10 April 2012

[BONGKAR] Terdapat Lebih 400,000 Pengundi Meragukan Dalam Daftar Pemilih

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

400,000 pengundi meragukan mungkin penentu 35 kerusi, kata penganalisis

KUALA LUMPUR, 10 April — Lebih 400,000 pengundi meragukan dalam daftar pengundi mampu untuk mengubah 35 kerusi bagi menentukan Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya atau Barisan Nasional (BN) kembali memperolehi dua pertiga majoriti di Parlimen, kata penganalisis politik tanah air.

Penganalisis bebas Ong Kian Ming berkata Projek Analisis Daftar Pengundi Malaysia (Merap) yang dijalankannya mendapati terdapat kira-kira 100,000 ribu nama bermasalah dan digabungkan dengan beberapa isu sebelum ini akan “menjadi 400,000 pengundi meragukan”.

Membersihkan daftar penfundi adalah tuntutan utama pembangkang. Dan kumpulan aktivis walaupun BN menegaskan kemenangan PR di lima negeri membuktikan tidak berlaku sebarang keraguan terhadap daftar berkenaan.

Ong (gambar) berkata kepada The Malaysian Insider, perkara itu “hanyalah sebahagian masalah kecil” daripada pelbagai masalah lain yang belum dapat dikenal pastioleh kebanyakan pihak dengan jumlah pengundi sebanyak 12 juta.

“Sekiranya dibahagikan 40,000 dengan 222 kerusi, dianggarkan sekitar 1,800 pengundi. Ini berupaya untuk menentukan 35 kerusi,” katanya merujuk kepada kerusi yang memperolehi kemenangan tipis.

“Sekiranya sentimen pengundi sama seperti 2008, ini akan menambah 30 kerusi PR, atau lapan lagi kerusi BN untuk memperoleh majoriti,” tambah penganalisis politik ini lagi.

Kerajaan BN hanya memperolehi 140 kerusi, dengan kehilangan majoriti dua pertiga majoriti di Parlimen ketika pilihan raya 2008 termasuk empat negeri, dan Kelantan yang kekal di tangan PAS sejak 20 tahun lalu.

Perikatan itu memerlukan 112 kerusi Parlimen untuk mendapat majoriti dan 148 untuk dua pertiga.

Projek Ong itu turut mengenal pasti 100,000 pengundi dengan 10 isu berkenaan - pengundi berusia lebih 85 tahun, jantina tidak selari dengan kad pengenalan (IC), nama dan tarikh lahir yang sama, dilahirkan di luar negara, pengundi di Lembah Klang yang tidak mempunyai alamat rumah, pengundi pos dengan IC awam, pasangan polis yang menjadi pengundi pos, pasangan polis dan tentera yang mempunyai jantina yang sama, polis dan tentera melebihi had umur persaraan, dan pengundi pos tentera dan polis yang melebihi had umur rekrut.

Namun begitu, menurutnya itu tidak termasuk masalah lain, kerana beribu pengundi didaftarkan pada alamat yang sama dan 42,000 pengundi dengan IC yang tidak ditemui di pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ong turut menjelaskan terdapatnya bilangan yang meragukan pengundi di Selangor, negeri terkaya di negara ini yang mana Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji akan menawan kembali dengan “apa cara sekalipun”.

Tambahnya, daftar pengundi daripada suku 2011 menunjukkan jumlah pengundi di Selangor mengalami peningkatan mendadak kepada 340,000 atau 21.8 peratus kepada 1.9 juta pengundi sejak pilihan raya 2008 dibandingkan kadar nasional sebanyak 16.3 peratus.

Beliau menunjukkan contoh di Hulu Selangor sahaja mengalami peningkatan 17,000 pengundi, peningkatan 27.1 peratus sejak pilihan raya pada Mac 2008.

Kredibiliti daftar pengundi seringkali dipersoalkan sejak Jawatankuasa Khas Piihan Parlimen (PSC) dibentuk pada tahun lepas bagi menambah baik sistem pilihan raya.

Panel itu telah menyiapkan laporan dalam tempoh enam bulan dan menyerahkan laporan lengkap tersebut kepada Parlimen minggu lepas, namun pembangkang dan pertubuhan awam telah mengkritik berikutan terdapatnya kekurangan cadangan bagaimana ia akan membersihkan daftar pengundi.

Pemerhati pilihan raya Bersih kemudiannya mengumumkan akan mengadakan perhimpunan ketiganya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 28 April.

Perdana Menteri Najib telah mengumumkan pembentukan jawatankuasa dwipartisan pada Ogos 2011, selepas dikritik hebat berkenaan pentadbirannya menguruskan perhimpuanan Bersih pada 9 Julai yang menyaksikan ribuan rakyat mengadakan protes jalanan. -TMI

Pasukan peronda cegah maksiat di Aceh

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BANDA ACEH – Anggota-anggota polis pencegah maksiat di sini melakukan rondaan dengan menaiki trak dan kenderaan lain bagi memastikan penduduk beragama Islam tidak melakukan perbuatan yang menyalahi ajaran agama itu.

Mereka akan menghampiri pasangan yang dilihat berdua-duaan dan memberi nasihat kepada mereka supaya pulang ke rumah.

Aceh merupakan sebuah wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang syariah.

Terdapat 1,000 anggota polis itu yang dikenali sebagai Wilayatul Hisbah di sini.

Pada minggu lalu, seorang wanita memakai tudung dengan tergesa-gesa manakala satu pasangan kekasih yang menaiki motosikal beredar di sebuah kawasan di tepi pantai apabila melihat anggota-anggota peronda Wilayatul Hisbah menghampiri mereka.

Namun, satu pasangan kekasih lain yang bersembunyi di belakang sebuah batu besar ditahan oleh anggota-anggota polis itu.

“Adakah kamu sudah berkahwin?” soal seorang anggota polis tersebut yang bermisai tebal.

Pasangan kekasih itu kemudian menggelengkan kepala mereka.

“Perbuatan ini tidak dapat diterima di Aceh. Kita mempunyai undang-undang syariah di sini. Pergi pulang sekarang,” kata anggota polis tersebut selepas memeriksa kad pengenalan pemuda dan gadis itu. – AFP

Himpunan 13 April isyarat rakyat tolak PSC Lynas

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Himpunan aman besar-besaran yang akan diadakan serentak di 11 lokasi seluruh negara selepas solat Jumaat, 13 April ini bakal menjadi isyarat jelas menunjukkan pendirian tegas rakyat Malaysia menolak penubuhan PSC Lynas sebagai tipu helah untuk melengah-lengahkan pembatalan projek Lynas.

Menurut Gabungan Solidariti Hijau SeMalaysia- Stop Lynas (SHS-SL) lokasi-lokasi yang disenaraikan antaranya Dataran Shah Alam (Selangor dan Kuala Lumpur), Masjid Al-Fatah, Batu 3 Kuantan (Pahang), Tapak Kilang Are bukit Merak (Perak), Masjid Permatatng Janggus, Permatang Pauh (Pulau Pinang), Masjid Pengadang Baru Kuala Terengganu (Terengganu), Masjid Al-Azim (Melaka), Masjid Daerah Batu Pahat (Johor), Dataran Jam Besar, Sungai Petani (Kedah), Taman Tasik Seremban Hadapan Masjid Negeri (Negeri Sembilan), Dataran Ilmu Kota Bharu (Kelantan) dan Masjid At Takwa, Miri (Sarawak).

Himpunan di Kelantan akan dimulakan selepas kuliah mingguan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.30 pagi.

Jurucakap SHS-SL, Zulkefly Mohamad Omar berkata, pehimpunan aman ini bertujuan mematahkan putar belit pihak tertentu yang cuba memomokkan bahawa kempen hentikan Lynas ini cuma sekadar isu terpencil yang hanya melibatkan masalah tempatan penduduk Kuantan semata-mata.

Tambahanya, kerajaan cuba menyekat kemarahan rakyat dengan mewujudkan PSC, walhal jawatankuasa itu bertujuan mengalihkan tumpuan, kritikan dan perhatian terhadap isu berkenaan.

"Dari pusat kuasa pemutus di Putrajaya ke arah mewujudkan jawatankuasa lemah dan tanpa kuasa dengan matlamat utama menyediakan ruang (kononya saluran sah) bersuara supaya dapat meredakan penentangan lantas menyejukkan kemarahan rakyat," katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, di sini tengah hari tadi.

Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya setelah projek itu hampir 95 peratus selesai dan setelah syarikat Lynas dianugerahkan Temporary Operating Licence (TOL) baru ditubuhkan jawatankuasa yang kononya mengkaji kes ini?

Himpunan itu juga menurut Zulkefly sebagai membina momentum dan sokongan menjelang Himpunan Hijau 3.0 dan bersih 3.0 yang akan diadakan serentak pada 28 April nanti.

Beliau turut meminta orang ramai turun beramai-ramai bagi menyertai himpunan aman tersebut sebagai satu langkah sokongan terhadap usaha membantah pembinaan Lynas dan projek-projek lan seumpamanya di negara ini.

Zulkefly turut menangkis dakwaan beberapa pemimpin BN yang mengatakan isu Lynas ini merupakan isu penduduk Pahang dan orang Cina.

"Ini bukan isu orang Cina, jika inilah dakwaan mereka ia satu yang mendukacitakan. Rakyat Kuantan 90 peratus adalah Melayu sudah tentulah ianya adalah berkaitan dengan orang Melayu, apa yang penting isu ini adalah isu bersama semua terlibat kerana ia membabitkan soal kesihatan rakyat negara ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia, AP Raja Retinam berkata, Gabungan Solidariti SeMalaysia ini tidak takut dengan gertakan oleh mana-mana pihak yang cuba menghalang tindakan mereka.

Malah beliau turut dimaklumkan pihak Lynas Coporation mendesak Ngo yang terlibat membantah projeknya, memohon maaf kepada Lynas kerana menyifatkan tindakan NGO terbabit tidak betul.

"Kita harus bersatu, kita minta NGO lain terus bersama-sama dengan kita. Kita tidak gentar dengan ugutan Lynas itu, " katanya.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, hampir 90 peratus penduduk tempatan tidak bersetuju dengan adanya kilang Lynas di kawasan mereka.

"Pihak kami ada membuat tinjauan dan berjumpa dengan hampir setiap penduduk di situ rata-rata mereka kecewa dengan kerajaan yang meluluskan pembinaan dan operasi kilang Lynas, " katanya.

SHS-SL adalah gabungan daripada 23 Ngo di seluruh negara antaranya, Badan Bertindak Anti-Rare Earth (Badar), Stop Lynas Coalition (SLC, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (Abu), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Himpunan Hijau dan Green Clean World.

Pada 26 Feb lalu, satu himpunan besar-besaran berjaya diadakan di Padang MPK, Kuantan dengan penyertaan puluhan ribu rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum. Selain di Kuantan, bantahan tersebut juga diadakan serentak di Pulau Pinang, Sarawak, Perak dan Kuala Lumpur.

Harakah Daily

Mengapa rizab tunai Felda merudum masa Najib?

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Jika Felda serius mengenai integriti korporat, bentangkan Kertas Putih kepada Parlimen dan jelaskan mengapa rizab tunai Felda merudum sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih penyeliaannya, tegas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

Menurut beliau, dalam tahun 2001, rizab tunai Felda berjumlah sehingga RM4.5 bilion dan tiada hutang.

Tetapi, berdasarkan jawapan di Parlimen, katanya, rizab tunai Felda hanya berjumlah RM1.35 bilion tahun ini.

Lebih mendukacitakan, kata Salahuddin, Felda berhutang pula sehingga RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Semua ini berlaku sejak Najib mengambil alih penyeliaan Felda pada tahun 2005," katanya.

Satu lagi perkara penting yang mesti dilakukan untuk menunaikan ikrar integriti, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mestilah diundurkan dari jawatannya sebagai pengerusi badan tersebut, kata Salahuddin.

Sambil mengalu-alukan tindakan Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Pakatan Integriti (IP) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau mengingatkan, apa yang dilakukan akan dilihat sebagai pembohongan semata-mata jika Isa kekal sebagai Pengerusi Felda.

"Ikrar boleh dibuat, tetapi adakah Felda dan semua entiti di bawahnya benar-benar dilihat mempunyai integriti oleh para pelabur dalam dan luar negara.

"Adakah pelabur boleh yakin Felda mempunyai integriti dengan ikrar tersebut sedangkan kedudukan Isa sebagai pengerusinya terus menjadi bahan ejekan dan persendaan umum," katanya.

Para pelabur, katanya, tentu tidak lupa bagaimana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak Isa sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

Ketika itu, akhbar melaporkan Dr Mahathir berkata, Isa tidak sepatutnya dicalonkan dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, imej Umno terjejas jika memilih calon yang sudah pun didapati bersalah kerana rasuah politik.

Pada 2005, Isa digantung jawatan dan keahliannya di dalam Umno selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti itu.

"Kalau Dr Mahathir kata Isa boleh menjejaskan imej Umno, adakah imej Felda tidak terjejas di kalangan masyarakat perniagaan di dalam dan di luar negara apabila beliau menjadi pengerusi badan itu?" Salahuddin mempersoalkan.

Soal integriti, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tidak sepatutnya menjadi bahan gurauan.

"Menandatangani ikrar itu dan pada masa yang sama membiarkan Felda dipertikaikan integritinya adalah tindakan menjadikan integriti satu bahan gurauan.

"Dan, bila SPRM pun terlibat, ia juga boleh dituduh mempermain-mainkan integriti," katanya.

Bagi menunaikan ikrar integriti tersebut, Salahuddin juga meminta setiap ahli lembaga pengarah Felda dan FGV mengisytiharkan harta masing-masing serta harta keluarga mereka jika benar-benar serius tentang integriti.

"Felda dan FGV juga mesti membentangkan segala akaun dan laporan audit kepada Parlimen.
"Ketelusan perlu disini. Ketelusan bagaimana Felda dan FGVH diuruskan mesti selaras dengan ikrar tersebut

"Contohnya, proses penganugerahan pembinaan bangunan Felda dekat KLCC perlu dibuka kepada umum untuk memastikan ketelusan - bagaimana kontraktor dibayar 30 peratus sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan," katanya.

FGV pula, katanya, mestilah bersikap telus dan mengemukakan kepada Parlimen tentang keuntungan dan kerugiannya serta anak-anak syarikatnya sejak dari penubuhan FGV sehinggalah kini.

Kesimpulannya, kata Salahuddin, Felda dan FGV mestilah membuktikan kepada semua pemegang saham mereka bahawa operasi perniagaan mereka tidak termasuk apa-apa kos dan risiko tersembunyi yang berkait dengan amalan rasuah.

Harakah Daily

Lebih berdaya saing di bawah kerajaan Reformasi

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Lebih dari 7,000 pelajar ditaja selama setahun dari tingkatan satu hingga lima sekiranya RM500 juta wang Yayasan Selangor tidak bocor hilang entah kemana.

Bahkan, Yayasan Selangor dapat membina tiga sekolah berasrama penuh untuk pelajar-pelajar tajaan di lima sekolah, sekiranya wang Yayasan tidak diselewengkan.

Dalam masa empat tahun ini, terlalu banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk memperbaiki kebobrokan yang telah berlaku.

selangorku/-

Gerakan Anti-Lynas Tidak Akan Tunduk Kepada Ancaman Undang-Undang

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 APR : Gerakan penentang loji nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) tidak akan tunduk kepada ugutan daripada syarikat Lynas Corp untuk menyaman mereka sekiranya mereka tidak memohon maaf.

Sebaliknya, mereka akan teruskan kempen mereka untuk menghentikan loji itu yang dibina di Gebeng, Pahang, kata Ahli Jawatankuasa Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Steve Hang.

Beliau mengulas tindakan Lynas Corp, pengendali LAMP, yang menghantar surat setebal 15 halaman kepada 47 NGO yang terlibat di dalam gerakan SMSL pada 31 Mac.

Antara enam tuntutan Lynas Corp adalah agar SMSL menghentikan kritikan mereka terhadap LAMP dan memohon maaf terhadap syarikat itu melalui laman web SMSL dan iklan surat khabar.

“Kami ingin memaklumkan kepada media dan semua rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu Lynas ini, bahawa kami tidak akan sesekali tunduk kepada taktik ugutan apa-apa perbadanan gergasi besar seperti Lynas,” Steve berkata dalam satu sidang media di sini hari ini.

Surat tuntutan maaf dari Lynas itu di hantar melalui peguam Jeff Wong, Poon & Leong Associates and Solicitors.
“Surat itu cuba untuk mempertahankan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan bersama kami dalam bentuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Surat terbuka kepada Perdana Menteri yang dikeluarkan SMSL itu dihebahkan kepada akhbar-akhbar tempatan pada Mac 22.

Steve berkata ancaman dari Lynas itu akan memperkukuhkan lagi semangat mereka untuk terus melindungi negara dan kepentingan awam.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa perhimpunan anti-Lynas akan di adakan di Bukit Merah, Johor pada 28 April depan bagi memberikan peluang kepada aktivis di negeri itu yang tidak dapat ke Kuala Lumpur.

SMSL akan mengadakan sebuah perhimpunan besar-besaran di KLCC pada tarikh yang sama dan ia akan bergabung dengan perhimpunan Bersih 2.0 di Dataran Merdeka.

selangorku/-

Lagi 3.2 Ekar Di Serah Pada Umno Tanjung Karang

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 10 APR: Pemimpin Umno ketika menerajui kerajaan negeri sebelum ini sekali lagi didapati menyalahguna kuasa dengan memindah milikan tanah milik kerajaan negeri kepada Umno Tanjung Karang demi kepentingan parti dan politik individu tertentu dalam parti itu.

Dalam satu carian rasmi yang dibuat mengikut Seksyen 385, Kanun Tanah Negara yang diperolehi dari Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor telah mendapati tanah tersebut telah dipindah milik kepada Umno Tanjung Karang pada 3 Ogos 2005

Tanah seluas 12,100 meter persegi atau atau 3.195 ekar tersebut terletak di Jalan Sungai Kajang, Tanjung Karang, bernombor Hakmilik HSD 15384 dan lot PT 303.

Demikian menurut satu lagi pendedahan berhubung tindakan salahguna kuasa Umno ketika berkuasa yang dibuat oleh Naib Yang DiPertua Pas Tanjung Karang, Misran Serman baru-baru ini.

“Saya dah teliti dokumen rasmi pejabat tanah dan memang tanah yang asalnya milik Kerajaan Negeri kini telah dimiliki oleh Umno Tanjung Karang.

“Ini jelas merupakan salah guna kuasa mempergunakan kuasa yang ada di dalam kerajaan untuk kepentingan parti politik dan peribadi.

“Ini merugikan rakyat Selangor kerana Kalau tanah ini dibangunkan kerajaan negeri, semua lapisan masyarakat dapat manfaatnya, tetapi bila diserah kepada Umno, Umno sahajalah yang dapat manfaatnya,” kata Misran.

Menurut Misran, sebuah syarikat swasta, Bumi Utama Constructions yang beralamat di 12-02, Tingkat 1, USJ 21/4, UEP Subang Jaya, Selangor turut mempunyai kepentingan atas tanah tersebut apabila syarikat terbabit mengkaveat tanah itu pada 3 Ogos 2007.

“Selain itu, tanah tersebut telah dikaveatkan oleh Bumi Utama Constructions pada Ogos 2007,” katanya lagi.

Kaveat Persendirian (Private Caveats) adalah kaveat atau sekatan yang boleh dimasukkan oleh individu atau badan persendirian yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu tanah.

Apabila kaveat dikenakan kepada mana-mana hartanah, hartanah tersebut tidak boleh dipindah milik, dipajak atau digadai dengan kebenaran pihak berkuasa dan pihak yang membuat kaveat itu untuk jangkamasa sekurang-kurangnya enam tahun.

Misran yang juga merupakan Ahli Majlis Kuala Selangor turut memberitahu satu permohonan untuk mendirikan bangunan yang dinamakan Kompleks umno Bahagian Tanjung Karang telah dikemukakan kepada Majlis Daerah terbabit.

“Saya difahamkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor, kompleks Umno akan dibina di situ, tetapi tak tahu bila mula,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa isu berkaitan pemilikan tanah secara meragukan turut dibangkitkan oleh beberapa pemimpin setempat yang membabitkan Umno Tanjung Karang.

Antara yang didedahkan termasuk pemilikan tanah bekas milik Kerajaan Negeri Selangor bernombor hakmilik HSD 10440, nombor lot PT115, terletak di Pekan Tanjung Karang yang diserahkan kepada Umno Bahagian Tanjung Karang.

Tanah seluas 4,370 meter persegi itu kemudiannya dijual kepada Bumi Utama Building Material Sdn Bhd sekaligus membolehkan Umno memperolehi keuntungan mudah.

Syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan untuk mendirikan sebuah hotel di atas tanah terbabit, tetapi telah ditolak dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Kuala Selangor.

Pada masa ini Umno Tanjung Karang menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional, Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Karang dan sebuah dewan gimnasium yang telah dikosongkan.

Misran turut memberitahu TVS pagi ini, satu laporan polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan dibuat dalam sedikit masa lagi.

selangorku/-

'Task force': Pegawai kerajaan jangan sembelih diri sendiri

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan tindakan Umno menubuhkan 'task force' untuk mendaftar pengundi warga asing satu tindakan mencabul konsep perlembagaan yang amalkan demokrasi sebenar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pegawai kerajaan jangan terpengaruh dengan pemberian duit dan pangkat dari Umno kerana ia hanya menyembelih diri sendiri.

"Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri.

"Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat saya lah," kata Abdul Hadi mengulas penubuhan 'task force' khas oleh Umno untuk mendaftar warga asing menjadi pengundi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mhafuz Omar baru-baru ini mendedahkan penglibatan beberapa orang termasuk pegawai kerajaan dalam 'task force' untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi.

Bagi Abdul Hadi, yang lebih malang lagi adalah orang Melayu yang terpengaruh dengan hujah kononnya tindakan ini dibuat untuk menjaga kepentingan politik Melayu.

"Malangnya yang paling tertipu adalah orang Melayu yang beragama Islam kerana mereka percaya dengan alasan inilah cara untuk pertahankan Melayu dan Islam.

"Pertahankan Melayu dan Islam bukan cara tipu, kena guna jati diri Islam. Yang hakis Melayu adalah kerana kerja-kerja penyelewengan yang dibuat Umno sebelum, semasa dan selepas pilihan raya," kata Abdul Hadi dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.

Bagi beliau, kerja menipu melalui Mykad dan daftar pemilih bukan saja menghasilkan kemenangan yang rapuh untuk BN tetapi ia bakal menjadi sebab kejatuhan BN

Beliau juga kesal dengan tindakan ini kerana tindakan untuk mempertahankan kuasa, mereka sanggup memanggil sendiri penjajah datang untuk menjajah negara.

"Sangat malang politik negara ditentukan oleh orang luar, orang asing yang kita panggil untuk jajah diri sendiri.

"Ini tindakan yang sangat salah dan sangat silap," kata Abdul Hadi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Umno agar belajar dari negara barat.

"Kita kena belajar dengan barat yang kalah pilihan raya dan jatuh belajar dari kesilapan untuk naik balik," kata beliau.

Beliau juga memaklumkan, PAS mempunyai maklumat BN menggunakan duit dan pegawai kerajaan dan pasukan keselamatqn untuk kawal tempat menyediakan Mykad untuk warga asing.

"Ini kita tahu semua," kata beliau kesal.

Harakah Daily

Ikrar: Isa Samad, Sabri wajar 'cermin diri'

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) meminta Tan Sri Isa Abdul Samad dan Datuk Sabri Ahmad yang membuat ikrar integriti semalam supaya 'cermin diri'.

Menurutnya, tindakan kedua-duanya yang masing-masing memimpin Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) menandatangani ikrar integriti korporat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam itu tidak lebih sebagai sandiwara semata-mata.

"Saya mintak kepada Isa Samad dan Sabri Ahmad suluh diri mereka lah, tak perlu nak main sandiwara ikrar integriti depan Perdana Menteri.

"Mereka buat deklarasi itu untuk tutup segala penyelewengan mereka," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Semalam, Felda dan FGVH menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Pakatan Integriti (IP) dengan SPRM.

CIP dan IP itu ditandatangani Pemangku Pengurus Besar Felda, Datuk Suhaimi Zainuddin, Presiden Kumpulan FGVH Datuk Sabri Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed disaksikan Datuk Seri Najib Razak dan Isa selaku pengerusi Felda.

Tindakan itu bagaimanapun dilihat banyak pihak sebagai cubaan membersihkan imej khususnya Isa.

Ini kerana Isa diragui integritinya ekoran pernah terpalit dengan isu rasuah dalam pemilihan Umno.

Lebih diragui apabila orang seperti beliau diberi pula kepercayaan oleh perdana menteri untuk menerajui Felda termasuk dalam usaha menyenaraiakan FGVH ke Bursa Malaysia.

"Mereka sebenarnya cuba nak bagitahu Felda dan FGVH berada di landasan yang betul.

"Padahal kehadiran mereka berdua dalam Felda hanya menimbulkan kacau bilau," kata Mazlan lagi.

Pada masa yang sama, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat laporan ke SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh Isa pada 12 April ini.

"Kita juga sedang mempersiapkan dokumen untuk mendapatkan deklarasi mahkamah terhadap status Isa sebagai pengerusi Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan juga deklarasi berhubung integriti beliau," tegasnya.

Harakah Daily

Pemuda PAS kecam tindakan serang nazir masjid

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan serangan ke atas Nazir Masjid As-Solehin Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Dr Abd Basir Alias yang dikenalpasti didalangi oleh pemimpin Umno setempat.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup kecewa di atas tindakan liar pemimpin Umno yang sanggup menyerang seorang pemimpin masyarakat hanya kerana perasaan tidak puas hati dan dengki terhadap nazir dan jawatankuasa masjid tersebut,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar).

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin Umno tersebut sebagai tindakan orang yang tidak bertamadun dan dan cubaan untuk menyemai budaya samseng yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat setempat.

Kejadian tersebut berlaku semasa nazir masjid baru memulakan Mesyuarat Agong Tahunan Pemilihan Jawatankuasa Masjis tersebut apabila beliau didatangi oleh pemimpin Umno setempat.

Seterusnya salah seorang penyokong Umno telah enghantukkan kepala kepada Abdul Basir sehingga mengakibatkan mata beliau lebam dan bengkak.

Hasbullah berkata, pihaknya berasa cukup kesal kerana pemimpin Umno sanggup bersikap biadab dan mengambil tindakan untuk tidak menghormati proses demokrasi di dalam sesuatu pemilihan dan menyerang seorang pemimpin masyarakat hanya kerana perasaan dendam dan iri hati yang tidak berkesudahan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menerima maklumat bahawa ada ahli jawatankuasa beberapa buah masjid di dalam negeri Selangor turut mendapat ancaman untuk dicederakan oleh pemimpin Umno setempat,” ujarnya lagi.

Setakat ini, ujarnya ahli jawatankuasa yang diancam telah dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan supaya pihak Polis Diraja Malaysia dapat melakukan siasatan dan pemantauan terhadap laporan tersebut dengan lebih serius.

Menurutnya lagi, pihaknya merasakan Umno dan Barisan Nasional kini sudah terdesak disebabkan semakin kehilangan kuasa dan sokongan sehingga sanggup mengambil tindakan kekerasan terhadap pemimpin-pemimpin masyarakat.

“Berkemungkinan inilah hasrat Perdana Menteri Malaysia apabila menyatakan bahawa Umno dan Barisan Nasional akan mengambil apa jua cara dan tindakan bagi mempastikan kemenangan berpihak kepada mereka di dalam pilihanraya yang akan datangm,” ujarnya.

Justeru, kata beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga masyarakat menyedari tindakan ganas yang dilakukan oleh Umno itulah yang menyebabkan keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat Selangor kini semakin terjejas.

Harakah Daily

PAS tubuh JK Anti Pemalsuan IC

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: PAS menubuhkan Jawatankuasa Anti Pemalsuan IC (API) bagi menangani isu pemberian kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka menjadi pengundi pada Pilihan raya Umum ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan pengerusi API berkata, jawatankuasa itu akan menuntut Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kewujudan 'task force' pemberian kerakyatan kepada warga asing yang didakwa beroperasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Hari Isnin ini ahli jawatankuasa akan bermesyuarat bagi mengatur pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menghantar memorandum menuntut Suruhanjaya Diraja," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahfuz berkata, API juga akan menyaring maklumat peribadi warga asing yang diberikan mykad itu.

"Kita mempunyai sangat banyak maklumat warga asing ini oleh itu kita perlu menyaring maklumat-maklumat ini sebagai pembuktian wujudnya task force ini.

"Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat task force ini," katanya.

API turut dianggotai ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Exco Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat dan Adram Musa serta peguam Zul Hazmi Shariff serta beberapa peguam lain.

Harakah Daily

PAC terima tekanan politik teruskan siasatan?

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) didakwa seolah-olah menerima tekanan politik daripada pihak-pihak tertentu dalam usaha meneruskan siasatan terhadap empat perkara yang dipersetujui bersama.

Tekanan itu didakwa berlaku memandangkan jawatankuasa itu tidak dipanggil bermesyuarat sejak dua minggu lalu, biarpun sidang parlimen akan berakhir minggu hadapan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua (gambar) berkata PAC telah bersetuju untuk menyelesaikan empat perkara utama pada sidang kali ini, termasuk kes membabitkan National Feedlot Corporation (NFC).

Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu tiada mesyuarat dipanggil, yang menyaksikan seolah-olah empat perkara tersebut tidak akan diselesaikan pada sidang kali ini.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media di parlimen, hari ini Tony berkata, selain NFC, tiga perkara yang dipersetujui untuk diselesaikan ialah kes perlupusan hutang RM589 juta yang diberikan kepada Tan Sri Tajudin Ramli, pengurusan penyiasatan terhadap wang 1MDB dengan pelaburan mereka ke atas Petro Saudi, dan perbelanjaan KLIA II yang berlaku peningkatan kos dari RM1.7 bilion hingga RM3.9 bilion.

"Selain NFC, ketiga-tiga perkara ini tidak pernah dibincangkan pada mesyuarat sebelum ini, sedangkan ia tel,ah dipersetujui bersama sama ada daripada anggota BN mahupun pembangkang," tegas beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar menegaskan menjadi tugas dan tanggungjawab PAC untuk melihat dan mengawasi bagaimana wang kerajaan dibelanjakan.

"Khususnya berkaitan NFC, kita mahu tahu bagaimana wang yang diluluskan itu diluluskan, dan selepas diluluskan bagaimana ia dikeluarkan oleh jabatan-jabatan kerajaan, sama ada melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan sebagainya," tegas beliau.

"Bagi memastikan siasatan itu diteruskan, kita telah bersetuju untuk membuat lawatan ke Gemas, yang merupakan lokasi fidlot itu, namun dibatalkan tanpa dimaklumkan kepada anggota jawatankuasa," kata beliau.

Justeru, tegas beliau selagi parlimen tidak dibubarkan, selagi itu jawatankuasa ini akan meneruskan siasatan terhadap perkara yang telah dipersetujui bersama.

Selain Kamaruddin, anggota pembangkang yang turut menyertai PAC ialah Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw; dan Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Harakah Daily

Projek Kereta Api Haramain ikut jadual

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MAKKAH: Stesen utama Kereta Api Haramain di Makkah dibina dengan kos SR3.2 bilion (RM2.6 bilion).

Menteri Pengangkutan, Jabara Al-Seraisy berkata demikian setelah melawat kerja pembinaan stesen itu semalam.

Dia berkata hartanah yang dianggarkan berharga RM491 juta adalah bertepatan untuk projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungi Makkah dan Madinah melalui Jeddah.

Jabara diberi taklimat mengenai projek yang berjalan dalam beberapa fasa itu.

“Projek itu berjalan mengikut rancangan walaupun menghadapi kesukaran dalam proses pengambilalihan tanah,” katanya.

Katanya: “Tujuan kami ialah meneruskan projek ini tanpa mencetuskan masalah kepada penduduk.”

Projek kereta api berkelajuan tinggi itu akan selesai pada 2014 apabila kereta api penumpang mula beroperasi.

Stesen utama di Makkah akan disiapkan sebelum itu.

Katanya, pemilik hartanah dan bangunan akan diberikan ganjaran sewajarnya sekiranya mereka mempunyai geran milik yang sah.

“Sekiranya mereka tidak mempunyai geran, pampasan sewajarnya akan diberikan,” katanya. - SG

PTPTN: BN bebankan kehidupan anak muda

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH, 10 April: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussian (gambar) berkata, penegasan Perdana Menteri untuk tidak menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti diumumkan di Batu Pahat Sabtu lalu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak memikirkan nasib generasi muda di negara ini.

Beliau berkata, pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah menunjukkan sikap tidak ambil peduli suara anak muda berhubung isu PTPTN, dan ianya membuktikan kelemahan pemimpin Umno BN menguruskan sumber ekonomi negara.

Menurut beliau, Najib terpaksa membohongi rakyat dengan menyebut jumlah keseluruhan pinjaman tersebut sebanyak RM43 bilion, padahal jumlah pinjaman peminjam seramai 1.9 sehingga akhir 2012 hanya berjumlah RM28 bilion sahaja.

Katanya, apabila Pakatan Rakyat memberikan komitmen untuk menghapuskan hutang PTPTN sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 ini telah menyebabkan pemimpin Umno BN bercelaru dan buntu.

“Kita ingin memberi jalan dan harapan baru kepada anak muda khasnya yang masih belum bekerja dan kebanyakan mereka diburu surat lawyer yang akan mengheret mereka ke mahkamah.

“Hutang PTPTN ini telah mengekang kehidupan anak muda, ia menjadi beban buat lepasan mahasiswa yang baru ingin memulakan kehidupan,” ujarnya.

Justeru, jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu, Umno BN kini panik dalam isu PTPTN, mereka sudah tidak tahu bagaimana formula untuk mengatasinya, lantaran itu mereka mudah menghukum negara akan bankrap kalau wang PTPTN itu dilupuskan.

Harakah Daily

Task force: Jangan pekak pendedahan Mahfuz

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PAS mengingatkan seluruh rakyat bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan kian khianat terhadap masa depan negara.

Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah task force khas yang diketuai oleh pegawai khas kepada Perdana Menteri yang bertindak memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN merupakan suatu malapetaka bagi negara.

Tindakan terdesak ini jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara, kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.

Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini? Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini.

Bahkan, apa yang lebih mendukacitakan badan-badan NGO yang selama ini bertempik mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan tanahair sunyi sepi seolah-olah isu ini hanya rekaan pembangkang.

Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang. Kesediaan beliau untuk memberi segala maklumat kepada Suruhanjaya Diraja, merupakan tindakan berani bagi mendedahkan isu besar ini.

Sehubungan itu, PAS akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini. Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Harakah Daily

Gara-gara suapan RM50, pemandu lori didenda RM10,000

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Gara-gara memberi suapan RM50 kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang pemandu lori hari ini didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan di sini hari ini.

Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mat Nasir Dullah, 48, selepas dia mengaku bersalah dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mat Nasir membayar denda itu.

Mat Nasir didakwa memberi suapan itu kepada Ketua Penguat kuasa JPJ KLIA, Azlee Ahmad sebagai dorongan tidak menyaman tertuduh di atas kesalahan memandu kenderaan WGU 7392 yang lesennya telah tamat tempoh di Km 12 Jalan Kuantan-Cherating pada 9.40 pagi, 27 Mei, 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mat Nasir yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin.- Bernama

Sinar Harian

Polis Terengganu tumpaskan sindiket tipu peniaga

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menumpaskan satu sindiket yang menipu peniaga dengan membeli barangan tanpa membuat bayaran dengan tertangkapnya empat lelaki di Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supt Khoh Ah Tiam, berkata dengan tertangkap suspek yang merupakan warga tempatan berusia antara 40 dan 55 tahun, polis dapat menyelesaikan sembilan kes melibatkan kerguain RM300,000 yang dilaporkan sejak tahun 2008.

"Sasaran mereka adalah kedai barangan elektrik, peniaga beras dan pengusaha ikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya modus operadi yang digunakan kumpulan ini amat mudah iaitu mereka menelefon peniaga bagi membuat tempahan dan kemudian akan mengirimkan borang tawaran serta memasukkan slip bank palsu kepada peniaga.

"Kumpulan ini amat licik, mereka hanya membuat tempahan seperti beras sebanyak 10 hingga 20 tan tanpa membuat bayaran dan mereka menjual kembali kepada orang lain dengan harga yang lebih rendah," kata Khoh. - Bernama

Sinar Harian

Jangan buang helaian al-Quran sesuka hati – JHEAT

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pengusaha pusat fotostat dinasihatkan supaya jangan membuang helaian al-Quran sewenang-wenangnya bagi memelihara kesucian ayat suci itu.

Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan Negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pengusaha pusat fotostat perlu lebih peka dalam menjaga kesucian al-Quran dengan tidak membiarkan naskhah suci itu terabai.

“Kita tidak mahu kertas-kertas al-Quran ini dicampakkan begitu sahaja dan dibuang ke dalam tong sampah bersama-sama sampah dan kotoran lain selepas melakukan proses salinan,” tegasnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain itu, menurut Muhammad Ramli, jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini dinasihatkan supaya melupuskan al-Quran buruk secara baik dan jangan membiarkannya berlonggok di dalam stor.

Justeru, katanya, satu pekeliling akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) kepada semua masjid agar naskhah al-Quran yang telah rosak dapat dilupuskan dengan baik.

kosmo/-

Nenek nyaris dipatuk ular tedung

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BATU HAMPAR, KUALA TERENGGANU – Keasyikan seorang nenek lapan cucu menyediakan juadah makan malam bertukar igauan ngeri apabila dia dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang lebih satu meter.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Mahani Mamat, 56, terpana seketika apabila reptilia tidak diundang di ruangan kabinet dapur rumahnya secara tiba-tiba mengembangkan kepalanya.

Menceritakan detik cemas tersebut, Mahani berkata, ketika kejadian dia bersendirian di rumah kerana suaminya, Abu Bakar Mat

Amin, 65, dan ahli keluarganya yang lain berada di luar kerana mempunyai urusan masing-masing.

“Ketika memasak lauk untuk makan malam, makcik keluar rumah sekejap untuk mengambil barang berhampiran pintu dapur.

“Pada waktu itu, makcik sudah ternampak kelibat sesuatu yang bergerak atas batang paip berdekatan sinki, namun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, selesai mengambil barang, dia kembali menuju ke dapur untuk memasak dan ketika itu terdengar bunyi dengusan ular.

“Makcik berpaling ke arah kabinet dapur dan alangkah terkejutnya apabila terlihat seekor ular tedung mengembangkan kepalanya.

“Perasaan berdebar dan ketakutan menyebabkan makcik tidak mampu berbuat apa-apa sebelum mengambil keputusan berlari keluar dan meminta pertolongan jiran, namun dia juga tidak boleh berbuat kerana masing-masing tidak berani,” katanya.

Mahani berkata, dia mengambil keputusan menghubungi suaminya memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, berikutan reptilia berkenaan sudah masuk dalam ruangan kabinet dapur, mereka mengambil keputusan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Terengganu bagi meminta pertolongan.

“Terima kasih kepada anggota yang membantu makcik sehinggakan mereka sanggup bersusah-payah hampir setengah jam.

“Makcik sendiri tidak tahu dari mana haiwan ini muncul apatah lagi ini kejadian pertama kali. Bagaimanapun, makcik bersyukur kerana terselamat dan sempat melarikan diri,” katanya.

Sinar Harian

Rezeki selepas setengah jam

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MELAKA - Mengambil masa kira-kira setengah jam selepas umpan dilontarkan, seorang peserta pertandingan memancing berjaya menggondol ­gelaran juara sekali gus memenangi RM10,000 dalam satu pertandingan memancing yang diadakan di bawah anjuran Joran Emas, kelmarin.

Nordin Bakar. 48, menjadi juara baru pertandingan memancing mingguan yang diadakan setiap malam minggu di Pantai Eye On Malaysia, Bandar Hilir, dekat sini menewaskan ratusan peserta ­memancing lain yang terdiri dari dalam dan luar negeri ini.

Menurutnya, setiap minggu dia pasti menyertai ­pertandingan memancing yang diadakan di sini malah ia merupakan aktiviti riadahnya di waktu lapang.

“Selain untuk memancing, saya juga mengharapkan rezeki jika berjaya menaikkan ikan terberat biarpun persaingan begitu sengit antara kaki pancing lain.

“Saya juga berniat jika ada rezeki dan menang, duit ­kemenangan ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk membaiki rumah yang uzur,” katanya.

Nordin berkata, dia tidak menduga persaingan sengit antara lebih 500 kaki pancing dari dalam dan luar Melaka menguji kesabaran dan ­membakar semangatnya untuk terus bertarung menaikkan ikan terberat.

“Saya terpaksa menunggu hampir setengah jam dan sempat menukar umpan dua kali sebelum pancing disentap sebelum seekor ikan pari seberat 1.4 kilogram berjaya didaratkan kira-kira 10.45 malam.

“Namun kira-kira 10 minit selepas itu, rakan saya menaikkan seekor ikan sembilan besar yang turut mempunyai berat sama dengan ikan pari saya,” katanya yang pernah menjadi juara lapan tahun lalu.

Katanya, atas kebijaksanaan juri, keputusan akhirnya memihak kepada saya selepas diumumkan pemenang ­berikutan perbezaan masa terawal menyelamatkannya dari berputih mata.

Pertandingan anjuran Kelab Joran Emas menyaksikan Nordin berjaya meraih wang tunai RM10,000 sebagai juara, Zamri Sariman, 43, dari Muar, Johor tempat kedua membawa pulang RM3,000 manakala Md Nor Md Said, 50, dari Klebang tempat ketiga mendapat RM1,000.

Sementara Zamri berkata, idea mengadakan pertandingan memancing waktu malam amat berkesan berikutan ­sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang tidak mahu ketinggalan untuk turut serta.

“Selain memancing, peserta juga berpeluang mengunjungi Melaka.

“Menang atau kalah bukan ukuran asalkan kami semua dapat berkumpul selain bermesra dan bertukar pendapat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Memancing Joran Emas, Amran Othman, acara memancing mingguan yang diadakan berjaya menarik pengunjung dari dalam dan luar untuk bersantai bersama keluarga bagi mengelak gejala negatif.

Sinar Harian

Mayat mangsa bunuh ditemui dalam semak

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Kehilangan seorang lelaki akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui sekitar kawasan semak dekat Jalan Seremban - Mantin, di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai A Thiruna Vukarus, 43, ditemui mati dipercayai dibunuh sebelum dicampak dekat kawasan berkenaan.

Mangsa yang bekerja di Thailand sebelum ini dilaporkan hilang selama semingggu berdasarkan laporan polis dibuat keluarganya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dipercayai dipukul dengan objek tajam dan polis tidak menafikan bahawa mangsa sudah mati beberapa hari lalu dan dibunuh di tempat lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian Hotline 06-7619999.

Sinar Harian

Terpedaya pakej pelancongan

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Seramai 10 ahli Kelab Motor RMC hampir kerugian RM 930, apabila dijanjikan percutian ke Pulai Perhentian, 23 Mac lalu.

Mereka hampir ditipu oleh salah satu agensi pelancongan dari Kuala Lumpur, yang dikatakan menggelapkan wang pendahuluan mereka, sebanyak RM60.

Pengerusinya, Jailani berkata, dia hampir terpedaya dengan janji kosong agen pelancongan berkenaan, ketika mereka membuka ‘booth’, di pusat membeli belah di Kota Bharu.

Menurutnya, ejen terbabit menjanjikan pakej pelancongan tiga hari dua malam, ke Pulau Perhentian Terengganu, dengan bayaran hanya RM93 seorang.

“Memandangkan harga yang ditawarkan amat murah, saya bersetuju dengan pakej itu dan membayar RM60 sebagai wang pendahuluan dan baki bayaran pula, akan diberikan pada keesokan harinya,” katanya, selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.

Jailani berkata, sehari selepas bayaran, ejen berkenaan menghubunginya dan meminta untuk melunaskan baki bayaran secepat mungkin.

Namun katanya, dia mula curiga apabila ejen itu enggan memberi nombor telefon pejabat, untuk pengesahan.

Menurutnya, nombor telefon pejabat urusan pusat pelancongan ini, akan diberikan sekiranya bayaran penuh dilunaskan ke akaun peribadinya.

“Saya mula syak ejen ini cuba menipu wang kelab, maka saya memintanya untuk mendapatkan bayaran balik.

“Ejen berkenaan berjanji, pihak pejabat urusannya akan menghubunginya dalam masa seminggu,” katanya.

Dua minggu selepas itu, dia masih tidak mendapat sebarang panggilan, malah ejen berkenaan mengaku dia sudah berhenti kerja dan tidak mempunyai sebarang urusan berkenaan perkara terbabit.

“Bukan nilai wang yang saya pentingkan, tetapi saya tidak mahu ada pengguna lain turut sama teraniaya akibat penipuan agensi pelancongan terbabit, di masa hadapan.

“Saya berharap, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap agensi pelancongan ini, agar mereka tidak lagi menipu wang pengguna dengan cara sebegini,” katanya.

Sinar Harian

Korea Utara sedia ujian nuklear

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Kumpulan wartawan lalu di hadapan roket UNHA-3 (Milky Way 3) yang sudah bersiap sedia untuk dilancarkan di Tapak Pelancaran Satelit Laut Barat semasa lawatan wartawan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa Korea Utara di barat laut Pyongyang, kelmarin. – REUTERS

SEOUL 9 April – Korea Utara dipercayai sedang menggali sebuah terowong baru bawah tanah sebagai persiapan untuk menjalankan ujian nuklear ketiga.

Imej satelit, baru-baru ini menunjukkan kerja menggali di tapak Punggye-ri, timur laut Korea Selatan, di mana ujian nuklear dijalankan pada 2006 dan 2009, sudah berada pada peringkat akhir, menurut laporan perisikan Korea Selatan yang disiarkan kepada Associated Press (AP), hari ini.

Penyiaran itu dibuat ketika Korea Utara sedang bersiap sedia untuk melancarkan sebuah roket jarak jauh yang disyaki oleh Washington dan negara lain sebagai helah untuk menguji teknologi peluru berpandu yang boleh digunakan untuk menyerang Amerika Syarikat (AS).

utusan malaysia/-

‘Barca boleh ditewaskan’

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PEMAIN tengah Chelsea, Michael Essien yakin Barcelona mampu ditumbangkan selepas mereka bertemu pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, musim ini.

Kelab barat London itu menjadi tuan rumah terlebih dahulu pada 18 April dan pemain kelahiran Accra itu mahu meranapkan impian Blaugrana ke final.

“Gerak hati ini kuat mengatakan Chelsea boleh menumbangkan Barca pada perlawanan penting itu nanti,” katanya.

The Blues ditunjukkan jalan keluar oleh Barcelona pada 2009 hasil jaringan kontroversi Andres Iniesta beberapa minit sebelum tamat perlawanan.

Sinar Harian

11 maut letupan bom di pasar Somalia

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MOGADISHU 10 April - Sebutir bom meletup di sebuah pasar sibuk di Somalia, semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan kira-kira 35 lagi cedera, kata seorang pegawai.

Pegawai tempatan, Mohamed Ibrahim Habsade berkata, kebanyakan mangsa yang maut dalam serangan yang berlaku di pekan Baidoa merupakan kanak-kanak dan wanita.

Saksi kejadian berkata, bom itu diletupkan selepas askar kerajaan Somalia memasuki pasar tersebut, namun kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah orang awam. - AFP

Gara-gara motosikal tiada lampu

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM – Dua penunggang motosikal maut apabila kenderaan yang ditunggang bertembung antara satu sama lain dalam satu kejadian dekat Jalan Kepala Batas, berhadapan Pasar Awam Penanti, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.21 malam itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohd Tarmizi Wahab, 26, yang menunggang motosikal jenis Suzuki RGV120 dalam perjalanan dari Kubang Semang menuju ke Guar Perahu.

Mangsa yang dipercayai menunggang laju itu dikatakan telah memasuki lorong bertentangan ketika tiba di lokasi, lalu bertembung dengan motosikal Honda EX5 ditunggang seorang lagi mangsa, Muhammad Ishaizal Ishak, 24, yang kebetulan melalui jalan itu.

Akibatnya, kedua-dua mangsa terpelanting ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Mayat kedua-dua mangsa yang bekerja sendiri itu kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, Ketua Trafik/Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Manogaran ketika ditemui mengesahkan menerima laporan mengenai kejdian.

Menurutnya, selain memasuki lorong bertentangan, lampu hadapan motosikal jenis Suzuki RGV120 yang tidak berfungsi dipercayai menjadi punca kemalangan.

Ia menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5 tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.

“Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua mangsa yang berasal dari Mukim 19 Mengkuang Titi dan Mukim 20 Penanti itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sinar Harian

Pengalaman City kurang: Mancini

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PENGURUS Manchester City, Roberto Mancini berkata, anak didiknya memerlukan lebih banyak pengalaman selepas tunduk 1-0 kepada Arsenal di Emirates semalam.

Kekalahan itu menyebabkan City ketinggalan lapan mata berbanding pendahulu liga, Manchester United.

“Ternyata pengalaman memisahkan keputusan ini. Samer Nasri bagaikan hilang arah, manakala Mario Balotelli terkeluar daripada aksi sebenar.

“Perlawanan ini kelihatan sukar bagi kita dan Arsenal bijak menghidu peluang.

“Malah, pemain tertekan selepas mengetahui kemenangan United ke atas QPR sebelum perlawanan,” katanya.

Sinar Harian

Padah liat bayar sewa tertunggak

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Sikap gemar menangguhkan bayaran sewa bulanan premis menyebabkan lapan pemilik medan selera terpaksa berdepan dengan tindakan sita yang diambil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Pada operasi sitaan tunggakan gerai dan harta majlis yang dilakukan MBAS semalam, dua premis di Medan Selera Mergong dan satu premis di Sudut Selera Putra disita.

Ketua Unit Sewaan MBAS, Shaari Abdullah berkata, operasi yang disertai 25 penguat kuasa MBAS itu melibatkan gerai yang gagal menjelaskan tunggakan melebihi tiga bulan.

“Dua pemilik premis di Sudut Selera Putra menjelaskan separuh daripada jumlah tunggakan yang menyebabkan tiada tindakan diambil terhadap gerai mereka.

“Kita masih memberi peluang kepada pemilik premis sekiranya mereka mahu membuat bayaran walaupun separuh dan mereka perlu ke pejabat MBAS untuk kita memberi jadual pembayaran untuk masa akan datang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Shaari berkata, pada operasi kali ini jumlah tunggakan membabitkan RM22,720 manakala tunggakan tertinggi melibatkan gerai minuman di Sudut Selera Putra dengan jumlah tertunggak sebanyak RM5,600.

Menurutnya, pemilik gerai itu gagal membuat sebarang pembayaran menyebabkan peralatan perniagaannya terpaksa disita.

Tempoh tujuh hari waktu bekerja diberikan kepada pemilik untuk membuat bayaran bagi membolehkan mereka mengambil semula barang miliknya yang disita.

Menurutnya, dua gerai di Sudut Selera Putra ditutup namun, pemiliknya masih belum menjelaskan jumlah sewa tertunggak.

“Walaupun mereka tidak lagi beroperasi namun, ini tidak bermakna mereka tidak perlu menjelaskan bayaran tertunggak kerana kita akan mencari mereka untuk melunaskan bayaran itu.

“Kita juga tidak akan membenarkan mereka menyewa mana-mana gerai MBAS sekiranya belum membuat pembayaran,” katanya.

Shaari berkata, operasi sitaan yang dijalankan itu diadakan pada setiap minggu dan akan berakhir pada Disember depan.

Sinar Harian

Pembeli rumah terbeban

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PEKAN – Pembeli sepakat untuk membawa masalah berhubung pembinaan perumahan Pusat Pekan Jaya Fasa Dua yang terbengkalai sejak Disember lalu kepada pihak tertinggi bagi mendapatkan hak mereka berikutan pembayaran sudah mula dilakukan setiap bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sementara, Mohd Shamsuzani Mohd Nor berkata, pembeli begitu kecewa dengan tindakan pemaju yang mula lepas tangan selepas gagal menyiapkan sebanyak 22 rumah mengikut waktu dijanjikan.

“Pemaju berjanji untuk menyempurnakan pembinaan itu ketika pertemuan awal antara pemaju, penduduk dan peguam. Mereka juga berjanji untuk menyiapkan perumahan fasa kedua ini pada Disember lepas sebelum dilanjutkan sehingga Januari kemudian selewatnya Mei ini.

“Namun, tiada sebarang tindakan susulan sedangkan masa dijanjikan hanya tinggal lebih kurang sebulan lagi,” katanya di sini, semalam.

Shamsuzani berkata, kebimbangan pembeli memuncak apabila ada dalam kalangan mereka mula membuat bayaran secara potongan gaji mengikut persetujuan ketika proses jual beli.

Menurutnya, mereka tidak boleh melakukan sebarang tindakan drastik termasuk membatalkan pemotongan gaji kerana masih mengikut perjanjian ditandatangani.

Dalam perkembangan sama, Jemilah Abdullah berkata, pembeli begitu kecewa berikutan sikap pemaju yang sering berdolak-dalik mengenai status perumahan itu setiap kali dihubungi.

“Masalah kewangan adalah alasan kerap digunakan, sedangkan kami sudah membayar deposit dan bulanan.

“Saya sudah menyelesaikan segala bayaran sejak 2011, namun hingga kini masih tiada tanda-tanda perumahan ini akan siap sepenuhnya. Sehubungan itu, saya harap rumah ini dapat disiapkan segera,” katanya.

Menurutnya, dia juga bimbang jika lokasi itu dijadikan sebagai tempat menjalankan aktiviti tidak sihat.

“Sesekali saya meninjau kawasan ini dan mendapati banyak kesan penagihan dadah termasuk tilam, bantal dan alat pemujaan nombor ekor. Selain itu, banyak penutup besi dicabut dan dicuri individu tidak bertanggungjawab.

“Bagaimanapun, kami masih berharap masalah ini dapat diselesaikan segera dengan bantuan banyak pihak terutama agensi berkaitan,” katanya.

sinar harian/-

Pengadil tiada pilihan: Fergie

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BOS Manchester United, Sir Alex Ferguson percaya pengadil ‘tiada pilihan’ selepas melayangkan kad merah kepada pemain Queens Park Rangers (QPR), Shaun Derry pada aksi kedua-dua pasukan di Old Trafford, kelmarin.

Derry diarahkan keluar padang oleh pengadil, Lee Mason kerana didakwa mengkasari Ashley Young dalam kotak penalti pada minit ke-14.

Wayne Rooney kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti dan Paul Scholes memastikan kemenangan ke-25 liga buat pasukan bergelar The Red Devils musim ini.

“Ashley memang pada kedudukan offside. Banyak keputusan seperti ini berlaku pada perlawanan yang lepas.

“Derry hanya menghalang pergerakan Ashley dan tidak sangka pengadil terus memberikan dia kad merah,” katanya.

Sinar Harian

Ops 6P: 15 pekerja asing ditahan

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seramai 15 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P di sebuah pasar raya di sekitar kawasan Nusa Bestari, di sini, kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, serbuan disertai 18 anggota dan pegawainya itu memeriksa 25 warga asing yang bekerja di pasar raya terbabit.

Menurutnya, seramai 15 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Kemboja berusia antara 21 hinggs 45 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

“Sembilan daripada 15 warga asing yang ditahan adalah Indonesia, Bangladesh (tiga), Myanmar (dua) dan Kemboja (dua).

“Kehadiran anggota yang berpakaian preman tidak disedari warga asing ini. Warga asing ini ditahan berdasarkan loghat suara ketika sedang menarik perhatian orang ramai untuk membeli ikan dan ayam di premis yang mereka kerja.

“Apabila serbuan dibuat, ada pekerja asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di bawah rak sayur. Kesemua warga asing ditahan berikutan lokasi pasar raya ini sudah dikepung terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, sembilan daripada warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan sah ke negara ini.

“Enam daripadanya ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana kesalahan menyalahguna pas lawatan dimiliki. Kesemua warga asing terbabit juga disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan Akta Pasport 1960,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian.

Sinar Harian

Kereta melekat celah pokok

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Dua sahabat berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki terbang ke udara selepas hilang kawalan di selekoh tajam sebelum terbabas, lalu terbalik.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam semalam itu dipercayai berlaku apabila Proton Satria dipandu Nurul Balqis Mohd, 20, hilang kawalan sebaik tiba di selekoh tajam berdekatan pintu belakang Tanjung Jara Resort.

Menurut Balqis, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Paka untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Kuala Terengganu.

Sebelum kejadian, Balqis bersama seorang rakannya, Norshamsiah Mat, 23, yang duduk di tempat penumpang hadapan, dikatakan sempat singgah makan pizza di bandar Dungun.

Setibanya di kawasan itu, Balqis yang menyangka laluan selekoh berkenaan seperti jalan lurus, tiba-tiba terpandang pagar resort terbabit lalu cuba mengelak.

Bagaimanapun, kereta yang dipinjamnya itu dikatakan gagal dikawal, lalu terbabas sebelum terbang dan melanggar sebatang tiang, sebelum melekat di celah pokok.

Balqis yang masih trauma dengan kejadian itu nekad tidak akan memandu kenderaan lagi dalam masa terdekat.

“Saya lihat asap keluar dari bahagian enjin, ingat ia akan meletup.

“Kemudian saya bergegas keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri sebelum beberapa pekerja resort berkenaan tiba untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Balqis yang merupakan pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah dan berasal dari Kuala Terengganu cedera ringan pada bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Rakannya, Nor Shamsiah, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sinar Harian

PPM rampas lembu seludup

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor berjaya merampas 27 ekor lembu bernilai RM135,000 dalam operasi pencegahan penyeludupan di sempadan dari Januari hingga April.

Daripada jumlah ini, rampasan terbesar sebanyak lapan ekor lembu jenis Brahman bernilai RM40,000 apabila di seludup masuk menyeberangi Sungai Golok melalui Pangkalan Mek La Kampung Simpangan, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, kejayaan itu hasil intipan anggota PPM di sekitar Pangkalan Haram Mek La kira-kira jam 3 pagi.

“Ketika intipan itu, kelihatan sebuah perahu enjin galah dari arah Thailand mengheret lembu menyeberangi sungai Golok menghala ke Pangkalan Mek La.

“Apabila perahu itu rapat di tebing, kelihatan dua lelaki tempatan yang sedang menunggu ketibaan lembu tersebut mengheret lapan lembu itu naik ke darat.

“Kira-kira jam 4.30 pagi, serbuan dilakukan, bagaimanapun dua lelaki tersebut berjaya melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, haiwan tersebut dibawa ke Balai Polis Simpangan dan diserahkan kepada ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dipercayai lembu tersebut untuk dijual dipasarkan tempatan dan aktiviti ini semakin aktif menjelang Aidilfitri nanti.

Sinar Harian

Padah guna logo halal swasta

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA - Empat premis restoran yang masih berdegil dan mempamerkan logo sijil halal swasta di sebuah pusat beli-belah terkenal di Subang Jaya dikenakan amaran oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam satu serbuan mengejut semalam.

Dalam operasi berkenaan, sebuah premis turut dikenakan notis amaran selepas didapati mempamerkan logo halal meskipun belum mendapat kelulusan daripada Jakim.

Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Adam Drahman berkata, kebanyakan pengusaha didapati dengan sengaja menampal logo halal tidak diiktiraf itu di premis dan dalam menu makanan masing-masing.

Katanya, Jakim kini sudah masuk fasa kedua menguatkuasakan undang-undang itu selepas memberi memberi nasihat kepada pengusaha premis makanan pada fasa pertama dari Januari hingga Mac lalu.

“Selepas berakhir pada Jun, tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pengusaha yang ingkar. Mereka boleh didenda sehingga RM5 juta di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita beri amaran supaya syarikat lebih peka dan segera turunkan atau tutup logo halal swasta yang dipamerkan kini,” katanya selepas menyerbu tiga premis di Subang Jaya dan sebuah premis kopitiam di Puchong, semalam.

Pihaknya kesal ada pengusaha yang masih dalam permohonan tetapi sudah meletakkan logo halal di premis makanan mereka.

“Sebenarnya tidak susah memohon sijil halal daripada Jakim kalau ikut prosedur, yang penting semua dokumen diperlukan termasuk salinan resit pembelian barangan makanan dan dokumen sijil halal barangan mencukupi.

“Kosnya lebih murah berbanding mengupah perunding yang mengambil kesempatan terhadap syarikat yang memohon sijil halal dengan bayaran ribuan ringgit,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya memastikan hanya logo sijil halal Malaysia diiktiraf Jakim di restoran yang dikunjungi mereka.

“Pengguna boleh berhubung dengan Jakim untuk membuat aduan sekiranya timbul keraguan,” katanya.

Sinar Harian

Puting beliung rosakkan bumbung rumah penduduk

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TAMAN KERIAN – “Saya terkejut melihat beberapa keping bumbung dibawa puting beliung dan terjatuh ke atas jalan raya,” kata saksi kejadian puting beliung, Mohd Hashim Said, 58, di Taman Kerian, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.05 tengah hari itu merosakkan bumbung 22 rumah di taman berkenaan.

Mohd Hashim berkata, keadaan cuaca pada ketika itu panas dan tiada angin serta ribut melanda.

Menurutnya, dai bersama beberapa penduduk lain baru sahaja pulang daripada menghadiri kenduri di salah sebuah rumah penduduk berhampiran.

“Ketika kejadian saya dan penduduk lain berehat di bawah pokok berhampiran kedai runcit.

“Tiba-tiba kami terlihat bumbung beberapa rumah penduduk diterbangkan puting beliung,” katanya.

Katanya, akibatnya bumbung 22 rumah di Jalan Dahlia, Jalan Kemboja dan Jalan Matahari rosak teruk.

Seorang lagi saksi, Syamil Farhan Abdul Aziz, 22, berkata, dia juga terkejut apabila melihat bumbung diterbangkan angin kemudian terus menghubungi rakan-rakan lain supaya memberitahu penduduk yang terlibat.

“Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku disebabkan ketika itu ramai penduduk yang tiada di rumah selain ada yang masih di menghadiri kenduri,” katanya


Air mencurah-curah

MANGSA, Omar Sidek, 66, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan hanya menyedari bumbungnya rosak pada sebelah malam.

Menurutnya, dia terkejut apabila air tiba-tiba mencurah keluar dari atas bumbung.

“Selepas diselidiki saya dapati ada kebocoran pada bumbung rumah akibat puting beliung yang berlaku tengah hari tadi (kelmarin),” katanya.

Agency

Jalan mendap tunggu mangsa

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SONGSANG - Keadaan bahu jalan raya Temerloh-Jerantut, dekat sini, yang mendap memerlukan perhatian sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengguna, A Gopal, 25, berkata, pihak berkenaan sepatutnya sudah mengambil tindakan untuk mengatasi masalah itu berikutan keadaan tersebut sudah berlarutan selama hampir empat bulan.

Menurutnya, keadaan itu turut membahayakan keselamatan pengguna terutama penunggang motosikal kerana kon diletakkan di kawasan terbabit mudah tumbang ditiup angin dan boleh menyebabkan kemalangan.

“Beberapa hari lalu, saya nyaris terjatuh daripada motosikal ketika melalui jalan ini semasa sedang menunggang menghala ke pekan Kerdau. Kon tersebut tiba-tiba tumbang dan saya nyaris terjatuh.

“Nasib baik ketika itu tiada kenderaan di belakang saya. Kalau tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati mendapan di jalan terbabit semakin dalam dan perlu dibaiki segera.

Gopal berkata, sehubungan itu pihak berkenaan diharap dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan membaiki kerosakan tersebut kerana bimbang ia semakin teruk.

Tambahan pula katanya, keadaan gelap terutama pada waktu malam meningkatkan lagi risiko kemalangan.

“Pemandu dari arah Temerloh menuju Jerantut akan masuk ke laluan bertentangan untuk mengelak mendapan itu. Kita bimbang tindakan tersebut akan menyebabkan kemalangan.

“Tambahan pula, kenderaan di kawasan ini dipandu laju dan jumlah kenderaan pula semakin bertambah,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Iran halang akses laman Sukan Olimpik

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

LONDON - Iran dipercayai telah mengambil langkah menghalang akses kepada laman web rasmi sukan Olimpik 2012 yang akan berlangsung di Britain pertengahan tahun ini.

Laporan BBC menyebut pengguna-pengguna dari Iran menghantar mesej menerusi Twitter mengatakan mereka tidak dapat akses laman london2012.com, sebaliknya dialih laluan ke laman peyvandha.ir - laman web yang menawarkan berita-berita dari agensi berita rasmi Iran.

Laman web blockediniran.com mengesahkan bahawa kebanyakan pengguna di Iran tidak dapat mengikuti laman web rasmi Sukan Olimpik London.

BBC melaporkan Kementerian Luar Iran tidak memberi respons kepada soalan pihaknya mengenai isu itu.

sinar harian/-

Lima Buah Kedai Di Pekan Terbakar

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

NILAI: Lima rumah kedai sederet hangus dalam satu kebakaran di Jalan Besar, Pekan Pajam dekat sini, awal pagi Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Ahmad Nizam Sapaiee berkata kebakaran pada pukul 3.46 pagi itu melibatkan dua rumah termasuk sebuah rumah kosong, sebuah kedai basikal, kedai telefon bimbit dan sebuah kedai runcit yang hangus 60 peratus.

"Seramai 22 anggota bomba bersama tiga jentera dari Mantin, Nilai dan Seremban 2 mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya. -BERNAMA

Pimpinan PAS ke Perlis selepas T'ganu dan Pahang

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KANGAR, 10 April: Selepas selesai melawat Terengganu dan Pahang hujung minggu lalu, pimpinan PAS yang diketuai Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan ke Perlis pula hujung minggu ini.

Beliau akan berada di Perlis pada hari Sabtu, 14 April ini.

Program jelajah negara ini dibuat untuk membolehkan pucuk pimpinan PAS mempersiapkan PAS bagi setiap negeri dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang ini.

Sebelum ini, Lajnah Penerangan PAS menjelajah seluruh negara melalui program 'konvoi penerangan' yang diketuai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut serta dalam program di Perlis termasuk Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof.

Sepanjang berada di negeri ini, beliau akan bertemu pimpinan PAS serta orang ramai dalam beberapa program yang telah disusun.

Bermula jam 12.00 tengahari, Abdul Hadi akan disambut dengan konvoi bermotosikal untuk dibawa ke program bersama rakyat yang diadakan di ketiga-tiga parlimen Padang Besar, Kangar dan Arau.

Beliau kemudiannya akan bertemu pimpinan PAS Perlis dalam majlis yang akan diadakan di Kompleks PAS Perlis dan kemudiannya akan mengadakan majlis dialog dengan masyarakat Cina.

Pada sebelah malamnya, presiden dan pimpinan lain akan sekali lagi menemui masyarakat dan majlis ceramah yang akan diadakan di Kompleks PAS Perlis.

Harakah Daily

Kadir Sheikh Fadzir jumpa pimpinan PAS

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mengumumkan keluar dari Umno Mac lalu, mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi.

Bekas ahli majlis tertinggi Umno itu dilihat tiba bersorangan di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut kira-kira jam 8 malam.

Beliau disambut Timbalan Presiden Mohamad Sabu serta Naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub.

Turut serta AJK PAS Pusat Datuk Kamarudin Jaffar, Asmuni Awi, Ketua Dewan Pemuda Nasruddin Hassan serta Setiausaha Politik Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Perbincangan antara kesemua mereka bermula kira-kira jam 8.15 malam sejurus Tuan Guru Presiden tiba.

Pelbagai topik dibincangkan khususnya isu politik tanah air berkaitan kepincangan pilihan raya.

Perbincangan itu berakhir kira-kira jam 10 malam.

Sebelum ini, Abdul Kadir menggemparkan politik negara apabila beliau yang lebih 50 tahun menyumbang keringat dalam Umno, mengumumkan keluar dari parti itu.

Beliau yang pernah menjawat jawatan menteri penerangan itu mendakwa bertindak demikian selepas hilang kepercayaan kepada pemimpin Umno BN pada masa ini.

Sebelum keluar Umno, beliau ada mendakwa perjuangan Umno BN hari ini sudah terpesong jauh dari matlamat asal penubuhannya.

Beliau juga mendakwa Umno menggunakan taktik menabur wang sama ada untuk membeli undi pilihan raya dan sewaktu pemilihan parti.

Kritikan dan kelantangan beliau itu kemudiannya mengundang kecaman hebat dari pemimpin Umno sehingga beliau bertindak keluar parti.

Terdahulu, beliau turut dibawa meninjau bilik mesyuarat serta pejabat pimpinan PAS di tingkat 5 sebelum mengadakan pertemuan di luar pejabat Presiden di tingkat 4.

Menariknya, Abdul Kadir yang kini sebagai Timbalan Presiden NGO Amanah Merdeka (Amanah), buat kali pertama akan muncul berceramah di pentas PAS pada satu program besar di negeri Kedah 15 April ini.

Ceramah tersebut akan diadakan di Kupang sempena lawatan rasmi presiden PAS ke Kedah.

Beliau akan berceramah sepentas dengan Abdul Hadi, Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak serta Mahfuz.

Harakah Daily