03 Oktober 2010

Sandar perjuangan pada tarbiah, bukan semangat


23 Syawal 1431H.

MARANG, 2 Okt: Lebih 5,000 peserta Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS peringkat kebangsaan menerima suntikan semangat daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis perasmian malam tadi.

Abdul Hadi dalam ucapannya mengingatkan pemuda bahawa golongan mereka penting dalam perjuangan Islam.

"Islam meletakkan pemuda sebagai kumpulan yang penting dalam perjuangan sehingga Allah meletakkan satu surah yang khusus mengenai pemuda dalam al-Quran," kata Abdul Hadi

Namun jelasnya, perjuangan pemuda haruslah ditunjangi tarbiah dan bukannya semangat semata-mata.

"Terdapat kumpulan yang menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dilakukan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.

"Oleh itu Allah meletakkan agenda tarbiah kepada perjuangan ini," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media selepas majlis itu mengulangi penegasan Abdul Hadi mengenai kepentingan tarbiyah di kalangan pemuda.

"Kita lihat bagaimana Presiden telah meletakkan asas-asas utama yang perlu difahami dalam proses tarbiyah.

"Bukan sahaja kita bergerak kerja atas dasar semangat tetapi dengan bimbingan, panduan daripada wahyu Allah dalam al-Quran dan hadis," kata Tuan Ibrahim.

Menurutnya juga, di samping ilmu dan kesungguhan,tarbiyah merupakan elemen penting dalam parti untuk menghadapi tekanan politik di negara ini.

"Dalam menghadapi tekanan politik di Malaysia, tarbiyah merupakan elemen penting dan kita harapkan agar kepimpinan yang lahir selepas ini dapat menilai sesuatu berdasarkan nas dan asas-asas yang bersumberkan sirah Rasulullah S.A.W.," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menyifatkan ijtima' ini sebagai tepat pada waktunya memandangkan PAS memerlukan jentera bagi menghadapi pilihan kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas tidak lama lagi.

"Ijtima' ini diadakan sesuai pada waktunya walaupun sebenarnya ia dirancang awal, sebelum berlaku kematian lagi.

"Ini boleh dijadikan asas bagi menyusun gerak kerja untuk pilihan raya di Galas dan kita harap ia menjadi pemangkin semangat untuk pemuda menghantar jentera ke sana," katanya.

Harakahdaily/-

Galas: PAS sudah senarai pendek calon


23 Syawal 1431H.

MARANG, 2 Okt: PAS sudah mengenal pasti beberapa individu yang akan disenarai pendek untuk diletakkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Pengarah PRK PAS bagi Dun Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.

"PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada Ahad nanti. Agenda penting ialah kita akan bincang mengenai pilihan raya kecil Dun Galas

"Kita sudah kenal pasti di peringkat negeri ada beberapa tokoh yang kita senarai pendekkan untuk kita buat keputusan di peringkat jawatankuasa pusat yang akan kita angkat ke majlis syura dan majlis syura akan buat keputusan," kata beliau pada sidang media selepas majlis perasmian Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila malam tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, PAS menitik beratkan faktor calon pada PRK kali ini dan anak tempatan adalah diberi keutamaan untuk diletakkan sebagai calon.

"Kali ini faktor calon itu faktor penting dan keutamaan kita ialah anak tempatan," katanya.

Tak kisah calon lawan

Diminta mengulas mengenai cadangan Umno untuk meletakkan veteran parti,Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon mereka, beliau menyifatkan ianya sebagai tindakan untuk menjatuhkan karier politik ahli Parlimen Gua Musa itu.

"Saya fikir itu satu cara pembunuhan secara halus karier politik Tengku Razaleigh.

"Saya fikir dari sudut politik jangka panjang itu bukan tindakan yang betul," katanya.

Namun ujarnya, PAS bersedia menghadapi sesiapa sahaja calon yang diletakkan Umno.

"PAS sedia menghadapi siapa sahaja calon. Kalau (Datuk Seri) Najib sekalipun nak jadi calon, kita akan sambut," katanya.

Beliau juga yakin PAS mampu meraih lebih ramai sokongan pengundi berbanding pada pilihan raya umum yang lalu berdasarkan rekod baik pembangunan di Gua Musang di bawah pemerintahan PAS selama hampir 20 tahun.

"Walaupun majoriti sebelum ini hanya 600 lebih, namun kita yakin ia akan meningkat pada PRK kali ini melihat kepada kemajuan bandar Gua Musang sendiri, kita yakin rakyat akan bagi mandat kepada PAS," katanya.

Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga ujarnya dapat membantu PAS untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu.

"Ini pilihan raya pertama selepas kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan kita akan beri ruang kepada mereka untuk disusun strategi dan pendekatan untuk bersama dengan pengundi bukan Melayu," katanya.

Harakahdaily/-

Siapa ketuai BN di Galas? Ku Li terus berteka-teki

23 Syawal 1431H.

Soalan siapa akan mengetuai jentera pilihan raya BN semasa kempen di dewang undangan negeri Galas terus menjadi teka-teki apabila pemimpin veteran Umno yang dipertanggungjawabkan tugas itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau belum berkata 'ya ataupun tidak'.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah bersetuju memikul tugas itu, tetapi ahli parlimen Gua Musang - hari ini pada halaman Twitter - menafikan perkara itu.

"Rakan, rakan, saya tidak berkata ya ataupun tidak. Saya akan menjelaskan berhubung Galas apabila saya pulang ke Malaysia,” tulisnya pada jam 6.35 waktu tempatan.

Tengku Razaleigh kini berada di Ireland, bagi melawat universiti di mana beliau mendapat pendidikannya - Queen's University di Belfast. Beliau dijadualkan pulang pada 9 Oktober ini.

Namun pada awalnya, tidak dapat dipastikan sama ada Tengku Razaleigh merujuk kepada pengumuman kenyataan Muhyiddin atau cadangan dari pihak lain yang beliau dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun, gambaran semakin jelas, apabila seorang daripada pengikutnya mengemukakan soalan di Twitter kepadanya: "Harap maaf Tengku, tetapi kenapa TPM asyik berkata bahawa anda telah persetujui? Bukan sekali tetapi hampir setiap hari.”

Menjawab soalan itu, Razaleigh menyerahkan perkara berkenaan kepada Muhyiddin dengan berkata beliau belum memberi sebarang persetujuan berhubung jawatan berkenaan.

"Itu, kita kena tanya beliau. Saya setakat ini belum membuat sebarang kenyataan,” jawab Razaleigh.

Malaysiakini/-

Pelancaran Program Ikatan Mawaddah PAS Perak.

Ust. Abu Bakar Hussain sedang menyampaikan ucapan perasmian.


23 Syawal 1431H.

TAIPING, 1 Okt:- Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain merasmikan Program Ikatan mawaddah PAS Perak dibawah Lajnah Kebajikan PAS Perak yang diadakan di markaz Tarbiyah Ayer Kuning di sini.

APABILA JAHIL, REZEKI ALLAH PUN DITOLAK


23 Syawal 1431H.
Oleh: Mandor

KESIHAN tengok orang-orang tua yang telah diperbodohkan oleh Umno di P.Pinang. Sudahlah mereka dulu azab di bawah Bn, bila tiba masanya mereka ingin merasai sedikit kesenangan dan nikmat di bawah kerajaan PR, mereka dihasut oleh `Syaitan' berwajah manusia. Begitulah nasib apabila kita tidak berilmu, sentiasa diperbodohkan oleh orang.

Bukan banyak pun, cuma dapat seratus ringgit sebagai sumbangan Kerajaan Negeri kepada mereka. Oleh kerana bodoh sombong, mereka pulangkan semula sumbangan itu. Paling menyedihkan, yang menghasut mereka untuk itu adalah sebangsa dengan mereka tetapi mereka itu jauh lebih kaya. Ada di antara mereka itu sudah kekenyangan memakan gaji dan elaun dari Kerajaan Negeri sebagai Adun, tidak pula mereka mengatakan gaji atau elaun mereka hasil dari judi. Mereka mentekedarah semuanya dan memberi makan minum anak bini mereka. Bukankah itu semua datangnya dari kewangan Negeri juga sama seperti seratus ringgit yang diterima oleh orang-orang tua tersebut?

Kerajaan Negeri telah mengesahkan duit itu datangnya dari sumber yang halal, tetapi mereka masih percaya kepada hasutan `Syaitan' bertopengkan manusia itu. Kadangkala ada orang yang sudah biasa makan hasil dari yang haram, mereka tidak lagi mahu menerima hasil dari yang halal. Mungkin memakan bangkai lebih sedap dari memakan binatang halal yang disembelih.

Jika mahu pulangkan juga duit itu, mengapa tidak pulangkan terus kepada Kerajaan Negeri yang memberi wang itu kepadanya? Mengapa mesti menemui bapak penipu itu? Rugikah Kerajaan P.Pinang jika mereka pulangkan semua wang sumbangan itu? Sudah tentu tidak, kerana masih ramai lagi yang suka memakan hasil yang halal walaupun sedikit. /mandor.blogspot.com.