrap ialah rasuah.

"Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) menganggarkan bahawa rasuah boleh mengakibatkan negara menanggung kerugian kira-kira RM10 bilion setahun.

"Itu jangkaan institusi kerajaan. Saya yakin kerugian yang ditanggung oleh negara jauh lebih besar lagi," kata Mohamad.

Rakyat, katanya, mestilah mempersoalkan dakwaan kerajaan yang meletakkan subsidi kepada mereka sebagai punca utama yang mengakibatkan kemelut ekonomi negara ini.

"Benarkah subsidi merupakan punca utama masalah ekonomi yang bakal dihadapi oleh negara sehingga negara dijangka bankrap?

"Adakah salah urus, salah tadbir dan penyelewengan wang rakyat untuk kepentingan pemimpin-pemimpin parti pemerintah dan kroni-kroni mereka bukan punca utama masalah ekonomi yang bakal dihadapi oleh negara?" beliau mempersoalkan.

Sebagai contoh, kata beliau, keluarga Ketua Wanita Umno sahaja mendapat pinjaman mudah sebesar RM250 juta dari Kementerian Kewangan yang hakikatnya seperti diberikan begitu sahaja.

"Itu keluarga Ketua Wanita Umno yang akan tamat tempoh jawatan menterinya April ini.

"Bagaimana dengan keluarga pembesar Umno yang lain? Adakah mereka berdiam diri dan melihat begitu sahaja keluarga (Datuk Seri) Sharizat (Abdul Jalil) mendapat nikmat sehingga RM250 juta?" kata Mohamad.

Beliau yakin, jika dibuat kajian yang telus dan bertanggungjawab, negara sebenarnya lebih banyak menanggung beban akibat penyelewengan dan rasuah berbanding pemberian subsidi kepada rakyat.

Semalam, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) dilaporkan berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi telah ditangguhkan memandangkan kos sara hidup yang meningkat.

Menurut akhbar harian Cina Nanyang Siang Pau, Pemandu berkata, langkah itu adalah semata-mata keputusan sementara.

Sebelum ini, badan pemikir yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu mendesak Putrajaya melaksanakan "rasionalisasi subsidi" dalam usaha mengawal kos subsidi yang terus melambung.

Putrajaya mengunjurkan bahawa kerajaan akan terpaksa membelanjakan RM33.2 bilion bagi menampung kos subsidi pada 2012, yang dikatakan punca bajet defisit.

Kali terakhir subsidi dikurangkan adalah pada Jun tahun lalu yang membabitkan gula, bahan api dan tarif elektrik.

Idris yang juga ketua pegawai eksekutif Pemandu pada 2010 memberi amaran bahawa pelan rasionalisasi subsidi adalah perlu atau Malaysia akan menjadi muflis seperti Greece dalam tempoh sembilan tahun.

Dipercayai akibat tekanan demi tekanan dari dalam BN sendiri, tahun lalu beliau menukar pendiriannya dan berkata Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai status ekonomi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, meskipun kenyataan itu bertentangan dengan amarannya sebelum itu.

Harakah Daily

Ahmad Said jangan sabotaj masa depan pelajar

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Ikatan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) memandang serius tindakan Kerajaan Negeri Terengganu yang membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) kepada enam pelajar lelaki setelah didapati bersalah terlibat dalam demonstrasi di Mesir baru-baru ini.

Keenam-enam pelajar yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu didapati bersalah kerana terlibat dalam demonstrasi, rentetan usaha untuk mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Bersih 2.0 yang menimbulkan kontroversi di dalam negara.

Setiausaha Perantau, Suhaimi Embong berkata, tindakan membatalkan penajaan pendidikan kepada keenam-enam pelajar tersebut adalah tindakan yang sangat keterlaluan kerana terlibat dengan perhimpunan aman bukanlah suatu jenayah.

Katanya, tindakan menghukum pelajar-pelajar tersebut dengan menarik penajaan pendidikan adalah sabotaj terhadap masa depan anak-anak Terengganu itu sendiri.

Ia juga, ujarnya bercanggah dengan objektif penubuhan Yayasan Terengganu iaitu "Mempastikan anak Terengganu dapat melanjutkan pelajaran tanpa masalah kewangan dan menyediakan prasarana serta kemudahan untuk semua peringkat pendidikan".

Sehubungan itu, Suhaimi menggesa Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu dapat menggunakan kebijaksanaan sebagai pemimpin utama kerajaan negeri dengan menarik balik hukuman itu bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

Menurutnya, Ahmad sepatutnya bertindak membantu anak-anak Terengganu dalam mendapatkan pendidikan terbaik dan bukannya berusaha menggagalkan mereka.

“Jika perkara ini tidak diselesaikan segera oleh Menteri Besar, Perantau akan membincangkan tindakan susulan dalam Himpunan Anak Terengganu Di Perantauan pada 25 Mac nanti,” ujarnya.

Harakah Daily

Kerajaan Selangor Sedia Selesaikan Kes 20 Tahun “Railway Lines”.

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bersedia untuk turun menemui bekas penghuni ‘Railway Lines’ Sungai Buloh bagi mencari penyelesaian kepada kes mereka yang berlarutan hampir 20 tahun.

“Saya yang mengalas Exco Perumahan sentiasa bersedia untuk berjumpa dengan penduduk.

“Apa yang mereka tuntut itu adalah tanah dan sekirannya mereka ada cadangan ataupun alternatif lain sebagai gantian kepada lot tanah mereka itu, saya sentiasa bersedia untuk mendengar dan teliti perkara tersebut,” ujar Iskandar.

Beliau ditemui TVSelangor selepas sekumpulan bekas penduduk “Railway Lines” atau Kampung Keretapi, Sungai Buloh berkumpul dilobi Ibu Pejabat Kerajaan Selangor di sini pagi tadi untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar.

Mereka menuntut pertolongan pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut perumahan mereka yang tidak dapat diselesaikan sejak pemerintahan Umno-BN.

Kes mereka bermula pada Januari 1992 apabila mereka diusir dari kampung itu oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) kerana tanah mereka akan digunakan untuk projek landasan berkembar KTM.

Seramai 299 keluarga ditawarkan lot tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Gombak di Matang Pagar sebagai gantian bagi tapak rumah mereka.

Apa yang dikesalkan, setelah menunggu hampir 20 tahun, mereka masih tidak mendapat tanah-tanah lot yang dijanjikan.

Kumpulan itu telah mengambil beberapa langkah untuk menuntut hak tanah mereka seperti menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar era pemerintahan Umno-BN, selain menulis surat bantahan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Mereka juga telah berjumpa dengan Mantan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Velu.

Malangnya segala usaha tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil.

Mereka juga telah mengambil tindakan mahkamah namun setelah 10 tahun kes ini dibicarakan, mahkamah telah membatalkan kes mereka pada 30 Mac 2011, atas alasan “tiada balasan”.

“Semasa Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo, tanah penduduk diambil dan dijanjikan rumah kos rendah kepada mereka.

“Namun ianya tidak dilaksanakan dan penduduk membawa kerajaan negeri ke mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan.

“Jadi, semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih, Menteri Besar (Abdul Khalid) hanya bertindak diatas keputusan mahkamah tersebut.

“Perkembangan ini berakhir dimahkamah dan sekirannya penduduk ingin jumpa, saya sentiasa bersedia untuk mereka,”jelas Iskandar.

selangorku/-

Tinggal Umno: Selepas Kadir Tengku Razaleigh pula?

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Duri yang mencocok punggung Umno sejak kebelakangan ini telah tercabut dengan sendirinya apabila Kadir Sheikh Fadzil telah mengumumkan keluar dari parti berkenaan hari ini. Surat keluar dari Umno dihantar kepada Setiausaha Agung Umno hari ini.

Tindakan bekas menteri penerangan itu dikatakan menjadi duri dalam daging kepada Umno dengan sikapnya mengkritik parti berkenaan. Kritikan yang tidak dapat diterima Umno ialah berhubung dakwaan Kadir yang Umno membeli undi dalam pilihan raya lalu.

Sehubungan itu Umno sedang mengumpul maklumat untuk mengambil tindakan ke atasnya. Mungkin Kadir yang juga timbalan presiden Amanah Merdeka sudah dapat menghidu yang Umno akan bertindak ke atasnya menyebabkan beliau mengambil tindakan mendahului Umno meninggalkan parti yang disertai sejak tahun 1956.

Persoalan kini ke manakah Kadir selepas ini? Apakah dia akan menyertai salah satu parti gabungan Pakatan Rakyat ataupun kekal sebagai ahli politik tidak berparti?
Sehubungan tindakan itu tanda tanya juga timbul mengenai nasib presiden Amanah, Tengku Razaleigh Hamzah. Apakah Tengku Razaleigh juga akan mengambil tindakan sama dengan Kadir meninggalkan Umno?

Ada kemungkinan? Khabarnya Umno Gua Musang akan menolak sekiranya BN masih mencalonkan Tengku Razaleigh bertanding dalam pilihan raya akan datang. Beberapa hari lalu beberapa ketua cawangan Umno dan pemimpin budak-budak dalam bahagian Gua Musang membuat kenyataan mendesak Tengku Razaleigh tidak lagi dicalonkan.

Sekiranya Tengku Razaleigh Hamzah juga mengambil tindakan sama ia memberi pukulan hebat kepada Umno menjelang pilihan raya. Belum pernah berlaku dalam sejarah Umno pemimpinnya meninggalkan parti menjelang pilihan raya.

Tengku Razaleigh juga dianggap sebagai duri dalam daging bila mana lantang menyuarakan kritikan atau pandangan yang tidak menyeronokkan Umno seperti meminta royaliti petroleum yang digali di perairan Kelantan dikembalikan kepada Kelantan. [wm.kl.1:25 t/hari 19/03/12]

Harakah Daily

‘Lelaki tarik kakak’

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEDIH...Nor Mala menangis ketika menceritakan kejadian Siti Nur Fatihah diculik. Gambar kecil, Siti Nur Fatihah, diculik.

KUANTAN: ‘Baby...tolong kakak,’ jerit seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sebelum dipercayai diculik tiga individu termasuk seorang wanita ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli kad prabayar bersama dua adiknya kira-kira 100 meter dari rumahnya di Taman Tas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Siti Nur Fatihah Mahadi, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan di sini, diseret ke dalam sebuah kereta Honda berwarna ungu gelap yang berhenti di depan kedai berkenaan sebelum memecut meninggalkan kawasan itu.

Ketika kejadian, Siti Nur Fatihah bersama dua adiknya, Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aisyah, 11, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

Menceritakan kejadian itu, Nurul Aisyah berkata, tiba-tiba kereta dipandu seorang wanita berhenti di depan mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang keluar dan menarik kakaknya masuk ke dalam kenderaan itu.

“Kakak menjerit kepada Muhammad Syahmi ‘Baby..tolong kakak’ sebelum dia dan saya cuba menyelamatkan kakak dengan menarik tangannya sekuat hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

metro/-

Merangkak curi sarang burung

27 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KARANGAN - Tindakan mencurigakan lapan sekeluarga yang menyewa di sebuah rumah tumpangan di Taman Desa Aman dekat sini, terbongkar apabila mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri sarang burung walet, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pemilik rumah tumpangan di mana suspek berusia antara 16 hingga 60 tahun itu menginap menghubungi Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim, apabila mendapati keluarga berkenaan­ berkelakuan mencurigakan.

Menurutnya, Eng Khim mengarahkan ahli PPKM yang membuat rondaan untuk datang ke tempat kejadian dan mengepung kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis kira-kira jam 3.30 pagi.

“Polis yang datang ke tempat kejadian kemudiannya membuat pemeriksaan dan ternampak dua kereta milik suspek berada di hadapan rumah tumpangan. Polis kemudiannya membuat serbuan dan menemui beberapa peralatan untuk melakukan jenayah pecah rumah antaranya tangga, tali, gergaji, pengumpil besi, pemutar skru dan kuku kambing yang disorokkan di atas siling rumah,” katanya.

Ghuzlan berkata, selain lapan beranak berkenaan, polis turut menemui seorang perempuan berusia 20-an dan dua bayi dipercayai isteri dan anak kepada seorang suspek yang ditahan.

Katanya, dari maklumat diterima, ini bukanlah kali pertama keluarga itu melakukan jenayah mencuri sarang burung walet.

“Modus operandi yang digunakan suspek ialah mereka sengaja menyewa rumah tumpangan yang berada kira-kira 40 meter dari bangunan di mana sarang burung walet diusahakan bagi memudahkan mereka merangkak di dalam siling untuk pergi ke bangunan hujung sarang burung diusahakan,” katanya.

Polis berjaya merampas kira-kira 13 kilogram sarang burung walet bernilai hampir RM30,000 yang diletakkan di dalam dua beg plastik berasingan­ dan disorokkan di atas siling bilik di mana mereka menginap. Polis terpaksa memanjat dan memecahkan siling untuk mengeluarkan sarang burung dicuri,” katanya.

Ghuzlan berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

“Dengan tertangkapnya keluarga ini, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian sarang burung walet yang berlaku di sekitar Kulim,” katanya.

Sinar Harian