22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KOTA BHARU, 20 Okt: Pelbagai pihak di negeri ini meluahkan rasa terkilan dan menganggap sebagai tidak bertamadun di atas tindakan Universiti Islam Antarabangsa UIA) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.
“Saya cukup terkilan, sepatutnya pakar undang-undang perlembagaan itu sebagai aset negara kerana berani mengupas dalam konteks yang sedikit berbeza.
“Tetapi UIA terpaksa akur kepada BN, menghalang percambahan pemikiran. Inilah malangnya apa yang berlaku sekarang.
”Kerana tindak tanduk seumpama itulah UIA sehingga kini gagal dan terhalang daripada menjadi universiti yang berkualiti,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan.
Beliau yang juga bekas pensyarah kanan di UIA meluahkan terkejut di atas tindakan tersebut, sepatutnya ia tidak berlaku dalam masa begitu pantas.
Semalam Dr Abdul Aziz dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada UIA berkaitan pandangannya sebagai seorang ahli akademik terhadap titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan JAIS di sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.
Ahli akademik yang agak lantang itu juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ekoran laporan polis dibuat pemimpin Umno termasuk Senator Ezam Mohd Noor.
Difahamkan juga Dr Abdul Aziz digantung gaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Selain itu menurut laporan Malaysiakini beliau juga tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak.
Prof Dr Abdul Aziz berkhidmat di UIA sejak 22 tahun lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tindakan dilakukan UIA itu merupakan satu langkah yang tidak bertamadun.
“Ini jauh sekali daripada merelaikan setiap masalah yang timbul. Sepatutnya hujah akademik dibalas dengan pandangan yang sama bagi menggambarkan kewibawaan ilmu seseorang,” ujarnya.
Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, apa yang dilakukan UIA terhadap Dr Abdul Aziz sebagai strategi dan proses ke arah 'melenyapkan' golongan intelektual yang berani menyatakan kebenaran.
Menurutnya tindakan agresif tanpa siasatan rapi itu menjelaskan kepada rakyat, Umno dan BN sekarang mahu kemandulan intelektual terus berlaku di negara ini.
HARAKAHDAILY/-