19 Ogos 2021

PN sokong Ismail Sabri calon PM – Muhyiddin

 

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata sokongan PN kepada Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Ismali Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah bersyarat dan selaras dengan prinsip PN mempertahankan kerajaan berintegriti.

Ujar Muhyiddin, sekiranya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, beliau perlu memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik adalah bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah, berintegriti dan beramanah.

Beliau berkata, ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN terdiri daripada 31 ahli parlimen (Bersatu), 18 (PAS), 1 (STAR) dan 4 (Bebas) menyerahkan akuan bersumpah ke Istana Negara pada Rabu bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.

“Saya juga berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan kepada mandat rakyat.

“Keputusan ini juga bermakna Perikatan Nasional mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa,” ujar Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

Tiada ulasan: