22 April 2013

Awang Adek tersepit, buat tuduhan tanpa bukti

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BACHOK: Calon BN di parlimen Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin dilihat benar-benar tersepit apabila berterusan melemparkan dakwaan fitnah terhadap PAS.

Semalam pula ketua Umno Bachok itu mendakwa kononnya pembangkang ditaja pihak asing dengan menyogok pengundi supaya menyokong parti terbabit.

Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok, Hassan Mohamood berkata, Awang Adek dilihat benar-benar tersepit sehingga sanggup mengeluarkan fitnah terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

“Selalunya Umno menuduh kita kutip derma setiap kali berlangsungnya program ceramah bagi mengisi tabung parti, tiba-tiba sekarang beliau menuduh pula kita bersekongkol dengan pihak asing.

“Dana yang kita guna hasil derma daripada rakyat dan inisiatif PAS Bachok dan Kelantan. Kita tidak pernah mendapat dana daripada pihak asing.

“Tuduhan itu sangat bahaya. Baru-baru ini beliau mendakwa muslimat PAS menyogok wang sebanyak RM500 kepada seorang wanita Umno, sedangkan tiada bukti ditunjukkan,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Awang mendakwa Kementerian Kewangan menerima laporan berkaitan bantuan dana asing bagi menyogok pengundi supaya mengundi parti pembangkang.

Hassan yang juga calon PAS di Dun Tawang berkata, sentimen murahan itu semata-mata hendak mengabui mata rakyat dengan mengeluarkan fitnah bagi menjaga kepentingan politiknya.

Setiausaha PAS Bachok, Huzaimy Che Husin berkata, dakwaan Awang Adek adalah fitnah dalam usahanya melemahkan semangat jentera PAS di Bachok.

“Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang juga bekas Timbalan Menteri mengeluarkan kenyataan tanpa bukti. Amat malang sekali rakyat Bachok memiliki pemimpin seperti itu,” ujarnya yang juga calon PAS di Dun Perupuk.

Harakahdaily/-

Putrajaya: Gelabah, Muhyiddin mula serang Husam

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PUTRAJAYA: Melihat sambutan warga Putrajaya semakin hangat hari ke hari kepada calon PAS Datuk Haji Husam Musa, Umno mula melancarkan serangan terhadap beliau.

Dan orang yang melancarkan serangan ini bukan calang-calang orang tetapi Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemungkinan melihat Tengku Adnan semakin lemas tatkala Husam semakin disambut di Putrajaya, Muhyiddin semalam menyerang Husam dengan mempersoalkan rasional Naib Presiden PAS itu bertanding di dua negeri, Kelantan mempertahankan kerusi Salor dan Putrajaya.

Muhyiddin juga mengeluarkan teori pelik menyatakan bahawa Husam disisihkan di Kelantan dan sebab itu diletakkan di Putrajaya.

"Kita (BN) nak jadi wakil rakyat di sini, nak kerja...orang Putrajaya ni mesti tentukan dia kalah teruk, kalau boleh hilang wang pertaruhan," kata Muhyiddin.

Serangan Muhyiddin datang apabila beliau ditangkap menipu di TV3 berkata BN menang percuma di Senggarang, walhal di sana menyaksikan pertandingan dua penjuru antara PAS dan BN.

Sementara itu, Page Facebook P-125 Putrajaya milik Husam menjadi perbualan hangat di Facebook. 

Dalam masa seminggu sahaja berjaya menarik lebih 19,000 peminat dan lebih 35,000 sedang mengikuti perkembangan kempen Husam di Putrajaya.

Perkembangan ini menyebabkan Umno tidak senang duduk. Kesemua tempat yang dilawati Husam diberikan sambutan yang sungguh menggalakkan.

“Husam walaupun orang baru, kami dah rasa dekat. Tengku Adnan dah memang orang lama – Kehadiran Husam ini seperti kita mencuba benda baru sebelum membeli. Rasa dah terpikat sekarang tinggal nak bayar sahaja,” kata seorang penduduk Putrajaya bernama Affendi Mohamad kepada Harakahdaily.

Semasa PRU 2008, Tengku Adnan menang dengan majoriti 2,734, dengan mendapat 4,038 undi berbanding calon PAS Mohd Noor Mohamad yang hanya mendapat 1,304 undi.

Apakah Husam dapat mencabar Adnan? Dengan situasi dan mood rakyat Putrajaya sekarang, nampaknya di sini sudah menjadi satu pertandingan sengit, dan bukannya seperti dulu ‘sure win’ untuk Umno.

Harakahdaily/-

Kesalahan Che Johan lebih besar dari tanding bebas

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Umno dicabar memecat Che Johan Che' Pa yang sepatutnya bertanding sebagai calon BN di parlimen Pasir Mas jika benar-benar mengikut disiplin yang ditetapkan parti itu.

Yang DiPertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad bagaimanapun berkata, itu pun jika Umno berani berdepan pelbagai tekanan termasuk dari bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

"Beliau diamanahkan Umno menggalas tanggungjawab di Pasir Mas, tetapi bertindak mengkhianatinya. Ini bukan lagi sabotaj, tapi lebih dari sabotaj dan wajar dipecat," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas 'layanan istimewa' oleh Umno kepada Che Johan yang berbeza dengan ahli Umno yang mensabotaj parti yang lain.

Datuk Seri Najib Razaksebelum ini mengumumkan ahli Umno yang mensabotaj parti itu akan dipecat serta-merta.

Layanan istimewa itu ditambah lagi dengan kenyataan calon Bebas bagi kerusi itu, Datuk Ibrahim Ali yang merayu agar Lembaga Disiplin Umno tidak mengambil tindakan ke atas Che Johan.

Ibrahim yang merupakan calon dokongan Dr Mahatir juga berkata,  Che Johan tidak mengkhianati Umno kerana keputusannya itu adalah tepat demi memastikan PAS kalah di kawasan Parlimen tersebut.

Dalam pada itu, BN dikatakan akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Che Johan berikutan tindakannya menarik diri sebagai calon.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan tersebut sejajar dengan status Che Johan yang masih lagi ahli parti.

Tindakan Che Johan itu menjadikan kerusi parlimen Pasir Mas bertembung satu lawan satu antara PAS dan Bebas.

Ianya juga menyebabkan BN hilang satu peluang untuk menang di kerusi parlimen.

PAS meletakkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calonnya bagi menentang penyandang kerusi tersebut, Ibrahim Ali yang sebelum ini bertanding menggunakan lambang PAS pada PRU12 lalu.

Harakahdaily/-

Mat Taib: 'Saya kena sokong parti ada pendirian'

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Muhammad Muhd Taib

Muhammad bercakap pada sidang media selepas penyerahan borang keahlian menyertai Pas hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyertai Pas hari ini berkata, beliau merasakan sudah tiba masanya perubahan dilakukan agar pembangunan dinamik negara ini "mempunyai roh."

Katanya, beliau melihat Pas sebagai satu-satunya parti yang mampu membawa kesedaran tersebut.

“Selama saya menjadi menteri besar dan aktivis Umno, memang benar negara kita maju. Tetapi, sudah sampai masanya pengisian pembangunan ini ada rohnya.

“Saya fikir parti yang boleh isi roh itu mestilah parti yang perjuangkan Islam. Hanya Pas yang bawa kesedaran itu," katanya kepada pemberita.

Muhammad, 65, yang turut dikenali dengan panggilan Mat Taib, menyerahkan sendiri borang kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, Pas juga dilihat mempunyai pendirian untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh.

“Kalau Melayu bawah satu lambang agama dan diterapkan dalam satu ajaran, masyarakat tak akan berkecamuk. Pelaksanaan Islam sekarang tak menyeluruh.

“Saya kena sokong parti yang ada pendirian. Jika semua orang Melayu dan Islam sokong Pas, saya fikir negara ini boleh jadi contoh,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Taib berkata, hasrat menyertai Pas sudah timbul setahun lalu namun hanya diumumkan dua hari selepas penamaan calon.

“Hasrat dah setahun tapi saya tunggu masa sesuai. Saya umum selepas penamaan calon sebab tak mahu orang kata saya nak jadi calon.

“Saya tak berhajat jadi calon atau pegang jawatan. Saya cuma nak bagi sokongan kepada Pas,” katanya.

Beliau juga berkata, orang Melayu di bandar mesti menaikkan syiar Islam melalui undi kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, penyertaan Mat Taib mampu memberi kekuatan kepada Pas.

“Kita mengalu-alukan penyertaan beliau. Kita anggap ini sokongan yang cukup kuat daripada seseorang yang mempunyai pengaruh besar di Selangor.

“Kehadiran beliau juga memberi kekuatan kepada parti untuk terus melangsungkan perjuangan Islam,” katanya.

Sinar/-

PRU13: Lembaga Disiplin pecat 61 ahli UMNO tanding Bebas

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin UMNO memecat 61 orang ahli UMNO yang bertanding sebagai calon bebas di kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta. 


Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen, berkata tindakan itu selaras dengan fasal 20.10 Perlembagaan UMNO yang menyatakan mana-mana ahli UMNO yang bertanding sebagai calon bebas akan di pecat daripada parti dan tidak akan diterima keahliannya selama-lamanya. 


“Surat pemecatan keahlian yang ditandatangani oleh saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin dihantar pada hari ini juga untuk dimaklumkan secara rasmi kepada mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 



Katanya, Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin UMNO juga akan memanggil tiga lagi ahli UMNO dalam minggu ini untuk tunjuk sebab kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap mereka kerana menjadi pencadang, penyokong atau gagal menyerahkan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon yang baru lalu. 

“Mereka ini dipanggil di bawah falsal 20.8 Perlembagaan UMNO dibaca bersama perkara 3 Tataetika Ahli UMNO berikutan gagal mengikut perintah-perintah Parti atau gagal menjalankan dasar-dasar parti. 

“Lembaga Disiplin UMNO sekali lagi ingin mengingatkan ahli UMNO bahawa kita telah bersiap sedia untuk bertindak ke atas mana-mana ahli UMNO yang melakukan kesalahan sabotaj parti di dalam waktu tempoh berkempen Pilihanraya Umum ke -13 ini.” 

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk pecat dan gantung keahlian akan diambil setelah bukti-bukti dan laporan daripada pemantau yang dilantik diterima dan disiasat secara terperinci. 
“Saya juga menggesa semua ahli UMNO di seluruh negara supaya bersatu padu dan menyokong semua calon Barisan Nasional yang telah dinamakan untuk bertanding oleh pucuk pimpinan parti. Jauhi perbuatan sabotaj atau perbuatan yang boleh melemahkan parti dan Barisan Nasional. 

SENARAI AHLI UMNO YANG DIPECAT BERTANDING SEBAGAI CALON BEBAS PILIHAN RAYA UMUM KE–13 

1. PARLIMEN KUALA KANGSAR – DATUK KAMILIA IBRAHIM (NAIB KETUA WANITA UMNO MALAYSIA) 

2. PARLIMEN TASEK GELUGOR & DUN SUNGAI DUA – DATUK SERI HAJI MOHD SHARIFF BIN HAJI OMAR (AHLI JAWATANKUASA BHG) 

3. PARLIMEN SEPANG – DATO’ HAJI SUHAIMI BIN MOHD GHAZALI (KETUA PEMUDA BAHAGIAN) 

4. HANAPIAH BIN MOHAMAD 

5. DUN BUKIT NANING (BAKRI) – GHAZALI BIN SALAMON (AHLI JAWATANKUASA BHG) 

6. PARLIMEN BANDAR TUN RAZAK – SUKERI BIN ABD SAMAT (SETIAUSAHA KERJA BAHAGIAN) 

7. MOKHTAR BIN SALEHUDIN (KETUA PENERANGAN CAW.) 

8. DUN TITI TINGGI (PADANG BESAR) – YAACOB BIN MAN (AHLI JAWATANKUASA BAHAGIAN) 

9. DUN PANTAI MERDEKA (SUNGAI PETANI) – MOHD. YUSOF BIN LAZIM (AHLI JAWATANKUASA BAHAGIAN) 

10. DUN NENGGIRI (GUA MUSANG) – ABDUL AZIZ BIN MOHAMED (AHLI JAWATANKUASA BAHAGIAN) 

11. PARLIMEN LEMBAH PANTAI – RUSLI BIN HAJI BABA 

12. PARLIMEN BERA- MOHD. WALI ALANG AHAMAD 

13. PARLIMEN PERMATANG PAUH – DR ABDULLAH ZAWAWI SHAMSUDDIN 

14. DUN LENGGENG (SEREMBAN) – ZULKIFLI BIN ABDULLAH (KETUA PENERANGAN CAW.) 

15. DUN PENGKALAN BHARU (BERUAS) – MOHD NIZAM BIN IBRAHIM 

16. DUN KAJANG (HULU LANGAT) – MOHD KHALID BIN KASSIM (KETUA CAWANGAN) 

17. DUN ALOR MENGKUDU (ALOR SETAR) – FADZIL BIN HANAFI 

18. DUN SUNGAI LIMAU (JERAI) – SOBRI BIN AHMAD 

19. PARLIMEN ARAU & DUN SANGLANG- ZAINUDIN BIN YOM 

20. DUN SEBERANG JAYA (PERMATANG PAUH) – SHAMSUT TABREJ BIN G.M ISMAIL MARICAR 

21. DUN BATU UBAN (BUKIT BENDERA) – MOHD NOOR SIRAJAJUDEEN BIN MOHD ABDUL KADER 

22. PARLIMEN TANJONG KARANG – MASRUN BIN TAMSIR 

23. DUN KUALA PERLIS (KANGAR) – SHAARI BIN LUDIN 

24. DUN INDERA KAYANGAN (ARAU)- AMEIR BIN HASSAN 

25. DUN SUNGAI TIANG (PENDANG) – HAJI ROSLI BIN OMAR 

27. PARLIMEN BAGAN SERAI – ABDUL LATIF BIN MASUD 

29. DUN GUNONG SEMANGGOL (BAGAN SERAI) – HALIDI BIN WAHAB

30. DUN CHANGKAT JERING (BUKIT GANTANG) – ZULKEFLI BIN IBRAHIM 

31. DUN PENGKALAN BAHARU (BERUAS) – AHMAD NIZAM BIN IBRAHIM 

32. PARLIMEN KOTA BELUD – LAMSIL BIN HAMIDSOR 

33. PARLIMEN LIBARAN – SAHAR BIN SAKA 

34. PARLIMEN KALABAKAN – MOHD BIN MANUKE 

35. DUN SULAMAN (TUARAN) – ALI AKBAR BIN KAWI 

36. DUN LUMADAN (SIPITANG) – RAPAHI BIN EDRIS 

37. DUN SUGUT (BELURAN) – ABDUL RAHMAN BIN ATANG 

38. DUN LAHAD DATU (SILAM) – ALIANDU BIN ENJIL 

39. DUN SULABAYAN (SEMPORNA) – GHAZALIE BIN PG. HINDI @ ABDUL GHANI 

40. HUSSEIN BIN MUMAKIL 

41. JULKALANI BIN ABD RAHMAN 

42. MAMAT BIN BALHANA 

43. DUN SENALLANG (SEMPORNA) – AB KARIM BIN TALIP 

44. ABDUL MANANG BIN HATIB LAWARI @ OS 

45. ATAL MUHAMMAD BIN K.K ABD MENANG 

46. DUN MEROTAI (KALABAKAN) – RITA RUDIANSAH BIN ABU BAKAR 

47. DUN SEBATIK (KALABAKAN) – MOHAMAD YUSUP BIN LEWAH 

48. DUN SULAMAN (TUARAN) – ARIFFIN BIN HARITH 

49. AK. ALIUDDIN BIN PG. MOHD. TAHIR 

50. DUN LUMADAN (SIPITANG) – SAUDI BIN SUHAILI 

51. DUN KARANAAN (RANAU) – MAT JAILI BIN SAMAT 

52. DUN LIAWAN (KENINGAU) – NUSLEH BIN MADARAK 

53. PARLIMEN PENSIANGAN & DUN NABAWAN – FATIMAH BINTI AGITOR @ MOHD DAUD 

54. PARLIMEN BELURAN & DUN SUGUT – DATU KAMARUDDIN BIN MUSTAPHA 

55. DUN SUNGAI SIBUGA (LIBARAN) MOHD ARSHAD BIN ABDUL 

56. DUN KUNAK (SILAM) – HUSSEIN BIN IBNU HASSAN 

57. SHARIF SHAMSUDDIN BIN SHARIF SAGAF 

58. PARLIMEN SEMPORNA & DUN SENALLANG – DATU BADRUDDIN BIN TUN DATU HAJI MUSTAPHA 

59. PARLIMEN RANAU & DUN PAGINATAN – YAZID BIN SAHJINAN 

60. PARLIMEN TAWAU – AHMAD BIN AWANG @ MADON 

61. PARLIMEN KALABAKAN – YAHYA BIN ZAINAL 

Berita Harian/-

Calon parlimen Gopeng dakwa diserang Hamidah

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


 

IPOH: Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boo Chye mendakwa Calon BN Dun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman menyerang beliau semalam.

Kejadian itu berlaku di Bilik Gerakan PKR di Taman Tasek Permai, Batu Gajah yang dikatakan berpunca disebabkan rasa tidak puas hati penyokong BN terhadap PKR yang mendirikan bilik gerakan kira-kira 500 meter daripada Pejabat Pusat Khidmat Dun Sungai Rapat yang dijadikan bilik gerakan BN.

Katanya, beliau bergegas ke tempat tersebut selepas menerima panggilan dari petugas bahawa sekumpulan penyokong BN datang membuat gangguan di bilik gerakan PKR itu.

“Apabila Datuk Hamidah hadir, dan kami pun berunding tapi keadaan bertukar kecoh apabila Hamidah bertindak liar dengan merampas perakam video petugas PKR lalu mencampakannya.

“Tidak lama kemudian, Datuk Hamidah bertindak di luar jangka dengan mencekak kolar baju saya,” jelasnya pada sidang medianya di Pejabat PKR Gopeng, Taman Soon Choon Ipoh, hari ini. 

Hadir sama ialah Naib Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang, dan Yang Dipertua PAS Gopeng,  Abdul Rahim Ariff.

Dr Lee yang juga Calon PKR parlimen Gopeng berkata, beliau rasa sangat terkejut dengan tindakan Hamidah yang disifatnya satu perkara diluar jangkaannya.

Satu laporan polis juga telah dibuat berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu beliau menggesa Hamidah memohon maaf kepadanya secara terbuka atas kejadian tersebut dan berharap pihak polis yang turut berada di tempat kejadian dapat menjalankan siasatan secepat mungkin.

Dalam perkembangan berkaitan, calon PAS Dun Sungai Rapat, Ustaz Radzi Zainon melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh calon Umno itu.

Katanya, Hamidah tidak sewajarnya berbuat demikian kerana beliau adalah bekas Exco kanan Kerajaan Negeri Perak ditambah lagi beliau adalah seorang wanita.

“Sepatutnya kita dapat berbincang bagi menyelesaikan masalah ini, bukan dengan tindakan yang tidak sewajarnya ini.

“Salahkah kami untuk mendirikan bilik gerakan di premis persendirian, kami adalah parti berdaftar yang akan bertading pada pilihanraya ini,” jelas Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng itu.

Harakahdaily/-

Arab Saudi bina pusat pemulihan mewah


11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BEBERAPA wartawan dibawa memasuki tempat makan banduan militan Al-Qaeda di sebuah pusat pemulihan mewah di Riyadh pada 9 April lalu.



RIYADH - Pihak berkuasa Arab Saudi merancang melenyapkan fahaman ekstrem dalam kalangan banduan militan Al-Qaeda melalui kaedah kaunseling, rawatan spa dan senaman di sebuah pusat pemulihan mewah di sini.
Banduan-banduan itu boleh menggunakan fasiliti pusat pemulihan berkenaan termasuk kolam renang saiz Olimpik, sauna, gimnasium dan dewan televisyen semasa mereka menghadiri sesi kaunseling dan ceramah agama.
Pusat pemulihan mewah baharu itu dibina oleh Pusat Kaunseling dan Penjagaan Putera Mohammed Bin Nayef.
Badan itu yang ditubuhkan tujuh tahun lalu bertujuan untuk memulihkan ekstremis-ekstremis Islam yang ditahan semasa operasi membanteras Al-Qaeda di Arab Saudi antara 2003 hingga 2006.
"Kurang 3,000 orang banduan Islam akan menjalani sesi pemulihan di pusat-pusat itu sebelum mereka dibebaskan," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jeneral Mansur Al-Turki.
Sebuah pusat pemulihan tersebut telah dibuka di bandar raya Jeddah manakala tiga lagi akan dibina di utara, timur dan selatan negara ini.
Namun, hanya pusat pemulihan di sini yang memiliki kelengkapan serba mewah sebagai insentif untuk banduan-banduan tersebut yang melupakan fahaman ekstremis Al-Qaeda.
Fasiliti pemulihan di sini mempunyai keluasan bersamaan 10 padang bola sepak dan dibina untuk menempatkan seramai 228 banduan Al-Qaeda.
Setiap daripada 12 bangunan di pusat pemulihan itu akan menempatkan 19 banduan.
Setiap banduan berkenaan diberikan suite mewah bagi membolehkan mereka meluangkan masa bersama keluarga masing-masing pada waktu melawat.
Banduan yang berkelakuan baik boleh meluangkan masa dua hari bersama isteri mereka di suite tersebut.
Pada waktu siang, para banduan itu akan menghadiri seminar agama bertujuan untuk melenyapkan fahaman jihad dalam diri mereka.
"Dalam usaha memerangi pengganas, kita perlu memberi keseimbangan dalam aspek intelektual dan psikologi kepada mereka menerusi dialog dan pujukan," kata pengarah pusat pemulihan tersebut, Said Al-Bishi. - AFP

30 minit tak berjawab

Foto
11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Shah Alam: “Saya hanya mengetahui anak saya terbabit kemalangan itu melalui Facebook (FB),” kata Mohd Aziz Saleh, 47, bapa Mohd Faridzuan, 21, yang terbunuh bersama empat lagi mangsa dalam kemalangan di Kilometer 10 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang, awal pagi semalam.

Menurut Mohd Aziz, anak keduanya (adik Mohd Faridzuan) mengejutkan dia dan isteri jam 3.40 pagi selepas menonton rakaman video kemalangan ngeri yang dimuat naik di FB.
“Dia bertanya kami berdua sama ada abangnya sudah pulang atau belum kerana berasa seperti ada sesuatu yang buruk menimpa Faridzuan.

“Saya segera mencapai telefon dan menghubungi Faridzuan berulang kali hampir 30 minit namun panggilan itu tidak berjawab,” katanya mula bimbang mengenai keselamatan anak sulungnya itu.KENDERAAN yang terbabit kemalangan di Kilometer 10 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang, semalam.


Mohd Aziz berkata, anak keduanya mengesyaki abangnya terbabit kemalangan itu selepas mengecam plat motosikal milik Faridzuan yang terpapar dalam FB.


metro/-

Hanya untuk bantu kempen PAS


11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menamatkan desas desus penyertaannya dalam PAS apabila secara rasmi menyerahkan borang keahlian parti itu kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini.
Dengan penyertaan itu, Muhammad berkata beliau berikrar untuk berkempen bagi parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini. 
“Sudah lama saya berhasrat untuk sertai PAS, malah sejak tahun lalu saya pernah menemui Hadi dan Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu. 

"Cuma saya setuju nak umumkan keahlian saya dua hari selepas penamaan calon (hari ini) kerana mahu menghentikan spekulasi kononnya saya akan dicalonkan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.


Muhammad berkata, beliau tidak berhajat menjadi calon sebaliknya hanya akan memberi sokongan dan berkempen untuk PAS dalam menyebarkan ajaran Islam sebenar.


"Selama menjadi Menteri Besar dan 40 tahun sebagai aktivis UMNO, saya tidak nafikan Malaysia dan negeri seperti Selangor maju tapi sudah tiba masa perubahan perlu dilakukan. 

"Kita mahu pengisian pembangunan yang dinamik ada roh (Islam), kalau tiada (roh) generasi akan datang akan terus bergelumang dengan masalah sosial. 

"Saya fikir mana parti yang boleh isi roh itu, tentulah parti yang perjuangkan Islam (PAS). Kerajaan sekarang pelaksanaan Islamnya tidak menyeluruh dan tidak jelas contohnya di sekolah pelajar Islam ada yang bertudung dan ada yang tidak," katanya. 

Sementara itu, Hadi menganggap penyertaan Muhammad sebagai satu sokongan yang cukup kuat berikutan pengaruh besar bekas Naib Presiden UMNO itu sekali gus menambah kekuatan PAS.

metro/-

2 maut, 5 cedera di Nakkorn

Foto
11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

GEORGETOWN: Dua rakyat Malaysia terbunuh selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika menghadiri upacara keagamaan di Nakkorn, Thailand, petang Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa seorang wanita dan seorang lelaki namun identiti kedua-duanya masih belum diketahui.
Mayat wanita terbabit dihantar pulang ke rumahnya di Butterwoth, di sini manakala mayat lelaki pula yang dipercayai pemandu van dibawa pulang ke Parit Buntar, Perak.

Maklumat yang diterima mengatakan van itu dinaiki dua keluarga seramai 13 orang dan mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Nakkorn.

Difahamkan, semua mangsa berkunjung ke negara itu setiap tahun untuk menghadiri upaca keagamaan di negara berkenaan.

Lima penumpang yang mengalami kecederaan parah termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun kini berada di Hospital Loh Guan Lye untuk menerima rawatan.

metro/-