14 Jun 2011

RM1.8 juta... untuk laman Facebook?

12 Rejab 1432H. [MOD]

Kementerian Pelancongan sekali lagi 'panas' apabila ahli-ahli parlimen hari ini membidas tindakan kerajaan yang membelanjakan RM1.8 juta bagi membina dan menyelanggara laman Facebooknya.

Anthony Loke (DAP-Rasah) berkata sebegitu banyak wang dihabiskan sebegitu sahaja untuk laman sosial yang boleh dibuat secara percuma.

“Semakan terakhir saya mendapati ada hanya 20,308 peminat di laman Facebook kementerian. Secara bandingan laman Facebook 'Visit Penang', yang mana kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membelanjakan satu sen pun tetapi mendapat 100,000 peminat. Kenapa belanja RM1.8 juta?” soalnya semasa sesi soalan.

Loke berkata adalah sukar untuk mempercayai kononnya tidak ada sesiapun di kementerian itu yang mempunyai pengetahuan untuk mengemas-kinikan akaun Facebook sehingga kerajaan terpaksa memberikan kontrak kepada pihak ketiga.

Katanya, kerajaan dengan mudah boleh mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk BN dan juga ahli parlimen Pakatan yang sebahagian besar mereka pengguna rangkaian laman sosial yang aktif.

“Tak perlu tanya ahli sebelah sini (pembangkang). Terdapat ramai di kalangan penyokong kerajaan seperti Kota Belud dan Rembau... mereka boleh dibawa sebagai perunding,” katanya merujuk kepada ahli parlimen Umno Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin, yang kedua-dua mereka kerap menggunakan Twitter.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit berkata kontrak RM1.8 juta itu ditenderkan kepada syarikat, Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.

Khairy, dalam soalan tambahannya bersetuju dengan Loke bahawa peruntukan RM1.8 juta itu adalah satu pembaziran dan berkata kurangnya minat laman Facebook kementerian itu tidak mencerminkan jumlah besar yang dibelanjakan.

Khairy juga membangkitkan sama ada kementerian menetapkan sebarang petunjuk prestasi (KPI) bagi memantau pencapaian agensi yang dilantik untuk melaksanakan penjenamaan itu.

"Apa KPI kepada syarikat berkenaan. Dari segi periklanan apakah tambahan mereka dan revenue yang dapat digenerate hasil usaha syarikat itu membuat online advertising," soalnya.

Malaysiakini/-

Ulasan

Saya dengan team blog cina islam dengan ini menawarkan khidmat percuma kepada kementerian rais untuk mengendalikan facebook. Kalau masih berhajat untuk membayar khidmat kami mohon cuma dibayar dengan harga semahal RM 1.80 (ringgit malaysia seringgit lapan puluh sen sahaja).

Nik Aziz tarik balik saman, selesai luar mahkamah

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik saman terhadap Utusan Malaysia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah.

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, ia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan sebagai merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian hari ini.

Berikut penjelasan beliau.

Saya merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini 14 Jun 2011 di halaman 20 di bawah tajuk 'Kes Nik Aziz Saman Utusan RM20j Selesai Luar Mahkamah'.

Laporan yang sama juga disiarkan oleh Sinar Harian hari ini di halaman N4.

Sukalah saya mengesahkan laporan tersebut dengan sedikit penambahan berdasarkan kronologi berikut:

Pada 12 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel dengan petikannya di muka hadapan di bawah tajuk “Nasihat Saya Mesti Didengar” dengan beberapa isi kandungan yang memfitnah YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan.

Antaranya menyebut, “Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO.”

Artikel tersebut mengundang kepada beberapa pandangan balas yang mengecam YAB Tuan Guru, antaranya ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar yang sama di muka surat 12 bertarikh 16 Jun 2009. Artikel yang ditulis oleh Ramli Abdul Halim itu mengecam YAB Tuan Guru dengan mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Islam.

YAB Tuan Guru telah menafikan kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 12 Jun 2009 dan penafian ini disiarkan oleh akhbar yang sama di muka surat dua pada 18 Jun 2009.

Setelah melalui proses rundingan di antara kedua-dua pihak bersama dengan peguam yang dilantik, Utusan Malaysia telah memohon maaf kepada pihak YAB Tuan Guru di atas laporan yang salah tersebut dan permohonan maaf ini disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 Julai 2009.

Memandangkan laporan tersebut yang dianggap begitu tersasar dan mendatangkan kesan khususnya kepada keputusan pilihanraya kecil Dun Manek Urai, pihak YAB Tuan Guru tetap meneruskan usaha untuk memfailkan saman sebanyak RM20 juta ke atas Utusan Malaysia.

Kes ini dijadualkan mula dibicara pada 12 Jun 2011 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Pada 10 Jun 2011, pihak Utusan Malaysia melalui peguam yang dilantik telah menghantar notis tawaran penyelesaian di luar mahkamah dengan sejumlah bayaran ganti rugi kepada pihak YAB Tuan Guru.

Justeru pada prosiding mahkamah yang bermula pada 13 Jun 2011, berasaskan kepada notis yang dihantar tersebut, YAB Tuan Guru telah berbesar hati untuk menarik balik saman dengan sejumlah bayaran yang ditawarkan oleh pihak defendan.

Justeru, sukalah saya mengulangi sekali lagi bahawa apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini 14 Jun 2011 iaitu YAB Tuan Guru telah menarik balik saman RM20j adalah benar namun perlu disebut bahawa ia dilakukan berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.

Harakahdaily

Umno benci nama Islam tapi mahu negara Islam?

12 Rejab 1432H. [MOD] -

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd. Puad Zarkashi kelmarin mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain. Terfikir juga dibenak hati ini mengapa terlalu bencinya pemimpin Umno ini kepada nama `Islam'.

Pemimpin Umno semenjak dahulu hingga kini masih gagal mengemukakan hujah apakah kesalahan PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut. Kita tahu di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM, sudah ada usaha untuk mengharamkan nama `Islam' di dalam parti. Alhamdulillah, ketika itu Majlis Fatwa tegas menyebut bahawa tiada salahnya nama `Islam' dimartabatkan.

Sekiranya Umno yang memartabatkan nama bangsa Melayu dan semangat kebangsaannya di dalam parti mereka, apakah dosa besar bagi PAS untuk memartabatkan nama `Islam'? Jika mahu disebut dengan hujah betapa Umno lah sebenarnya `menjual' nama bangsa di dalam parti berkenaan, tidak cukup halaman untuk kita membuktikannya. Paling mudah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) ternyata gagal mengangkat bangsa Melayu walaupun telah berpuluh tahun ianya dilaksanakan sehingga dasar tersebut tenggelam begitu sahaja.

Di mana salahnya PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut? Adakah PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam? Adakah PAS merestui amalan rasuah dengan melantik kaki rasuah menjadi Ketua Menteri/MB Negeri atau Ketua Pemuda? Mungkin Ali Rustam dan KJ boleh menjawab hujah ini. Adakah PAS juga memilih kaki rasuah sebagai Wakil Rakyat? Mungkin Isa Samad tahu hal ini. Pernahkah PAS bercita-cita untuk meluluskan judi bola sepak Piala Dunia? Atau, pemimpin PAS terlibat dengan tragedi pembunuhan Altantuya? Mungkin Najib boleh terangkan jawapannya.

Pernahkan PAS merestui akta zalim Akta ISA yang diharamkan oleh Islam itu? Cuba buktikan siapa pemimpin PAS yang tidak bermoral dan isterinya tidak menutup aurat? Hal ini boleh ditanya kepada Najib dan Rosmah atau pun Shahrizat Jalil. Cuba pemimpin Umno berani sedikit untuk berhujah bagi menyatakan betapa PAS perlu membuang nama Islam di dalam parti tersebut kerana PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.

Adakah dengan Konsep Negara Berkebajikan, bersahabat dengan DAP dan PKR boleh dianggap bertentangan dengan Islam? Adakah bersubahat dengan Umno yang menjadi sekutu Apco serta terus mengekalkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, menyalahgunakan kuasa, mempertahankan kroni dan banyak lagi dasar Umno yang bertentangan dengan moral, akhlak serta Islam itu boleh dianggap bersesuaian dengan Islam?

Nampaknya Umno semakin tidak menentu apabila PAS kini membuka lebih luas ruang untuk rakyat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Jika sebelum ini Umno terlalu gilakan DNA atau sumpah laknat DS Anwar, kini Umno mula tergila-gilakan `Negara Islam dan Hukum Hudud' pula. Setiap hari media pencacai mereka menyebut tentang Negara Islam yang kununnya telah ditinggalkan oleh PAS. Jika benar ikhlas, kuasa kini berada di tangan mereka, Nah, laksanakan lah jika benar-benar ikhlas.

Sehingga saya selesai menulis artikel ini, saya masih belum mendapat jawapan mengapa pemimpin Umno terlalu benci kepada nama `Islam' tetapi mahu kepada Negara Islam. Mungkinkah tahap meroyan Umno kini semakin kritikal?

wfauzdin.blogspot.com

PRU 13: Tahniah, Umno takut buat pemilihan

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) mencadangkan agar bekas tentera dilantik sebagai ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di setiap negeri.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, amat sesuai untuk bekas tentera ini dilibatkan dalam JKKK memandangkan ianya berkait dengan keselamatan rakyat.

"Saya nak cadangkan di sini dan saya minta pendapat menteri apakah boleh kalau bekas tentera ini dipilih sebagai ahli JKKK.

"Nama pun jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung jadi sudah tentu bekas tentera ini ada kepakaran, kemahiran dan disiplin dan akan memberikan manfaat kepada orang ramai.

"Jadi saya harap bekas tentera ini mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Nizar turut mempersoal kegagalan bekas tentera mendapatkan tanah walaupun telah membuat permohonan setelah bersara pada umur 40 tahun.

Sedangkan menurut Nizar, permohonan tanah itu termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) tahun 1973.

Beliau merujuk kepada PMAT bertarikh 29 ogos 1973, perenggan 9 hingga 11 yang antara lain menyatakan bahawa isteri bekas tentera berhak untuk memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak tanah perumahan daripada Kementerian Pertahanan melalui kerajaan negeri tertentu.

"Malangnya 99 peratus daripada pemohonan tidak diluluskan dan ahirnya ramai di antara bekas tentera hari ini hanya sekadar menjadi pengawal keselamatan, pemandu atau kerja-kerja buruh kasar.

"Saya merasa amat sedih oleh kerana mereka telah menggadaikan usia muda mereka, masa bekerluarga tiba-tiba selepas bersara tidak dilayan sebaiknya," katanya yang juga Adun Pasir Panjang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjawab soalan sebenar sebaliknya cuba mengalihkan isu dengan mendakwa tanah di bawah kuasa kerajan negeri dan Nizar sewaktu menjadi Menteri Besar Perak juga tidak memberikan tanah kepada bekas tentera.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil Pakatan Rakyat dan mendakwa Zahid tidak mengkaji isu sebenar.

Nizar dalam soalan asalnya meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha serta langkah kerajaan dalam memanfaatkan tenaga serta kepakaran bekas-bekas tentera khususnya mereka yang tamat perkhidmatan pada umur 40-an.

Berbalas sindiran

Sementara itu, sewaktu sesi soal jawab berlangsung, berlaku berbalas-balas sindiran di antara Zahid dan Nizar.

Ianya bermula apabila Zahid sebelum menjawab soalan Nizar "mengucapkan tahniah" kepada Nizar dan pimpinan PAS yang menang dalam pemilihan parti minggu lalu.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada Bukit Gantang (Nizar) yang diberikan kepercayaan semula oleh Presiden partinya sebagai AJK PAS Pusat walaupun beliau kecundang dalam perebutan jawatan naib presiden baru-baru ini.

"Tahniah juga kepada Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) dan Kubang Kerian (Salahuddin Ayub) yang dapat mengekalkan jawatan sebagai naib presiden PAS dan tahniah kepada Presiden PAS yang menang tanpa bertanding," katanya.

Nizar sebelum mengemukakan soalan tambahan membalas "ucapan tahniah" itu dengan turut "mengucapkan tahniah" kepada Umno yang takut untuk mengadakan pemilihan partinya kerana ingin memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13.

"Saya ucapkan tahniah kepada menteri yang menjawab (soalan saya) dan kemudiannya memberikan ransangan dan mengucapkan tahiah kepada saya dan rakan-rakan yang bertanding dalam pemilihan parti baru-baru ini.

"Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada menteri kerana parti Umno juga gentar dan takut membuat pemilihan dan akhirnya ditangguh.

"Jadi tahniahlah kerana takut dan kalau boleh ditangguhkan lagi lama lagi elok. Tahniah," katanya.

Hazayani Zakaria
HARAKAHDAILY/-

PAS selar Umno 'bebal' isu p'raya masjid

12 Rejab 1432H. [MOD] -

PAS menyelar pemimpin Umno yang didakwanya bersikap seperti berpenyakit bebal kerana cuba mengeksploitasi isu pilihan raya masjid yang diperkenalkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad mendakwa tujuan isu itu diekploitasi dengan harapan "orang Melayu semakin marah dengan Pakatan Rakyat kerana mempolitikkan masjid".

"Mereka akan manipulasi isu ini untuk menuduh kerajaan Pakatan Rakyat menimbulkan kecelaruan kepada orang Islam.

"Apa yang paling kelakar mereka berhujah kenapa kuil dan gereja tidak ada pemilihan ahli jawatankuasa seperti pemilihan ahli jawatankuasa masjid," katanya dalam satu kenyataaan.

Idris mendakwa Umno sebenarnya mahu melindung kerja jahat mereka terhadap institusi masjid di bawah kerajaan BN kerana didakwa pemilihannya "tidak demokratik dan dipilih oleh pemimpin Umno bukan anak kariah".

"Perlantikan bukan ahli masjid, yang tidak layak dari segi peribadi untuk imarahkan masjid. Tetapi oleh kerana ia dibinkan dengan Umno maka semua boleh.
Umno meniru

"Kita boleh lihat masjid di negeri Umno dan Pakatan Rakyat dari segi imarah. Masjid di negeri Umno mati sebelum ahli kariah mati," katanya.

Idris mendakwa Umno bersikap anti pembaharuan kerana "berfikiran jumud dan zero IQ" sehingga menyebabkan setiap pembaharuan yang ingin dibuat "akan ditentang secara melulu walaupun akhirnya mereka akan meniru".

"Rakyat Malaysia tentu masih ingat ketika Kerajaan Kelantan memperkenalkan hari bekerja selama lima hari seminggu, pemimpin Umno menuduh kerajaan Kelantan malas dan akan merendahkan produktiviti.

"Tidak berapa lama kerajaan pusat mengikut jejak langkah yang sama," katanya yang juga bekas ketua penerangan PAS Pusat.

Sedangkan katanya, perubahan cara pemilihan jawatankuasa masjid itu sahaja yang berubah berbanding dahulu undian dilakukan dengan cara angkat tangan.

Katanya, pemilihan jawatankuasa kariah masjid itu mengikut Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (negeri Pulau Pinang).

MALAYSIAKINI/-

Bayi baru lahir ditemui tepi jalan

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perasaan curiga dan sifat ingin tahu seorang pengawal keselamatan mengenai bungkusan yang diletakkan di satu laluan kenderaan membawa kepada penemuan seorang bayi yang baru dilahirkan.

Sebelum itu, pengawal keselamatan terbabit, Nair Sagar, 19, menerima maklumat daripada seorang lelaki yang melalui laluan menuju ke ruang meletak kenderaan di Platinum Walk, Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak, yang melihat satu bungkusan bergerak-gerak di laluan berkenaan.

“Ketika saya periksa, saya terkejut selepas mendapati ada seorang bayi perempuan berkulit cerah yang masih hidup serta masih bertali pusat dibalut dengan beg plastik dan ditutup dengan baju-T berwarna merah.

“Malah, ketika saya pegang badannya saya dapati berada dalam keadaan panas mungkin kerana diletakkan di bawah terik matahari,” katanya.

Katanya, dia kemudian segera mencari payung bagi menutup bayi berkenaan sebelum menghubungi majikan dan pihak polis.

“Masa itu, saya takut untuk mengalihkan bayi berkenaan sebab bimbang ia akan mengganggu siasatan polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Nair berkata, polis dan anggota paramedik yang tiba 10 minit selepas dimaklumkan bertindak memotong tali pusat bayi berkenaan bagi mengelak dijangkiti kuman.
Bayi malang itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan, termasuk melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan individu yang bertanggungjawab.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran.

BERITAHARIAN/-

Warga emas tunggu rumah PPRT sejak 1998

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BELUD - Hajat seorang warga emas, Bandari Ampung dari Kampung Tapukan dekat sini, untuk memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) masih belum kesampaian.

Bandari, 67, yang menyara keluarga dengan hasil kerja-kerja kampung berjumlah kira-kira RM150 sebulan bimbang kerana rumah yang mereka duduki sekarang boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.

"Saya telah mengemukakan permohonan bagi memiliki PPRT sejak 1998, namun sehingga kini belum berjaya memperolehinya.

"Saya tidak pernah berputus asa untuk memohon bila sahaja ada khabar permohonan PPRT yang baru dibuka setiap tahun, tetapi malangnya rezeki belum berpihak kepada saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapukan.

Menurutnya, dalam usia yang semakin lanjut, pendapatannya tidak memungkinkannya untuk mendirikan rumah sendiri.

Rumah tersebut yang diduduki Bandari sekeluarga sejak 30 tahun lalu sangat uzur terutama bahagian dapur yang senget sementara dinding dan atapnya pula dibuat daripada nipah.

Bandari berkata, pihak berkaitan pernah melawat dan meninjau keadaan rumahnya di samping memberikannya harapan dengan memintanya agar banyak bersabar.

"Apabila angin bertiup, rumah ini akan bergoyang. Saat itu kami sekeluarga hanya pasrah dengan ketentuan Allah," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkenaan dapat memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapinya.

Semak rayuan IPTA hari ini

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan yang setaraf untuk sesi akademik 2011/2012 boleh disemak mulai tengah hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, di sini semalam, berkata pemohon boleh berbuat demikian menerusi laman webnya di www.upu.mohe.gov.my atau pada laman web universiti yang dipohon.
Keputusan rayuan adalah muktamad dan rayuan calon dianggap gagal jika mereka tidak menerima sebarang tawaran rasmi sehingga 3 Julai ini, kata kenyataan itu.

Kementerian berkenaan juga tidak melantik ejen atau wakil dalam pemilihan kes rayuan terbabit.

“Orang ramai diminta berhati-hati berikutan kementerian tidak pernah melantik ejen atau wakil dalam kes rayuan.

“Semua pengurusan berpusat adalah melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT) dengan mengguna pakai dasar, kriteria pemilihan prosedur serta prosedur yang sudah ditetapkan oleh kementerian,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, pemohon diminta hubungi talian 03-88835858 dan 03-88835848.
Calon juga boleh menyemak keputusan rayuan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (No.KP) dan hantar ke 15888. – BERNAMA

Pengintip Israel ditahan

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Pihak berkuasa Mesir menahan seorang lelaki Israel yang kini disiasat atas dakwaan melakukan pengintipan di Kaherah, menurut pendakwa raya, kelmarin.

Suspek, Ilan Chaim Grabel dipercayai bekerja dengan agensi perisikan Israel, Mossad, turut menghasut penunjuk perasaan supaya menentang kerajaan tentera yang memerintah Mesir selepas kejatuhan pemimpin pro-Israel, Presiden Hosni Mubarak.

Mahkamah Kaherah mengarahkan lelaki itu ditahan selama 15 hari kerana cubaan mengintip Mesir dengan niat memusnahkan ekonomi dan kepentingan politik negara itu.

Kerajaan rejim Zionis seperti dijangka menafikan dakwaan itu dan menegaskan kononnya Tel Aviv tidak tahu mengenai perkara itu.

SINARHARIAN/-

Peguam ditemui mati ditetak di kuil

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KLANG 14 Jun — Peguam Datuk R. Anbalagan ditemui mati di sebuah kuil di Kampung Perepat, Kapar, di sini malam tadi dipercayai akibat ditetak.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supt. Mohamad Shukor Sulong, berkata Anbalagan, 56, cedera di badan, muka, bahu kanan dan tangan kiri.

Katanya, suspek kes pembunuhan itu dipercayai melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta mencuri satu barang kemas.

Polis sedang mencari seorang lelaki rakyat India dikenali sebagai Rajangam, yang merupakan pekerja peguam itu, untuk membantu siasatan. — Bernama

SPR cadang pinda peraturan pendaftaran

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji bagi membolehkan pendaftaran pemilih yang mempunyai bantahan tidak mengganggu pendaftaran bagi pemilih lain.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pada masa ini mana-mana pemilih yang mendaftar di satu-satu kawasan pilihan raya yang mempunyai bantahan tidak dapat diwartakan sehingga semua bantahan yang diterima dapat diselesaikan.

“Ini akan menyebabkan pendaftaran dan pewartaan mereka yang mendaftar yang tidak mempunyai bantahan turut tertangguh disebabkan pendaftaran pemilih lain yang mempunyai bantahan.

“Jadi kita tidak mahu ini berlaku bagi mengelakkan mereka tidak dapat mengundi apabila pilihan raya kelak. Untuk itu kita sedang mengkaji secepat mungkin untuk mengubah peraturan ini,” katanya.

Sebagai contoh, katanya sekiranya pendaftaran pemilih baru sebanyak 10,000 di sesuatu kawasan pilihan raya itu dan terdapat beberapa bantahan sekalipun, ini bermakna kesemua mereka yang didaftarkan tidak dapat diwartakan sebagai pemilih baru - Bernama

Kenapa kerajaan tak mampu kawal harga ayam

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Harga ayam semakin melampau dan sukar diterima khususnya masyarakat bawahan.

“Persoalannya, kenapa harga ayam semakin tinggi seperti tidak ada tanda akan turun lagi?” tanya Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar).

Di Johor Bahru, katanya harga ayam proses mencecah RM8.10 sekilo dan dijangka akan meningkat lagi 30 sen dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum memberikan alasan bahawa musim cuti sekolah memang sering menjadi pendorong kenaikan harga bahan makanan tersebut selain sikap sesetengah peniaga yang cuba mengaut untung berlebihan.

Katanya, walaupun Datuk Mohd Johari memberikan komitmen bahawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memastikan harga serta bekalan bahan makanan itu di pasar-pasar tani dipantau dan dikawal namun ia masih lagi tidak dapat dilaksanakan.

Beliau baru mendapat maklumat bahawa harga ayam di ladang naik dan pemborong mendapatkan harga RM6.90 dan seterusnya mendorong penetapan harga lebih mahal di peringkat peruncit.

Tambahnya, jika harga ayam yang dijual oleh pemborong telah mencecah RM6.90 maka apakah harga jualan kepada pengguna akan dijual pada harga yang sama dengan harga itu.

Apabila harga semakin mendadak naik sehingga mencemaskan pengguna, pada 7 Jun 2011 maka seperti kebiasaannya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan bahawa pasukan pemantau akan bertindak untuk memastikan peniaga yang mengambil bahagian menjual barangan mereka pada harga yang berpatutan.

Cuma bezanya, kata beliau kali ini ia dipantau melalui portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB) yang akan mengemas kini sebarang perubahan harga secara harian oleh seramai 1,200 pegawai pemantau harga (PPH) dari KPDNKK.

Sebelum itu, pada 21 Mei lalu, Timbalan Menteri KPDNKK telah menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam ekoran permintaannya yang tinggi ketika itu.

Datuk Tan Lian Hoe berkata, peniaga tidak sepatutnya berbuat demikian hanya kerana kementerian tidak boleh mengawal harga ayam pada waktu biasa kerana ia ditentukan berdasarkan permintaan dan bekalan.

Menurutnya, isu kenaikan harga sebelum itu telah dibangkitkan iaitu sekitar bulan Mac lalu yang mana harga ayam mencecah sehingga purata RM8.20 satu kilogram, namun pada ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberi jaminan harga ayam yang naik mendadak sehingga sekarang akan kembali normal menjelang April.

Apa pun alasan dan cadangan bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam, beliau ingin mendapatkan penjelasan, antaranya kenapa kerajaan tidak mampu mengawal kenaikan harga ayam.

“Adakah alasan yang diberikan oleh penternak sebenarnya berasas dan tidak mampu ditolak oleh kerajaan?

“Adakah kenaikan ini adalah kesan daripada penyelarasan subsidi seperti mana yang telah diumumkan oleh kerajaan?” soalnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan, adakah kerajaan telah mewujudkan Program Stok Penimbal Ayam seperti yang pernah dicadangkan.

Katanya lagi, kenaikan harga ayam perlu ditangani segera.

Harakahdaily/-

Penduduk ibu kota gempar rasai gegaran

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 14 Jun – Penghuni di beberapa buah bangunan yang mempunyai ketinggian lebih lapan tingkat di sekitar ibu negara hari ini panik apabila merasai dua gegaran iaitu kira-kira pukul 8 dan 11 pagi.

Sekurang-kurangnya 10 lokasi terlibat dikenal pasti dan antaranya di Pekeliling, Wangsa Maju, Jalan Sultan Ismail, Bangsar, Salak Selatan, Bukit Bintang dan Putrajaya.

Gegaran berpunca daripada dua gempa bumi bermagnitud 5.5 dan 5.6 skala Richter yang berlaku di Sumatera Utara pada pukul 8.08 dan 11.01 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada pukul 8.23 pagi.

Menurutnya, berikutan itu, bangunan seperti Menara Dion dan Kenanga di Jalan Sultan Ismail serta Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dekat Bangsar telah diperiksa sebanyak dua kali untuk tujuan keselamatan. - Utusan

Masjid dikuasai Umno 'mati' dulu dari ahli kariah

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperkenalkan pemilihan jawatankuasa masjid ala pilihan raya, Umno yang bersikap berpenyakit bebal cuba eksploit isu itu dengan harapan supaya orang Melayu semakin marah dengan Pakatan Rakyat kerana mempolitikkan masjid.

“Pada hal pemilihan itu adalah cara sahaja berubah, dulu angkat tangan sekarang hendak dibuat ala pilihan raya,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 adalah mengikut Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (negeri Pulau Pinang).

Tambahnya, tatacara baru itu memberikan hak kepada anak kariah untuk mencadangkan jawatankuasa masjid masing-masing kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, selepas tarikh pencalonan ditutup Selasa lalu, 193 daripada 200 masjid sudah menghantar senarai pencalonan masing-masing yang membuktikan majoriti kariah menerima pakai tatacara pemilihan diperkenalkan.

Malah, ujarnya ada masjid mengadakan kompromi di kalangan ahli kariah masing-masing untuk mengelak berlakunya pertandingan.

“Memang Umno anti pembaharuan, kerana selama ini mereka berfikiran jumud dan zero IQ.

“Sebab itu setiap pembaharuan yang dibuat selain daripada Umno ia akan ditentang secara melulu, walaupun akhirnya mereka akan meniru,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tentu masih ingat ketika kerajaan Kelantan memperkenalkan hari bekerja selama lima hari seminggu, pemimpin Umno menuduh kerajaan Kelantan malas dan akan merendahkan produktiviti.

Tambahnya, tidak berapa lama kerajaan pusat mengikut jejak langkah yang sama.

Mereka, ujarnya akan manipulasi isu ini untuk menuduh kerajaan Pakatan Rakyat menimbulkan kecelaruan kepada orang Islam.

“Apa yang paling kelakar mereka berhujah kenapa kuil dan gereja tidak ada pemilihan ahli jawatankuasa seperti pemilihan ahli jawatankuasa masjid,” katanya.

Sebenarnya, kata beliau Umno hendak melindung kerja jahat mereka terhadap institusi masjid di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, pemilihan yang tidak demokratik, ia hanya dipilih oleh pemimpin Umno bukan anak kariah.

“Perlantikan bukan ahli masjid, yang tidak layak dari segi peribadi untuk imarahkan masjid. Tetapi oleh kerana ia ‘dibinkan’ dengan Umno maka semua boleh.

“Kita boleh lihat masjid di negeri Umno dan Pakatan Rakyat dari segi imarah. Masjid di negeri Umno mati sebelum ahli kariah mati,” ujarnya.

Harakahdaily

Kejutan manusia hijau

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KETIGA-TIGA aktivis ini mengajak orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup vegetarian.

KETIKA waktu tengah hari, orang ramai pasti memilih untuk berdiam di dalam kawasan berhawa dingin ataupun mencari kawasan teduh bagi mengelak bahang matahari.

Bukit Bintang, Kuala Lumpur seperti hari- hari biasa tetap dibanjiri manusia. Derapan langkah orang ramai di situ kelihatan pantas kerana tidak tahan berlama-lama dalam suhu panas sebegitu.

Keadaan berbeza pula buat tiga manusia hijau yang tidak putus-putus mengedar risalah kepada orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu.

Sambil memegang papan tanda bertulis Bertindak hijau! Menjadi vegan!, ketiga-tiga mereka yang mewarnakan tubuh badan dengan cat hijau turut melaung-laungkan slogan tersebut dalam bahasa Inggeris sambil melayan permintaan pengunjung untuk bergambar bersama.

Inisiatif Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) itu merupakan antara usaha mereka bagi menggalakkan manusia menjadi vegetarian dengan mengelakkan pengambilan daging haiwan sebagai juadah harian.

Pemimpin kempen tersebut, Ashley Fruno menjelaskan, selain daripada perubahan iklim, penggunaan tanah berlebihan serta pencemaran air dan udara, memakan daging haiwan juga mengundang malapetaka kepada bumi.

“Saya menjadi vegetarian sejak usia 13 tahun dan saya berharap lebih ramai orang memilih untuk menjadi vegetarian.

Kesan penternakan

“Kita tahu kebanyakan bencana alam yang terjadi hari ini sering dikaitkan dengan aktiviti manusia dalam pembangunan dan pengindustrian tetapi kajian oleh kebanyakan pertubuhan alam sekitar dunia menjumpai sesuatu di luar jangkaan.

“Pertubuhan seperti Institut Worldwatch, Kelab Sierra, Kesatuan Saintis Prihatin dan Al Gore’s Live Earth mengesahkan tahap kerosakan alam sekitar akibat penternakan haiwan lebih buruk berbanding aktiviti manusia yang lain,” jelasnya.

Selepas berkempen di Filipina, Australia dan Malaysia, aktivis itu akan berlegar-legar pula di ibu negara Indonesia dan Thailand pada pertengahan bulan ini.

Melihat Malaysia sebagai negara yang bersifat terbuka berkaitan perihal kemanusiaan, Ashley meluahkan rasa senangnya sepanjang melakukan kempen tersebut di negara ini yang turut diadakan di Batu Pahat, Johor.

Tidak berdepan cabaran besar seperti yang dialami di beberapa negara lain, reaksi positif masyarakat Malaysia terhadap kempen tersebut melegakannya.

“Saya pernah ditahan pihak berkuasa ketika melakukan kempen yang sama di Korea Selatan atas kesalahan mewarnakan tubuh badan dan berlegar-legar di kawasan awam.

“Tetapi itu semua merupakan dugaan sebagai aktivis dan tidak dinafikan cabaran melakukan kempen di Malaysia ialah cuacanya yang terlalu panas bagi saya,” katanya jujur.

Turut sama menyertai Ashley pada hari itu ialah dua sukarelawan lelaki, Malte Schwarzer dari Jerman dan Rezza yang merupakan anak tempatan Malaysia.

kosmo/-

Kematian Sarbani: Inkues bermula 4 Julai

12 Rejab 1432H. [MOD] -

Inkues bagi menyiasat kematian misteri penolong pengarah kanan Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua bulan lalu telah ditetapkan pada 4 hingga 15 Julai ini.

Tarikh itu ditetapkan di mahkamah majistret 3 di hadapan koroner Aizatul Akmar Maharani dan disahkan oleh pegawai polis yang bertugas di mahkamah Kuala Lumpur R Munusamy hari ini.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM di Kuala Lumpur pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Permohonan untuk mengadakan inkues itu dikemukakan mengikut Seksyen 399(1) Kanun Prosedur Jenayah, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

MALAYSIAKINI/-

Bersih 2.0 diteruskan walau Perkasa halang

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, PAS tidak akan berganjak bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, 9 Julai ini.

Katanya, biarpun kumpulan pendesak Melayu, Perkasa memberi amaran untuk menghalang, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan.

"Kita akan buat terus, dia (Perkasa) nak buat himpunan itu hak dia," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dalam sidang media di parlimen hari ini memberitahu pertubuhan itu akan melawan habis-habisan himpunan Bersih 2.0 itu.

Sambil menyifatkan himpunan itu sebagai "mengacau", Ibrahim turut memberi amaran akan membuat himpunan serupa bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 tersebut walaupun terpaksa berlaku pertembungan.

Ibrahim, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.

Membidas kenyataan Ibrahim itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, bukan Perkasa yang menentukan himpunan tersebut huru-hara atau tidak.

"Itu kerja polis la nak tentukan aman atau tidak. Datuk Ambiga (Pengurusi Bersih), sudah beri jaminan kita akan buat himpunan secara aman," katanya.

Beliau turut memberi contoh himpunan Bersih pertama pada 2007 lalu, menyaksikan himpunan berlangsung secara aman.

"Perkasa kalau nak buat juga himpunan, buat hari lain la, kita dah cadang tarikh ni lebih awal lagi," katanya.

Declare perang fizikal

Seorang lagi AJK Bersih, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan tindakan Perkasa memberi amaran mahu bertembung dengan peserta himpunan Bersih sebagai tidak wajar.

"Kita tak pernah halang Perkasa nak berhimpun. Tapi berhimpun lah untuk memperjuang hak sendiri, bukan sebab nak halang kita semata-mata.

"Ini sudah declare perang secara fizikal. Bukan begini caranya, ini cara pengganas," katanya.

Nazri Abdullah
harakahdaily/-

Kerajaan Pulau Pinang tetap teruskan pilihan raya masjid

12 Rejab 1432H. [MOD] -

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang tetap akan meneruskan kaedah pemilihan anggota jawatankuasa masjid melalui pilihan raya dan mempertahankan tindakan itu mengikut undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Abdul Malik Abul Kassim berkata, Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 adalah mengikut Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang).

"Tatacara baru yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) ini merupakan penambahbaikan tatacara peraturan yang sedia ada diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa kaedah baru itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Abdul Malik berkata, "Kita ikut undang-undang dan enakmen yang diwartakan Kerajaan Negeri."

Katanya tatacara baru itu memberikan hak kepada anggota kariah untuk mencadangkan jawatankuasa masjid masing-masing kepada MAIPP sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ditanya cara menentukan anggota kariah yang layak mengundi, beliau berkata, jawatankuasa kariah sedia ada yang akan memutuskan mereka yang layak mengundi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan satu pangkalan data mengenai maklumat kariah selepas selesai pemilihan itu.

Katanya selepas tarikh pencalonan ditutup Selasa lalu, sebanyak 193 daripada 200 masjid telah menghantar senarai pencalonan masing-masing.

"Ini membuktikan bahawa majoriti kariah menerima pakai tatacara pemilihan yang diperkenalkan MAIPP. Malah terdapat masjid yang mengadakan kompromi di kalangan anak-anak kariah masing-masing untuk mengelakkan berlakunya pertandingan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata, UMNO negeri telah menghantar surat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, supaya membatalkan pilihan raya itu.

"Saya berharap Yang di-pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam dapat menghalang perkara yang boleh memecah-belahkan orang Islam," katanya pada sidang akhbar.

Beliau juga mempersoalkan adakah kaedah yang sama akan digunakan untuk memilih jawatankuasa untuk kuil, gereja dan tokong.

"Perkara ini perlu ditelitikan secara mendalam sebelum membuat apa-apa keputusan kerana ini membabitkan hal ehwal agama," katanya.- Bernama

Perantau di Sabah 18, 19 Jun

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) akan meneruskan siri jelajah ke seluruh negara untuk bertemu dengan anak-anak Terengganu yang tertangguh seketika selepas dimulakan di Ipoh, Perak pada 26 Mac lepas.

Setiausaha Perantau, Suhaimi Embong memberitahu Harakahdaily, beliau dan rombongannya akan ke Sabah untuk bertemu dan beramah mesra dengan anak-anak Terengganu yang berada di negeri itu pada 18 dan 19 Jun ini yang akan diadakan
di sebuah resort terkemuka di Kundasang.

Beliau berharap anak-anak Terengganu di Sabah yang ingin turut serta dalam dalam program yang akan diadakan di kawasan pergunungan yang nyaman itu dapat menghubungi penyelaras Program Ramah Mesra Anak-anak Terengganu (Perantau) di Sabah,
Anuar Ali di talian 013-856 0679.

Harakahdaily

Warga S'pura dakwa diarah ketuk ketampi dalam bogel

12 Rejab 1432H. [MOD] -

Dua wanita warga Singapura dilaporkan dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh anggota Jabatan Imigresen selepas ditangkap atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah.

Tindakan seumpama itu pernah diisytiharkan sebagai “tidak berperikemanusiaan dan menghina” serta diarahkan dihentikan serta-merta oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat Peraturan Prosedur Operasi Standard (IGSO) berhubung laporan mengenai pemeriksaan badan, ketika ditangkap dan dalam tahanan pada 2006.

Suruhanjaya lima anggota yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah itu berkata amalan tersebut juga haram di sisi Syariah dan mencabul hak asasi manusia.

Menurut akhbar harian berbahasa Cina Singapura - Lianhe Zaobao, kejadian berlaku pada awal pagi 9 Jun lalu apabila dua wanita berkenaan memandu menyeberangi Tambak Johor dari republik itu.

Mereka menuju ke Johor Bahru dengan tujuan untuk makan malam tetapi secara cuai dan lalai melalui kaunter imigresen tanpa mengecop passport masing-masing.

Atas kesilapan itu, mereka ditahan dan didakwa sebagai pendatang asing dan dikurung di lokap di Pontian, Johor.

Wanita yang menggunakan nama samaran Lin Li Li, memberitahu akhbar itu, dia dan rakannya Zhan Ting Ting, juga nama samaran, kemudiannya diarahkan supaya menanggalkan semua pakaian mereka dan melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali.

Selepas selesai melakukannya, mereka diberi pakaian tahanan dan mendakwa digari dan dikurung di bilik tahanan yang cukup memilukan.

"Baju yang diberikan itu kotor dan berbau. Sel itu sebesar dua pertiga gelanggang bola keranjang tetapi ada 50 ditempatkan di dalamnya. Ada banyak nyamuk dan juga lipas.

"Kami digari dan dilayan seperti banduan meskipun kami belum didapati bersalah. Ini amat menghina,” kata Lin kepada akhbar itu.

Selepas dikurung selama 24 jam, mereka kemudiannya dibebaskan dengan surat amaran daripada seorang pegawai imigresen.

Berang layanan yang tidak berperikemanusiaan itu, kedua-dua mereka berkata tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia walaupun dijemput berbuat demikian.

Menurut laman web akhbar harian Sin Chew, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmud Adam enggan mengulas kerana belum menerima laporan berhubung perkara itu.

MALAYSIAKINI/-

Anonymous ancam godam laman web kerajaan Malaysia Khamis ini

12 Rejab 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 14 Jun — Satu kumpulan yang dikenali sebagai Anonymous mengancam untuk menggodam laman web kerajaan www.malaysia.gov.my di bawah “Operation Malaysia” awal Khamis ini.
Kumpulan itu menghantar mesej mengatakan bahawa ia akan menggodam pada pukul 3.30 pagi Khamis ini waktu Malaysia (7.30 petang, waktu GMT esok).

Laporan The Star Online pagi ini menyebut ugutan dalam bentuk grafik disiarkan di laman web http://i.imgur.com/PTFWh.png.

Mikko Hypponen, ketua pejabat penyelidikan di F-Secure Corporation, sebuah firma sekuriti perisian yang berpejabat di Helsinki, Finland menghantar mesej mengenainya menerusi Twitter kira-kira 4.42 pagi tadi (waktu Malaysia).

Tiada butiran lain diperoleh ketika ini, kata laporan itu.

Laporan itu menambah, tidak diketahui sebab Anonymous menyasarkan laman web Malaysia.

Penamatan kereta api pergi balik Kuala Lumpur-Ipoh-Kuala Lumpur

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) bakal menamatkan perkhidmatan kereta api pergi balik Kuala Lumpur – Ipoh – Kuala Lumpur bermula 1 Julai depan.

Unit Komunikasi Korporat KTM berkata, penamatan perkhidmatan itu bertujuan penambahan koc-koc penumpang bagi laluan tersebut dengan kapasiti lebih padat.

“Sebagai alternatif, KTM Intercity menyediakan beberapa perkhidmatan kereta api ekspres ke laluan tersebut.

“Selain itu, penumpang boleh menaiki perkhidmatan kereta api Elektrik (ETS) untuk ke laluan tersebut. Penumpang juga dapat menikmati tambang serendah RM25.00*,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, sebarang pertanyaan boleh layari laman sesawang KTM Berhad, www.ktmb.com.my dan KTM Intercity www.ktmintercity.com.my atau hubungi pusat panggilan KTM Berhad di talian 1-300-88-KTMB (5862).

*Kadar tambang rendah RM25.00/sehala untuk perjalanan ETS silver sahaja. Sila layari www.ets-train.com.my untuk jadual dan tambang tren ETS.

SINARHARIAN/-

Rakyat Thailand sedia terima PM wanita

12 Rejab 1432H. [MOD] -

BANGKOK - Majoriti penduduk Thailand bersedia mempunyai perdana menteri wanita pertama, menurut keputusan tinjauan Institut Kebangsaan Pentadbiran Pembangunan Thailand, semalam.

Tinjauan itu menunjukkan sebanyak 63.5 peratus daripada responden sedia menerima kemungkinan itu manakala 15.8 peratus tidak bersetuju jika wanita menjadi pemimpin tertinggi negara itu.

Yingluck Shinawatra, adik kepada bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menjadi calon perdana menteri wanita pertama parti pembangkang, Pheu Thai bagi pilihan raya 3 Julai depan.

SINARHARIAN/-

Gempa 5.9 magnitud gegar Sumatera Utara

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi bermagnitud 5.9 melanda Sumatera Utara 8.08 pagi tadi dengan gegarannya dirasai di sekitar Selangor, selatan Perak dan Melaka, demikian kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, sebentar tadi.

beritaharian/-

Pakatan: Kebimbangan Johor bakal tumbang 'berasas'

12 Rejab 1432H. [MOD] -


Pakatan Rakyat menyifatkan kebimbangan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman terhadap kemampuan gabungan itu merampas Johor "ada asasnya" sekiranya pakatan itu menguasai 50 peratus pengundi luar bandar.

Gabungan itu sedang berusaha untuk mencapai sasaran tersebut dengan melaksanakan pelbagai aktiviti, program turun padang dalam usaha menguasai negeri itu daripada BN.

Pakatan memenangi enam kerusi negeri di Johor - dua kerusi dimenangi oleh calon PAS (Sungai Abong dan Maharani) dan empat lagi oleh calon DAP (Bentayan, Mengkibol, Skudai dan Senai).

Pengerusi Pakatan Rakyat Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata beberapa kayu ukur pertambahan sokongan masyarakat luar bandar dapat dilihat daripada kehadiran mereka pada ceramah Pakatan yang bertambah sehingga 30 peratus.

"Ceramah adalah cara paling efektif untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat luar bandar. Ada peningkatan hadirin dalam ceramah kita... Dalam satu minggu ada dua atau tiga ceramah Pakatan.

"Selepas pilihan raya Sarawak, peningkatan 30 peratus (hadirin) dalam ceramah kita. Ada juga ramai penyokong Umno yang hadir... Tidak kira ceramah kita di seluruh Johor, sama ada kecil-kecilan atau besar-besaran," katanya.

Dr Boo yang juga pengerusi DAP Johor mengulas kenyataan Abdul Ghani yang mengarahkan semua jentera BN di 26 bahagian di negeri itu bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Abdul Ghani juga dilaporkan berkata sekira Pakatan menguasai 50 peratus pengundi luar bandar, 80 peratus pengundi bandar dan 60 peratus pengundi India, maka gabungan itu berupaya merampas Johor daripada BN.
Dr Boo berkata untuk tujuan berkenaan, Pakatan juga menubuhkan pusat aduan masyarakat terutama di kawasan luar bandar bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, DAP turut menubuhkan 15 pusat aduan masyarakat di luar bandar antaranya masing-masing dua di Skudai dan Muar serta beberapa lagi di Tangkak, Labis, Segamat, dan Johor Bharu.

"Mereka (BN) memang terasa tekanannya. Dua tiga tahun ini, kita mengadakan pelbagai aktiviti dan menubuhkan pusat aduan rakyat," kata beliau yang juga ADUN Skudai.

Dr Boo berpandangan wujudnya kecenderungan pengundi luar bandar untuk menyokong Pakatan berdasar sokongan mereka dalam pilihan raya kecil Tenang, walaupun calon PAS Normala Sudirman tewas akibat kesulitan seperti banjir dan masalah pengangkutan.

Sementara itu, ADUN PAS Maharani Dr Muhammad Taslim bersetuju dengan pandangan Dr Boo bahawa BN "sedang kepanasan dengan sambutan rakyat Johor terhadap Pakatan".

"Agak tepat apa yang dibimbangi (Abdul Ghani)... Sokongan pengundi bandar dan luar bandar tidak berubah sejak (pilihan raya) 2008, bahkan bertambah.

"Kita juga bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13. (Menarik sokongan) di luar bandar, kita mengambil masa (sedikit).

"Kita ada kumpulan sasaran, kita beri bantuan tak ikut parti politik. Mereka nampak keikhlasan kita, kita cuba sedaya-upaya kita sekadar yang mampu (membantu rakyat)," katanya.

Menurutnya lagi, khidmat wakil rakyat pembangkang kepada masyarakat tidak bermusim, sebaliknya berterusan dan bertambah walaupun dalam skala yang kecil.

Bagi tujuan tersebut, Dr Muhammad yang juga ahli jawatankuasa PAS Johor menubuhkan pusat aduan masyarakat di luar bandar, antaranya di Sungai Balang dalam parlimen Muar dan beberapa lagi di Johor Bahru.

Dr Muhammad yang juga naib yang dipertua PAS Muar berkata beliau juga mendapat "maklum balas yang cukup baik" daripada pengundi di luar bandar, khususnya kaum Cina, terhadap aktiviti yang dilaksanakannya.

Difahamkan PAS juga menubuhkan pusat aduan dan khidmat masyarakat di kawasan luar bandar dan pinggir bandar antaranya di sebuah kampung Melayu di Gelang Patah, Taman Permas di Pasir Gudang dan kampung tradisi di Tampoi, Pulai.

Juruwang songlap RM1.9 juta

12 Rejab 1432H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang juruwang Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam selepas mengaku bersalah terhadap 56 pertuduhan mendepositkan cek RM1,925,500.

Roslizam Zabar, 40, berhadapan tiga pertuduhan pilihan merangkumi 56 pertuduhan mengikut tahun, 2008, 2009 dan 2010, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim, Abu Bakar Katar.

Pada pertuduhan pilihan pertama, Roslizam didapati curang dan tanpa pengetahuan serta kebenaran bank membuat deposit cek yang tidak wujud berjumlah RM95,000 dan dimasukkan ke dalam akaun BIMB atas nama Roslen Enterprise di nombor akaun 04024010016444 di BIMB cawangan Masjid Tanah, Kompleks Perniagaan Masjid Tanah, Alor Gajah antara 5 dan 26 Disember 2008.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, dia lakukan perkara sama dengan jumlah RM1,578 di dalam akaun dan bank sama pada 2009, iaitu dari 9 Januari hingga 25 Ogos.

Menerusi pertuduhan pilihan ketiga pada 2010, dia melakukan perkara sama dengan jumlah wang RM252,500 ketika bertugas dari 2 hingga 17 Ogos.

Roslizam, diwakili peguam, Shah Rizal Alias dan Shahrul Amali Shafie ketika rayuan, meminta mahkamah berikan hukuman ringan kerana dia berniat pulangkan semula keseluruhan wang diambil.

“Tertuduh insaf. Dia turut beri kerjasama ketika majikannya menyiasat perkara berkenaan dengan menyerahkan borang deposit cek yang berada dalam simpanan.

“Mahkamah dimohon pertimbangkan tanggungjawab tertuduh untuk menyara seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil berusia dari setahun hingga enam tahun, di samping ia kesalahan kali pertama,” kata Shah Rizal.

Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar, mohon dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukannya serius dan tidak sepatutnya tertuduh guna wang pihak ketiga dalam menyelesaikan masalah kewangan.

“Niat jahat berlaku ketika transaksi pertama, kemudian dipengaruhi nafsu tamak kerana tertuduh didapati mengulangi perbuatan sehingga membabitkan 56 transaksi dilakukan.

“Sekiranya tertuduh berniat mahu memulangkan semula wang terbabit, dia sepatutnya sudah memulakannya sejak awal, tetapi sehingga sekarang tiada usaha dilakukannya,” katanya.

Setelah meneliti fakta kes dan mendengar hujah serta rayuan kedua-dua belah pihak, Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan halus bagi setiap pertuduhan pilihan dari 2008 hingga 2010.

Beliau, bagaimanapun, mengarahkan hukuman dijalankan secara serentak menjadikan hukuman dijalankan ke atas tertuduh adalah 10 tahun penjara dan 12 sebatan.

sinarharian/-

Bekas PM Britain baca Al-Quran setiap hari

12 Rejab 1432H. [MOD] -


LONDON - Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang merupakan seorang penganut ajaran Katholik, mengaku membaca kitab suci umat Islam, al- Quran (yang diterjemahkan) pada setiap hari, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemimpin berusia 58 tahun itu berkata, beliau membaca Al-Quran untuk memastikan bahawa beliau lebih memahami tentang ajaran Islam.

Dalam satu wawancara dengan majalah Observer yang disiarkan pada Sabtu lepas, Blair berkata: "Saya percaya adalah penting untuk kita celik agama dalam dunia global masa kini."

"Saya membaca al-Quran setiap hari. Antara tujuannya adalah untuk memahami beberapa perkara yang berlaku di dunia ini, tetapi lebih penting, ia (al-Quran) banyak memberikan maklumat berguna," ujarnya.

Menurut Blair, beliau percaya kefahaman mengenai Islam dapat membantu dalam peranannya sebagai Utusan Rasmi Asia Barat untuk Kuartet Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia.

Blair sebelum ini memuji agama Islam sebagai indah dan menyatakan Nabi Muhammad SAW penggerak yang kuat dalam membentuk masyarakat bertamadun.

Adik ipar pemimpin tersebut, Lauren Booth memeluk agama Islam pada Oktober tahun lalu. 

Agensi

Christchurch bergegar lagi

12 Rejab 1432H. [MOD] -

PEKERJA memeriksa kerosakan yang berlaku di Gereja St John selepas gempa bumi melanda   Christchurch, New Zealand semalam. 
 PEKERJA memeriksa kerosakan yang berlaku di Gereja St John selepas gempa bumi melanda Christchurch, New Zealand semalam.

WELLINGTON: Beberapa siri gempa susulan melanda bandar Christchurch semalam, bandar yang pernah dilanda gempa bumi besar Februari lalu, meruntuhkan satu bangunan di antara beberapa lagi bangunan yang masih berdiri di kawasan bandar dan menyebabkan bekalan elektrik di beribu-ribu kediaman terputus.

Kira-kira 200 orang berada di kawasan gempa bumi semalam dan dua mangsa masih terperangkap dalam gereja, manakala 10 lagi cedera.

“Kami diselaputi debu. Ia sangat menakutkan,” kata Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker kepada radio nasional New Zealand.

Penduduk di bandar itu keluar dari bangunan dalam keadaan panik apabila gempa berukuran 5.2 magnitud melanda ketika waktu makan tengah hari, dan sejam kemudian gegaran berukuran 6 magnitud melanda, menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat.

Di pusat bandar dan pinggir bandar, beberapa bangunan turut rosak.

Akhbar NZ Herald melaporkan 50 bangunan berkemungkinan runtuh dalam kejadian gempa bumi itu.
Gegaran turut dirasai sejauh Wellington dan Invercargill. Terminal lapangan terbang Christchurch kembali dibuka tetapi pemeriksaan landasan diteruskan. Penerbangan dijangka lewat.

Jambatan di Jalan Gayhurst, Avonside turut runtuh berikutan gempa itu, manakala beberapa lagi jambatan ditutup.

Stesen bersejarah Lyttelton Timeball Station yang rosak dalam gempa bumi Februari lalu turut runtuh.

“Semua kedai runtuh. Separuh daripada bumbung jatuh tetapi tidak runtuh keseluruhan,” kata pekerja Domino’s Pizza, Renee Murray.

Bandar itu digegarkan ratusan gempa susulan sejak gempa bumi berukuran 6.3 magnitud membunuh 181 orang pada 22 Februari. Seperti gegaran sebelum ini, dua gempa besar semalam terjadi dalam hanya dalam kedalaman 10 kilometer, menurut USGS.

Kira-kira 47,000 kediaman di timur bandar mengalami gangguan tenaga elektrik ketika penduduk berdepan dengan cuaca musim sejuk.

Batu bergolek menuruni bukit di kawasan paling teruk dilanda gempa pada Februari apabila mendapan menggelembung dari bumi, satu proses yang dikenali sebagai ‘liquefaction’ yang kadangkala terjadi ketika kejadian gempa.
AP/ Agensi

INFO: GEMPA DI CHRISTCHURCH

Selepas gempa pada Februari lalu, 300,000 tan mendapan memenuhi bandar dan mendapan memenuhi bandar dan menjadikan ribuan rumah tidak boleh didiami.

Dalam kejadian semalam, kenderaan SUV terjerumus memasuki lubang besar yang terjadi akibat gempa, manakala kereta polis tertimbun antara satu sama lain.

Dengan kerosakan di pusat bandar bermakna ada bangunan yang sudah diselamatkan kini mengalami kerosakan yang teruk. 

20 pemberontak maut diperdaya tentera pro-Gaddafi

12 Rejab 1432H. [MOD] -


BENGHAZI 14 Jun – Pasukan tentera yang setia kepada pemimpin Libya Muammar Gaddafi hari ini membunuh 21 orang pemberontak yang berada di barisan hadapan antara Ajdabiya dan Brega yang terletak di timur Libya, lapor komander pemberontak.

Menurut Mussa al-Mograbi, kumpulan pemberonta terpedaya dengan muslihat tentera Gaddafi yang berpura-pura untuk menyerah diri dengan membawa bendera putih dan kemudian menembak ke arah mereka.

Kira-kira 20 orang pemberontak tercedera dan dibawa ke hospital Ajdabiya, 160 kilometer dari selatan Benghazi untuk menerima rawatan. 

AFP

Kereta bawa Raja Jordan diserang kumpulan remaja

12 Rejab 1432H. [MOD] -


AMMAN 14 Jun – Sekumpulan remaja Jordan menyerang perarakan kereta Raja Abdullah II dengan melempar batu ke arahnya ketika baginda melawat bandar di Tafileh di selatan negara itu, kata seorang pegawai keselamatan tetapi kenyataan itu dinafikan oleh kerajaan.

Menurut pegawai tersebut, sebahagian daripada perarakan kereta tersebut diserang dengan dilemparkan batu serta botol kosong oleh sekumpulan lelaki yang berusia 20 hingga 30 tahun apabila kereta raja itu memasuki Tafileh.

“Tiada siapa yang tercedera dan kereta-kereta yang mengiringi raja itu menukarkan arah laluannya,” ujarnya. 

AFP

Gempa bumi 6.2 magnitud gegar kepulauan Sulawesi

12 Rejab 1432H. [MOD] -


JAKARTA 14 Jun – Satu gegaran kuat dengan kekuatan 6.2 pada skala Richter berlaku di kepulauan Sulawesi, Indonesia malam tadi namun tiada laporan kerosakan mahupun amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi di bawah laut pada kedalaman 13 kilometer dan 211 kilometer dari timur Manado, Sulawesi itu berlaku pada pukul 10.31 malam, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Tiada amaran atau makluman tsunami dikeluarkan di dalam laman web Pusat Amaran Tsunami setakat ini. 

AFP