04 Februari 2013

PAS Perak ada ramuan untuk menang PRU13

23 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



IPOH: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan bahawa PAS akan sentiasa komited dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat bagi menumbangkan kuasa Umno BN yang sudah lama bertapak di Malaysia khususnya di Perak.

Menurutnya, perjuangan melalui landasan dimensi baru oleh Pakatan Rakyat ini adalah suatu perjuangan yang realiti dan pastinya mewakili komposisi kaum, stratafikasi sosial serta pluralisasi budaya yang wujud di bumi Malaysia.

Kata beliau, pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat tidak akan larut serta termakan dengan kempen dan idea-idea perkauman sempit yang kian dikumandangkan oleh BN khususnya Umno menjelang pilihanraya.

Abu Bakar menjelaskan, idea yang menghalang kelancaran persefahaman antara kaum dan agama dalam komponen Pakatan Rakyat perlu diketepikan.

"PAS Perak akan mengenepikan sikap perkauman dan ketuanan bangsa yang digunakan Umno selama ini dalam menghalang masyarakat bukan melayu melihat Islam sebagai suatu agama yang indah dan baik," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Ujar beliau, pertautan kerja erat antara kaum dalam Pakatan Rakyat Perak adalah ramuan utama bagi mencapai kemenangan di Perak dalam PRU13 ini.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi calon-calon PAS, Abu Bakar berkata, secara dasarnya semuanya telah selesai tanpa sebarang permasalahan.

Semua calon katanya sudah digerakkan bersama dengan setiap segmen masyarakat dan membuat kerja kebajikan yang melibatkan kepentingan masyarakat.

"Calon-calon yang akan bertanding mewakili PAS di Perak pada kali ini terdiri dari gabungan kekuatan ulama, pemuda, dan muslimat.

“Alhamdulillah, kesemuanya dibahagikan dengan seimbang dan saya yakin ramuan ini akan memberi kekuatan kepada PAS," jelas beliau.

Jadi secara keseluruhannya, beliau berkata, calon dan jentera pilihanraya PAS Perak sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU13 pada bila-bila masa.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar menegaskan, rakyat Perak masih bersama dan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat walaupun kerajaan yang tertubuh atas sokongan rakyat pada PRU12 lalu telah dirampas oleh BN.

"Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak bukan kerana pilihan rakyat tetapi oleh perancangan zalim Umno BN bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Saya yakin BN tidak mampu mempertahankan kerajaan sekarang kerana ianya bukan ditubuh atas kapasiti suara rakyat tetapi atas dasar kezaliman dan tidak menghormati hak rakyat.

"Kelompok rakyat yang selama ini menjadi talian hayat mereka juga sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat," jelasnya lagi.

BN juga katanya tidak lagi ada kekuatan dan hanya mengharapkan saki baki kekuatan Umno yang mendominasi pengundi di kampung-kampung namun ianya tidak mampu untuk memenangkan BN dalam PRU13 nanti.

"MCA, MIC dan Gerakan di Perak sudah lumpuh dan hilang pengaruh kerana sebahagian besar pengundi Cina dan India sudah hilang kepercayaan kepada BN.

"Umno sudah hilang tonggak kekuatan mereka menyebabkan terpaksa menggunakan sentimen perkauman bagi meraih undi simpati orang Melayu dan ianya menyebabkan pengundi bukan Islam semakin benci kepada BN," jelas Abu Bakar.

harakah/-

Tiada ulasan: