23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
IPOH:
Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan bahawa PAS
akan sentiasa komited dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat bagi
menumbangkan kuasa Umno BN yang sudah lama bertapak di Malaysia
khususnya di Perak.
Menurutnya, perjuangan melalui landasan dimensi baru oleh Pakatan
Rakyat ini adalah suatu perjuangan yang realiti dan pastinya mewakili
komposisi kaum, stratafikasi sosial serta pluralisasi budaya yang wujud
di bumi Malaysia.
Kata beliau, pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat tidak akan larut
serta termakan dengan kempen dan idea-idea perkauman sempit yang kian
dikumandangkan oleh BN khususnya Umno menjelang pilihanraya.
Abu Bakar menjelaskan, idea yang menghalang kelancaran persefahaman
antara kaum dan agama dalam komponen Pakatan Rakyat perlu diketepikan.
"PAS Perak akan mengenepikan sikap perkauman dan ketuanan bangsa yang
digunakan Umno selama ini dalam menghalang masyarakat bukan melayu
melihat Islam sebagai suatu agama yang indah dan baik," katanya ketika
ditemui Harakahdaily.
Ujar beliau, pertautan kerja erat antara kaum dalam Pakatan Rakyat
Perak adalah ramuan utama bagi mencapai kemenangan di Perak dalam PRU13
ini.
Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi calon-calon PAS, Abu Bakar
berkata, secara dasarnya semuanya telah selesai tanpa sebarang
permasalahan.
Semua calon katanya sudah digerakkan bersama dengan setiap segmen
masyarakat dan membuat kerja kebajikan yang melibatkan kepentingan
masyarakat.
"Calon-calon yang akan bertanding mewakili PAS di Perak pada kali ini
terdiri dari gabungan kekuatan ulama, pemuda, dan muslimat.
“Alhamdulillah, kesemuanya dibahagikan dengan seimbang dan saya yakin
ramuan ini akan memberi kekuatan kepada PAS," jelas beliau.
Jadi secara keseluruhannya, beliau berkata, calon dan jentera
pilihanraya PAS Perak sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU13 pada
bila-bila masa.
Dalam perkembangan lain, Abu Bakar menegaskan, rakyat Perak
masih bersama dan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat walaupun
kerajaan yang tertubuh atas sokongan rakyat pada PRU12 lalu telah
dirampas oleh BN.
"Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak bukan kerana pilihan rakyat
tetapi oleh perancangan zalim Umno BN bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan
Rakyat.
"Saya yakin BN tidak mampu mempertahankan kerajaan sekarang kerana
ianya bukan ditubuh atas kapasiti suara rakyat tetapi atas dasar
kezaliman dan tidak menghormati hak rakyat.
"Kelompok rakyat yang selama ini menjadi talian hayat mereka juga sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat," jelasnya lagi.
BN juga katanya tidak lagi ada kekuatan dan hanya mengharapkan saki
baki kekuatan Umno yang mendominasi pengundi di kampung-kampung namun
ianya tidak mampu untuk memenangkan BN dalam PRU13 nanti.
"MCA, MIC dan Gerakan di Perak sudah lumpuh dan hilang pengaruh
kerana sebahagian besar pengundi Cina dan India sudah hilang kepercayaan
kepada BN.
"Umno sudah hilang tonggak kekuatan mereka menyebabkan terpaksa
menggunakan sentimen perkauman bagi meraih undi simpati orang Melayu dan
ianya menyebabkan pengundi bukan Islam semakin benci kepada BN," jelas
Abu Bakar.
harakah/-