19 Ogos 2021

"Kami menghadap seorang demi seorang, sahkan calon PM yang disokong"

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen memaklumkan mereka diberi masa kira-kira seminit untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif, berkata dalam sesi itu mereka diminta memaklumkan calon Perdana Menteri baharu yang diberi sokongan bagi mengesahkan surat perakuan yang dihantar semalam.

"Ambil masa kira-kira seminit sahaja. Kami diminta memperkenalkan diri, mewakili Parlimen mana dan siapa calon sokongan.

"Sesi dijalankan secara seorang demi seorang bersama Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada BH.

Salim juga mengesahkan pada sesi itu, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Sultan Perak tidak bersama.

Hari ini, seramai 114 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), GPS, PAS dan Bebas dijadualkan menghadap Seri Paduka secara berperingkat.

Sementara itu, seorang Ahli Parlimen dari Sarawak yang enggan nama didedahkan turut mengesahkan sesi itu berlangsung kira-kira satu minit sahaja secara bergilir-gilir.

Katanya, Ahli Parlimen juga diminta membuat perakuan calon Perdana Menteri yang disokong mereka.

Kumpulan pertama Ahli Parlimen daripada UMNO menaiki sebuah bas persiaran menuju ke Istana Negara, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Kumpulan pertama Ahli Parlimen daripada UMNO menaiki sebuah bas persiaran menuju ke Istana Negara, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib bersama beberapa Ahli Parlimen dari UMNO menaiki menaiki bas khas dari ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn untuk ke Istana Negara. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Tiada ulasan: