26 Februari 2012

Brunei kelima terkaya

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - BANDAR SERI BEGAWAN 25 Feb. - Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581).

Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli.

Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru.

"Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu.

Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun.

Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu.

Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut.

Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan.

Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629). - AGENSI

Hijau 2 seru sokongan seluruh rakyat

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Himpunan Hijau 2.0 menyeru seluruh rakyat Malaysia menyokong kempen kami bagi merealisasikan:

1. Permintaan bagi Pembatalan Segera Loji Nadir Bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP)

2. Penghentian atau penilaian semula segala projek yang memudaratkan di Malaysia.

• Penamatan segera dan pembatalan projek-projek yang memudaratkan serta berpencemaran tinggi di Malaysia yang tidak melalui penilaian yang ketat, pendedahan maklumat yang telus, serta tiada rundingan awam. Antaranya termasuk Lombong Emas Bukit Koman, Pemasangan Cabel Voltan Tinggi di Rawang, projek insinerator di Cameron Highland, projek Bijih Besi Lumut serta perampasan tanah Orang Asal.

• Mandatori dan perundingan dengan masyarakat awam serta pemegang saham sebelum permulaan projek dalam isu-isu alam sekitar dan segala projek pembangunan yang berkemungkinan mengancam kepentingan masyarakat setempat.

• Ketelusan dalam segala prosedur dan Pendedahan Maklumat kepada masyarakat. Menegakkan hak setiap rakyat untuk mendapat maklumat yang jelas dan tepat tentang isu-isu alam sekitar serta segala rancangan pembangunan dan aktiviti-aktiviti yang mungkin memberi kesan negatif kepada mereka atau yang mungkin menjejaskan kepentingan mereka.

• Pencegahan pencemaran alam sekitar dan tidak membenarkan projek yang meninggalkan bahan-bahan radioaktif, bertoksik atau yang merbahaya di dalam negara.

3. Memastikan segala rancangan pembangunan adalah mapan & sejajar dengan prinsip-prinsip Piagam Bumi.

Anwar: Nik Aziz 'tok guru' saya

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata media arus perdana tidak mempunyai harapan untuk "melaga-lagakan" beliau dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu keselamatan Israel.

Mendedahkan secara ringkas isi pertemuan beliau dengan Nik Aziz beberapa hari lalu, Anwar menganggap jika pergaduhan itu berlaku, ia merupakan "hadiah paling besar" bagi media arus perdana.

"Kalau saya gaduh dengan Nik Aziz, bagi mereka (itu) hadiah paling besar.

"(Gaduh) dengan Nik Aziz, dia tok guru saya, tidak ada harapan (tengok) saya nak bergaduh dengan dia (Nik Aziz)," kata Anwar dalam ceramahnya di Kuantan semalam.

Anwar berkata dalam pertemuan itu, menteri besar Kelantan itu bertanya beliau mengenai dakwaan 'menyokong' Israel, ketua pembangkang menunjukkan kepada Nik Aziz, laporan bahawa beliau menyebut perkataan 'contingent' yang membawa maksud "tertakluk dengan syarat".

Bagaimanapun, Anwar menegaskan perkara tersebut tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

"Tok Guru kata tak tahu cerita panjang, minta penjelasan. Saya jelas, saya tetap (membela) rakyat Palestin.

"Tetapi PAS tak mahu terus (iktiraf) pada Israel," kata Anwar di hadapan lebih 500 penyokong di sebuah tanah lapang dalam kawasan Pejabat Perhubungan PKR negeri.

Katanya, antara syarat tersebut adalah menerima negara Palestin, kembalikan Baitulmaqdis, melepaskan Gaza dan tidak membunuh rakyat Palestin.

"(Israel) terima syarat tak?... Tak terima. Jadi (saya) tak (sokong Israel)... Apa parti Umno, hari-hari kena (buat) fitnah," katanya sambil menempelak parti itu yang didakwanya mahu menang dengan memfitnah.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan berkata beliau amat menghormati Mursyidul Am iu dan pandangan PAS.

"Nik Aziz, dia baik, kita hormat beliau," katanya Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu Selasa lalu, Anwar dilapor berkata kenyataannya yang dibuatnya sebelum ini, selari dengan pandangan Hamas dan Fatah.

Dalam pertemuan selama 40 minit itu, Anwar yang juga ketua pembangkang berkata beliau tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirundingkan mereka di Doha, Qatar dua minggu lalu.

"Saya menjelaskan kenyataan saya di Wall Street Journal dan saya turut menyebut tentang reaksi Ketua Hamas, Khaled Mashal. Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya. Saya sendiri pun faham pendirian PAS yang tegas tentang Israel, " katanya .

Dalam ceramahnya beberapa jam sebelum berlangsungnya Himpunan Hijau 2.0, Anwar berkata beliau berjanji untuk "melepas" pelajar dari beban hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) dalam masa satu hingga dua tahun jika mentadbir Putrajaya.

"Dalam masa satu atau dua tahun kita lepaskan (mereka) dari PTPTN. Kita buat macam Erdogan dalam masa tiga tahun untuk lupuskan pinjaman (pendidikan)," katanya sambil menambah Turki memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya. (HD)

Chin Huat: Menjunjung tradisi gemilang perjuangan Mat Kilau, Bahaman... !


4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - "Kita mahu menjunjung tradisi gemilang Mat Kilau, Datuk Bahaman dan lain-lain. Seandainya mereka sanggup lawan orang asing tatkala tanah Malaya dijajah, sanggupkah kita sebagai warga negara yang merdeka, berpeluk tubuh melihat tanahair kita dicabuli kuasa asing?"

Demikianlah kata-kata Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Wong Chin Huat (gambar kanan, kanan) yang kini telah berada di Kuantan untuk menyatakan solidariti terhadap Himpunan Hijau 2.0, yang bakal diadakan pada jam 9.30 pagi, hari ini.

Secara terus-terang, aktivis sosial itu mengakui bahawa pihak penganjur berhasrat untuk mengelakkan sebarang masalah menjelang Himpunan Hijau 2.0 yang bakal dijalankan beberapa jam lagi. Namun, Wong memberi amaran, seandainya polis mula menangkap walaupun seorang, beliau berharap 1,999 orang tampil menawarkan diri untuk ditangkap polis.

"Kami nak lihat sama ada kerajaan Najib mampu berdepan dengan tajuk besar akhbar, berbunyi 2,000 orang ditangkap kerana membantah kilang pemprosan tanah nadir dari Australia?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat media yang diadakan Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0, jam 8.30 semalam di Hotel Mega View, Kuantan. Selain Wong Chin Huat , Sasterawan Negara A.Samad Said, aktivis dari NGO seperti Maria Chin, Ho Yock Lin dan lain-lain turut hadir untuk menyatakan solidariti mereka.

Di samping itu, Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack menjangkakan lebih 30 ribu orang bakal hadir dalam Himpunan Hijau 2.0 yang bakal diadakan di Padang MPK4, jam 9.30 pagi nanti. Pihaknya mengharapkan sejarah bakal dicipta di Kuantan pada 26 Februari 2012.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

Perisik AS tidak jumpa bukti Iran bina bom atom

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - WASHINGTON: Penganalisis perisikan Amerika Syarikat terus percaya tiada bukti kukuh menunjukkan Iran memutuskan untuk membina bom nuklear, lapor akhbar New York Times (NYT), semalam.

Memetik pegawai Amerika yang enggan nama disiarkan sebagai berkata, penilaian terkini oleh agensi perisikan Amerika adalah konsisten secara meluas dengan hasil penemuan perisikan pada 2007, yang menyimpulkan bahawa Iran meninggalkan program senjata nuklearnya.
Pegawai berkata, penilaian sebahagian besarnya mengesahkan Jangkaan Perisikan Nasional 2010, dan ia masih terus kekal dengan persetujuan pendapat 16 agensi perisikan Amerika, kata laporan itu.
Laporan itu dibuat selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberi amaran kebimbangannya terhadap campur tangan tentera terhadap program nuklear Iran.

NYT berkata, tiada pertelingkahan antara pegawai perisikan Amerika, Israel dan Eropah bahawa Iran sudah memperkayakan bahan api nuklear, dan membangunkan sesetengah prasarana yang sepatutnya untuk menjadi kuasa nuklear.

Tetapi, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan lain percaya Iran belum memutuskan sama ada mahu menyambung semula usaha mereka kepala peledak nuklear, satu program yang mereka percaya pada dasarnya dihentikan pada 2003, kata akhbar itu.

Pegawai perisikan dan penganalisis luar percaya ada lagi penjelasan lain untuk aktiviti pengkayaan Iran, kata laporan itu.
Mereka berkata, Iran mungkin mencari untuk meningkatkan pengaruh dalam rantau ini dengan mencipta apa yang disifatkan penganalisis sebagai ‘keraguan strategik’, kata akhbar itu.

Berbanding membina bom sekarang, Iran mungkin mahu meningkatkan kuasanya dengan menanam keraguan antara negara lain mengenai cita-cita nuklearnya, kata NYT.

Sesetengah pihak merujuk kepada Pakistan dan India, yang mana kedua-duanya mempunyai program senjata nuklear rahsia selama beberapa dekad sebelum membuat keputusan untuk membina bom dan menguji senjata itu pada 1998, lapor akhbar itu. – AFP.

Imam sentiasa di hadapan, bukan masa solat sahaja


4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KOTA BHARU : Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyeru para imam di negeri ini supaya sentiasa berada di ‘saf hadapan’ dalam semua keadaan dan tindakan, bukan hanya semasa mengimamkan solat sahaja.

Bahkan, kata Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti, para imam hendaklah bertindak senada dengan kerajaan negeri.

“Apabila dapat kuasa, kita memerintah cara Islam. Antaranya kerajaan menegaskan bahawa judi itu haram dan lesen tidak dikeluarkan, maka demikianlah penegasan imam kepada masyarakat bahawa hukum judi itu haram.

“Para imam sejak lama dahulu membawa makmun ke arah jalan kebaikan termasuk dalam bab judi haram,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan kali ke-15 di Dewan Persatuan itu di Pasir Tumboh dekat sini, pagi tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumboh, Ahmad Baihaki Atiqullah, Yang Dipertua Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan, Kamaruzzaman Abdul Latiff serta pegawai dan jawatankuasa persatuan.

Demikian juga, ujarnya ketika mengajar agama di masjid dalam bab arak itu haram.

“Dan bukanlah mengajar bahawa ‘arak’ atau ‘judi’ itu kalau ada lesen, ‘halal’ dan kalau tidak ada lesen, maka ‘haram’,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, para imam khasnya dan rakyat di negeri ini amnya hendaklah berasa beruntung berada di negeri Serambi Mekah, yang kerajaannya memerintah cara Islam.

Menurutnya lagi, dalam semua aspek, para imam hendaklah arif akan ‘ujung jatuh’ hasil dari tindakannya, selaras dengan pendirian kerajaan negeri, dengan menurut hukum Al-Quran.

“Demikian juga dalam kerja-kerja Islam, para imam kena berada di hadapan, hatta dalam perjuangan Islam pun tok imam kena duduk di hadapan,” ujarnya.

Bahkan, kata Nassuruddin, dari segi kebajikan juga, para imam hendaklah mendahului orang lain, menjadi golongan terbaik dan sentiasa mempertingkatkan diri.(HD)

Himpunan Hijau 2.0: Orang ramai mula berkumpul


4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Himpunan Hijau 2.0 yang dijadualkan di padang MPK4 bidang sepanjang Jalan Tanah Putih menunju ke bandar Kuantan akan bermula pada jam 10 pagi ini.

Perhimpunan itu sebagai membantah tindakan Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng yang mahu membina sebuah loji pemprosesan nadir bumi yang berharga RM700 juta. Syarikat berkenaan awal bulan ini mendapat lesen operasi sementara dan kelulusan daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memulakan operasi mereka.

Penganjur perhimpunan itu malam tadi, membuat pengumuman mengejutkan pada tengah malam tadi di Facebook dengan mengumumkan bahawa mereka akan berkumpul di padang MPK1 di sepanjang Jalan Mahkota pada jam 9.30 pagi.

Menurut mereka, tindakan berkumpul di padang itu yang terletak kira-kira 1.8km dari padang MPK4 bertujuan "mengelakkan kesesakan lalu lintas".

Dari padang MPK1 mereka akan berarak ke padang MPK4. Padang MPK1 sebelum ini menjadi pilihan penganjur, namun secara tiba-tiba pada Khamis lalu, pihak berkuasa tempatan -
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) - mula mendirikan pagar dengan alasan untuk "kerja-kerja menaik taraf".

Namun setelah berunding dengan polis pada Jumaat lalu, akhirnya pihak berkuasa bersetuju membenarkan perhimpunan diteruskan dan padang MPK4 diberikan kepada orang ramai yang mahu membuat bantahan itu.

LAPORAN LANGSUNG

8.58am: Suasana seolah-olah serperti pesta. Aktivis dari NGO mesra PKR, Jingga 13, mempersembahkan drama mempersendakan Menteri Besar Pahang Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Sebagai menteri besar berapa banyak awak akan beri saya untuk bina kilang?" soal seorang pelakon.

Seorang lagi yang berpakaian sebagai seorang jurutera dengan tertera perkataan "Lynas" pada bajunya menjawab: "RM700 juta!"

"Wow! Saya terima. Saya boleh ke London," jawab 'menteri besar' itu.

8:51am Ratusan peserta dari Hotel Megaview, kini berada berdekatan padang MPK1. Anggota polis kemudian meminta mereka terus ke padang MPK 4, tempat sepatutnya mereka berhimpun.

Mereka bergerak sambil terus menyanyikan lagu 'Suara Rakyat'.

8:45am Cuaca cerah di Kuantan, dengan semakin ramai yang datang. Dianggarkan tidak kurang 1,000 orang yang sedang berkumpul dan sebahagian besar mereka mencari teduh daripada bahang matahari kerana acara dijadualkan kira-kira sejam lagi.

Kumpulan aktivis Jingga 13 sedang memamlu kompang sambil menjeritkan slogan "Hentikan Lynas".

8:31am Bekas aktivis pelajar Hishamuddin Rais dilihat mengetuai orang ramai sambil menyanyikan lagu "Suara Rakyat" sebelum mereka berarak ke tempat berkumpul di padang MPK1.

Turut hadir adalah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan juga beberapa anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, termasuk Maria Chin dan Wong Chin Huat.

8:22am Sebuah helikopter polis kelihatan sedang berlegar-legar di bruang udara di kawasan sekitar, dipercayai bagi memantau kawasan sekitar.

Beberapa kumpulan NGO dan juga ahli parti-parti politik mula tiba.

Menurut seorang petugas unit amal PAS, PKR dan beberapa NGO itu akan berkumpul di Hotel Sentral di Kuantan manakala PAS pula di berdekatan pasaraya Giant, dan DAP akan berhimpun di berhampiran sebuah pasar.

Katanya, semua kumpulan itu, kemudiannya akan bergerak dan bertemu di padang MPK 4.

8:14am Kebanyakan yang hadir berpakaian serba hijau.

Turut hadir adalah penduduk Bukit Koman yang berkempen menentang perlombongan cyanidedi Raub.

8:10am Jumlah yang datang semakin ramai. Dianggarkan tidak kurang 300 mula berkumpul. Seorang peserta kelihatan membawa bendera Johor, manakala seorang lagi membawa sepanduk berbunyi: "Saya dari Klang, saya tentang kilang nadir bumi."

8:02am Pengerusi jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau Wong Tack berkata orang ramai diminta berkumpul di padang MPK1 pada jam 9 pagi dan mereka akan berarak ke padang MPK4 dari situ.

Satu lagi, tempat berkumpul adalah di pasar Kuantan dan mereka juga akan berjalan menuju ke padang MPK1 sebelum ke padang MPK4.(HD)

Wanita Dituduh Jalankan Perniagaan Wang Tanpa Lesen

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - SHAH ALAM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat, kerana dituduh menjalankan perniagaan wang tanpa lesen di Klang manakala dua lelaki dituduh membantunya.

Wanita itu, Lim Ah Hong, 52, bersama K. Letchumanan, 46 dan K. Kesavan,35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa menjalankan perniagaan peminjaman wang di syarikat Hau Yun Enterprise, Solok Pendamar 1, Taman Pendamar Indah, Klang, pada 10 pagi 20 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Letchumanan dan Kesavan pula didakwa membantu Lim mengendalikan operasi syarikat itu di tempat dan pada masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam membenarkan Lim diikat jamin RM40,000 manakala Letchumanan dan Kesavan masing-masing dibenarkan diikat jamin RM15,000.

Beliau juga memerintahkan semua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain mengarahkan mereka melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada Isnin pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula 28 Mac ini. - BERNAMA

Khalwat: Penjelasan Dr Badrulamin Baharon

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.

Dr. Badrulamin Bahron

Sumber bekalan elektrik penduduk Tebing Barat sasaran terbaru Zionis


4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - AL-THALA (Tebing Barat): Israel nyata tidak puas hati melihat masyarakat Palestin hidup aman damai selepas memerintah wilayah ditakluki dan menindas penduduk asalnya. Sasaran terbaru rejim Zionis itu untuk dimusnahkan ialah panel solar dan kincir angin yang membekalkan elektrik kepada penduduk Palestin yang hidup bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Kami seperti tinggal di bandar. Saya tidak boleh hidup tanpanya. - Hakima Elayan, Penduduk Palestin Suri rumah tidak lagi perlu memerah tenaga menggodak susu kambing untuk dijadikan mentega, makanan boleh disimpan dalam peti sejuk bagi mengelakkannya rosak dan kanak-kanak juga tidak perlu tergesa-gesa menyiapkan kerja sekolah sebelum gelap.

Tenaga elektrik yang diperoleh daripada panel solar dan kincir angin membantu penduduk Palestin pedalaman menjalani kehidupan dengan lebih mudah menggunakan barangan elektrik dan mesin.

Bagaimanapun, projek dibiayai Jerman yang dibantu sukarelawan Israel ini berada dalam bahaya selepas pihak berkuasa Yahudi mengancam memusnahkan panel solar dan kincir angin di enam daripada 16 komuniti pedalaman Tebing Barat yang menerima sumber tenaga pilihan itu, atas alasan dipasang tanpa permit.

Kerajaan Jerman melahirkan kebimbangan dalam perkara itu dan meminta penjelasan, permintaan yang jarang disuarakan penyokong kuat Israel di Eropah. Pertelingkahan ini bukan hanya dari segi diplomatik.
Ia menambah, kritikan antarabangsa terhadap dasar Israel di 62 peratus kawasan Tebing Barat di bawah kawalan penuh Tel Aviv, dua dekad selepas rakyat Palestin dibenar memerintah sendiri baki daerah di wilayah itu.

Pembahagian bidang kuasa sepatutnya sementara tetapi ia dibekukan ketika rundingan damai menemui jalan buntu. Rakyat Palestin menuntut seluruh Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis selain Semenanjung Gaza sebagai negara.

Dusun di al Thala, satu komuniti yang didiami 80 orang di selatan Tebing Barat, tiada bekalan elektrik sehingga Ogos lalu apabila kumpulan bantuan perubatan Jerman dan kumpulan saintis Israel yang pro perdamaian, Comet-ME, membina panel solar untuk menyediakan 30 komuniti di kawasan itu mendapat kuasa solar dan angin.

Hakima Elayan, 43, sebelum ini menghabiskan masa empat jam sehari menggodak susu menjadikan mentega menggunakan tangan. Kini, mesin melakukan bagi membolehkannya menghabiskan masa dengan anak serta melakukan kerja rumah lain.

“Kami seperti tinggal di bandar. Saya tidak boleh hidup tanpanya,” katanya.
Jirannya juga membeli peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan penggodak mentega.

Tetapi bulan lalu, Pentadbiran Awam Israel, satu cawangan ketenteraan yang mengendalikan orang awam Palestin mengeluarkan arahan menghentikan penggunaan tenaga pilihan itu dengan memusnahkan panel solar dan kincir angin di al Thala dan lima lagi komuniti dengan alasan ia dibina secara haram.

Pemerhati antarabangsa memberi amaran, Israel menindas kemajuan Palestin di sektor tadbirnya di Tebing Barat dikenali sebagai ‘Area C’ tetapi memberi segala kemudahan kepada pendatang Yahudi.

Ahli fizik Comet-ME, Elad Orian, berkata kumpulan itu tidak meminta kebenaran kerana rasa ia sia-sia saja memandangkan Israel menganggap komuniti itu haram.

Beliau percaya pemusnahan akan mengambil masa beberapa bulan lagi dan berharap tekanan politik Jerman yang memberi sumbangan lebih 400,000 euro (RM1.6 juta) dapat menyelamatkan projek itu.

Dalam kes yang serupa, Menteri Luar Poland, Jerzy Pomianowski mengarahkan duta Israel untuk melahirkan keprihatinan terhadap kemusnahan telaga di komuniti berdekatan al Thala yang dibina semula dengan dana Poland. – AP.
4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 26 Feb: PAS Pusat penuh keyakinan isu yang dikatakan sedang berlaku di Kedah sekarang ini boleh diselesaikan melalui semangat ukhuwah dan tarbiyah yang sudah sekian lama dibina dalam PAS.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu kenyataannya pagi ini berkata, keyakinan itu diperolehi berdasarkan pertemuan terbaru yang mereka buat bagi membincangkan isu ini malam tadi.

Malam tadi sebahagian besar pimpinan PAS Pusat berkumpul di Pejabat Agung PAS untuk membincangkan isu ini.

Sebelum ini, beberapa siri pertemuan telah diadakan oleh pimpinan utama PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum beliau ke luar negara.

Media melaporkan beberapa exco kerajaan negeri Kedah enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri yang baru apabila mereka mengangkat sumpah 28 Februari ini.

Bagi Salahudin, PAS Pusat berkewajiban untuk memastikan apa yang berlaku di Kedah dapat berjalan dengan baik.

Beberapa siri pertemuan telahpun dan akan terus diadakan dengan semua pihak terlibat dan PAS Pusat yakin dengan pendekatan dialog dan perbincangan akan dapat melahirkan suasana yang harmoni dan mencapai matlamat supaya keadaan hari ini diatasi dengan bijak oleh semua pihak.

"PAS Pusat yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Presiden satu keadaan yang selesa akan dinikmati oleh semua yang memberikan kerjasama ke arah mencapai keputusan yang memastikan semangat ukhuwah dan kesan tarbiyah yang menunjangi perjuangan PAS," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Beliau berharap semua ahli PAS dapat memberikan kerjasama dengan tidak membuat apa-apa kenyataan prasangka yang boleh dimainkan oleh media dalam isu Kedah ini.

"Segala usaha yang sedang dilakukan hari ini akan memastikan keterlibatan semua pihak dan segala pertemuan dan perbincangan diadakan dengan hati yang terbuka," katanya.

Semua pihak juga, katanya, berjanji akan memberikan hasil terbaik untuk sama-sama perteguh kedudukan PAS di Kedah.(HD)

Zaid Ibrahim Didakwa Bukan Lagi Ketua Parti Kita

4 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KOTA BAHARU: Anggota Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) pada Sabtu sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim selaku ketua parti itu berkuatkuasa hari ini dan mengumumkan pelantikan Pengerusi Kita Negeri Kedah, Zamil Ibrahim sebagai presiden yang baru.

Pengerusi Perhubungan Parti Kita Kelantan Abdullah Sani Musa berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa parti itu yang diadakan di sini, Sabtu.

"Kami juga menolak serta tidak mengiktiraf pemecatan dua pemimpin parti Kita iaitu Pengerusi Parti Kita Kedah, Zamil Ibrahim dan Pengerusi Kita Pulau Pinang Tan Tee Beng yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal kerana jawatankuasa terbabit menipu dan melanggar perlembagaan parti.

"Kami sebulat suara memilih Zamil Ibrahim untuk mengambil alih jawatan ketua parti yang kini dinamakan sebagai Presiden dan beliau akan dibantu Pengerusi Kita Sabah Datuk Pangeran Othman Rauf dan bekas presiden AKIM, Zakaria Salleh," katanya pada satu sidang media selepas mesyuarat itu.

Pada 2 Februari lalu, Zaid dilaporkan membuat kenyataan mahu membubarkan parti itu serta mendakwa penubuhan Kita adalah satu kesilapan.

Sementara itu, Zamil berkata parti berkenaan akan melakukan satu rombakan jawatankuasa di peringkat pusat dan negeri dalam masa terdekat di samping memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13.

"Kita akan bertanding di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang difikirkan sesuai untuk Kita bertanding," katanya.

Zamil berkata beliau akan menghantar laporan kepada beberapa pihak, termasuk Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung apa yang berlaku dalam Kita sejak sebulan lalu.

Katanya keahlian parti itu akan dikemas kini dan semua urusan parti itu kini beroperasi di Sungai Petani, Kedah. - BERNAMA

Kena bunuh di rumah sendiri


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - TAIPING: Seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam suspek yang dipercayai cuba merogol dan mencabulnya di rumah mereka di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, di sini, kira-kira 4.30 petang kelmarin.

Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat anak ketiganya, Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah yang dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Nurul Aien yang juga pelajar SMK Datuk Wan Ahmad Rasdi itu turut cedera di kepala akibat hentakan objek keras.
Beliau berkata, beberapa hari sebelum kejadian, dia ada melihat kelibat dua lelaki di belakang rumahnya dan apabila cuba disapa, mereka melarikan diri. “Ketika bermesyuarat, saya dihubungi ahli keluarga memaklumkan anak saya mati dipercayai dibunuh.

“Saya bergegas pulang ke rumah dan melihat keadaan anak yang sudah kaku. Saya tidak menyangka ada insan tidak berperikemanusiaan sanggup berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa hari sebelum kejadian, dia ada melihat kelibat dua lelaki di belakang rumahnya dan apabila cuba disapa, mereka melarikan diri.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk dan tidak melaporkannya kepada polis sehinggalah semalam (kelmarin) anak saya ditemui mati,” katanya.
Jiran mangsa, Abd Halim Abd Majid, 45, yang tinggal kira-kira 50 meter dari rumah mangsa berkata, anaknya Afnan, 16, rakan karib mangsa terdengar jeritan dari arah rumah mangsa, sekitar jam 3.30 petang tetapi tidak menghiraukannya kerana menyangka keluarga jirannya hanya bergaduh sesama ahli keluarga.

“Tidak lama kemudian, ada saksi memaklumkan melihat seorang lelaki keluar dari rumah mangsa dan meredah kawasan semak di belakang rumah sebelum menyeberang Sungai Limau berdekatan rumah mangsa.

“Bagaimanapun, kami tidak menghiraukan kejadian itu sehingga dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa dalam bilik air Nonri, jam 4.30 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata siasatan awal mendapati kes berkenaan tiada kaitan dengan rompakan berikutan tiada kesan pecah masuk selain tiada kehilangan barang berharga dan kesan bilik digeledah.

“Kami mengesyaki suspek cuba merogol dan mencabul sebelum membunuh mangsa dengan melemaskannya dalam kolah di bilik air rumah berkenaan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Susulan siasatan itu, seorang lelaki berusia 18 tahun iaitu penduduk tempatan turut ditahan di kediamannya yang tidak jauh dari lokasi kejadian awal pagi tadi (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, malam kelmarin untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 9, di sini, pagi semalam. (Agensi)