20 Januari 2011

ADUN UMNO akan hadir sidang DUN Selangor

15 Safar 1432H.

SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu akan hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kehadiran ADUN UMNO itu bukan bermakna mereka bersetuju sebaliknya sebagai menjunjung perintah Sultan Selangor yang memberi perkenan untuk mengadakan sidang itu.

Noh turut membidas kerajaan negeri yang masih gagal memberikan draf pindaan Undang-undang Tubuh Negeri kepada ADUN pembangkang sehingga semalam. "Ini satu taktik kerajaan negeri untuk serang hendap mereka yang tidak mahu kita membaca dulu pindaan yang mereka hendak buat," katanya

Taib akan berunding dengan PM bagi tentukan pilihan raya

15 safar 1432H.

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, akan berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kemungkinan mengadakan pilihan raya peringkat Parlimen serentak dengan pilihan negeri Sarawak atau sebaliknya.

Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata beliau sudah mempunyai ilham untuk mengadakan pilihan raya negeri namun tidak dapat menentukan tarikhnya. "Pembangkang pun kecewa jugalah," katanya pada rancangan Dialog "Pembangunan Sosio-ekonomi dan Politik Sarawak" yang disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 malam tadi. Pilihan raya negeri untuk kesemua 71 kawasan mesti diadakan sebelum Julai tahun ini apabila tempoh dewan undangan negeri (DUN) Sarawak berakhir.

Mengulas cabaran dan tangungjawab yang dipikul untuk menentukan Sarawak kekal menjadi "deposit tetap" BN, beliau berkata, politik di Sarawak masih lagi bersandar kepada keinginan rakyat untuk menikmati pembangunan yang lebih pesat yang menentukan masa depan negeri ini.

"Jadi politik yang sumbang sikit, kurang mendapat sambutan di Sarawak tetapi di dalam bandar penduduk sudah merasa soal pembangunan ini sebagai perkara biasa," katanya sambil menambah bahawa parti komponen BN negeri, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan bertangungjawab untuk menghadapi isu pembangunan di dalam bandar dengan lebih hebat.

Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata di peringkat PBB, persiapan pilihan raya telah berjalan sejak enam bulan lepas dengan mengadakan banyak seminar, khasnya bagi pemimpin akar umbi dan sayap wanita.
Beliau percaya PBB serta dua komponen BN lain, iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak menghadapi banyak masalah tentang siapa akan menjadi calon pilihan raya nanti berikutan nasihat Najib pada konvenysen SUPP di sini pada Ahad lalu.

Merujuk kepada nasihat Najib agar hanya mereka yang boleh membawa kemenangan dicalonkan, beliau berkata : "Kita sudah tahu siapa yang kita nak gantikan dan kebanyakan mereka (penyandang) ini akan memberi laluan kepada muka baru."

Bagaimanapun, Taib berharap SUPP dapat menentukan mereka yang patut menjadi calon pilihan raya serta menarik penyokong baru setelah mempunyai semangat baru bagi menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya negeri pada 2006.

manakala PRS dan SPDP masing-masing lapan.

Sambil bersetuju bahawa isu politik dan pilihan raya adalah berkait rapat, Taib berkata, persepsi politik Sarawak pada masa sekarang masih dikatakan politik pembangunan adalah memang benar.

Pada perjumpaan parti dan pertubuhan dengan rakyat, khasnya di luar bandar, beliau berkata, soal pembangunan sentiasa dibangkitkan memandangkan Sarawak mempunyai kawasan yang sangat luas. - BERNAMA

Venezuela dakwa miliki simpanan minyak terbesar dunia

15 Safar 1432H.

CARACAS: Venezuela mendakwa negara itu memiliki simpanan minyak mentah terbesar dunia sebanyak 297 billion tong, di mana melepasi jumlah yang dimiliki Arab Saudi.

"Pada penghujung 2010, kami memiliki 217 billion tong minyak dan kini dapat disahkan ia mencecah 297 billion tong," kata Menteri Minyak Venezuela, Rafael Ramirez, hari ini. - AFP

Terkini : Ali Rustam mengiringi jenazah ADUN Merlimau

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengiringi jenazah ADUN Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 55, dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Tersusun Lipat Kajang, Merlimau. - BHFoto Rasul Azli Samad/Jan 20, 2011 10:50 pm

Al Fatihah : ADUN Merlimau Sah Meninggal Dunia Sebentar Tadi

15 Safar 1432H.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan (Gambar) meninggal dunia pada pukul 8.10 malam Khamis selepas menerima rawatan di Hospital Pakar Putra, Melaka.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu Radhuana Salleh.

Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Tersusun Lipat Kajang, Jasin.

Sebelum itu, portal media melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri itu telah meninggal dunia sedangkan beliau masih berada dalam keadaan koma.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Januari lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Sembilan Lelaki Ditahan Papar Poster Haramkan Interlok

15 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki ditahan kerana cuba menimbulkan kekacauan dengan memaparkan poster bertulis 'Haramkan Interlok' ketika sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves di sini, Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam kejadian padapukul 10.10 pagi itu, kesemua lelaki yang memakai baju T berwarna oren dan mempunyai tulisan Hindraf itu cuba mempamerkan tiga poster kepada orang awam.

"Ketika polis hendak menghalang kesemua mereka yang berumur antara 18 hingga 46 tahun itu, mereka merempuh polis menyebabkan mereka ditangkap.

"Kami turut merampas kesemua poster itu untuk simpanan bukti kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lapan daripada mereka berasal dari Selangor manakala seorang lagi dari Ipoh, Perak.

Siasatan juga mendapati tiga daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, katanya.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas, katanya.

Mereka kini ditahan di Balai Polis Selayang.

Tun Hisan berkata, dari Isnin hingga hari ini, tiada kejadian jenayah dilapor di kawasan tumpuan sambutan perayaan bagi penganut agama Hindu itu kecuali kekacauan yang dileraikan polis itu.

Dilaporkan kira-kira 1.3 juta pengunjung dan penganut agama Hindu tempatan dan luar negara membanjiri perkarangan kawasan berkenaan sejak Isnin lepas.

Seramai 1,200 polis ditugaskan mengawal keselamatan di kawasan itu termasuklaluan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi memastikan kelancaran trafikdan mengelakkan kejadian yang tidak diingini. - BERNAMA

Malaysia lebih harmoni bila kehidupan beragama difahami oleh semua pihak.

15 Safar 1432H.
Cina Islam.

Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching menerima ugutan ke atas keselamatannya kelmarin apabila seekor ayam tergantung di luar pejabat pusat khidmat DAP di Sungai Chua, Kajang yang juga tergantung poster yang tertera 'Ingat!!! Ini satu Peringatan,Teo Nie Ching, Tentera Jihad', “ katanya (Gambar).

Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian yang saya anggap dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dan mempunyai niat yang tersendiri berdasarkan isu pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kejayaan MP Serang mengunjungi beberapa mesjid dan surau sebelum ini.

Biarlah dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta pengalaman pihak polis menjalankan siasatan yang terperinci dari segala aspek untuk menyelesaikan kes ini.

Dalam laporan pada ibu pejabat polis daerah Kajang pada jam 11.45 pagi kelmarin. Teo berkata rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi daripada sebuah kedai bersebelahan pejabatnya menunjukkan dua lelaki tidak dikenali yang menggantung ayam dan poster itu.

Jelas ada pihak yang bertindak melakukan tindakan tersebut , dan tidak salah saya katakan apabila pihak yang melakukan itu sangat tidak berpuas hati dengan isu yang sering dibangkitkan bila Teoh mengunjungi mesjid dan surau.

Malah kehadiran Teo dijawab dengan bukti yang jelas mengenai tindakan yang sama dilakukan oleh pemimpin BN yang lain namun tidak dipertikaikan.

Yang jelas kehadiran Teo dipolitikkan kerana dia adalah dari Pakatan Rakyat, dan DAP. Kalaulah dia dari MIC seperti yang dilakukan oleh P. Kamalanathan di Hulu Selngor ia tidak menjadi masalah.

Lebih teruk apabila media pengampu mengapi-apikan perkara yang masih dibolehkan dan masih boleh diperbincangkan lagi itu iaitu hukum orang bukan Islam masuk ke dalam surau dan Masjid, sengaja dibesar-besarkan.

Oleh itu saya kira pihak keselamatan hendaklah sentiasa meningkatkan keselamatan kepada rakyat malaysia khususnya dari pihak yang tidak bertanggung jawab seperti yang berlaku kepada MP Serdang.

Harapan saya kehidupan rakyat Malaysia lebih harmoni dalam suasana kehidupan beragama difahami oleh orang Melayu sendiri, jauh dari itu sebenarnya dakwah kepada orang bukan Islam kalau sudah berlangsung sekian lama sejak UMNO dan BN memerintah malaysia lebih 50 tahun tentunya tidak timbul perkara remeh yang diperbesarkan ini.

Isu pembesar suara di mesjid, Isu bekerja di kedai jual arak dan sebagainya sebetulnya sudah selesai lama sekiranya pemimpin UMNO melakukan amanahnya. namun ia buka keutamaan walaupun undang-undang yang sedia ada sudah boleh mencegah buila dikuat kuasakan.

Bila ada serbuan dan tangkapan yang kena adalah pihak-pihak yang perlu dilindungi maka adalah tangan-tangan ghaib supaya dilepaskan. Kita ada senarai panjang mengenai kes tersebut termasuk kontraversi semasa Almarhum Dato Ishak Bahrom menujadi Mufti Selangor. Mereka berani mabuk dan lakukan maksiat kerana ada jaminan dilindungi oleh tangan-tangan ghaib.

Harapan saya YB Teo tidak gentar dengan ugutan tersebut untuk melakukan kerja seharian sebagai ahli parlimen, namun mestilah berhati-hati dan tingkatkan keselamatan diri. Tanggungjawab itu juga perlulah mendapat perhatian dari pihak keselmatan.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN TITI SERONG.

Pakatan Rakyat jumpa SPR 24 Januari

15 Safar 1432H.
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan khas dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya, jam 3 petang, bagi membincangkan lima perkara penting.

Perkara-perkara yang akan dibincangkan itu termasuklah cadangan undi proksi oleh SPR, persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dun, isu-isu lalu yang belum selesai termasuk undi pos dan pendaftaran pemilih.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, selain itu, dalam pertemuan itu juga akan turut dibincangkan tentang penubuhan kem askar wataniah seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi dan peraturan-peraturan baru bagi perjalanan pilihanraya yang akan diperkenalkan oleh SPR.

Menurut beliau, perkara-perkara itu perlu dibincangkan bagi melahirkan perjalanan pilihanraya yang telus, adil dan bebas menepati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita.

"Pertemuan itu adalah susulan dari surat yang telah saya hantar kepada SPR pada 17 Januari lalu bagi mewakili Pakatan Rakyat. Surat saya itu telah dijawab oleh SPR dan pertemuan itu pula tetap ditetapkan sendiri oleh pihak SPR pada hari dan waktu itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP akan diwakili 2 orang wakil setiap parti, manakala PAS akan diwakili oleh beliau sendiri dan Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Perbincangan tentang undi proksi seperti yang dicadangkan oleh SPR, katanya, perlu diadakan kerana ia dilihat boleh mengganggu perjalanan pilihan raya yang telus, adil dan bebas seperti yang kita ingini dan disebut oleh SPR sendiri.

"Undi adalah rahsia. Tapi bila buat proksi atau wakil, ia tidak lagi menjadi rahsia. Selain itu, proksi itu pula mungkin bukan orang sebenar, tetapi yang menerima upah. Dibimbangi juga kalau-kalau undi proksi itu pengundi hantu. Jadi, banyak pihak yang tak senang dengan cadangan untuk adakan undi proksi.

"Bagi pihak Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat sememangnya menolak undi proksi kerana ia sebenarnya bercanggah dengan demokrasi," katanya.

Perbincangan tentang persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi kerusi Parlimen dan Dun, menurut beliau, perlu diadakan kerana persempadanan semula kawasan pilihanraya sudah lama tidak diadakan iaitu sejak tahun 2003, terutama bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

"Sedangkan mengikut peraturan, persempadanan semula patut dilakukan sehingga tempoh 8 tahun. Jadi, ini merupakan suatu perkara penting yang perlu diambil tindakan oleh SPR yang akan turut kami bangkitkan dalam pertemuan itu nanti," jelasnya.

Menyentuh tentang isu-isu lalu yang belum selesai, antara lain, beliau akan memberikan pandangan kepada SPR agar pihak SPR melakukan pendaftaran secara langsung terhadap pemilih, dengan kaedah perhubungan langsung antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dengan cara itu bukanlah bermaksud memaksa orang mengundi, tetapi memudahkan mereka mengundi kerana dapat mengatasi masalah para pengundi yang berkelayakan menjadi pengundi tercicir dari daftar pemilih.

Katanya, perbincangan tentang cadangan Datuk Zahid untuk menubuhkan kem askar wataniah pula perlu dilakukan bagi mengelakkan parti pembangkang menjadi mangsa.

"Ini kerana kewujudan kem itu mungkin akan turut melahirkan undi pos yang lazimnya menguntungkan BN sendiri," tegasnya.

Kini, jelas beliau, turut kedengaran cadangan dari SPR untuk melaksanakan beberapa peraturan baru bagi pilihanraya termasuk pada pilihanraya kecil Dun Tenang 30 Januari ini.

"Kita ingin tahu apakah peraturan-peraturan baru yang ingin diperkenalkan oleh SPR itu. Dengan itu bolehlah kita bincangkan dengan lebih jauh untuk kepentingan semua pihak," katanya.

Harakahdaily/-