10 April 2012

Maut tertimbus bijih besi, pasir

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BALING - Seorang pemandu lori muatan bijih besi dan pasir maut selepas kenderaannya terbabas di kilometer 81 Jalan Baling-Gerik berdekatan Kampung Seniyek kira-kira 10.50 malam, kelmarin.

Mangsa, Mohd Firdaus Mohd Razali, 23, dari Kampung Beta Kubang Gadong, Pasir Mas, Kelantan maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Menurut sumber, mangsa dalam perjalanan menghantar bijih besi dari Kelantan ke Pulau Pinang.

Mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan mengakibatkan kenderaannya terseret beberapa meter sebelum terbalik di bahu kanan jalan.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar dan tertimbus dalam timbunan bijih besi dan pasir muatan lori itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

Difahamkan, dokumen pengenalan diri mangsa gagal ditemui dipercayai tertimbus dalam timbunan pasir itu. Maklumat awal mangsa hanya berpandukan kepada notis saman yang ditemui di tempat kejadian.

Mangsa juga dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kelas E berpandukan kepada surat saman yang ditemui.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Cif Inspektor Mohd Basirul Hapi Ibrahim mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kawasan berkenaan kerap berlakunya kemalangan maut berikutan keadaan jalan gelap, berbukit dan berliku. Justeru, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika melalui jalan ini.

“Kebanyakan kes kemalangan berlaku adalah disebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan mereka berikutan keadaan jalan yang berselekoh tajam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju selain memastikan pemanduan mereka tidak berada dalam keadaan mengantuk.

Mayat mangsa mayat dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: