Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rejim Zionis Israel merupakan bangsa yang amat kejam dalam dunia ini.


“Mereka telah banyak melakukan pembunuhan demi pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Namun begitu, kezaliman sebegitu hanya akan menggali kubur diri mereka sendiri,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di hadapan bangunan Alps Ethical Life Science, berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, hari ini.


Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Dato' Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato' Ahmad Yahaya; Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi; dan Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dato' Seri Utama Mukhriz Mahathir.

Juga hadir Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ketua Penerangan Pemuda PAS merangkap Ketua Operasi Sekretariat Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa, Nadzir Helmi; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua; dan aktivis Palestin, Hishamuddin Rais.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, rejim Zionis Israel juga terkenal dengan membunuh Nabi yang berdakwah kepada diri mereka.

Tambah beliau, mereka juga mempunyai sifat pengecut iaitu dengan hanya memberikan secara jarak jauh.

“Hakikatnya rejim Zionis Israel merupakan bangsa yang takut dengan kematian dan perkara tersebut dapat dibuktikan dengan hanya bersembunyi dalam kereta kebal dan jet pejuang semata-mata.

“Mereka hanya berani melakukan serangan secara jarak jauh semata-mata berbeza dengan rakyat Palestin itu sendiri.

“Perkara sebegini jelas menunjukkan bahawa mereka adalah bangsa yang bacul,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyatakan rakyat Palestin adalah bangsa yang benar-benar mencintai kematian.

“Rakyat Palestin tidak mempunyai sedikit pun gentar yang mana apabila mereka berjuang, maka apa yang ingin dicapai adalah antara menang atau mati syahid.

“Mereka tidak pernah gentar dalam berhadapan dengan segala kezaliman yang dilakukan oleh negara haram Israel itu sendiri.

“Kita akan terus tunjukkan kepada kuasa-kuasa barat bahawa majoriti rakyat Malaysia akan terus bersama-sama dengan Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024