30 Mac 2011

Kes PKFZ : Keputusan Permohonan Ketepi Skrine & Co Diketahui 4 April

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 30 MAC : Mahkamah Tinggi Shah Alami menetapkan 4 April ini bagi memutuskan permohonan semakan semula kehakiman yang difailkan oleh bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Law Jenn Dong terhadap keputusan membenarkan firma guaman Skrine & Co bertindak sebagai pemerhati bagi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak semalam.

Pada 3 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak permohonan Law untuk menyingkirkan firman guaman itu sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan membabitkan skandal projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Law, 52, arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect, dan ketua pegawai operasi KDSB Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah terhadap 24 tuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd melibatkan bayaran RM116.85 juta kepada KDSB berkaitan dua projek di PKFZ.

Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi tuduhan pilihan iaitu menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik bagi sistem 33 kilovolt di PKFZ dan sistem yang sama ke Presint 2 serta Presint 8 telah dilaksanakan.

Tindakan itu telah mendorong OSK Trustees membuat bayaran RM5.42 juta kepada KDSB. Pada prosiding sebelum ini, Law diwakili peguam Tan Hock Chuan dan Skrine oleh peguam Leong Wai Hong.

Peguam Datuk V. Sithambaram mewakili Tan, manakala pendakwaan dijalankanoleh Timbalan Pendakwa Raya, Anas Mahadzir dan Hashley Tajudin.

Dalam hujahnya, Hock Chuan berkata permohonan itu dibuat atas alasan dua rakan kongsi firma guaman berkenaan iaitu peguam Vinayak Pradhan dan peguam Lim Chee Wee menganggotai pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan pada 2009 untuk menyiasat kes itu.

Kata beliau, Skrine, melalui Vinayak dan Lim, mempunyai capaian terhadap maklumat mengenai hasil siasatan pasukan petugas itu berkaitan pelaksanaan projek PKFZ.

Oleh itu, katanya, Skrine tidak layak untuk bertindak sebagai pemerhati bagi LPK dalam kes terbabit.

Hock Chuan juga berkata dua peguam berkenaan mungkin akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes itu.

“Oleh kerana mereka mempunyai capaian terhadap maklumat sulit dan mungkin dipanggil menjadi saksi, kami bimbang tiga tertuduh tidak mendapat perbicaraan secara adil.

“Oleh itu, Mahkamah Tinggi wajar mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen yang membenarkan Skrine menjadi pemerhati bagi LPK,” katanya.

Dalam hujahnya pula, Sithambaram berkata laporan yang dibuat pasukan petugas itu secara tidak langsung menyebabkan tuduhan berkenaan dikenakan terhadap tiga tertuduh.

“Oleh kerana mereka mempunyai capaian terhadap maklumat sulit, mereka boleh berkongsinya dan memberi dokumen tertentu kepada seseorang yang berpotensi akan dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan kes ini,” katanya.

Sementara itu, dalam hujahnya, Leong berkata firma berkenaan tidak pernah mewakili ketiga-tiga tertuduh dalam kes tersebut, tetapi mewakili LPK dan LPK bukan merupakan pihak dalam kes ini.

Membalas hujah Hock Chuan bahawa kedua-dua peguam berkenaan mungkin dipanggil menjadi saksi, beliau berkata perkara itu hanya spekulasi.

Anas pula berkata isu tersebut tidak akan menjejaskan kes pihak pendakwakerana tuduhan yang dikenakan terhadap tiga tertuduh dalm kes itu tidak berdasarkan dapatan pasukan petugas berkenaan, tetapi berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh polis.

“Dua peguam itu tidak termasuk dalam senarai kami sebagai saksi, tapi terpulanglah kepada pihak pendakwaan sama ada hendak memanggil mereka semasa perbicaraan nanti,” katanya.

-BERNAMA-

Tiada ulasan: