8 Syawal 1433H. [MOD] -
Pepatah Inggeris menyebut, revenge is a dish best served cold. Maksudnya dendam ialah hidangan yang terbaik jika dihidangkan dalam keadaan sejuk.
Khabarnya disebut oleh Shakespeare, ia bermaksud seseorang yang ingin membalas dendam perlu melakukannya dalam keadaan dirinya tidak dikuasai emosi.
Pembalasan dendam boleh dirancang dengan teliti dan penuh strategi. Dalam keadaan tiada siapa yang menduga di sebalik senyuman manis yang diukir secara bermuka-muka, pembalasan dendam akan disempurnakan. Di waktu itu, ia lebih sempurna berbanding jika dendam dilepaskan ketika dikuasai emosi.
Di dunia ini, ramai yang mengambil pendekatan begini. Sekalipun sewajarnya dengan usia yang begitu lama berada bersama-sama, pahit manis dijunjung bersama, tetapi rupa-rupanya dalam berkawan, tangan masih menggenggam keris. Leka sedikit mata memerhati, hujung belikat menjadi mangsa.
Orang begini biasanya manis senyumannya lebih daripada orang lain, bahkan jika bersalam hampir tunduk mencium lutut.
Bukan tujuan saya untuk menujukan kepada sesiapa, ia hanya lumrah di dalam alam ini tanpa mengira masa dan tempat.
Saya datangkan pepatah ini hanya sebagai perbandingan. Saya teringat tentangnya apabila membaca laporan Harakahdaily pada 26 Ogos 2012 di bawah tajuk Khutbah Raya: Pihak mana sebenarnya berpolitik.
Rupa-rupanya masalah di MAIK yang berlaruran sejak dahulu masih belum selesai sekalipun sudah bertukar teraju jawatan Yang Dipertua kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.
Permainan ini tetap berterusan yang saya yakin tanpa pengetahuan pihak Yang Teramat Mulia sendiri. Bacalah laporan tersebut, ia dengan jelas menggambarkan kekecewaan anak muda Kelantan terhadap isu manipulasi teks khutbah yang sedang berlaku sekarang.
Petikan-petikan seperti "Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan" jelas sekali 'atas darat' ditujukan kepada himpunan BERSIH yang diwar-warkan sebagai pencetus kepada huru hara.
Begitu juga dengan petikan seperti, "Kenapa kita perlu dan bersungguh-sungguh untuk terus menerus membelah bangsa Melayu, umat Islam kepada belahan-belahan, kepada kabilah-kabilah yang boleh melemah dan merosakkan umat Islam, pada hal bangsa Melayu pada keseluruhannya adalah bangsa yang mempunyai potensi untuk membangunkan Islam, untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.."
Dari sudut maksudnya tidaklah salah tetapi dalam suasana politik hari ini yang semua pihak pandai membaca akhbar dan menonton televisyen, masyarakat tahu di atas kepala siapa batu ini mahu dilemparkan.
Saya kira, sewajarnya zaman berlindung di dalam pagar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk kepentingan politik telah berlalu. Paling tidak, tunjukkan budaya profesional dalam mengarang teks khutbah. Dalam hal solat di jalanan, perlu diingatkan bahawa sunnah Rasulullah SAW di dalam mengerjakan solat hari raya ialah di padang dan di tempat yang terbuka, bukannya di masjid.
Benar, ia bukanlah hal utama untuk dibincangkan di sini, tetapi merendah-rendahkan solat di jalanan di dalam khutbah Idulfitri menampakkan bahawa panel khutbah agar kurang sensitif bila berbicara tentang ibadat yang ada tatacaranya di dalam sunnah Rasulullah SAW!
Hakikatnya, ada pihak yang memainkan peranan mengarang teks khutbah sedemikian rupa untuk dibaca oleh para imam. Jika imam mengubahnya, tindakan bakal dikenakan. Ia lebih jelas lagi di dalam teks khutbah khas sempena hari kemerdekaan 31 Ogos ini yang telah diedarkan kepada para imam. Bacalah petikannya :
"Di kalangan orang-orang Melayu sering menyebut madah kata daripada Hang Tuah, bahawa tidak Melayu akan hilang di dunia, namun tidak ada jamiman sesuatu bangsa dapat mempertahankan dan mengekalkan kuasa dan kedudukannya apa lagi kalau bangsa Melayu sendiri pun sudah benci mendengar perkataan Melayu, sudah tidak bangga lagi jadi Melayu. Bukankah sudah banyak umat, bangsa yang terusir dari tanah air sendiri malah bukan sedikit yang telah hilang ditelan zaman?"
Orang yang celik politik tahu untuk siapa ayat-ayat di atas ditujukan. Pemimpin mana yang pernah didakwa tidak bangga menjadi Melayu kalau tidak YAB Tuan Guru Menteri Besar sendiri? Inilah yang telah dimanipulasi laporannya oleh Utusan Malaysia pada 19 September 2010 di bawah tajuk Nik Aziz tak bangga jadi bangsa Melayu?
Sedangkan hakikatnya kenyataan Tuan Guru ialah "saya tidak bangga menjadi Melayu tetapi saya bangga menjadi Islam..". Sama sekali Tuan Guru tidak anti Melayu, tetapi kenyataan tersebut hanyalah bertujuan meletakkan nilai agama melebihi nilai bangsa. Ia sama seperti seorang ayah berkata kepada anaknya, "Ayah tidak bangga kamu belajar tinggi-tinggi, tetapi bangga jika kamu berakhlak mulia.."
Sindiran sebegini sangat jelas mesejnya di dalam teks khutbah yang akan dibaca 31 Ogos ini. Saya hanya menukilkan satu ayat sahaja dari teks khutbah yang kita sendiri akan dengar kandungannya pada hari kemerdekaan ini nanti.
Yang jelas, ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh teks ini. Bukanlah telinga saya alergic dengan perkataan Melayu bahkan saya dilahirkan sebagai seorang Melayu. Namun, mengulangi berkali-kali nama Doktor Burhanuddin Helmi yang diperkenalkan sebagai TOKOH KEBANGSAAN MELAYU bersama-sama petikan di atas tidak syak lagi ada agenda yang tersendiri.
Saya hanya menukilkan contoh sahaja. Permainan politik di dalam teks khutbah yang diwajibkan ini hakikatnya bukan rahsia lagi. Dikhabarkan pemainnya hanya beberapa orang sahaja, tetapi masih tidak malu-malu bersembunyi sambil melontarkan batu. Saya kira masa sudah tiba untuk melakukan usaha pembersihan. Tunjukkan sahaja pintu keluar.
HARAKAHDAILY/