10 April 2012

Tak mahu hilang kaki

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GEMAS - Seorang pelajar perempuan berdepan kemungkinan kaki kirinya terpaksa dipotong sekiranya gagal menjalani pembedahan segera berikutan barah tulang reput dialami sejak September tahun lalu.

Nur Fatin Izzati, 15, bagaimanapun terpaksa menghitung nasib kerana keluarganya kini menghadapi masalah untuk mengumpulkan RM48,000 bagi menanggung kos pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya kini tidak boleh bergerak aktif dan tidak boleh ke sekolah kerana ia menambah risiko tulang saya repuh dan pecah.

“Sekiranya berlaku, sel barah saya yang sudah terkawal kini akan merebak ke bahagian­ lain. Saya berdepan kemungkinan kaki kiri terpaksa dipotong,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Londah, dekat sini, semalam.

Ibu Nur Fatin, Zurina Sumri, 40, berkata, pada mulanya, dia menyangka anak sulungnya itu hanya mengalami bengkak disebabkan aktif sukan di sekolah.

“Selepas menyertai kejohanan di peringkat Negeri Sembilan Jun lalu, Fatin mula merasa kakinya bengkak. Kami membawanya ke Hospital Tampin (HT) untuk menjalani ujian­ imbasan dan kami dimaklumkan terdapat darah beku di bahagian berkenaan.

“Selepas hari raya tahun lalu, Fatin mulai sakit dan kami membawanya pula ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah. Di sana, kami terkejut dimaklumkan dia menghidap penyakit barah tulang dan perlu rawatan­ segera,” katanya.

Zurina berkata, Fatin yang dirujuk ke Pusat Perubatan UKM kini tidak boleh bersekolah menyebabkan impiannya untuk mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga tergendala.

Sementara itu, bapa Nur Fatin, Mohd Nazri Ahmad, 39, penoreh getah, berharap dapat mengumpulkan wang untuk pembedahan, selewatnya penghujung Mei ini.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Public Islamic Bank (4-7534207-16) atas nama Mohd Nazri Ahmad, atau menghubunginya di talian 012-2042154.

Sinar Harian

Tiada ulasan: