25 Februari 2013

Peluk cucu elak ditimpa pokok

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

SERIAN – Demi cucu kesayangan, seorang nenek sanggup meredah air lalu memeluk dua cucunya daripada ditimpa pokok Akasia yang tiba-tiba tumbang menghala ke kawasan air terjun di Taman Rekreasi Ranchan di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, warga emas itu, Suhartilah M. Saleh, 71, retak tulang betis kiri serta luka di kepala manakala seorang cucunya, Jasmine Nurul Ain Tavip Widodo, 12, cedera di kepala dihempap dahan pokok yang sebesar satu pemeluk lelaki dewasa.

Anak Suhartilah, Winda Hernita Sulaiman, 40, yang berada di gigi air cedera di tangan kanan terkena dahan pokok. Seorang lagi cucu Suhartilah, Resty Audina Suriyanto, 9, menantunya, Suriyanto Muchsen, 47, dan empat lagi ahli keluarganya yang lain tidak cedera.

Sembilan ahli sekeluarga itu yang berasal dari Pontianak, Indonesia yang terletak 290 kilometer dari sini singgah di air terjun itu untuk bermain air selepas empat hari melancong di sini.

Suhartilah berkata, mereka singgah di air terjun itu pada pukul 11 pagi untuk mandi sebelum bercadang meneruskan perjalanan pulang ke Pontianak.

Semasa kejadian, kata wanita itu, dua orang cucu dan menantunya mandi di air terjun itu manakala dia serta dua anak perempuannya hanya bermain di gigi air. Tiga lagi ahli keluarga Suhartilah berada di sekitar air terjun itu.

“Ketika leka bermain air saya terdengar bunyi seperti guruh dan angin kuat menghala ke arah kami sebelum saya nampak ada sebatang pokok sedang tumbang ke arah dua orang cucu saya.

“Saya terus meredah air menarik dua cucu saya ke tebing kolam lalu memeluk mereka,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Serian di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya, berikutan pokok itu yang rendang mereka empat sekeluarga cedera di beberapa bahagian badan terkena dahan-dahan pokok setinggi kira-kira 20 meter.

Taman Rekreasi Ranchan yang terletak enam kilometer dari bandar ini menjadi tumpuan bukan sahaja orang ramai sekitar Serian malah pelancong asing untuk beriadah.

sinar/-

Enam ditahan minum minuman keras

Enam ditahan minum minuman keras14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Salah seorang pegawai melakukan pemeriksaan tahap alkohol.
 
KLUANG - Enam individu ditahan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Johor daerah Kluang kerana kesalahan minum minuman keras di sebuah pusat karaoke di sini, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kluang, Anuar Kosnin berkata, seramai 25 anggota terlibat dalam  operasi tersebut.

Menurutnya, pihaknya menahan empat lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 19 hingga 25 tahun selepas ujian pernafasan dilakukan, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau enam bulan penjara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam operasi sama, turut ditahan lima lelaki berumur lingkungan 19 hingga 25 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun yang duduk bergelap di sebuah bilik pusat karaoke tersebut.

Anuar berkata, situasi mereka boleh mengundang pelbagai spekulasi kerana duduk sebilik tanpa menghidupkan lampu.

“Mereka bebas daripada minuman keras, namun, akan disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berada dalam bilik gelap bersama bukan muhrim,” katanya.

sinar/-

Banduan mogok lapar Palestin meninggal

Palestin meninggal14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Jaradat diberi bantuan kecemasan di Penjara Meggido, Tel Aviv.
TEL AVIV - Seorang banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar meninggal dunia dalam penjara Israel semalam.

Presiden Kelab Banduan Palestin, Qaraqaa berkata, mangsa Arafat Jaradat, 30, dari Tebing Barat yakin dibunuh ketika dalam siasatan.

“Kami menuntut penubuhan suruhanjaya siasatan antarabangsa menyiasat punca kematian beliau,” katanya.

Menurutnya, ketika di penjara mangsa mengalami cedera teruk dan keadaannya sagat parah.

Jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman pula mendakwa, mangsa meninggal secara tiba-tiba di penjara Meggido di utara Israel.

“Ia mungkin disebabkan serangan jantung. Saya tidak mempunyai butiran lanjut tentang kematian beliau, “ katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad meminta penjara Israel mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu.

“Selepas mendapat laporan penuh saya akan mendedahkan segera punca kematiannya,” katanya.

Jaradat dipenjarakan selepas didapati bersalah membaling batu ke arah askar Israel pada November tahun lalu. - AFP

Nenek ditampar sebelum disamun

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

PARIT BUNTAR - Seorang penyamun yang menceroboh masuk rumah seorang warga emas yang hidup sebatang kara di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah dekat sini semalam menghulurkan wang tunai RM20 dan memohon dihalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, warga emas yang mahu dikenali sebagai Mek Ya, 75, kerugian RM3,000 apabila wang tunai dan rantai leher miliknya dilarikan seorang penjenayah yang masuk ke rumahnya.

Menceritakan kejadian tersebut, Mek Ya berkata, dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu bangun daripada tidur untuk mengambil wuduk di bilik air, tiba-tiba terasa bahunya ditepuk dari belakang.
"Sebaik menoleh ke belakang, muka saya ditampar berkali-kali manakala leher diacu parang. Selepas itu saya nampak seorang lelaki tanpa menutup muka mengugut untuk mencederakan saya jika saya menjerit," ceritanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut warga emas itu lagi, dia kemudian dibawa ke ruang tamu rumah dan diminta duduk diam manakala penjenayah itu pula menggeledah rumahnya.

Mek Ya memberitahu, kira-kira setengah jam selepas menggeledah, suspek menjumpai wang tunai berjumlah RM2,000 yang disimpan di bawah tilam di bilik tidurnya. 

Wang tersebut merupakan wang simpanannya yang menyara hidup dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mek Ya tiada zuriat dan hidup di rumah yang dibina di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). 

"Penjenayah itu kemudian merentap kasar rantai leher bernilai RM1,000 yang saya pakai.
"Sebelum penjenayah itu meninggalkan saya, saya merayu agar dipulangkan wang dan rantai leher saya kerana itu saja harta yang saya ada," katanya.

Dia memberitahu, penjenayah itu yang dipercayai warga tempatan mungkin tersentuh dengan rayuannya lalu memulangkan wang tunai RM20 sebelum meminta dia menghalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.

Mek Ya pasrah dengan ujian Allah tersebut bagaimanapun dia tidak akan memaafkan perbuatan penjenayah terbabit.

Warga emas itu memberitahu, dia percaya penyamun tersebut menceroboh rumahnya melalui tingkap bilik air berdasarkan dua rangka besi cermin tingkap yang patah.

Difahamkan, penjenayah yang menceroboh masuk rumah Mek Ya turut masuk ke sebuah rumah lain di kampung sama sebelum itu menyebabkan pemilik rumah terbabit hilang sebuah basikal, telefon bimbit dan wang tunai RM40.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kes tersebut.


Lagi amah Indonesia direman dera budak

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang lagi amah warga Indonesia ditangkap polis kerana disyaki mendera anak majikannya yang berusia satu tahun tiga bulan dengan mencubit dan meliukkan tubuh budak itu ke belakang sebanyak dua kali di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini, malam kelmarin.

Perkara itu terbongkar akibat tindakan ibu bapa kanak-kanak perempuan itu yang meletakkan kamera video digital tersembunyi di bilik amah berusia 41 tahun itu setelah mengesyaki sesuatu berlaku pada anaknya yang sering dilihat lebam-lebam di badan sejak lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, wanita terbabit yang mula diambil bekerja melalui ejen yang sah sejak 2009 dan kontraknya disambung memandangkan sikapnya yang rajin melakukan kerja-kerja rumah.

“Majikannya hanya menyedari anaknya itu didera oleh pembantu rumah berkenaan selepas melihat kesan-kesan lebam pada badan anaknya, lalu bertanyakan hal itu kepada wanita terbabit, namun dia memberi alasan kanak-kanak itu terkena bucu meja ketika bermain.

“Curiga dengan pengakuan wanita itu, majikannya memasang kamera video digital yang diletakkan dalam bilik amah terbabit selepas melihat aksi rakaman bayi yang berusia empat bulan di Kuantan didera amah yang turut dipaparkan dalam televisyen,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Azham berkata, tindakan pasangan suami isteri berusia 29 dan 26 tahun itu, berjaya merakam aksi wanita terbabit yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan yang turut ditinggalkan bersama abangnya yang berusia dua tahun setengah apabila majikan terbabit keluar rumah kira-kira pukul 9.15 malam kelmarin untuk ke klinik berdekatan.

“Selepas pulang dari klinik kira-kira pukul 10.30 malam, pasangan itu masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan kedua-dua anak mereka dan pada masa yang sama mengambil kamera video yang disorokkan dalam bilik amah terbabit.

“Pasangan terbabit terkejut melihat rakaman itu dengan aksi wanita terbabit yang meliukkan badan kanak-kanak itu ke belakang sebanyak dua kali.

“Dia kemudian meletakkan kanak-kanak itu dengan kasar ke atas kereta mainan. Disebabkan budak itu tidak berhenti merengek, dia pun meletakkannya ke atas tilam dengan kasar dan mencubit di bahagian paha.
“Abang kanak-kanak itu tidak diapa-apakan,” katanya.

Azham berkata, pasangan berkenaan membuat laporan di balai polis berhubung kejadian itu pada pukul 12.30 tengah malam dan 15 minit kemudian amah tersebut ditangkap polis.

“Amah tersebut ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) dan disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

sinar/-

Pakatan laksana daftar automatik, hapus PTPTN & pendidikan percuma

PR14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



SHAH ALAM 25 FEB: Pendaftaran automatik anak muda berusia 18 tahun sebagai pengundi, antara enam tawaran Manifesto Pakatan Rakyat kepada anak muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“Mereka tak boleh dikecualikan dari suara politik. Cukuplah era ‘listen, listen, listen’. Sekarang era kerajaan untuk mendengar,” kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat konsisten dengan dasar pendidikan percuma yang berkualiti dan penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

“Pilihan raya kampus mesti diurus oleh pelajar. IPT (Institut Pengajian Tinggi) sepatutnya memupuk budaya belia dan warganegara yang bebas dan mansuhkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

“Malaysia jangan membazir melalui rasuah kepada kroni dan (dana) dilabur kepada pendidikan,” tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Nurul Izzah berkata, isu pengangguran, guna tenaga dan pengurusan hutang golongan muda akan diatasi melalui dasar dan peluang kerjaya yang lebih tersusun.

“Kini, kadar pengangguran belia 60 peratus, 6.6 kali lebih tinggi dari orang dewasa. Ini kerana dasar yang tak dikendali dengan baik oleh ‘orang dewasa’ Umno BN.

“Statistik menunjukkan sehingga Mei 2012, 76,200 graduan masih menggangur. Pakatan komited mencari penyelesaian kepada golongan berumur 34 ke bawah yang 47 peratus berhutang,” katanya merujuk data Jabatan Insolvensi.

Dalam pada itu, satu skim perintis rakyat melalui pembinaan 25 Sekolah Vokasional dan lima universiti teknikal akan ditubuhkan untuk mewujudkan anak muda berkemahiran memberi peluang kerjaya dalam sektor teknikal.

Manakala satu Majlis Penasihat Belia yang dipilih oleh anak muda di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan turut akan ditubuhkan, kata Nurul Izzah.

 Portal Keadilandaily


Mahasiswa Tidak Takut Ancaman, Walau Pun Diugut Oleh 'Samseng Umno'

 14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Kuala Nerus - 300 mahasiswa yang berkumpul di hadapan Ri-Yaz Heritage Resort di Pulau Duyong dekat sini dukacita kerana tidak dapat bertemu dan menyampaikan memorandum berhubung dengan 'runtuh dan kemiskinan' kepada Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said dan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak.

Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis) zon Timur yang mula berkumpul pada jam 4.20 petang bersurai dengan aman sekitar jam 5.30 petang, setelah kenderaan yang dinaiki Najib, berlalu dengan laju melintas himpunan mereka, tanpa menghiraukan kelompok tersebut.

Menurut Presiden Gamis Pusat Muhammad Azan Safar, mahasiswa akan terus berhimpun dan bersuara serta tidak takut kepada mana-mana ancaman dari mana-mana pihak termasuk sebarang ancaman dari pihak yang berkuasa.

"hari ini lebih kurang 300 mahasiswa berkumpul untuk bertemu dengan PM kesayangan kita Dato' Seri Najib Razak..... kita berhimpun dengan aman, tujuan kita hanya untuk menyerahkan satu memorandum isu yang banyak berlaku penyalahgunaan kuasa di peringkat pentadbiran kerajaan tertinggi hari ini,

"kita nak bawa satu memeorandum (tujuan) apa kita datang ke Terengganu, isu runtuh...... stadium baru tiga tahun runtuh.... runtuh lagi! kawan-kawan kita mahasiswa (yang pergi) di Pekan, untuk bertemu dengan masyarakat..... mereka telah dihalau oleh samseng-samseng, boleh jadi datang dari Umno,"ujarnya.

Beliau yang juga pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (PMIUKM) berkata demikian ketika berucap, setelah himpunan mahasiswa di Pulau Duyong pada semalam, Sabtu 23 Februari, tidak diberikan ruang untuk berjumpa dengan, samada Ahmad Said atau Najib Razak.

Beliau menegaskan, walaupun diugut dan diganggu oleh samseng Umno, mahasiswa tidak perlu takut dan gentar kerana mahasiswa adalah golongan yang berani, tidak takut dan bacul.

Sebelum itu, Pengerusi Gamis Terengganu Muhammad Raimi bin Abdul Rauf memaklumkan, himpunan mereka di Pulau Duyong itu turut diganggu oleh 'samseng Umno' tempatan, yang mengugut supaya para mahasiswa tidak meneruskan himpunan tersebut.

Katanya, seorang pemimpin mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Kampung Tok Beng Seberang Takir, Faiz Ismail, telah diberi amaran keras, supaya keluar dari Pulau Duyong.

Katanya, pertikaman lidah antara Faiz dengan 'samseng umno' tempatan, Faiz telah diugut akan diambil tindakan keras, sekiranya tidak keluar dari Pulau Duyong.

"Faiz telah diugut supaya keluar dari Pulau Duyong, dia (samseng Umno) berkata, keluar dari Pulau Duyong atau pun keluar dengan cara kekerasan, mereka kata kalau Faiz orang Duyong, dia (kena) tahu perangai oang Duyong..... jahat cara jahat.... baik cara baik,"ujar Muhamad Raimi menceritakan insiden tegang tersebut. -BO

Filipina hantar kapal bawa pulang penceroboh

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kerajaan Filipina telah menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

Kapal yang bernombor AT296 itu belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara rundingan dengan kumpulan itu berlangsung malam tadi.

Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina dalam satu kenyataan berkata, pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada Kedutaan Malaysia di Manila semalam.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F. del Rosario dalam satu kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah serta keluarga mereka dan pada masa yang sama pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan.

"Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri," katanya.

Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: "Kami amat mengambil berat tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan itu dan kami menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah air."

Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino serta sukarelawan dan petugas perubatan.

Pada 12 Februari lalu, bot yang mengangkut lebih 100 lelaki bersenjata yang memakai pakaian celoreng tentera mendarat di pantai Lahad Datu.

Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Askar Diraja Sulu dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke Filipina.

Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas dan kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas untuk meninggalkan negara ini.

Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan Manila sedang berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian mereka. - Bernama


Amaran PAS: 'Warganegara segera' jangan mengundi

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
 
Pengarah pilihan raya PAS Dr Hatta Ramli memberi amaran kepada golongan "warganegara segera" yang diberikan hak mengundi oleh kerajaan agar tidak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Hatta berkata, PAS kini bekerjasama dengan NGO Asalkan Bukan Umno untuk memburu golongan tersebut dan menakut-nakutnya individu terlibat, yang diberi kerakyatan untuk menyokong kerajaan BN, agar tidak mengundi.

"Kita akan pastikan mereka yang mengundi benar-benar rakyat Malaysia," katanya dalam konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam hari ini.

Hatta juga berkata Pakatan juga akan memastikan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu berlaku di kesemua 700 kerusi DUN dan kawasan parlimen.

Katanya, Pakatan kini di pusingan terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan PAS telahpun bersedia sejak dua tahun lalu.

malaysiakini/-

Israel minta Palestin reda ketegangan

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


BAITULMUQADDIS - Israel semalam menyatakan pihaknya menghantar tuntutan kepada kepimpinan Palestin supaya mengekang kekacauan selepas beribu-ribu tahanan mengadakan mogok lapar di penjara-penjara Israel, manakala para penyokong mereka bertempur dengan pasukan keselamatan di Tebing Barat yang ditakluki rejim Zionis.

Menurut kenyataan Tel Aviv, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada masa yang sama mengarahkan pembayaran hasil cukai untuk bulan Januari yang dipungut oleh Israel bagi pihak Palestin dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Ia sebagai usaha untuk 'memujuk' PA campur tangan untuk meredakan ketegangan ekoran isu mogok lapar tersebut. 

Protes di Tebing Barat semakin memuncak sebagai tanda sokongan kepada tahanan Palestin yang ditahan Israel dan bagi membantah perluasan penempatan haram Yahudi.

Seorang pegawai berkata, hampir semua tahanan Palestin di penjara-penjara Israel mengadakan mogok lapar semalam selama sehari bagi membantah kematian mengejut seorang tahanan yang didakwa pihak berkuasa penjara meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Seramai 4,500 orang, sebenarnya hampir setiap tahanan (mengadakan mogok lapar)," kata jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman.

Banduan itu, Arafat Jaradat, 30, meninggal dunia secara mengejut di Pusat Tahanan Megiddo, utara Israel.
Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Palestin, Salam Fay- yad berkata, beliau mahukan penjelasan sebenar berhubung kematian bapa kepada dua orang anak itu.

Beberapa saksi dan sumber keselamatan berkata, berita kematian Jaradat mencetuskan pertempuran antara pemuda Palestin dan pasukan keselamatan Israel di Hebron.

Menurut perkhidmatan perisikan Israel, Shin Bet, Jaradat ditahan kerana terlibat dalam insiden baling batu sehingga menyebabkan seorang warga Israel cedera pada November 2012.
- Agensi

Pakatan buktikan perpaduan, tolak perkauman -TG Hadi

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Pakatan Rakyat telah membuktikan perpaduan dan muafakat yang erat walaupun kadang-kadang berbeza pendapat.

"Kita buktikan perpaduan walaupun bertelingkah, berdebat, boleh berbalah, tetapi kacau gula, kopi dan teh tidak memecahkan cawan itu," katanya yang diikuti tepukan gemuruh lebih 1,500 perwakilan yang memenuhi dewan SACC.

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar Pakatan Rakyat memelihara perpaduan yang dibina selama ini kerana parti lawan sedia untuk mengambil kesempatan.

"PAS, DAP dan PKR bergaduh, yang kenyang BN," katanya.

Abdul Hadi juga, turut menegaskan lima perkara yang menjadi harapan rakyat di mana Pakatan Rakyat mesti melaksanakannya.

Lima perkara tersebut, perpaduan masyarakat majmuk, adil terhadap semua, demokrasi hak rakyat sebenar, kehebatan perlembagaan dan undang-undang yang adil dan kerajaan yang bersih.

"Inilah harapan rakyat, kita perlu sedar dan faham lima perkara ini yang menjadi harapan rakyat," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat.

Jelas Abdul Hadi, semua kaum yang ada di Malaysia telah menerima hakikat masyarakat majmuk melalui Pakatan Rakyat yang telah diterjemahkan melalui PRU-12 pada 2008 lalu.

"Apabila orang Melayu Islam yang kuat PAS boleh mengundi calon DAP dan PKR dari kalangan bukan Islam. Apabila orang kuat DAP dan berbagai kaum dan agama boleh undi calon PAS dan PKR dari kalangan Melayu Islam. Mereka sedia mengalahkan calon dari bangsa mereka sendiri," katanya.

Senario ini, katanya, Pakatan Rakyat telah berjaya memecahkan fanatik perkauman yang dihidupkan oleh BN selama ini, sudah dianggap tidak relevan lagi.

"Kita terima berbagai kaum satu adunan yang baik, pelbagai budaya dan pengalaman disatukan. Kita boleh bina kekuatan Pakatan Rakyat dengan satukan berbagai kaum di atas konsep dalam perlembagaan yang tak mampu dibuat oleh BN,"katanya.

harakah/-

Bas ‘beli’ kasut

Foto
14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Ampang: Seorang pemandu bas persiaran bersama 15 penumpang warga Indonesia terselamat meskipun bas yang dinaiki terhumban dari tebing bukit sebelum merempuh empat buah kenderaan dan sebuah kedai di Taman Sri Bayu, di sini, pagi semalam.

Ketika kejadian jam 7 pagi itu, bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke ibu negara untuk menghantar baki 15 lagi penumpang selepas menurunkan 10 penumpang di Melaka.

Bagaimanapun, ketika melalui Jalan Ampang-Hulu Langat menghala ke arah Jalan Taman Putra, bas berkenaan hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek.

Menurut sumber polis trafik, keadaan jalan berkenaan yang menuruni bukit menyebabkan kelajuan bas sukar dikawal dan gagal dihentikan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat.
BAS yang merempuh empat kenderaan lain dialihkan, semalam.

“Bas dipandu laju kerana menuruni bukit dan gagal dihentikan menyebabkan ia masuk ke laluan bertentangan (Jalan Taman Putra) dan terhumban ke bawah.

metro/-

Suruhanjaya Anti-Monopoli henti perniagaan tidak adil

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat akan menubuhkan Suruhanjaya Anti-Monopoli dan merombak undang-undang sedia ada berkaitan persaingan untuk memberi lebih kuasa menghentikan amalan perniagaan yang tidak adil.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, suruhanjaya tersebut bagi memecah monopoli merancakkan persaingan.

"Monopoli dalam sektor perkhidmatan dan barangan yang dikawal oleh beberapa syarikat besar berkepentingan memberi mereka kuasa menentukan harga tinggi yang menekan rakyat," katanya.

Pengumuman itu dibuat dalam pembentangan Manifesto Rakyat bertema 'Pakatan Harapan Rakyat' pada Konvensyen Pakatan Harapan Rakyat di Shah Alam Convention Center hari ini.

Selain itu, Pakatan Rakyat akan menubuhkan Suruhanjaya Kontrak Awam untuk menilai dan menjadi timbang tara bagi memastikan semua perjanjian di antara kerajaan dan swasta tidak berat sebelah dan merugikan rakyat.

Ia termasuk memecah monopoli dalam bidang komunikasi, makanan ruji, farmaseutikal, penerbangan awam dan sektor utama yang lain.

Perjanjian penjana bebas (IPP) yang berat sebelah juga akan dirombak bagi mengelakkan wang rakyat terus mengkayakan kroni.

Dalam usaha merancakkan persaingan pula, PR akan membubarkan 1MDB agar khazanah kekal satu-satunya badan pelaburan negara.

Pegangan kerajaan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit dalam perniagaan bukan berkepentingan nasional kepada pengurusan GLC akan dilupuskan.

Ia akan dilakukan melalui kaedah ambil alih oleh pengurusan bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya maju.

PR juga akan merombak peranan Ekuinas agar egensi itu membantu merancakkan pengambil alihan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh pengurusan dan usahawan yang layak.

Selain itu, PR juga akan memastikan perolehan secara tender terbuka dilaksanakan secara menyeluruh dalam urusan badan-badan awam.

harakah/-

Diugut, Karnival Rakyat PAS Sepanggar terpaksa dibatal

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KOTA KINABALU: Karnival Rakyat PAS Kawasan Sepanggar yang sepatutnya berlangsung semalam di Kampung Warisan di sini terpaksa dibatalkan ekoran tindakan sabotaj dan ugutan kekacauan yang dilakukan pihak tertentu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Sepanggar Saifuddin Samsuddin, sekumpulan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mendatangi mereka dan mengugut akan melakukan kekacauan sekiranya program tersebut diteruskan.

Menurut Saifuddin, pihaknya sebelum ini telah mengadakan pertemuan bersama JKKK , namun ketegangan berlaku apabilamereka mendakwa pihak Belia kampung tersebut telah merancang untuk mengadakan aktiviti sama sejak Januari lalu.

Walaubagaimanapun katanya, penganjur yang telah beberapa kali mengadakan perbincangan dan mesyuarat bersama beberapa penduduk kampung tidak pernah dimaklumkan mengenai program Belia yang akan menganjurkan aktiviti sama pada hari tersebut.

Malahan, penganjuran Karnival Rakyat ini juga telah mendapat kebenaran pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan turut dimaklumkan kepada pihak polis.

Pagi semalam, sebelum program berlangsung, beberapa buah kenderaan dan kumpulan yang dipercayai penyokong BN berkawal di padang dan kelihatan bendera BN sudah mula dipacak disekitar padang di mana lokasi penganjuran Karnival Rakyat akan diadakan.

Selain itu penganjur mendapati beberapa banner dan banting yang dipasang sekitar kawasan kampung telah diconteng dan ditulis dengan bebrapa perkataan ugutan.

Sehubungan itu kata Samsuddin, bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku, program tersebut terpaksa ditunda kepada satu tarikh lain.

harakah/-

Saifuddin imbas kemenangan Pakatan tumbangkan Umno BN 2008

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

PR
Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Datuk Saifuddin Nasution Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur. 

Setiausaha Agung KEADILAN itu mula berucap pada jam 10.00 pagi.
Sebelum itu, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhd Nur Manuty.

Dalam ucapannya, Saifuddin turut menayangkan video kejayaan KEADILAN, PAS dan DAP bermula 1999 hingga 2008.

“Pembentukan Pakatan Rakyat ini akhirnya mencapai satu lawan satu dengan Umno BN pada 2008. Ia sekaligus berjaya menafikan majoriti 2/3,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan dan jentera ketiga-tiga parti.

keadilandaily/-

Terjunam dalam sungai

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
Foto 
Tamparuli: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang berlaku apabila seorang lelaki berusia lingkungan 50-an nyaris maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam Sungai Tamparuli, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kenderaan jenis Toyota dipandu lelaki berkenaan dikatakan menyeberang jambatan lama Tamparuli dari arah Kiulu menuju pekan Tamparuli.

Menurut seorang saksi kejadian dikenali sebagai Omar, 33, berkata, ketika kejadian, jambatan lama itu digenangi air menyebabkan enjin kenderaan terbabit secara tiba-tiba mati ketika berada di pertengahan jambatan.
“Kejadian itu menyebabkan pemandu dengan bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian, cuba menolak kenderaan itu untuk mengelak dihanyutkan arus deras.

“Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila kenderaan itu terbabas, sebelum dihanyutkan arus deras sungai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Difahamkan, pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berjaya menyelamatkan diri sebelum turut dihanyutkan arus.

KENDERAAN dipandu seorang lelaki berusia 50-an yang terbabas dalam Sungai Tamparuli.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, kenderaan jenis Toyota itu ditemui tersadai di tebing Sungai Tamparuli, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Usaha menarik naik kenderaan itu ke darat mengambil tempoh lebih enam jam.

metro/-

14 tawaran Pakatan untuk kesejahteraan rakyat

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: Rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi sedang gaji dan upah tidak meningkat, malah generasi kini adalah lebih miskin dari generasi sebelumnya, generasi mendatang lebih miskin dari generasi kini.

Atas keprihatinan ini Pakatan Rakyat mengutamakan Kesejahteraan Rakyat yang merupakan salah satu cabang daripada Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan hari ini.

Cabang Kesejahteraan Rakyat ini dibentangkan Pengarah Strategi PAS Pusat Dr Dzulkifli Ahmad di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut Dzulkifli, perbelanjaan asas setiap isi rumah dibebankan dek struktur harga yang berpihak kepada kroni dan syarikat besar, ekonomi negara dikuasai oleh beberapa monopoli yang dimilki kroni dan syarikat besar.

"kemungkaran ekonomi yang menindas rakyat seperti ini perlu ditentang sekeras-kerasnya," kata beliau.

14 tawaran yang digariskan dalam cabang Kesejahateraan Rakyat iaitu;

- Harga minyak turun
- Caj elektrik lebih rendah
- Caj air lebih rendah
- Hapus tol
- Hapus monopoli
- Turunkan harga kereta
- 150,000 rumah selesa mampu milik
- Perbadanan Perumahan negara: pelaburan RM5 bilion tahun pertama dan RM2 bilion setahun selepas itu untuk bina rumah selesa mampu milik.
- Pendidikan percuma untuk semua, haput PTPTN
- Hapus AES. Batalkan saman AES
- Keadilan untuk warga Felda
- Tingkatkan guna tenaga polis untuk banteras jenayah
- Perkhidmatan wad percuma (kelas 1 dan 3) di semua hospital kerajaan
- Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dinaikkan kepada RM550 sebulan.

harakah/-

Bala pulang: Ingatkan Najib ada, TV3 buat liputan

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tidak pula nampak kelibat Najib Razak atau Razak Baginda berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Balasubramaniam itu.


“Dulu Bala ini menjadi orang penting dan Najib telah mengupah orang tengah untuk mencari PI ini, tidak kira malam atau siang. Ingatkan adalah Najib datang menyambut kepulangan Bala semalam,” tulis Aspan Alias di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/ sebagaimana di bawah.

PI Balasubramaniam telah kembali ke tanah air petang semalam. Beliau disambut oleh lebih kurang 50 orang di lapangan terbang KLIA. Beliau dikatakan telah kembali dari India di mana beliau dan keluarga telah menetap semasa menghilangkan diri dari negara ini.

Di antara yang datang menyambut beliau kembali itu ialah Sivarasa, seorang Ahli Parlimen PKR serta Cikgu Bard dan beberapa wakil NGO. Tidak pula nampak kelibat Najib Razak atau Razak Baginda berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Balasubramaniam itu. Dulu Bala ini menjadi orang penting dan Najib telah mengupah orang tengah untuk mencari PI ini, tidak kira malam atau siang. Ingatkan adalah Najib datang menyambut kepulangan Bala semalam.

Tetapi tidak ada pula liputan besar-besaran dari pihak media massa perdana seperti TV3 dan lain-lain. Dulu TV3 membuat liputan tentang akuan bersumpah kedua Bala ini secara besar-besaran tetapi kali ini apabila kembali menyatakan yang akuan bersumpahnya yang pertama yang betul dan benar, tidak pula diliputi oleh TV3 dan media perdana yang lain.

Bala telah bersumpah dengan kitab sucinya Bhagavad Gita yang akuan bersumpahnya yang pertama adalah yang benar dan akuan bersumpah kedua itu adalah yang tidak benar. Akuan bersumpah kedua itu adalah didesak oleh keadaan semasa itu kerana tekanan dan sebagainya yang dilakukan oleh Najib dan Rosmah. Bala berkata apa yang telah diperkatakan oleh Deepak itu semuanya benar dan betul belaka.

Tetapi Bala akan mengadakan ‘road show’ nya tetapi tidak akan bersama Deepak kerana beliau akan melakukannya sendiri tanpa Deepak. Bala akan melakukan ‘road show’ nya tidak lama lagi dan akan membongkar segala-galanya berhubung dengan isu Altantuya dan berbagai-bagai lagi yang melibatkan Najib serta Rosmah.

Apabila ditanya oleh pemberita sama ada beliau tidak takut untuk melakukan pembongkaran isu ini, beliau berkata beliau tidak takut kerana beliau percaya yang tidak mungkin pihak itu membunuh lagi. Kepulangan Bala ini akan mengundang banyak lagi berita yang hangat di negara kita ini. Isu yang terlalu banyak sekarang ini akan bertambah-tambah banyak lagi dalam masa kita menghadapi pilihanraya ini.

Apa pun yang akan berlaku, yang pasti ia akan memberikan impak yang besar terhadap kewibawaan Najib dan keluarga tetapi ia juga membawa padah kepada pihak-pihak yang menyokong Najib dan pimpinan beliau. Sesungguhnya aura Najib tetap merudum dan aura buruk yang melekat kepada Najib itu akan membawa kejatuhan kepada parti dan kerajaan yang di pimpin beliau.

Itu sebab nya saya tidak dapat menidakkan hakikat yang UMNO sedang menghadapi isu yang tidak dapat diuruskan oleh mereka lagi. Tidak ada ruang yang tidak bermasalah dan tentunya keadaan ini akan menjejaskan segala urusan kerajaan dan imej negara. Bagaimana kerajaan hendak menumpukan usaha untuk membina negara sedangkan mereka sendiri sedang menghadapi masalah mereka sendiri.  Tidak mungkin mana-mana pentadbiran itu akan menjadi pentadbiran yang baik jika yang mentadbir itu sendiri mempunyai masalah sendiri yang terlalu besar.

Selalu kita berfikir bagaimanakah UMNO hendak memperbaiki diri kerana pimpinannya tidak tahu dan mengenali yang mana satu yang baik dan yang mana yang tidak baik. Mereka ditekan oleh budaya buruk yang telah terbina begitu lama oleh pimpinan UMNO sejak hampir tiga puluh tahun dahulu.

Dr Mahathir telah menanamkan budaya dan kepercayaan yang membina negara ini ialah pembinaan bangunan yang tinggi-tinggi, jambatan yang terpanjang di dunia atau pun tiang bendera yang tertinggi dalam dunia dan sebagainya. Dr Mahathir telah membina pemikiran rakyat yang negara maju itu adalah negara yang rakyatnya yang kaya raya dan pembangunan fisikal yang boleh dijadikan tempat pelancungan.

Dr Mahathir sendiri tidak tahu yang pembangunan negara (nation building) bukan setakat pembangunan fisikal yang hebat dan besar tetapi juga membina mentaliti yang mempunyai kelas yang baik secocok dengan keadaan waktu dan zamannya. Sikap dan mentaliti orang ramai sudah punah ranah kerana isu ini tidak dibina oleh Mahathir yang memerintah kita selama 22 tahun. Malahan sikap dan mentaliti yang baik dahulu sudah terhapus dan nilai budaya kita telah terhakis dengan begitu teruk sekali.

Tidak ada salahnya untuk sesiapa membina ‘empire’ perniagaan yang besar-besar tetapi apa yang salahnya rakyat telah terbina satu persepsi yang kekayaan itu hanya boleh diperolehi dengan melakukan peniagaan yang bersifat ‘monopolistic’ seperti yang dibina oleh Dr Mahathir dan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan beliau sehingga ke hari ini.

Kita boleh saksikan yang Syed Mokhtar itu tidak ada apa yang boleh dibanggakan kerana beliau mendapat sokongan dari pihak kerajaan melalui pengaruh Dr Mahathir untuk mendapatkan segala-galanya tanpa bersusah payah seperti ‘corporate captains’ yang lain. Segala kepunyaan rakyat yang ada di laut dan di darat diberikan kepada Syed Mokhtar dan sekarang sedang mengintai untuk mengambil alih Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) pula.

Tidak ada perniagaan yang beliau bina sendiri dan diperbesarkan. Syed ini hanya menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan apa yang sudah sedia terbina. Budaya ini sudah tertanam dalam benak rakyat kita dengan begitu dalam sekali. Apabila seseorang itu mendapat memiliki harta dan kepunyaan rakyat, orang sebegini dianggap sebagai orang yang berjaya.

Itulah sebabnya untuk memperbetulkan keadaan ini tidak mungkin boleh dilakukan oleh kumpulan yang membinanya. Oleh yang demikian adalah wajib dan penting sekali untuk merubah pimpinan negara secara ‘total’ dan menyeluruh.

Ada seorang rakan saya mempunyai pandangan yang ‘conclusive’ terhadap UMNO sekarang ini. Beliau berkata, “If you want to break anything, give  it to UMNO, and if you want to make it worst give it to UMNO to fix it back”.

Sampai ke hari ini saya teringat dengan kata-katanya itu.

harakah/-

Parti komponen BN didakwa tak lebih dari pengemis

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



 
Perkembangan terkini yang menyaksikan pertelingkahan terbuka di antara Datuk Seri Chua Soi Lek dan Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai pencalonan wakil BN di Parlimen Pandan mempunyai implikasi besar kepada senario politik negara.

Walaupun awalnya saya tidak mahu memberikan sebarang reaksi, perkembangan itu bukan sahaja mempunyai kesan di Pandan sahaja. Ia menggambarkan bentuk kerjasama dan autonomi yang wujud di dalam BN dan sikap Umno (sebagai parti yang terbesar) terhadap parti komponennya yang lain seperti MCA.

Sudah menjadi amalan di dalam mana-mana pakatan politik bahawa keputusan meletakkan calon itu adalah keputusan parti yang diberi tanggungjawab bertanding di parlimen itu.
Sejak sekian lamanya, BN memberi hak dan autonomi kepada Umno, MCA atau mana-mana parti komponennya menilai calon terbaik untuk bertanding di kawasan yang diwakili.
Kalau ada perselisihan faham pun mengenai pencalonan seseorang, keputusan dan pendapat parti komponen yang mewakili kerusi itu diberi keutamaan.

Itu amalan dulu-dulu di dalam BN tetapi sekurang-kurangnya autonomi untuk menentukan calon dikekalkan di tangan presiden parti komponen di kerusi yang diwakili partinya.

Keadaan itu berubah kali ini apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memohon agar mandat menentukan calon bagi semua calon BN diserahkan ke tangan beliau. Calon dari parti komponen tidak lagi ditentukan oleh parti komponen, sebaliknya beliaulah yang akan membuat keputusan.

Sudah tentu ini satu perubahan besar dalam lanskap politik negara. BN yang sebelum ini menjaja dirinya sebagai satu persefahaman politik pelbagai bangsa yang adil kini tidak lebih dari monopoli Umno. Parti komponennya tidak lebih dari pengemis.

Oleh sebab itulah, presiden parti komponen seperti Datuk Seri Chua Soi Lek sendiri sehingga kini masih belum disahkan pencalonannya. Presiden parti komponen yang lebih kecil di Sabah dan Sarawak masih berdebar-debar menunggu sama ada nama mereka dicalonkan atau senarai mereke diterima oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan ini bukan sahaja memperlekehkan kedudukan parti komponen di dalam BN – ia merampas kuasa politik yang ada di tangan pimpinan parti komponen untuk menentukan calon.

Sebab itulah, pertelingkahan terbuka di antara Datuk Seri Chua Soi Lek dan Datuk Seri Ong Tee Keat bermakna keresahan di kalangan pimpinan pusat MCA bahawa kuasa mereka untuk menentukan calon sudah terhakis ada benarnya. Mungkin sebab itu, Datuk Seri Chua Soi Lek mengambil keputusan untuk menghantar isyarat awal kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak memperlekehkan parti-parti komponen BN di mata pengundi.

Apabila pertelingkahan ini sudah menjadi perang terbuka, maka penilaian pengundi Pandan mengenai calon BN dari MCA adalah jelas:
  • Jika calon MCA adalah Datuk Seri Ong Tee Keat pada masa presiden MCA secara terbuka menggugurkan beliau, bermakna Datuk Seri Ong Tee Kiat menjadi calon atas ehsan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno.
  • Jika calon MCA bukanlah Datuk Seri Ong Tee Keat, bermakna akhirnya Datuk Seri Najib Tun Razak tunduk kepada tuntutan MCA agar autonomi memilih calon dikekalkan di tangan parti masing-masing.
Saya cukup memahami dilemma Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memilih calon. Bukan sahaja beliau perlu memilih calon yang boleh menang, beliau juga perlu memilih calon yang setia kepadanya.

Beliau tahu kalau pun BN menang dalam PRU13, majoritinya lebih rendah dan beliau tidak akan berjaya mendapatkan kedudukan dua pertiga di Dewan Rakyat. Ini akan memberi ruang kepada pimpinan Umno yang kurang senang dengan prestasi beliau untuk menuntut beliau meletak jawatan, seperti mana yang pernah dilakukan kepada Tun Abdullah Badawi.

Oleh itu, satu-satunya cara untuk beliau kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri walaupun ditolak Umno selepas PRU13, adalah dengan memilih sendiri setiap calon di Parlimen yang kesetiaannya tidak berbelah bahagi kepada beliau supaya jika ada undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen, beliau boleh menang walaupun tidak mendapat sokongan majoriti dari Umno sendiri.

Sebab ini jugalah, pilihanraya tidak boleh dipanggil sehinggalah Datuk Seri Najib telah berjaya meletakkan semua calon-calon dari Umno dan parti komponen yang setia kepada beliau walaupun ditolak oleh parti masing-masing.

malaysiakini/-

Maha kejam!

Foto14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Temerloh: Seorang warga emas yang bertarung nyawa hampir setengah jam merangkak keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan selepas ditikam, namun malang dia meninggal dunia berdekatan pintu rumah selepas pembunuh membakar kediamannya di Kampung Rantau Panjang, Lanchang, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.40 pagi itu, Ali Jaafar, 74, yang bekerja sebagai penjual madu mati akibat cedera di leher serta melecur di badan dan paha kiri manakala paha kanan hingga ke kaki rentung.

Kejadian disedari jirannya selepas melihat api marak membakar bumbung rumah serta sebuah bilik lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat serta BaIai Polis Lanchang.

Difahamkan, sepasukan anggota bomba yang memeriksa rumah selepas memadam api, menemui mayat mangsa berlumuran darah di leher di depan pintu sebelum menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

ANGGOTA bomba memadamkan api sebelum menemui mayat mangsa di depan pintu rumah.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa telentang di depan pintu rumah dengan beberapa kesan tikaman di leher manakala dahi mangsa dipercayai dihentak dengan objek tumpul.

metro/-

Manifesto PR: Sejuta peluang kerja, gaji minima RM1,100 antara ditawar

14  Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



SHAH ALAM: Pakatan Rakyat hari ini mengemukakan beberapa tawaran membantu ekonomi rakyat dalam manifesto mereka berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Manifesto ini dibacakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pagi ni.

Berikut antara yang diumumkan:

1-Mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat dengan mengurangkan kebergantungan buruh asing secara berperingkat.

2-Memperkenal gaji minima RM1,100 sebulan.

3-Melatih 1 juta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran.

4- Membina 5 universiti dab 25 sekolah vokasional

5- Tabung inovasi IKS RM500 juta, menyelaras cukai rakyat- kadar cukai tertinggi 26% untuk cukai pendapatan hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,00 berbanding RM250,000 sekarang.

6- Henti operasi Lynas, kaji semula RAPID dan kaji undang-undang pembalakan.

7- Memperuntukkan RM500 juta untuk Tabung Usahawan Kecil Prajurit, kenaikan caruman LTAT dari 15% ke 20%, dividen RM2000 setahun kepada bekas prajurit tidak berpencen.

8- Memberi permit terus kepada pemandu teksi

9- Pengangkutan awam percuma kepada golongan berbeza upaya, tambah bilangan bas, merangka untuk membina sistem keretapi laju antara bandar.

10- Memecah monopoli dengan mewujudkan Suruhanjaya Anti Monopoli, Suruhanjaya Kontrak Awam untuk menilai perjanjian awam seperti IPP dan konsesi berat sebelah, tender terbuka, membubar 1MDB, melupuskan pegangan kerajaan dalam GLC.

harakah/-

onvensyen dimulakan dengan doa perpaduan

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -