14 September 2009

Perihatin : ADUN Titi Serong tetap sampaikan elaun bulanan kepada kakitangan nya yang terlantar sakit.

Drs. Khalil dan isteri dengan serius mendengar penjelasan dari keluarga Abdullah dalam kunjungan tersebut.


TITI SERONG, 13 Sept.:- Seorang kakitangan di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Titi Serong, En. Abdullah Sani telah mengalami penyakit misteri yang dikaitkan dengan angin ahmar setakat ini. Beliau telah mendapat musibah tersebut beberapa hari sebelum YB. Drs. Khalil berangkat mengerjakan umrah dan beliau sempat dikunjungi oleh ADUN tersebut sebelum ke Mekah.

Sekembalinya Drs. Khalil bersama isterinya beliau telah sempat sebanyak 2 kali menziarahi Abdullah termasuk sekali di Hospital Parit Buntar setelah Abdullah di rawat untuk kali kedua di Hospital tersebut apabila mengalami muntah darah yang agak serius.

Sekarang ini keadaan kesihatannya agak membaik namun masih terlantar dalam keadaan agak lemah dan tidak dapat bercakap.

Namun begitu kunjungan Drs.Khalil bersama isteri pada hari ini bersama semua kakitangan Pejabat Pusat Khidmatnya adalah untuk menyampaikan elaun bulanan kepada Abdullah seperti biasa walaupun pekerjanya itu tidak dapat hadir ke pejabat sepanjang bulan ini.

"Saya pada bulan ini tetap membayar elaun Abdullah seperti biasa dan untuk di bulan akan datang diatas keuzurannya kami akan pertimbangkan bantuan yang wajar saya berikan" Demikian kenyataan ringkas Drs. Khalil semasa ditemui hari ini.

Selain itu beliau juga menjelaskan sangat bersimpati dengan keluarga Abdullah yang hilang punca pencarian sejak Abdullah terlantar sakit dan berharap mereka tetap bersabar dan sama-sama mendoakan supaya Abdullah sempat sembuh.

Abdullah Sani mula berkeja di Pejabat ADUN Titi Serong sejak tahun lepas dan dia dikenali sebagai seorang petugas yang gigih dalam PAS Kawasan Parit Buntar.

"Semuga Andullah cepat sembuh dan dapat bertugas seperti biasa bagi menyara kehidupan keluarganya" jelas Drs. Khalil .






Tindakan disiplin kedua menanti Subra

Kedudukan bekas timbalan presiden MIC, Datuk S Subramaniam dalam parti itu terus menjadi tanda tanya apabila beliau akan dirujuk untuk kali kedua kepada jawatankuasa displin parti itu.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, berkata bekas timbalannya itu, yang kalah dalam pertandingan timbalan presiden untuk kali kedua semalam, akan dihadapkan kepada lembaga disiplin parti atas dakwaan membawa sekumpulan penyokong yang dikenalpasti cuba mewujudkan suasana tegang di kalangan perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC Ke-63 semalam.

"Kumpulan ini dianggarkan terdapat kira-kira 500 orang dan cuba mewujudkan kekecohan. Pihak kami sedang mengumpulkan maklumat dan bukti berhubung perkara ini.

"Saya tahu siapakah kumpulan ini dan pihak berkuasa juga tahu siapakah mereka ini. Tindakan disiplin akan tetap diambil ke atas Subramaniam disebabkan perkara ini.

"Saya tidak pernah menyaksikan insiden seperti ini...saya melihatnya sebagai satu percubaan untuk menakutkan perwakilan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di persidangan itu, lapor Bernama.

Minggu lalu, jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC sebulat suara mencapai keputusan untuk merujuk Subramaniam kepada jawatankuasa disiplin MIC kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang dilihat boleh menjatuhkan imej parti.

Samy Vellu, berkata jawatankuasa disiplin parti akan menentukan bentuk tindakan ke atas Subramaniam.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Subramaniam bahawa politik wang adalah penyebab utama kekalahannya semalam, Samy Vellu mendakwa, beliau turut mempunyai bukti bahawa beliau (Subramaniam) menggunakan wang untuk mencari sokongan.

"Saya ada bukti yang Subramaniam pergi ke beberapa bahagian MIC dan menjanjikan wang...saya ada bukti," katanya.

MalaysiaKini/-

Bagan Pinang: PAS mesyuarat hari ini.

Jawatankuasa PAS Pusat - yang bermesyuarat hari ini mengenai persiapan menghadapi pilihanraya kecil Bagan Pinang - akan membincangkan soal calon sekiranya kepimpinan PAS Negeri Sembilan memajukan senarai namanya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini pihaknya belum menerima senarai cadangan calon dari kepimpinan PAS negeri itu.

"Kalau wakil PAS Negeri Sembilan bawa nama calon, kita akan bincang," katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Mesyuarat itu akan berlangsung di pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut, jam 4 petang.

Sebelum ini dilaporkan, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar adalah antara tiga nama yang dijangka dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Ditanya mengenai ura-ura Umno mahu meletakkan bekas menteri besar, Tan Sri Isa Samad sebagai calon, Mahfuz berkata, terlalu awal untuk beliau memberi sebarang pandangan.

Ini kerana, BN masih belum memutuskan siapa calon yang sesuai untuk mewakili parti tersebut, katanya.

"Kita menghormati hak Umno untuk meletakkan siapa calonnya. PAS akan menghadapi siapa sahaja.

“Itu hak mereka. Kita tidak bermasalah untuk menghadapi mereka dalam apa jua bentuk dan latar belakang calon," katanya.

Ditanya berhubung isu yang akan dibangkitkan dalam kempen pilihanraya kecil tersebut, Mahfuz berkata, banyak isu yang akan dijadikan modal untuk berkempen.

Beliau menyimpulkan isu tersebut meliputi soal "integriti dan kredibiliti pimpinan negara" yang didakwanya "telah tercabar dan tercalar” seperti dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Mahfuz menyeru agar petugas parti dan kepimpinan Pakatan Rakyat menyusun gerak kerja dengan lebih berkesan dan turun padang untuk memperlihatkan kebersamaan dengan rakyat bagi memastikan kejayaan di Bagan Pinang