KUALA LUMPUR: “Pesan saya kepada Khairy, letak jawatan
sebagai Ketua Pemuda Umno dan daftarlah di mana-mana IPT tempatan untuk
melayakkan anda menjadi Pengerusi Kelab IPT Barisan Nasional,” kata Syis
Abdul Kadir.
Bagi Pengerusi Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) itu, mahasiswa telah bijak untuk membuat penilaian dan pilihan.
Justeru, ujarnya jika Khairy Jamaludin (gambar) sibuk
menubuhkan Kelab IPT Barisan Nasional (Kibar) dengan meletakkan sasaran
keahlian 5,000 ia bukan idea asli mahasiswa itu sendiri.
“Kenapa Ketua Pemuda UMNO yang bersungguh-sungguh menubuhkan kelab penyokong?” tanya beliau dalam satu kenyataan.
Kenyataan penuh seperti di bawah.
Kerajaan UMNO sekarang ini sangat terdesak untuk meraih simpati dan
undi termasuklah dari mahasiswa. Pindaan AUKU dan terbaru pengumuman
kelab IPTA BN merupakan sekadar kosmetik supaya kerajaan UMNO/BN ini
dilihat mesra mahasiswa serta ingin membawa perubahan dalam universiti.
Jika kerajaan benar-benar ingin menghargai suara mahasiswa mansuhkan
AUKU. Itulah kunci yang menyekat pemikiran dan nilai aktivis mahasiswa.
Kalau serius kerajaan ingin membawa agenda perubahan kepada universiti
perlu disemak kembali polisi pengajian tinggi negara.
Pernyataan saya ini berdasarkan apa yang berlaku dalam penggal ini.
Boleh dikatakan 4 tahun kebelakangan ini sekurang-kurangnya 20 orang
mahasiswa dijatuhkan hukuman berdasarkan akta rimba AUKU.
Bahkan menurut laporan dari SUARAM aktivis mahasiswa yang paling
ramai ditangkap oleh pihak berkuasa berbanding dengan aktivis masyarakat
dan politik bagi tahun 2011.
Apa maknanya pindaan terhadap AUKU jika dalam masa yang sama masih
ada sekatan-sekatan terhadap mahasiswa di peringkat universiti.
Contohnya berkenaan AUKU pindaan 2012 yang membenarkan pelajar
universiti memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan atau
pertubuhan di dalam dan di luar kampus. Tetapi tetap ada sekatan buat
mahasiswa diperingkat universiti dengan peraturan yang dinamakan Kod
Tatakelakuan yang tidak membenarkan mahasiswa untuk terlibat
aktiviti-aktiviti politik luar. Jadi pindaan ini sekadar gula-gula untuk
kerajaan ini dilihat mesra mahasiswa dan membawa agenda perubahan.
Mahasiswa tidak bodoh!
Pada saya mahasiswa telah bijak untuk membuat penilaian dan pilihan.
Jika Khairy Jamaludin sibuk menubuhkan Kelab IPT Barisan Nasional (BN)
(KIBAR) dengan meletakkan sasaran keahlian 5,000 pada saya ia bukan idea
asli mahasiswa itu sendiri. Kenapa Ketua Pemuda UMNO yang
bersungguh-sungguh menubuhkan kelab penyokong? Jika sekadar kelab
semestinya tiada suara untuk berperanan sebagai decision maker
di dalam parti. Tidak lain hanya untuk meraih simpati dan sokongan
mahasiswa. Ini tindakan terdesak untuk menghadapi PRU 13. Sehingga kini
tidak diumumkan organisasi tertinggi dan agenda kelab penyokong ini.
Yang dilihat bersungguh-sungguh dalam penubuhan kelab ini hanya Khairy
sendiri. Kesian!
Penubuhan kelab ini bukannya ruang untuk meraikan suara mahasiswa
tetapi untuk memastikan mahasiswa tunduk dan ikut telunjuk UMNO/BN. ini
adalah projek pembodohan!
Pesan saya kepada Khairy, letak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan
daftarlah di mana-mana IPT tempatan untuk melayakkan anda menjadi
Pengerusi Kelab IPT Barisan Nasional.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan