04 November 2010

Galas : Pengundian bermula dalam cuaca mendung

27 Zulkaedah 1431H.

GUA MUSANG : Seramai 11,553 pengundi akan keluar mengundi bagi menentukan siapa yang bakal mereka pilih sebagai wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya itu menyaksikan pertarungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Chek Hashim Sulaima daripada Pas pada 27 September lalu kerana barah usus


Kisah Nabi Sulaiman dgn Seekor Semut

26 Zulkaedah 1431 H
http://mufakirin.forumotion.net

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah
Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman
merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di
tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau
yakin ada makanan cukup untuk kamu".Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah
engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan
dalam sebulan?"Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum
sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan
dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam
bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya
dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak
semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di
atas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji
gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.

Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku
bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku
takut kamu lupa".

Umno terdesak ganggu program PAS

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Te@M.IT

GUA MUSANG, 2 Nov - Gara-gara ingin mengganggu-gugat program Jom Tengok Wayang dan BBQ Bersama Anak Muda, ceramah mini anjuran Umno yang diadakan di hadapan program terbabit di Sungai Terah dihalang SPR malam tadi.

Hanya 12 orang yang hadir pada ceramah itu termasuk enam orang Puteri Umno, selebihnya anggota keluarga pemilik rumah terbabit serta jiran tetangganya walaupun pengerusi majlis mendakwa kehadiran melebihi 50 orang.

Kira-kira 10 minit tayangan filem Ketika Cina Bertasbih ditayangkan, ceramah mini Umno pun bermula dengan menggunakan pembesar suara yang lebih lantang berbanding program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri itu.

Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam, ceramah yang hanya dihadiri 12 orang, termasuk enam orang Puteri Umno selebihnya anggota keluarga dan jiran terdekat terpaksa dihentikan dengan arahan SPR.

Tindakan itu dilakukan SPR memandangkan pihak terbabit tidak mempunyai permit sebagaimana yang ditetapkan.

Sepanjang ceramah itu berlangsung, golongan muda yang rata-ratanya terdiri dari pengundi ‘bertakbir’ beramai-ramai sewaktu pemimpin mereka berceramah yang kebanyakkannya menyelar pimpinan PAS dan kerajaan negeri Kelantan.

Gangguan ceramah PAS sejak akhir-akhir ini berlaku hampir setiap malam apabila dianya diadakan di tempat yang sama dengan program PAS.

Pada malam sebelumnya kejadian yang serupa berlaku pada majlis ceramah PAS yang diadakan di Ladang Chin Tek.

Kejadian berlaku apabila majlis ceramah PAS disampaikan oleh Datuk Nasharuddin Daud, di mana Umno memasang karaoke dengan tujuan untuk mengganggu ceramah PAS.

Petugas : Contohi semangat juang Tok Guru - Dr Zul

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Te@M.IT

GUA MUSANG, 2 November - Petugas PAS khususnya generasi muda harus mencontohi semangat juang yang ditunjukkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ianya disampaikan calon PAS, Dr Zulkifli Mohamed ketika mengulas respon yang diberikan Tok Guru mengenai tahap komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai menteri besar serta faktor usia.

"Semangat seumpama beliau harus dicontohi seluruh petugas PAS khususnya generasi muda.

"Dalam kesibukan menunaikan tugas sebagai Menteri Besar di samping usia yang telah meningkat, beliau masih sanggup untuk turut bersama-sama dengan jentera pilihan raya membantu bagi memenangkan PAS dalam pilihan raya kali ini," ujarnya kepada laman web media rasmi pilihan raya kecil Dun Galas.

Terdahulu Tok Guru diminta memberikan ulasan terhadap komitmen yang disumbangkan sepanjang kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

"Tok Guru kelihatan sihat dan kuat sehingga mampu pergi ke Tanah Tinggi Lojing untuk sama-sama berkempen?"

Lalu Tok Guru menjawab,"Yelah, nak lawan Umno." katanya.

Dalam perkembangan yang berbeza, pengundi Galas diseru agar memilih PAS demi mengekalkan kesinambungan pentadbiran Islam di kawasan setempat.

Beliau memberikan perumpamaan mengenai hal tersebut sebagai suatu persiapan yang perlu dibuat di dunia ini bagi menghadapi kehidupan di akhirat kelak.

"Jika kita hendak pergi menunaikan ibadat haji, perlu menghadiri kursus terlebih dahulu untuk menyesuaikan diri dengan situasi sebenar di Makkah.

"Jadi di dunia ini kita perlu berusaha agar selamat di dunia dan akhirat," ujarnya.

Oleh yang demikian ujarnya lagi, kita perlukan persiapan yang cukup di dunia ini supaya tidak timbul masalah di akhirat kelak.

"Sebab itu kena undi PAS untuk menyesuaikan diri untuk kehidupan di dunia dan akhirat," tegasnya lagi.

Undi Dr.Zul, Undi Tok Guru

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Te@M.IT

GALAS, 3 Nov : Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Hatta Ramli menegaskan bahawa undi yang akan diberikan kepada calon PAS amat penting kerana ia berkait rapat dengan kepercayaan kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pemerintahan Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Satu undi yang diberikan kepada calon PAS, Dr. Zulkefli Mohamad merupakan satu undi juga diberikan kepada Tok Guru Nik Aziz", tegasnya dalam ceramah PRK N.45 Galas malam tadi di PASTI Sg Terah.

Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Kelantan selama ini membolehkan kerajaan Kelantan yang ditadbir dibawah kepimpinan Tok Guru dan PAS boleh bertahan sehingga 20tahun walaupun banyak rintangan dan cabaran yang dihadapi terutamanya dari Barisan Nasional (BN) di peringat pusat.

Calon yang dikemukakan oleh PAS untuk bertanding di DUN Galas untuk pilihan raya kecil kali ini merupakan calon yang tepat dan mempunyai kreadibiliti yg baik.

Menurut beliau yang juga Bendahari PAS Pusat, beberapa manifesto calon yang dikemukakan telah disetujui oleh Tok Guru Nik Aziz.

Antara manifesto atau tawaran yang dikemukakan oleh Dr. Zul yang diterima oleh Tok Guru adalah Menubuh Urusetia Hal Ehwal Orang Asli.

Ini menunjukkan bahawa walaupun calon PAS belum memenangi pilihan raya di DUN Galas, beliau telah pun mengemukakan cadangan dan idea yang bernas yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Galas sekaligus rakyat negeri Kelantan dan ia dtelah dipersetujui oleh Menteri Besar Kelantan itu sendiri.

"Dr. Zul nyata seorang yang profesional dan dapat menggunakan ilmu perubatannya untuk memberi manafaat kepada masyarakat setempat", kata beliau.

Beliau yang sudah mengenali Dr. Zul sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krai, yakin bahawa calon PAS itu dapat melaksanakan tugas dan janji beliau sekiranya memenangi pilihan raya kecil ini.

Pecutan akhir Sungai Terah

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Te@M.IT

GUA MUSANG, 3 Nov - Kempen pilihanraya kecil Dun Galas yang berbaki satu hari makin terasa kehangatannya. Para jentera dan petugas parti tidak melepaskan peluang melainkan terus memenangi hati pengundi di sekitar kawasan ini.

Di Sungai Terah, para petugas dan jentera pasti telah bekerjasama mengadakan program Cakna Rakyat di sini. Istimewanya, program anjuran jentera PAS Bachok, Pengkalan Chepa, Kedah dan Perlis ini diadakan selama dua hari dengan pengisian-pengisian menarik.

Antaranya pertandingan menebar roti canai, pertandingan mewarna, karom dan sukaneka, BBQ, ceramah, bacaan tahlil rumah ke rumah, ziarah dan sebagainya yang cukup menambat hati masyarakat di sini.

Turut hadir memeriahkan bacaan tahlil, BBQ dan pertandinagn menebar roti canai adalah YB Nasir Mustapha, (ADUN Kubang Rotan),YB Cikgu Yahya (ADUN Jenerih) dan YB Cikgu Ahmad Jusoh dan YB Cikgu Aziz (ADUN Jelawat) yang turut beraksi. Mereka beramah mesra bersama kira-kira 50 orang daripada pelbagai peringkat usia. Dewasa, remaja dan kanak-kanak kelihatan gembira dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan.

"Lokaliti Seri Tiong ini merupakan kubu PAS dengan majoriti 500 undi. hapir keseluruhan penduduk adalah Melayu Islam dan hanya satu peratus sahaja penduduk Cina, iaitu kira-kira 18 orang.

Kebanyakannya adalah PAS dan bilangannya terus bertambah semenjak pilihanraya, " ujar YB Jenerih ketika ditemui dalam program tersebut malam tadi.

ADUN Kubang Rotan, YB Mohd Nasir Mustapha yang turut hadir dan mencemar tangan menebar roti canai berpendapat, Tiada isu besar yang ditonjolkan pada pilihanraya kali ini yang menyebabkan undi jatuh dan sebagainya.

Beliau turut yakin PAS dapat mempertahankan kubu Seri Tiong dan sekaligus Dun Galas, Gua Musang.

Tok Guru Islamkan 3 Orang Asal

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : IT PAS

GUA MUSANG, 2 Nov: "Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah," demikian kalimah syahadah yang telah dilafazkan oleh tiga orang penduduk asal Kampung Sandrop dalam Program Muhibbah Menteri Besar Kelantan bersama Masyarakat Orang Asal semalam.

Majlis pengislaman mereka yang dihadiri lebih daripada 300 orang penduduk asal menjadi lebih bermakna apabila ucapan lafaz syahadah mereka dipimpin oleh YAB Menteri Besar Kelantan,

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dan disaksikan oleh calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan turut hadir pada majlis itu adalah Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood dan Dr. Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Ketiga-tiga saudara baru itu, Hashim Along, 32, Ramle Sabri, 20 dan Asot Jeli adalah berasal dari Kampung Sandrop juga.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan diiringi calon PAS juga sempat meluangkan masa menziarahi Keluarga arwah Salmah Bt. Uda, 43 tahun yang meninggal pada Jumaat lalu.

Suami arwah, Alim Akai, 49 tahun yang terkejut dengan ziarah itu menyambut baik kunjungan Tok Guru dinasihati agar bersabar dan turut diberi sumbangan peribadi oleh beliau.

Calon PAS yang merupakan seorang doktor, sempat memberi penerangan ringkas mengenai bahaya penyakit stroke dan darah tinggi

Harakahdaily/-

90 peratus jemaah haji M'sia wajib bayar dam

26 Zulkaedah 1431 H

Kira-kira 90 peratus daripada 26,000 jemaah haji Malaysia yang memilih mengerjakan ibadah haji Tamattuk pada musim haji ini dikehendaki membayar dam mengikut syarat-syaratnya.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah berkata dam yang wajib dibayar itu ialah dengan menyembelih seekor kambing atau satu pertujuh bahagian seekor lembu.

"Jemaah haji boleh memilih dengan membayar sebanyak 350 Saudi Riyal (SR) untuk seekor kambing iaitu mengikut harga pasaran, bagi seorang.

TH cuma memberikan perkhidmatan yang boleh diwakilkan kepadanya mengikut Ju'alah (wakil yang dilantik)," kata Tengku Aziz kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah.

Beliau berkata TH menawarkan perkhidmatan bayaran dam di kaunter kewangannya di Mekah dengan memotong dari akaun simpanan atau membayar tunai bagi memudahkan
jemaah haji tidak perlu bersusah payah menguruskannya sendiri.

"Sebenarnya ada lima kategori jemaah yang mengerjakan haji Tamattuk tetapi tidak dikenakan dam. Antaranya ialah mereka yang mengerjakan umrah dalam musim haji dan dia keluar dua marhalah (91 km) dari Tanah Haram atau lebih untuk berniat haji dan kemudian masuk semula ke Mekah untuk menunaikan haji," katanya.

Menurut Tengku Aziz jemaah haji tidak dipaksa mewakilkannya kepada TH dan boleh menguruskannya sendiri kerana perkhidmatan tambahan ini disediakan bagi membantu mereka yang sukar mencari kambing dan menyembelihnya.

Haji Tamattuk ialah jemaah haji yang menunaikan umrah dahulu dalam bulan haji dan kemudian mengerjakan haji pada tahun hijrah yang sama. Haji Qiran, jemaah haji mengerjakan umrah dan haji secara serentak dan mereka dikenakan dam.

Kira-kira 10 peratus lagi jemaah Malaysia yang mengerjakan Haji Ifrad iaitu menunaikan ibadah haji dahulu dan mengerjakan umrah kemudian tidak perlu membayar dam, kata Tengku Aziz.

Menurut beliau lazimnya pelaksanaan dam dijalankan setelah tamat musim haji oleh pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah dan daging akan diagihkan kepada fakir miskin di Mekah.

"Saya harap jemaah akan mewakilkan pembayaran dam kepada TH supaya mereka dapat mengerjakan ibadah dengan tenang. InsyaAllah kami akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya," kata Tengku Aziz.

Malaysiakini/-

PAS turunkan sepanduk 'tidak bertuan'

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

Sekumpulan 30 orang daripada jentera pilihan raya PAS menurunkan satu sepanduk yang dipasang di depan satu pondok polis di Kampung Batu Putih yang didakwanya boleh menaikkan kemarahan dan kebencian.

Sepanduk itu yang tertulis "Pemimpin DAP beri tazkirah di surau, kenapa PAS sokong rumah Allah dihina", dipercayai dipasang di situ sejak malam tadi.

Penasihat jentera pilihan raya kecil Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mengetuai pasukan itu berkata, tindakan tersebut diambil bagi membantu pasukan penguatkuasa SPR.

"Walaupun SPR ada tiga pasukan penguatkuasa, mungkin suruhanjaya itu tidak dapat pantau kawasan pilihan raya yang begini luas.

"Sepanduk seperti ini (dipasang) tanpa tanggungjawab kerana tidak diberitahu siapa penerbitnya.

"Ia digantung di depan pondok polis yang bertugas 24 jam.

"Mereka ambil kesempatan untuk naikkan kemarahan dan kebencian," katanya yang tidak akan membuat sebarang aduan berhubung insiden itu.

"Kita sengaja tidak buat aduan sebab dalam pengalaman di (pilihan raya kecil) Manek Urai tidak ada tindakan polis.

"Mungkin mereka sibuk, kita hanya membantu," katanya lagi.

Sebelum ini, satu jentera PAS juga telah menurunkan satu sepanduk di kawasan Bandar Lama Gua Musang.

Malaysiakini/-

Umur bersara hakim syarie dilanjut ke 66 tahun

26 Zulkaedah 1431 H

Had umur persaraan wajib bagi hakim Mahkamah Syariah akan dilanjutkan kepada 66 tahun daripada 58 tahun mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata ini bagi menyelaras dengan umur persaraan hakim Mahkamah Sivil."Tujuannya antara lain ialah agar hakim yang baru dapat menimba berpengalaman daripada hakim yang senior.

Selain itu, dengan adanya hakim tersebut kita berharap tidak ada kes tertangguh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Syariah dan Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2010, di Nilai hari ini.

Katanya amalan sekarang ialah apabila sampai umur 58 tahun, perkhidmatan hakim-hakim Mahkamah Syariah akan disambung secara kontrak setiap tahun.

Semasa merasmikan seminar tersebut, Jamil Khir berkata inisiatif perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan umum terhadap keunggulan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang dapat menjamin keadilan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa atau agama.

Beliau juga berkata Mahkamah Syariah perlu menjadi institusi yang bebas dan disegani dalam menegakkan keadilan tanpa perlu tunduk kepada tekanan luar yang datang daripada pelbagai kelompok organisasi dan masyarakat.

Malaysiakini/-

Banjir bertambah buruk, lebih 20 ribu dipindahkan

26 Zulkaedah 1431 H

Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat.
Di Kedah, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkatkan kepada 15,509 penduduk daripada 4,292 keluarga di beberapa daerah sejak semalam.

Daripada jumlah itu 10,834 penduduk daripada 3,108 keluarga dari daerah Kubang Pasu, 3,478 mangsa daripada 927 keluarga (Padang Terap), 709 penduduk daripada 154 keluarga (Kota Setar) dan 488 penduduk daripada 103 keluarga di Pokok Sena.

Di Perlis, keadaan banjir bertambah buruk dengan angka mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,536 orang petang ini berbanding lebih 3,000 pada sebelah pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, mereka dipindahkan ke 35 pusat pemindahan dengan 2,548 mangsa di kawasan Kangar, 1,154 di kawasan Padang Besar dan 834 di kawasan Arau.

Pasukan penyelamat masih mengesan mangsa-mangsa yang perlu dipindahkan untuk dibantu.

Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut meninjau beberapa pusat pemindahan banjir hari ini.

Antara pusat pemindahan yang dilawati baginda berdua ialah Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan, Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup dan Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi.

Pada lawatan itu, Raja Muda Perlis menasihati mangsa-mangsa banjir supaya bersabar dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka.

Di Kedah - Kubang Pasu adalah daerah paling teruk terjejas akibat banjir dan sehingga 11.30 pagi ini seramai 6,215 orang dari 1,443 keluarga telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan.

Keadaan banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk hari ini akibat aliran air dari daerah Padang Terap dan paras air di semua terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan sungai di Kubang Pasu kini melepasi paras bahaya.

Sehubungan itu, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Noh Dahya, menasihatkan penduduk di daerah berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam banjir besar pada 2005 supaya bersedia dan seboleh-bolehnya berpindah awal.

Katanya, ini kerana paras air dijangka meningkat dalam tempoh enam jam bermula 11.30 pagi.

"Setakat ini boleh dikatakan hampir seluruh daerah ini dilanda banjir dan penduduk di 33 kampung dalam 16 mukim telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya.

Pada 2005, lebih 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di Kubang Pasu.

Selain Kubang Pasu, daerah lain yang kini dilanda banjir ialah Padang Terap dan sehingga kini seramai 2,368 orang telah dipindahkan, Kota Setar (313 orang) dan Pokok Sena (368 orang).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Padang Terap Khalijah Latif berkata antara kampung yang terlibat di daerah itu ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Belimbing Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air bagi tiga sungai di daerah itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kuala Nerang 21.08 meter (bahaya 17.07m), Sungai Kubu di paras 15.13m (bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 34.21m (bahaya 33m).

Tinjauan mendapati jalan utama dari Kuala Nerang menuju Padang Terap ditutup untuk semua lalu lintas.

Jurucakap bilik gerakan banjir Pokok Sena Noor Nazila Hassaim berkata tujuh kampung di daerah itu kini ditenggelami air, antaranya Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Derang dan Kampung Bukit Hijau.

"Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Seberang Paya, Dewan Kampung Empa dan Surau Permatang Limau," katanya.

Di Kota Setar, sebanyak 11 kampung ditenggelami air dengan semua sungai di daerah itu kini melepasi paras bahaya.

Malaysiakini/-

Karpal desak Azhar Ibrahim didakwa ikut Akta Hasutan

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : S Pathmawathy

Ahli parlimen veteran, Karpal Singh mahu ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim diheret ke mahkamah atas tuduhan menghasut berhubung kenyataan yang dibuatnya pada 6 Mei lalu.Semalam, DUN Pulau Pinang menggantung Azhar untuk selama enam bulan.

Menurut Karpal, perkara yang diutarakan oleh Azhar serius dan membawa implikasi negatif terhadap perhubungan kaum di Malaysia walaupun Azhar menarik balik kenyataannya itu.

"Perlembagaaan Persekutuan dan semua perlembagaan negeri di Malaysia dipinda selepas peristiwa 13 Mei 1969 untuk sebarang hasutan dibolehkan dibawa kepada pertuduhan jenayah walaupun diutarakan dalam prosiding parlimen atau DUN," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Azhar dilaporkan berkata mahu pihak tentera mengambil alih tugas polis dan mengatakan benci kepada orang Melayu bererti benci orang Islam.

Menurut Karpal kes pendakwaan kata-kata berbaur hasutan di parlimen pernah berlaku sebelum ini dan agak hairan mengapa DUN Pulau Pinang tidak membuat laporan polis berkenaan isu ini.

"Saya agak terkejut DUN Pulau Pinang tidak merujuk perkara ini dalam bentuk laporan polis untuk tindakan diambil terhadap.

"Tahun 1982, seorang ahli parlimen disabit kesalahan kerana mengutarakan perkataan berunsur hasutan dalam prosiding parlimen. Ahli Parlimen tersebut, Mark Koding didapati melanggar seksyen 3(1)(b) akta hasutan kerana meminta pindaan perlembagaan dan penarikan pindaan artikel 152 Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.

Karpal juga pernah dihadapkan dengan tuduhan di bawah akta Hasutan tahun lalu kerana membuat kenyataan Sultan Perak harus dibawa ke mahkamah kerana peranan yang dibawa baginda ketika tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada tahun 2009.

Justeru beliau meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat laporan polis ke atas Azhar (atas, pertama dari kiri).

"Azhar tidak boleh dibenarkan terlepas hanya dengan digantung enam bulan.

"Peguam Negara, sebagai Pendakwaraya bertanggungjawab untuk bertindak tanpa takut atau pilih kasih demi kebaikan awam," sarannya.

Malaysiakini/-

K'jaan tak lagi umum harga RON 97

26 Zulkaedah 1431 H

Kerajaan tidak akan lagi mengumumkan setiap kenaikan harga petrol gred premium RON 97kerana ia akan didasarkan kepada harga purata pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata kementerian berkenaan dan kementerian kewangan akan memantau harga runcit mengikut "harga global".

"Sama seperti melihat harga saham di Bursa, anda perlu mencari sendiri harganya," katanya kepada wartawan di bangunan Parlimen.

Sejak kenaikan terakhir harga petrol pada bulan Julai, di mana harga RON 97 juga tertakluk kepada pengapungan yang berdasarkan harga pasaran, hari ini adalah pertama kalinya harganya meningkat.

Menurut Rohani, dari 16 Julai sampai sekarang, harga petrol di pasaran global adalah stabil dan tidak ada kenaikan harga.

Bulan lalu, tambahnya, harga di pasaran global naik, maka harga petrol pun diselaraskan mengikutnya.Rohani berkata, kerajaan akan memantau harga purata pasaran setiap bulan.

Malaysiakini/-

'Hilang layak undi awam' teramai di negeri Pakatan

26 Zulkaedah 1431 H

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesak supaya menjelaskan persoalan yang berbangkit berhubung kumpulan pengundi 'hilang layak undi awam' yang berjumlah 18,493 orang dalam Rang Daftar Pemilih Suku ketiga 2010.

Dan lebih mencurigakan, kata Pemuda PAS Pusat, jumlah tiga negeri paling ramai pengundi “hilang layak undi awam” ialah Kelantan (3,187), Kedah (2,876) dan Perak (2,007).

"Ironinya, negeri terbabit adalah dua negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dan sebuah negeri lagi telah dijatuhkan secara tidak demokratik oleh BN," kata ketua penerangan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kaiat.

Mengikut kebiasaannya, tegas beliau, apabila seseorang pemilih menjadi pengundi pos, maka secara automatik mereka akan hilang kelayakan sebagai pengundi awam.

"Bilangan 18,493 undi “hilang layak undi awam” adalah cukup besar. Mereka berkemungkinan besar isteri atau keluarga anggota tentera atau polis," katanya dalam satu kenyataan sambil menambah, kumpulan itu baru diwujudkan dalam rang daftar pengundi bagi suku ketiga tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, bilangan anggota tentera dan polis yang memohon sebagai pengundi pos adalah 76 orang sahaja, berbanding dengan keluarga mereka yang memohon berjumlah 18,493 orang.

"Secara tidak langsung, (ia) membawa maksud bahawa secara puratanya satu keluarga polis atau tentera mempunyai 243 orang ahli. Ini angka yang tidak munasabah," tambahnya.

Katanya, tidak dinafikan keluarga anggota polis dan tentera boleh memohon sebagai pengundi pos secara berasingan dengan suami atau isteri mereka yang menjadi anggota terbabit.

"Tetapi pendaftaran secara beramai-ramai di suku ketiga dan hampir dengan pilihanraya umum ke-13 adalah sungguh mencurigakan. Seolah-olah ada usaha saat-saat akhir untuk memberi kemenangan kepada pihak tertentu.

"Terdapat maklumat juga yang menyatakan bahawa terdapat isteri anggota keselamatan yang tidak mengetahui nama mereka telah dipindah daripada pengundi awam kepada pengundi pos. Mereka telah menjadi mangsa kepada golongan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurut Suhaizan lagi, apa yang paling mencurigakan adalah walaupun kali pertama kumpulan ini diwujudkan tetapi mempunyai bilangan yang cukup ramai iaitu 18,493 orang.

Mengenai jumlahnya yang ramai di Kedah, Kelantan dan Perak, Suhaizan berkata, kemenangan Pakatan rakyat dengan majoriti kecil di peringkat DUN adalah sangat membimbangkan.

"Contohnya di negeri Kedah bagi DUN N24 Jeneri, YB Yahya Abdullah (Pakatan) menang dengan majoriti 67 undi sedangkan undi “hilang layak undi awam” yang telah dimasukkan berjumlah 117 orang.

"Kemungkinan Pakatan akan kalah sebanyak 50 undi dalam pilihanraya akan datang. Bagi DUN N26 Tanjung Dawai, YB Dr Hamdan Mohd Khalib (Pakatan) menang dengan majoriti 79 undi.

"Undi daripada pengundi “hilang layak undi awam” yang dimasukkan ke DUN ini adalah seramai 105. Maka Pakatan kemungkinan kalah dengan majoriti sebanyak 26 undi," tambahnya.

Suhaizan juga menyentuh tentang pembaikan sistem undi pos yang didakwanya masih kabur.

"Selepas kekecohan pengurusan undi pos dalam pilihanraya Kecil Sibu lepas, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyedari
bahawa proses undi pos menyusahkan dan menggunakan terlalu banyak borang.

"Beliau berjanji mahu membuat perubahan terhadap sistem pengundian pos. Sehingga hari ini tidak diketahui apakah statuscadangan beliau ini.
"Kewujudan pengundi “hilang layak undi awam” ini akan menambahkan bilangan pengundi pos.

"Bagaimana SPR mahu menghadapi pertambahan pengundi pos yang besar ini sedangkan janjinya untuk memperbaiki sistem undi pos belum menampakkan hasilnya?

"Selagi ruang manipulasi dalam undi pos masih ada maka pilihanraya di negara ini akan dipertikai oleh rakyat," kata Suhaizan.

Oleh itu, katanya, bagi memastikan sistem pilihanraya berjalan dengan adil dan telus maka SPR mesti menjelaskan kepada rakyat persoalan yang berbangkit berhubung dengan kumpulan pengundi “hilang layak undi awam”.

Malaysiakini/-

Insiden di Galas: Kumpulan TBH tuduh Heng berbohong

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Wong Teck Chi

Gerakan 'Malaysian for Beng Hock' hari ini mengeluarkan gambar-gambar untuk membuktikan bahawa salah seorang anggotanya telah dikasari oleh seorang pemimpin MCA Gua Musang Sabtu lalu.

Penyelarasnya, Ng Yap Hwa berkata, gambar-gambar tersebut
membuktikan bahawa anggotannya itu, Soh Cher Hai, jelas ditolak dengan ganas oleh seorang individu yang dikenalpasti sebagai setiausaha MCA bahagian Gua Musang.

Gerakan itu berkata, gambar tersebut merupakan bukti bahawa Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie, telah membuat kenyataan yang mengelirukan mengenai kejadian tersebut.

Heng telah mendakwa bahawa Soh tidak benar-benar jatuh ke tanah dan beliau telah memastikan keselamatan Soh sebelum beredar dari situ.

Ng berkata, gambar-gambar tersebut juga menjukkan Heng tidak sahaja menyaksikan insiden itu, tetapi beredar tanpa memperdulikan Soh, yang terjatuh di tanah, hanya beberapa kaki sahaja darinya (kanan).

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibunegara, beliau mendesak MCA supaya memecat setiausaha bahagian yang bertindak ganas itu, dan mengambil tindakan displin terhadap Heng kerana didakwanya berbohong.

Soh turut hadir di sidang akhbar tersebut. Sabtu lalu, Soh cuba menemui Heng selepas satu majlis di Gua Musang, di mana timbalan menteri itu berkempen untuk BN dalam pilihan raya kecil Galas.

Ekoran insiden kekasaran terhadap Soh itu, masyarakat Cina di Gua Musang telah menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap MCA berhubung apa yang berlaku itu.
Dalam usaha untuk meredakan keadaan, Heng mengeluarkan
kenyataan semalam untuk menunjukkan sokongannya terhadap salah satu isu yang dibangkitkan oleh gerakan tersebut, iaitu penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh.

Malaysiakini/-

PAS bantah penjumlahan 4 peti undi Orang Asli

26 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

PAS akan menghantar notis bantahan berhubung proses penjumlahan undi bagi empat kawasan mengundi Orang Asli dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Pengarah pilihan raya PAS negeri Abdul Fatah Haron berkata, proses berkenaan dicurigai kerana ia hanya akan dikira di pusat penjumlahan.

Amalan sebelum ini adalah mengira undi berkenaan di pusat mengundi masing-masing, katanya.

Jelasnya, ejen calon tidak dapat mengikuti helikopter yang membawa peti peti undi dari empat pusat mengundi Orang Asli - di Belatim, Balar, Bihai dan Hau.

"Kita ragui keselamatan peti undi ini kerana (ejen parti) tidak dapat ikuti bersama (dalam helikopter tersebut)," katanya.

Ketika ditanya, beliau berkata PAS mengambil masa yang lama untuk membuat bantahan kerana perlu meneliti peruntukan undang-undang yang ada.

"Memang ada fakta untuk kita bantah. Kita akan bawa ke mahkamah.

"Peguam kita sedang buat persiapan terakhir. Esok pagi kita akan faks surat (bantahan)," katanya lagi dalam sidang media lewat petang ini di markas jentera PAS di Gua Musang.

SPR menetapkan untuk membawa peti undi di empat pusat mengundi berkenaan dengan dua perjalanan selepas tamat tempoh mengundi.

Perjalanan pertama akan membawa peti undi dari Balai Rawatan JHEOA Pos Belatim dan SK Bihai ke pusat penjumlahan di Dewan Sivik.

Perjalanan kedua helikopter berkenaan pula akan membawa dua lagi peti dari Dewan TBK Ladoi dan SK Balar.

Malaysiakini/-

Selepas jumpa Clinton, M'sia ikrar keadilan bagi Anwar

26 Zulkaedah 1431 H

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini selepas perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton berjanji bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat perbicaraan yang adil berhubung dakwaan kes liwat yang dihadapinya.

"Adalah menjadi kepentingan saya dan negara untuk memastikan Anwar dapat perbicaraan yang adil,” kata Anifah ketika persidangan akhbar bersama, - merujuk terhadap dakwaan yang dikenakan ke atas Anwar yang boleh menyaksikan beliau dihumban ke penjara sehingga 20 tahun.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri dipecat dan dipenjarakan atas beberapa dakwaan seks dan rasuah sedekad yang lalu berkata beliau sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik dan melahirkan kebimbangan tidak mendapat keadilan sewajarnya berhubung dakwaan terbaru dengan seorang lagi pembantunya.

Pakatan pembangkang yang diterajuinya membuat kejutan pada pilihan raya umum 2008 lalu dengan menafikan kerajaan BN kemenangan dua pertiga di Dewan Rakyat, - sesuatu yang tidak diduga sejak BN memerintah negara ini lebih separuh abad.

Anwar, yang didakwa mengadakan perhubungan sejenis dengan pembantunya berkata semua tuduhan yang dilemparkan itu bertujuan menamatkan kerjaya politiknya dan melemahkan Pakatan Rakyat.

Badan Hak Asasai Manusia menggesa Malaysia menggugurkan dakwaan ke atas Anwar dan membidas kes itu sebagai "charade of justice," atau 'keadilan kepura-puraan' dan Amerika Syarikat telah memberi amaran bahawa ia sedang memerhati dengan teliti peristiwa berkenaan.

Meliwat walaupun di kalangan golongan dewasa atas dasar kerelaan kedua-dua pihak adalah satu kesalahan jenayah di Malaysia.

Perbicaraan Anwar bermula pada Februari lalu tetapi tergendala akibat penangguhan dan tidak mencapai banyak kemajuan.

Malaysiakini/-