09 Ogos 2008

Mahkamah Tinggi Ipoh Tolak Petisyen Untuk Batal Keputusan Tiga Kerusi Dun Perak


IPOH, 8 Ogos :- Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak petisyen oleh calon-calon Barisan Nasional bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas masing-masingnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Kuala Kurau, Lubuk Merbau dan Kuala Sepetang.

Kerusi Kuala Kurau dan Kuala Sepetang dimenangi calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala kerusi Lubuk Merbau dimenangi calon PAS.Abdul Yunus Jamahri dari Parti Keadilan Rakyat menang di Kuala Kurau dengan majoriti 467 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Mohd Salleh Mat Disa, di Lubuk Merbau, Mohd Zainuddin Mohd Yusof dari PAS menang dengan majoriti 72 undi mengalahkan Datuk Jamal Nasir Rasdi dari BN manakala di Kuala Sepetang, Tai Sing Ng juga dari PKR, menang dengan majoriti 564 undi menewakan See Tean Seng dari BN.




Y.B. Tuan Haji Mohd. Zainudin bin Mohd. Yusof
Pengerusi, Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan (PAS/Lubok Merbau)



Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim menolak kesemua petisyen dengan kos.Dalam petisyennya bagi memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kerusi Kuala Kurau adalah terbatal, Mohd Salleh mendakwa responden atau pekerjanya dilihat berada dan cuba memujuk pengundi di sekitar 50 meter dari tempat mengundi di Sekolah agama Al-Hidayah, tetapi Hakim Wan Afrah berkata perbuatan berlegar di kawasan 50 meter dari tempat mengundi bukan merupakan sebahagian daripada pilihan raya.




Y.B. Encik Tai Sing Ng
Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Industri, Perdagangan dan Penerangan (PKR/Kuala Sepetang)



Bagi kerusi Lubuk Merbau, Jamal Nasir dalam petisyennya mendakwa responden pertama iaitu Mohd Zainuddin, telah melakukan perbuatan rasuah apabila memasang kain rentang yang tidak mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya.Dalam penghakimannya Wan Afrah berkata pempetisyen gagal menyatakan dengan jelas orang yang didakwa melakukan rasuah selain gagal membuktikan dakwaan rasuah itu ada kaitan dengan pilihan raya berkenaan.




Y.B. Encik Abdul Yunus bin Jamahri
(PKR /Kuala Kurau)



See, dalam petisyennya bagi kerusi Kuala Sepetang, mendakwa antara lain kononnya satu kertas undi pos sengaja dicampur bersama undi yang ditolak tetapi Hakim Wan Afrah berkata bahawa sekalipun jika peraturan yang berkaitan tidak diikuti, dalam pengundian bagi kerusi berkenaan, satu undi tidak membawa kesan kepada keputusan itu.

Sukan Olimpik : Beijing sudah bersiap sedia

Pusat Media Antarabangsa Beijing (BIMC) telah mengadakan sidang akhbar . Dalam sidang akhbar itu, pegawai-pegawai dari jabatan berkenaan telah menjelaskan kepada orang awam tentang persiapan Sukan Olimpik Beijing dari aspek lalu lintas, keselamatan makanan dan perkhidmatan pelancongan. Mereka menyatakan bahawa Beijing sudah bersiap sedia untuk memastikan Sukan Olimpik dilaksanakan dengan jayanya.

Naib Ketua Pengarah Jawatankuasa Pengangkutan Beijing, Encik Zhou Zhengyu menyatakan bahawa sejak 20 Julai lalu, kerajaan Beijing telah mengambil beberapa langkah untuk menjamin kelancaran lalu lintas, seperti mengatur kenderaan supaya bergerak mengikut giliran berasaskan nombor pendaftaran kereta, sama ada ganjil atau genap, menjadualkan semula waktu kerja serta membuka 3 laluan kereta api yang baru, dan 34 laluan bas khas untuk Sukan Olimpik. Kata beliau, "Sejak langkah kawalan lalu lintas dilaksanakan, keadaan keseluruhan operasi lalu lintas di Beijing amat memuaskan. Dengan itu, kelancaran lalu lintas semasa berlangsungnya Sukan Olimpik pasti akan terjamin."

Tentang masalah kualiti udara Beijing yang menjadi tumpuan perhatian seluruh dunia, Naib Ketua Pengarah Biro Perlindungan Alam Sekitar Beijing, Du Shaozhong menyatakan bahawa Beijing berkemampuan untuk menjamin kualiti udara semasa berlangsungnya Sukan Olimpik. Kata beliau, "Pada Julai lalu, kualiti udara Beijing telah menjadi bertambah baik berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Lebih-lebih lagi sejak siri langkah kawalan lalu lintas dilaksanakan, pelepasan bahan cemar di bandar ini telah kurang dengan ketara. Dengan itu, kami amat yakin bahawa kualiti udara akan baik sepanjang tempoh Sukan Olimpik ini."

Dalam bidang kesihatan awam pula, Beijing juga meningkatkan usaha untuk menjamin keselamatan makanan dan minuman bagi Sukan Olimpik. Kini, rangkaian sistem kawal selia keselamatan kualiti, iaitu "dari ladang ke meja makan", melalui pelaksanaan piawai dan peningkatan penyeliaan serta kawalan terhadap kualiti makanan telah diwujudkan di Beijing. Jurucakap pihak berkuasa bandar Beijing, Liu Zhi berkata, "Sebanyak 37 pasukan perubatan telah ditubuhkan untuk menyediakan pertolongan cemas kepada atlet dan tetamu di venue-venue Olimpik. Selain itu, 24 buah hospital yang disediakan "Laluan Hijau" juga telah bersiap sedia untuk menyediakan rawatan perubatan untuk tetamu dari dalam dan luar negara."

Ketika Sukan Olimpik 2008 ini berlangsung, Beijing dijangka menerima kunjungan seramai 3 juta orang pengunjung dari dalam dan luar negara. Seorang pegawai dariBiro Pelancongan Beijing menyatakan bahawa Beijing kaya dengan sumber pelancongan dan berkemampuan untuk memenuhi keperluan penginapan ketika Sukan Olimpik nanti. Selain itu, hampir 600 buah "Rumah Keluarga Olimpik" telah dipilih untuk menawarkan perkhidmatan penginapan kepada tetamu asing.

Menurut Liu Zhi, Beijing telah memperuntukkan kira-kira 280 bilion yuan RMB untuk melaksanakan pembinaan bandar infratruktur seperti pembekalan tenaga dan air dan lalu lintas. Kini, penduduk bandar Beijing juga bersiap sedia untuk menyambut kedatangan yang sedemikian ramai dari seluruh dunia.

Kematian

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar (QS. Al-`Araf: 179).

Ketika ajal tiba, barulah seseorang manusia menyadari dengan sesungguhnya tentang perjalanan hidup yang telah dilaluinya. Saat itulah manusia terkenang tentang alangkah bahagianya kalau sempat melalui kehidupan seperti kehidupan seekor lebah.

Sebagaimana diketahui, lebah dalam hidupnya selalu memberikan keuntungan berlipat ganda , baik terhadap dirinya maupun terhadap makhluk-makhluk lain, terutama bagi tumbuhan dan manusia.

Dalam kehidupan sehariannya, lebah mengambil sari dari bunga untuk dirinya. Namun lebah sama sekali tidak merusak bunga yang dihinggapinya dan diambil sarinya. Bahkan, tumbuhan pemilik bunga itu merasa beruntung dengan kehadiran lebah itu. Sebab, proses pendebungaan akan berlaku.

Begitu juga dengan madu yang dihasilkan oleh lebah. Madu itu sangat bermanfaat bagi makhluk manusia. Di samping menjadi obat untuk berbagai jenis penyakit, madu juga digunakan sebagai makanan atau minuman yang lazat dan mahal harganya.

Lebah tentunya tidak setanding dengan manusia yang tidak hanya memiliki mata dan telinga. Manusia malah memiliki hati yang merasa dan berfikir dengan akalnya. Manusia adalah sebaik-baik kejadian . Dengan demikian, manusia seharusnya lebih bermanfaat berbanding dengan lebah, sehingga tersangat bahagia bila ajal tiba.

MBI Akan Promosikan Bangunan Bersejarah Dan Warisan Bijih Timah Untuk Tarikan Pelancong

IPOH, 7 Ogos (Bernama) -- Aset pelancongan menarik yang dimiliki bandar raya Ipoh seperti Taman Warisan Gunung Lang, warisan bijih timah, gua-gua batu kapur serta bangunan-bangunan bersejarah mampu menarik kehadiran ramai pelancong sekiranya ia dipromosikan dengan baik, kata Datuk Bandar Ipoh Roshidi Hashim.

Beliau berkata sekiranya semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan, kebudayaan dan kesenian, termasuk Jabatan Kebudayaan dan Kesenian, bekerja keras menjayakan program-program seperti "Pusat Seni Setempat", ia secara tidak langsung mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong, di samping menjadi salah satu produk pelancongan yang popular.


Berucap pada majlis pelancaran Pusat Seni Setempat di Gerbang Malam Ipoh di sini malam tadi, beliau berkata selaras denga usaha memajukan aspek pelancongan kebudayaan dan kesenian di bandar raya Ipoh, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang merancang untuk mempromosi beberapa produk pelancongan di sini."Antaranya ialah 18 buah bangunan bersejarah seperti stesen keretapi, dewan bandaran, Sekolah St. Michael, masjid-masjid lama, gua-gua batu kapur, kawasan air terjun dan homestay," katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, Ramli Salleh.


Pusat Seni Setempat merupakan aktiviti penting untuk mendekatkan masyarkat umum khususnya di kawasan bandar dengan kegiatan seni dan budaya yang diadakan pada minggu pertama dan minggu ketiga setiap bulan bermula pada 11 Mei lalu.


Program malam tadi turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian seperti nyanyian lagu asli dan kebudayaan daripada kaum Melayu, Cina, serta India, dan selain wargakota, turut hadir pada majlis itu adalah kalangan pelancong dari negara-negara seperti Jepun dan Thailand.


Roshidi berkata sektor pelancongan dan perkhidmatan, dilihat sebagai sektor yang berpontensi besar untuk menjadi penyumbangutama dalam ekonomi negara dan negeri ini.Menurutnya Ipoh yang merupakan ibu negeri Perak yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai pusat pengeluaran bijih timah utama dunia, dan kini ia merupakan sebuah pusat pentadbiran yang pesat membangun.


Beliau berkata angka-angka yang dikumpulkan oleh Majlis Tindakan Pelancongan (MTP) Perak menunjukkan bahawa 3.2 juta pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri Perak sepanjang tahun lepas.