07 April 2010

Kontrak RM6.47b makanan tentera dipertikai

Kementerian Pertahanan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM6.47 bilion kepada sebuah syarikat tempatan untuk membekalkan rangsum (catuan makanan) segar kepada anggota tentera, demikian menurut portal 'MyProcurement' yang baru diwujudkan oleh kerajaan.

Mengulas mengenai perkara itu, ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, portal berkenaan mungkin memberikan maklumat salah kerana kontrak itu tidak mungkin bernilai sebanyak itu.

"Jumlah ini cukup untuk beli empat buah kapal selam. Tapi saya cenderung untuk percaya ada kesilapan meletakkan titik perpuluhan," katanya kepada pemberita di bangunan parlimen hari ini.

Portal MyProcurement merupakan pusat maklumat perolehan kerajaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pua melahirkan kekecewaannya terhadap portal MyProcurement yang didakwanya tidak mengandungi maklumat lengkap dan berguna kepada rakyat.

Satu lagi contoh yang diperhatikannya ialah kontrak untuk membekalkan perisai badan kepada tentera bernilai RM82.3 bilion tanpa menyebut butiran lain.

"Itu yang saya perhatikan sepintas lalu sahaja," katanya lagi yang meminta kerajaan supaya benar-benar mencontohi kerajaan Singapura dalam membina portal pemerolehan seperti itu.

Katanya lagi, portal GeBiz oleh Singapura mempunyai lebih banyak maklumat, termasuk jumlah pembida dan juga bidaan alternatif oleh setiap pembida berkenaan.

Beliau mempertikaikan sama ada kerajaan bersungguh-sungguh untuk membina portal berkenaan.

Tony juga mempertikaikan 38 kontrak yang dimuatkan dalam laman tersebut, yang tidak menyebut nama syarikat terbabit.

"Portal ini juga tidak menyediakan maklumat asas seperti tarikh tender, tarikh dianugerahkan, dan bilangan (kontraktor) yang mengambil bahagian," katanya.

Tambahnya, masalah paling besar dalam sistem perolehan kerajaan ialah kontrak yang diberikan secara rundingan terus.

"Kontrak seperti ini biasanya diberikan secara kroni kepada ali baba, menyebabkan bukan sahaja pembaziran tetapi juga projek yang berstandard rendah atau gagal," katanya.

Malaysiakini/-

'Pilih calon Umno atau sokongan terjejas'

Umno Hulu Selangor masih berharap Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan dengan serius tuntutan mereka - yang mahukan kerusi parlimen tersebut ditandingi Umno - supaya sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas.

Naib ketua bahagiannya Datuk Adnan Buyong berkata, tuntutan yang dibuat mereka melalui satu memorandum pada 30 Mac lalu bukan mewakili hasrat mereka sahaja, tetapi kehendak rakyat Hulu Selangor secara keseluruhannya.

“Sampai sekarang di kedai-kedai kopi, orang bercakap hendak calon Melayu,” katanya ketika diminta mengulas tindakan lanjut mereka bagi memastikan kerusi parlimen tersebut dikembalikan ke pangkuan Umno.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, “berkemungkinan besar” calon BN di Hulu Selangor dipilih daripada MIC.

Kenyataan itu dilihat hampir mengesahkan pemilihan timbalan presiden MIC G Palanivel (kiri) yang akan berdepan sekali lagi dengan calon PKR dalam pilihan raya kecil pada 25 Mac ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Adnan berkata, beliau sendiri berani memberikan jaminan, ahli Umno akan tetapi setia bersama-sama parti walau siapa pun yang diumumkan terpilih mewakili BN pada 15 April ini.

Bagaimanapun, tambah Adnan, mereka hanya mewakili sebahagian kecil penduduk berbanding dengan jumlah pengundi Hulu Selangor keseluruhannya.

'Rakyat didahulukan, pencapaiannya tengoklah nanti'

“Kita akan terima siapa sahaja yang diputuskan parti, tetapi ahli parti hanya mewakili 20 peratus daripada pengundi. Pengundi di sini lebih 63,000.

“Mereka ini, kita tidak tahu (bagaimana sokongannya). Kita (sebagai) orang Umno OK,” katanya.

Ditanya adakan Umno akan hanya akur dan berdiam diri ekoran perkembangan terbaru itu, Adnan menjawab:

“Kita sudah buat semua perkara. Sekarang kita berdoa sahajalah. Tetapi kita tidak putus harap supaya permintaan kita diterima.

“Apa boleh buat, yang buat keputusan bukan kita. Kalau saya yang buat keputusan, senang,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Adnan lagi, walaupun keputusan berhubung calon yang dipilih masih belum diketahui, berdasarkan kenyataan Najib, kemungkinan besar MIC akan bertanding sekali lagi di kerusi parlimen tersebut.

Dengan nada perlahan dan kecewa, Adnan sempat berseloroh, tetapi sinis:

“Saya pun tidak berapa faham dengan (konsep) 1Malaysia ini. Rakyat didahulukan, pencapaiannya (di Hulu Selangor) kita tengoklah nanti.”

Malaysiakini/-

Teka-teki siapa calon BN di Hulu Selangor

Teka-teki siapa akan menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini kini menjadi tumpuan masyarakat akar umbi di kawasan itu.

Ia menjadi topik hangat sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kekosongan kerusi itu ekoran kematian penyandangnnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Pilihan raya umum Mac 2008 menyaksikan Zainal Abidin menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel, yang mewakili kawasan itu sejak 1990, dengan majoriti 198 undi - satu keputusan mengejutkan kerana kesemua tiga DUN dalam kawasan parlimen Hulu Selangor iaitu Ulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu, dimenangi oleh BN, lapor Bernama.

Persoalannya kini berkisar sama ada MIC akan terus bertanding di situ, dan jika ini berlaku, siapakah tokoh MIC yang akan mewakili BN di situ?

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan pengerusi BN dilaporkan berkata kerusi parlimen itu kemungkinan dikekalkan kepada MIC.

Semalam, Muhyiddin berkata calon BN akan diumumkan pada 15 April ini, dua hari sebelum penamaan calon.

Bagi Palanivel sendiri, beliau optimis status quo itu akan dikekalkan.

"Ini kerusi MIC lagipun ini kerusi campuran, sepatutnya tiada perubahan," katanya ketika ditemui di Batang Kali Jumaat lepas.

Hampir 53 peratus atau 34,020 daripada 64,500 pemilih berdaftar adalah pengundi Melayu manakala kaum Cina dan India masing-masing terdiri 16,964 pengundi (26.3 peratus) dan 12,453 pengundi (19.3 peratus).

Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak ketika turun ke Kuala Kubu Baharu Sabtu lepas berkata beliau perlu berunding dengan banyak termasuk Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berhubung pemilihan calon itu.

"Banyak nama yang layak tetapi presiden hanya calonkan Palanivel sebab beliau lama jadi wakil rakyat di sini," kata seorang pemimpin akar umbi MIC yang enggan namanya disiarkan.

Palanivel, yang juga bekas wartawan, merupakan pengerusi MIC Selangor dan ketua MIC bahagian Hulu Selangor.

Selain Palanivel, nama lain yang disebut-sebut ialah naib pengerusi MIC Hulu Selangor K Balasundram, setiausaha agung MIC S Murugesan, ketua Pemuda MIC bahagian itu V Mugilan, ahli jawatankuasa MIC Hulu Selangor, K Arunasalam, ketua penerangan MIC kebangsaan P Kamalanathan dan bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam.

Mugilan dan Subramaniam dikatakan calon popular kerana kedua-duanya merupakan anak tempatan, masing-masing berasal dari Ladang Kerling dan Ladang Lima Belas, Hulu Selangor.

Apa yang pasti, seperti kata Muhyiddin, individu yang terpilih adalah terjemahan "denyut nadi" rakyat di kawasan itu bagi memastikan kerusi itu kembali ke tangan BN.

Sentimen sama disuarakan timbalan pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar di Batang Kali baru-baru ini dengan berkata: "Dalam perjuangan perlu ada satu suara, siapa dipilih adalah calon BN dan perlu disokong sebulat suara."

Sementara itu, 54 pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan persekutuan (JKKP) yang sebahagian besarnya ketua Umno cawangan di Hulu Selangor, telah menghantar memorandum kepada perdana menteri, mendesak supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh naib ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Adnan Buyong.

Penghantaran memorandum tersebut dilihat sebagai langkah serius dan bersungguh-sungguh Umno bahagian untuk mendapatkan kembali kerusi tersebut yang kini ditandingi oleh calon MIC.

Malaysiakini/-

Apco: PAS gesa Majlis Raja-Raja campurtangan

PAS hari ini menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-Raja supaya campurtangan untuk membatalkan kontrak antara kerajaan Malaysia dan firma perunding Apco Worldwide.

Timbalan presidennya, Nasharuddin Mat Isa menyerahkan memorandum tersebut yang ditandatangani oleh presiden dan kesemua ahli parlimen PAS di pejabat penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di ibunegara hari ini.

“Patik ahli-ahli parlimen PAS sangat berharap agar ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku membatalkan kontrak perundingan Apco dengan kerajaan Malaysia bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat; serta menghindarkan persepsi buruk terhadap Malaysia oleh masyarakat dunia, terutamanya oleh negara-negara umat Islam,” memorandum lima halaman itu dipetik.

Turut dilampirkan salinan dokumen perjanjian kerajaan dan Apco serta teks ucapan penuh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen yang mengaitkan frma perunding itu dengan Israel pada 30 Mac.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Nasharuddin berkata, tindakan kerajaan mengadakan kontrak dengan Apco "seolah-olah menjemput penceroboh untuk menjejaskan kedaulatan negara''.

"Setelah kita membawa perkara ini ke dalam parlimen dan selepas pendebatan dilakukan, kita bawa kepada perhatian Majlis Raja-Raja untuk tindakan lanjut," katanya.

Nasharuddin juga menyifatkan tiada penjelasan konkrit daripada kerajaan berhubung perkara yang ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok menegaskan sekali lagi bahawa ia adalah isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Perjanjian dengan 'tangan yang berlumuran darah'

Kira-kira 10 ahli parlimen PAS hadiri mengiringi Nasharuddin termasuk dua naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Antara yang turut hadir ahli-ahli parlimen PAS, Khalid Samad (Shah Alam), Dr Lo' Lo' Ghazali (Titiwangsa) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Sementara itu, Mahfuz (dua dari kiri) pula berkata, terdapat penglibatan tokoh-tokoh yang rapat dengan kerajaan Israel - yang menceroboh tanah air rakyat Palestin - dengan Apco.

“Bagaimana kita boleh mengadakan perjanjian dengan pihak yang tangannya berlumuran darah rakyat Palestin (yang berperang dengan Israel)?

"Perkara ini tidak dapat diterima rakyat Malaysia” katanya lagi.

Memorandum tersebut mendakwa terdapat penglibatan tokoh-tokoh penting Yahudi seperti bekas duta besarnya di Jerman dan Amerika Syarikat sebagai penasihat kanan syarikat perunding antarabangsa itu.

Sementara Salahuddin pula berkata, PAS mengadu perkara tersebut kepada Majlis Raja-raja kerana badan tersebut merupakan “tempat terakhir” untuk dituju dalam ruang lingkup demokrasi di negara ini.

“Kita lihat dulu apa (terjadi) selepas ini,” katanya ketika ditanya tindakan lanjut parti Islam itu.

Memorandum tersebut diterima oleh penolong setiausaha majlis Raja-raja Datuk Muhammad Sabtu Awam bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.

Malaysiakini/-

PKR Senarai Pendek Lima Nama

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyenarai pendek lima nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata sehingga kini, jawatankuasa pilihan raya pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan diperingkat akar umbi.

“Setakat ini kita ada lima nama yang telah disenarai pendek. Namun keputusan akhir akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat parti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mengenai kriteria calon yang akan dipilih oleh parti itu nanti, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, PKR tidak pernah menetapkan faktor kaum sebagai kriteria utama sebaliknya calon yang dipilih perlu diterima oleh rakyat di kawasan Hulu Selangor.

“Yang lebih utama, PKR akan pastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan itu lebih penting,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon pada minggu hadapan.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras pada 26 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 17 April untuk penamaan calon dan 25 April sebagai tarikh pengundian.

mStarOnline/-

Perompak Sanggup Tembak Mati Rakan Yang Cedera

Oleh STEVEN CHIEW

KUALA LUMPUR: Akibat mahu memastikan rakannya tidak 'memecahkan tembelang mereka', seorang perompak sanggup menembak mati rakannya itu yang cedera dalam satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Plaza OUG di sini.

Terdahulu, perompak malang itu cedera parah selepas ditembak oleh seoranng pengawal keselamatan kedai barang kemas terbabit.

Selepas melaksanakan 'tugasnya' perompak kejam itu melarikan diri dengan lapan dulang emas.

Dalam insiden pada pukul 2.45 petang itu hari ini, dua penjenayah bersenjata itu menyerbu masuk ke kedai barangan kemas itu yang terletak di aras bawah kompleks membeli-belah terbabit sebelum berdepan dengan salah seorang pengawal keselamatan yang duduk di hadapan kedai itu.

Mereka merampas pump-gun milik pengawal terbabit sebelum mengarahkan para pekerja mengangkat beberapa dulang berisi barangan kemas ke dalam beg plastik yang dibawa mereka.

Pada ketika itu, terdapat empat orang pekerja di dalam kedai berkenaan.

Bagaimanapun, penjenayah terbabit tidak menyedari terdapat seorang lagi pengawal keselamatan bersenjata di belakang cermin sehala di dalam kedai berkenaan yang memerhatikan gelagat mereka sebelum melepaskan tembakan tepat ke bahagian perut sebaik sahaja perompak terbabit mahu melarikan diri.

Penjenayah yang cedera itu kemudian tumbang tidak jauh dari kedai tersebut.

Sebaik melihat rakannya tumbang, penjenayah yang berada di depan berpatah balik sehingga menakutkan orang ramai sebelum melepaskan dua das tembakan kepada rakannya yang terbaring itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Sabtu Osman berkata, perompak yang menembak mati rakannya menghilangkan diri dengan sekurang-kurangnya lapan dulang barangan kemas.

“Penjenayah bersenjatakan Revolver .38 dan sangat berbahaya yang sanggup membunuh sesiapa sahaja termasuk rakannya.

“Siasatan awal mendapati perompak yang mati berusia 34 tahun dan memiliki dua rekod jenayah lampau iaitu samun bersenjata dan penyalahgunaan dadah," jelasnya.

Tambah beliau, polis akan mengedarkan fotofit perompak yang melarikan diri selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

mStarOnline/-

Gambar di Hospital 6 April.

Anak kecil comel ini tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan saya, ibu bapanya datang bertandang kelmarin untuk bertanya khabar keadaan kesihatan saya.

TAIPING, 6 April ;- Hari ke 3 berada di wad 97 Hospital Columbia Asia Taping terus diwarnai oleh kunjungan dari saudara dan rakan seperjuangan dari pagi sehinggalah pelawat terakhir pada jam 12.00 malam tadi. namun pihak pengurusan meminta izin dulu dari saya untuk membenarkan mereka naik ke wad, tamu mana boleh saya tolak.

Sesetengah yang datang bersama dengan kamera masing-masing dan juga mahu bergambar walaupun dirakam dengan talifon yang serba canggih sekarang ini. Lalu saya tidak lepaskan peluang untuk meminta mereka mengambil gambar dengan kamera cina Islam bagi koleksi blog ini.

Antara ADUN Pakatan Rakyat yang datang kelmarin ialah YB. Ab. Yunus Jamhari (Kuala Kurau), YB. Khesvinder Singh (Malim Nawar), YB. Tai Sing Eng(Kuala Sepetang). YDP PAS yang berkunjung kelmarin ialah Ust. Misbahul Munir (YDP PAS Bagan Datoh) yang juga Setiausaha PAS Perak, dan Sdr. Abdul Rahim Nordin (YDP PAS Tapah).

ADUN Kuala Kurau di temani oleh Ketua Cabang PKR Bagan Serai, Sdr. Mohd. Nasib.

Selain itu kunjungan dari para blogger dan peminat blog cina islam sekitar Taiping menceriakan lagi suasana di wad 97. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rombongan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar yang diketuai oleh Ketuanya, Ustazah Zabariah. Terima kasih juga dengan bingkisan buah-buahan yang dibawa. Kunjungan itu lebih bermakna kerana pada masa yang sama Isteri tercinta berada bersama untuk melayan tetamu muslimah yang datang.

Hari ini saya dibenarkan keluar wad dan jamnya saya tidak pasti lagi. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan baru setelah ujian ini untuk berkerja lebih keras lagi bagi memenuhi agenda perjuangan yang belum selesai.

Bersyukur kepada Allah, Terima kasih kepada semua, jumpa di medan jihad....


ADUN Kuala Kurau dan ketua Cabang PKR Bagan Serai

Ust. Misabah ditemani oleh penolongnya Sdr. Ismad dan Sdr. Zairul.

ADUN Malim Nawar, YB. Khesviner Singh.

Rombongan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar.

ADUN Kuala Sepetang, YB. Tai Sing Eng.

YDP PAS Tapah(tengah) dan Blogger Alhusseyn.

Timbalan YDP Beruas, Hj. Nazir salah seorang dari OKT di Kuala Kangsar pada 6 Feb 2009 menunjukkan sesuatu dokumen dalam kesempatan ziarahnya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saman Utusan RM29 Juta

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap seorang editor dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Azan yang hadir bersama peguam yang mewakilinya, A. Vasudevan memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi tetuan Vasudevan A & Co.

Beliau menamakan editor akhbar Utusan Zulkiflee Bakar sebagai defendan pertama dan syarikat akhbar itu, defendan kedua.

Dalam penyata tuntutannya, Azan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Zulkiflee telah menulis satu artikel dalam akhbar Utusan pada 6 Mac lalu yang berunsur fitnah terhadap beliau.

Azan mendakwa dalam artikel yang berserta dengan gambar itu mengatakan bahawa beliau telah keluar dari PKR dan telah meletakkan gambarnya bersama dengan ahli-ahli politik lain yang telah keluar dari PKR sebelum itu.

Tambahnya, defendan kedua pula telah mencetak dan menerbitkan satu laporan susulan pada ruang ralat dalam suratkhabar Utusan Malaysia pada 8 Mac lalu yang menyatakan Azan tidak keluar dari PKR tetapi telah meletak semua jawatan dalam PKR termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri.

Dakwanya lagi, kedua-dua cetakan dalam akhbar pada 6 Mac dan 8 Mac itu boleh menjatuhkan air muka serta maruahnya.

Beliau menuntut ganti rugi RM29 juta terhadap kedua-dua defendan, satu injunksi terhadap defendan pertama daripada membuat apa-apa laporan dan/atau penulisan lain yang berunsur fitnah terhadapnya dan injunksi terhadap defendan kedua daripada mencetak apa-apa laporan berunsur fitnah.

Azan juga menuntut faedah 8 peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi RM29 juta dari tarikh saman itu difailkan. - mStarOnline/-

Gambar terkini hari ini.

Gambar terkini yang diambil semasa sarapan pagi tadi.

Hari ke 3 di Hospital Columbia Asia Taiping.

Alhamdulillah sejak saya dimasukkan di wad 97 Hospital ini pada jam 7.25 malam Ahad 4April lepas, kesihatan saya dan anak ke dua Khairul Anwar Lim semakin membaik dari hari ke hari. Pengawasan yang rapi dari Doktor pakar dan jururawat serta pembatunya di hospital ini dan terlebih penting doa dan munajat dari semua saudara dan rakan taulan adalah penawar serta penyambuh kepada ujian kecil ini.

Alhamdulillah dari malam pertama sehingga malam tadi Saudara, rakan seperjuangan dari pelbagai bangsa tidak putus- putus menziarahi disamping yang tidak sempat menziarahi berulang kali menalifon dan mengirim pesanan ringkas bertanya khabar mengenai kesihatan terkini saya.

Tidak kurang juga yang sekali mengirim email dan sms serta komen dalam blog mengenai petua dan cadangan ubat untuk dimakan sebagai penawar yang sebelumnya didakwa telah mampu menyembuhkan penyakit denggi.

Tambah teruja bila ada yang menghantarnya ke wad untuk dimakan. Apapun semuanya saya harga dan sajung tinggi serta menunjukkan semagat persaudaran, kesetiakawanan dan ukhuwah yang tinggi dengan harapan untuk melihat saya cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa.

Kelmarin juga rombongan PAS Kawasan Parit Buntar yang diketuai oleh Yang Dipertua, Hj. Harun Hj. Hashim menziarahi saya dan anak di wad dan kebetulan pada masa yang sama YDP PAS Kawasan taiping iaitu ust. Fakhruddin juga datang ziarah. Makna setakat ini sudah 8 orang YDP PAS kawasan yang datang.

Hari ke 3 disini saya masih tidak pasti adakah boleh atau tidak untuk keluar wad. Sebentar tadi darah telah dambil untuk dilihat samada turun atau tidak. Sesudah itu mungkin akan ada keputusan ditahan lagi atau dibenarkan balik.

manakala keadaan anak nampaknya agak lebih cenderung untuk ditahan lagi kerana keadaan darahnya banyak turun dan semasa darah diabli sebentar tadi tempat yang dicucuk jarum , darah yang keluar lambat berhenti.

Setakat ini seingat saya sudah 8 botol air yang dimasukkan ke dalam badan, sebentar lagi akan ditambah untuk ke 9 botol.

Berbalik kepada Doa dan petua serta munajat yang telah dilakukan untuk kebaikan kesihatan saya demi untuk kembali bertugas seperti biasa, saya sanjung tinggi dan sangat mengahrgai . Hanya Allah jua yang dapat membalasnya.

Contohnya jemaah usrah PAS Kawasan Tanjung Malim pada malam pertama masuk wad, setelah mereka mengetahui saya ditahan diwad dan positi denggi dimaklumkan mengadakan solat hajat khusus untuk memohon dari Allah supaya saya cepat sembuh, semua Allah merahmati hasrat baik semua rakan seperjuangan itu.

Sehingga rata-rata ADUN non-muslim mengirim SMS dan menyelitkan dengan kalimat InsyaAllah semuga saya cepat sembuh..

Mudah-mudahan saya akan cepat puliha seperti biasa dan kembali berbakti dengan tugas yang banyak diluar sana.