30 Mac 2011

Niat ikhlas bezakan amalan manusia

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Ketulusan hati benteng godaan syaitan, dapat mendekatkan diri dengan Allah

BERMUSAFIR di negara orang baru-baru ini, banyak pengalaman untuk dikongsikan bersama sahabat.

Kata pepatah, jauh perjalanan, luas pengetahuan. Tidak pernah terfikir untuk saya bermusafir hampir seluruh negara ASEAN, begitu hebat dan cukup indah kebesaran ciptaan Allah.

Walaupun berbeza dari segi bahasa, budaya dan warna kulit, kita tetap sujud pada kiblat yang sama. Perasaan saya tersentuh melihat suasana saudara seagama di Kemboja, ketika berpeluang melawat mereka di sana.
Kata seorang pelajar di sekolah agama di Kemboja, mereka makan nasi sekali sehari berlaukkan kuah saja. Mereka tidak pernah menikmati lauk yang enak.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bersyukurlah kita berada di bumi Malaysia, segala kesenangan dan nikmat kita kecapi cuma tinggal tangan menadah memanjat kesyukuran kepada Ilahi.

Berbeza di Singapura, masyarakat di sana saling menghormati antara agama. Banyak tokong Buddha bersebelahan masjid dan saya difahamkan setiap kali ada majlis jamuan, masing-masing akan mengundang jirannya, baik yang Islam atau penganut Buddha.

Teringat saya sejarah Rasulullah SAW, sahabat memilih agama Islam disebabkan keperibadian dan akhlak Baginda, keikhlasan membawa agama, kejujuran dan kasih sayang menjadikan Rasulullah insan disayangi manusia.
Sepanjang bermusafir, saya sempat menghabiskan sebuah novel berjudul Hati Sebening Mata Air, hasil tulisan Amru Khalid. Buku itu membicarakan mengenai keikhlasan dalam kehidupan seharian dan ia membuat air mata saya mengalir.

Terkenang setiap perbuatan saya, ikhlaskah saya selama ini melakukan kebaikan dan ibadah kepada Allah? Adakah kita ikhlas bekerja mencari rezeki halal kerana Allah? Tidak timbulkah penyakit hati, benci, dendam atau tertekan?

Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah, ertinya: “Allah tidak menerima amalan, melainkan amalan yang ikhlas dan kerana mencari keredaan Allah.”

Islam memberi penekanan kepada tuntutan menetapkan niat dalam setiap amalan manusia kerana setiap amalan bergantung kepada niat. Ribuan orang pergi ke Makkah dan Madinah dengan pelbagai tujuan.

Ada yang niatnya kerana Allah dan ada pula niatnya mencari penghidupan dunia. Niat itulah yang membezakan antara muhajir (orang yang berpindah) dan musafir (orang yang berjalan-jalan) sekalipun kedua-dua pekerjaan itu sama.

Sukar untuk kita menjadi hamba yang ikhlas dalam segala amalan, kerana keikhlasan membabitkan hati. Tidak ada sebarang alat atau kaedah yang mampu menguasai hati manusia. Hati itu milik Tuhan, bukan milik kita dan Allah saja yang mampu menguasai hati manusia.

Ikhlas adalah rahsia Allah dengan hamba-Nya. Malaikat yang hampir kepada Allah pun tidak mengetahui rahsia ikhlas manusia, malah syaitan tidak dapat mencuri maklumat mengenai rahsia keikhlasan. Syaitan juga susah dan takut hendak mendekati orang yang mencari keredaan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Iblis berkata: Ya Tuhanku, berilah aku ketangguhan sehingga hari manusia dibangkitkan. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk yang diberi tangguh sehingga hari yang telah ditentukan waktunya. Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.” – (Surah Shad, ayat 79-80)

Oleh itu, untuk menjadi orang yang kuat kita perlu membersihkan diri dan menetapkan niat kerana sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat. Pastinya anda juga ingin menjadi orang yang kuat seperti janji syaitan kepada Allah untuk tidak menggoda orang yang kuat, ikhlas dalam setiap amalan.

Justeru, hendaklah diniatkan apa yang kita lakukan kerana ingin Allah menyayangi kita. Keikhlasan seseorang itu pasti ada kebahagiaan menantinya, yang menentukan kebahagiaan adalah hati. Hidup tiada makna jika tiada istilah ikhlas dan kasih sayang daripada Allah.

Kerana kasih-Nya kita dilahirkan, maka kerana kasih-Nya juga kita hidup dan kerana kasih-Nya juga kita akan berada di syurga nanti. Ada kala, sebagai manusia selalu terlepas pandang benda yang kecil tetapi sebenarnya ia memberi impak besar dalam kehidupan.

Contohnya, selalu bersangka buruk pada insan lain, hati membenci sesama kita. Cepat melihat kesalahan kawan. Ikhlas saja tidak cukup untuk menjadikan sesuatu kerja itu sebagai ibadah kerana ada syarat lain mesti dipenuhi untuk menjadikan pekerjaan itu ibadah kepada Allah.

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Oleh Hizbur Rahman
Posted by KedahLaNie

Tiada ulasan: