06 November 2011

Terus berkorban, tegakkan keadilan Islam

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 5 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh umat Islam di negara ini meneruskan pengorbanan demi menegakkan keadilan Islam.

Beliau melalui perutusan hari raya Aidil Adha yang dihantar kepada Harakahdaily berkata, di zaman ini sudah jadi terbalik apabila pemimpin umat Islam mengorbankan agama untuk kepentingan diri dan duniawi.

"Maka menjadi tanggungjawab kepada kita untuk meneruskan pengorbanan dizaman ini, bagi memastikan tertegakkan keadilan Islam yang akan memayungi kesejahteraan hidup manusia pelbagai bangsa dan agama.

"Malanglah dizaman ini, ramai manusia mengorbankan agama untuk kepentingan diri dan duniawi sehingga membiarkan dunia terus rosak dengan jenayah, ekonomi, politik dan sosial yang pincang akibat mengenepikan syariat Allah," katanya.

Aidil Adha ujarnya mengingatkan kita umat Islam tentang pengorbanan nabi-nabi terdahulu menegakkan agama Allah sehingga sanggup meninggalkan segala kemewahan dan keselesaan dunia.

Nabi Ibrahim ujarnya berkorban dengan meninggalkan anak dan isterinya di kawasan yang kering. Begitu juga dengan Nabi Musa yang meninggalkan istana Firaun yang mewah dan juga junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan tanah air tercinta untuk menegakkan syariat Allah," katanya.

Sementara itu, mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam di Malaysia ini.

"InsyaAllah dengan kesedaran yang sama-sama kita bina sempena hari raya ini, akan membuahkan hasil yang baik kepada diri, masyarakat dan negara ini ke arah melahirkan negara yang sejahtera dan adil untuk semua dengan cara mematuhi perintah Allah dalam semua perkara.

"Selamat hari raya, maaf zahir dan batin daripada kami Parti Islam Se-Malaysia PAS," ujarnya yang juga ahli parlimen Marang.

Harakahdaily/-

SAMM dakwa PM bubar Parlimen bulan ini

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sebuah NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen pada bulan ini (November 2011), bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Kebangsaan SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, berdasarkan maklumat terkini yang diterima oleh pihaknya, pembubaran Parlimen dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri sekitar 11 November ini.

Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya di luar jangkaan orang ramai, tetapi maklumat terkini mengenai perkembangan itu diperolehi oleh pihaknya daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai.

Katanya, pembubaran Parlimen dalam masa terdekat pasti akan menambahkan lagi kepincangan proses pilihanraya di tanah air kerana ia diadakan ketika tuntutan rakyat bagi proses pilihanraya yang bersih dan adil belum dilaksanakan oleh kerajaan.

"Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan, maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan oleh Kerajaan BN.

"Sekiranya ini tetap dilakukan, maka tidak dapat dielakkan persepsi pilihanraya kali ini hanyalah proses 'palsu' bagi menghalalkan regim Umno BN terus berkuasa," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, SAMM bersama dengan teman-teman organisasi massa lain yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihanraya dilakukan.

Katanya, proses penambahbaikan yang dituntut itu juga seharusnya satu proses 'reformasi' serius yang memberi jawapan kepada kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata.

Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Bard menambah, yakinlah, rakyat sudah mula hilang kesabaran kerana negara sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang.

"Jika pilihanraya umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan pilihanraya yang menyakinkan, kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar," tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat akan turun bukan sahaja untuk melakukan protes, tetapi benar-benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihanraya yang bersih dan adil.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan," ujarnya.

Di serata dunia kebelakangan ini, katanya, pelbagai pihak dapat melihat kebangkitan kuasa rakyat menundukkan pemerintahan diktator di beberapa buah negara.

Menurutnya, di Malaysia pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat telah memilih jalan raya untuk mendesak penambahbaikan proses pilihanraya negara yang terbukti dicemari pelbagai kecacatan yang sering dinafikan pihak pemerintah.

"Kepincangan proses pilihanraya telah diakui oleh Datuk Seri Najib dengan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Proses Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen)," katanya.

Bercanggah dengan pengakuan betapa perlunya proses penambahbaikan proses pilihanraya, tegasnya, kenyataan umum terus dikeluarkan oleh pimpinan BN dan Perdana Menteri sendiri yang mencadangkan bahawa PRU Ke-13 diadakan tidak lama lagi dan tidak perlu menunggu proses reformasi proses pilihanraya selesai.

"Malah lebih menggusarkan dan lebih bercanggah dengan jaminan untuk menambahbaik proses pilihanraya, timbul pula pelbagai perkembangan negatif seperti pemberian taraf warganegara kepada rakyat asing secara 'istimewa' untuk tujuan mengundi (khususnya bagi pihak BN)" ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), Haris Ibrahim; Pengerusi League Unemployed Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS Jenapala.

Harakahdaily/-

Berkorban untuk tegak Islam

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
Datuk Harun Taib

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha 1432H, saya mewakili Dewan Ulamak PAS mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada seluruh umat Islam khususnya para penyokong dan pendukung PAS sejak dahulu hingga sekarang. Tidak lupa juga ucapan tahniah saya kepada para tetamu Allah di bumi Makkah yang menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. untuk melakukan ibadat haji.

Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Arahan yang mungkin dianggap tidak logik untuk dilaksanakan agar baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail dilakukan dengan penuh pasrah dan ketaatan. Walaupun Nabi Ismail adalah anak tunggal yang sangat dikasihi melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar, baginda mendahulukan Allah lebih daripada segala-galanya.

Tambahan lagi, persediaan Nabi Ismail untuk disembelih atas arahan Allah SWT untuk dilaksanakan oleh ayahnya terhadapnya. Begitu juga, persediaan Siti Hajar untuk tinggal di lembah Mekkah bersama anaknya Ismail di Mekkah yang tidak ada penduduk dan makanan. Ini juga adalah kerana mengikut perintah Allah SWT.

Sebagai hamba Allah, arahan dan ketetapan yang diberikan hendaklah dipikul dengan sebaik-baiknya. Tidak ada pilihan bagi hambanya yang mengaku beriman untuk mengingkari segala perintah yang ditetapkan khususnya yang terdapat dalam Al-Quran dan apa yang disampaikan oleh utusanNya Nabi Muhammad s.a.w.

Seorang muslim tidak boleh untuk memilih melaksanakan sebahagian daripada perintah dan meninggalkan sebahagian yang lain. Perintah untuk melaksanakan hukuman hudud sebagai contoh seharusnya ditaati sebagaimana perintah ibadat haji ke atas umat Islam. Perintah untuk melaksanakan hukuman qisas seharusnya dipikul sebagaimana perintah melakukan ibadat puasa ke atas orang yang beriman.

Walaupun hukuman ini pada pandangan sesetengah orang dilihat terlalu keras dan tidak sesuai dilaksanakan di zaman moden ini, sebagai seorang muslim yang mengambil pengajaran di sebalik peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim tidak akan meninggalkan arahan tersebut dengan sewenang-wenangnya. Usaha harus dilakukan untuk mencari jalan ke arah perlaksanaannya dan bukan alasan yang diberikan untuk mengelak daripadanya.

Pengorbanan Nabi Ibrahim ini juga seharusnya diambil iktibar oleh para pejuang Islam khususnya pendukung PAS. Harta, keluarga, masa dan kehidupan ini adalah pinjaman daripada Allah yang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menegakkan agamaNya. Pengorbanan sangat dituntut sebagai bukti perhambaan kita kepada Allah. Pengorbanan bagaikan bahan api untuk menggerakkan kenderaan jamaah ini. Tanpanya, kenderaan ini hanya akan menjadi hiasan dan disimpan di dalam garaj.

Buat akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam dan selamat menunaikan ibadat haji kepada seluruh tetamu Allah di bumi Makkah. Moga Ibadat kalian diterima dan mendapat haji yang mabrur.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Idham Lim : Tingkatkan semangat pengorbanan yang ikhlas.



10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PADANG SERAI, 6 Nov.:-Umat Islam diseru untuk meningkatkan semangat pengorbanan untuk menegakkan kebenaran Islam dalam kehidupan diri, masyarakat dan bernegara dengan ikhlas tanpa tujuan sementara seperti mengharapkan sokongan selepas kuasa tergugat apa lagi secara bermusim. Demikianlah antara isi Khutbah Aidil Adha yang disampaikan oleh ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim di Masjid An Najah padanga serai pagi ini.

Khutbah Hari Raya itu disampaikan kepada sekitar 1000 orang jemaah di mesjid yang terletak di Parlimen Padang Serai dalam keadaan cuaca mendung namun sejak awal lagi para jemaah menuhi ruangan masjid tersebut.

Drs. Khalil yang ditemui selepas itu menjelaskan inilah kali pertama beliau menyampaikan khutbah di luar DUN Titi Serong sejak beliau menjadi ADUN sejak tahun 2008.

Pada kesempatan kehadiran beliau di Mesjid tersebut, 2 orang kakitangan NGO Idham Care turut serta untuk melakukan jualan wakaf Lot Tanah dan Bangunan Kompleks Pendidikan Darul Anwar.

Drs. Khalil Idham Lim yang juga merupakan Pengerusi Idham Care menekankan juga dalam khutbahnya betapa ibu bapa perlulah berkorban untuk mendidik anak-anak mereka supaya mengerjakan solat 5 waktu termasuk bertindak mendidik dengan merotan mereka.

3 juta umat Islam berwukuf di Arafah

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


Sebahagian umat Islam mengambil kesempatan berdoa di Jabal Rahmah, sebelum berwukuf di padang Arafah, semalam. - AGENSI

MEKAH 5 Nov. - Suasana hening di bumi Arafah di sini langsung tidak mencerminkan perhimpunan kira-kira tiga juta umat Islam dari seluruh dunia untuk berwukuf, yang menjadi salah satu rukun dalam ibadat haji, tengah hari ini.

Seramai 28,000 jemaah haji dari Malaysia adalah antara kira-kira tiga juta umat Islam di sini yang sedang menunaikan ibadah itu, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Difahamkan Perdana Menteri dan isteri kini berwukuf di khemah protokol diraja di tengah Arafah, berdekatan dengan Masjid Namirah.

Dalam panas terik di sini, masing-masing menadah tangan memohon keampunan kepada Ilahi, dengan penuh khusyuk, selepas mendengar khutbah yang menjadi salah satu pengisian wukuf.

"Perhimpunan umat Islam di bumi Arafah ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai menyahut seruan daripada Yang Maha Esa untuk mengukuhkan persaudaraan sesama Islam yang besar ertinya," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semasa menyampaikan khutbah Arafah di Maktab 100 di sini.

Beliau berkata, wukuf sebenarnya merujuk kepada penyerahan sepenuhnya kepada ketentuan Allah oleh hamba-hambanya dari seluruh negara.

Menurutnya, jemaah yang datang dari seluruh pelosok dunia meninggalkan segala harta benda, sanak saudara urusan dunia dan segalanya beribu-ribu batu di belakang, semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.

Selesai khutbah, rata-rata jemaah kemudiannya menyendiri dalam usaha menginsafi diri, dalam tempoh yang tinggal tidak seberapa lagi di bumi Arafah ini, kerana selepas Maghrib, jemaah haji akan berlepas meninggalkan Arafah untuk mengerjakan rukun haji berikutnya.

Difahamkan Perdana Menteri akan kembali ke kota Mekah lewat petang ini untuk mengerjakan tawaf dan saei haji, sebelum melontar di Jamrat. - BERNAMA

Perbaharui tekad dan harapan agar menjadi insan yang lebih berguna kepada agama Allah


10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -Bersyukurlah kepada Allah yang anugerahkan Hari Raya kerana atas nama bangsa tiada Hari Raya yang semulia Hari Raya yang disyariatkan Allah SWT. Kalaupun ada, ianya sekadar keseronokan sementara yang tidak sampai natijahnya sampai ke akhirat.

Tambahan lagi orang Melayu mana ada Hari Raya melainkan Hari Raya Islam yang disambut dek kerana Allah berikan Hidayah kepada nenek moyang orang Melayu. Kerana itu tidak ada Hari Raya Melayu melainkan pada Hari Raya Islam,oleh itu pada kesempatan ini saya ucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri kepada seluruh Umat Islam di mana saja berada.

Marilah kita rayakan hari ini sebagai hari untuk kita memperbaharui tekad dan harapan agar menjadi insan yang lebih berguna kepada agama Allah dengan meningkatkan semangat pengorbanan dalam usaha kita menegakkan kalimat Allah di bumi tercinta ini.

Kerana itu berusahalah dengan sepenuh tenaga untuk berkorban di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga bagi melawan musuh-musuh Allah yang bertebaran di muka bumi ini.

Idham Lim
Parit Buntar/ 10 Zulhijjah 1432H.


150 maut serangan kejam di Nigeria

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

DAMATURU (Nigeria): Sekurang-kurangnya 150 terkorban dalam serangan kejam senjata api dan bom di utara Nigeria hari ini dengan kumpulan radikal Islam, Boko Haram dilaporkan bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan mengutuk serangan itu dengan pegawai kerajaan mengesahkan sekurang-kurangnya lima letupan bom berani mati berlaku.

"Agensi keselamatan diarahkan untuk menangkap pelaku serangan kejam itu," menurut kenyataan daripada jurucakap, Ruben Abati.

Pegawai penyelamat berkata, sehingga kini rumah mayat sudah menampung sehingga 150 mayat.

"Saya terbabit dalam pemindahan mereka yang terbunuh ke rumah mayat. Secara peribadi, saya mengira 150 jasad di situ," kata pegawai hospital itu. - AFP