04 Februari 2013

Lawat Bishop: PAS tonjol kemanusiaan melangkaui perbezaan

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -





KUALA LUMPUR: PAS menerima konsep kepelbagaian kaum yang wujud di negara ini dan sentiasa melihat perbezaan tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan dalam membina tamadun negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, biarpun wujud perbezaan dari sudut kepercayaan, kaum dan budaya, namun PAS tidak pernah meletakkan ianya sebagai halangan untuk saling hormat menghormati.

Menurutnya, tindakan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melawat Pengerusi DAP, Karpal Singh, serta Bishop Pulau Pinang, Sebastian Francis sebagai satu contoh bagaimana PAS tidak pernah memisahkan prinsip kemanusiaan.

"Itu satu terjemahan kepada orang Islam yang tak faham bahawa Islam tidak memisahkan kemanusiaan dengan kaum lain. PAS pecahkan dinding perkauman.

"Juga memberi faham kepada orang bukan Islam bahawa inilah (cara) Islam dalam menangani masyarakat majmuk. Islam bukan tertutup dalam muamalah dengan pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama Harakahdaily baru-baru ini.

Ketika berkunjung ke kediaman Karpal di Jelutong, Pulau Pinang sebelum ini, TG Nik Aziz diraikan ahli parlimen Bukit Gelugor itu penuh mesra dan akrab.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan turut diminta memotong kek yang disediakan Karpal sebagai tanda ulang tahun kelahirannya ke-82.

Dalam kunjungan terhadap Francis Sebastian pula, TG Nik Aziz juga telah dihadiahkan sebiji kek untuk dipotong.

Kedua-dua kunjungan spontan tersebut dilihat memberi kesan mendalam kepada keharmonian antara agama di negara ini yang cuba dimainkan pihak tertentu.

Ianya juga mencerminkan bahawa hubungan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat yang lain sangat ampuh dan berbeza dengan apa yang cuba digambarkan media arus perdana yang dikawal Umno BN.

Selain itu, TG Abdul Hadi sendiri sebelum ini memperlihatkan sikap toleransi PAS apabila turun melawat tiga buah gereja yang terbakar termasuk gereja Metro Tabernacle di Wangsa Maju pada 2010 lalu yang dipercayai angkara perbuatan khianat.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: