23 April 2010

Heret Anwar ke JK Hak, MP Pakatan keluar dewan

7 Jamadil Awal 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 April: Ahli-ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat bertindak keluar sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan usul mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen hari ini.

Bercakap pada sidang media sejurus selepas itu Anwar berkata, Umno memaksa satu usul diluluskan walaupun ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(12) dan 80(1).

"Kita perhatikan bahawa Umno, saya sebutkan Umno kerana Barisan Nasional tidak terlibat langsung memaksa satu usul yang bertentangan dengan peraturan mesyuarat.

"Saya minta saudara-saudari rujuk peraturan mesyuarat 36(12) dan 80(1) iaitu usul yang dibawa oleh menteri mesti terikat dengan peraturan iaitu merujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan untuk menentukan salah atau tidak dan keduanya mencadangkan hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah kepada dewan," katanya.

Namun ujarnya, kes melibatkan beliau 'unik dan istimewa' kerana usul berkenaan terus merujuk beliau ke jawatankuasa berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa untuk mengenakan tindakan terhadap beliau.

"Pada tahun 2004 apabila Yang Berhormat Bukit Gelugor dirujuk ke jawatankuasa dan bunyinya itu mengikut peraturan iaitu memohon usul dirujukkan kepada jawatankuasa hak dan kebebasan untuk membuat penentuan samada kenyataan dibuat oleh Bukit Gelugor dalam dewan adalah palsu atau tidak, kemudian mencadangkan tindakan setimpal sekiranya didapati palsu.

"Dalam kes Permatang Pauh memang unik dan special iaitu terus disebut hendaklah dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan dan jawatankuasa ini hendaklah membuat syor jenis hukuman. Jadi bukan jawatankuasa ini hendak menententukan salah atau tidak.Ini yang dipertikaikan berulang kali oleh Ahli Yang Berhormat sebentar tadi," katanya lagi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan, wakil-wakil Pakatan rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dewan kerana mereka tidak mahu mengundi usul yang tidak tepat.

"Menteri enggan membuat apa-apa pindaan, tarik balik, atau bentang semula, kita tidak ada pilihan kerana kalau kita undi bermakna kita menyertai perbahasan yang menyebut secara khusus Permatang pauh bersalah," tegasnya.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau akan menghadiri pendengaran jawatankuaasa itu dan mengemukakan bukti mengenai dakwaannya.

"Saya akan hadir ke jawatankuasa itu dan akan mengemukakan bukti dan dokumen perjanjian seperti yang dikehendaki speaker," katanya.

Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee manakala ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa akan mewakili Pakatan Rakyat ke pendengaran berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang juga Timbalan Presiden PAS berkata pada sidang media sama mempertikaikan keputusan dewan menjatuhkan hukuman terhadap Anwar sebelum sebelum jawatankuasa membincangkannya.

"Isu kita jelas kalaulah kita anggap jawatankuasa hak dan kebebasan ini sebagai tempat perbicaraan, isunya sekarang ini ialah hukuman telah pun dijatuhkan sebelum perbicaraan bermula.

"Kita mahu kalau pun hendak dibawa kepada jawatankuasa hak dan kebebasan itu harus diubah usul yang dibawa kerana kita melihat terdapat satu tafsiran yang telah pun menjatuhkan hukuman terhadap usul tersebut.

"Ini yang menjadi pertikaian kita yang menyebabkan kita bertindak keluar dewan," katanya.

1Malaysia-Apco-1 Israel " Langsung dari Parlimen"

7 Jamadil Awal 1431H.

BN sedang membentangkan usul untuk mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatankuasa hak dan kebebasan. Sila tekan 'Refresh' atau 'Reload' di browser anda untuk perkembangan terbaru.

10.37am: Pandikar memperuntukkan 15 minit kepada setiap pendebat.

"Jika kita benarkan Padang Serai (PKR MP N Gobalakrishnan), lima hari pun tak cukup," katanya berseloroh.

MPpembangkang terus menimbulkan isu teknikal berhubung usul tetapi Pandikar bertegas mengatakan ia teratur.

Sementara itu, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) akan menggantikan Anthony Loke (DAP-Rasah) sebagai seorang daripada pendebat Pakatan.

10.28am: Gobind (DAP-Puchong), yang agak emosional bertegas mahu mendebatkan peraturan dewan. Speaker Pandikar mengarahkannya supaya diam.

Beberapa MP yang lain cuba bercakap. Pandikar mengarahkan semua supaya duduk dan dengar arahannya.

Pandikar kemudiannya membacakan Peraturan 43. Katanya, adalah keputusannya bahawa usul yang dibentangkan itu adalah teratur dan keputusannya itu adalah muktamad. Sesiapa yang mempertikaikannya akan diperintah keluar dewan.

10.23am: Berlaku sedikit kekecohan apabila MP daripada kedua-dua pihak cuba berucap. Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangkit beberapa kali untuk meminta point of order.

speaker Pandikar memberi amaran kepada Gobind supaya jangan melenggah-lenggahkan sidang dan mengingatkannya bahawa "Saya berkuasa mengeluarkan anda dari dewan".

10.18am: Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) bangkit dan berkata usul yang dibentangkan oleh BN itu menghina Dewan Rakyat.

Ini kerana, kata beliau usul mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu adalah memohon jawatankuasa itu untuk menentukan bentuk hukuman dan bukannya untuk menyiasat sama ada Ketua Pembangkang itu bersalah atau tidak.

Kamaruddin juga mendakwa ia mencabuli hak jawatankuasa berkenaan.

10.16am: Kit Siang hampir bertikam lidah dengan dengan Pandikar Amin berhubung perkara yang ditimbulkan oleh rakan-rakannya. Tetapi selepas penjelasan oleh Pandikar, Kit Siang mengalah.

10.11am: Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bahawa beliau dan timbalannya akan menentukan sama ada perkataan dalam usul itu adalah tepat. Hujahnya, jika ia dalam peraturan mesyuarat, maka ia adalah tepat.

10.09am: Lim Kit Siang (DAP- Ipoh Timur) bangkit dan meminta penjelasan. Beliau bertanya sam ada kata-kata usul itu adalah tepat.

10.08am: Whip BN Datuk Seri Nazri Aziz memulakan usul itu dengan membacakan:

“Bahawa pada 17 Mac 2010, Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh, ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, telah mengeluarkan kenyataan, “1999 Satu Israel. 2009 Apco menasihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib 1Malaysia”.

Bahawa Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta membuat dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

Maka inilah dipersetujui bahawa Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Jawatankuasa ini hendaklah membuat syor jenis hukuman yang setimpal yang patut Dewan.

10.06am: Nazri Aziz (Umno-Padang Rengas) berkata sessi Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguhkan selagi usul ke atas Anwar Ibrahim ((PKR-Permatang Pauh) dan beberapa rang undang-undang lagi belum diluluskan.

10am: Empat pendebat daripada Barisan Nasional:

1. Nur Jazlan (Umno-Pulai)
2. Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud)
3. Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau)
4. Nazri Aziz (Umno-Padang Rengas)

Pakatan rakyat pula diwakili oleh:

1. Azmin Ali (PKR- Gombak)
2. Anthony loke (DAP-Rasah)
3. Marfuz Omar (PAS-Pokok Sena)
4. Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa BN akan membentangkan usul merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen berhubung dakwaannya yang mengaitkan '1Malaysia' dengan 'One Israel'.

Usul itu akan dibentangkannya dan akan disokong oleh ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

9.46am: Usul mengheret Anwar Ibrahim adalah agenda pertama dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat, mahupun galeri awamnya dipenuhi oleh ahli-ahli parlimen yang menjangkakan perdebatan hangat. malaysiakini/-