14 Januari 2014

‘Sultan Melaka’ ditahan polis

12 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

MELAKA: Polis hari ini menahan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka' bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaan telah mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata Raja Noor Jan Shah ditahan pada 10.50 pagi ini ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar di sini dipercayai bagi menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali "Kesultanan Melayu Melaka".

"Penahanan dibuat berdasarkan laporan polis dibuat ramai penduduk, tak kurang 10 laporan dibuat antaranya oleh pertubuhan dan NGO (badan bukan kerajaan)yang menyatakan keresahan mereka setelah melihat majlis penganugerahan berkenaan serta jemputan dan pelawaan menghadiri majlis itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Timbalan Menteri kena tumbuk

12 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan membuat laporan polis selepas mendakwa beliau ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor itu di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, kelmarin.         
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata Kamalanathan membuat laporan itu di Balai Polis Bukit Beruntung selepas mengalami kecederaan di bahagian leher dalam kejadian pukul 2.30 petang itu.        
"Selepas menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Kubu Baharu, Kamalanathan seterusnya telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk rakaman percakapan," kata Mohd Shukri semalam.

Mangsa banjir Pasir Mas meningkat

12 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KOTA BAHARU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di jajahan Pasir Mas meningkat pagi ini kepada 2,593 orang berbanding 1,684 malam tadi.
Menurut portal e-Banjir, mangsa banjir daripada 1,065 keluarga itu ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara di sekitar Rantau Panjang.         
Setakat 8 pagi ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 10.17 meter berbanding 10.31 meter malam tadi, namun masih di atas paras bahaya 9 meter.    

Amalkan sifat agung Rasulullah s.a.w.

12 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

FIRMAN Allah SWT (Surah Al-Ahzab ayat 21) yang bermaksud “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita bersama-sama ingat-mengingati bahawa bulan Rabiul Awwal ini adalah bulan bagi seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh keinsafan akan sejarah kelahiran dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dihayati. Ia juga bertujuan untuk sama-sama kita mengagungkan Nabi Muhammad s.a.w.  sebagai pemimpin agung kita, pembawa rahmat dan suri teladan untuk sekalian umat di dunia ini.