07 November 2008

Rakyat perlu diberi kefahaman Islam menyeluruh

LENGGONG, 5 Nov (Hrkh) - Pimpinan PAS di semua peringkat, lebih-lebih lagi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan semua Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) diseru memperbanyakkan program-program tarbiyah, kuliah, pengajian dan seumpamanya.

Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim , berkata program-program itu diadakan bertujuan memberikan kefahaman yang jelas kepada semua peringkat rakyat mengenai Islam sebagai agama yang syumul.

Katanya, hanya dengan kefahaman yang jelas terhadap Islam akan memberikan kesedaran kepada orang Melayu khususnya untuk menyokong perjuangan Islam dan memberikan undi kepada PAS pada pilihan raya akan datang.

Bagi merealisasikannya, katanya Adun-Adun dan Penyelia-Penyelia Dun disarankan supaya menjadi Imam solat di masjid atau menjadi makmum di belakang Imam.

Malah, katanya kehadiran Adun-Adun dan Penyelia-penyelia Dun pada setiap program pengajian di masjid dan surau adalah contoh terbaik untuk diikuti oleh seluruh rakyat.

"Pada Pilihan Raya Umum 12 lalu undi orang Melayu kepada PAS hanya melonjak 5 peratus saja seperti yang dilakukan kajian oleh badan bebas Merdeka Center, sebaliknya sokongan kaum Cina dan India lonjakannya sangat mengkagumkan.

"Sehubungan itu untuk mendapatkan sokongan serta undi orang Melayu hanya dengan memberikan kefahaman yang jelas terhadap Islam," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis Sepetang Bersama Menteri Besar Perak di Pusat Info Rakyat di Lenggong petang kelmarin.

Program itu, walau bagaimanapun tidak dapat dihadiri Menteri Besar, Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin yang mewakilkannya kepada Drs. Khalil Idham Lim, dihadiri hampir 1000 penduduk, termasuk kaum Cina dan India.

Hadir sama Adun Gunung Semanggol, Ramli Tusin; bekas calon PAS Parlimen Lenggong, Ustaz Zulkifli Zakaria; Yang diPertua PAS Kawasan Lenggong yang juga Penyelia Dun Kenering, Shukri Ahmad; Penyelia Dun Kota Tampan (KeADILan), Haji Hamzah Mat Zin; Setiausaha PAS Kawasan Lenggong, Abu Bakar Mat Salleh dan pimpinan DAP.

Drs. Khalil Idham Lim berkata, beliau yakin sekiranya orang Melayu rata-ratanya memahami Islam sebagai ad-din (sebagai satu cara hidup yang menyeluruh), mereka tidak akan memilih Umno kerana Umno tidak memperjuangkan Islam.

Sebelum itu di dalam ucapannya, beliau meyakinkan masyarakat Cina khususnya supaya tidak takut kepada PAS yang memperjuangkan Islam kerana nenek moyang mereka (Cina) telah lebih awal lagi memeluk Islam berbanding orang Melayu.

Ditanya mengenai pengagihan bantuan kepada fakir miskin, anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal sempena perayaan, katanya kerajaan negeri telah dan akan menyumbang 50 hamper untuk setiap Dun melalui Adun dan Penyelia Dun Pakatan Rakyat.

"Bukan hanya untuk perayaan bagi umat Islam, malah juga sumbangan untuk Deepavali, Hari besar Cina dan Krismas yang akan datang ini," katanya.

Drs. Khalil Idham Lim turut menyampaikan bantuan kepada beberapa penerima pada majlis itu, termasuk penerima dari kaum Cina dan India.