10 April 2012

Ikrar: Isa Samad, Sabri wajar 'cermin diri'

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 April: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) meminta Tan Sri Isa Abdul Samad dan Datuk Sabri Ahmad yang membuat ikrar integriti semalam supaya 'cermin diri'.

Menurutnya, tindakan kedua-duanya yang masing-masing memimpin Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) menandatangani ikrar integriti korporat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam itu tidak lebih sebagai sandiwara semata-mata.

"Saya mintak kepada Isa Samad dan Sabri Ahmad suluh diri mereka lah, tak perlu nak main sandiwara ikrar integriti depan Perdana Menteri.

"Mereka buat deklarasi itu untuk tutup segala penyelewengan mereka," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Semalam, Felda dan FGVH menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Pakatan Integriti (IP) dengan SPRM.

CIP dan IP itu ditandatangani Pemangku Pengurus Besar Felda, Datuk Suhaimi Zainuddin, Presiden Kumpulan FGVH Datuk Sabri Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed disaksikan Datuk Seri Najib Razak dan Isa selaku pengerusi Felda.

Tindakan itu bagaimanapun dilihat banyak pihak sebagai cubaan membersihkan imej khususnya Isa.

Ini kerana Isa diragui integritinya ekoran pernah terpalit dengan isu rasuah dalam pemilihan Umno.

Lebih diragui apabila orang seperti beliau diberi pula kepercayaan oleh perdana menteri untuk menerajui Felda termasuk dalam usaha menyenaraiakan FGVH ke Bursa Malaysia.

"Mereka sebenarnya cuba nak bagitahu Felda dan FGVH berada di landasan yang betul.

"Padahal kehadiran mereka berdua dalam Felda hanya menimbulkan kacau bilau," kata Mazlan lagi.

Pada masa yang sama, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat laporan ke SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh Isa pada 12 April ini.

"Kita juga sedang mempersiapkan dokumen untuk mendapatkan deklarasi mahkamah terhadap status Isa sebagai pengerusi Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan juga deklarasi berhubung integriti beliau," tegasnya.

Harakah Daily

1 ulasan:

Nazaruddin si Hamba Allah berkata...

Pencuri berikrar depan Perompak & Penyamun!