14 Jun 2011

PRU 13: Tahniah, Umno takut buat pemilihan

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) mencadangkan agar bekas tentera dilantik sebagai ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di setiap negeri.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, amat sesuai untuk bekas tentera ini dilibatkan dalam JKKK memandangkan ianya berkait dengan keselamatan rakyat.

"Saya nak cadangkan di sini dan saya minta pendapat menteri apakah boleh kalau bekas tentera ini dipilih sebagai ahli JKKK.

"Nama pun jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung jadi sudah tentu bekas tentera ini ada kepakaran, kemahiran dan disiplin dan akan memberikan manfaat kepada orang ramai.

"Jadi saya harap bekas tentera ini mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Nizar turut mempersoal kegagalan bekas tentera mendapatkan tanah walaupun telah membuat permohonan setelah bersara pada umur 40 tahun.

Sedangkan menurut Nizar, permohonan tanah itu termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) tahun 1973.

Beliau merujuk kepada PMAT bertarikh 29 ogos 1973, perenggan 9 hingga 11 yang antara lain menyatakan bahawa isteri bekas tentera berhak untuk memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak tanah perumahan daripada Kementerian Pertahanan melalui kerajaan negeri tertentu.

"Malangnya 99 peratus daripada pemohonan tidak diluluskan dan ahirnya ramai di antara bekas tentera hari ini hanya sekadar menjadi pengawal keselamatan, pemandu atau kerja-kerja buruh kasar.

"Saya merasa amat sedih oleh kerana mereka telah menggadaikan usia muda mereka, masa bekerluarga tiba-tiba selepas bersara tidak dilayan sebaiknya," katanya yang juga Adun Pasir Panjang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjawab soalan sebenar sebaliknya cuba mengalihkan isu dengan mendakwa tanah di bawah kuasa kerajan negeri dan Nizar sewaktu menjadi Menteri Besar Perak juga tidak memberikan tanah kepada bekas tentera.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil Pakatan Rakyat dan mendakwa Zahid tidak mengkaji isu sebenar.

Nizar dalam soalan asalnya meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha serta langkah kerajaan dalam memanfaatkan tenaga serta kepakaran bekas-bekas tentera khususnya mereka yang tamat perkhidmatan pada umur 40-an.

Berbalas sindiran

Sementara itu, sewaktu sesi soal jawab berlangsung, berlaku berbalas-balas sindiran di antara Zahid dan Nizar.

Ianya bermula apabila Zahid sebelum menjawab soalan Nizar "mengucapkan tahniah" kepada Nizar dan pimpinan PAS yang menang dalam pemilihan parti minggu lalu.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada Bukit Gantang (Nizar) yang diberikan kepercayaan semula oleh Presiden partinya sebagai AJK PAS Pusat walaupun beliau kecundang dalam perebutan jawatan naib presiden baru-baru ini.

"Tahniah juga kepada Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) dan Kubang Kerian (Salahuddin Ayub) yang dapat mengekalkan jawatan sebagai naib presiden PAS dan tahniah kepada Presiden PAS yang menang tanpa bertanding," katanya.

Nizar sebelum mengemukakan soalan tambahan membalas "ucapan tahniah" itu dengan turut "mengucapkan tahniah" kepada Umno yang takut untuk mengadakan pemilihan partinya kerana ingin memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13.

"Saya ucapkan tahniah kepada menteri yang menjawab (soalan saya) dan kemudiannya memberikan ransangan dan mengucapkan tahiah kepada saya dan rakan-rakan yang bertanding dalam pemilihan parti baru-baru ini.

"Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada menteri kerana parti Umno juga gentar dan takut membuat pemilihan dan akhirnya ditangguh.

"Jadi tahniahlah kerana takut dan kalau boleh ditangguhkan lagi lama lagi elok. Tahniah," katanya.

Hazayani Zakaria
HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: