10 April 2012

PAC terima tekanan politik teruskan siasatan?

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) didakwa seolah-olah menerima tekanan politik daripada pihak-pihak tertentu dalam usaha meneruskan siasatan terhadap empat perkara yang dipersetujui bersama.

Tekanan itu didakwa berlaku memandangkan jawatankuasa itu tidak dipanggil bermesyuarat sejak dua minggu lalu, biarpun sidang parlimen akan berakhir minggu hadapan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua (gambar) berkata PAC telah bersetuju untuk menyelesaikan empat perkara utama pada sidang kali ini, termasuk kes membabitkan National Feedlot Corporation (NFC).

Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu tiada mesyuarat dipanggil, yang menyaksikan seolah-olah empat perkara tersebut tidak akan diselesaikan pada sidang kali ini.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media di parlimen, hari ini Tony berkata, selain NFC, tiga perkara yang dipersetujui untuk diselesaikan ialah kes perlupusan hutang RM589 juta yang diberikan kepada Tan Sri Tajudin Ramli, pengurusan penyiasatan terhadap wang 1MDB dengan pelaburan mereka ke atas Petro Saudi, dan perbelanjaan KLIA II yang berlaku peningkatan kos dari RM1.7 bilion hingga RM3.9 bilion.

"Selain NFC, ketiga-tiga perkara ini tidak pernah dibincangkan pada mesyuarat sebelum ini, sedangkan ia tel,ah dipersetujui bersama sama ada daripada anggota BN mahupun pembangkang," tegas beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar menegaskan menjadi tugas dan tanggungjawab PAC untuk melihat dan mengawasi bagaimana wang kerajaan dibelanjakan.

"Khususnya berkaitan NFC, kita mahu tahu bagaimana wang yang diluluskan itu diluluskan, dan selepas diluluskan bagaimana ia dikeluarkan oleh jabatan-jabatan kerajaan, sama ada melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan sebagainya," tegas beliau.

"Bagi memastikan siasatan itu diteruskan, kita telah bersetuju untuk membuat lawatan ke Gemas, yang merupakan lokasi fidlot itu, namun dibatalkan tanpa dimaklumkan kepada anggota jawatankuasa," kata beliau.

Justeru, tegas beliau selagi parlimen tidak dibubarkan, selagi itu jawatankuasa ini akan meneruskan siasatan terhadap perkara yang telah dipersetujui bersama.

Selain Kamaruddin, anggota pembangkang yang turut menyertai PAC ialah Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw; dan Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Harakah Daily

Tiada ulasan: