04 Jun 2010

Bola yang akan Digunakan dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan

Bola Sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan--"Jabulani"

20 Jamadil Akhir 1431H.

Media Britain telah mengeluarkan gambar bola yang akan digunakan dalam Pertandingan Bola Sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Bola yang dinamakan "Jabulani" ini bergaya malah kelihatan serupa dengan pakaian pasukan bola sepak negara Afrika Selatan. "Jabulani" berasal daripada bahasa Zulu, Afrika Selatan yang bermaksud" bersama-sama merayakan". Bola ini menggunakan 11 jenis warna yang mewakili 11 orang pemain bola sepak dalam satu pasukan dan 11 jenis bahasa rasmi. Menurut rancangannya, bola ini akan dikeluarkan dalam upacara cabutan nombor rasmi bagi Pertandingan Akhir Piala Dunia, dan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menghantar bola ini kepada setiap pasukan peserta supaya mereka menyesuaikan diri dengan bola ini dari awal lagi


Sukarelawan Malaysia dijadualkan tiba di KLIA 5.40 pagi Ahad

20 Jamadil Akhir 1431H.


KUALA LUMPUR: Sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel dalam serangan ke atas kapal Mavi Marmara dijadual tiba pada 5.40 pagi Ahad ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Rakyat belum bebas daripada fahaman Yahudi

20 Jamadil Akhir 1431H.
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Jun: Pembebasan 12 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim zionis Israel belum lagi membuktikan rakyat akan bebas sepenuhnya daripada fahaman Yahudi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata selagi negara tidak menghentikan kerjasama dengan syarikat yang ada hubungan dengan Israel, APCO Worldwide.

Jelas Tuan Guru, menarik balik kerjasama dengan APCO hanya sebahagian cara untuk menyingkirkan Israel, namun membuang rasa sayang dan cinta kepada Yahudi adalah jalan yang lebih baik.

“Ini kerana Yahudi termasuk Israel adalah makhluk perosak yang wajib dihindari oleh sesiapapun,” ujarnya yang juga Musyidul Am PAS.

Menurutnya lagi, Yahudi sejak zaman dahulu lagi bersifat jahat serta membunuh para nabi, bukannya masyarakat kampung biasa sekiranya tidak mengikut kehendaknya.

“Setiap kali sembahyang kita membaca al-Fatihah, ada di antara maksudnya kita tidak mahu jadi pengikut Yahudi dan Nasrani,” ujarnya.

Menyentuh tentang tangkapan yang dibuat oleh Israel terhadap 12 rakyat Malaysia, beliau memberitahu bukan sahaja di sana, Malaysia sendiri turut mengurung rakyatnya di bawah ISA jika tidak mengikut kehendaknya.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa syukur terhadap pembebasan itu.

Kelab UMNO Jordan Mengecam Tindakan Israel? Serius Atau Kelakar?

20 Jamadil Akhir 1431 H
oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Di bawah ini adalah kenyataan Kelab UMNO Jordan berhubung serangan Israel ke atas misi LL4G

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Mewakili kelab UMNO Jordan, kami amat berdukacita diatas serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas konvoi kemanusiaan LL4G ke Gaza dan bagi kami ini merupakan satu tindakan kejam lagi tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap konvoi kemanusiaan ini.Di bawah ini adalah kenyataan Kelab UMNO Jordan berhubung serangan Israel ke atas misi LL4G.

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Mewakili kelab UMNO Jordan, kami amat berdukacita diatas serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas konvoi kemanusiaan LL4G ke Gaza dan bagi kami ini merupakan satu tindakan kejam lagi tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap konvoi kemanusiaan ini.

Selaku wakil Kelab UMNO luar negara yang berdekatan dengan negara Palestin, kami melahirkan rasa prihatin terhadap mangsa-mangsa yang telah gugur Syahid, terkorban dan cedera di atas serangan ini.

Kami juga percaya bahawa konvoi kemanusiaan ini hanyalah bertujuan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza semata-mata berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu .

Sehubungan itu, kami menyeru kepada Kerajaan Malaysia dan Ibu Pejabat UMNO pusat serta wakil sekretariat Kelab UMNO luar negara agar dapat menggesa pihak antarabangsa seperti PBB , OIC dan lain-lain pertubuhan antarabangsa agar mengambil tindakan segera terhadap isu ini.

Kami juga menyeru agar seluruh rakan-rakan Kelab UMNO luar negara yang lain mengadakan solat hajat agar perjalanan konvoi kemanusiaan ini dilindungi oleh Allah S.W.T dan kami juga berharap agar pimpinan serta ahli-ahli Kelab UMNO luar negara yang lain mengikuti isu ini dari masa ke semasa bagi menunjukkan keprihatinan kita terhadap isu-isu kemanusiaan.

Puasa dijangka 11 Ogos, Aidilfitri 10 Sept.

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Perwira bin Osman

PUTRAJAYA 2 Jun - Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada Rabu, 11 Ogos ini manakala Hari Raya Aidilfitri disambut pada Jumaat 10 September.

Penyelaras Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Nasirun Mohd. Salleh berkata, jika tarikhnya begitu, umat Islam akan berpuasa selama 30 hari.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tarikh sebenar puasa dan Hari Raya Aidilfitri tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak.

Menurutnya, pada 29 Syaaban 1431H bersamaan 10 Ogos, kedudukan bulan memenuhi kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakkan) iaitu umur bulan lebih lapan jam kerana ijtimak berlaku.

"Dengan kedudukan bulan memenuhi kriteria Imkanur-rukyah, maka 1 Ramadan 1431 Hijrah jatuh pada Rabu 11 Ogos 2010,'' kata beliau yang juga Pengarah Pusat Islam USM ketika dihubungi Utusan Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

Mengenai Aidilfitri pula, beliau berkata, ijtimak bulan Syawal berlaku pada pukul 6.31 petang, 8 September 2010.

''Berdasarkan itu, kedudukan bulan tidak memenuhi kriteria Imkanur-rukyah. Oleh itu, keesokannya digenapkan 30 Ramadan, maka 1 Syawal jatuh pada 10 September," kata beliau.

INDUSTRI PERLOMBONGAN: JANGAN GADAI MASA DEPAN RAKYAT

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) tidak menghalang usaha kerajaan meningkatkan ekonomi negeri malah semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak dahulu telah menunjukkan pencapaian yang cukup membanggakan. Ini kerana industri perlombongan terutama industri timah yang sudah pasti akan memberikan kesan sampingan terhadap alam sekitar perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Jika benar cadangan pembukaan hab pengeluar dan pengedaran produk bijih besi di Manjung yang kini dibantah oleh penduduk di sana perlu dititik beratkan oleh kerajaan negeri. Bukan kerana keuntungan semata-mata yang dicari, tetapi kesan yang bakal dihadapi oleh penduduk di sana perlu diambil kira. Bantahan penduduk perlu didengar oleh kerajaan negeri kerana kesan yang akan mereka hadapi nanti amat serius jika tidak diperdulikan.

Oleh yang demikian, pertimbangan oleh pihak kerajaan negeri perlu bagi memastikan soal keselamatan dan juga infra bumi akan terus terpelihara. Jaminan kerajaan negeri perlu kerana ianya akan mengakibatkan alam semulajadi yang harus dipelihara. DPPN Pk mendesak jika ianya memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar dan juga penduduk, kerajaan negeri wajar membatalkan usaha tersebut.

ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Labelkan Israel dan penyokongnya sebagai pengganas

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nuruddin Muhammad

Sebahagian besar negara Eropah mengecam dan mengutuk serangan ala lanun tentera laut Regim Zionis terhadap salah sebuah daripada 7 buah kapal yang sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi kapal tersebut dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza yang semakin hari kian tersepit dan tertekan dek kezaliman Zionis. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH).

Bertambah biadap apabila Zionis tetap melancarkan serangan komandonya walaupun semua objektif dan pergerakan konvoi ini telah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan.

Antara lain, Resolusi 1860 menyebut dan menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan, menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan, menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza serta mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorism.

Tekanan kuat juga dilakukan oleh Liga Arab termasuk desakan daripada Duta Turki di Mesir dan hasilnya, Mesir telah membuka sekatan jalan daratnya ke Palestin. Mungkin pengorbanan nyawa sukarelawan yang sanggup menggadai nyawa semata-mata untuk membawa bantuan makanan dan infrastruktur sivil itu akan menjadi kunci bantuan yang lebih besar ke Gaza. Pengorbanan mereka tidak sia-sia.

Pada pandangan saya, keganasan yang tidak bertamadun ini cukup besar impaknya untuk menggantikan titik fokus masyarakat dunia yang memandang blok Islam sebagai pengganas. Titik mula persepsi negatif terhadap Islam atau dikenali sebagai Islamofobia ini jelas berlaku bermula perencanaan kejadian WTC pada 11 September 2001dahulu. Sejak itu, negara umat Islam sendiri menjadi jurubicara Amerika dan Israel untuk mengangguk dan mengiayakan kenyataan bahawa Muslim itu pengganas.

Walaupun kematian akibat tragedi WTC adalah sejumlah ribuan nyawa manakala kematian sukarelawan penyelamat Gaza hanya beberapa nyawa, namun perlu diingat, mangsa-mangsa kapal Mavi Marmara itu terdiri daripada kalangan diplomat pelbagai negara, malah mewakili komuniti dunia. Berbanding dengan tragedi WTC, yang hanya melibatkan nyawa rakyat Amerika, manakala 2000 pekerja Yahudi pada saat itu tiada atau bercuti.

Keganasan Israel atau mungkin ada kaitannya dengan Amerika (atas alasan kerjasama teknologi perang dan ketenteraan) yang berlaku ini melibatkan banyak negara termasuk Eropah. Masyarakat dunia yang waras memandang bahawa kezaliman Israel sudah melangkaui wilayah mereka sendiri. Jika Islam dikatakan menyerang Amerika, Israel pula boleh dituduh mengganas terhadap banyak negara!

Alasan ini cukup untuk mengalihkan fokus bahawa Israel adalah pengganas malah semua yang melibatkan diri dengan Israel adalah pengganas dan jika di Malaysia wajar di ISAkan ! Bagaimana dengan APCO di Malaysia?

Soalnya siapa yang mampu mengalih fokus dunia daripada menuduh Al Qaeda dan Muslim sebagai pengganas kepada Israel pula? Siapa ingin membiayai kempen besar-besaran media, melobi di PBB dan OIC, berseminar dan berdialog serta menyediakan serangan psikologi melalui permainan video, lagu dan filem bahawa Israel adalah pengganas dekad pertama milenium ini?

Amerika mampu mengadakan kempen menghalakan laras meriam Islamofobia kepada blok Islam kerana White House, PBB dan semua pentas besar dunia adalah milik Freemanson dan Zionis. Tambahan kini ia juga telah merayap ke dalam blok Islam dalam kalangan para aristokrat dan elitis.

Muhammad Nuruddin Bashah
Sekreteriat MUDA-Teras
Muhammad Nuruddin Bashah

JUDI BOLA SEPAK: PERAK IZINKAN?

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mendesak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Perak terutamanya pihak Kerajaan Negeri Perak tidak mengizinkan premis-premis judi beroperasi dalam pertaruhan perjudian pertandingan bola sepak Piala Dunia yang telah dilulus lesen oleh Kerajaan Pusat kepada Syarikat Ascot Sport anak Syarikat Kumpulan Berjaya Corporation menjelang mulanya sepak mula kelak.

Langkah terbabit akan memastikan operasi membanteras perjudian bola sepak yang berada di bawah bidang kuasa PBT tidak boleh menjalankan operasi mereka jika benar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sedar akan kemampuannya untuk lakukan.

Jika sebaliknya, jelas bahawa Datuk Seri Zambry tidak ikhlas membenteras judi yang merupakan bidang kuasa yang sedia ada padanya. Rakyat sudah pasti sedar akan tipu daya Umno / Barisan Nasional (BN) selama ini.

DPPN Pk akan memastikan bahawa langkah yang dibenarkan oleh PBT melalui kerajaan negeri akan dibantah jika premis-premis perjudian dibenarkan menjalankan operasi perjudian bola sepak tersebut. DPPN Pk juga meminta seluruh rakyat terutamanya yang Beragama Islam untuk menunaikan Solat Hajat memohon supaya dibukakan hati Datuk Seri Zambry untuk menyelamatkan sebahagian rakyat yang semakin dihanyutkan dengan wabak judi ini.

ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

KERAJAAN `TIDAK MUKTAMAD' , HURU HARA ZAMAN NAJIB

20 Jamadil Akhir 1431 H
wfauzdin.blogspot.com

BERTAMBAH haru biru nampaknya pentadbiran kerajaan di bawah Najib. Mungkinkah Najib sudah mulai tertekan dengan berbagai masalah yang beliau hadapi? Tekanan ke atas Najib nampaknya berjangkit kepada Menteri Kabinetnya sendiri. Saya suka gelarkan kerajaan ini sebagai `kerajaan tidak muktamad'. Mengapa?

Najib memperkenalkan dasar MEB bagi menggantikan DEB kununnya sebagai persaingan kepada dasar yang dicipta oleh PR yang meletakkan keadilan di dalam pembahagian ekonomi negara. Tetapi, apa sudah jadi? Bila berpuluh-puluh NGO pertubuhan Melayu membantah, maka Najib pun berkata MEB belum muktamad. Habis tu, selama ini dia merapu pasal benda yang tidak muktamad lah?

Kemudian, isu tanah Kg Bharu, Kuala Lumpur pula. 40 % tanah akan dibuka kepada bukan Melayu, maka bantahan pun diterima dari berbagai pihak. Menteri yang berkaitan pun menjawab, isu itu pun belum muktamad juga.

Sebelum ini pasal larangan penjualan rokok 14 batang. Sudah muktamad bahawa dikuatkuasakan bulan ini, tetapi ditangguhkan pula. Mengapa? Mungkinkah keputusan itu belum muktamad atau ditangguhkan atas sebab-sebab kepentingan pihak tertentu?

Kalau anda fikirkan balik, banyak lagi yang tidak muktamad di era Najib ini. Lesen judi bola sepak Piala Dunia mungkin sudah muktamad dan mungkin telah pun beroperasi. Pembatalan kerjasama dengan APCO sudah muktamad atau belum? Atau mahu tunggu puak Zionis tu lebih mengganas lagikah untuk dimuktamadkan?

Apa-apa pun lepas ini kita akan lihat betapa bertambah lintang pukang pentadbiran Najib. Apabila PM sudah kelam kabut, Menteri-Menteri pun apa lagi lah. Maka, berbagai-bagai dasar yang keluar dan berubah sekelip mata. Ini menunjukkan Najib sudah hilang keyakinan dan kemampuan untuk mentadbir negara ini.

Gaza: Kenyataan rasmi MB Kelantan

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bismillahir Rahmanir Rahim

Saya mewakili Kerajaan Kelantan dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Yahudi Israel yang menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan sehingga mengorbankan dua puluh (20) nyawa.

Konvoi ini dilaporkan membawa kira-kira sepuluh ribu (10,000) tan barangan bantuan, seramai lebih lima ratus empat puluh (540) orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk Ahli Parlimen, ahli akademik, ahli NGO petugas media, ulama’, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada lapan puluh tahun. Termasuk dalam rombongan tersebut juga ialah dua belas (12) orang rakyat Malaysia yang turut menjadi tawanan Yahudi Israel.

Sesungguhnya konvoi itu adalah bukan merupakan konvoi tentera dan tidak berangkat ke Gaza dengan tujuan ketenteraan, ia adalah misi kemanusiaan.

Paling penting ialah saya menyeru para ulama’ seluruh dunia dapat bangkit, tunaikan Solat Hajat dan mohon pertolongan Allah S.W.T. demi menyelamatkan umat Islam dan rakyat Palestin termasuk di Gaza.

Saya juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi teguran keras terhadap rejim itu. Saya juga menyeru agar Pertubuhan OIC dan negara-negara Islam turut menyertai bantahan ini bagi membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin.

Hakikatnya tingkah laku biadab Israel ini berpunca dari kefahaman bahawa mereka merupakan bangsa yang terpilih dan mulia berbanding bangsa-bangsa yang lain. Bagi mereka, hanya mereka yang berhak hidup di bumi ini dan bangsa-bangsa lain hanyalah bertaraf hamba kepada mereka. Ekoran kefahaman sesat seperti inilah, mereka langsung tidak berasa bersalah melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Inilah bahayanya fahaman ‘asobiyyah melampau yang dianuti oleh Yahudi. Selagi fahaman kebangsaan melampau seperti ini menjadi anutan mana-mana pihak, keamanan tidak akan dapat dikecapi di bumi ini.

Oleh kerana itu, saya selaku Menteri Besar Kelantan akan menganjurkan satu Kuliah Pagi Jumaat, pada 21 Jamadil Akhir 1431 (lusa) khusus berhubung dengan isu tindakan tidak bertamadun rejim Israel itu. Disebabkan Kuliah Jumaat ini penting, maka kita akan adakan di pekarangan Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.

Pihak Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Solat Hajat berserta bacaan Qunut Nazilah ditempat yang sama. Maka saya harapkan kerjasama semua pihak, muslimin dan muslimat agar dapat hadir beramai-ramai sebagai tanda kita mengutuk perbuatan zalim Yahudi Israel itu dan dapat sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan umat Islam dari kerakusan Yahudi – Israel.

Saya juga akan mohon kerjasama pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) agar mengarahkan semua masjid di Kelantan menunaikan Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta dapat menyediakan satu Khutbah Khusus mengutuk Israel/Yahudi untuk para khatib persembahkan kepada semua ahli jemaah Sembahyang Jumaat yang terdekat ini (lusa).

Terima kasih.

YAB TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar,
Kota Darulnaim.

Harakahdaily/-

Rombakan kabinet pancing hati rakyat sudah terlewat

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 2 Jun: Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah dianggap terlewat melantik timbalan-timbalan menteri dari wakil parti komponen BN di Sabah dan Sarawak untuk tujuan memancing hati rakyat.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kiranya lantikan itu bertujuan untuk memancing hati rakyat, ianya sudah terlewat.

“Dah terlewat dah. BN jatuh serta tidak mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya kecil di Sibu baru-baru ini. Baru nak berubah. Dah tak jadi apa dah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco ketika diminta mengulas berhubung rombakan kecil kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Antara perlantikan baru yang dibuat, Senator Datuk G. Palanivel selaku Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Richard Riot, Timbalan Menteri Luar.

Turut dilantik Chua Tee Yong sebagai Timbhalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Senator Datuk Donald Lim, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Maglin Dennis D’cruz, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Manakala Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan dari jawatan Menteri Pengangkutan dan Datuk Wee Jeck Seng digugurkan dari Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Harakahdaily/-

Adun Limbongan makin pulih

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 2 Jun: Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat kini semakin sihat selepas pengsan ketika menghadiri program Jati Diri Ladang Rakyat, Dun Limbongan di Masjid Majidiah, Wakaf Berangan.

Kejadian itu berlaku pada 31 Mei lalu selepas menunaikan solat Asar.Ekoran kejadian tersebut beliau dikejarkan ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

“Kemudian pada jam 10 malam saya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Menurutnya, beliau kini dalam keadaan sihat dan stabil.

Kata beliau pada hari kejadian beliau sedang memberi ucapan pada program Jati Diri Ladang Rakyat peringkat Dun.

”Saya pengsan akibat tekanan darah rendah. Sekarang alhamdulillah semakin baik, cuma doktor mahu menjalani rawatan lanjut,” ujarnya.

Beliau juga meminta penduduk di Dun Limbongan dan Kelantan amnya mendoakan agar kesihatan beliau bertambah baik untuk kembali bertugas kepada rakyat.

Harakahdaily/-

Pertubuhan Yahudi mahu Amerika putuskan hubungan dengan Anwar

20 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Sebuah pertubuhan Yahudi yang berpengaruh di Amerika meminta negara itu agar menyenaraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai musuh Amerika berikutan tindakannya mendedahkan hubungan kerajaan dengan APCO dan Asia Soft di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurut surat B’nai B’rith International’s, The Global Voice of the Jewish Community, yang mempunyai 200,000 ahli dan penyokong itu, mereka sangat kesal dengan kenyataan anti-Sematic yang dikeluarkan oleh Anwar itu.

Melalui surat yang ditandatangani oleh Dennis W. Glick, Presiden dan Daniel S. Mariaschin, Naib Presiden Executif B’nai B’rith International’s itu, mereka mendesak kerajaan Amerika memutuskan hubungan dengan Anwar.

Surat yang bertarikh 25 Mei itu ditujukan kepada John F. Kerry, Pengerusi dan Richard G. Lugar, Ahli utama Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Amerika Syarikat.

Dalam surat itu, pertubuhan itu melahirkan rasa prihatinnya dengan sikap anti-Sematic Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Anwar yang telah menghabiskan beberapa tahun tinggal di Amerika dan membina imej pro-Barat telah menggunakan kedudukannya untuk menyebarkan propaganda anti-Sematic.

Anti-Sematic adalah istilah yang digunakan oleh Yahudi untuk melebelkan pihak-pihak yang anti Yahudi atau Israel.

Bagi pertubuhan itu, langkah Anwar mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan memasukkan unsur-unsur fitnah anti-Yahudi dan anti-Israel adalah tidak boleh diterima.

"Contohnya, kenyataannya pada 30 April yang perisik Israel terlibat secara langsung dalam menguruskan kerajaan.

"Contoh lain adalah, dia mendakwa agen perisik Israel dalam unit IT pasukan Polis," kata surat itu.

Mereka juga berkata, Anwar mendakwa kerajaan menggunakan khidmat syarikat perhubungan awam yang dikawal oleh Yahudi di Parlimen.

Selain itu, mereka mendakwa Anwar pernah membuat kenyataan kepada Islam Online yang dia mempunyai bukti kerajaan menyokong lobi Yahudi di Amerika dan sesetengah pihak di Israel.

"Memandangkan peranan Anwar dalam kebangkitan anti-Sematic dalam politik Malaysia, kami memohon semua pegawai Amerika menggantung sebarang hubungan dengan Anwar Ibrahim," kata surat pertubuhan Yahudi itu.

Sementara itu, pertubuhan ini jugalah yang menyalahkan Flotilla Gaza dan melebelkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas.

Bagi pertubuhan ini, Flotilla ini adalah satu provokasi oleh kumpulan pro-Hamas yang berlindung di sebalik bantuan kemanusiaan bertujuan untuk memusnahkan negara Yahudi yang dianggap mereka sah itu.

Harakahdaily/-

Politik dendam, nafsu jahat Umno

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Mohd Fadzli Mohd Ramly

Politik balas dendam dan nafsu jahat para pimpinan UMNO Pahang rupanya tidak berakhir atas pentas politik. Sikap rakus dan jamban inilah yang menjadi anutan mereka terhadap musuh politik mereka tanpa menyedari bahawa politik ala zaman batu itu makin dibenci rakyat.

Sewaktu sambutan Aidilfitri tahun lepas, saya telah dimaklumkan oleh Pegawai MARA Daerah Rompin, bahawa Kerajaan Pahang minta saya keluar dari pejabat premis MARA yang saya sedang sewa sekarang.

Untuk rekod, saya telah menyewa sebuah premis MARA untuk saya mula bertapak sebagai sebuah firma guaman sekitar tahun 2007, Tetuan Mohd Fadzli & Co. Pemilihan saya sebagai penyewa juga melalui saluran yang sah iaitu secara temuduga. Tiada kabel,tiada orang dalam. Saya diterima sebagai penyewa secara merit walaupun terdapat ramai penyewa lain yang turut memohon. Sebagai seorang yang baru mula mengenal erti dunia perniagaan dan bertatih, sudah tentulah mengharap sebuah premis mampu sewa seperti MARA.

Saya menyewa tanpa sebarang masalah. Sewa sentiasa berbayar. Tiada Tunggakan. Rekodnya cemerlang. Dulunya Arked MARA sunyi dan hampir tidak dikenali kalau tiada Pejabat Pos Rompin bermukim di sini. Bukan mendabik dada, tetapi selepas pejabat peguam saya mula beroperasi yang merupakan pejabat peguam pertama di Rompin, Arked MARA meriah sekali kalau tidak hingar bingar pun sesesak pasar malam chow kit.

Kini, UMNO peralatkan MARA untuk usir saya. Semua ini kerana saya bekas calon PAS dalam dua siri pilihanraya lalu. Ditambah perit pula bila saya sering memekakkan telinga pemimpin UMNO dengan berdiri secara terbuka mengecam kezaliman dan salah laku pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di pentas-pentas Pakatan Rakyat.

UMNO makin pedih bila saya mengheret perangai korup mereka ke Mahkamah. Kes Ketua Penerangan UMNO Rompin saman Dato' Jamaluddin Jarjis (Ketua UMNO Bahagian Rompin), Saman terhadap anak syarikat Kerajaan Pahang kerana lambat serah milik (late delivery), Saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung isu pelatih dirogol jurulatih dan pelatih mati dalam latihan, Saman terhadap Polis kerana menghalang ceramah di Muadzam Shah bersama-sama peguam Hanipa Maidin disamping membantu syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd yang menang saman RM6 juta terhadap Kerajaan Pahang adalah antara rentetan perangai jahat UMNO yang didedah di Mahkamah.

Saya ingin tegaskan, bahawa tindakan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat politik kotor UMNO/Barisan Nasional. Ini adalah kerana, saya dimaklumkan Pegawai MARA Daerah dalam sambutan aidilfitri tahun lalu bahawa saya mesti mengosongkan premis sewaan saya dalam jangka masa segera.

Pada hal pada ketika itu, tempoh penyewaan saya masih berbaki hampir satu tahun lagi. Saya tidak menyalahkan MARA dan kakitangannya. Tapi sifat dungu UMNO ini terserlah apabila saya dimaklumkan bahawa punca saya disingkir adalah kerana aduan pemimpin UMNO Bahagian Rompin kepada Menteri Besar.

Namun setelah berkeras dan mencabar supaya MARA mengeluarkan surat penamatan pada ketika itu juga, MARA akhirnya memaklumkan saya bahawa saya boleh terus menyewa sehingga tamat perjanjian iaitu sehingga Ogos 2010. Walau apapaun jua yang dibuat, saya tetap tegaskan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat UMNO pada saya!

Inilah UMNO, sebuah parti yang kononnya perjuangkan bangsa Melayu. Saya orang Melayu. Bumiputera. Anak jati Rompin. Warga Pahang tulen. Saya menyewa dengan sebuah agensi yang bercita-cita ingin membantu orang Melayu,Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tapi apa sudah jadi. Saya bukan komunis, bukan penjenayah, tetapi dinafikan oleh bangsa sendiri.Semata-mata berlainan fahaman politik.

Sebenarnya, sikap busuk perut UMNO Pahang ini telah bermula apabila firma guaman lama saya Tetuan M.K Othman & Co yang telah berjaya menjadi peguam panel Unit Perumahan Kerajaan Pahang. Namun apabila mendapat tahu saya menjadi rakan kongsi pemilik M.K Othman & Co, Tuan Khairuddin Othman ( sekarang Setiausaha Perhubungan PAS Selangor), hanya dengan satu panggilan telefon menamatkan khidmat "panelship" dengan Kerajaan Pahang.

Nasib yang sama menimpa rakan guaman saya, Tuan Iqbal Hamdi (bekas YB Kuala Pahang) apabila beliau bertanding atas kerusi PAS dan menang. Habis semua "panelship" beliau ditarik akibat perangai UMNO ini.

Saya mendapat dokongan teguh rakan-rakan peguam Pahang untuk terus berjuang dan memastikan UMNO/BN akan dikuburkan dalam Pilihanraya akan datang. Politik bodoh UMNO ini pasti akan ditertawakan oleh rakyat dalam konstituensi Duta Besar Malaysia Bertaraf Menteri ke Amerika Syarikat.

Masyarakat di barat memandang tinggi Demokrasi yang subur di sana. Bukanlah niat saya untuk berkiblatkan mereka. Tetapi sikap professional mereka dalam melayani musuh politik boleh disanjung. Selepas musim pilihanraya, semua pihak membantu bangunkan negara, tiada istilah balas dendam. Rakyat perlu bangkit untuk menolak budaya hina ini. Ambillah contoh negeri Pakatan Rakyat, carilah satu sahaja contohnya, sekiranya ada mana-mana yang tersingkir dri premis kerajaan kerana jadi calon BN.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Ciuman perokok boleh membunuh

20 Jamadil Akhir 1431 H

Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.

Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children's Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," katanya seperti dipetik laporan Australian Associated Press.

Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia.

Malaysiakini/-

Scorpene: Polis Perancis serbu pejabat DCNS

20 Jamadil Akhir 1431 H

Polis Perancis menyerbu pejabat pengeluar senjata DCNS dan kumpulan industri Thales berhubung siasatan terhadap penjualan kapal selam kepada Malaysia, demikian menurut sumber kehakiman semalam.

Dokumen-dokumen dirampas dalam serbuan tersebut minggu lalu, tambah sumber itu.
Thales enggan mengulas perkara itu, manakala DCNS memberitahu AFP bahawa ia "tidak mengesah atau menafikan maklumat tersebut."

"Satu siasatan sedang dijalankan dan kami tidak boleh memberi sebarang komen."
Mac lalu, Pejabat pendakwaraya Paris memulakan siasatan terhadap penjualan kapal selam tersebut pada tahun 2002 ekoran aduan yang dibuat oleh badan hak asasi manusia dari Malaysia, Suaram.

Suaram mendakwa Armaris - anak syarikat Thales dan DCN - telah membayar komisyen sebanyak 114 juta euro kepada syarikat Malaysia Perimekar, yang dikaitkan dengan individu yang rapat dengan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak .

Najib merupakan merupakan menteri pertahanan pada tahun 2002 dan bertanggungjawab dalam rundingan kontrak tersebut.

Sejak tahun 2000, bayaran komisyen bagi kontrak yang berkaitan dengan pemimpin asing merupakan satu rasuah di bawah undang-undang Perancis.

Pada 2002, The DCN menyertai Thales dan kumpulan pembinaan Navantia dalam kontrak untuk menjual tiga kapal selam kepada Malaysia pada sekitar harga satu bilion euro.

Lewat April lalu, seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa "tiada kes" untuk dijawab.

Menurutnya, urusniaga tersebut bebas daripada rasuah dan tidak benar Perimekar mendapat manfaat secara tidak betul daripada urusniaga tersebut.

Malaysiakini/-

Pemuda Pakatan: Hentikan perkhidmatan Apco

20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazlan Zakaria

Para pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan berhenti menggunakan perkhidmatan syarikat perunding Apco Worldwide dan syarikat-syarikat lain yang ada kaitan dengan Israel selaras dengan pendirian negara mengutuk tindakan negara Zionis itu melancarkan serangan maut ke atas kapal bantuan kemanusian ke Gaza.

Delegasi yang terdiri daripada anggota Pemuda PAS dan PKR itu, menyerahkan nota bantahan tersebut kepada pegawai khas kepada Perdana Menteri, Razali Ibrahim di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini di bawah pengawasan ketat kira-kira 20 anggota polis dan pegawai keselamatan.

Delegasi tersebut diketua oleh Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan turut disertai setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzzaman Mohd dan ketua Pemuda PKR Selangor Khairul Anwar.

"Inilah masanya bagi perdana menteri mengambil langkah tegas untuk memprotes jenayah perang yang dilakukan oleh Israel," kata Shamsul kepada wartawan selepas itu.

Kerajaan juga harus mengambil kesempatan ini untuk memutuskan semua bentuk hubungan dengan syarikat lain yang mempunyai kepentingan Israel, tambahnya.

Tidak ada demonstrasi diadakan pagi ini selain menaikkan sepanduk yang mendesak kerajaan mengusir Apco.

Para aktivis melaungkan slogan untuk beberapa ketika di kawasan letak kereta pejabat perdana menteri, sambil diperhatikan oleh kira-kira 20 anggota polis dan anggota keselamatan.

Malaysiakini/-

'Merangkak di kawasan berlumuran darah'

20 Jamadil Akhir 1431 H

Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail nyaris terkena tembakan komando Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara, pagi Isnin lalu.

Menceritakan insiden itu melalui telefon setelah dihubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, selepas dibebaskan tentera Israel pagi tadi, Ashwad berkata aktivis Turki di kiri dan kanannya terkena tembakan komando Israel ketika serangan itu.

Katanya, tentera Israel mula mengepung kapal misi mereka pada jam 11 malam dan menghampiri kapal mereka pada jam 2 pagi sebelum menyerang pada jam 4.30 pagi dengan sokongan bot dan kapal perang serta helikopter penggempur Apache.

"Kami diserang bertubi-tubi dan Alhamdulillah saya dan jurukamera, Shamsul (Kamal Abdul Latip), terselamat daripada tembakan di mana peluru hidup digunakan.

"Dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga di bahagian bahu. Tapi saya sempat menyelamatkan diri dan merangkak turun dari dek kapal melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat di dalamnya.

"Saya merangkak di kawasan yang berlumuran darah dan ternyata pengalaman yang memeritkan untuk kita imbas kembali tetapi jika diperhatikan kami berjaya membuka mata dunia tentang apa yang berlaku.

"Saya tidak menjangkakan bahawasanya Israel boleh bertindak sedemikian kerana kami orang awam di dalam kapal tetapi tindakan ketenteraan yang dilakukan. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan," katanya dalam lintas langsung dari sempadan Jordan semasa berita Awani tengah hari ini.

Ashwad dan Shamsul adalah antara 12 sukarelawan negara yang ditawan bersama ratusan sukarelawan antarabangsa oleh tentera Israel kelmarin selepas kapal mereka diserang.

Sambil menyatakan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak, khususnya kerajaan Malaysia, yang berusaha membebaskan mereka, Ashwad berkata pengalaman 28 jam ditahan tentera rejim Zionis itu amat memeritkan.

Katanya, keperitan yang dialami dalam tempoh singkat itu sudah cukup untuk beliau menyelami kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin akibat kezaliman rejim Zionis selama enam dekad konflik Palestin-Israel itu.

"Apa yang saya dapat simpulkan, 28 jam itu saya boleh rasakan pengalaman konflik enam dekad Israel-Palestin, kesengsaraan Palestin di bawah kekejaman rejim Zionis dalam masa 28 jam dan ternyata tidak dapat digalas dengan segala apa yang ada pada kita," katanya.

Ditanya bagaimana layanan tentera Israel terhadap mereka, Ashwad enggan menjawabnya dan hanya mahu seluruh penonton memahami kezaliman rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin selama enam dekad.

"Seperti yang saya katakan tadi, mesej saya ringkas, saya merasakan konflik enam dekad Palestin-Israel bagaimana Palestin ditindas tetapi saya merasakan dalam tempoh 24 hingga 28 jam.

"Saya harap penonton semua termasuk Zaiful dan ibu bapa saya sudah mendapat mesej itu, Tak perlu saya huraikan jenis apa yang telah dilakukan ke atas saya," katanya.

Malaysiakini/-