22 April 2013

Pengundi Sik tolak propaganda media perdana

11 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


 Che Uda (kiri) makan bersama petugas PAS pada majlis di Felda Teloi Timur, malam tadi.

SIK: Pemimpin Umno BN tersilap jika menganggap masyarakat di kawasan pedalaman terpengaruh dengan propaganda yang disebarkan melalui media arus perdana.

Justeru, calon PAS bagi Parlimen Sik, Che Uda Che Nik berkata, walaupun masyarakat di kawasan ini bekerja sendiri yang kebanyakannya adalah penoreh getah, mereka tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang disiarkan itu.


“Dengan sebab itu, mereka tidak termakan dengan laporan akhbar arus perdana dan siaran TV yang dicetuskan oleh Umno BN pada pilihan raya umum kali ini,” ujarnya kertika ditemui di majlis taklimat kepada jentera PAS di Felda Teloi Timur, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau tidak merasa risau dengan kempen dan propaganda yang dimainkan oleh Umno BN menerusi media arus perdana itu ekoran para pengundi di kawasan Parlimen Sik sudah memahami situasi sedemikian.

Katanya, kesedaran mereka itu timbul hasil daripada kejayaan jentera parti yang menjelaskan kepada masyarakat supaya  menolak propaganda dan kempen yang tidak beretika Umno BN itu pada PRU13 ini.

Menurutnya, masyarakat di kawasan ini boleh menerima penerangan penjelasan PAS supaya jangan mudah mempercayai segala bentuk laporan, ulasan, berita dan sebagainya yang disiarkan melalui akhbar mahupun televisyen sepanjang kempen PRU13.

“Walaupun masyarakat di sini berada di kawasan luar bandar dan agak pendalaman tapi jangan anggap apa yang disiarkan menerusi akhbar utama dan TV boleh mempengaruhi mereka untuk mengundi BN,” ujarnya.

Justeru, bagi beliau, perkembangan itu dapat membantu usaha PAS untuk menarik sokongan masyarakat melalui penerangan dan kempen berhemah yang dilakukan oleh petugas parti sepanjang tempoh berkempen ini.

“Insya Allah, dengan suasana itu salah satu daripada enam faktor PAS akan dapat mengekalkan kemenangan di Parlimen Sik,” ujarnya.

Pada PRU12 lalu, beliau yang memperolehi 16,864 undi menewaskan calon BN, Othman Desa dengan manjoriti 481 undi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: