19 April 2011

Pejabat PAS Pahang diceroboh

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


TEMERLOH, 19 April: Pejabat Perhubungan PAS Pahang di Jalan Dato’ Bahaman, di sini telah diceroboh masuk kelmarin sehingga menyebabkan kehilangan barang-barang strategik dipercayai untuk mencuri maklumat.

(Gambar: Salah sebuah meja kakitangan pejabat PAS Pahang yang diselongkar)

Setiausaha  Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal, berkata dalam insiden tersebut sebuah komputer riba, tiga LCD, sebuah external hard disk, berpuluh pen drive dan wang tunai telah hilang. 

Katanya, pencerobohan hanya disedari oleh staf pada sebelah pagi hari Ahad apabila empat keping atap genting dan sekeping siling berukuran 4 x 4 kaki ditingkat tiga didapati pecah sementara ruangan pentadbiran pejabat berselerakan.

“Penceroboh dipercayai terdiri daripada beberapa orang dan berdasarkan kesan mereka memecah masuk untuk mencuri maklumat strategik. Jika ini benar ia amat membimbangkan. 

“Politik yang sepatutnya berasaskan ilmu dan peradaban telah dicemari kegiatan samseng dan keganasan. Jadi kita harap polis segera menyiasat laporan kecurian ini,” katanya.

Roslan juga mengingatkan agar semua pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Parlimen Pakatan Rakyat seluruh Pahang dipertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan kawalan termasuk ke atas pimpinan parti di peringkat negeri dan kawasan.

H/daily

10,000 rakyat Libya lari ke Tunisia

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

GENEVA: Kira-kira 10,000 rakyat Libya dari kawasan pergunungan barat negara itu memasuki Tunisia dalam tempoh 10 hari lalu, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR), hari ini.

"UNHCR melihat peningkatan angkat pelarian Libya tiba di Tunisia dari wilayah pergunungan barat negara berkenaan," kata jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic.

"Seminggu berlaku, kira-kira 6,000 rakyat Libya tiba di kawasan Dehiba, selatan Tunisia. Secara keseluruhan, kita anggarkan kira-kira 10,000 warga Libya menyeberangi kawasan itu dalam tempoh 10 hari," katanya.

Kebanyakan daripada pelarian itu datang dari bandar Nalut, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Tunisia. - AFP

Parlimen Singapura dibubar untuk pilihan raya umum ke-14

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SINGAPURA 19 April - Kerajaan Singapura hari ini mengumumkan pembubaran Parlimennya, sekali gus membuka jalan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 republik itu diadakan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Presiden Singapura SR Nathan membubarkan Parlimen selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Pilihan raya umum itu akan menjadi ujian pertama kepimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Hsien Loong, anak sulung Perdana Menteri pertama Singapura dan Menteri Mentor Lee Kuan Yew, dilantik ke jawatan itu pada Ogos 2004.

Sebelum ini, beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak 1990.

Writ Pilihan Raya yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri menyebut bahawa penamaan calon akan diadakan pada 27 April dan pengundian pada 7 Mei.

Hari mengundi diisytiharkan sebagai cuti umum

731 individu bunuh diri sejak 2007

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 19 April - Bagi tempoh tiga tahun sejak 2007, seramai 731 individu dilaporkan telah membunuh diri di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, angka itu membabitkan 545 lelaki dan 186 wanita, manakala Daftar Statistik Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia pula menunjukkan 321 kes melibatkan pasangan berkahwin, 29 bercerai, 34 balu dan 298 kes golongan bujang.

"Bunuh diri boleh berlaku akibat beberapa penyebab yang berkait seperti faktor biologi, genetik, psikologi, sosioekonomi, budaya dan persekitaran dengan faktor kemiskinan, tiada pekerjaan, kegagalan akademik, hutang dan putus hubungan romantik juga menyumbang kepada kejadian itu.

"Gangguan bunuh diri atau psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan substans dan alkohol dan gangguan personaliti juga boleh mendorong kepada perlakuan bunuh diri,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Usha Nandhini di Dewan Negara, di sini hari ini. Bagi mengatasi masalah itu, Rosnah berkata kementeriannya melaksanakan beberapa langkah pencegahan dan perawatan awal seperti kempen Promosi Kesihatan Mental dan Advokasi, menerbitkan risalah tentang kesihatan mental dan mewujudkan laman web bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai gejala tersebut.

Liabiliti: Pemuda PAS Wilayah sanggah Aziz Bari

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 April: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyanggah pandangan penganalisis politik, Prof Abdul Aziz Bari di dalam Malaysian Insider yang mengatakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada komponen Pakatan Rakyat.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP memutuskan hubungan dengan PAS.

Selain itu, katanya pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.

Tambahnya, ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008.

Malah, katanya jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari 7 kerusi pada 2004.

“Sebagai Presiden keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja. Dan ianya sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah Presiden,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tuduhan Aziz yang turut mengatakan bahawa Presiden PAS menjadi punca kegagalan PAS memenangi mana-mana kerusi di Sarawak juga amat dangkal.

“Lainlah jika PAS sebelum ini pernah menang di Sarawak dan kemudiannya kalah semua kerusi dalam pilihan raya baru-baru ini,” katanya lagi.

Katanya, pilihan raya Sarawak 2006 menyaksikan PAS bertanding 1 kerusi tetapi kali ini 5 kerusi dan ini satu petanda bahawa Presiden PAS telah berjaya memainkan peranannya di dalam Majlis Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan ketika proses pembahagian kerusi.

Menurutnya, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Presiden PAS adalah punca kegagalan 16 September.

“Di tadika manakah fakta ini diperolehinya?

“Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai prof atau sekadar mengantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi?” soalnya.

Nampaknya, kata beliau Aziz sengaja mengkambinghitamkan Presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca.

Justeru, DPPWP menasihatkan agar Aziz tidak memalukan golongan ahli akademik yang selama ini bercakap atas fakta dan kajian yang lebih berfakta.

Katanya, jika beliau tiada modal untuk bercakap baik diam sahaja dari terus melalak seperti orang bijak yang kelihatan kurang bijak menggunakan ilmunya.

“DPPWP hari ini cukup berpuashati dan memberikan sokongan penuh kepada Presiden PAS di atas usaha beliau membangkitkan semula keupayaan PAS setelah melalui zaman kekalahan pada 2004,” katanya.

Abdul Rahman kekal YDP Pulau Pinang

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Tun Abdul Rahman Abbas hari ini dilantik semula sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Abdul Rahman menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi tempoh dua tahun dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, di Kuala Lumpur.

Upacara pelantikan itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Abdul Rahman, 73, yang dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh pada 17 April 2001 dan seterusnya dilantik semula untuk memegang jawatan yang sama pada 1 Mei 2005 dan 15 April 2009.

Beliau, yang kini Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), berkahwin dengan Toh Puan Majimor Shariff dan dikurniakan empat orang anak.

Abdul Rahman, yang mempunyai ijazah kepujian dalam bidang Kesusasteraan daripada Universiti Malaya (UM) pada 1972, pernah menjadi pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang selama tiga tahun bermula pada 1982.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun sebelum bergiat aktif dalam politik dan telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bertam, Pulau Pinang selama empat penggal pada pilihan raya umum tahun 1978, 1982, 1986 dan 1990.

Abdul Rahman dalam karier politiknya pernah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dari 1974 hingga 1988, Anggota Jawatankuasa Pemuda UMNO dari 1976 hingga 1978 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas pada 1988.

- Bernama

RM50 juta untuk emel 1Malaysia

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Satu syarikat IT tempatan, Tricubes Bhd akan melaburkan RM50 juta untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Pelaburan bagi Projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan projek berkenaan hari ini berkata, emel berkenaan akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pengguna dan juga warga niaga.

Ditanya sekiranya projek berkenaan akan bertembung dengan perkhidmatan dalam talian lain seperti MyEG, Tricubes berkata projek berkenaan berbeza daripada inisiatif sedia ada.

Ketua pegawai eksekutifnya Khairun Zainal Mokhtar berkata, berbeza dengan perkhidmatan bayaran dalam talian MyEG, perkhidmatan melibatkan email baru itu akan melibatkan penghantaran notis dan bil.

Satu keterangan yang diperolehi media berhubung projek berkenaan menyebut, Projek Emel 1Malaysia juga akan menyediakan perkhidmatan untuk menyemak bil dan bayaran.

Khairun berkata, syarikat berkenaan akan memiliki portal dan infrastruktur emel berkenaan sebaik saja ia siap pada Julai.MK/-

Adun PR difitnah Tidak Hadir Keputeraan Sultan

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 19 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim kesal dengan fitnah yang disebarkan puak Umno yang mendakwa tiada seorang pun Adun Pakatan Rakyat Perak menghadiri Majlis Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-83 Tahun hari ini.

Fitnah itu disebarkan dalam blog Umno ruangbicarafaisal.blogspot.com jam 9.58 pagi tadi namun artikel bertajuk "DAP, PAS dan PKR Boikot Hari Keputeraan Sultan Perak" itu kemudiannya dibuang dari blog tersebut.

Khalil berkata, beliau dan Adun-Adun PKR, DAP dan PAS yang lain tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri majlis itu.

"Bagi mengesahkan perkara yang sama sebentar tadi saya telah menghatar khidmat sistem pesanan ringkas (sms) kepada semua adun PR.

"Sehingga sekarang saya menerima respons segera dari hampir 20 Adun PR yang memaklumkan mereka tidak menerima apa-apa jemputan ke istana pada hari ini," jelas Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri melalui twitternya.

Khalil ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi juga mempersoalkan tindakan menarik balik artikel tersebut jika dakwaan tersebut benar.

"Setelah periksa blog tersebut, saya artikel tersebut telah dibuang. Kenapa buang kalau betul dakwaan kami boikot majlis ini? Mungkin mereka takut lalu membuang artikel itu," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Tegasnya juga, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana beliau sendiri menutup pejabat khidmat masyarakatnya dan semua pekerja bercuti.

"Dakwaan ini tidak berasas sama sekali sedangkan pada hari ini pejabat  saya ditutup dan semua kakitangan saya bercuti. Selain itu saya juga mengibarkan bendera Perak," tegasnya.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai perbuatan yang boleh menimbulkan pandangan yang salah kepada Adun Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau merafak sembah tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena hari keputeraan baginda hari ini.

H/daily

AJK Ulamak Wilayah Kembali ke Rahmatullah

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 19 April: Ustaz Rahmat Syamsi kembali ke rahmatullah pada 4.30 petang semalam, setalah dimasukkan ke hospital pada malam kelmarin setelah selesai menyampaikan kuliah Maghrib di Ampang.

Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.

Beliau dimandikan di Masjid Saidina Ali, Kampung Padang Balang, Sentul jam 8.00 pagi.

Semoga rohnya ditempatkan dalam golongan para syuhada dan solihin.

H/daily

Bakal Pensyarah Kecewa Permohonan ditolak 2 Kali

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


Saya adalah seorang guru yang berijazah Sarjana dan telah berkhidmat lebih dari 6 tahun di Sarawak. Baru-baru ini saya telah membuat permohonan untuk menjawat jawatan pensyarah, tetapi dukacita kerana permohonan saya tersebut telah ditolak sebanyak 2 kali.

Permohonan pertama saya kemukakan kepada UiTM Kampus Samarahan, Kuching Sarawak. Setelah melalui temuduga sebanyak dua kali, saya lulus dalam temuduga tersebut tetapi disenaraikan sebagai calon simpanan. Setelah tamat tempoh  menunggu 2 bulan seperti yang dinyatakan di dalam surat (sebagai calon simpanan), saya langsung tidak dihubungi oleh pihak pentadbiran UiTM.

Setelah dihubungi, dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak mendapat jawatan sebagai pensyarah di sana dengan alasan ia telah dimasuki atau diambil oleh calon yang dihantar oleh UiTM Shah Alam!

Persoalan yang timbul ialah, kenapa UiTM Shah Alam mengadakan temuduga di sana dan menghantar calonnya ke UiTM kampus Samarahan Kuching sedangkan saya adalah calon yang telah sedia ada  dan lulus temuduga di sini!

Permohonan kedua ialah di Institut Perguruan Kampus Batu Lintang,Kuching Sarawak. Saya telah mendapat maklumat bahawa ada kekosongan jawatan pensyarah dan mereka telah pun membuat banyak permohonan tambahan pensyarah tetapi masih tidak dipenuhi dan dilayan sewajarnya.

Justeru itu saya memohon jawatan tersebut, tetapi sangat dukacita apabila permohonan saya itu turut gagal!  Alasan permohonan itu ditolak ialah kekurangan guru! Apakah tujuan dan matlamat KPM menggalakkan para guru menaiktaraf atau meningkatkan tahap pendidikan mereka ke peringkat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta Ph.D sedangkan peluang untuk permohonan jawatan pensyarah seperti ini tidak dilayan!

Yang lebih mengecewakan ialah keputusan menolak permohonan saya ini hanya dibuat pada peringkat JPN sahaja! Kenapa permohonan saya itu tidak dihantar dan dirujuk terus kepada KPM atau KPT diPutrajaya? Kenapa JPN negeri tidak menyokong dan meluluskan permohonan saya sedangkan maklumat daripada rakan-rakan guru yang berijazah Sarjana di Semenanjung yang memohon pertukaran jawatan seperti saya dapat dipenuhi dan diluluskan? Kenapa ada sikap DOUBLE STANDARD  dalam hal ini? Adakah ia berkaitan dengan sentimen kenegerian? (kebanyakkan warga Semenanjung di sini di anaktirikan oleh warga Sarawak, mereka lebih mendahulukan anak bangsa sendiri!)

Jika alasan yang diberikan JPN ialah kekurangan guru, adakah tanggungjawab kami para guru untuk mencari dan menyediakan pengganti? Sampai bilakah kami harus menunggu untuk menjawat jawatan pensyarah? Sampai bilakah masalah kekurangan guru di Sarawak ini dapat diatasi? Sudahlah alasan yang sama juga turut diberikan kepada kami apabila kami memohon untuk pulang berkhidmat di Semenanjung! Jadi apakah kesudahan kami di Sarawak ini? Jika beginilah situasinya maka kami pasti akan sentiasa dalam dilema, untuk berpindah balik ke Semenanjung pun tidak dapat dan untuk memohon jawatan pensyarah pun turut tidak diluluskan!

Saya sebagai pegawai kerajaan yang berkhidmat di Sarawak amat mengharapkan pihak KPM dan KPT segera membuat siasatan, pemantauan dan tindakan agar kami semua tidak tertindas dan seterusnya dapat memajukan diri bersesuaian dengan tahap ijazah kami dan ia bertepatan dengan slogan 1MALAYSIA RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN!

MUHADHIR,

Kuching, Sarawak.

Betulkah DAP perjuangkan perkauman ?

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Dalam blog bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beliau berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak membuktikan bahawa DAP berjaya membawa ‘jenama politik perkauman’ ke negeri terbesar di Malaysia itu. Tetapi benarkah DAP bawa perkauman?

Saya secara jujurnya tidak percaya DAP membawa politik perkauman berdasarkan perlembagaan DAP dan ucapan pemimpin mereka. Sebaliknya, UMNO termasuk Tun sendiri memperjuangkan politik perkauman berdasarkan perlembagaan dan ucapan dan tulisan pemimpin UMNO. Itulah yang saya nampak, tetapi kalau saya tulis begini nanti orang Melayu akan marah kepada saya pula. Ini yang saya tidak mahu.

Kalau begitu mari kita tutup cerita perkauman, tidak payah tuduh orang DAP perkauman dan tak payah bangga UMNO tidak bawa perkauman. Selepas selesai pilihan raya dan keputusan pun sudah dibuat dan kerajaan pula sudah dibentuk, maka masing-masing buat kerjalah untuk membela rakyat tanpa berpihak kepada mana-mana kaum.

Maka mana-mana rakyat yang susah dan perlu dibantu dan dibimbing berilah keutamaan dalam perjuangan. Berapa ramai orang Melayu di Sarawak yang masih miskin, keluarkan mereka daripada kemiskinan itu. Begitu juga orang Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain kaum, kalau mereka sudah, jangan dipandang sebelah mata. Barulah kita tidak dikatakan perkauman.

Walau bagaimanapun saya agak hairan juga, ada pemimpin Melayu yang bercakap tidak boleh main isu perkauman, tetapi apabila orang Cina atau India ugut sedikit, mereka cepat-cepat luluskan atau ubah keputusan yang telah dibuat. Padahal kalau orang Melayu tuntut walaupun dengan demontrasi, suara mereka tidak diindahkan. Apakah sikap ini untuk menunjukkan bahawa pemimpin kita tidak perjuangkan perkauman?

Kenapa kita mengajar anak bangsa kita jadi begitu? Mengapa kita biarkan anak bangsa kita menjadi mangsa keadaan? Memanglah Islam mengajar, rakyat wajib taat kepada pemimpin, tidak boleh derhaka kepada pemimpin. Tetapi Islam juga mengajar, tidak perlu taat kepada pemimpin dalam soal yang menderhakai Allah.

Persoalan sekarang, tidak adakah keputusan pemimpin yang bercanggah dengan kehendak Allah? Tidak adakah tindakan pemimpin yang bercanggah dengan kehendak Islam? Realitinya, walaupun ada, mereka tetap taat kepada memimpin. Di sinilah kesilapan orang Melayu yang akhirnya boleh merosakkan masa depan mereka sendiri.

Berdasarkan itu, orang Melayu perlu merujuk segala hidup ini kepada Allah, kepada Islam. Walau siapapun pemimpin anda, walau apapun parti politik anda, Allah dan Islam harus dijadikan rujukan utama. Itulah pemimpin yang boleh menyelamatkan masa depan kita.

Hentikan pertikaian politik kepartian dengan menyalahkan orang lain hanya semata-mata untuk menaikkan golongan kita. Hentikan isu perkauman kerana orang yang memperjuangkan perkauman tiada jaminan syurga, sebaliknya mati sebagai orang jahiliah.

Jadi, bagi menyelamatkan keadaan ini, suka saya mencadangkan bahawa keahlian sesuatu parti politik perlu pelbagaikan bangsa. Pendekatan PAS menerima ahli kelab daripada pelbagai bangsa mungkin permulaan yang baik. Tetapi perlu kita ingat dan sedar, DAP dan Gerakan waktu diasaskan dahulu bukan untuk orang Cina, bahkan diasaskan oleh orang Melayu. Jadi, perjuangan mereka sudah pasti tidak berasaskan perkauman.

Menyedari keadaan ini, persepsi yang salah ini perlu diperbetulkan. Bahkan tentu tidak salah kalau orang Melayu termasuk ahli agama secara ramai-ramai menyertai DAP sekali gus memberikan roh Islam kepada perjuangannya. Ingatlah selagi kita membiarkan orang Cina menguasai DAP selama itulah perjuangan DAP akan dicap sebagai perjuangkan perkauman.
--
Dicatat Oleh Blogger ke Fikrah Islamiah

PAS Ucap Tahniah Kepada NGV Tech

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 19 April: PAS mengucapkan tahniah kepada syarikat  NGV Tech Sdn Bhd (NGV Tech) kerana meneroka bidang pembuatan kapal hingga berjaya menembusi pasaran dunia dan meraih tempahan bernilai RM3 bilion sepanjang lima tahun lalu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini menunjukkan bahawa syarikat yang dimiliki oleh orang Melayu mampu untuk mencipta suatu teknologi yang tinggi jika diberi peluang tanpa campur tangan politik.

“Selama ini kita tidak pernah dengar syarikat NGV Tech yang hebat dan mampu bersaing dengan syarikat antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri tidak percaya ada syarikat Melayu mampu membina kapal laut berteknologi tinggi kerana kebiasaan dibuat oleh negara maju.

Mahathir menyatakan demikian pada majlis pelancaran kapal tunda Mariner 1 kepada Marine Services Private Ltd (Arab Saudi) yang disempurnakan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Limbungan Sijangkang Banting.

“Kenyataan beliau (Mahathir) menunjukkan inilah mentaliti yang ada kepada pemimpin negara kita sejak dahulu sampai sekarang,” ujar Idris.

Tambahnya, suatu ketika dahulu kita sering melihat di paparan media mengenai kehebatan Zulkifli Haron yang mendahului zaman dalam penciptaan teknologi yang canggih, sehingga beliau digelar sebagai McGyver Malaysia.

Katanya, bermula dengan kereta parkir sendiri, rumah pintar, kuasa solar, ternak ikan laut di tengah bandar.

“Beliau sudah terlibat dalam ikon reka cipta lebih daripada 20 tahun tetapi malangnya khidmatnya kurang dimanfaatkan oleh negara, sebaliknya lebih bangga dengan ciptaan negara luar,” ujarnya.

Idris menambah, sekiranya Zulkifli Haron rakyat  Jepun atau Amerika Syarikat, beliau akan menjadi jutawan seperti Bill Gates tetapi malang sekali Zulkifli ialah anak Melayu yang tinggal di Malaysia.

Justeru, ujarnya PAS memandang penting modal insan dan kepakaran yang Allah berikan kepada manusia, yang perlu dibangunkan dengan baik.

Persoalannya, kata beliau kenapa modal insan ini diketepikan begitu sahaja tanpa pembelaan dengan baik.

PAS, tegasnya yakin jika diberi kepercayaan orang Melayu tanpa unsur pilih kasih dan penindasan, orang Melayu mampu untuk membina kapal selam yang boleh menyelam.

Tambahnya, tetapi selagi dasar pilih kasih yang dijalankan oleh pemimpin Umno selagi itulah Melayu tidak boleh maju walaupun mempunyai inovasi yang tinggi.

Sebenarnya, kata beliau kajian-kajian dan penemuan baru yang dibuat di Pusat Pengajian Tinggi  di Malaysia, malangnya ia hanya menjadi kajian ilmiah sahaja sedangkan penemuan-penemuan mereka adalah kontemporari.

Menurutnya, perkara ini berlaku kerana pemimpin negara ini hanya memandang hebat apa yang datang daripada luar.

Sebab itu, ujarnya Datuk Seri Najib sendiri pun mengambil APCO sebagai penasihat walaupun membazir wang rakyat sebanyak RM77 juta setahun.

“Pada hal khidmat ini boleh didapati di dalam negara ini oleh rakyat kita sendiri tanpa perlu wang negara mengalir keluar,” ujarnya.

H/daily

Tiga Sahabat dibelasah 20 Lelaki

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


NILAI - Tiga sahabat termasuk dua beradik menempuh detik-detik menakutkan apabila dibelasah kira-kira 20 lelaki yang bersenjatakan pedang samurai dan kayu ketika sedang membeli burger di Pasar Borong Nilai 3 di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan sehingga terpaksa mendapat rawatan di hospital.

NOR ditemani suaminya menunjukkan laporan polis berhubung kejadian dua anak mereka dipukul 20 lelaki di Nilai 3 

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Nor, 43, berkata, ketika kejadian, dua anaknya yang berusia 22 dan 19 tahun bersama seorang rakan berusia 19 tahun itu pergi ke pasar berkenaan untuk membeli burger.

Katanya, ketika sedang menunggu pesanan, sekumpulan 20 lelaki telah memanggil nama salah seorang anaknya itu.

"Sebaik panggilan disahut, kumpulan 20 lelaki berkenaan terus mengepung dan membelasah mereka tanpa sempat menerangkan puncanya.

"Lebih menakutkan lagi, beberapa lelaki berkenaan turut membawa kayu dan sebilah pedang samurai untuk membelasah mereka," katanya

Helikopter Tentera Sudan Terhempas, Lima Terkorban

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KHARTOUM 19 April – Helikopter tentera Sudan terhempas semalam di Utara Darfur mengorbankan kesemua lima penumpang di dalamnya dan ia merupakan kejadian kedua sejak seminggu lalu, lapor jurucakap pasukan tentera.

Menurut Sawarmi Khaled Saad, helikopter tersebut yang cuba mendarat di lapangan terbang El-Fasher menghadapi masalah teknikal lalu terhempas.

“Helikopter tersebut musnah sama sekali dan kesemua mereka (penumpang) juga terkorban. Tiga daripadanya merupakan anak kapal dan dua penumpang,” kata Sawarmi. 

AFP

Kami Salah Strategi - Massa

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


LONDON - Pemandu Ferrari, Felipe Massa mengakui, pasukan itu tersilap strategi pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) China kelmarin.

Pemandu Brazil itu menegaskan, dia mungkin menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik selain di tempat keenam sekiranya menggunakan strategi tiga hentian pit berban- ding dua kali di Litar Antara- bangsa Shanghai.

Massa, 29, berjaya mencatat keputusan dan persembahan yang lebih baik musim ini, sekali gus menduduki tempat kedua untuk satu tempoh yang lama sebelum masalah tayar yang dihadapi pada pusingan terakhir memaksa dia ketingga- lan di belakang.

"Meskipun Sebastian Vettel lebih banyak menguasai perlumbaan itu, dia gagal mencatat kemenangan disebabkan oleh strategi. Begitu juga dengan saya," kata Massa.

"Ia menunjukkan kami tidak memilih strategi yang betul. Perlumbaan saya sangat hebat, hampir sama dengan Sebastian dan kami menjadikan itu sebagai pertimbangan.

"Mungkin kami perlu mengurangkan strategi untuk memasuki hentian pit.

"Lihat pada pemandu lain, mereka terus berhenti. Kami sudah membuat keputusan pada awalnya tetapi ia tidak berlaku seperti yang di- harapkan."

MASSA tetap gembira meskipun menamatkan perlumbaan di tempat keenam pada GP China 

Bagaimanapun Massa berkata, dia gembira dengan persembahan peribadi, pulang dengan satu kedudukan di hadapan rakan sepasukan dan juara dunia berganda, Fernando Alonso.

"Ia adalah perlumbaan yang terbaik bagi saya tahun ini, antara yang terbaik berbanding tahun lalu," kata Massa.

"Ia sesuatu yang memalukan kerana kami sepatutnya mena- matkan perlumbaan di kedudukan teratas dan ia tidak mustahil untuk dilakukan." 

Agensi

PR Menang Bermaruah, BN Menang Dengan Rasuah

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 19 April: Senator Dr Syed Husin Ali berkata, tiada salahnya mengucapkan tahniah di atas kemenangan BN di Sarawak tetapi jangan memperkecilkan prestasi Pakatan Rakyat (PR).

Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan titah ucapan baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, semalam.

Beliau yang gembira kerana dapat menyertai perbahasan itu membuat sedikit komen tentang apa yang berlaku lebih awal sebelum memulakan perbahasan.

“Sepanjang pagi tadi beberapa orang mengucap tahniah kerana kemenangan BN di Sarawak.

“Tiada salahnya ini, akan tetapi kurang enak didengar apabila pada masa sama diperkecilkan pula prestasi Pakatan,” ujarnya selaku Ahli Dewan Negara yang mewakili PKR.

Menurutnya, seorang teman daripada Umno bertanya kepadanya: Syed, tidak mahu ucap tahniah ke dan beliau tiada masalah mengucap syabas.

Akan tetapi, beliau ingin mengingatkan bahawa PR berjaya meningkatkan bilangan kerusi yang dimenangi sekali ganda.

“Lebih penting lagi kami berjaya menurunkan 8 peratus undi yang diperolahi BN dari 63 ke 55 peratus.

“Benar BN mendapat lebih dua pertiga kerusi, akan tetapi ia gagal memperolehi dua pertiga undi,” ujarnya.

Ini, tambahnya berlaku walaupun kerajaan Umno BN menggunakan jentera kerajaan, memperalat media elektronik serta cetak, mengugut melalui SB, menabur wang dan seterusnya tidak habis-habis menggunakan isu fitnah sodomi dan video seks.

“Saya teringat kepada sebuah tweet yang saya terima, berbunyi: Pakatan menang dengan maruah, BN menang dengan rasuah. Ingatlah, Sarawak bukan lagi fixed deposit BN,” ujarnya.

H/daily

Raifal AK-47 diperbuat Daripada Kristal

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


MILAN, Itali - Kristal mewah Swarovski sinonim dengan barang kemas, ukiran elegan dan candelier tetapi seorang pengukir, Nicola Bolla, menggunakan kristal tersebut untuk menghasilkan pelbagai arca yang menakutkan.

Menerapkan tema kematian, sebanyak 15 arca yang dihasilkan pengukir terkenal berusia 47 tahun itu termasuk raifal AK-47, tengkorak, tulang rusuk dan tulang paha dipamerkan kepada umum sempena Minggu Seni Reka Milan minggu lalu.

SEORANG wanita memegang raifal AK-47 yang diperbuat daripada kristal Swarovski ciptaan Nicola Bolla

Dia menjadi popular kerana menggunakan bahan yang mewah dan cantik termasuk berlian untuk menghasilkan pelbagai objek termasuk mangkuk tandas. 

Agensi

Lebih 1,000 Orang dibunuh Tentera Gaddafi

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



MISRATA, Libya - Dianggarkan 1,000 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera di bandar Misrata apabila tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyerang lokasi itu dengan menggunakan kereta perisai dan penembak curi sejak enam minggu lalu, kata seorang doktor semalam.

"Kira-kira 80 peratus kematian melibatkan orang awam," kata Dr. Khaled Abu Falgha yang bertindak selaku pentadbir di sebuah hospital utama di Misrata.

Beberapa kakitangan perubatan menyaksikan kenaikan mendadak jumlah mangsa yang dibawa ke hospital pada minggu lalu.

Mereka mengalami kesan tembakan di kepala dan leher yang menjadi sasaran utama penembak tepat.

Sementara itu, enam lagi katil di unit rawatan rapi menempatkan sekumpulan lelaki yang ditembak oleh penembak curi yang ditugaskan ke seluruh bandar oleh tentera yang setia kepada Gaddafi.

Khaled memberitahu semua 60 buah katil di hospital itu telah digunakan dengan sepenuhnya.

Mereka yang cedera ringan dihantar pulang ke rumah selepas mendapat rawatan.

Pada minggu lalu, ramai yang cedera ekoran penggunaan bom berangkai dan memerlukan beberapa anggota badan si mangsa dipotong.

Doktor itu menunjukkan contoh-contoh senjata yang disimpan tentera Gaddafi di pejabatnya.

Bom berangkai yang menyebarkan bom-bom kecil telah diharamkan oleh banyak negara.

Setakat semalam Gaddafi masih belum mahu berundur sebaliknya masih bertegas mahu berkuasa walaupun setelah empat dekad beliau memerintah.

Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Gaddafi bermula sejak 15 Februari lalu ekoran perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinannya. - Agensi

Robot Kesan Radiasi Tinggi di Dalam Loji Nuklear

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


TOKYO - Bacaan data yang diperoleh daripada robot-robot yang memasuki dua bangunan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi buat pertama kali semalam mendapati persekitarannya masih mengandungi kadar radioaktif yang tinggi untuk dimasuki oleh para pekerja.

Para pegawai nuklear memberitahu data radiasi di kolam Unit 1 dan Unit 3 di loji nuklear tersebut diperoleh oleh dua buah robot buatan Amerika Syarikat (AS) yang diberi nama Packbots.

Packbots mengambil data mengenai suhu, tekanan dan tahap radioaktif.

"Lebih banyak data perlu diambil dan tahap radioaktif perlu dikurangkan lebih banyak sebelum para pekerja dibenarkan masuk," jelas Hidehiko Nishiyama dari Agensi Nuklear dan Keselamatan Industri Jepun.

SATU robot kawalan jauh masuk ke dalam sebuah bangunan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun 

Maklumat mengenai radiasi itu dilihat tidak akan menjejaskan matlamat untuk menutup loji tersebut dalam tempoh enam hingga sembilan bulan seperti yang diumumkan oleh pengendali loji berkenaan, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO).

"Kami sudah menjangkakan tahap radiasi yang tinggi di dalam bangunan reaktor. Namun begitu, saya pasti TEPCO dan pakar-pakar lain mengambil kira angka-angka ini apabila mereka merangka pelan (menutup loji tersebut)," kata Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano.

Pegawai TEPCO, Takeshi Makigami menyatakan robot-robot itu akan merintis jalan buat para pekerja untuk memasuki semula ke dalam bangunan berkenaan.

"Apa yang boleh dilakukan oleh robot adalah terhad. Justeru para pekerja perlu masuk ke dalam bangunan itu," kata Makigami.

Loji itu mengalami kebocoran nuklear selepas ia dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu akibat gempa bumi kuat di timur laut Jepun. 

Agensi

5 Pencuri Kereta Mewah Tumpas

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


PETALING JAYA – Sekumpulan penyamun kereta mewah yang menjadikan hotel lima bintang sebagai stor tempat menyembunyikan kenderaan curi dan tempat persembunyian tumpas apabila mereka diberkas di sini baru-baru ini.

Kegiatan kumpulan lelaki berumur 24 hingga 42 tahun itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Damansara Jaya di sini pada pukul 2.35 pagi pada 10 April lalu.

KERETA curi yang ditemui semula daripada lima penjenayah yang ditahan di sekitar Petaling Jaya baru-baru ini

Suspek yang berumur 27 tahun itu dipercayai mahu mencuri kunci sebuah kereta mewah yang dimiliki penghuni di dalam rumah yang cuba dipecah masuk itu.

Ekoran penahanan lelaki itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis kemudian berjaya menahan empat lagi suspek di sebuah hotel lima bintang di Seksyen 16 di sini pada pukul 10.30 malam pada 12 April lalu.

“Suspek itu dipercayai telah menginap di hotel itu sejak beberapa hari lalu sebagai lokasi persembunyian mereka sebelum merancang mencuri atau menjual kereta-kereta yang dicuri.

“Kesemua suspek sebelum ini pernah ditahan kerana pelbagai kes jenayah. Ada di antara suspek terlibat dalam tiga hingga empat kes jenayah termasuk memiliki dadah, pecah rumah dan mencuri kenderaan,” kata beliau

Bangkai Makhluk Asing ditemui di Rusia ?

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


ULAN-UDE - Satu klip video yang bocor di Internet menunjukkan satu bangkai mahkluk asing ditemui di wilayah Siberia, Rusia, lapor laman Allnewsweb.com kelmarin.

Bangkai berkenaan ditemui di kawasan bersalji selepas satu objek besar dipercayai objek terbang tidak dikenali (UFO) bercahaya merah jambu dan biru menjunam ke Bumi sebelum terhempas di wilayah Irkutsk lebih sebulan lalu.

KLIP video di laman YouTube menunjukkan bangkai makhluk asing ? ditemui di kawasan bersalji di Republik Buryatia, Rusia.

Kejadian itu disaksikan ratusan penduduk setempat manakala satu pasukan terdiri daripada beberapa ejen perkhidmatan rahsia dan pegawai Kementerian Sains Rusia tiba di lokasi kejadian beberapa jam kemudian.

Insiden yang jarang berlaku itu turut mendapat liputan meluas di Rusia termasuk agensi berita rasmi Interfax tetapi ia dipinggirkan oleh media Barat, dipercayai bagi menyembunyikannya daripada pengetahuan umum.

Klip video tersebut yang menunjukkan bangkai makhluk asing yang ditemui di wilayah Republik Buryatia, Siberia, tidak jauh tempat UFO itu terhempas di wilayah Irkutsk kini boleh ditonton di laman YouTube.

Makhluk asing itu terselamat dalam nahas udara itu ia tetapi mati tidak lama kemudian ekoran iklim sejuk Rusia yang ekstrem.

Agensi

Dr. Khairuddin kekal YDP PAS Tambun.

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Ucapan penangguhan daripada YDP PAS Kawasan Tambun Dr. Hj. Khairuddin


17 April, Ipoh - PAS Kawasan Tambun telah menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-25 di Hotel Hillcity Ahad lalu. Lebih daripada 300 orang perwakilan dan pemerhati yang hadir. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Tambun kali ini cukup bermakna kerana menerima kehadiran Yb. Dato' Paduka Hj. Husam Musa, AJK PAS Pusat. Dalam ucapan beliau, Yb. Dato' menekankan peri pentingnya soal strategi dalam menjalankan gerak kerja parti. Kata beliau lagi, jentera parti perlu lebih aggresif bergerak untuk menambahkan bilangan pengundi baru bagi menghadapi pilihanraya ke-13 yang dijangkakan semakin mendekat. Yb. Dato' juga menyarankan agar PAS Kawasan Tambun mengumpulkan dana dalam bentuk Dinar yang dipelopori oleh kerajaan PAS Kelantan.

Menyentuh tentang ucaptama oleh Dr. Hj. Khairuddin b. Dato' Abdul Malik selaku YDP PAS Tambun, sarat dengan visi dan misi. Antara yang disebut oleh YDP "keperluan kepada pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang kebenaran melengkapkan prasarana perjuangan yang masih banyak lompong-lompong dan ruang kosong di sana sini. Dalam konteks Malaysia , wujudnya keadaan tersebut adalah testimoni bahawa kumpulan orang-orang Melayu beragama Islam masih belum memahami apa erti kezaliman dalam perspektif Islam dan apa natijah menyokong kezaliman kepada masa depan akhirat mereka. " Beberapa perkara penting yang disampaikan oleh YDP bagi tindakan semua ahli PAS Tambun iaitu:

1.Pakatan Rakyat harus diperkasakan

2.Pertingkatkan jihad demi kemenangan

3.Memurnikan perjuangan

4.Pertingkatkan program parti

5.Semai rasa kebersamaan dan cintakan jemaah


Tn. YDP telah mengariskan tujuh pendekatan strategik jangka sederhana 2011-2013 iaitu :

1.Menambahkan ahli-ahli PAS Kawasan Tambun ke tahap 4,000 orang.

2.Menambahkan cawangan ke tahap 45 cawangan.

3.Mendaftar pengundi-pengundi baru sekurang-kurangnya 1,000 pengundi baru setahun.

4.Mencapai tahap dana akaun parti yang selesa sekurang-kurangnya RM 100,000.

5.Menyiapkan Markas Tarbiyah PAS kawasan yang baru dengan harga RM 400,000.

6.Memiliki satu premis kedai pejabat (shop-office) ditempat strategik untuk dijadikan pejabat pentadbiran PAS kawasan.

7.Memiliki projek ekonomi yang berdaya maju dan menjadi penyumbang utama kepada dana parti.

YDP juga mengungatkan ahli PAS Tambun untuk menghindarkan diri daripada sifat-sifat yang boleh meleburkan dan melemahkan amal jihad iaitu:

1.Gagal mempertahankan keikhlasan.

2.Buruk sangka yang tidak menguntungkan jemaah.

3.Enggan mendisiplinkan diri untuk mematuhi keputusan - keputusan jemaah.

4.Mempromosikan budaya-budaya asing dalam jemaah seperti budaya lobi atau berebut jawatan.

5.Menyampaikan dakwah dengan strategi menyerang yang menjauhkan kumpulan sasaran.

6.Berprasangka kerja kita / lajnah kita saja yang penting atau kumpulan kita sahaja yang buat kerja.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Tambun kali ini, 4 jawatan tidak dipertandingkan dan telah dipersetujui oleh majoriti perwakilan yang hadir iaitu bagi jawatan Yang DiPertua PAS Kawasan, Timbalan Yang DiPertua, Naib Yang DipPertua dan Ketua Urusan Ulama'. Seramai 16 ahli jawatankuasa kerja PAS Tambun telah dipilih oleh para perwakilan untuk menerajui kepimpinan PAS Kawasan yang menggabungkan muka lama dan baru. Syabas dan tahniah kepada yang telah dipilih. Semoga dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik dan lebih progresif bagi penggal 2011-2013.

Dr. Khairuddin yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS perak berjaya mengekalkan jawatannya dalam pemilihan pada tahu ini.

New Zealand dilanda Gempa 6.6 Skala Richter

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



WELLINGTON 19 April – Gempa bumi kuat di bawah laut berukuran magnitud 6.6 melanda pantai timur laut New Zealand hari ini, lapor Pusat Pantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Dalam pada itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami namun tiada sebarang ancaman dilaporkan.

Menurut USGS, gempa tersebut berlaku pada pukul 11.03 malam waktu Malaysia di 550 kilometer timur Auckland dengan pusat gempa sedalam 90 kilometer. 

AFP

Analisa kerusi Parlimen menurut PRN Sarawak.

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Shaharul Shafie

Berakhirnya musim ‘panas’ di Sarawak, kini beralih kepada teka-teki bilakah akan pula terjadinya musim ‘panas’ seluruh negara. Mungkinkah pilihanraya umum akan datang diadakan semasa musim panas di Malaysia? Seandainya di Malaysia ada musim panas atau summer sepertimana di negara-negara hemisfera utara, mungkin PRU diadakan pada bila-bila masa di antara bulan Jun sehingga Ogos tahun ini. Petandanya sudah sedikit nampak sepertimana di masa lalu, apabila guru-guru besar dan para pengetua menerima surat untuk menyegerakan apa-apa bentuk ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Maklumlah sekolah-sekolah kenalah ditutup beberapa hari bagi memberi peluang kepada penyediaan menjelang hari mengundi dan proses mengundi.

Bagi penulis, tidak kisahlah bilakah PRU13. Ini kerana penulis yakin perkara ini pastinya membuntukan pemikiran Perdana Menteri yang disayangi ramai, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Bukannya senang untuk Najib meletakkan tarikh atau tempoh lebih-lebih lagi melihat faktor ‘kemenangan’ di Sarawak yang mempunyai beberapa persoalan-persoalan yang tersirat di sebalik kemenangan itu. Selain faktor persepsi pengundi, yang turut memburukkan peluang BN di peringkat Pusat pastinya ialah untuk mengadakan pilihanraya sebelum keadaan ekonomi dunia memasuki fasa pra-gawat setelah lebih dua tahun berada di peringkat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan stabil.

Kelemahan ekonomi mikro dan kadar pengangguran meningkat mampu terus menggugat BN
Pastinya kitaran ekonomi akan ada naik dan turunnya. Hanya bila-bila masanya graf ekonomi negara selaras dengan ekonomi dunia pasti kembali menunjukkan penguncupan. Apabila ini berlaku, kebanyakan kerajaan di dunia ini mampu tumbang jika pilihanraya diadakan semasa penguncupan ini berlaku. Di Malaysia, penguncupan ekonomi pastinya melibatkan para peniaga yang kebanyakannya terdiri dari kaum Cina. Meskipun kini makro ekonomi nampak bagus, boleh dikatakan 70 peratus kaum Cina sudah pun menolak kerajaan BN, bagaimana pula jika ekonomi semakin menguncup, lebih teruk lagilah sokongan kaum Cina kepada BN.

Pada PRU 1999, kemenangan BN di bawah mantan PM, Tun Mahathir Mohamad adalah disebabkan oleh kemampuan beliau mengemudi ekonomi negara menghadapi tempoh kemelesetan ekonomi ketika itu yang menyebabkan kaum Cina menyokongnya secara berpadu. Hanya pengundi Melayu yang dilihat beralih sokongan kepada parti pembangkang ketika itu seperti PAS dan PKN (nama dulu untuk PKR). Situasi Umno kehilangan undi Melayu itu jelas nampak apabila negeri-negeri Melayu seperti Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS sementara di Kedah Umno dan PAS hanya berselisih 2 kerusi dan PAS menawan banyak kerusi di dalam DUN Pahang serta Selangor.

Kini, isu sedunia yang turut melanda negara yang menyebabkan kejatuhan Tunisia dan Mesir serta mengganggu gugat kestabilan banyak negara Arab ialah isu pengangguran tegar. Di Malaysia meskipun makro ekonomi adalah baik, kini seramai 300,000 pemuda dan bekas pekerja yang terpaksa dihentikan bekerja oleh syarikat-syarikat yang mula menggunakan sistem automasi teknologi maklumat bagi mengurangkan keperluan kepada tenaga buruh Malaysia. Jumlah 300,000 ini kebanyakannya ialah pengganggur graduan Melayu yang kebanyakannya mengharapkan pekerjaan dan pastinya kemarahan mereka sukar dibendung dan mampu ditunjukkan di dalam bentuk kertas undi.

Pakatan mampu menambah sehingga 10 kerusi Parlimen dari Sarawak

Dengan Sabah dan Sarawak yang selama ini dianggap sebagai ‘deposit tetap’ BN, kini ternyata sudah tidak lagi berikutan keputusan pilihanraya DUN Sarawak yang dilangsungkan dua hari lepas. Di negeri Sarawak, Dewan Rakyat memiliki 31 kerusi dan di Sabah pula 25 kerusi. Kini di Parlimen, BN Sarawak memiliki 29 kerusi tersebut manakala selebihnya lagi iaitu 2 kerusi milik DAP. Melihat kepada keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak, ia memberikan gambaran jelas jika dilihat undi-undi yang dijumlahkan di peringkat DUN diselaraskan bagi Parlimen, BN berpotensi besar kehilangan sehingga 10 kerusi Parlimennya di Sarawak kepada DAP dan PKR dalam PRU nanti.

Dengan kemenangan 13 kerusi DAP dalam PRN Sarawak baru ini, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU 13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP. Manakala di bawah Parlimen Sibu, dari 3 kerusi DUNnya, DAP menang besar di DUN teramai pengundi iaitu di DUN Pelawan meskipun dua DUN lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP memang kalah di Bawang Assan tetapi tipis.

Namun begitu, menjumlahkan undi yang diterima oleh BN dan Pakatan Rakyat (PR) di ketiga-tiga DUN di sini menampakkan keadaan menjadikan Sibu kawasan Kelabu bagi kedua-dua pihak. Jumlah diperolehi oleh BN di Parlimen Sibu ialah 21,953 undi manakala PR pula mendapat 21,234 dengan majoriti 719.

Parlimen Sibu boleh dirampas BN jika ada perpindahan pengundi Bumiputera Islam?

Kita menjangkakan BN boleh kembali merampas Sibu jika persempadanan semula dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melibatkan kerusi DUN Dalat di bawah Parlimen Mukah yang bersebelahan dengan Parlimen Sibu dengan DUN Nangka yang kebanyakannya pengundi Melayu. Jika SPR dapat melakukan strategi persempadanan ataupun perpindahan pengundi dengan memasukkan sedikit kawasan DUN Dalat yang juga bermajoriti Melayu-Melanau sekurang-kurangnya 1,000 ke 2,000 pengundi ke dalam DUN Nangka di bawah Sibu, pastinya BN mampu merampas Sibu semula walaupun dengan majoriti yang kecil. Selain DUN Dalat, satu lagi DUN di bawah Parlimen Mukah ialah DUN Balingian yang ditandingi sendiri oleh Ketua Menteri, Tan Sri Pehin Taib Mahmud. Oleh itu, dengan penjelasan yang diberikan penulis mengenai strategi yang mungkin dilakukan oleh SPR sebelum PRU akan datang, semoga PR perlulah mula berhati-hati dan mengambil perhatian.

Walaupun DAP berhadapan kemungkinan kehilangan Sibu berdasarkan trend pengundian dua hari lepas, di dalam PRU akan datang, DAP masih boleh meningkatkan usaha bagi merampas Bawang Assan atau menutup jurang majoriti. Setiausaha Agung SUPP, Datuk Wong Soon Koh menewaskan calon DAP, Alice Lau dengan majoriti 1,808 pada PRN minggu lepas berbanding dengan majoriti beliau perolehi sebanyak 2,504 semasa PRN 2006. Apa yang penulis andaikan di sini ialah mengambil konsep penjumlahan kesemua kerusi DUN di bawah sesuatu kerusi Parlimen bagi membayangkan kemungkinan di dalam PRU akan datang.

Namun begitu, andaian begini tidak semestinya benar kerana setiap pengundi berhak memilih calon masing-masing yang mungkin berbeza parti di dalam setiap kertas undi DUN dan Parlimen. Memang tidak dinafikan, ramai pengundi yang memilih parti-parti yang lain di setiap kertas undi DUN dan Parlimen tetapi majoritinya lebih memilih parti yang sama mewakili mereka sama ada di Parlimen mahupun di DUN terutamanya di Sarawak. Namun begitu. kaedah penjumlahan ini adalah satu bentuk kaedah ramalan yang boleh difikirkan sebagai perancangan dan juga amaran bagi menyediakan pelan bertindak.

Lima kerusi parlimen Sarawak dalam tangan DAP sahaja

Dengan keputusan PRN Sarawak yang terbaru ini, dengan kaedah penjumlahan ini, DAP mampu merampas sehingga 5 kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU nanti. Yang pastinya DAP boleh merampas kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri dengan majoriti besar dan mudah tetapi mampu merampas Parlimen Bintulu dengan majoriti kecil. Bagi Parlimen Stampin, PR telah memenangi dengan besar di DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan DUN Batu Lintang melalui PKR.

Di Parlimen Sarikei, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong. Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang juga Ketua Pembangkang DUN Sarawak dan ahli Parlimen Sibu yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di DUN Bukit Assek.

Di Parlimen Miri pula, di mana salah satu kerusi DUNnya iaitu DUN Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP/BN, Tan Sri George Chan kepada calon muda DAP, Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di DUN Senadin, PKR mewakili PR hanya kalah tipis 58 undi kepada calon BN.

Sementara itu, kedudukan ‘kelabu’ bagi DAP untuk menang mampu dicapai di Parlimen Bintulu meskipun dua daripada tiga DUNnya dimenangi oleh BN di Jepak dan Kemena. DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kidurong dengan menambah majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006. Yang menarik di Bintulu ialah, DUN Jepak adalah penempatan Melayu Bumiputera Islam dan DUN Kemena lebih ke pedalaman dihuni oleh pengundi Bumiputera bukan Islam. Jumlah pengundi berdaftar di Jepak dan Kemena jika dicampurkan adalah menyamai jumlah pengundi berdaftar di Kidurong sendiri yang kebanyakannya kaum Cina yang tinggal di bandar Bintulu sendiri.

PKR boleh tambah 4 kerusi Parlimen tetapi tentangan sengit dijangkakan
Bagi PKR pula, dengan meningkatkan penguasaan mereka di 3 kerusi DUN dan pertambahan undi di banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan di kawasan bandar juga membolehkan mereka memberi cabaran kepada BN Sarawak dalam PRU akan datang. Tentangan yang boleh dikatakan boleh mencabar BN ialah di Parlimen Saratok di mana salah satu DUNnya dimenangi oleh PKR di DUN Krian dan satu lagi DUN Kelaka yang dimenangi oleh BN.

Namun begitu, keadaan nampak lebih mudah di Parlimen Selangau dengan pengundi berjumlah hampir 22,000 orang yang menempatkan DUN Tamin dan Kakus. Meskipun PKR tewas di kedua-dua kerusi itu yang dimenangi oleh PRS/BN yang penduduknya bermajoriti bumiputera bukan Islam, fakta menarik ialah kemampuan PKR mengurangkan majoriti BN di kedua-dua DUN tersebut jika dicampur dari 5,229 undi pada PRN 2006 kepada hanya 1,894 undi pada kali ini. Lagi menarik ialah ketika PRU 2008, Parlimen Selangau ini dimenangi BN tanpa bertanding melalui calonnya Joseph Entulu Belaun. Melihat situasi ini, PKR berkemampuan bertanding di sini di dalam PRU 13 nanti. Yang istimewa juga mengenai Parlimen Selangau ialah di sinilah terletaknya empangan Bakun yang menjadi kontroversi membabitkan penduduk Penan dan Orang Ulu.

Isu Empangan Bakun dan AlKitab memang sah mengurangkan undi BN kali ini di pedalaman
Empangan ini sebenarnya terletak di sempadan dengan satu lagi kerusi parlimen pedalaman iaitu Parlimen Kapit yang menempatkan dua lagi kerusi DUN iaitu Pelagus dan Katibas. Kerusi Pelaguslah yang dimenangi oleh satu-satunya calon Bebas di dalam DUN Sarawak kali ini manakala calon BN di Katibas menang dengan majoritinya dikurangkan dari 3,332 undi (PRN 2006) kepada 2,256 undi. Sebenarnya majoriti ini boleh dikurangkan lagi sehingga 1,359 undi sekiranya tiada pertandingan 3 penjuru di antara BN, SNAP dan PKR. Begitulah juga keadaannya di Pelagus sekiranya tiada pertandingan 3 penjuru antara BN, PKR dan Bebas, jika dikira undi yang diperolehi oleh semua calon pembangkang akan mendapat hampir 7,000 undi dan calon BN dari PRS hanya mendapat 3,000 undi. Sekiranya dalam PRU akan datang, parti-parti pembangkang boleh mengelakkan situasi pertandingan banyak penjuru, maka Parlimen Kapit juga dengan mudah boleh ditawan PR.

Sememangnya dalam PRN kali ini, isu Penan dan Bakun sebenarnya banyak merubah undi penduduk di Parlimen Selangau dan Kapit yang sebelum ini dilihat menyokong PRS/BN. Dari tinjauan jumlah pengundi yang keluar mengundi di DUN Kakus,Tamin,Pelagus dan Katibas yang masing-masing mempunyai dua DUN terletak bawah Parlimen Selangau dan Kapit yang berjumlah 30,268 pengundi. Jumlah undi popular diperolehi oleh BN ialah 14,593 undi manakala pembangkang(termasuk undi PKR,PCM,SNAP dan Bebas) ialah 15,675 undi. Ini bermakna dalam PRN kali ini, pengundi bumiputera bukan Islam sebenarnya telah beralih dengan banyaknya dari BN kepada pembangkang ekoran isu Bakun dan juga isu penggunaan nama Allah dan AlKitab kerana rata-ratanya beragama Kristian.

PKR juga mampu berikan tentangan tetapi sengit sekali di dalam Parlimen Lawas, di mana terletaknya kerusi DUN Be’kalalan yang dimenangi oleh Ketua PKR Sarawak, Baru Bian dan satu kerusi lagi, DUN Bukit Sari yang kebanyakannya adalah Melayu berketurunan Brunei. Bukit Sari dimenangi oleh calon Melayu dari PBB/BN. Pertandingan sengit dijangkakan di Lawas kerana komposisi Parlimen ini ialah 60% pengundi Melayu yang majoritinya dari DUN Bukit Sari dan 40% adalah kaum Iban/Dayak yang kebanyakannya dari Be’kalalan. Namun, jika Baru Bian boleh menunjukkan ketrampilannya di DUN Sarawak yang mungkin dipilih sebagai Ketua Pembangkang baru di DUN Sarawak(meskipun PKR hanya menang di 3 kerusi sahaja), kotak-kotak undi kaum Iban/Dayak di Bukit Sari boleh beralih arah kepada PKR beserta pertambahan sokongan dari kaum bumiputera bukan Islam sendiri di kerusi DUN Be’kalalan sendiri.

Walaupun menang 2/3 kerusi DUN Sarawak, ternyata BN menang membentuk kerajaan dan memperolehi kuasa eksekutif,namun sepertimana dalam artikel penulis sebelum ini, PR perlulah menang ‘bergaya’ atau menang ‘motivasi’ meskipun kalah mengejar kuasa. Keputusan PRN kali ini jelas bertepatan dengan ramalan penulis di dalam artikel sebelum ini ‘Jika PR kalah pun, biarlah bergaya’. Hanya penulis tidak tepat ialah dalam artikel itu, penulis telah meramalkan BN gagal memperolehi 2/3 majoriti.

Keputusan DUN Ngemah dan DUN Telang Usan hasil tiada kesepakatan pembangkang
Penulis ada juga menulis ketidaksepakatan pembangkang terutamanya di antara PKR dan SNAP pasti memberikan masalah terutamanya perpecahan undi di sesetengah kerusi.

Contohnya seperti DUN Ngemah yang sebelum ini disandang oleh Presiden PCM, Gabriel Adit Demong yang tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon PCM yang lain iaitu Adeh Demong. Bagi DUN Ngemah, terdapat pertandingan 5 penjuru yang akhirnya dimenangi oleh calon PRS/BN, Alexander Vincent apabila memperolehi undi sebanyak 2,361 undi. Namun begitu, jika ditambah kesemua yang diperolehi oleh calon-calon pembangkang yang lain, jumlahnya ialah 2,871 undi. Dengan ini, jika pertandingan ini adalah 2 penjuru, pastinya parti pembangkang sudah mampu menambah satu lagi kerusi di DUN Sarawak, tidak kiralah dari PCM, SNAP ataupun PKR.

Satu lagi contoh hasil daripada ketidaksefahaman PKR dan SNAP berlaku di DUN Telang Usan yang menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara BN, SNAP, PKR dan Bebas. Disebabkan perpecahan undi, calon BN menang dengan 3,597 undi. Tetapi tahukah anda dengan menjumlahkan undi yang diperolehi oleh SNAP, PKR dan Bebas, jumlah undi pembangkang adalah lebih 4,000 undi. Jika pertandingan dua penjuru, maka parti pembangkang mempunyai kelebihan bagi menduduki kerusi DUN Telang Usan.

BN menang tetapi presiden-presiden komponen BN semuanya hilang majoriti
BN mengekalkan penguasaannya di banyak kerusi walaupun majoriti yang diperolehinya jatuh dengan banyaknya, maka PR boleh mendabik menang kerana ‘menang’ moral di dalam melakukannya. Antaranya ialah di DUN Tarat, BN mendapat majoriti sebanyak 1,995 undi jika dibandingkan dengan 3,256 undi dalam PRN 2006, DUN Asajaya BN mendapat majoriti 4,489 (dulu 5,063), DUN Lambir mendapat 1,521 majoriti (dulu 2,834) dan banyak lagi DUN yang majoriti telah turun. Ini termasuklah penampilan PAS di dua kerusi DUN iaitu Beting Maro dan Sebuyau yang berjaya menurunkan majoriti BN. Di Beting Maro, majoriti diturunkan sehingga 391 undi (dulu 895) manakala di Sebuyau, majoriti terkini ialah 2,276 (dulu 2,448).

Pemimpin-pemimpin kanan parti yang merupakan Presiden dan Timbalan Presiden komponen BN Sarawak juga mengalami penurunan yang banyak di kerusi masing-masing. Selain dari Presiden SUPP yang menjadi ‘gergasi’ yang tewas di DUN Piasau, kesemua Presiden parti komponen BN Sarawak mengalami penurunan majoriti.

Antaranya ialah di DUN Pakan, Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan memperolehi majoriti 1,197 undi sedangkan dalam PRN 2006 mendapat 1,763 undi. Di DUN Baleh pula, Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Masing memperolehi majoriti 3,898, turun hampir 1000 undi dari 4,802 undi. Bukan itu sahaja, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Alfred Jabu dari PBB juga mengalami penurunan jumlah majoriti undi dari 2,677 kepada 1,916 undi pada PRN kali ini.

Taib Mahmud hilang 25% penyokongnya dalam PRN 2006 kali ini

Yang mengejutkan juga ialah Ketua Menteri sendiri, Taib Mahmud yang mengalami penurunan yang agak banyak di DUN Balingian. Sepertimana yang kita ketahui, majoriti pemenang dikira dengan mengambil jumlah undi diperolehi oleh pemenang dan ditolak dengan jumlah undi diperolehi calon yang mendapat undi kedua tertinggi. Di Balingian berlakunya pertandingan 3 penjuru di antara Taib, PKR dan Bebas. Majoriti diperolehi Taib kali ini ialah 5,154 undi iaitu kurang 572 undi jika dibandingkan dengan majoriti dalam PRN yang lepas iaitu 5,726 undi. Namun begitu, jika undi yang diterima oleh calon PKR ditambah dengan calon Bebas(kedua tertinggi) di Balingian, secara harfiahnya majoriti sebenar di antara pengundi BN dan pembangkang, Taib sendiri telah mengalami penurunan majoriti sehingga 4,283 undi. Ini bermakna Taib telah hilang 1,443 pengundi atau 25% daripada pengundinya sebelum ini semasa PRN 2006.

Perpaduan PR Sarawak adalah isu utama kena diselesaikan

Banyak kesilapan dan masalah yang timbul di dalam PRN kali ini di pihak PR terutamanya PKR. Tidak dinafikan PAS masih jauh lagi diterima di Bumi Kenyalang dan di masa hadapan kerusinya boleh ditandingi oleh calon dari PKR berbangsa Melayu atau Bumiputera Islam. DAP terus mengungguli lebih dari 70 peratus undi kaum Cina di semua penempatan atau kotak undi Cina. Masalah SNAP dan PKR haruslah diselesaikan sebelum tibanya PRU ke 13. Isu kekayaan Taib, empangan Bakun dan AlKitab masih lagi relevan untuk digunakan oleh pembangkang dalam PRU akan datang terutamanya untuk merebut kerusi Parlimen di Sarawak. Hanya perlu pastikan usaha mengurangkan berlakunya pertandingan lebih dari 2 penjuru di kawasan-kawasan penempatan pedalaman mampu meningkatkan kemampuan PR bagi member tentangan sengit untuk merampas sehingga 10 kerusi Parlimen daripada BN di samping mengekalkan 2 kerusi Parlimen kini dipegang melalui DAP di Kuching dan Sibu (berdasarkan penjumlahan undi peringkat DUN).

Jika sentimen yang sama berlaku di kalangan pengundi Cina berterusan sehingga ke dalam PRU 13 di Semenanjung Malaysia di samping menumpukan usaha menarik undi kaum Melayu di Semenanjung bagi mengekalkan status kedudukan parlimen hari ini, ditambah dengan pertambahan kerusi dari Sarawak ke kantung PR, maka harapan BN memperolehi semula 2/3 majoriti di peringkat Parlimen sekali lagi boleh dinafikan PR. Jika ramalan ini mampu berlaku dengan kegagalan BN menambah kerusi di Parlimen, pastinya perpaduan di dalam BN sendiri boleh bergoyah. Oleh itu, bagi menghadapi PRU13, PR perlu meletakkan usaha menarik semula pengundi Melayu di Semenanjung menyokongnnya dari kalangan orang muda serta bijak menyelesaikan tuduhan-tuduhan yang melibatkan peribadi beberapa pemimpin pembangkang, isu tadbir urus di negeri-negeri PR, pengunduran pemimpin-pemimpin lama PR dan menyepadukan kempen melalui media baru mungkin mampu meletakkan BN di dalam keadaan ‘lebih panas’ dari biasa.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

60 Jet Pejuang Britain dileraikan

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


STAMFORD - Sebanyak 60 jet pejuang Harrier yang sepatutnya digunakan untuk menyerang tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kini menunggu untuk dileraikan di beberapa buah hangar di Britain, lapor akhbar The Sun semalam.

Jet pejuang berkenaan yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter disimpan di beberapa hangar milik Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dekat sini.

BEBERAPA jet Harrier berada di dalam sebuah hangar di Britain

Semua jet pejuang itu masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan dalam misi ketenteraan.

Namun, jet-jet tersebut akan dileraikan dalam langkah penstrukturan semula RAF bagi menjimatkan kos penyelengaraan berjumlah £750 juta (RM3.6 bilion).

Langkah tersebut dianggap merugikan Britain yang membelanjakan £30 juta (RM147.6 juta) seminggu untuk melancarkan serangan udara ke atas rejim Gaddafi di Libya.

Britain menyertai Amerika Syarikat dan Perancis dalam melaksanakan zon larangan terbang di Libya bagi mengelak Gaddafi melakukan serangan ke atas orang awam.

Jet Harrier boleh melakukan misi terbabit dari sebuah kapal induk dengan kos cuma £40 juta (RM196.8 juta) setahun. 

Agensi

Wanita Maut Terminum Cuka Getah

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


PASIR MAS – Seorang wanita yang dirawat di hospital sejak seminggu lalu akibat terminum cuka getah yang disangkanya air oren akhirnya meninggal dunia semalam.

Mangsa, Lijah Mamat, 88, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.10 pagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Menurut anak lelaki mangsa, Abdullah Che Wook, 63, arwah dimasukkan ke hospital itu akibat terminum cuka getah pada Selasa lalu.

KEADAAN Lijah semasa dirawat akibat terminum cuka getah sebelum meninggal dunia di HRPZ II di Kota Bharu

Menceritakan kejadian tersebut, katanya, mangsa ketika itu berada di rumah bersama emak saudaranya, Siti Hawa Ibrahim, 77.

“Sambil berbual-bual, emak saya kemudian menuang air yang disangkanya air oren ke dalam gelas lalu meminumnya.

“Bagaimanapun, dia mengadu rasa air itu sangat pelik. Emak saudara saya kemudian merasa minuman itu, tetapi meludahnya semula kerana ia adalah cuka getah,” ceritanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat sini semalam.

Jauhkan sifat "menyelak kain" orang

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

“Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya.” (Al-Bukhari)

Tidak ada manusia yang sempurna dalam segala hal. Selalu saja ada kekurangan. Boleh jadi ada yang indah dalam rupa, tapi ada kekurangan dalam gaya bicara. Bagus dalam penguasaan ilmu, tapi tidak mampu menguasai emosi dan mudah tersingung, kuat di satu sisi, tapi lemah di sudut yang lain.

Dari situlah kita harus cermat mengukur timbangan penilaian terhadap seseorang. Apa kekurangan dan kesalahannya. Kenapa boleh begitu, dan seterusnya. Seperti apa pun orang yang sedang kita nilai, keadilan tidak boleh dilupakan. Walaupun terhadap orang yang tidak disukai, yakinlah kalau di balik keburukan sifat seorang mukmin, pasti ada kebaikan di sisi yang lain.

Allah SWT memerintahkan kepada orang-orang beriman agar senantiasa bersikap adil. Perhatikan firman-Nya ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (QS. Al Maidah 5 : 8)

Dengan timbangan yang adil, maka penilaian kita boleh jadi profesional, tidak serta-merta menilai bahawa orang itu pasti salah. Mungkin ada sebab yang membuat ia lalai, lengah, dan kebuntuan mengendalikan sesuatu. Bahkan mungkin jika kita berada di posisi dan situasi yang sama, kita pun tidak lebih bagus dari orang yang kita nilai. Kerana itu, lihatlah terlebih dahulu kekurangan dalam diri kita sebelum kita menilai kekurangan orang lain.

Ego manusia cenderung mengatakan, "Sayalah yang lebih baik dari yang lain". Ego seperti inilah yang kerap membuat timbangan penilaian jadi tidak adil. Kesalahan dan kekurangan orang lain begitu jelas, tapi kekurangan diri sendiri tidak pernah terlihat. Padahal, kalau saja bukan kerana anugerah Allah SWT yang berupa tertutupnya aib diri, tentu orang lain pun akan secara jelas menemukan aib kita.

Sebahagian dari kita, ada yang boleh menahan diri untuk tidak "menyelak kain" atau membicarakan aib orang lain, tapi ada juga sebahagian dari kita yang sulit menahan diri untuk tidak menggambarkan keburukan seseorang kepada orang lain. Bagi sebahagian orang, hal ini terasa sulit, kerana lidah kerap kali jadi nakal. Selalu saja terjentik untuk menyampaikan isu-isu baru yang menarik. Walau sebenarnya dia mengetahui, bahawa sesuatu yang menarik buat orang lain kadang buruk buat bahan yang dibicarakan. Di situlah ujian seorang mukmin untuk mampu memilih dan menilai, mana yang perlu dikhabarkan dan mana yang tidak. Perhatikan sabda Rasulullah SAW sebagai berikut, "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mendengar berita rahsia orang lain." (Al-Bukhari).

Sebaiknya, sebelum kita memberi reaksi terhadap aib orang lain, lihatlah dengan jujur seperti apa diri kita lebih baik atau lebih buruk? Apabila ternyata kita lebih baik, maka bersyukurlah, namun jika ternyata kita lebih buruk, maka segera bertaubatlah. Inilah yang dimaksud dengan, "bahawa seorang mukmin, adalah cermin bagi mukmin lainnya. Dan bila kita menemukan bahawa diri kita masih lebih baik dari saudara semukmin kita, jangan menjadikan kita sombong dan jangan menyebarkan aib orang lain."

Seorang mukmin dengan mukmin lainnya adalah bersaudara. Perhatikan firman Alllah SWT berikut ini,

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (QS. Al Hujuraat 49 : 10)

Ketahuilah, orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari, ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli, iaitu, tidak boleh memegang rahsia, lemah kesetiakawanannya, penggosip, penyebar berita bohong (kerana belum tentu yang diceritakannya benar). Ketahuilah, semakin banyak aib yang ia bicarakan dan disebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar.

Lihatlah pula firman Allah SWT berikut ini,

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat … (QS. An-Nur 24 : 19).

Dan perhatikan juga firman-Nya dalam ayat yang lain,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ
إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (QS. Al Hujurat 49 :12).

Perhatikan hadith berikut ini: "Barangsiapa yang membela kehormatan saudaranya sesama muslim, maka Allah SWT akan membelanya dari neraka kelak di hari Kiamat." (HR. Tirmidzi 1932, Ahmad 6/450)

Perhatikan juga sabda Rasulullah s.a.w. berikut ini: "Tahukah kalian apa itu ghibah? Jawab para sahabat : Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Maka kata Nabi s.a.w.: Engkau membicarakan saudaramu tentang apa yang tidak disukainya. Kata para sahabat: Bagaimana jika pada diri saudara kami itu benar ada hal yang dibicarakan itu? Jawab Nabi s.a.w.: Jika apa yang kamu bicarakan benar-benar ada padanya maka kamu telah mengghibah-nya, dan jika apa yang kamu bicarakan tidak ada padanya maka kamu telah membuat kedustaan atasnya." (HR Muslim/2589, Abu Daud 4874, Tirmidzi 1935)

Jadi bila masih ada dari kita yang kadang masih suka membicarakan dan atau mengungkapkan aib orang lain (sekalipun aib itu benar) maka sedarlah segera, kerana ghibah merupakan dosa besar yang hanya akan diampuni, setelah orang yang kita ghibah memaafkan kita. Dan biasanya, kebanyakan dari kita, sangat malu untuk meminta maaf dan mengakui kesalahan kita, pada orang yang telah kita bicarakan aibnya.

Manusia yang paling baik untuk dirinya sendiri adalah yang paling bisa mengendalikan lidahnya