30 Mac 2011

Gempa Bumi Landa Pantai Timur, Honshu, Jepun

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 6.0 pada skala Ritcher berlaku berhampiran pantai timur Honshu, Jepun pada 1.29 petang.

Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan.

Kos selenggara 2 kapal selam RM50 juta setahun

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti. Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini, beliau berkata kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd. Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.

"Penyelenggaraan (setiap satu kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa.

"Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu) mengikut perjanjian yang dimeterai," katanya.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.
KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah pada Julai, 2010.

Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Febuari tahun lalu.

Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Januari tahun lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar.

Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang sering kali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.

"Masalah teknikal yang dihadapi oleh kapal selam adalah masalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia. Saya kira dalam hal ketenteraan dan keselamatan negara kita patut berkongsi rahsia, jangan mendedahkan kelemahan sistem pertahanan negara ke luar (negara)," katanya.

Beliau berkata pencapaian paling membanggakan dalam operasi kapal selam berkenaan ialah apabila KD Tunku Abdul Rahman membuat penembakan misil SM 39 pada Julai lepas di kedalaman 55 meter dan telah mengenai sasaran yang berada sejauh 40 kilometer.

"Kejayaan itu dapat meningkatkan semangat juang yang lebih tinggi kepada krew kapal walau pembangkang mengatakan kedua-duanya (kapal) bermasalah," katanya.

Abdul Latiff juga berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati selepas menaiki KD Tunku Abdul Rahman dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan baru-baru ini. - BERNAMA

Dua pegawai kanan kastam ditahan

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 29 Mac – Dua pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi besar-besaran di kawasan pantai timur, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor, semalam.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, ketika serbuan dilakukan secara serentak di kawasan pantai timur, pihaknya menemui wang bernilai ratusan ribu ringgit dalam keadaan berselerakan di rumah pegawai kanan kastam terbabit yang merupakan pasangan suami isteri.

Menurutnya, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dibantu lima agensi lain membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis JKDM di seluruh negara.

“Selain itu, lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan disita hasil operasi secara serentak melibatkan tujuh agensi bagi mengatasi kegiatan haram membabitkan nilai berbilion ringgit,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Operasi pasukan petugas khas diketuai oleh SPRM itu dijalankan secara serentak dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam semalam.

Mustafar berkata, tindakan penyitaan akan dilakukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

Beliau berkata, kesemua entiti berkaitan diserbu kerana dipercayai terlibat dalam pengisytiharan di bawah nilai sebenar cukai kastam, pengelakan cukai pendapatan dan aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara yang melibatkan nilai wang mencakupi berbilion ringgit dan perlakuan jenayah rasuah.

“Kesemua kegiatan tersebut melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Menurutnya, operasi yang dijalankan adalah mengenai kegiatan haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan berjumlah berbilion ringgit disebabkan kegagalan mengutip cukai dan duti kastam.

“Ia juga melibatkan pendapatan yang tidak dilapor yang dihantar ke luar negara tanpa kelulusan, pengisytiharan tidak betul barangan import serta penyeludupan wang keluar sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata, pasukan tindakan khas itu akan mengambil tindakan serius yang sewajarnya terhadap individu dan syarikat terlibat kerana kegiatan-kegiatan berkaitan boleh menyebabkan bahaya kepada ekonomi, keselamatan dan reputasi negara.

Utusan Malaysia/-
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

Premium tanah RM10 untuk pendidikan – PR Perak

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Pakatan Rakyat Perak berjanji akan memberi kadar premium tanah secara nominal RM10 sehektar untuk tapak tanah yang diluluskan kepada institusi pendidikan sumbangan wang orang awam (Suwa) jika rakyat memberi mandat kepada mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Mohammad Jamaluddin (gambar) berkata, Pakatan Rakyat menyedari masalah kewangan yang bakal dihadapi oleh sekolah-sekolah agama, suwa dan Sekolah Tamil kerana jumlah premium tanah masih belum mengambil kira kos pembangunan tanah yang menelan belanja jutaan ringgit.

Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, perkara itu berlaku apabila BN merampas kuasa di Perak mengenakan premium tanah bernilai berjuta-juta ringgit kepada tanah yang diluluskan kepada Suwa.

Sebagai contoh jelasnya, sekolah Suwa dikehendaki membayar premium tanah sebanyak RM2,240,000 dengan setiap sekolah terpaksa menanggung kos premium tanah RM248,888.

"Ini satu beban yang cukup berat berat untuk lembaga pengelola sekolah tersebut. Atas dasar BN tersebut, pihak lembaga pengelola sekolah terpaksa mengutip derma dan merayu bantuan dari pelbagai pihak khususnya masyarakat umum," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika Pakatan Rakyat memerintah di negeri itu pada tahun 2008, kerajaan negeri bersetuju untuk meluluskan tanah kepada institusi pendidikan iaitu tanah seluas 2,023 hektar kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan 1,012 hektar untuk sekolah Suwa dan 607 hektar untuk sekolah Tamil supaya dijadikan modal dan tabung untuk membantu pembangunan institusi pendidikan tersebut.

Turut bersama Nizar pada sidang media tersebut ialah Pengerusi PKR Perak, Dr Mohd Nor Manuty dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Kabinet Syria dijangka dibubar

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

DAMSYIK - Kerajaan Syria dijangka dibubarkan hari ini dan Kabinet akan dibentuk dalam tempoh 24 jam, kata seorang pegawai kanan di sini kepada AFP.

Pegawai itu yang enggan namanya disiarkan berkata, kerajaan akan mengemukakan peletakan jawatannya hari ini dan Kabinet baru bakal dibentuk dalam tempoh 24 jam.

Perdana Menteri Mohammed Naji Otri membentuk kerajaannya pada 2003 dan melakukan rombakan terakhir pada April 2009.

Sementara itu, beribu-ribu rakyat Syria berhimpun di ibu negara ini dan sekurang-kurangnya empat bandar lain hari ini sambil membawa gambar Presiden Bashar Assad dan mengibarkan bendera Syria bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Penyokong kerajaan hari ini berhimpun di Damsyik, wilayah Aleppo dan Hasakeh di utara Syria dan bandar Hama dan Homs di bahagian tengah negara.

Sesi persekolahan dibatalkan hari ini sementara golongan pekerja diberikan pelepasan selama dua jam bagi menghadiri perhimpunan tersebut.

"Rakyat mahukan Assad. Kami menolak perpecahan kaum dan perselisihan sivil," laung mereka sambil membawa sepanduk prokerajaan.

Assad yang menguasai Syria selama empat dekad dan mempunyai rekod menumpaskan pihak yang menentangnya dengan kejam, cuba untuk meredakan protes secara kompromi.

Beliau dijangka menyampaikan ucapan kepada negara dalam tempoh 24 jam bagi mengumumkan penarikan balik pemerintahan darurat selama hampir 50 tahun dan membatalkan sekatan ketat ke atas kebebasan sivil serta politik. - AFP

Virus Adeno: Pelatih Pulapol ketiga meninggal dunia

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 30 Mac – Mohamed Siman, 23, merupakan pelatih ketiga di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini yang meninggal dunia akibat jangkitan virus Adeno di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.

Pelatih konstabel yang berasal dari Bagan Datoh, Perak itu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pukul 11.30 malam tadi.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan seorang lagi pelatih Pulapol meninggal dunia akibat jangkitan virus Adeno.

Beliau berkata, mangsa telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 3 Mac lalu meninggal akibat kegagalan organ dalamannya berfungsi. - Utusan

Tentera Gaddafi serang puak pemberontak di Misrata

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ALGIERS 30 Mac - Pasukan pemberontak yang berada di bandar Misrata mendakwa mereka telah diserang dengan kuat oleh pasukan tentera Muammar Gaddafi semalam dan mereka merayu kepada mesyuarat kerajaan di London bagi membantu mereka.

“Pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan yang dahsyat terhadap kami di Misrata.

“Mereka tekad mahu merampas balik bandar ini, ini adalah hari yang sukar bagi kami,”kata seorang jurucakap pasukan pemberontak, Mohamed melalui perbualan dari telefon satelit. - Reuters

Penduduk marah krisis air paling teruk

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TEMERLOH,30 Mac: Krisis air yang menjejaskan sekurang-kurangnya 12,000 penduduk di sekitar daerah ini melibatkan taman perumahan dan kampung tradisional sejak empat hari lalu menimbulkan kemarahan mereka terhadap Jabatan Bekalan Air (JBA), wakil rakyat dan menteri besar (MB).

Malah menurut penduduk, beberapa kawasan perumahan seperti Taman Setia Jasa, Seberang Temerloh dan Mentakab turut mengalami gangguan bekalan air sejak 1 Mac lalu.

Tinjauan Harakahdaily ke Taman Setia Jasa yang mempunyai lebih 400 buah rumah dan seramai 1,800 penduduk mendapati penduduk mula menzahirkan kemarahan dengan memasang sembilan kain rentang sebagai protes kepada JBA, wakil rakyat dan MB untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung masalah bekalan air itu.

Seorang penduduk dari taman sama, Ghazali Idris, 63, berkata, gangguan bekalan air di taman perumahan itu berlaku sejak sebulan lalu dengan ada ketikanya air keluar kecil. Tetapi sejak awal minggu lalu langsung tiada air.

Menurutnya, gangguan itu berlaku pada sebelah petang hingga subuh, namun sejak Sabtu lalu, langsung tiada bekalan air.

“Dulu dah pernah berlaku teruk macam ini tetapi selesai, sekarang jadi semula. Kami dah adu pada JBA tetapi mereka kata tak tahu punca dan ada yang ada paip bawah tanah bocor.

"Keadaan ini membuatkan kami di sini jadi seperti balik ke zaman dulu. Bayangkan, saya memandu kereta sejauh 30 kilometer menuju ke Chenor untuk memunggah air Sungai Pahang setiap hari bagi kegunaan makan minum dan kebersihan untuk ahli keluarga,” katanya.

Menurut Ghazali, masalah air di Taman Setia Jasa itu turut menyebabkan pelajar-pelajar sekolah di situ mengalami masalah lewat ke sekolah kerana terpaksa mandi di Jengka setiap pagi.

“Saya ada tiga anak yang bersekolah. Mereka terpaksa bangun awal pagi, balik ke kampung di Jengka untuk mandi dan patah semula ke sekolah di Temerloh. Anak orang lain pun macm tu.

“Jadi sampai bila masalah ini hendak selesai? Kita harap JBA segera selesaikan jangan penduduk telefon pun tak mahu jawap. Bayangkan penduduk yang ada anak kecil, lagi susah,” katanya.

Taman Setia Jasa terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab dan Parlimen Temerloh.

Seorang penduduk lagi, Ahmad Harun, berkata ini merupakan kali kedua penduduk menghadapi krisis air yang serius dan lama sehingga terpaksa memunggah air dari luar.

"Baru-baru ini ada penduduk mengadakan majlis kenduri kahwin, walaupun ada pihak yang menolong tapi teruk memunggah air. Bagaimana pula kalau berlaku kematian?

"Saya fikir Temerloh ini tidak sepatutnya menghadapi masalah air berulang kali kerana berada dipinggir Sungai Pahang yang mewah air. Jadi sudah tentulah ini kelemahan JBA," katanya.

Ahmad berharap, supaya JBA segera selesaikan masalah yang menghantui penduduk iaitu dengan JBA menghantar empat lori tangki air sehari dengan tiga kali penghantaran.

Sementara itu, peniaga warung makan di situ, Rahim Bakri, turut mengakui ketiadaan air menyebabkan perniagaannya banyak terjejas kerana untuk memasak dan membersih terpaksa menggunakan air yang banyak dan beliau terpaksa memunggahnya dari luar.

Harakahdaily/-
Oleh : Khairil Abdul Rahim



Kes PKFZ : Keputusan Permohonan Ketepi Skrine & Co Diketahui 4 April

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 30 MAC : Mahkamah Tinggi Shah Alami menetapkan 4 April ini bagi memutuskan permohonan semakan semula kehakiman yang difailkan oleh bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Law Jenn Dong terhadap keputusan membenarkan firma guaman Skrine & Co bertindak sebagai pemerhati bagi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak semalam.

Pada 3 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak permohonan Law untuk menyingkirkan firman guaman itu sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan membabitkan skandal projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Law, 52, arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect, dan ketua pegawai operasi KDSB Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah terhadap 24 tuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd melibatkan bayaran RM116.85 juta kepada KDSB berkaitan dua projek di PKFZ.

Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi tuduhan pilihan iaitu menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik bagi sistem 33 kilovolt di PKFZ dan sistem yang sama ke Presint 2 serta Presint 8 telah dilaksanakan.

Tindakan itu telah mendorong OSK Trustees membuat bayaran RM5.42 juta kepada KDSB. Pada prosiding sebelum ini, Law diwakili peguam Tan Hock Chuan dan Skrine oleh peguam Leong Wai Hong.

Peguam Datuk V. Sithambaram mewakili Tan, manakala pendakwaan dijalankanoleh Timbalan Pendakwa Raya, Anas Mahadzir dan Hashley Tajudin.

Dalam hujahnya, Hock Chuan berkata permohonan itu dibuat atas alasan dua rakan kongsi firma guaman berkenaan iaitu peguam Vinayak Pradhan dan peguam Lim Chee Wee menganggotai pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan pada 2009 untuk menyiasat kes itu.

Kata beliau, Skrine, melalui Vinayak dan Lim, mempunyai capaian terhadap maklumat mengenai hasil siasatan pasukan petugas itu berkaitan pelaksanaan projek PKFZ.

Oleh itu, katanya, Skrine tidak layak untuk bertindak sebagai pemerhati bagi LPK dalam kes terbabit.

Hock Chuan juga berkata dua peguam berkenaan mungkin akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes itu.

“Oleh kerana mereka mempunyai capaian terhadap maklumat sulit dan mungkin dipanggil menjadi saksi, kami bimbang tiga tertuduh tidak mendapat perbicaraan secara adil.

“Oleh itu, Mahkamah Tinggi wajar mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen yang membenarkan Skrine menjadi pemerhati bagi LPK,” katanya.

Dalam hujahnya pula, Sithambaram berkata laporan yang dibuat pasukan petugas itu secara tidak langsung menyebabkan tuduhan berkenaan dikenakan terhadap tiga tertuduh.

“Oleh kerana mereka mempunyai capaian terhadap maklumat sulit, mereka boleh berkongsinya dan memberi dokumen tertentu kepada seseorang yang berpotensi akan dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan kes ini,” katanya.

Sementara itu, dalam hujahnya, Leong berkata firma berkenaan tidak pernah mewakili ketiga-tiga tertuduh dalam kes tersebut, tetapi mewakili LPK dan LPK bukan merupakan pihak dalam kes ini.

Membalas hujah Hock Chuan bahawa kedua-dua peguam berkenaan mungkin dipanggil menjadi saksi, beliau berkata perkara itu hanya spekulasi.

Anas pula berkata isu tersebut tidak akan menjejaskan kes pihak pendakwakerana tuduhan yang dikenakan terhadap tiga tertuduh dalm kes itu tidak berdasarkan dapatan pasukan petugas berkenaan, tetapi berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh polis.

“Dua peguam itu tidak termasuk dalam senarai kami sebagai saksi, tapi terpulanglah kepada pihak pendakwaan sama ada hendak memanggil mereka semasa perbicaraan nanti,” katanya.

-BERNAMA-

Anwar seru buat perubahan politik secara aman

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING, 30 Mac: Meskipun polis sedari dulu sentiasa memberi tekanan demi tekanan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR itu tegas menyatakan beliau mahu membawa perubahan politik secara aman dengan menggunakan saluran pilihan raya.

“Orang Arab nak tukar sistem, susah. Sehingga (mereka) terpaksa diadakan revolusi, (tapi) kita mahu perubahan secara aman. Kita tidak mahu masalah dengan polis. Anak-anak muda Sarawak perlu buat perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Kampung Tupong Batu yang terletak di pinggir Sungai Sarawak itu kerap disambut sorakan ‘reformasi’ di kalangan 300 penduduk setempat, lapor Keadilan Daily.

Pada ceramah di lokasi persendirian yang tidak memerlukan permit itu, polis hanya memberi masa 15 minit untuk Anwar berucap.

Malah, pihak berkuasa membuat banyak sekatan jalan raya di laluan yang menghala ke lokasi ceramah.

Ceramah Anwar di mana-mana jua termasuk di Sarawak sentiasa mendapat halangan polis

Anwar berkata, pilihan raya Sarawak kali ini amat penting kerana ia adalah masa paling sesuai untuk membuat perubahan kerana golongan penindas rakyat semakin berani berbuat demikian secara terang-terangan.

“Sebab itu, pilihanraya Sarawak penting. Perubahan adalah perlu. Orang Sarawak perlu sedar.

“Orang yang baik, takut. Orang yang jahat, berani. Ini tidak betul. Perkara ini mesti diubah. Sarawak mesti berubah. Sekaranglah masanya,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Dalam ceramah di Restoran Sim Poh Poh yang dihadiri ratusan penduduk pula, polis turut ‘mencipta’ halangan dengan tidak membenarkan pembesar suara di hala ke luar, sebaliknya mengarahkan ia dihala ke dalam premis itu.

Pada ceramah yang majoriti dihadiri masyarakat keturunan Tionghua titu, Anwar turut memetik falsafah cendekiawan purba Cina, Confucious.

“Kata Confucious: Lebih baik duduk di dalam kandang harimau daripada duduk di bawah kerajaan yang zalim.

Kehadiran Anwar memang dinanti-nantikan penduduk Sarawak yang dahagakan perubahan.

“Pembaziran berleluasa. Kronisme dan rasuah. Projek hanya untuk anak-anak, isteri dan kroni. Yang kaya hanya ketua menteri. Rasuah di bawah dan di atas meja.

“Benarlah seperti kata penyair besar di Jawa, Ronggo Warsito: Zaman ini zaman edan (gila),” katanya yang meminta rakyat Sarawak mengambil iktibar dari pesanan kedua-dua ahli falsafah itu.

Beliau mengingatkan rakyat Sarawak, pimpinan Barisan Nasional (BN) di Negeri Bumi Kenyalang itu juga membawa wang rakyat ‘lari’ hingga menyebabkan masyarakat dihimpit kemiskinan berpanjangan.

“Bukan sahaja di Mesir, Tunisia sahaja orang bawa duit. Di sini (Sarawak) pun sama bawa duit lari. Berapa yang dibawa lari Mubarak? 40 hingga 70 bilion USD. Rakyat miskin kerana pemimpin curi wang rakyat,” katanya.

Tripoli Terus Dibedil

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 30 MAC : Letupan kuat kedengaran di ibu negara Libya, Tripoli untuk malam ke-11 berturut-turut ketika kuasa dunia mula berdebat sama ada menyalurkan senjata api kepada kumpulan pemberontak bagi menjatuhkan Presiden Muammar Gaddafi.

Ketika Perancis bersiap untuk mengadakan rundingan bagi menyalurkan bantuan ketenteraan kepada pejuang pemberontak Libya, Menteri Luar, Alain Juppe berkata beliau kini berada di satu persidangan di London bagi menyiapkan pelan masa depan bagi Gaddafi di negara rantau Afrika Utara itu.

Tentera pemberontak yang kini menguasai timur Benghazi, kawasan pertama berjaya ditawan mereka sejak enam minggu lalu berkata, wakil diplomat Perancis dan Amerika Syarikat (AS) kini dalam perjalanan untuk menemui mereka di bandar raya itu.

Lewat malam semalam, dua letupan kuat menggegarkan Tripoli dan kawasan itu terletak berhampiran kediaman Gaddafi, berek pengawal dan markas tentera manakala kawasan pinggir bandar Tajura juga diserang, lapor koresponden AFP.

Letupan pertama berlaku kira-kira jam 1630 GMT, diikuti letupan kedua tiga minit kemudian di Daerah Bab Al-Azizya.

Tujuh letupan juga dilaporkan berlaku di Tajura, kawasan yang menempatkan kem tentera dan serangan sepanjang malam itu mensasarkan kawasan tentera udara itu.

Sementara itu, Reuters melaporkan pasukan pemberontak yang berada di bandar Misrata mendakwa mereka telah diserang dengan kuat oleh pasukan tentera Gaddafi semalam.

Mereka merayu kepada mesyuarat kerajaan di London bagi membantu mereka.

“Pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan yang dahsyat terhadap kami di Misrata.

“Mereka tekad mahu merampas balik bandar ini, ini adalah hari yang sukar bagi kami,”kata seorang jurucakap pasukan pemberontak, Mohamed melalui perbualan dari telefon satelit.

- Agensi

Rakyat Sarawak tidak akan gadai masa depan

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Pemuda PAS yakin rakyat Sarawak pasti tidak akan menggadaikan masa depan buat sekian kalinya di tangan BN.

Justeru, Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat (JPP DPPP), Mohd Firdaus Jaafar berkata, ebarang usaha menyekat perubahan rakyat Sarawak akan memendekkan lagi jangka hayat kerajaan BN.

Katanya, perubahan adalah suatu kemestian bagi membina suatu lanskap baru Sarawak.

“Biarkan rakyat Sarawak berubah dalam Pilihanraya Dun Sarawak kali ini, demi masa depan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli parlimen Jerai turut membidas kenyataan pemimpin Umno yang meminta pengundi Sarawak agar tidak menggadaikan masa depan mereka dengan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya itu.

Bagi JPP DPPP, Umno sebenarnya keliru siapakah yang menggadai masa depan negara.

Adakah Pakatan Rakyat yang mengajak rakyat melakukan perubahan dianggap memperjudikan masa depan mereka atau membiarkan masa depan rakyat terus dipertaruhkan di bawah BN yang jelas gagal membawa perubahan bermakna etelah sekian lama memerintah,” soalnya.

Katanya, JPP DPPP hairan bagaimana mentaliti kelas ketiga keluar dari pemimpin Umno dengan kenyataan sedemikian.

Tambahnya, rakyat di negara Amerika Syarikat telah melakukan perubahan dengan mengundi Barrack Obama yang menggunakan slogan ‘change’ (perubahan) dalam pilihanraya Presiden beberapa tahun lepas.

“Adakah rakyat di sana tidak boleh mengadaikan masa depan mereka dengan melakukan perubahan melalui unid kepada Barrack Obama?” soalnya lagi.

Katanya, kalau mengikut mentalitii pemimpin Umno, seolah-olah rakyat Amerika Syarikat telah menggadaikan masa depan mereka di tangan Presiden Barrack Obama.

“Bagaimana keadaan di Jepun dan negara-negara lainnya? Adakah mereka menggadaikan masa depan dengan mengundi parti selain kerajaan yang memerintah?” tanya beliau.

Sepatutnya, kata beliau rakyat diberi peluang menilai tawaran dan parti mana yang boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, menanam sentimen bahawa mengundi Pakatan Rakyat boleh menggadaikan masa depan rakyat adalah suatu mitos yang perlu dijauhi.

Ini, tambahnya adalah trend politik lapuk dan usang yang telah lama ditinggalkan sedangkan rakyat semakin bijak menilai isu yang diperjuangkan.

Katanya lagi, sejauh mana hak dan keperluan mereka dipenuhi serta tawaran sebagai syarat untuk mereka mengundi calon atau parti yang bertanding.

Harakahdaily/-

Komik Lucah Mirip Anwar, Izzah Lapor Polis

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 29 MAC : Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tampil membuat laporan polis berhubung pengedaran komik kartun lucah, 16 muka surat, yang menyerupai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Komik berjudul 'Kisah Juara Raja Lawak' itu, memaparkan aksi lucah pelbagai posisi, dikatakan diedarkan dikawasan Lembah Pantai semalam melalui saluran pos.

Izzah berkata pengedaran komik yang tidak bermoral itu membayangkan UMNO BN seolah- olah menghalalkan politik lucah dalam meraih sokongan rakyat.

“Saya dimaklumkan oleh pengundi Lembah Pantai khususnya pengundi baru yang mendapat salinan berserta dengan pendaftaran pengundi mereka satu majalah komik berjudul “Kisah Juara Raja Lawak” 16 muka surat dengan gambaran seakan-akan menyerupai Ketua Pembangkang dalam bentuk yang begitu lucah.

Izzah berkata beliau akan menghantar laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasiya (SPRM) dan mendesak agar dijalankan siasatan terhadap konspirasi mahu menjatuhkan reputasi dan kreadibiliti bapanya, Anwar dan beliau sendiri sebagai anak sulung tokoh politik tersohor itu.

"Saya akan hantar laporan kepada pihak polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat perkara ini kalau benar Kerajaan Barisan Nasional memang tidak menyokong dan menolak politik lucah durjana maka saya fikir tindakan tegas wajib diambil,” katanya.

Nurul Izzah membuat laporan polis itu di Ibu pejabat polis Dang Wangi kira-kira jam 2.40 petang tadi.

Turut mengiringi beliau empat orang termasuk Ketua Pemuda PKR cabang itu Abdullah Izhar Yusof dan seorang peguam.

Izzah senada dengan pemimpin Pakatan rakyat yang lain, menolak politik kotor yang kini dimainkan pemimpin UMNO BN.

Penyebaran komik lucah ini dikesan selepas pendedahan video lucah oleh 'Datuk T' yang cuba mengaitkan Anwar.

'Datuk T' dibarisi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Syazryl Eskay Abdullah dan bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

Rahim dan Eskay menafikan mereka ditahan polis sebaliknya hanya ke balai polis untuk memberi keterangan dan bahan bukti berupa video seks tersebut dan sebuah jam tangan Omega.

Pimpinan Pakatan Rakyat mempetikai tindakan polis yang tidak menahan mereka berikutan memiliki dan menayangkan video lucah kepada awam menyalahi undang- undang.

'Datuk T' sebelum ini menayangkan rakaman video lucah tersebut kepada sekumpulan wartawan disebuah bilik di Hotel Carcosa Seri Negara.

Tv Selangor/-


Rumpai ganti garam

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PROF DR SUHAILA menunjukkan estrak rumpai laut (cardio mate) dan kapsul rumpai laut.
Penyelidik UPM hasil KardioMate atasi masalah kesihatan

SERDANG: Selepas penyelidikan selama sembilan tahun dengan geran berjumlah RM500,000, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan produk alternatif kepada garam.

Dinamakan KardioMate yang dihasilkan daripada rumpai laut dan darat, ia didapati memberi manfaat kesihatan kepada pesakit kardiovaskular (CVD).

KardioMate juga sesuai untuk semua pengguna berusia empat tahun ke atas, ter-utama bagi penghidap tekanan darah tinggi serta masalah kesihatan lain seperti obesiti, diabetes, kanser, tiroid dan kolestrol tinggi.

Penyelidik Institut Biosains, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed, berkata KardioMate mempunyai ciri antioksida yang tinggi, kandungan natrium yang rendah serta kaya dengan serat dan mineral penting seperti magnesium, kalsium, kalium, iodin, zink, kuprum dan selium.

“Menerusi kajian terhadap haiwan di makmal, KardioMate didapati mengawal tekanan darah yang berlebihan, membantu mengurangkan berat badan serta melindungi mata, hati, jantung, ginjal, tulang, kulit, otak dan saluran darah.

“Selain itu, ujian makmal juga menunjukkan ia berjaya membunuh kanser sel manusia terutama kanser payudara,” katanya pada sidang media Putra Cipta di UPM, semalam. Hadir sama Pengarah Institut Biosains UPM, Prof Dr Fatimah Yusof.

Dr Suhaila berkata, KardioMate mempunyai aktiviti antimikrobial yang membantu melambatkan kerosakan makanan, pada masa sama merencatkan kenaikan gula dalam darah serta mengawal tekanan darah berlebihan.

“Berbanding garam biasa, KardioMate memiliki ciri antioksida yang baik untuk kesihatan dan kesegaran makanan. Selain garam alternatif, ia boleh dijadikan sebagai perasa masakan, sos, snek atau dicampur dalam aiskrim dan minuman.

“Serat rumpai laut ini juga boleh dijadikan bahan kosmetik dan krim topikal memandangkan antibodi yang dihasilkannya sama seperti gamat yang kini luas dikomersilkan.

“Saya berharap ada pihak industri akan bekerjasama dengan UPM Holdings mengkomersilkan rumpai laut ini. Saya mencadangkan ia dijual pada harga RM8 bagi setiap botol 80 gram. Walaupun agak mahal berbanding garam biasa, KardioMate sesuai untuk golongan berisiko,” katanya.

Berita Harian/-
Oleh Osman Lisut

Radiasi merebak ke negara jiran

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

CALIFORNIA - Kesan radiasi berpunca daripada loji nuklear Jepun ditemui dalam sampel air hujan yang diambil minggu lalu di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).

Bahan kimia radioiodin-131 pada tahap rendah di negeri itu sama seperti yang dikesan di tiga negeri lain di AS iaitu California, Washington dan Pennsylvania.

Namun, pegawai kesihatan menegaskan pencemaran itu tidak memberi sebarang bentuk ancaman kepada bekalan air.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Filipina turut melaporkan bahan radiasi dikesan pada permukaan udara di negara itu, semalam.

Selain itu, China dan Korea Selatan, dua negara paling hampir dengan Jepun turut melaporkan penemuan sama dalam sampel udara di negara masing-masing.

Sinar Harian/-

“Aku tak tergila nak tengok video tu”

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KULIM, 29 Mac: "Aku tidak tergila-gila nak tengok video tu macam pemimpim-pemimpin Umno," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu memulakan ucapannya ketika berucap dalam majlis ceramah isu semasa di Dewan Bandaran Kulim, malam tadi.

Intronya disambut tepukan gemuruh dan gelak ketawa hadirin yang telah memenuhi ruang dewan walaupun hujan turun dengan begitu lebat sebelum majlis bermula lagi.

Beliau yang merujuk kepada isu video seks lucah yang sedang diperkatakan mendakwa pembabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Umno dan BN kebelakangan ini.

Katanya lagi, adalah satu sejarah kepada negara apabila parti pemerintah menaja video lucah dalam negara, tetapi tiada tangkapan dan dakwaan yang dibuat samada terhadap pelakon, pengedar, pemilik maupun yang menayangkan video tersebut.

Menurutnya lagi, apabila keadilan sudah tidak menjadi keutamaan dalam pentadbiran sesebuah negara, maka rakyat menjadi mangsa kezaliman yang tidak adil oleh penguasa tersebut.

"Kita boleh membuat perbandingan apabila mereka bersungguh-sungguh memaksa pimpinan dari PR untuk menonton video yang telah mereka-reka dan rencana itu. Mana mungkin tiada agenda kalau bermati-matian, memaksa orang lain supaya tengok video tu.

"Kerajaan jangan cuba memperbodohkan rakyat. Jangan cuba nak cucuk hidung kita dan ditarik tali. Rakyat boleh bezakan mana yang dirancang dan mana satu yang asli," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan supaya segera melaksanakan keadilan dalam sistem pilihan raya dalam negara sepertimana yang menjadi tuntutan sehingga 1 Mei ini.

"Rakyat dah beri masa yang begitu cukup kepada kerajaan untuk menjalankan tugas mereka mengendalikan pilihan raya dengan cara adil dan telus. Empat perkara yang dituntut dalam pilihan raya mesti mereka tunaikan sepertimana tuntutan.

"Jika mereka engkar sehingga 1 Mei nanti, maka saksikan kebangkitan rakyat pada bulan Jun ini yang akan memenuhi ruang jalan-jalan raya menuntut supaya keadilan dilaksanakan terhadap sistem pilihan raya yang berat sebelah dalam negara, " ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, demokrasi bukan milik Umno dan BN sahaja. Demokrasi mesti diterima pakai untuk semua rakyat negara ini. Ia perlu diaplikasikan secara total dalam semua aspek pentadbiran negara bagi mewujudkan keadilan.

Katanya lagi sejarah yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya kini harus menjadi sandaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk melihat bagaimana kemarahan rakyat boleh menumbangkan sebuah kerajaan yang telah lama memerintah.

"Tengok dan ambil iktibar apa yang berlaku di negara-negara tersebut. Jangan asyik beri amaran kepada rakyat. Lebih parah jika rakyat memberi amaran kepada pemerintah yang zalim seperti Umno dan BN," tambah beliau lagi.

Harakahdaily/-
Oleh : Fakhri Ali

Mubarak dikenakan tahanan rumah

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan keluarganya kini berada di bawah tahanan rumah di kediamannya di pusat peranginan Laut Merah, Sharm El Sheikh.

Menurut Majlis Tertinggi Tentera Mesir, khabar angin yang mengatakan Mubarak dan keluarganya berpindah ke Arab Saudi adalah palsu.

"Khabar angin bahawa Mubarak berpindah ke Tabuk, Arab Saudi tidak benar. Beliau kini di bawah tahanan rumah bersama keluarganya," menurut kenyataan tentera dalam laman sosial Facebook, kelmarin.

Mubarak dipaksa meletak jawatan selepas 30 tahun memerintah dan menyerahkan kuasanya kepada Majlis Tertinggi Tentera, bulan lalu, selepas protes antikerajaan tercetus di negara itu.

Pihak berkuasa Mesir turut memerintahkan pembekuan dana dan aset keluarga Mubarak bulan lalu dan mengenakan larangan perjalanan ke atas keluarga pemimpin itu.

Sinar Harian/-


PKR bantah 'Datuk T' dilindungi undang-undang

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ahli-ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan supaya tidak memberikan perlindungan kepada trio ‘Datuk T’ yang menjadi dalang dalam tayangan video lucah palsu yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof seperti dilapor KeadilanDaily berkata, perlindungan kepada individu berkenaan sebenarnya cuba menjadikan Anwar sebagai tertuduh sedangkan beliau sebenarnya adalah mangsa.

“Apabila perlindungan diberi kepada trio ‘Datuk T’, ia menjadikan Anwar sebagai suspek,” kata Yusmadi yang juga pengamal undang-undang.

Yusmadi turut merujuk jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kong pada 20 April tahun lalu yang menyatakan bahawa saksi yang sudah melakukan pendedahan kepada media, tidak layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi.

Justeru, katanya, berdasarkan prinsip yang sama, individu berkenaan, yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah, tidak layak mendapat perlindungan sebagai saksi.

Menurutnya lagi, kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz, bahawa individu berkenaan boleh dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat, mengelirukan dan bertentangan dengan undang-undang.

Malah, kata Yusmadi lagi, selain perlu didakwa di bawah Seksyen 292 kanun Keseksaan Jenayah kerana melakukan tayangan serta pengedaran video lucah, mereka juga perlu didakwa kerana melakukan ugutan jenayah (criminal intimidation).

Turut menyertai Yusmadi pada sidang media itu adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Merbok, Rashid Din; dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani.

Harakahdaily/-

Rumah penuh wang

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SPRM temui ratusan ribu ringgit berselerakan di rumah pegawai kastam

PUTRAJAYA: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui ratusan ribu ringgit wang tunai berselerakan ketika menyerbu rumah seorang pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bergelar Datuk, di Pahang kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit.

Pegawai kastam berkenaan dan isterinya, juga seorang pegawai kastam disyaki terbabit dalam kegiatan yang turut membabitkan sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis KDRM di seluruh negara.

Sindiket terancang itu dipercayai terbabit dalam pengisytiharan barangan import di bawah nilai sebenar cukai kastam, mengelak cukai pendapatan, pengubahan wang haram dan penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara menggunakan penggurup wang serta perlakuan jenayah rasuah.

Jenayah itu dilumpuhkan oleh pasukan bertindak khas dianggotai KDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua agensi lain, diketuai oleh SPRM dalam operasi serentak secara besar-besaran pada jam 10 pagi kelmarin di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata berikutan itu, pihak berkuasa sudah membekukan lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan mengikut peruntukan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

"Kami menemui ratusan ribu ringgit berselerakan di rumah yang diduduki pasangan pegawai kanan Kastam berkenaan dan mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pembersihan wang haram membabitkan lebih 100 premis yang diserbu kelmarin,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, selain rumah pasangan itu, pasukan bertindak turut membuat serbuan terhadap 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis kastam di seluruh negara.

Katanya, siasatan membabitkan kesalahan Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selain Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

Mustafar berkata, operasi itu khusus bagi mencegah kegiatan haram yang menyebabkan kerugian hasil cukai kerajaan berbilion ringgit kerana kegagalan mengutip cukai dan duti kastam, pendapatan tidak dilapor yang dihantar keluar negara tanpa kelulusan, pengisytiharan tidak betul barangan import dan penyeludupan wang keluar sempadan negara.

"Apabila sesuatu barangan diimport dan harganya diisytihar lebih rendah daripada nilai sebenar, cukai yang ditaksir juga rendah. Justeru, wujud perbezaan dari segi nilai import dan harga sebenar yang menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit kutipan cukai.

"Operasi ini adalah hasil siasatan kita selama sebulan bagi mengenal pasti rangkaian keseluruhan kegiatan haram yang kita umpamakan sebagai sindiket yang mempunyai hubung kait. Kita akan meneruskan siasatan dengan mengambil keterangan daripada pasangan pegawai kastam itu,” katanya.

Mustafar mengesahkan serbuan itu ada kaitan dengan serbuan SPRM terhadap pejabat seorang ahli perniagaan yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Selangor, Ang Leng Kiat, kelmarin tetapi menegaskan premis berkenaan hanya secara kebetulan dimiliki sebuah parti politik.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuantan semalam mengeluarkan arahan menahan reman pasangan berusia 50-an itu selama empat hari bermula semalam ketika dibawa ke mahkamah selepas ditahan di pejabat SPRM di sini.

Pegawai Pendakwa SPRM, Raja Mohd Shasrizam Raja Nik Mahmud, berkata mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun.

Beliau berkata, pasangan berkenaan datang bersama peguam, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

“Pasangan berkenaan ditemui pegawai SPRM di rumahnya di Temerloh kelmarin bagi direkodkan keterangan dan ditahan secara sah di pejabat SPRM, jam 5 pagi semalam sebelum dibawa ke mahkamah untuk perintah reman," katanya.

Berita Harian/-
Oleh Magendran Rajagopal dan Irwan Shafrizan Ismail

Video lucah: Gajah sama gajah berperang

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEJARAH Kesultanan Melayu Melaka yang hebat hampir 600 tahun silam, termasyhur dan tersohor sebagai pusat perdagangan, pusat perkembangan syiar lslam dan persuratan Melayu akhirnya jatuh tersungkur di tangan 'orang asing' kerana sikap tamak, dendam, cemburu dan iri kesumat yang tidak berkesudahan.

Walaupun para perajurit Melayu Melaka bersemangat waja, kental patriotiknya dan gagah perkasa hingga dapat menewaskan serangan pertama 1509 armada Feringgi (Portugis yang datang dari Goa, lndia) yang diketuai de Suqeirra namun dendam yang berlarutan sehingga ke tahun 1511 menyebabkan soldadu Protugis yang menyerang Melaka sekali lagi yang diketuai oleh Alfonso de Albuqarque dapat merobohkan benteng Melayu Melaka dan menewaskannya.

Apakah rahsia kemenangan Portugis? Kerana ada musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan. Kerana hasutan dan dalang yang menabur duri kebencian dan kemusnahan orang-orang Melayu seperti Raja Mandeliar dan Si Kitol. Kerana robohnya kesatuan dan kesepakatan bangsa Melayu ketika itu yang mula berpuak-puak dan bersengketa sesama mereka.

Kerana perebutan harta, emas dan kuasa maka fitnah digunakan untuk melaga-lagakan sesama sendiri. Kerana hilangnya semangat juang kependekaran orang-orang Melayu ketika itu lantaran keuzuran Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya serta matinya Hang Jebat.

Bahkan kerana kebanjiran pendatang dan pedagang asing yang lebih mementingkan harta dan kekayaan tanpa menyumbangkan apa-apa untuk pertahanan.Bahkan kerana mengabaikan ajaran-ajaran agama lslam dan lebih mementingkan hiburan dan perkara-perkara khurafat.Manakala pemerintah utama waktu itu asyik diulit keseronokan duniawi.

Kini datang lagi setelah ratusan tahun. Sengketa, dendam dan cemburu yang melingkari isu video seks kini melalaikan masyarakat. Di sana sini kedapatan tohmah, cacian dan keaiban didedahkan di khalayak tanpa segan-silu. Apakah sejarah ‘robohnya kota Melaka’ akan berulang? Justeru demi masa depan anak-anak dan generasi kita, ingatlah pesan bijak bestari janganlah 'gajah sama gajah berperang, pelanduk yang mati di tengah-tengah’.

Dr Rajiee Had

Demi pembangunan, wajarkah titik peluh rakyat dipersiakan?

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Tiada siapa yang bernama manusia yang tidak inginkan kemajuan dan pembangunan. Ini adalah naluri dan keinginan fitrah semulajadi manusia yang sentiasa ingin maju ke hadapan. Walau siapa pun yang berada ditampuk pemerintahan dan kekuasaan, tidak dinafikan, pembangunan antara agenda tumpuan utama pemerintah, hatta kerajaan komunis yang tidak bertuhan sekalipun.

Rakyat juga sedia memahami dengan penuh kewarasan, antara keperluan utama pembangunan adalah tanah yang mungkin tanahnya memang sedia milik kerajaan, atau mungkin milik rakyat yang menjadi tempat mencurahkan titik peluh mencari rezeki serta menumpang berteduh atau ianya mungkin milik kerajaan tetapi telah diduduki oleh rakyat sendiri berpuluh tahun lamanya.

Alasan serta sebabnya mungkin pelbagai sehingga rakyat terpaksa menjadi penghuni tanah haram menjangkau hampir dua generasi lamanya di tanahair sendiri, di negeri dan negara yang dipimpin oleh bangsa sendiri.

Seakan sinonim, setiap kali berlaku pengambilan tanah rakyat untuk untuk apa jua alasan termasuk alasan skeptikal bagi keperluan pembangunan selalunya ia diiringi dengan episod yang tidak mengembirakan terutamanya di pihak yang lemah, rakyat! Tambah menyedihkan lagi sekiranya tanah yang telah diduduki dan diusahakan rakyat selama berpuluh tahun lamanya itu belum berjaya mendapat surat hak milik yang sah atau dengan istilah lain rakyat menduduki dan mengusahakan tanah secara haram.

Soal bayaran pampasan yang tidak munasabah malah kadang-kadang tanpa sebarang pampasan, masalah penempatan semula, kehilangan punca pencarian, ketidak mampuan untuk memiliki kediaman baru adalah antara isu yang sering berulang malah terus berulang.

Setiu antara kawasan yang banyak menyimpan memori duka di sebalik kisah pengambilan (baca perampasan) tanah. Antara yang tragis, tragedi November 2007.

Rakusnya kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh yang merampas tanah-tanah, dan merobohkan rumah-rumah rakyat di RTB Pengkalan Merbau, Sungai Tong, Langkap dan Belimbing Api, Jabi.

Kebun-kebun penduduk dimusnahkan, rumah-rumah yang dibina seadanya oleh rakyat bawahan dengan harapan di situlah mereka boleh membina kehidupan keluarga diruntuhkan dengan angkuhnya oleh kakitangan Pejabat Tanah Setiu arahan dari Kerajaan Umno dengan kawalan ketat pihak polis, tentu juga dengan arahan Umno.

Alasannya remeh, rakyat menduduki tanah kerajaan secara haram. Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh juga bertekad meneruskan tindakan zalim, membatal serta merampas semula tanah-tanah rakyat di bawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang dianugerahkan kepada rakyat oleh kerajaan PAS di seluruh negeri dengan alasan kononnya Lesen Menduduki Sementara (LMS) itu telah tamat tempoh.

Kira-kira 500 orang yang berada di Pengkalan Merbau, Sungai Tong, Setiu ketika tragedi 19 November 2007 tentunya tidak lupa ketika mereka turut mengalirkan air mata dan menangis menyaksikan bagaimana seorang anggota tentera, Khalid Shaari, pemilik rumah yang masih lengkap berpakaian uniform tentera sampai di tapak rumah dan kelihatan sebak dan menangis setelah merakamkan runtuhan rumahnya itu.

Rumah Khalid dirobohkan oleh Pejabat Tanah Setiu atas alasan meneroka tanah secara haram padahal Khalid mendapat tanah itu dari kerajaan negeri sebelum ini, yang ditadbir oleh PAS ketika itu.

Kerajaan Umno/BN Terengganu jangan buat-buat lupa bahawa mereka berhutang dengan rakyat atas kezaliman dan kerakusan mereka. Rakyat Terengganu tidak akan memaafkan kerajaan pimpinan Umno walaupun Menteri Besarnya telah berubah kerana MB Ahmad Said juga antara watak penting di sebalik runtuhnya Masjid Bujal, Kemaman.

Antara yang terkini, Pembangunan projek i-SHARP (Taman Akuakultur Udang Bersepadu), Setiu telah mengakibatkan lebih 60 orang peserta RTB Kubang Labi, Banggol Permaisuri kehilangan tanah yang telah diimarahkan bertahun-tahun dan menjadi sumber pencarian rezeki keluarga termasuklah Lot tanah yang dimiliki oleh Pengerusi JKKK Kampung Banggol.

Lot-lot tanah RTB ini yang berkeluasan 1 hektar bagi setiap lot adalah antara jasa tinggalan kerajaan PAS sebelum ini. Diagihkan kepada rakyat yang berkelayakan walaupun mereka ahli Umno.

Dalam melaksanakan projek udang berkeluasan kira-kira 1,000 hektar (2,400 ekar) ini yang merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampong Banggol, Kerajaan Negeri Terengganu telah menganugerahkan tanah berkeluasan tersebut dengan taraf pajakan selama 30 tahun kepada pemaju,

Blue Archipelago Berhad, termasuklah tanah RTB yang sedang diusahakan dengan aktiviti pertanian dan penternakan oleh penduduk. Asalnya kerajaan negeri seolah-olah memberi lesen untuk pemaju menjalankan kerja termasuklah memusnahkan kebun dan tanaman penduduk tanpa apa-apa bayaran! Alasannya, tanah itu adalah milik kerajaan dan rakyat adalah peneroka haram tanah kerajaan.

Kemudian, atas ihsan pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembinaan, peserta RTB ditawarkan RM500 untuk setiap lot tanah. Sungguh satu penghinaan kepada rakyat yang tak berdaya.

PAS Kawasan Setiu mengambil tindakan tegas menubuhkan Jawatankuasa Bertindak dinamakan i-BANTAH, berperanan sebagai orang tengah antara penduduk dengan pemaju, rapat umum bantahan telah dibuat,

perundingan demi perundingan dilakukan dengan pemaju akhirnya mereka bersetuju untuk membayar pampasan dengan nilai yang dijanjikan setimpal dengan penat lelah, kehilangan mata pencarian dan hasil yang sedang disusahakan. Janji pemaju kepada saya selaku Pengerusi i-BANTAH, nilainya mencecah jutaan ringgit. Penduduk menunggu dengan penuh harapan.

Akhirnya mereka dipanggil ke pertemuan dengan pihak Pentadbir Tanah Setiu di Suria Beach Resort, Merang kira-kira 3 bulan yang lalu. Agendanya, kononnya perbincangan berkenaan pampasan tanah yang akan diambil untuk projek udang. Tapi ternyata rakyat sekali lagi diperbodohkan.

Tidak ada sebarang perbincangan berlaku sebenarnya. Pegawai dari Pejabat Tanah Setiu hanya bercakap seorang diri, syok sendiri tanpa memberi peluang penduduk bersuara. Berulang kali beliau menayangkan, buku hijau ‘Kanun Tanah Negara’ dengan menegaskan juga secara berulang kali beserta nada penghinaan bahawa penduduk adalah penceroboh tanah kerajaan yang sebenarnya tidak layak mendapat sebarang pampasan atau saguhati.

Tapi atas ihsan dan belas kasihan, mereka akan dibayar RM5,000 seorang untuk tanah yang diusahakan dan RM3,000 seorang untuk tanah yang tak diusahakan. Sebahagian besarnya cuma mendapat RM3,000. Kata Pegawai Pejabat Tanah tersebut, inilah jumlah yang dipersetujui untuk dibayar oleh pemaju. Mana mungkin ada orang yang waras boleh bersetuju dengan nilai pampasan ini setelah menerima penghinaan sebegitu termasuk juga Pengerusi JKKK Banggol yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Atas nama Pengerusi i-BANTAH, lantas saya menghubungi peguam pemaju entah untuk kali yang keberapa bertanyakan hal pertemuan ini. Tanpa beliau mengetahui, maklumat lengkap tentang pertemuan telah ada di tangan saya, beliau cuba berdalih dengan menyatakan pertemuan itu telah berlangsung dengan jayanya dan kata sepakat telah diambil. Saya nyatakan, “Maaf Tuan Loyar.

Tuan tidak bercakap benar. Pertemuan itu sebenarnya berakhir tanpa nokhtah dan keputusan. Peserta RTB dihina dan dipaksa menerima saguhati yang kononya adalah atas dasar belas kasihan. Mana yang tuan janjikan kepada saya pampasannya bernilai jutaan ringgit? Kalau RM5,000 untuk 60 peserta baru RM300,00.

Itu pun ramai yang terima Cuma RM3,000.” Sikap dolak dalihnya mula terdedah. Katanya, inilah jumlah nilai saguhati yang dinilai oleh Pejabat Tanah Setiu, sedangkan pegawai Pejabat Tanah Setiu menyatakan, inilah nilai yang setuju dibayar oleh pemaju. Siapa yang benar dalam hal ini atau kedua-duanya pembohong untuk melepaskan diri.

Siapa yang menjadi mangsanya? Masih rakyat bawahan. Atas kebenaran siapakah, pemaju boleh melakukan semua ini? Jawabnya, atas lesen yang diberikan kerajaan Umno Terengganu.

Terkini adalah tragedi di Kampung Kepala Gajah, Jabi. Penduduk yang menerokai tanah kerajaan sejak lebih 50 tahun lalu di Kampung Kepala Gajah, Jabi, Setiu bakal kehilangan rumah, tanaman dan tanah tersebut. Tanah yang diusahakan dan didiami penduduk terbabit seluas 42 ekar itu kini dipercayai telah dikuasai oleh pihak swasta bagi tujuan pembangunan.

Pihak kontraktor yang mendakwa tanah-tanah penduduk di Kepala Gajah ini telah dibelinya dari kerajaan negeri dengan harga RM40,000 seekar walaupun apabila diminta oleh penduduk, mereka gagal menunjukkan sebarang bukti pembelian atau hak milik. Lebih tragis,

tanaman dan rumah penduduk ingin dimusnahkan tanpa mereka menerima satu sen pun pampasan. Sungguh suatu kezaliman yang tiada taranya kalaulah benar persoalan tanah kerajaan yang telah diimarahkan oleh penduduk sejak dua generasi, sudahlah tiada tindakan diambil untuk pemberian hak milik yang sah, dijual pula kepada kontraktor yang berkepentingan.

Tidak ada sebarang label projek didirikan walaupun jentolak mereka mula bekerja untuk ‘menyodok’ kebun getah penduduk. Dulu khabarnya ingin didirikan sebuah kem PLKN, tetapi maklumat dari sumber yang boleh dipercayai memaklumkan projek kem PLKN telah dibatalkan atas alasan ketidak sesuaian lokasi. Lantas projek apa yang ingin mereka dirikan masih menjadi tandatanya. Benarkah mereka telah membeli tanah tersebut dari kerajaan negeri kerana mereka kelihatannya kebal, atau ada tokoh politik berkepentingan di belakang mereka?

Ingatan yang sama ingin saya berikan sebagaimana yang pernah saya ingatkan kepada pemaju i-SHARP. Kesabaran penduduk ada batasnya. Kalau kita ingin datang bekerja di tempat orang, jangan kita berlagak seperti koloni yang menindas penduduk setempat. Ketegangan jangan dicari. Mereka memang lemah.

Tapi cukup menakutkan apabila orang yang lemah dan dizalimi mengadu kepada Allah. Doa mereka tiada hijab.
Kita telah lama merdeka. Bumi bertuah anugerah Allah ini adalah adalah amanah untuk diuruskan dengan sempurna oleh mereka yang dipinjamkan kuasa sementara di dunia ini demi keharmonian hamba-hamba Allah yang menumpang tinggal.

Sejarah tentunya tidak dapat dibohongi apabila sepanjang satu penggal pemerintahan, kerajaan PAS berjaya memproses 120,000 permohonan tanah dan meluluskan 65,000 lot Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk rakyat Terengganu. Kerajaan PAS juga telah juga meluluskan dan memberi hak milik ke atas tanah ‘haram’, yang diimarahkan rakyat sejak puluhan tahun.

Rakyat diberi hak mendapat tanah tempat tinggal dan tanah pertanian milik sendiri. Dasar ini menyelamatkan rakyat daripada rasa bimbang dan dukacita, yang berterusan sejak empat puluh tahun pemerintahan BN.

Oleh: Dr Azman Ibrahim
http://www.drazmanibrahim.com

Cikgu Mala sebagai aura baru PAS

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
PETALING JAYA: Normala Sudirman, calon PAS yang tewas ketika merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor dalam pilihan raya kecil (PRK) 30 Januari lalu kini semakin sibuk bagaikan seorang artis. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mala kini sibuk menjelajah ke seluruh negara berceramah di atas pentas PAS bersama pemimpin lain.

Semasa kempen PRU Merlimau dan Kerdau, Normala tidak ketinggalan berkempen membantu calon PAS Yuhaizad Abdullah dan Hasanuddin Salim. “Lepas ini, insya’Allah saya ke Sarawak pula. PAS akan bertanding beberapa kerusi di negeri itu. Saya berharap dapat membantu calon PAS menang.

“Ini satu amanah kepada saya. Dan saya akan lakukan bersungguh-sungguh,” katanya ketika dihubungi hari ini. PAS dilaporkan akan bertanding enam kerusi Dun dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka April ini. Dalam PRK Tenang, Normala kalah kepada Mohd Azhar Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,707 undi.

Pada penghujung minggu ini dan minggu depan, Normala akan berada di Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang untuk memenuhi program parti.

“Saya seronok kerana ada kelompok Muslimah PAS menganggap saya sebagai aura baru,” tambahnya. Menurut Normala, kesibukannya dalam dunia politik tidak menganggu tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Ini kerana, katanya, beliau mengadakan perbincangan dengan suami, Maarof Abdul Mutalib, sebelum menyertai program PAS.

“Kalau musim cuti sekolah, saya bawa anak-anak dan suami bersama ke program-program tersebut,” katanya.

Video seks: Peguam Negara tolak dakwaan Rahim akan terlepas dakwaan

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 30 Mac — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengetepikan tanggapan seorang bekas pegawai kanan polis bahawa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik akan terlepas daripada dakwaan berkaitan pendedahan skandal video seks. Gani berkata beliau belum lagi melihat kertas siasatan.

“Saya belum lagi melihat kertas siasatan,” kata Gani kepada The Malaysian Insider. Polis telah menubuhkan pasukan khas menyiasat kes tersebut.

“Bagaimana anda boleh siarkan macam itu,” kata beliau mengulas kenyataan bekas pengarah siasatan jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim kelmarin, yang berkisar isu pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” termasuk Abdul Rahim, bekas ketua menteri Melaka.

Menurut kenyataan “Datuk T” aksi seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika diminta mengulas lanjut, Gani hanya mengulangi pendirian yang sama dengan menegaskan beliau belum melihat lagi kertas siasatan.

“Saya belum melihat apa-apa lagi. Ini respons saya,” kata Gani. Dalam surat terbuka kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kelmarin, Mat Zain berkata, beliau tidak melihat Abdul Rahim akan didakwa memandangkan keputusan itu akan membabitkan Peguam Negara.

Pandangan itu dibuat berdasarkan pada perkembangan tiadanya tindakan Peguam Negara ke atas Abdul Rahim berhubung kes rasuah pada 1999.

“Siasatan ini akan dikendalikan oleh Abdul Gani kemudian selaku Peguam Negara. DI peringkat itu dijangkakan akan ada manipulasi, penyelewengan dan pemalsuan,” kata beliau.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata tiga “Datuk T” yang mendedahkan rakaman video aksi seks didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang tidak akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.

Katanya, mereka tidak boleh mendapat perlindungan di bawah akta itu kerana mereka telah mendedahkan maklumat itu kepada orang awam.

Kelmarin, Nazri berkata Abdul Rahim, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim akan dilindungi di bawah kedua-dua Akta berkenaan sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.

Nazri turut menegaskan tidak wujud campur tangan dari pihak kerajaan dalam siasatan yang dijalankan terhadap kes itu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Khamis lalu, Abdul Rahim telah menyerahkan video aksi seks seorang lelaki bersama jam tangan, yang dikatakan membabitkan pemimpin pembangkang kepada polis.

Minggu lalu, Abdul Rahim mendedahkan bahawa beliau bersama Shazryl dan Shuib bertanggungjawab mendedahkan video berkenaan.

Anwar membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi berhubung video itu, yang telah dipertontonkan kepada beberapa wakil media di Carcosa Seri Negara 21 Mac lalu. MInsider/D

 Utusan putar belit kenyataan Nasrudin

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) mendakwa akhbar Utusan Malaysia memutar belit kenyataannya berhubung penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Nasrudin menafikan bahawa beliau bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya itu sebaliknya berkata, perkara yang harus diutamakan adalah mengenai prinsip keadilan berhubung tuduhan tersebut. Mengulas lanjut, beliau berkata pihak yang membuat tuduhan itu mesti menampilkan saksi.

"Saya kata, saya tak nak bercakap soal mekanisme. Saya nak cakap pasal prinsip.

"Yang menuduh dan memfitnah kena bagi bukti saksi yang jelas dan pengadilan mesti diberikan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menegaskan,siasatan selepas video itu disebar kepada umum adalah tindakan yang salah.

"Tuduh merata-rata dulu selepas itu baru nak nak buat siasatan, ini tindakan tak betul," katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat tidak takut untuk disiasat namun keadilan mesti diutamakan.

"Kita tidak takut pada siasatan tapi keadilan mesti ditegakkan. Suruhanjaya atau apa itu mekanisme. Prinsipnya keadilan dan ini mesti ditegakkan dulu," katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kononnya Nasruddin menyambut baik cadangan supaya pemimpin Pakatan Rakyat dijemput sebagai pemerhati dalam suruhanjaya tersebut. - HDaily/D

Niat ikhlas bezakan amalan manusia

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Ketulusan hati benteng godaan syaitan, dapat mendekatkan diri dengan Allah

BERMUSAFIR di negara orang baru-baru ini, banyak pengalaman untuk dikongsikan bersama sahabat.

Kata pepatah, jauh perjalanan, luas pengetahuan. Tidak pernah terfikir untuk saya bermusafir hampir seluruh negara ASEAN, begitu hebat dan cukup indah kebesaran ciptaan Allah.

Walaupun berbeza dari segi bahasa, budaya dan warna kulit, kita tetap sujud pada kiblat yang sama. Perasaan saya tersentuh melihat suasana saudara seagama di Kemboja, ketika berpeluang melawat mereka di sana.
Kata seorang pelajar di sekolah agama di Kemboja, mereka makan nasi sekali sehari berlaukkan kuah saja. Mereka tidak pernah menikmati lauk yang enak.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bersyukurlah kita berada di bumi Malaysia, segala kesenangan dan nikmat kita kecapi cuma tinggal tangan menadah memanjat kesyukuran kepada Ilahi.

Berbeza di Singapura, masyarakat di sana saling menghormati antara agama. Banyak tokong Buddha bersebelahan masjid dan saya difahamkan setiap kali ada majlis jamuan, masing-masing akan mengundang jirannya, baik yang Islam atau penganut Buddha.

Teringat saya sejarah Rasulullah SAW, sahabat memilih agama Islam disebabkan keperibadian dan akhlak Baginda, keikhlasan membawa agama, kejujuran dan kasih sayang menjadikan Rasulullah insan disayangi manusia.
Sepanjang bermusafir, saya sempat menghabiskan sebuah novel berjudul Hati Sebening Mata Air, hasil tulisan Amru Khalid. Buku itu membicarakan mengenai keikhlasan dalam kehidupan seharian dan ia membuat air mata saya mengalir.

Terkenang setiap perbuatan saya, ikhlaskah saya selama ini melakukan kebaikan dan ibadah kepada Allah? Adakah kita ikhlas bekerja mencari rezeki halal kerana Allah? Tidak timbulkah penyakit hati, benci, dendam atau tertekan?

Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah, ertinya: “Allah tidak menerima amalan, melainkan amalan yang ikhlas dan kerana mencari keredaan Allah.”

Islam memberi penekanan kepada tuntutan menetapkan niat dalam setiap amalan manusia kerana setiap amalan bergantung kepada niat. Ribuan orang pergi ke Makkah dan Madinah dengan pelbagai tujuan.

Ada yang niatnya kerana Allah dan ada pula niatnya mencari penghidupan dunia. Niat itulah yang membezakan antara muhajir (orang yang berpindah) dan musafir (orang yang berjalan-jalan) sekalipun kedua-dua pekerjaan itu sama.

Sukar untuk kita menjadi hamba yang ikhlas dalam segala amalan, kerana keikhlasan membabitkan hati. Tidak ada sebarang alat atau kaedah yang mampu menguasai hati manusia. Hati itu milik Tuhan, bukan milik kita dan Allah saja yang mampu menguasai hati manusia.

Ikhlas adalah rahsia Allah dengan hamba-Nya. Malaikat yang hampir kepada Allah pun tidak mengetahui rahsia ikhlas manusia, malah syaitan tidak dapat mencuri maklumat mengenai rahsia keikhlasan. Syaitan juga susah dan takut hendak mendekati orang yang mencari keredaan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Iblis berkata: Ya Tuhanku, berilah aku ketangguhan sehingga hari manusia dibangkitkan. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk yang diberi tangguh sehingga hari yang telah ditentukan waktunya. Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.” – (Surah Shad, ayat 79-80)

Oleh itu, untuk menjadi orang yang kuat kita perlu membersihkan diri dan menetapkan niat kerana sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat. Pastinya anda juga ingin menjadi orang yang kuat seperti janji syaitan kepada Allah untuk tidak menggoda orang yang kuat, ikhlas dalam setiap amalan.

Justeru, hendaklah diniatkan apa yang kita lakukan kerana ingin Allah menyayangi kita. Keikhlasan seseorang itu pasti ada kebahagiaan menantinya, yang menentukan kebahagiaan adalah hati. Hidup tiada makna jika tiada istilah ikhlas dan kasih sayang daripada Allah.

Kerana kasih-Nya kita dilahirkan, maka kerana kasih-Nya juga kita hidup dan kerana kasih-Nya juga kita akan berada di syurga nanti. Ada kala, sebagai manusia selalu terlepas pandang benda yang kecil tetapi sebenarnya ia memberi impak besar dalam kehidupan.

Contohnya, selalu bersangka buruk pada insan lain, hati membenci sesama kita. Cepat melihat kesalahan kawan. Ikhlas saja tidak cukup untuk menjadikan sesuatu kerja itu sebagai ibadah kerana ada syarat lain mesti dipenuhi untuk menjadikan pekerjaan itu ibadah kepada Allah.

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Oleh Hizbur Rahman
Posted by KedahLaNie